Thursday, 19 April 2018

Kita Akan Bercinta [Bab 1]



PENUH! Aku tak tahulah sebab hari ini hari minggu atau hari-hari memang macam ni keadaannya. Kesabaran aku teruji saat beratur untuk masuk ke dalam perut gerabak kereta api. Entah dari mana datangnya semua manusia ini.
"Nak pergi mana tu?"
Spontan aku menjerit bila tiba-tiba tangan aku ditarik kuat dari tepi. Anum buat muka tidak bersalah sewaktu menarik tangan aku ke gerabak sebelah.
Elok saja kami berdua berdiri di sebelah tiang, Anum terus melepaskan pegangan tangan aku.
"Aku tak faham kenapa kau nak masuk gerabak lelaki."
"Aku pulak tak faham kenapa kau nak susah-susah sesakkan diri dalam gerabak perempuan."
"By the way, ini bukan gerabak lelaki. Ini gerabak campur. Faham?"
Aku mencebik bila mendengar jawapan Anum.
Muka aku masam mencuka bila terpandang seorang dua penumpang yang menjeling dengan jelingan penuh makna. Bukan setakat pandang muka, satu badan aku macam kena scan! Tak selesalah, weh!
"Sabarlah kejap. Kita punya stesen tak jauh dah."
Nafas ditarik dalam-dalam. Sebenarnya, aku tak adalah nak benci semua lelaki yang ada dalam gerabak kereta api ini. Hanya segelintir yang suka pakai laser, scan orang atas bawah. Segelintir lagi macam tak kisah pun ada perempuan dalam gerabak yang sama.
Sejak KTM dah buat gerabak asing untuk wanita, tak pernah sekalipun aku menjejakkan kaki ke dalam gerabak campur. Hari ini, aku terpaksa!
"Kalau kau cepat sikit tadi, tak adalah kita kena tunggu lama-lama."
Anum berbisik tepat pada telinga aku. Spontan aku mencebik.
Tangan yang membimbit beg plastik berisi sabun mandi, syampu, tuala wanita dan beberapa lagi barangan yang baru saja aku beli di Watson tadi mula terasa lenguh.
Ya, disebabkan barang-barang inilah aku terlewat sampai ke stesen. Tapi kalau aku tak beli sekarang, bila lagi? Malas pulak aku nak singgah beli di KL Sentral.
"Okey-okey. Aku tahu aku salah." Aku mengeluh berat. Beg plastik tadi dilepaskan dan diletakkan ke lantai tren. Betul-betul di depan kaki aku.
"Tihah," panggil Anum perlahan.
"Apa..." Aku menjawab malas.
Telefon pintar dikeluarkan dari beg tangan, cuba menggunakan masa berdiri di dalam gerabak dengan sebaiknya. Sempat juga aku menjeling ke arah gerabak wanita yang penuh dan sesak serupa dalam tin sardin. Nasib baik juga Anum tarik aku masuk ke sini tadi. Adalah juga ruang untuk bernafas.
"Cuba kau tengok budak depan kau ni, boleh tahan handsome dia." Anum berbisik sambil menyengih.
Aku angkat kepala dan terus memandang seorang lelaki yang bersandar santai pada kerusi. Matanya dipejam rapat. Langsung tak menghiraukan penumpang yang lain. Aku dan Anum yang berdiri di hadapan dia sekarang ini pun bagaikan tak wujud.
"Bolehlah." Tumpuan aku kembali pada laman Instagram yang baru aku buka. Gambar dalam Instagram aku lagi menarik daripada budak tadi.
"Kau agak-agak, umur dia berapa eh? Muda daripada kita ke? Atau lebih kurang kita? Nampak macam tak tua sangat lagi..."
Anum tak habis-habis dengan topik, orang-depan-kau-handsome. Nak tak nak, sekali lagi aku mencuri pandang ke arah lelaki yang sama. Anak mata aku jatuh pada Nike putih yang dipakai hinggalah ke rambut yang dibiarkan bebas tanpa minyak rambut ataupun Pomade yang menjadi kegilaan anak muda sekarang.
Belum sempat aku menjawab soalan Anum, mata lelaki yang terpejam tadi tiba-tiba terbuka dan aku terus tergamam. Cis, kantoi pulak tengah perhatikan dia!
Cepat-cepat aku alihkan fokus pada telefon di tangan. Memang jadi penyelamat betul telefon ni!
"Budak lagi kot." Soalan Anum tadi aku jawab perlahan. "Hisy, tolong jaga mata kau tu sikit. Ini rupanya kerja kau bila masuk gerabak campur!" Geram pulak aku bila melihat sengihan Anum.
"Alah... bukan selalu." Anum turut keluarkan smartphone dari beg tangannya.
Wajah lelaki tadi langsung aku tak berani nak pandang lagi. Aku menjeling pada dinding gerabak yang menunjukkan stesen seterusnya.
Cepatlah kereta api ni bergerak.
Tak sampai sepuluh saat aku berdoa supaya tren ini bergerak cepat, tren berhenti di salah satu stesen. Nafas dilepas keras. Pintu gerabak dibuka dan beberapa orang melangkah masuk ke dalam gerabak, ada juga yang meluru keluar.
Bila nampak seorang lelaki tua terbongkok-bongkok mencari tempat duduk, lelaki di depan aku dan Anum tadi terus berdiri, memberi ruang.
Hmm... boleh tahan berbudi bahasa dia ni. Erk!
Aku palingkan muka ke arah Anum bila mata dia sekali lagi jatuh pada aku. Amboi, Tihah... tadi kau jugak yang suruh Anum jaga mata!
"Tihah, kau memang tak nak ke ikut kami camping minggu depan?"
Soalan Anum mengembalikan aku ke alam realiti.
"Kan aku jadi pergi Perth..."
"Oh, lupa!"
Aku senyum nipis. Bila sekali lagi tren berhenti, cepat-cepat aku tarik tangan Anum keluar dari gerabak. Akhirnya, sampai jugak kami di KL Sentral!
Laju aku melangkah ke arah eskalator sebelum hati terasa sesuatu. Tangan kanan yang terasa ringan tanpa beban membuatkan aku terkedu seketika.
Ya Allah, barang aku!
Pantas aku berpatah balik ke pintu yang sama aku keluar tadi. Belum sempat aku melangkah masuk, pintu kereta api mula tertutup. Rapat!
Aku ternganga. Anak mata aku jatuh pada beg plastik putih di atas lantai tren sebelum memandang lelaki yang ada di sebelah beg plastik aku tadi.
Pandangan kami bertemu.
Lelaki tu! Cepat-cepat aku tunjuk beg plastik yang ada di lantai.
"Next station!" Bersungguh-sungguh aku membuat isyarat tangan supaya lelaki itu turun ke stesen seterusnya. Dah macam gaya ayah budak dalam cerita Mr. Bean's Holiday tu.
Ah, lantaklah!
"Hisy, kenapa kau menjerit ni Tihah?"
Anum menepuk bahu aku kuat. Masih tak dapat tangkap apa yang terjadi.
"Jauh sikit, weh. Tren dah nak gerak tu!"
Kereta api mula bergerak perlahan meninggalkan stesen dan dengan spontan aku ikut berlari.
Aku nampak lelaki itu tunduk memandang beg plastik sebelum kembali memandang pada aku di luar gerabak. Walaupun aku tahu dia tak akan dengar jeritan aku tadi, tapi aku yakin yang dia faham gerakan mulut aku.
Tapi, ya ke boleh faham?
"Mid Valley! Mid Valley!" Sekali lagi aku menjerit.
"Tihah, kau kenapa ni?" Anum masih berasa hairan.
Bila tren laju meninggalkan aku, hati mula menyumpah diri sendiri. Macam mana aku boleh lupa beg plastik tu? Banyak kot barang yang aku beli dekat Watson tadi. Bukannya murah! Itupun nasib baik Watson tengah buat jualan murah.
Hailah, Tihah... kau memang pandai bazirkan duit betul!
"Barang aku tadi..." luah aku perlahan sambil memandang tren yang semakin menghilang.
"Ya Allah... dah tu? Tak ada rezeki kaulah nampak gayanya." Anum turut mengeluh panjang.
"Aku nak pergi Mid Valley."
"Hah?" Suara Anum hampir menggegarkan satu stesen. Beberapa orang yang ada di situ mula mencuri pandang.
"Kita nak kena naik LRT pulak lepas ni. Kalau pergi Mid Valley, pukul berapa nak sampai rumah?"
"Kalau macam tu, kau baliklah dulu. Aku kena ambil balik barang aku tu." Aku terus duduk di atas kerusi besi yang disediakan. Menunggu tren seterusnya.
Harap-harap masih adalah rezeki aku.
"Takkan kau nak suruh aku balik sorang-sorang?" Anum merungut. Dia turut sama duduk di sebelah aku. "Aku sebenarnya tak faham kenapa kau kena pergi Mid Valley."
"Aku mintak budak lelaki yang kau syok sangat tengok tadi bawak barang aku tu ke Mid Valley."
"Boleh percaya ke? Kenapa dia nak kena ikut cakap kau pulak? Entah-entah dia bawak balik rumah dia."
Aku diam. Sebenarnya aku sendiri tak ada jawapan untuk soalan Anum tu.
Ah, pergi ajelah! Ada ke tak ada, lain cerita.

***

SAAT melangkah keluar dari tren, mata aku terus meliar ke segenap ruang stesen. Manusia yang lalu-lalang di situ membuatkan pencarian aku semakin menemui jalan buntu.
Boleh dikatakan hampir semua muka orang di platform itu aku tilik. Malangnya, aku masih tak nampak kelibat lelaki tadi.
Anum di sebelah aku tak putus-putus membebel. Minta aku 'halal'kan saja semua barang itu kalau-kalau ada yang panjang tangan.
Aku langsung tak hiraukan bebelan Anum. Mata aku masih tajam, mencari. Walaupun wajah budak tadi samar-samar dalam ingatan aku, namun pakaian dia masih segar dalam kepala.
Mana dia ni. Mana... Kasut putih... Baju merah.
Bila yakin yang kelibat budak di dalam gerabak tadi tidak kelihatan di mana-mana, aku melepaskan nafas panjang.
Sah, memang tak ada! Bukan rezeki akulah nampaknya.
"Jomlah, kita patah balik Anum." Aku sudah berputus asa.
Belum sempat aku melangkah ke arah tangga untuk ke platform sebelah, aku terpandang seorang lelaki yang tiba-tiba datang menghampiri.
"Barang-barang ni awak punya, kan?"
Barang-barang aku yang tertinggal tadi diangkat betul-betul di paras dada aku. Masih elok di dalam beg plastik.
Aku ternganga. Lambat-lambat aku mengangguk sebelum menyambut huluran daripada dia.
"Mana awak jumpa barang ni?" Anum di sebelah sudah memandang pelik.
Pandangan aku turut terarah pada dia yang kelihatan tenang. Rasanya, bukan lelaki ini yang aku minta tolong tadi. Budak tadi rupanya macam pelakon K-Pop. Ini dah macam komunis sesat.
Cermin mata yang dipakai ditolak sedikit ke atas sebelum dia membuka mulut, menjawab soalan aku.
"Dalam tren tadi. Saya nampak awak minta tolong pada budak tu."
Betul. Memang aku minta tolong pada budak kasut Nike tu. Tapi, mana budak tu pergi?
"Dia yang bagi barang ni pada awak?" teka aku.
Laju dia menggeleng.
"Dia tak keluar pun tadi."
Aku dan Anum sama-sama tercengang.
"Jadi..." Aku tak jadi sambungkan ayat. Sempat aku menjeling beg plastik di tangan sekilas sebelum kembali pada wajah dia.
"Jadi, alang-alang saya nak keluar, saya bawalah barang ni keluar sekali."
Dia menyambung ayat aku. Masih tenang.
"Dan... tunggu sampai saya datang?"
Aku hampir-hampir tak percaya. Dia yang entah siapa-siapa, sanggup menunggu aku datang mengambil barang-barang ini semula.
Tak sangka ya, rupa-rupanya ada lagi orang baik dekat Malaysia ni. Ingatkan semuanya dah pupus.
Selain toiletries, aku ada beli juga pencuci muka baru, compact powder baru, lipstik, eyeliner. Kalau dia tak tolong aku tadi, memang seminggu juga aku murung.
"Terima kasih banyak-banyak sebab tunggu saya. Saya pun sebenarnya redah aje datang sini walaupun tak tahu boleh dapat balik ke tak barang ni." Lega! Nasib baik dia sudi tolong.
Hampeh punya budak tadi, harapkan muka aje handsome!
"Sama-sama. Bukan apa, alang-alang tunggu kawan saya sampai sini, saya tunggulah owner barang ni sekali."
Oh, patutlah.
"Lagipun, saya nampak macam penting aje barang-barang ni. Siap ada..." Dia menjeling ke arah beg plastik yang sudah bertukar tangan. "Siap ada Kotex tu. Besar lagi. Takut pulak awak tak cukup bekalan dekat rumah nanti."
Aku boleh nampak dia tersenyum nipis walaupun wajah tenang dia cuba menutup apa yang dia rasa. Anum di sebelah aku sudah mengekek ketawa.
Aku pulak... Entahlah. Kalau aku terus naik tangga ke platform sebelah, boleh tak? Malunya!

***
Bersambung....

No comments: