Kita Akan Bercinta [Bab 2]



"THANK you, awak!"
Anum mula bersuara bila dia nampak aku diam membisu. Sempat dia menyiku aku di sebelahnya.
"Aa... thank you." Tergagap-gagap aku mengucapkan terima kasih juga. Langsung tak sanggup mahu mengangkat muka.
Eh, bukan ke tadi aku dah ucap terima kasih? Anum ni pun satulah. Hairanlah, kenapa Kotex aku tu aje yang dia nampak? Biasalah tu perempuan beli Kotex. Kalau lelaki yang beli baru pelik. Eh, macam-macam!
"Memang janji dengan kawan nak jumpa kat sini ke?" Anum sudah mula dengan perangai ramahnya.
Wahai, Anum... kau baru saja jumpa orang tu tak sampai lima minit. Kenapa nak tahu benda yang kau tak sepatutnya tahu?
"Ha'ah... dekat dalam. Tapi, dia pun tak sampai lagi."
Dekat dalam. Dekat Mid Valley kot.
"Jomlah, Anum... kita balik." Aku mula menarik tangan Anum untuk ke atas dan menukar platform.
"Eh, kejaplah. Kita belanjalah dia minum dulu ke. Makan ke. Tak pun, belikan dia Roti Boy ke."
Anum... tolonglah. Tak bernas okey cadangan kau tu!
"Tadi, kau jugak cakap yang kita dah lambat nak balik." Aku berbisik pada Anum, geram.
Lelaki tadi masih berdiri kaku di depan aku dan Anum. Dia ni tak ada rasa nak masuk Mid Valley ke?
"Eh, tak apalah. No big deal." Tiba-tiba lelaki itu bersuara. "I'll go then. Bye."
Tanpa menunggu walau sesaat, lelaki itu terus memanjat anak tangga ke atas. Akhirnya, dapat juga aku bernafas dengan tenang.
"Thanks awak!" Aku mengajuk cakap Anum tadi. "Pantang betul!"
"Alah, dia kan dah tolong kau. Kenalah buat baik sikit. Orang berbudi, kita berbahasa." Anum ketawa lepas.
"Tolong aku, pastu buat aku malu. Tak boleh ke kalau dia buat-buat tak nampak Kotex tu?" Aku masih rasa tak puas hati.
Laju aku melangkah ke tingkat atas sambil diikuti Anum yang hanya beberapa tapak di belakang.
"Kau tak rasa dia baik ke?" Anum sekadar menduga.
Soalan tiba-tiba daripada Anum membuatkan aku menoleh ke arah dia sesaat.
"Ya, dia baik sebab dah tolong aku. Jadi?"
"Jadi..."
"Dah. Kau tak payah nak cakap apa-apa. Idea klise kau tu aku dah boleh baca." Cepat-cepat aku potong ayat Anum.
"Kita ambil grab car dari sini ajelah. Malas nak patah balik KL Sentral."
Anum hanya tersengih.
Elok saja aku dan dia keluar dari stesen, langkah terus dibawa ke eskalator yang menyambungkan stesen kereta api dan Mid Valley.
"Kita pun bukannya muda lagi, Tihah. Kalau tak ambil peluang ni nak kenal-kenal dengan orang luar, macam mana nak jumpa jodoh?" Anum masih membebel sambil mengikut langkah Tihah masuk ke dalam perut Mid Valley.
Aku diamkan saja. Malas nak berbahas dengan Anum. Dia ada kuasa membalas satu ayat aku dengan berkajang-kajang teks syarahan. Jadi, lebih baik aku biarkan saja dia bersuara.
"Tapi betullah. Tak sangka pulak dia nak tolong kau ambil barang-barang ni. Dia ada ke dalam tren kita tadi? Tak nampak pun dia!"
Aku angkat bahu. Aku sendiri pun tak perasan dia dalam gerabak tadi. Yang aku perasan, budak kasut Nike yang Anum cakap handsome tu.
"Mana kau nak sedar dia ada ke tak kalau mata kau asyik pandang budak muka K-Pop tu."
Anum ketawa lagi.
Suasana Mid Valley sekarang ini meriah dengan pengunjung. Jam hampir menginjak ke angka 7.00 malam. Betul cakap Anum tadi, mereka sudah terlewat. Jalan mesti tengah sesak teruk!
"Grab tunggu kat mana?"
"Selalunya dekat Plan B."
Aku angguk sesaat. Aku ikut saja rentak Anum menuju ke pintu keluar Mid Valley yang terletak di sebelah restoran Plan B.
"Lagi dua minit driver sampai." Mata Anum masih melekat pada smartphone di tangannya.
Aku sekadar mengangguk mendengar.
Bila Anum menolak pintu kaca untuk keluar, kaki aku terhenti seketika bila terpandang seseorang di dalam restoran.
"Tihah, cepatlah! Lagi satu minit!"
Suara Anum mengejutkan aku yang masih tegak berdiri di muka pintu. Spontan aku mendapatkan Anum yang terjenguk-jenguk mencari kereta yang ditempah melalui aplikasi Grab.
Oh, lelaki tadi sudah ada awek rupanya. Patutlah tak hairan langsung dengan pelawaan Anum untuk belanja dia minum tadi.
Sekali lagi aku mengerling ke arah meja yang dihuni oleh lelaki tadi dengan seorang wanita yang membelakangkan aku. Bila pandangan kami bertemu, dia terus mencipta senyuman manis sambil mengangguk. Spontan, aku turut mencipta senyum.
Pakwe orang, Tihah. Behave.

****

BENCI! Kenapa selalu jadi macam ni? Kenapa setiap kali merancang sesuatu, mesti takkan jadi? Tak patut betul!
Sudah lama aku bayangkan road trip kami ke Perth kali ini akan jadi perjalanan yang sangat menggembirakan. Aku sudah mula berangan mahu bergambar di tengah-tengah lebuh raya Perth seperti yang aku selalu tengok di dalam blog travel.
Aku juga sudah bayangkan kami akan bergelak tawa di dalam kereta untuk ke mana-mana. Tapi, kenapa semua orang nak batalkan trip bila dah sampai tarikh berangkat?
Kenapa dalam minggu ni jugak baru nak cakap yang semua tak boleh pergi? Dekat setahun kami sama-sama merancang semua ni dan akhirnya tinggalkan aku sorang-sorang macam ni?
Macam mana aku nak survive seorang diri kat sana nanti?
Aku mengeluh entah untuk kali keberapa. Tak tahulah berapa bakul bebelan yang dah aku keluarkan untuk Nani, Wana dan Shikin.
Stress! Itu yang aku rasa sekarang.
Tak patut betul!
Pakaian yang sudah aku lipat tadi dicampak tepat masuk ke dalam backpack yang ternganga.
Okey, bertenang Tihah... bertenang. Fikir sewaras yang mungkin. Lagipun dalam hal ni, siapa yang patut disalahkan? Semua yang tak jadi pergi pun sebab keadaan yang mendesak, bukan suka-suka, kan?
Aku mengeluh untuk kesekian kali. Empat orang yang rancang nak buat road trip, tup-tup... aku yang jadi pergi seorang. Yang lain-lain semua memberi alasan ada komitmen. Nak simpan duit untuk kahwinlah... tunanglah... Tak cukup bajetlah... Cuti tak luluslah...
Habis tu, takkan aku nak tercongok seorang diri dekat sana?
Fikirkan apa yang bakal berlaku dekat Perth nanti, nak aje aku hantuk kepala kat kepala katil. Nak teruskan atau nak batalkan aje?
Tapi,bila fikir-fikir balik rasa sayang! Harga tiket saja dah dekat RM600. Itu pun nasib baik dapat harga promo Air Asia. Kalau tak mahu harganya cecah RM1000!
Nafas dilepas perlahan. Masih berfikir tentang tindakan yang patut dibuat. Mata tepat pada backpack baru di depan sila. Deuter merah 60L tu baru saja aku beli di Pertama Kompleks dua minggu lepas. Semangat nak travel dengan kawan-kawan punya pasal.
Sudahnya... 
Aku mengeluh lagi.
Beg dah beli. Passport pun dah selamat diperbaharui. Stok makanan pun dah beli minggu lepas. Flight lagi tiga hari. Dah siap buat web check-in pun.
Masalahnya sekarang, berani ke aku pergi sorang-sorang ni?
"Macam mana?"
Aku mengalihkan pandangan dari beg yang sudah tersembur dengan kepadatan isi itu ke arah pemilik suara di muka pintu. Bila pandang saja muka Kak Hajar di muka pintu, semangat yang berkobar-kobar tadi semakin marak.
"Aku ingat nak pergi ajelah, kak," putus aku akhirnya. Yakin.
Aku kena pergi jugak. Bukan ke selama ni, aku juga yang teringin nak travel seorang diri? Bukan ke selama ni, aku nak sangat jadi berani macam traveller-traveller perempuan yang aku follow dekat IG?
Walaupun tak dirancang, tapi inilah dia peluang yang aku ada.
"Berani tak?" soal Kak Hajar lagi.
Lambat-lambat aku angguk. Selama ni, memang dia tahu yang aku kaki jalan. Cuma, tak pernah pulak aku travel seorang diri.
"Kalau kau rasa kau berani, pergi ajelah. Aku rasa Perth tu tak adalah bahaya mana pun. Lagipun, dia orang guna english, bukan bahasa yang kita jarang dengar."
Terangguk-angguk aku mengiakan kata-kata Kak Hajar. Ini bagusnya ada kakak yang memahami macam Kak Hajar. Selalu tolong selesaikan kekusutan dalam kepala aku. 
Semua blog yang aku baca sebelum ini pun ada cerita perihal Perth boleh dikatakan selamat. Cuma ada sekali dua kes pecah kereta sewa pelancong untuk curi beg yang ditinggalkan. Kes lain tak ada nampak pulak.
"Okey. Aku jadi pergi." Muktamad.
Kak Hajar senyum nipis sambil bersandar pada pintu bilik dengan melipat kedua-dua tangan ke dada.
"Kau ikut akulah, kak. Jom! Kita travel dua orang." Tiba-tiba muncul idea gila itu. Manalah tahu kalau-kalau Kak Hajar setuju nak ikut, rasa selamatlah juga.
"Gila! Banyak duit aku nak beli tiket on the dot? Lagipun, nak aku kena backhand dengan bos? Esok lusa nak cuti baru bagitahu?"
Aku sengih senget. Geli hati tiba-tiba bila membayangkan Kak Hajar kena backhand dengan ketuanya.
"Dah bagitahu abah yang kau jadi pergi Perth?"
Soalan Kak Hajar membuatkan senyuman aku mati. Mood teruja tadi terus hilang diganti rasa sayu yang tiba-tiba datang.
"Belum lagi?"
Tekaan Kak Hajar mengena. Aku sekadar mengangguk tanpa angkat muka. Sengaja buat-buat sibuk menyusun itu dan ini ke dalam perut beg, bagi menutupi raut wajah yang mula berubah.
"Kalau aku cakap pun, abah bukannya kisah..." Rendah saja nada suara yang terkeluar. Rasa sebak tiba-tiba menyapa. Hisy, Kak Hajar ni! Orang dah excited boleh pulak dia potong bawang.
"Beritahu jelah. Setidak-tidaknya, abah tahu kau pergi mana," pujuk Kak Hajar lagi. "Nanti jangan lupa beritahu abah ya?"
"Hmm..." Aku masih tak angkat muka.
"Good. VISA dah buat?"
Soalan daripada Kak Hajar kali ini membuatkan aku ternganga luas. VISA! Adoi, macam mana boleh terlupa pasal VISA ni?!
"Tak buatlah tu..." Kak Hajar buat muka.
Aku dah tayang gigi. Sedar silap diri sendiri.
"Lupa!" Selama ini, mana pernah aku pergi negara yang perlukan VISA. Nasib baiklah Kak Hajar tanya, kalau tak memang terkandas dekat airport jawabnya.
"Cakap dah study semua pasal Perth, takkan VISA kena buat pun tak tahu?" Laju Kak Hajar menggeleng. "Bak sini details kau. Aku minta kawan aku buatkan."
Lebar terus senyuman aku bila dengar offer daripada Kak Hajar. Dah tahu sangat yang Kak Hajar memang ramai kenalan dalam industri pelancongan.
"Baik bos!"
"Makanan tu... tengok senarai betul-betul. Karang tak pasal-pasal kena buang," pesan Kak Hajar lagi.
"Orait!"
"Betul-betul yakin boleh survive kat sana nanti?"
Sekali lagi aku senyum. Dah puas menggodek google dan baca blog orang. Dah penuh buku nota dengan cara-cara untuk ke tempat menarik di bandar Perth.
Okeylah kut untuk lima hari.
"Insya-Allah. Aku dah study habis-habisan ni. Lagipun, aku duduk dekat bandar tu aje rasanya."
"Okay then. Good luck!" Kak Hajar senyum selapis.
Senyuman aku masih berbaki. Sebenarnya dalam kepala sudah tercipta macam-macam rancangan untuk dijadikan back-up plan.
Plan A dan Plan B.
Harap-haraplah Plan A aku nanti menjadi!

****
Bersambung....

Comments