Kita Akan Bercinta [Bab 3]




Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, Australia.
---
SEBAIK sahaja menjejakkan kaki keluar dari perut kapal terbang, dada mula sebu dengan pelbagai rasa.
Aku sendiri tak tahu macam mana nak terangkan apa perasaan sekarang. Teruja sebab dah berjaya jejakkan kaki di Perth?
Ya.
Takut sebab tak tahu nak buat apa lepas ni?
Pun ya.
Berkali-kali aku telan air liur dek rasa berdebar yang amat. Nak-nak pulak bila semua benda yang ada dekat depan mata sekarang ni adalah asing bagi aku. Lama juga mata menilik setiap wajah yang turut sama beratur di kawasan pemeriksan imigresen, mencari kalau-kalau ada kumpulan traveller perempuan dari Malaysia.
Tapi tak ada!
Kalau ada yang dari Malaysia pun, beberapa kumpulan lelaki dan keluarga yang membawa anak kecil. Takkan dengan tak malunya aku nak minta tumpang sekaki?
Nafas ditarik panjang.
Rileks.
Bertenang.
Setiap perkara ada jalannya, Tihah.
Dengan ini, secara rasminya Plan A tak menjadi.
Aku kena laksanakan Plan B pulak. Jalan-jalan sendiri, ikut cadangan brochure yang diambil dari kaunter perlancongan di airport atau ambil apa-apa pakej yang disediakan dekat hostel nanti.
Selesai urusan di kaunter imigresen, langkah diteruskan ke tempat pemeriksaan kastam. 
Tak jadi beratur, langkah dilencongkan ke washroom. Cuba mahu tenangkan diri sebelum berhadapan dengan kastam. Rata-rata blog yang aku baca semuanya bercerita tentang tegasnya kastam di Australia dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.
Aku panjang bias wajah yang terlakar di cermin. Spontan nafas dilepas perlahan. Boleh rasa yang muka sudah panas lain macam walaupun suhu dekat sini bukanlah sepanas Malaysia.
Selesai cuci muka ala kadar, aku keluar semula untuk pemeriksaan kastam.
Melihatkan wajah bengis pegawai kastam yang sibuk membelek beg pakaian orang didepan, perut makin bergelodak. Risau.
Macam-macam andaian yang timbul di kepala. Spontan. Walaupun aku tahu yang aku tak buat salah, tapi bila nampak saja pegawai kastam yang sibuk membuat kerja di depan, dada berdebar kuat.
Macam mana kalau makanan ni kena buang? Tenang, Tihah... Tenang!
Aku melangkah setapak ke depan. Sempat juga aku menjeling ke arah seekor anjing pengesan di kaunter paling hujung.
Barisan makin pendek dan dada makin berdebar kencang. Beg yang berisi makanan dipandang sekilas. Seperti yang dipesan, aku dah 'declare' apa yang dibawa waktu isi arrival form tadi. Rasanya tak ada pun makanan yang menyalahi undang-undang dalam beg itu. Dah banyak kali aku buat semakan.
Wahai jantung, berdetaklah macam biasa!
"Hello dear!"
Dalam kekalutan, aku sempat mencipta senyum bila ditegur ramah.
"Hi," balas aku perlahan. Beg baju dan beg makanan yang dibawa berasingan terus diletakkan ke atas meja.
"So, what do you have? Mee Maggi? Nasi lemak?" soal pegawai kastam tadi dengan senyuman.
Mendengar saja soalan dia, aku terus ternganga. Kaget. Bulat mata aku pandang pegawai kastam tadi bila dia sebut nasi lemak.
Kastam tu tahu Mee Maggi? Kenal nasi lemak?
Segala ketakutan yang merajai diri aku tadi terus hilang. Dan, bila sedar yang aku bukanlah orang Malaysia pertama yang sampai di Perth, perlahan-lahan aku tarik senyum.
Aku bukannya orang Malaysia yang pertama sampai sini. Nak jadi orang pertama yang bawa Maggi pun jauh sekali, mestilah pegawai kastam tadi dah selalu nampak dan sudah biasa dengan makanan dari Malaysia.
Aduh! Aku hampir ketuk kepala sendiri. Kalut tak memasal kau ni, Tihah!
Bila mendengar bunyi orang ketawa perlahan dari kaunter sebelah, aku terus menoleh. Wajah seorang pelancong yang tersenyum simpul sambil memandang aku menyapa mata.
Automatik aku buat muka. Dengan pantas, aku hadiahkan jelingan tajam tanda tak suka. Kurang tatasusila betul. Ada ke patut dia ketawakan aku?
Fokus aku kembali pada pegawai kastam tadi yang memeriksa beg makanan milik aku. Bila disuruh terus ke mesin pengimbas x-ray, aku ikutkan sahaja. Sikit lagi aku nak melompat kegembiraan bila beg makanan dan beg baju yang aku bawa kesemuanya 'clean'! Tak payah buka pun!
"Thank you!" Senyuman aku makin melebar. Terasa terlepas beban berat kat bahu bila semua sudah selesai.
Pegawai kastam tadi sekadar senyum mengangguk.
Dengan beg yang dipikul hampir 7 kg dan beg kecil yang disilang ke depan, kaki melangkah keluar ke balai ketibaan.
Perkara pertama yang aku cari adalah kedai menjual simcard. Nasib baiklah tak susah mana pun nak cari kedai simcard dekat airport ni. Selesai saja urusan jual beli simcard untuk internet, mata mula melilau mencari pintu keluar dan jumpa!
Sekali lagi aku tersengih. Elok saja keluar dari lapangan terbang, sebuah bas yang menghubungkan lapangan terbang antarabangsa dan lapangan terbang domestik sudah pun menunggu di muka pintu. Senang kerja aku.
Sekarang ini, satu per satu ayat yang aku baca dari blog bagaikan muncul di depan mata. Memang betul-betul berguna!
Masuk saja ke dalam bas, pandangan dilemparkan ke luar tingkap. Lainnya perasaan bila berada di negara orang. Semuanya nampak menarik dan cantik.
Tak sampai lima minit menunggu, pelancong lelaki yang ketawakan aku tadi turut melangkah masuk ke dalam bas yang sama dan duduk di kerusi tidak jauh daripada aku.
Spontan aku mencebik.
Wajah sawo matang lelaki itu ditutupi rambut ikal panjang mencecah bahu yang dilepas bebas. Cermin mata pula berbingkai hitam dan besar menutupi hampir separuh muka.
Rasanya tadi lelaki tu ikat rambut gaya samurai.
Cepat pulak rambut itu dilepaskan bebas.
Laju aku menggeleng. Rimas betul! Nak aje aku sedekahkan getah rambut, biar dia ikat rambut tu. Bagi selesa sikit mata aku tengok.

****

SEBAIK saja bas bergerak meninggalkan lapangan terbang antarabangsa, tumpuan aku mula beralih pada pemandangan di sepanjang jalan. Perjalanan bas 'inter-airport' ke terminal domestik ini sebenarnya tidak sampai sepuluh minit pun.
Sampai saja di terminal domestik T3 dan T4, aku terpaksa turun untuk dapatkan bas 'inter-city' pulak. Itu antara arahan yang aku baca daripada blog untuk dapatkan harga tambang yang paling murah ke bandar Perth.
"Oh, mak kau cantik!" Mulut melatah kuat sebelum sempat aku tahan.
Bulat mata aku bila melihat batu besar yang entah bila ada di sebelah kerusi menunggu itu. Laju aku menutup mulut sebelum menoleh ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah tak jatuh terjelepok tadi!
Dengar saja suara mengekek yang tak jauh dari situ, aku terus menoleh. Cepat saja mata menangkap lelaki tadi yang ketawa tanpa memandang ke arah aku.
Kerut dahi aku makin banyak. Dia faham ke latah aku tadi?
Bila nampak saja lelaki itu tersenyum sumbing, aku mengetap bibir kuat. Nak tak nak, aku duduk juga di atas bangku yang sama dengan sedikit jarak.
Beg yang berisi makanan tadi aku peluk kemas sambil melontarkan pandangan ke jalan masuk Terminal T3 dan T4, menanti kalau-kalau bas yang ditunggu tiba.
Mana orang lain ni? Takkan tak ada orang nak naik bas inter-city selain aku dan pelancong tadi?
Aku berdeham perlahan sebelum melirik ke tepi. Lelaki tadi masih lagi tersengih-sengih gaya kerang kena rebus. Bezanya, muka dia lebih kacak daripada kerang!
"Sakit ke, cik kak?"
Bila dengar saja soalan dalam bahasa ibunda, aku terus ternganga. Lah... orang Malaysia jugak rupanya!
Lelaki tadi masih dengan sengihnya sambil membetulkan letak cermin mata.
"Malaysia?" soal aku sepatah walaupun dah sah-sah lelaki tadi berbahasa Melayu tanpa slanga orang putih.
Tapi, kenapa rupa dia tu ada ala-ala orang Filipina? Paling tak pun, Thailand.
Tapi, logik juga. Muka-muka orang negara itu pun lebih kurang saja dengan rupa orang Malaysia.
"Yup!" balas lelaki itu sepatah.
Senyuman masih menghiasi bibirnya, bagai dapat mengagak yang aku akan terkejut macam tu.
"Nak pergi Perth City?" soal dia pula.
"Hmm." Pendek aku menjawab. Hati masih geram bila mengingatkan yang aku kena gelak tadi. Dua kali pulak tu dia gelakkan aku!
"Aik, takkan dapat jejak oversea dah terus sombong dengan orang negara sendiri?" Dia ketawa perlahan.
Walaupun dalam tawa, entah kenapa ayat dia tadi terus memanaskan telinga aku. Automatik aku mencebik.
Hello bro, tak payah nak bergurau gaya dah rapat sangatlah!
"Tak ada kena-mengena pun. Saya marah sebab awak gelakkan saya tadi." Suka-suka hati je kata orang sombong! Bagi backhand baru tau.
"Oh ya? Bila?" Dia simpan senyum.
Aku buat muka bosan. Buat-buat lupa konon! Akhirnya, aku diamkan saja. Malas nak bertekak.
Beberapa orang tempatan yang melepasi aku dan dia mula mencuri pandang dengan senyuman. Bibir aku automatik turut melakar senyum. Lebar.
Betullah kata orang yang senyum ni boleh berjangkit. Seorang senyum, yang lain-lain pun akan senyum.
Ini kalau dekat Malaysia, mana pernah aku bagi senyuman pada orang yang aku tak kenal. Tapi bila dekat sini, ramai betul penduduk tempatan yang murah dengan senyuman.
"Tidur kat mana nanti?" Sekali lagi lelaki di sebelah bersuara. Mulutnya masih rajin mencipta soalan demi soalan.
Mood aku untuk bersembang dengan dia memang dah capai tahap paling malas!
"Bandar Perth," jawab aku tanpa memandang. Tak jawab karang, keluar pulak 'viral' dekat laman sosial cakap lupa daratan bila dah sampai negara orang.
"Yalah bandar Perth. Takkan awak nak tidur kat airport ni kut."
Tengok! Macam manalah aku tak naik angin kalau setiap jawapan yang aku bagi ada saja yang tidak kena.
Tahap kesabaran aku sudah semakin tipis. Aku ketap bibir kuat, geram. Panas hati betul! Mata terus menjeling dia di sebelah.
Sabar Tihah, sabar. Jangan biarkan dia rosakkan holiday kau ni.
"Nama jalan? Nama hotel?"
Aku tarik nafas panjang-panjang. Masih berusaha untuk bertenang. Tak habis lagi soalan dia tadi rupanya.
Lambat-lambat aku angkat wajah, merenung lelaki tadi yang masih tak jemu menunggu jawapan.
"Mana boleh bagitahu. Awak tu orang asing." Senafas aku menjawab.
Tak kenal. Mana boleh nak baik-baik sangat? Mana boleh nak rasa selesa sangat? Memang betul salah satu rancangan aku adalah nak ikut traveller dari Malaysia, tapi bukan traveller lelaki!
"Oookey..." Panjang jawapan dia. Sempat dia angkat kening sambil tersenyum. "I'm sorry then." Kedua-dua tangan di angkat tinggi tanda menyerah.
Laju saja aku buat muka bila 'sorry' dia tu pun ada perisa perli.
Keadaan kembali aman. Lelaki di bangku sebelah dah tenggelam dengan smartphone di tangan. Aku pula masih terjenguk-jenguk mencari kelibat bas.
Hampir setengah jam menunggu, bas yang dinanti tiba juga. Cepat-cepat aku melangkah masuk ke dalam bas yang akan bawa aku terus ke bandar Perth. Dan sekali lagi, lelaki itu juga menaiki bas yang sama.
Ah, lantak dialah.
Elok saja bas bergerak, aku kembali tenggelam dengan keindahan pemandangan di luar. Setiap pelosok jalan raya dan sekitar jalan sungguh bersih. Ditambah pula dengan langit biru tanpa awan dan juga pokok-pokok yang kelihatan sungguh asing.
Bas ini pun bersih dan sangat selesa, sama seperti bas pertama yang aku naik tadi. Bagus betul Australia ni. Clean!
Mata mula berlari menghayati setiap pemandangan dari luar tingkap bas. Dalam berani dan yakin, rasa takut tetap ada. Dahlah tak ada pengalaman travel sendiri, kalau sesat macam mana?
Atau... Aku menggigit bibir bila terfikirkan sesuatu. Lelaki berambut ikal tadi dipandang dari hujung mata. Dia dah tersandar pegun di atas kerusi depan. Tidur agaknya. Atau aku kena berbaik-baik dengan dia?
Sesaat kemudian, aku menggeleng sendiri. Kalau perangai malaun macam tu, baik tak payah!

****

AKU turun dari bas sebaik saja tiba di perhentian terakhir. Kalau nak ikut peta yang aku cetak, jarak dari perhentian bas terakhir ke hostel yang aku tempah ada dalam satu kilometer.
Walaupun agak jauh, itu saja cara yang ada. Nak jimat sangat, kan?
Aku menggenggam kertas yang dicetak kemas sambil menarik nafas dalam-dalam. Bibir menarik senyum saat memandang persekitaran yang sungguh asing bagi aku.
Rata-rata manusia yang lalu-lalang sibuk ke sana dan ke mari tanpa menghiraukan aku.
Macam mimpi aku dah ada di tengah-tengah bandar Perth! Macam tak percaya pun ada. Syabas, Tihah. Syabas!
Dengan berbekalkan tenaga yang masih ada, aku mengatur langkah ke arah yang ditunjukkan tanpa menghiraukan sekeliling. Baru saja melangkah beberapa tapak, naluri wanita aku kuat meminta untuk aku menoleh ke belakang.
Tak jauh dari tempat aku berdiri, lelaki tadi turut berjalan menuju arah yang sama. Automatik kening aku terangkat tinggi.
Dia pun turun dekat sini ke?
Spontan aku menutup mulut bila terfikirkan sesuatu. Dia nak culik aku ke?
Bila mata kami bertembung, aku terus mengalihkan pandangan ke depan. Laju aku
menggeleng sendiri, cuba menidakkan anasir-anasir jahat yang berlari dalam fikiran.
Tapi, takkanlah lelaki tu nak culik aku tengah-tengah hari macam ni? Dekat Perth pulak tu! Fikir logik sikit boleh tak, wahai Fatihah!
Langkah diteruskan tanpa menghiraukan lelaki tadi. Aku kumpul kekuatan yang bersisa, cuba bertenang. Entah kenapa sejak menjejakkan kaki di sini, darah gemuruh aku makin mencanak naik. Mungkin sebab aku seorang diri dan macam-macam bahaya yang boleh aku dapat.
Peta tadi aku simpan ke dalam poket jaket yang aku pakai bila terasa langsung tak membantu.
Siapa suruh kau print hitam putih, Tihah oi. Dah tu pulak, dakwat tak terang dan tak jelas. Manalah nak jumpa hostel!
Aku keluarkan pula smartphone sebelum membuka applikasi Google Maps. Lagi senang. Ikut saja arahan suara.
Perjalanan diteruskan dan aku mula hanyut dalam dunia sendiri bila melihat reka bentuk bangunan dan pepohon yang ada di sekitar jalan. Pemandangan yang sungguh asing dan berbeza dari yang ada di Malaysia.
Inilah seronoknya bila pergi ke negara orang. Dapat tengok suasana di tempat asing itu adalah rezeki yang mahal harganya.
Aku angkat smartphone tinggi sebelum mengambil gambar sendiri yang berlatarbelakangkan bangunan oren di belakang. Selfie!
Gambar yang diambil aku pandang sesaat. Hodohnya senyum! Sekali lagi aku swafoto di tempat yang sama dan bila nampak saja gambar yang terhasil, aku mencebik sendiri.
"Ish, tak nampak pulak bangunan lawa ni..." Aku merungut tanpa sedar. "Hidung kembang. Ni pulak mata tertutup!"
Inilah yang aku paling tak suka bila swafoto. Ada saja yang tak kena. Macam manalah artis-artis dalam Instagram tu boleh dapat gambar lawa-lawa. Kalau nak dibandingkan dengan selfie aku, memang jauh beza.
Belum sempat aku nak cuba selfie untuk kali ketiga, satu suara asing menegur dari belakang.
"Nak saya ambilkan gambar tak?"
Hampir terlucut smartphone dari tangan dek terkejut yang amat. Laju aku pusing ke belakang sebelum menatap wajah yang tersenyum-senyum memandang.
Lelaki tadi! Kot ya pun nak offer, bagi salamlah dulu. Bila masa entah dia ada dekat sini. Nasib baik aku tak melatah lagi sekali.
"No thanks." Cepat aje aku menjawab sambil membuka kembali applikasi Google Maps yang ditutup tadi. Lain kali ajelah selfie dekat sini.
Tapi bila?
Aku nampak dia tersenyum nipis bila mendengar jawapan aku.
"Rugi datang jauh-jauh tak ambil gambar."
Ya, aku tahu. Memang logik apa yang dia cakap. Memang kalau boleh nak aje aku abadikan segala kenangan dekat negara orang ni banyak-banyak dalam gambar. Nak-nak pulak, ini trip pertama aku seorang diri.
Tapi...
Mata kembali merenung wajah tenang lelaki di depan. Entah kenapa bila terpandangkan sepasang mata coklat cair di sebalik cermin mata itu, hati aku terdetik sesuatu.
Apa ya? Aku pernah kenal ke dia ni?
"Awak bukan orang jahat, kan?" Kening terangkat sebelah. Perlahan-lahan smartphone dihulur ke depan.
"Terpulang pada apa yang awak nak fikir."
Dia senyum segaris sebelum menyambut huluran aku.
"Okey, ready."
Aku tarik nafas dalam-dalam. Kenapa rasa macam deja vu ni?
Bila nampak dia dah sedia untuk ambil gambar aku, cepat saja aku tegak di depan bangunan batu-bata merah yang cantik itu. Bangunan apa pun aku tak pasti.
Okey. Awkward. Sungguh aku awkward. Macam mana nak pose ni? Kalau dengan kawan-kawan bolehlah jugak aku buat gaya gila-gila. Gaya poyo-poyo.
"Apa pelik sangat senyuman awak ni?"
Dia tergelak di sebalik smartphone aku.
Laju aku mencebik. Kurang tatasusila betul. Dari tadi kerja dia membahan aku!
Cubaan kedua.
Aku senyum seadanya sambil memandang kamera. Orang di depan masih fokus dengan smartphone di tangan. Juga senyum. Puas hati agaknya dengan gaya aku tadi.
"Dah..." Smartphone diturunkan. "Dua pose je?"
Lambat-lambat aku mendekati dia yang masih tersenyum sebelum mengambil Oppo F5 yang dihulur.
"Dua je cukup." Aku senyum nipis bila nampak gambar yang diambil tadi. Cantik. Puas hati.
"Thanks," ucap aku perlahan. Langkah kembali diteruskan meninggalkan dia di belakang.
Beberapa tapak ke depan, sekali lagi aku menoleh. Dia masih santai berjalan di belakang sambil mengambil gambar pemandangan sekitar. Sesekali dia senyum sendiri bila melihat hasil gambar yang diambil.
Sempat aku menjeling kamera di tangan dia. Untunglah ada Fujifilm X-A5. Mahal tu! Dan bila sekali lagi pandangan bertaut, satu senyuman dihadiahkan kepada aku.
Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan ke depan. Hisy, kenapa menakutkan sangat senyuman dia? Menakutkan sebab mampu buat aku rasa selesa.
Dah kena pukau ke aku ni?
Gulp! Aku mula berdebar tak tentu arah.
Dengan rambut paras bahu yang hanya dilepas begitu saja, tiba-tiba matanya terbayangkan samurai dari negara Jepun!
Kenapa dia ambil jalan yang sama? Kenapa dia ikut aku?
Oh my, aku dah kena 'aim' ke ni? Nak minta aku jadi keldai dadah? Ataupun nak ragut aku? Nak rogol? Atau... orang tu pembunuh bersiri?
Somebody help!
Tanpa menghiraukan senyuman penuh makna dia, aku terus mempercepatkan langkah. Google Maps dijeling sekilas. Alhamdulillah. Hostel sudah semakin dekat!
Walaupun di sekitar bandar penuh dengan manusia yang lalu-lalang, tapi bila mengenangkan yang lelaki itu dah ikut aku sejak dari lapangan terbang, hati masih rasa tak tenteram.
Dekat negara asing ni, siapa yang nak tolong aku?
Dalam kekalutan, akhirnya sampai juga aku di depan bangunan hostel yang bertulis Britannia On Williams. Nafas ditarik panjang. Lega!
Tanpa membuang masa hatta sesaat, aku terus meluru masuk ke dalam. Harap-harap lepas ni orang tu tak ikut dah. Seram!
"Hello!"
Aku senyum, membalas senyuman lelaki di kaunter.
"Hi." Nafas masih tercungap-cungap dek kerisauan tadi.
Cepat-cepat aku keluarkan kertas bercetak nombor booking. Selesai mendaftar dan ambil kunci, aku terus ke pintu lif.
Alhamdulillah, dah selesai satu lagi perkara.
Sekurang-kurangnya, aku dah berjaya jumpa hostel untuk tidur dekat bandar Perth ni. Elok sahaja kaki diarah ke pintu lif, suara penjaga kaunter tadi kedengaran lagi.
"Hello!"
Aku menoleh ke belakang sementara menunggu lif terbuka. Bila nampak saja wajah lelaki yang sama, sekali lagi aku tergamam.
"Eh, awak!"
Serius, aku masih ternganga. Takkan berani sangat dia ikut aku sampai sini?
"Duduk sini jugak? Baguslah!"
Apa yang bagusnya? Bagus sebab nanti senang nak jadikan aku 'keldai dadah'?
Muncung aku dah panjang sedepa.
"Bilik mana?"
Pandangan dia jatuh pada kunci yang aku pegang. Dengar saja soalan dia, aku terus buat muka. Ingat aku bodoh sangat ke nak bagitahu semua?
'Ting!'
Pintu lif terbuka. Kaki melangkah masuk ke dalam perut lif sebelum aku menjawab.
"Rahsia."
Dia terus tersenyum penuh makna.

*****
Bersambung.....

Comments