Kita Akan Bercinta [Bab 5]



ABID sudah pun menunggu di atas kerusi kayu berhadapan dengan kaunter pendaftaran sewaktu aku melangkah keluar dari perut lif. Sempat juga aku hadiahkan senyuman kepadanya.
Berbahasa.
Dia yang ada di depan aku sekarang ini sama seperti dia yang tadi. Masih dengan rambut tak terurus, dengan jaket coklat tebal yang dibiarkan tidak dizip dan juga jeans lusuh.
Dia terus berdiri sebaik sahaja aku datang mendekati.
"Nak keluar macam ni?" tanya Abid.
Laju aje aku pandang diri sendiri.
Apa yang tak kena? Jeans dan T-shirt lengan panjang. Selendang pulak aku lilit macam biasa.
"Kenapa?"
Abid hampir ketawa bila mendengar soalan aku.
"Kat luar tu sejuklah."
Oh... pasal tu ke.
"Saya tahan sejuk." Cepat saja aku menjawab. Separa betul sebenarnya. Malas pulak rasanya nak naik ambil jaket aku tadi.
"Okey... Jangan ingat saya nak bagi pinjam jaket ni kalau awak sejuk nanti. Saya tak tahan sejuk." Tangan dia menyentuh jaket sendiri.
Aku buat muka.
"Tak ingin pun." Langsung tak terlintas dalam fikiran nak pinjam jaket dia.
Abid sekadar sengih dengan jawapan aku.
"Okey, jom."
Sebaik sahaja pintu ditolak, angin malam terus menyerbu muka. Aku ketap bibir bila suhunya lebih sejuk daripada yang aku jangka.
Pehhh! Sejuk dia lain macam!
Belum apa-apa lagi, aku sudah memeluk tubuh sendiri. Apahal malam ni sejuk pulak? Siang tadi elok je panas terik.
"Awak nak makan kat mana ni?" Aku mencipta soalan sebelum dia perasan yang aku dah kesejukan. Mata mula melilau ke arah papan tanda pada setiap kedai yang dilepasi.
Abid angkat bahu. "Entah. Kebab nak?"
"Kebab je?"
Meletus tawa dia.
"Kenapa?" Terpacul keluar soalan daripada mulut aku.
"Habis tu, awak nak apa? Nasi?"
Aku terdiam. Sebenarnya, perut aku ni dah lapar gila. Dalam flight tadi pun aku cuma sempat makan Nasi Lemak Pak Nasser je. Dan waktu tu masih lagi pagi. Sekarang, dah dekat isyak pun!
"Nasi kat sini mahal, cik kak oi. Tapi kalau awak nak makan jugak, saya bolehlah temankan. Tapi, saya makan kebab ajelah kat sebelah." Selamba dia menjawab tanpa memandang. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam saku jaket. Nampak selesa betul.
Kalaulah aku ikut cakap dia untuk pakai baju tebal tadi.
Aku mengeluh tanpa sedar. Bila angin malam sekali lagi menyapa tubuh, aku hampir menggigil kesejukan. Spontan kedua-dua tapak tangan digosok perlahan. Mencipta haba.
"Orang cakap sejuk, tak percaya..."
"Mana ada sejuk!" Kedua-dua tangan aku terus berhenti menggosok sesama sendiri.
"So? Nak nasi jugak ke?"
"Saya ikut awak makan kebablah," putus aku akhirnya. Lagipun, baru saja separuh hari aku dekat Perth. Takkan nak manjakan perut jamu nasi terus, kan?
Malam terasa dingin dengan cahaya lampu terang menerangi setiap bangunan yang dilalui. Beberapa orang tempatan yang melepasi aku dan Abid sempat melemparkan senyum ramah dan aku juga senyum membalas.
Tak jauh pun Abid bawa aku jalan. Hanya sekitar William Street, di luar kawasan Perth Library, Art Museum dan juga Perth Station, stesen kereta api kalau dekat Malaysia, macam KL Sentral lah.
Sebelum balik ke hostel, Abid singgah di kedai kebab halal dari Pakistan. Hampir terjojol keluar anak mata aku bila melihat harga yang tertera. Satu kebab dah AUD 8! Mak ai... baru sehari dah boleh kopak macam ni.
Kalau convert ke duit Malaysia, dua puluh ringgit lebih! Memang betul cakap Kak Hajar. Boleh bankrupt!
Abid tarik kerusi di salah satu meja luar dan mengarahkan aku duduk di situ.
"Memang dah rancang nak travel sorang ke?" soal Abid sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas kerusi.
Laju aku mengangguk. Malas nak bercerita panjang.
"Redah je ke, ada study pasal Perth?"
"Mestilah study!"
Abid sengih sebelum membuang pandang ke sekitar kedai.
"Dah tu, takkan tak tahu kebab dekat sini mahal?"
Nak mengata akulah tu.
"Tau..." Teragak-agak aku menjawab. Kedua-dua tapak tangan tanpa sedar menggosok lengan sendiri.
"Takkan tak tahu malam dekat sini sejuk?"
Bibir digigit perlahan. Kantoi! Sebenarnya, banyak perkara juga yang aku skip waktu baca pasal Perth. Niat di hati nak pilih info yang penting-penting. Rupanya semua info penting!
"Manalah saya tahu sejuknya sampai tujuh darjah celcius!"
"Sejuk jugak rupanya. Tadi cakap tahan sejuk." Dia ketawa perlahan.
"Saya tahan sejuklah." Aku masih nak menang walaupun sah-sah aku nampak kesejukan.
"Okey." Abid mengangguk-angguk penuh makna.
Pesanan kebab siap dan tanpa menunggu walaupun sesaat, aku terus mengisi perut yang dah lama bergendang minta diisi. Masing-masing makan tanpa suara dek kelaparan dari tengah hari.
Elok juga aku dapat kebab malam ni. Kalau hanya beralaskan perut dengan Maggi cup, aku sendiri tak tahu berapa lama aku boleh bertahan.
"Esok pergi mana?" Abid melipat kertas pembalut kebab yang dah habis dimakan sambil ralit memandang aku menghabiskan baki kebab yang ada.
Cepat betul dia makan!
"Pusing bandar ni je. Naik CAT bus, free." Aku menjawab tenang sebelum kembali menggigit kebab. Nikmatnya!
"Lepas tu?" Kertas pembalut yang dilipat kecil tadi diletakkan di tengah-tengah meja. Matanya masih tepat memandang aku.
"Hmm... pergi Caversham Wildlife Park. Lepas tu Fremantle." Aku masih sibuk mengunyah. Satu per satu senarai tempat yang aku dah buat diluah pada Abid. Janganlah tanya banyak-banyak.
Aku berjaya sampai dekat sini pun dah jadi kejayaan besar, tahu?
"Oh... then?"
"Mungkin pergi city beach kot." Hisy, ada lagi soalan dia ni.
"Jalan area sini je?" Berkerut-kerut dahi dia memandang aku.
Aku angguk. Nak pergi jauh-jauh, katanya tak ada public transport. Macam nak ke pinnacles tu... sand dunes ke...
Sejak dari rumah lagi, aku dah reda kalau tak dapat ke sana. Yalah, nak kena sewa kereta pulak kalau nak ke Pinnacles dan Lancelin. Kalau aku dengan kawan-kawan bolehlah juga kongsi sewa kereta dan buat road trip sampai sana.
"Tak sewa kereta ke pergi luar Perth?"
Soalan dia membuatkan aku berhenti mengunyah.
"Southern Perth tu lawa. Rugi kalau tak sampai. Sesetengah tempat dekat Northern Perth pun cantik jugak." Beria-ia Abid bercerita. "Kalau awak minat pada nature la." Sambung dia lagi.
Minat! Tapi...
"Saya jalan dengan public transport je."
"Kereta dekat sini sama dengan Malaysia jugak. Plus, highway dia tak banyak kereta sangat. Kalau awak ada bajet lebih, sewa je kereta. Pusing satu Perth. Memang takkan rugi!" Abid masih lagi dengan topik 'sewa kereta' dia.
"Saya tak ada lesen."
Dengar saja jawapan aku, Abid ternganga.
"Seriously?" Boleh nampak dia simpan tawa, tapi ditahan.
Aku buat muka bosan.
"Umur berapa ni? Takkan tak ada lesen lagi?"
Kurang tatasusila betul!
"Berdosa ke kalau tak ada lesen? Ada lesen tu syarat untuk hidup ya?" Sempat aku isi perisa perli dalam soalan tadi. Suka sangat nak kutuk aku!
"Tak adalah berdosa ke apa..." Terlepas tawa dia walau perlahan. Air mineral yang dia beli tadi diteguk seketika.
"Sebenarnya ada je. Tapi saya tak berani bawak dekat tempat asing. Kereta saya gerak dari rumah-ofis. Ofis-rumah. Tak pun, taman sebelah sebab nak pergi supermarket. Tempat lain tak berani. Apa lagi dekat sini." Aku buat muka.
Dah kenapa pulak aku kena terangkan panjang lebar pasal ni pada dia?
"Kalau macam tu..."
Dia tutup air mineral sambil merenung wajah aku.
"Kalau macam tu, apa?" soal aku tak sabar.
"Nak ikut saya buat road trip tak?"
Dengar saja pelawaan Abid, mata aku terus bersinar. Inilah orang cakap, bila mengantuk disorongkan bantal!
Aku semakin teruja. Bila dengar cerita dia pasal Southern Perth tadi, aku terus jadi tak keruan. Nak tengok jugak!
"Tapi bukan esoklah. Saya sewa kereta lusa. Esok saya nak ke Caversham Wildlife Park dulu dengan tren. Kalau you nak, kita kongsi sewa kereta dan minyak, okey?"
Keterujaan aku surut sedikit.
Ceh! Ada udang di sebalik mi rupanya. Patutlah dia ajak aku sama.
What do you expect, Tihah?
Mestilah dia pun nak cari orang untuk kongsi sewa kereta. Bukan aku saja yang nak berjimat. Lagipun, siapa aku ni dia nak belanja bawa pusing Perth free?
"Tapi kalau awak nak jalan sekitar city je, tak apa. Tapi rugilah tak dapat jelajah bahagian Southern Perth sana."
"Sewa kereta berapa?" Laju aku menyoal. Nak kena kira jugak bajet yang ada. Itu hari pun, aku tukar duit tak adalah banyak mana. Memang untuk bajet jalan-jalan dekat bandar saja.
"Nanti malam ni saya kira. Nak ikut?"
"Kalau berpatutan, saya ikut."
"Alah, pengalaman tengok tempat orang tak ternilai. Rugi kalau dah sampai sini, tapi tak jelajah."
"Ya, ya. Dah banyak kali awak cakap."
Abid senyum nipis.
"Awak kerja apa kat Malaysia?"
"Huh, kenapa?" Dia kerut dahi dengar soalan tiba-tiba daripada aku.
"Saya kenalah tahu jugak dengan siapa saya nak buat road trip ni. Karang tak pasal-pasal awak jual saya pulak."
Laju Abid menggeleng sebelum terlepas tawa daripada bibir.
"Awak punya imaginasi memang luar alam betul. Ingat untung ke kalau jual awak ni?"
Aku mencebik.
"Awak ingat kalau saya betul-betul jahat, saya nak mengaku ke yang saya jahat?"
Aku buat-buat tak dengar. Baki kebab tadi dimasukkan ke mulut sebelum aku mengunyah perlahan.
Ya... ya... aku tahu aku over berfikir.
"Tak nak bagitahu, sudah." Aku tak nak kalah.
"Cukuplah awak tahu yang saya buat kerja halal."
Aku tak menjawab. Kertas pembungkus kebab tadi turut dilipat menjadi kecil dan diletakkan di tengah meja.
"Jom balik."
"Eh, baru pukul 9.00. Tak nak jalan lagi?" Kening Abis terangkat seinci.
"Penat." Aku mencipta alasan. Sebetulnya, aku sejuk! Menyesal sungguh aku sarung t-shirt lengan panjang saja. Kalaulah aku capai jaket tadi sama, tak adalah aku kesejukan macam ni.
Dah hampir beku jari aku dengan cuaca malam dekat sini.
"Saya nak jalan sikit lagi ni. Kalau awak nak balik, saya hantar depan hostel." Abid bersuara tenang.
Dia tak sejuk, bolehlah nak jalan-jalan lagi.
"Nak jalan pergi mana?" Alah, ruginya tak dapat jalan lagi. Malam dekat Perth sebenarnya seronok jugak. Nak pulak bila esok hari minggu. Ramai orang keluar buat aktiviti masing-masing.
Suasana pun best. Meriah. Sayangnya kalau balik dah.
"Awak sejuk kan sebenarnya?" Abid menduga sambil memandang aku.
"Awak jalan ajelah. Saya balik sendiri."
Bila nampak aku dah mula berdiri, dia turut sama bangun dari kerusi. Kedua-dua pembalut kebab tadi dicapai dengan tangan kanan sebelum dia membuka jaket yang dipakai.
Jaket tadi diletakkan di atas meja dan ditolak ke depan aku. Spontan kening aku bertaut.
Apa maknanya ni?
"Nah. Nanti balik Malaysia awak viral pulak cakap jejaka Melayu tak gentleman. Biarkan gadis kesejukan di Perth."
Aku hampir tenganga. Bukan sebab terkejut dia bagi aku jaket, tapi sebab tajuk yang dia cakap tadi. Sempat pulak otak dia cipta tajuk entah apa-apa tu. Aku sendiri pun langsung tak terfikir nak viral apa-apa.
Ingat aku ni tipikal netizen yang 24 jam dengan smartphone dan cari peluang nak bash orang ke?
"Pakai ajelah. Baju saya ni pun dah cukup tebal. Baju awak tu je yang nipis. Tahan sejuk konon..."
Aku ketap bibir, geram. Ni nak bagi ke tidak?
"Take it, Fatihah. Kalau esok awak tiba-tiba demam, awak jugak yang susah. Saya tak ada hal. Masih boleh jalan-jalan dengan gembiranya." Abid senyum nipis. Cuba pancing aku.
Nak tak nak, aku capai juga jaket kulit Abid dari atas meja. Memang tak boleh nak ego dah. Dingin malam di sini bukan tahap main-main. Betul juga cakap dia. Dibuatnya kena selesema, esok memang terbaring dekat katil sajalah jawabnya.
Rugi tak jalan-jalan bila dah sampai sini!
Aku nampak dia tersenyum saat jaket tadi aku sarungkan ke badan. Bau minyak wangi yang dipakainya terus menusuk hidung. Fresh.
Tapi, rasa pelik pulak bila aku pakai baju lelaki. Kalau tahu dek Anum dan Kak Hajar ni, maunya dia orang pelik setahun.
Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum memandang Abid di depan.
"Puas hati?"
Abid sekadar angkat bahu dengan senyuman yang masih belum padam.
"Suits you well." Komen dia ringkas. "You're welcome."
Aku pandang tubuh sendiri. Bolehlah.
Lagipun jaket ni macam unisex je. Lelaki dan perempuan boleh pakai. Tak adalah janggal sangat rupa aku pakai ni.
"Thank you." Hari ni saja dah berapa banyak 'thank you' yang dia dapat daripada aku. Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam saku jaket. Macam ni barulah selesa nak pusing-pusing bandar Perth.
"Jom, kita jalan kawasan sana pulak." Plastik pembalut kebab dibuang ke dalam tong sampah yang berdekatan. Jari telunjuknya melurus pada jalan yang bertentangan dengan laluan yang kami dah singgah tadi.
"Awak okey ke tu? Tak sejuk?"
Aku melirik ke arah dia di sebelah. Baju putih gaya Shah Rukh Khan dalam Mohabbatein tu nampak kena betul di badan dia.
"Kenapa? Awak takut saya pulak yang selesema?" Dia jawab soalan aku dengan soalan. Langkahnya diperlahankan mengikut rentak langkah aku.
"Bukan apa, kalau awak tak sihat esok, tak ada pulak tour guide yang boleh bawa saya pusing Perth ni percuma." Laju aku menjawab. Rasanya tadi dia juga yang cakap dia tak tahan sejuk. Kalau dia betul-betul selesema esok, habislah aku.
"So, jadilah nak share bayar sewa kereta dengan saya ni?"
Lambat-lambat aku membalas pandangan matanya sambil mengangguk.
Dan Abid terus tersenyum.

-----Bersambung.....

Comments