OKAY. SEKARANG tak ada
lagi Zack, tak ada lagi Mail. Kalau ikut logik akal aku sepatutnya menjerit
kegembiraan dan melompat keriangan.
Kan?
Tapi
lenapa bibir payah sangat nak cipta senyum perisa gula?
Aku
tahu aku sepatutnya bersyukur sebab dah dilepaskan. Apa yang aku nak lagi ni?
Kedua-dua
tangan dibawa ke kepala tanpa sedar. Laju aku menggaru kepala kuat. Sikit lagi
aku nak menjerit bila bekas jahitan pada lengan terasa pedih.
“Cik
okay ke?”
Aku
angkat kepala, memandang tuan punya suara yang bertanya. Sebelah tangan menguak
rambut yang serabai ke belakang. Jururawat yang bernama Liana tadi menjenguk
dari kaunter.
Aku
mengangguk perlahan dengan senyuman nipis, tanda tak ada apa-apa. Risau jugak
kalau dia orang ingat aku tiba-tiba hilang akal lepas kena tiga jahitan.
Tapi,
memang aku hampir hilang akal pun. Ada ke patut aku harap penculik tu datang
jemput aku?
Tak
patut, kan?
Aku
mula bersandar pada kerusi.
Lama
aku termenung memandang jam pada dinding klinik. Kosong. Aku sendiri tak tahu
apa yang aku rasa. Plastik ubat sudahpun berada di tangan aku pegang kemas. Dua
tiga pesakit yang baru sahaja memasuki ruang klinik mencuri pandang beberapa
kali.
Budak dekat kaunter pendaftaran tu pun dah banyak kali
menoleh. Sikitpun aku tak hiraukan. Biarlah aku ambil masa. Biarlah aku
pulihkan fikiran dalam kepala.
Aku melepas nafas perlahan. Plastik putih yang bercop
nama klinik itu aku pandang lama. Alamat yang tertera pada tulisan berwarna
biru tua itu membuatkan dahi aku berkerut lebat. Aku dekat Bangi rupanya. Jauh
betul dengan rumah aku.
Sekali lagi aku memandang jam pada dinding. Masih lagi
pada nombor yang sama. Aku mula berdiri dan terus keluar dari Klinik Dr. Rajan.
Lama aku termenung di situ. Aku tahu Zack takkan datang ambil aku.
Patutlah dia suruh aku bawa beg tangan sama tadi.
Patutlah dia suruh aku bersiap sebelum keluar tadi.
“Cik nak saya panggilkan teksi?” sekali lagi suara Liana
mencelah.
“Hah?” laju aku menoleh ke belakang. Liana senyum lebar
dengan beberapa fail di tangan.
“Atau cik ada tunggu sesiapa datang ambil?” sekali lagi
dia menyoal tanpa menjawab soalan aku.
“Boleh panggilkan teksi ke?”
Aku nampak Liana senyum segaris sambil mengangguk. “Kami
ada beberapa nombor telefon teksi kalau cik nak.”
Aku melepas nafas perlahan. suasana di luar klink gelap
gelita. Nak cari teksi sendiri memang sudah. Lagipun, dah hampir pukul sepuluh,
dia orang pun dah nak tutup klinik. “Bolehlah.”
Tak lama pun aku menunggu. Tepat jam sepuluh, sebuah
teksi berhenti di hadapan klinik. Melihatkan Liana mengangguk, aku terus meluru
masuk ke dalam teksi. Bangi ke rumah aku. maunya sejam jugak aku dalam teksi
ni.
Kopakla aku…
“Mana dik?”
“Er, pergi Segambut tak pakcik?”
“Segambut?” dahi pakcik itu berkerut. “Jauh tu dik.”
“Saya tau…” aku berhenti sesaat. Memang pun jauh. Tapi
apa yang aku boleh buat? Kalaupun aku tunggu dekat klinik ni sampai esok pagi,
aku kena cari teksi jugak nak balik rumah. susahnya tak ada kereta… “Kalau
pakcik tak boleh pergi, tak apa. saya faham.”
“Naik ajelah. Kamu nak cari teksi macam mana malam-malam
macam ni. Nak kena culik?”
Aku terdiam. Culik. Saya memang dah kena culik pakcik…
KUNCI RUMAH, ada. Kunci
kereta pun ada. Dompet aku pulak memang sama saja isinya sebelum dan selepas
aku dilepaskan. Cuma telefon bimbit aku aje yang gelap gelita, tak ada bateri.
Aku mengeluh lagi. perlahan-lahan aku memasukkan kunci
pada lubang pintu. Tak sampai sesaat, pintu bilik terbuka luas. Dengan langkah
longlai, aku masuk juga tanpa membuka lampu.
Gelap. gelita. Sunyi tanpa suara.
Hanya lampu koridor yang terbias menjadikan keadaan ruang
tamu menjadi samar-samar. Lebih kurang cahaya rumah Makcik Wan…
Ya Allah. Apa aku fikir ni? aku dah terlepas. Aku dah
bebas. Zack dah lepaskan aku.
Kenapa aku kena fikir pasal dia lagi?
Aku melabuhkan punggung di atas sofa dan meletakkan
bungkusan ubat ke atas meja. Lama aku merenung TV yang gelap gelita,
menenangkan diri.
Semua
ni terjadi cepat sangat. Pagi tadi aku masih mogok lapar waktu mereka belikan
sarapan. Maghrib tadi aku masih mencuka bila Mail kejut untuk ke klinik.
Waktu dekat klinik tadi, Zack masih ada bersama.
Dan sekarang…aku dekat rumah sewa sendiri!
Bukan ke aku patut tepuk tangan kuat-kuat sebab dah
bebas? Bukan ke aku patut charge telefon aku sekarang dan maklumkan dekat semua
orang?
Dan, bukan ke aku patut senyum sekarang?
Sekali lagi aku mengeluh. Sungguhlah. Bila makin aku
fikir, makin aku terasa serabut. Dengan kudrat yang berbaki, aku terus mengatur
langkah ke bilik tidur. Seharian aku tak mandi. Seharian aku pakai baju ni.
Aku perlu segarkan diri. Aku perlu betulkan balik kepala
yang dah senget dengan apa yang dah jadi hari ni.
Lampu bilik tidur dibuka sebelum aku melemparkan beg
tangan ke atas katil bilik yang dah hampir dua minggu aku tinggalkan itu terus
terang benderang. Mata aku terpandang ke arah beg troli yang dikeluarkan dari
stor sebelum aku pergi kerja dulu.
Beg troli untuk ke Sabah.
Dan beg troli tu masih disitu tidak berusik.
Keluhan terkeluar lagi tanpa sedar. Aku menarik handphone
yang gelap gelita keluar dari beg tangan dan terus dipasangkan pada pengecas.
Sempat aku menekan lama butang ‘on’
sebelum mencapai tuala yang tergantung pada kepala katil.
Aku tak boleh terus menerus macam ni. Aku tak boleh lemau
macam ni. Aku sepatutnya telefon semua orang dan bagitahu yang aku selamat.
Mak, abah. Angah dah selamat. Angah dah selamat!
SELESAI MANDI, aku
terus menyarungkan baju tidur dan membungkus kepala dengan tuala. Handphone
yang masih terlekat dengan wayar pengecas aku capai sambil berbaring.
Mesej pertama yang aku cari adalah mesej dari Benjamin.
Puas aku scroll
ke atas dan kebawah. Tak ada!
Jari jemari laju membuka applikasi WhatsApps pula. Pun tak ada.
Takkan Zack dah delete semua mesej Ben? Tak patut betul!
Mulut aku mengomel tanpa sedar, tak puas hati. Mata mula
membaca semua mesej yang ada. Tak banyak pun sebenarnya.
Daripada
Kak Melati,
“Salam
Norah, kau dekat Sabah, kan? Akak nak kirim rantai mutiara boleh? Kau pilihlah
mana yang cantik. Balik nanti akak bayar.”
Daripada Abang Bidin,
“Kenapa
tak bagitahu aku kau cuti? Puas aku cari dekat ofis, kau tak ada. Aku nak cari
stapler pun tak jumpa. Jangan lama-lama dekat Sabah tu. balik cepat.”
Sabah…hancur terus impian bercuti aku. Abang Bidin ni
pun, kalau sehari tak ada barang hilang, memang tak sah!
Daripada
Abang Bidin lagi,
“Aku
nampak kereta kau dekat parking ofis. Kau biar betul tinggal kereta dekat sana.
Lama pulak tu. bahaya tahu tak?”
Kereta aku! Aku hampir lupa yang kereta aku masih dekat
bangunan pejabat. Ya Allah, janganlah ada yang buat jahat pada Viva aku tu…
Mata kembali menatap skrin telefon yang baru sahaja 10
persen di cas.
Daripada
Abang Bidin lagi dan lagi,
Kau
ni bercuti tak ingat dunia. Orang lain pun bercuti jugak. Sepatah mesej pun kau
tak boleh nak balas. Kau jangan lupa belikan aku fridge magnet macam yang kau
beli dekat Expo Doraemon dulu tu.
Ketawa aku pecah juga. Abang Bidin ni la…
Daripada Qila,
Angah,
kau dah ada baju belum untuk majlis nanti? Kalau tak ada, Qila ada belikan kain
lebih.
Kening aku terangkat seinci. Majlis apa pulak yang aku
dah lupa ni?
Oh Em Gee!
Majlis resepsi belah Nick! Dah lepas ke belum majlis tu? Harini dah berapa hari
bulan?
Mata kembali menatap telefon di tangan.
Daripada Wanda,
Angah,
Makngah dengan Pakngah bising tak dapat call. Angah jadi pergi Sabah, kan? Tapi
kenapa orang call pun tak dapat. Takkan dekat Sabah tak ada line langsung?
Spontan aku mengeluh. Kesian mak dengan abah. Kalau dia
tahu aku kena culik, lagi dia orang risau.
Tumpuan kembali semua ke skrin.
Daripada
Qila lagi,
Angah,
jangan lupa balik dari Sabah terus pegi One World Hotel. Nick dan tempah bilik
untuk family kita. Touch down je datang terus, tau. Baju semua Qila dah
siapkan.
Aku bangun dari baring dan duduk bersandar pada kepala
katil. Okay, plan asal, aku pergi Sabah, bercuti. Dan balik dari Sabah, aku
kena pergi majlis persandingan belah keluarga Nick dekat KL.
Dan tarikhnya…
Aku membuang pandang ke arah kalendar besar yang
tergantung di sebelah meja solek. Mata beralih pula pada tarikh yang tertera
pada telefon bimbit di tangan.
Esok!
Majlis resepsi dia orang esok!
Ya Allah! Nasib baik Zack lepaskan aku harini. Kalau tak,
aku boleh bayangkan bertapa kecohnya keadaan esok. Aku boleh bayangkan mak
dengan abah akan tertanya-tanya.
Tak
mustahil dia orang semua buat report polis.
Dan,
bila muka aku keluar TV, tak mustahil Azman botak tu datang bunuh aku.
Berkali-kali
aku mengucap syukur dalam hati. Sekurang-kurangnya tak ada yang perasan aku
hilang. Tak ada yang akan risau.
Hebatnya percaturan Allah…
AWAL-AWAL PAGI lagi aku
bersiap untuk ke Hotel One World. Bermacam-macam alasan aku karang dalam
kepala, bersedia kalau-kalau ada yang tanya mana aku hilang dua minggu ni.
Sampai di lobi hotel, cepat-cepat aku keluar dari teksi
sebelum ada saudara aku yang nampak. Kalau tak, lagi banyak alasan yang
aku ke cipta.
Kata Qila semalam, majlis bermula pada pukul dua petang.
Sengaja aku datang awal sebab nak ambil hati mak dengan abah.
Haraplah mak dengan abah tak banyak tanya. Aku tak
mampu nak tipu banyak-banyak.
“Angah, kan?”
Baru aje jari ingin menekan butang lif, satu suara
menegur dari belakang. Aku berpaling sebelum menangkap wajah bersih suami Wanda
yang tersenyum.
“Nick?”
Nick senyum nipis, mengangguk. “Semua ada dekat atas.
saya pun nak naik ni.”
Oh… aku sempat menjeling jam besar pada lobi hotel. Baru
pukul lapan pagi sebenarnya. Awal pulak Nick sampai sini.
“Majlis pukul dua, kan?”
Nick mengangguk lagi. belum sempat dia membuka suara,
pintu lif terbuka luas. Aku terus melangkah masuk ke dalam perut lif dan membiarkan
dia menekan butang tutup.
“Dari Sabah, kan? Maaflah sebab kacau holiday angah.”
Bibir mula mengoyak senyum bila mendengar dia
membahasakan diri aku ‘angah’. Tiba-tiba aku terasa tua. Padahal, kalau tak
silap, Nick lagi tua dari aku.
“It’s okay.” aku
menjawab perlahan. Tolonglah jangan sesiapa ungkit lagi pasal percutian
berdarah aku ni.
Suasana kembali sunyi. Aku dah tak tahu nak cakap apa,
dan Nick juga mungkin dah hilang kata.
Tak sampai seminit, pintu lif terbuka luas menampakkan
koridor hotel yang bersih dan tersusun. Untung sungguh Wanda. Untung sebab ada
suami yang sanggup belanja satu keluarga duduk dekat hotel ni.
“Angah!!!”
Sikit lagi aku nak terkeluar latah aku. Wanda. Dah jadi
isteri orang pun boleh selamba aje menjerit. Depan suami dia pulak tu.
“Apahal bercuti dalam gua, hah? Terputus dengan dunia
luar. Apala angah ni…” Wanda mula membebel panjang. “Eh, hai awak.” Sempat lagi
dia menhadiahkan senyuman paling manis untuk Nick yang berjalan di belakang
aku.
Aku hanya mampu tersenyum melihat kebahagian dia.
Walaupun jarang jumpa, aku kenal sangat dengan perangai Wanda ni. Terlalu
rendah diri. Macam mana dia boleh pikat
Nick pun aku tak tahu.
“Mak dengan abah angah ada?”
Wanda mengangguk laju. “Makngah ada dekat bilik sebelah.
Ni bilik lelaki. Sana tu bilik semua perempuan. Untuk kita-kita aje.” Dia
sempat mengenyitkan mata. “Angah dah sarapan belum? Kalau belum jom ikut
kitaorang sarapan.”
Aku memandang ke arah Nick dan Wanda bersilih ganti.
Patutlah pagi-pagi lagi dah terpacak dekat hotel. Nak sarapan sama-sama
rupanya.
“Angah dah makan. Kau orang pergi je lah. Angah masuk
bilik dulu. Bak sini kunci”
Access card
bertukar tangan. Aku menghantar langkah Nick dan Wanda ke pintu lif dengan
pandangan mata. Sukanya tengok dia orang bahagia.
Aku? Entah bila aku dapat rasa.
Dan rasanya aku patut mula balik misi cari pengantin
lelaki yang tergendala sebab Zack dan Mail tu…
Spontan aku mengeluh bila teringatkan Zack dan Mail.
Entah
apa yang dia orang makan untuk sarapan pagi ni.
SAMA SEPERTI yang
dirancang, tepat pukul dua petang Wanda dan Nick beriringan masuk ke dalam
dewan dengan iringan kompang. Keluarga yang lain semuanya dah selamat duduk di
meja VIP, paling depan kecuali aku dan Qila.
Sengaja kami berdiri di pintu besar, konon nak jadi
dayang-dayang menyambut raja dan permaisuri.
Kononlah.
Melihatkan langkah mereka menuju ke pelamin, sekali lagi
aku tersenyum. Mungkin tahun depan majlis aku pulak?
Mana tahu, kan?
Aku dan Qila mula melangkah menyertai yang lain di meja
VIP. Tiba-tiba, langkah aku terkaku bila
terasa ada yang memerhati. Perlahan-lahan aku menoleh ke kanan sebelum dapat
menjamah wajah yang tidak beriak di suatu sudut. Lama dia memandang aku, tak
bergerak. Dada terasa berdebar kuat.
Lelaki yang segak berbaju melayu hijau muda dengan samping
hitam perak itu mengatur langkah mendekati aku. Aku masih lagi tak mampu
bergerak. Pasangan pengantin yang memasuki dewan tadi sudahpun selamat tiba di
atas pelamin.
Aku masih disitu, menanti dia mendekati.
Qila yang dari tadi berada di sisi juga dah hilang entah
ke mana.
Dan akhirnya, lelaki tadi tegak berdiri di hadapan aku
dengan riak wajah yang sama.
Aku melepas nafas perlahan. Sedaya upaya aku memberanikan
diri membalas renungannya. Lidah terus kelu untuk berkata-kata.
“Benjamin…”
11 comments:
Ben...... gile mamat tu ..... memang patut pun bukan dgn ben kalau tidak mampus makan hati dgn mamat yg tak mrnyempat..... bukan serious pun nak ngan kita kalau macam tu punya perangai
Dok teringat kat zak kaa??? Boleh senang ka hidop dgn orang macam tu..... susah nanti jadi buruan tak polis ...gangster kg dusun dok kejo.....
Harap apa yg berlaku ada kebaikan .... cari yg lain laa bukan Zack a.k.a Zaki
hehehe komen terbaik setakat ni =)
ya stuju..ni komen terbaik selama ni. nak baca nvel hdup ni biar realistik. takkan org bekerjaya mcm Naurah ni nak pilih penculik yang hidup jdi buruan polis dan juga makan duit haram. tapi kalo sekadar pembaca yang cuka bayang2, fantasi bagai mmg akan sokong Zack
>>k<<
Ala.. Nak Zack ngan norah jugak.. Biarla Zack penculik pun.. Hihi
k & Hanim
=) hehehe. kita tunggu ap y jadi lepas ni eh <3
mesti ada hikmah disebalik semua kejadian ni kan Nurah... mungkin Ben bukan yg terbaik buat Nurah.. baru 2 minggu dah dapat penganti... carilah pencinta yg setia...
yea akak tetap suka naurah ngan zack huhu..(biul betul akak ni dengan penculik pun suka. penculik berhati mulia...hehe)..mana tau kan zack akan berubah dan terus bertaubah selepas menculik naurah..next n3 please..
--Dg Siti--
Nampak sgt x ikhlasnya Ben ni...
nasib baik x jadi dgn Ben..
Haihhhhh..... asik igt zack aje ni...
dalam hati tmn menjelma ke???
tp saya suka.......
tq illa.......
k sue
Baik, norah akan cari, hee
K Dg Siti
Haa, illa pun suka zack. haha. jom2 tau apa jadi seterusnya
Nana Nn
Tq suka dan sama-sama! =)
First of all...
Amboi hang ila..lama benor menyopi.penat den duk buka tutup blog hang ni hehe..sekali up n3 penat cheq nk marathon..ape2 pn...terima kasih la na..cayam illa..
-noriatul-
K noriatul
tengah gatal jari. Hihihi. Tq!
Post a Comment