Wednesday 22 January 2014

Sesaat Kau Datang

Macam biasa, cerpen lama =)



***

DAH LAMA RASANYA dia tak senyum lebar macam ni. Dia tak sangka pula Hanip sanggup beli ubat untuk dia. Nampak macam tak kisah pun kalau dia demam. Bungkusan putih yang baru diserahkan oleh Mia tadi dipandang lagi. Demam terus rasa nak kebah walaupun sebiji ubat pun dia tak telan.
            Kalau dia framekan ubat-ubat tu gantung dalam bilik boleh tak? Hehehe.

‘Nina, baik kau makan ubat ni sampai habis. Aku dah bosan duduk dalam kelas ni tak ada kau.’

            Nota yang terselit di celah-celah ubat tadi dibaca lagi. Huh, cakap je la rindu. Dia sengih lagi. selimut ditarik menutupi badan. Sejuk! Hai demam, sila lah kebah. Dia pun dah naik bosan duduk dekat rumah.
            “Best la kan. Demam pun ada yang tolong belikan ubat. Air 100plus, roti, makanan.” Kak Sarah tiba-tiba masuk. Dia senyum meleret. Terus dia duduk di atas katil. Dahi Nina disentuh dengan belakang tapak tangan. Masih panas ni. “Nina tak makan lagi ubat yang Anip bagi?”
            Nina geleng. Dia sengih. “Sayang lah nak makan.”
            Tangan Kak Sarah laju je menampar bahu Nina. “Jangan nak sayang-sayang sangat. Ubat yang dia bagi tu, untuk makan. Bukan untuk diframe.”
            Nina ketawa. Kak Sarah ni. Macam tahu-tahu je orang nak framekan tadi. Huhu. Kak Sarah ni senior 2 tahun dari dia. Dalam rumah sewa ni kira Kak Sarah lah yang paling tua. Ini pun sem terakhir dia. Habis je final nanti dia akan nikah. Bestnya Kak Sarah, Abang Nazeem sanggup tunggu sampai Kak Sarah habis belajar. Rasanya dah lama mereka kenal, adalah dalam lapan tahun kut. Abang Nazeem pun selalu lepak dengan dia. Dah jadi macam abang sendiri dah.
            “Nanti Nina makan kak. Nak tidur kejap ni.” Dia mengiring ke kanan. Tangan Kak Sarah masih lagi berlari-lari di dahinya. Best pulak Kak Sarah urut macam ni.
            “Tak ada. Akak dah masak bubur nasi ni. Kejap lagi masaklah tu. Nina kena makan. Lepas tu makan ubat yang Anip kasi tu. Then, kalau nak tidur mimpi Anip pun, tidurlah.” Kak Sarah bingkas bangun. Periuk bubur nasi yang dia masak tadi masih lagi dibiarkan panas dengan api kecil di atas dapur.
            Nina sengih dalam hati. Ada ke suruh mimpi Anip. Tak pernah-pernah dibuatnya mimpi Anip. “Okay kak.”
            Kak Sarah keluar dari bilik. Senyuman Nina makin lebar. Tapi kalau mimpi Anip pun okay jugak, kan? Dah berapa hari tak jumpa dia. Huhu.

***
“KAU BUAT APA sampai demam seminggu weh?”
            “Mana lah aku tahu. Sudah tersurat aku demam seminggu nak buat macam mana.” Nina sengih. Beg sandangnya diletakkan di atas meja. Kejap lagi masuk la Encik Wafi tu. Lecturer Environment Engineering.
            Anip duduk di sebelahnya. Macam biasa. “Bosan kau tahu tak. Aku dah rasa macam tunggul dalam kelas ni. Duduk diam je.”
            Nina ketawa kecil. “Yang kau jadi tunggul tu kenapa? Kenapa tak bersembang je dengan budak-budak tu?” mulutnya dimuncungkan kepada dua,tiga orang pelajar lelaki yang duduk selang 2 meja dihadapan. Tshirt yang dirasakan terangkat ditarik ke bawah.
            “Alah, kau bukan tak tahu, dia orang mana nak bersembang waktu kuliah.” Anip merungut. “Kau aje lah yang teman aku bersembang tatkala mataku sudah layu menghadap nota lecturer conteng dekat papan putih berkilat tu.”
            Buku nota dilayangkan ke bahu Anip. Boleh bercekerama pulak. “Itula. Orang waktu kuliah, belajar. Nak sembang waktu sembang la.”
            Anip mencebik. “Elleh, macamlah kau tu belajar sangat. Kau ingat mata aku buta, tak nampak kau main game dekat hanphone?” Anip sengih keji.
            “Heh, rahsia kerajaan aku tu.” Nina ketawa. Lengan baju disingsing. Panas pula dalam dewan ni.
            Pintu dewan kuliah tiba-tiba dikuak dari luar. Encik Wafi yang kemas berkemeja masuk dan memberi salam. Ketawa Nina automatik terhenti.
            “Habis ni teman aku pergi library kejap eh?” Perlahan Anip berbisik.
            Kening Nina terangkat. “Nak buat apa?” Memang dia tak percaya Anip ajak dia pergi library. Selama ni bukan main liat dia nak jejak bangunan sekangkang kera tu.
            “Kau teman je la.”
***

“KALISHA.”
            Nina menyambut salam dengan senyuman. Wah, siapa pulak Kalisha ni. Muka Anip yang senyum meleret dari tadi dipandang. “Siapa ni weh?”
            “Kalisha ni junior aku dulu dekat sekolah. Dah lama tak jumpa ni.”
            Kalisha senyum. “Baru daftar bulan lepas. Tak sangka pulak jumpa Abang Anip dekat uni ni.”
            Nina mengangguk faham. Kiranya jejak kasih la ni. Huhu. “Kalisha ambil course apa?”
            “Kau panggil Sha je weh. Berbelit lidah nak sebut nama penuh dia.” Anip menyampuk.
            “Haah kak. Panggil Sha je.”
            Nina sengih. Suka-suka je dia panggil kak. Kekok pulak bunyi dia. Mana pernah orang panggil dia kak. Dekat rumah pun dia yang paling muda. “Okay. Sha. So, course apa?” bukan nak tahu sangat pun. Tapi sekadar berbasa basi orang cakap. Huhu, orang berbudi, Nina kena berbahasa. Budi bahasa budaya Nina, tak gitu? Eheh.
            “Kimia. Engin. Sama, kan?”
            “Oh.. okay la tu.” Dah tak tahu nak cakap apa lagi dah. Dia pun bukannya spesis peramah sangat. Kalisha senyum je. Murah senyuman betul budak ni. Yang si Anip ni dari tadi sengih sendiri, entah apalah yang dia duk fikir.
            “Jom lah kita pergi makan. Nina, kau tak sihat sepenuhnya lagi. Jangan nak makan pedas ataupun order air sejuk.” Anip mula melangkah.
            Nina jadi kembang sekejap. Bangga pulak bila si Anip ni bagi pesanan macam. Rasa macam terjaga. Hehehe.     
***
“NINA DAH SIHAT?”
            “Dah bang. Kalau bukan Kak Sarah yang jaga Nina, rasanya Nina terlantar lagi sekarang.” Nina sengih sendiri. Langkah Kak Sarah yang baru keluar dari biliknya dipandang dengan senyuman.
            “Kak Sarah kamu tu memang terbaik, kan?” Abang Nazeem ketawa dari hujung talian.
            Nina mengangguk walau ternyata Abang Nazeem takkan nampak pun anggukan burung belatuk dia tu. “Itu la bang. Nasib baik abang cepat bertindak pinang Kak Sara.  Kalau tak, melepas.” Nina ketawa sendiri. Kak Sarah mengerutkan dahi bila mendengar namanya disebut-sebut.
            “Mengumpat apa ni?”
            Nina sengih. “Okay bang. Kak Sarah dah sudah solat. Nina kasi dekat dia ni.” Gagang telefon bertukar tangan. Dia sempat mencubit pipi Kak Sarah.
            “Assalamualaikum.”
            Nina sengih mendengar Kak Sarah memberi salam. Dia mengatur langkah ke sofa. Butang on TV ditekan. Untung Kak Sarah. Segala benda dia mahir. Dari masak, mengemas, hinggalah bab-bab ambil hati. Dah tu dapat pulak Abang Nazeem yang sangat baik. Memang sesuai sangat.
            Remote ditekan berkali kali untuk mencari siaran yang dia suka. Tapi hampa. Semua cerita bosan. Hari minggu pun tak ada cerita best. Huh.
            “Muka tu kenapa?”
            Nina tersentak. Ek? Cepatnya sembang? “Dah sudah?”
            Kak Sarah senyum. Dia turut mengambil tempat di atas sofa. “Abang Nazeem nak bagitahu dia ada kerja dekat Vietnam dua hari. Itu je. Nak sembang apa lagi.”
            Nina sengih. “La, tak cakap I miss you ke. I love you ke?” Tangan Kak Sarah cepat aje mencubit paha dia. Fuh, pedih!
            “Yang tu tunggu lepas dah nikah la. Sekarang kalau dah cakap lepas kahwin nanti tak best. Tak ada specialnya bila dah nikah.”
            Nina mengangguk-angguk. Ooo macam tu eh? Huhu.
            “Anip apa cerita? Tak keluar pulak hari ni?”
            “Anip biasa je ceritanya. Tak ada yang lain-lain pun.” Matanya masih melekat di TV walaupun tiada rancangan yang menarik. “Tapi kan kak, haritu dia bawa Nina jumpa dengan junior sekolah dia dulu.”
            Kak Sarah senyum. “Perempuan eh?”
            Nina mengangguk.
            “Nina cemburu?” senyum lagi.
            “Mana ada. Orang tak rasa apa pun.” Ye ke Nina tak rasa apa? Rasa jugak haritu. Rasa pelik sebab sebelum ni mana ada Anip kenalkan dia dengan mana-mana perempuan.
            Kak Sarah memegang erat tangan Nina yang dari tadi mengenggam remote TV. “Nina,”
            “Hmm?” dia merenung anak mata Kak Sarah, menunggu apa yang bakal di katakan.
            “Akak yakin yang Anip suka Nina. Tengok apa yang dia buat selama ni. Akak boleh rasa Anip tu ikhlas kawan dengan Nina. Nina tak rasa?”
            “Rasa jugak. Tapi Nina tak rasa sebab lain. Kan Nina kawan dia?”
            “Tapi akak rasa lain.” Kak Sarah senyum.
            “Tapi Nina rasa..” Dia menelan air liur. Nak cakap ke tak adeh. Muka Kak Sarah yang menunggu jawapan dipandang. “Nina rasa, Nina dah suka dia.”
            Kak Sarah senyum meleret. “Dah agak dah. Tengok dari cara pandang plastik ubat tu pun akak dah tahu.”
            Nina sengih. Dah tiga tahun rassanya dia kawan dengan Anip. Dia selalu sangat dengar orang cakap. Lelaki dengan perempuan ni tak boleh kawan baik-baik sangat. Sebabnya mesti ada nada satu perasaan lain selain sahabat. Betul. Walaupun ramai yang menafikan, tapi salah seorang akan rasa macam tu.
            Dan sekarang dia sendiri yang rasa. Tapi sungguh dia sendiri tak tahu apa yang Anip rasa. Takkan nak tanya. Ya tak?

***
“KENAPA TUKAR NOMBOR telefon?” Anip menghirup teh o ais di atas meja.
            “Handphone yang dulu hilang.”
            “Nasib baik kita jumpa balik dekat sini. Kalau tak memang saya takkan jumpa awak lagi la, kan?” Anip senyum.
            Kalisha tersipu-sipu. Dia sendiri tak sangka sebenarnya akan jumpa Hanip, senior yang selalu kacau dia dulu. Waktu handphone yang ada nombor telefon Hanip dulu hilang, puas juga dia perah otak. Nak ingat balik nombor telefon Hanip. Tapi memang dia tak ingat langsung. Dan macam tu je terputus.
            Dulu dia tak layan sangat bila Hanip selalu call dia. Tapi lama-kelamaan rasa sunyi pulak bila Hanip tak ada.
            “Boleh lah saya kacau awak balik, kan?” Anip dah sengih.
            Kalisha senyum aje. Dia tidak menjawab. Dan sengihan Anip makin lebar.

****
NINA MEMANDANG LANGKAH Kalisha ke mejanya. Cantik sungguh budak Kalisha ni. Ayu. Sopan. Haish. Kalau Vanida Imran tu tak berlakon dalam cerita tu, budak ni dah boleh jadi perempuan melayu terakhir dah. Kalisha melemparkan senyuman kepadanya. Spontan bibir dia juga turut tersenyum.  
            “Lama tunggu kak?” Kalisha mengambil tempat di sebelahnya. “Abang Hanip tak sampai lagi?”           
            Abang Hanip? Oh, senior dia. Memang patutlah nak ber’abang’ pun. Patut ke? “Er, dia pergi toilet.” Nina senyum.
            Kalisha mengangguk. Matanya jatuh pada sesuatu di atas meja. “Wah kak!” dia terjerit kecil.
            Kening Nina terangkat. “Kenapa?”
            “Purse Levi’s akak ni. Cantik!” Matanya masih tak lepas dari purse Nina di atas meja.
            “Itu Anip yang bagi hadiah. Lama dah. Akak tak tukar pun. Sayang nak tukar. Nak tengok ambil lah.” Dia menghulurkan purse yang tidak berapa besar itu kepada Kalisha. Laju je Kalisha menyambut. Dia memang gilakan purse. Tak kira jenama apa, tapi kalau design dan warnanya cantik, cepat aja matanya tertarik.
            Jarinya membelek segala ruang. Cantik. Susun atur dalam tu pun cantik. Gambar di dalam purse Nina mencuri perhatiannya. Terus pergerakannya terhenti. Nina yang perasan akan perubahan itu senyum kecil. Teringat waktu gambar tu diambil.
            “Dah dua tahun gambar tu ada dalam purse akak. Comel kan Abang Anip Sha  tu?” Nina senyum. Kalisha mengangguk kecil sambil menghulurkan kembali ke tangan Nina.
            “Dua tahun kak?”
            Nina mengangguk. “Haah. Dua tahun. Waktu ni kami baru aje rapat. Dia tu lah. Dalam kelas bukannya reti duduk diam. Nak bersembang aja kerja walaupun lecturer ada dekat depan.”
            Kalisha senyum tawar. “Tak pernah buang pun?”
            Nina menggelengkan kepala. “Tak pernah. Akak sayang nak buang. Tak boleh tak ada dalam ni. Tak lengkap pula rasanya. Mungkin sebab akak sayang dia.” Nina seaakan bertutur sendiri. Dia memandang gambarnya dan Anip yang tersenyum gembira berlatarkan dewan kuliah. Entah siapa yang tolong ambilkan waktu ni. Dia sendiri dah lupa.
            Kalisha terus terdiam. Dia tak tahu hubungan Kak Nina dengan Abang Anip dah rapat macam ni. Rapat. Sehingga melibatkan hati. “Kak.”
            “Hmm?” Nina mengalih pandangannya dari gambar tadi ke wajah Kalisha. Keningnya terangkat.
            “Sha ada kelas sebenarnya kejap lagi. Tak sempat kut nak makan sekali.”
            “La, makan kejap pun tak sempat?”
            Kalisha menggelengkan kepala. Dia senyum sesaat. “Tak sempat. Tadi pun Sha ingat nak singgah kejap je.”
            Nina mengangguk. “Kalau macam tu tak apalah.” Kalisha yang sudah berdiri dipandang kosong. Boleh perasan muka dia yang keruh tiba-tiba tu. Tension sebab nak pergi kelas ke? Kelas tengah hari memang menenatkan. “Sha tak nak tunggu Anip kejap ke?”
            Kalisha menggelengkan kepala. “Tak apa lah kak. Tak sempat kut. Nanti akak bagitahu Abang Hanip, Sha ada kelas eh.”
            “Okay.” Nina mengangguk. “Take care.”
            Kalisha senyum dua saat sebelum melangkah keluar dari café.
            Anip keluar dari toilet tak lama selepas Kalisha keluar. Dahinya berkerut seribu. “Kalisha tak sampai lagi?”
            “Dah. Dia ada kelas. Dia dah pergi kelas balik dah.”
            “La. Cakap tak ada kelas tadi.” Anip duduk bertentangan dengan Nina. Nina hanya angkat bahu. “Dia ada pesan apa-apa tak untuk aku?” Anip sengih.
            “Nak pesan apanya?”
            “Alah, pesan suruh cakap I love you ke. I miss you ke.”
            Nina mencebik. “Romeo!”
            Anip ketawa kuat. Dia mencapai buku menu. Kalisha..kalisha. Bibirnya tersenyum mengenangkan nama yang satu itu. Lama dia mencari. Lama dia menunggu. Kalisha.
***

“TAHNIAH KAK!”
            Kak Sarah senyum bahagia. Dia membalas pelukan Nina. Erat. Sedih nak tinggalkan Nina dan semua budak-budak rumah sewa dia dulu. Semua dah macam adik beradik dah. Sekarang ni dia dah kena mula hidup baru bersama suaminya, Nazeem.
            “Terima kasih Nina.”
            Nina senyum meleret. Meriah sungguh kenduri Kak Sarah dan Abang Nazeem. Ramai gila yang datang. Dia sendiri pun belum sempat lagi nak makan sebab meja makan semua dah penuh.
            Jam di tangan dikerling sekilas. Sesekali dia membuang pandang ke setiap sudut. Kelibat Anip belum lagi kelihatan. Rasanya tadi dia cakap on the way. Tapi entah ke ‘way’ mana dia pergi. Dah sejam tak sampai lagi ni.
            “Tunggu Anip?” Kak Sarah menegur.
            Nina mengangguk air sirap yang diberikan oleh Didi, sepupu Kak Sarah dibawa ke mulut. “Pelik jugak kenapa lambat sangat. Akak pergi je la layan tetamu lain. Nina nak duduk sini je.”
            Kak Sarah senyum. “Okay. Kejap lagi sampai la tu. Jangan risau.” Kak Sarah menepuk perlahan bahu Nina. Dia kemudiannya berlalu dari situ. Kalau nak diikutkan hati, nak je dia teman Nina tunggu Hanip. Tapi ini majlis dia. Apa pula kata tetamu kalau dia asyik terperap dalam rumah?
            Hampir lima belas minit menunggu, akhirnya wajah Anip muncul juga. Nina menarik nafas lega. Buat risau je. Kut la kemalangan waktu nak datang tadi,kan? Mana nak tahu.
            “Na,” Anip terus duduk di sebelahnya.
Dahi Nina berkerut mendengar nada suara Anip yang memang lain dari biasa. Dia mengangkat kening tanda ‘apa’.
“Kau cakap apa dengan Kalisha?” soal Anip perlahan. Dia merenung anak mata Nina sedalam-dalamnya. Nina makin pelik.
“Aku cakap apa?” suaranya di kawal. Cakap apa pulak ni? Langkah Kak Sarah dan Abang Nazeem yang menuju ke arah mereka dipandang dengan senyuman yang di buat-buat.
Anip mengeluh. “Kau cakap dekat Kalisha yang kau sayang aku?”
Nina terdiam. Dia mengangguk perlahan. “Ya, kenapa?”
“Kau janganlah gurau macam tu dengan dia weh. Dia dah percaya tu.” Suaranya naik satu volume. Anip menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
Kak Sarah dan Abang Nazeem hanya diam memerhati. Lidah Nina automatik kelu. Muka Kak Sarah dipandang. Anip ingat dia bergurau?
“Sha dah percaya. Patutlah dia tak nak datang sini masa aku ajak dia tadi. Nina, kau kena betulkan balik. Kau tak boleh bergurau macam tu dengan dia. Dia tu lurus. Jenis mudah percaya.”
Nina menahan air mata. Dia tak bergurau pun. Apa yang dia cakap tu betul.
“Aku dah lama cari dia. Sejak sekolah sampai dah tahun ketiga dekat uni. Aku baru je dapat peluang nak kenal dia lagi. Kau dah kacau.” Anip sedikit mengeluh.
Kak Sarah ingin membuka mulut, pantas ditahan oleh Nina dengan isyarat mata. “Sorry weh. Aku tak tahu pulak Kalisha percaya.”
Anip menarik nafas. “Itula. Aku pun dah tak tahu nak buat macam mana ni. Sekarang dia tak nak jumpa aku langsung.”
“Nanti aku terangkan pada dia. Kau jangan risau.”
“Betul?” Mata Anip bersinar. Terus hilang suram muka dia tadi. Nina pantas mengangguk. Makin lebar senyuman Anip. “Thanks weh!”
Nina senyum. “No hal. Salah aku, aku la yang kena betulkan. Jom la makan.” Dia bingkas bangun. Tangan Kak Sarah dicapai. Kak Sarah memandangnya sayu. “Kak, Nina nak makan lauk pengantin.” Bibirnya dipaksa senyum.
“Nina…”
“Weh, Anip. Duduk apa lagi dekat situ. Jom la makan.” Panggilan Kak Sarah tadi tidak diendahkan.
Anip sengih lebar. Dia terus bangun mengekori Nina dan Kak Sarah. Abang Nazeem masih diam memerhati. Dia sendiri tahu cerita Nina dan Anip daripada isterinya.
“Nina,” Kak Sarah sekali lagi menggengam erat tangannya.

Nina senyum tawar. “Kita makan dulu?” matanya bergenang. Terus Kak Sarah mengangguk. Dia tak sanggup melihat Nina kecewa macam ni.

***

“SARAH RASA BERSALAH sangat bang.” Kak Sarah melentokkan kepala ke atas bahu suaminya. Dia boleh rasa perasaan Nina walaupun Nina sedikit pun tidak bercerita. Nina dah macam adik dia sendiri. Malah mungkin lebih rapat. Mana mungkin dia tak perasan perubahan Nina sekarang.
            “Bukan salah Sarah.” Abang Nazeem meramas lembut jari jemari isterinya. Kalau nak diikut kan dia sendiri risau bila tengok keadaan Nina sekarang. Lain. Kalau dia senyum pun dah tak ada manisnya.
            Walaupun Nina nampak berusaha sedaya upaya untuk tutup rasa hati dia, mereka tetap boleh tahu.
            “Nina pun dah lama tak call Sarah. Sarah tak tahu nak buat apa. Semua ni salah Sarah bang. Sarah yang bagi harapan pada Nina. Sarah yang menaikkan rasa cinta dia pada Hanip.”
            “Kenapa Sarah buat macam tu?” Abang Nazeem terbangun dari bersandar. Tegak dia memandang wajah isterinya.
            “Sarah ingatkan Hanip tu suka la dekat Nina. Mereka pun dah lama kenal, kawan. Tak tahu pulak Hanip suka orang lain. Kesian Nina, bang.” Kak Sarah mengeluh. Memang dia rasa bersalah sangat. Itulah, pandai-pandai je teka perasaan orang. Haish.
            Abang Nazeem mengeluh. Nak salahkan Sarah seratus peratus pun tak boleh jugak. Dalam hal ni, Nina patut boleh agak segala kemungkinan yang akan berlaku. Itulah jadinya bila teman rapat berlainan jantina. Kalau ada salah seorang yang bercinta, ataupun sukakan orang lain, pihak yang lagi satu akan kecewa. Dan itu lah yang terjadi pada Nina.
            “Itula awak, kaum perempuan. Kalau kaum lelaki buat baik sikit, ingat kami ni dah jatuh hati la. Apa la. Habistu, takkan nak buat jahat sepanjang masa?” Abang Nazeem sengih.
            Kak Sarah mecebik.
            “Kita carikan seseorang untuk Nina, bang?”
            Dahi Abang Nazeem berkerut. Pulak dah? “Eh, tak payah lah kut. Dia tak okay lagi tu. Mana boleh kita plan apa-apa untuk dia.”
            Kak Sarah mengeluh kecil. Dia memandang anak mata suaminya. “Sarah tak senang tengok dia sedih bang. Mana tahu kalau ada kawan lain dia boleh happy balik?”
            “Sarah nak cari siapa untuk Nina?”
            Kak Sarah senyum meleret. Dia melemparkan pandangan ke kaca TV. Rasa-rasanya dia memang ada calon untuk Nina. Memang dah lama rasanya dia nak satukan Nina dengan budak ni. Budak tu pun, bukannya orang lain.

***

NINA MENGERUTKAN DAHI apabila bacaannya terganggu. Handphone yang terletak di hujung meja dipandang. Nasib baiklah awal-awal lagi dia setkan pada mode silent. Tak adalah menganggu pelajar lain dalam library ni.
            Nama pemanggil di renung sekilas sebelum tangannya cepat menekan butang accept. “Assalamualaikum.” Pen yang dipegangnya tadi diletakkan di atas meja. Dia bersandar malas.
            “Waalaikumussalam. Nina dekat mana ni?”
            Nina senyum. Dia mengeliat membetulkan urat. “Dekat library kak.” Jam di tangan di pandang sekilas. Rasanya dah sejam lebih dia tak bergerak. Khusyuk dengan buku yang baru dia pinjam tadi. “Kenapa kak?”
            “Nina dengan siapa? Anip ke? Rajinnya pergi library. Baru seminggu masuk sem baru, kan?”
            Nina senyum tawar. “Nina seorang je kak. Anip pergi mana entah harini.” Hujung tudungnya dipintal-pintal. “Bosan dekat rumah, akak tak ada. Itu yang datang sini.”
            Kak Sarah senyum dari hujung talian. “Aih, takkan akak  nak duduk situ lagi. Nanti Abang Nazeem Nina tu merajuk la.”
            Nina ketawa perlahan. Nasib baik dia teringat yang dia masih di library. Kalau tak memang dah pecah meledak tawa dia. Takkan lah Kak Sarah nak duduk rumah sewa tu lagi dan pilih dia dari suaminya sendiri, Abang Nazeem. Kalau betullah Kak Sarah pilih dia, mahunya Abang Nazeem banned dia selama-lamanya. Huhu.
            “Akak bila nak jumpa Nina. Tahulah baru kahwin. Takkan setiap hari sibuk memanjang je.”
            Kak Sarah ketawa. “Itulah yang akak call ni.” Dia menarik nafas. “Akak nak ajak Nina datang rumah akak malam ni. Makan malam.”
            “Ala kak, macam mana Nina nak pergi. Nak suruh Nina jalan kaki? Rumah akak tu bukannya sebelah rumah kita ni.” Nina merungut.
            “Abang Nazeem la yang jemput Nina nanti. Takkan la akak nak suruh Nina jalan kaki.” Kak Sarah sengih. “Nak tak? Ke Nina banyak kerja?”
            Nina senyum meleret. Kalau dah Abang Nazeem nak jemput, takkan dia nak menolak lagi. “Okay. Set!”
            “Kalau Nina jumpa Anip, ajak lah dia sekali.”
            Kening Nina terangkat. Aih, kena ajak Anip jugak ke? “Nina malas nak call dia kak. Confirm dia dengan Kalisha tu.”
            “Nina call lah. Suruh dia ajak Kalisha sekali.”
            Nina terdiam. Kak Sarah ni. Nak buat majlis kesyukuran ke apa. Semua nak dijemputnya. “Okay. kalau Nina ada kredit, Nina call dia.” Dia sengih sendiri.
            “Baiklah. Akak nak call Mia pulak ni. Nanti Abang Nazeem jemput kamu berdua. Apa-apa nanti akak call balik.”
            “Rojer kak!”
            Talian diputuskan. Nina merenung handphone di tangan. Malasnya nak call Anip. Kalau tak ajak Anip aci tak? Nina nak buat-buat lupa jemput.
            Heh heh heh.
            “Na, kau buat apa dekat sini? Penat aku cari kau dekat rumah.” Anip tiba-tiba datang entah dari mana. Panjang umur betul. Terus dia mengambil tempat di hadapan Nina. Beg sandangnya diletakkan di atas meja. “Aku call engage. Kau gayut eh?” Anip sengih mengusik.
            Nina mencebik. Panjang umur betul. Baru aje disebut-sebut tup-tup muncul depan mata. “Kak Sarah la.” Dia mengemas buku-buku yang dari tadi berselerakan. “Kau nak apa cari aku? Tak dating ke hari ni?”
            Anip di hadapannya senyum. Pantang sebut dating. “Kau ingat kita ni budak sekolah ke nak dating tiap-tiap hari?” Dia memandang muka Nina yang masih tenang mengemas buku. “Lagipun takkanlah tak boleh aku nak cari kau. Macam tak biasa. Weh. Kita dah masuk semester last ni!” dia hampir terjerit. Teruja sangat.
            “Diam lah wei. Semua orang pandang tu.” Nina membulatkan matanya. “Dah seminggu masuk kuliah baru kau perasan ke kita dah masuk semester last?”
            Anip sengih. “Jum makan. Laparlah.” Tiba-tiba mengubah topik.
            Tangan Nina yang asyik menyusun buku terhenti. Sebut pasal makan barulah dia teringat pesanan Kak Sarah tadi. “Kak Sarah jemput kita pergi dinner dekat rumah dia malam ni.”
            “Wah, itu dah bagus! Jimat aku malam ni.” Anip bersorak.
            “Heh, cuba senonoh sikit.” Nina mencebik. Segala jenis buku yang dia pinjam tadi dimasukkan ke dalam beg. “Kak Sarah suruh kau ajak Sha jugak.”
            Anip mengangguk. “Rojer that. Pukul berapa?”
            “Lapan kut.” dia dah bangun, bersedia untuk keluar dari library. “Agak-agak lepas maghrib la.” Jam pun sudah menginjak ke angka enam petang.
            “Jom lah gerak sekali malam ni.”
            “Tak apa. Kau pergi je dengan Sha. Aku, Abang Nazeem datang jemput nanti.” Nina menolak. Dia masih belum boleh terima lagi kut. Tak boleh nak hadap bila Anip dengan Kalisha bersama. Tak patut, kan? Sebagai kawan, dia patut rasa gembira dengan kebahagiaan Anip.
            Anip turut sama berdiri. Dia mengekori jejak Nina keluar dari perpustakaan. “La, kenapa nak susahkan Abang Nazeem. Kita gerak sekali jelah.”
            Nina menggelengkan kepala. Dia mencipta senyum plastik. “Aku tetamu kehormat. Mestilah kena jemput dari rumah. Kau tu sampingan je. Sebab tu lah kau kena pergi sendiri.”
            Anip mencebik. “Ceh.”
            Nina mencepatkan langkahnya. Anip ditinggalkan sendirian di belakang. “Aku nak balik dah. Jumpa malam ni.”
            Anip hanya diam memerhati. Lain sungguh Nina sekarang. Sepanjang cuti semester dulu pun dia tak banyak bersembang. Tak macam selalu. Mungkin sebab ini semester terakhir. Mungkin Nina dah tak nak main-main lagi. dan mungkin juga Nina dah bosan melayan dia membebel setiap kali di dalam kelas.
            Anip. Belajar Anip. Semester terakhir ni kau kena pulun!

***
“TAMBAHLAH ANIP. JANGAN malu-malu.” Kak Sarah keluar dari dapur dengan menatang air tambah.  Anip senyum mengangguk. Memang kalau dengan Kak Sarah dia segan sikit. Dia kenal Kak Sarah pun sebab Kak Sarah ni satu rumah dengan Nina dulu. “Sha pun. Sikit je makan?” Kak Sarah menegur Kalisha pula.
            Kalisha mencipta senyum. “Tak apa kak. Nanti Sha tambah.” Malam ni memang Kalisha tak banyak cakap. Lagipun, dia tak berapa kenal dengan tuan rumah. Nasib baik Kak Sarah dengan Abang Nazeem ni peramah. Tak ada lah dia kekok sangat.
            Banyak lauk yang Kak Sarah masak malam tu. Kak Sarah cakap, sengaja dia buat makan-makan. Rindu nak kumpul ramai-ramai. Abang Nazeem sengaja ambil Nina dan Mia awal sikit tadi. Boleh tolong-tolong Kak Sarah sediakan makanan. Anip dan Kalisha pula sampai sejam selepas itu. Manis je nampak mereka berdua. Walaupun hati Nina masih terasa, tapi dia sedaya upaya cuba menerima hakikat.
            “Syah, kau pun diam je. Segan?” Abang Nazeem menegur lelaki yang duduk bertentangan dengannya. Lelaki itu sengih. Gelas air di hadapannya dicapai dan dibawa ke mulut.
“Mereka ni dah macam adik-adik akak kamu dah.” Abang Nazeem menyambung.
Lelaki yang di panggil Syah tadi sengih. “Syah ni kan pemalu bang.”
Semua ketawa lepas. Nina dan Mia sengih. Rasanya Syah pernah datang ke rumah sewa mereka dulu. Jemput Kak Sarah. Mereka pun tak sangka Kak Sarah ajak adik dia sekali. Tapi apa yang pelik kan. Adik sendiri, mestilah Kak Sarah ajak. Lagipun rasanya Kak Sarah pernah cakap Syah pun belajar dekat-dekat area sini jugak.
            “Bila kau transform jadi lelaki melayu terakhir ni Syah?” Kak Sarah mengusik.
            Syah senyum meleret. Dia membawa nasi ke mulut. Sedap betul  asam pedas yang akak dia masak ni. “Sekarang la kak.”
            Kak Sarah menggeleng. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah suaminya. Wajah Nina yang masih tenang menjamu selera di pandang. Harap-haraplah rancangan dia nanti akan berjaya.
           

“NINA, KAN?”         
            Jantungnya hampir terlompat jatuh ke lantai. Dia berpusing ke belakang. Syah senyum memandangnya dan menyerahkan sebiji pinggan kotor.
            Nina mengangguk. “Haah.” Dia menyambut huluran pinggan dari lelaki itu. Mia yang sedang menyusun pinggan di sebelahnya tersenyum simpul.
            “Rapat eh dengan akak?”
            Nina memberi ruang kepada Syah untuk mencuci tangannya. “Haah. Saya dah anggap Kak Sarah tu kakak saya sendiri dah.”
            Syah senyum. “Dapat jugak akak saya tu merasa adik perempuan. Selama ni pun dia dah bosan sebab melayan saya je.”
            Nina sengih. Ya. Dia memang maklum Kak Sarah tidak mempunyai adik perempuan. Adiknya Cuma seorang saja, si Syah tu. “Saya yang patut rasa beruntung dapat kakak macam Kak Sarah.” Perlahan suara Nina. Ya, dia memang terharu dengan kebaikan Kak Sarah. Abang Nazeem pun. Mereka lah yang jadi penjaga dia selama dia di sini.
            Bukan nak cakap mak long dengan pak long tak jaga dia dengan baik. Tapi sejak mak dengan ayah meninggal sembilan tahun dulu, mak long dengan pak long lebih banyak beri perhatian kepada anak-anak mereka sendiri. Nina pun tak boleh nak kata apa. Takkan dia nak meminta lebih? Jasa mak long dengan pak long yang sudi menjaga dia dari kecil memang sudah tak terbalas.
            “Aik, mengumpat akak ke?” Kak Sarah mencelah. Dia melangkah masuk ke dapur dari ruang tamu bersama jug air yang telah kosong.
            “Mana boleh cerita.” Syah sengih.
            Kak Sarah senyum. “Syah tolong hantarkan Nina dengan Mia kejap lagi, boleh? Abang Nazeem ada kerja sikit kejap lagi.”
            Syah mengangguk laju. “Kecil tapak tangan, satu tong Syah tadahkan.” Dia sengih.
            “Hati-hati nanti. Jangan nak berlumba sangat malam-malam ni.” Pesan Kak Sarah. Tahu sangat dah yang si Syah ni suka memecut laju.
            “Rojer kak!”


****

“BOLEH KITA KELUAR lagi lain kali?” Mia ketawa di hujung kata. Mereka baru sahaja melangkah masuk ke dalam rumah sebenarnya. Syah sudahpun memecut ke jalan besar selepas menghantar mereka tadi.
            Nina sengih. “Diam lah kau.”
            “Kau tak rasa dia tu sweet ke Na?” Mia senyum. Dia membuka selendang yang dari tadi melilit kepala. Penat, tapi perutnya kenyang dengan masakan Kak Sarah tadi. Siap bawa balik lauk yang tak habis lagi. Dah lama rasanya mereka tak merasa lauk pauk air tangan Kak Sarah sejak Kak Sarah keluar dari rumah ni.
            Nina turut melurutkan tudung. “Sweet apanya. Aku dah rasa dia macam adik beradik Romeo je.”
            Mia ketawa lepas. “Sikit punya gentle tu weh. Aku rasalah kan, Kak Sarah sengaja ajak kita makan-makan malam ni sebab nak kenalkan kau dengan adik dia tu.”
            “Pandai je lah kau.” Dia merebahkan badan ke atas sofa. “Kenapa aku? Mana tahu nak kenalkan dengan kau ke?”
            Mia angkat kening. Senyum tercipta. “Percayalah cakap aku.”
            Nina mencebik. Handphone yang tiba-tiba menjerit nyaring mematikan topik mereka. Laju tangannya mencari-cari telefon bimbitnya di dalam beg. Nama pemanggil dipandang sekilas sebelum telefon di bawa ke telinga.
            “Waalaikumussalam kak.”
            Mia sengih. Boleh agak siapa yang call.
            “Dah sampai rumah dah?”
            “Dah. Baru je sampai ni.” Dia menjeling Mia yang tidak berhenti dari sengih. Tak habis-habis nak menggiat. Beg dicapai dan terus kakinya di atur ke bilik. Telinganya sempat menangkap ketawa Mia sebelum menutup pintu.
            “Syah bawa laju tak tadi?”
            “Biasa je. Kami dah selamat sampai pun ni. Alhamdulillah.” Nina mencampakkan tudung ke katil. Kerusi ditarik sebelum duduk.
            Kak Sarah ketawa dari hujung talian. “Nina..”
            Nina telan air liur. Pelik sangat nada suara Kak Sarah ni. Kata-kata Mia tadi kembali berlari-lari di fikiran.
            “Hmm?” Telefon ditangan terasa ingin dijauhkan dari telinga. Biar dia tak dengan ayat seterusnya. Biar dia tak tahu. Ataupun, boleh tak kalau dia buat-buat pekak seminit?
            “Nanti Nina kenal-kenal la dengan Syah ya.”
            Tepat seperti yang dia jangkakan (yang Mia jangkakan sebenarnya) ayat itu yang terkeluar dari mulut Kak Sarah. Masin mulut kau Mia. Berapa banyak garam yang kau makan tadi? Haih.
            Kalau dia nak buat-buat terlena sekarang, logik tak?
***

NINA MEMANJANGKAN LANGKAH. Rasa tak selesa pula bila berjalan seiring dengan lelaki yang dari tadi mengekorinya(dia yang ajak sebenarnya, tapi tadi hanya ajak-ajak ayam. Tak sangka pula dia setuju!)
            Tiga huruf besar dihadapannya membuatkan bibir automatik tersenyum. Laju kakinya dibawa ke perut kedai buku itu. MPH.
            “Awak memang selalu macam ni eh?”
            “Macam apa?” dia tidak menoleh. Tuan punya suara sudahpun berada disisinya. Turut sama membuang pandang kepada rak-rak buku yang tersusun rapi di bahagian kiri kedai.
            “Jalan macam lipas kudung!”
            Nina ketawa kecil. Bukan lipas kudung. Tu namanya ayam berak kapur. Tak selesa! “Kenapa?”
            “Penat saya kejar. Tadi ajak jalan sekali. Lepastu gaya macam nak lari pulak. Atau, awak takut dengan saya?”
            Ketawa Nina pecah lagi.
            Syah senyum simpul. Tak susah pun nak buat muka yang selalu serius ni ketawa sebenarnya. Kena ikut gaya.
            “Sorry.” Nina memandang adik lelaki Kak Sarah yang agaknya umur lebih kurang dia juga. Tadi sebenarnya dia terserempak dengan Syah di pintu masuk SACC. Entah macam mana boleh terjumpa dia dekat situ. Bila ditanya, Syah cakap saja datang jalan-jalan. Sebab itulah Nina ajak jalan sekali. Lebih pada berbahasa sebenarnya. Tapi tak sangka pula Syah terus setuju.
            “No worries.” Syah senyum lagi. “Minat baca buku?”
            Nina menggelengkan kepala. “Tak pun.”
            “La, dah tu? Kenapa masuk sini?”
            “Saya nak beli Komik. Tak suka baca buku atau novel. Panjang sangat. Belum tentu saya dapat habiskan.”
            Syah ketawa senang. “Bukan ke semua perempuan suka baca novel?”
            “Well, nampaknya awak dah jumpa orang yang tak baca.” Dia sengih. Tangannya mencapai The Fishes dari rak. Lama sungguh cari cerita ni. Tak pernah jumpa. Hari ni ada pulak. Diorang dah order baru ke? Ataupun selama ni memang ada, tapi dia yang tak nampak? Huhu.
            “Ben?”
            “Hah?”
            “Penulis komik ni. Ben, kan?”
            Nina memandang Syah. Pelik. Tahu pula dia. “Haah. Awak pun tahu?” takkan Si Syah yang macho terlebih ni baca komik cinta yang Ben buat kut. Tak masuk langsung.
            “Saya boleh kenal kartun dia. Selalu nampak. Tapi tak pernah baca. Saya lebih suka Komik yang Zink punya.” Gigi putih tersusun terpamer.
            Oh. Patutla. Kalau minat Zint, boleh diterima.
            “Nak beli ke ni?”
            Nina mengangguk. The Fishes digenggam dan dibawa ke kaunter. Rugi kalau tak ambil sekarang. Esok-esok belum tentu ada.
            “Bak sini, saya bayarkan.” Komik diambil dari tangan Nina.
            “Eh? Tak apalah.”
            “Biar saya bayar. A token of friendship. Boleh, kan?” buku dibawa ke kaunter.
            Nina senyum sendiri. Kata-kata Kak Sarah kembali menyinggah.

Kenal-kenal lah dengan Syah, ya?
           
            Haih Kak Sarah. Kenapa tiba-tiba?

****
DIA TAK TAHU apa sebabnya. Mungkin sebab doa daripada Kak Sarah. Mungkin juga sebab mulut masin Mia. Ataupun sebab hati dia sendiri sudah terbuka untuk lelaki yang bernama Syah. Mana satu pun sebabnya, dia tak pasti. yang pasti Syah sudah berjaya menaiki tempat di hatinya.
            Senang, selesa. Itu yang dia rasa.
            Dah hampir dua bulan rasanya. Syah sentiasa ada. Entah kenapa sejak balik dari MPH dulu, hubungan mereka masik rapat. Bunyi macam klise, kan? Macam cerita dongeng anak-anak sekolah. Tapi entah. Memang itu yang dia rasa. Sekarang pun dia semakin boleh menerima kenyataan tentang hubungan Anip dan Khalisha. Kalau nak difikirkan, tak ada sebab pun dia nak terasa hati, ataupun kecewa ataupun marah pada Anip. Anip tak salah pun. Sha apatah lagi. Hati dia sendiri yang belot dengan dirinya. Dah tergelincir sukakan kawan baik sendiri.
            Dan sekarang rasanya semua dah kembali jadi macam dulu. Anip masih membebel tak berhenti di dalam dewan kuliah.
            Cuma yang bezanya, sekarang dia ada Syah.
            “Kami satu keluarga nak datang rumah mak long Nina, boleh kan?”
            Telinganya hampir gagal berfungsi selepas ayat itu terkeluar dari mulut Kak Sarah. Dia bukan budak lima tahun yang tak faham akan kiasan biasa macam ni. dalam TV pun dah banyak guna dialog ni.
            “Buat apa?” tapi dia pura-pura juga untuk bertanya. Kut-kut la mereka nak datang untuk makan jenguk mak long dan pak long je. Logik ke? Out of the blue?
            “Nak pinang awak la.” Kak Sarah ketawa. “Boleh, kan?”
            “Tak cepat sangat ke kak?”
            “Taklah. Kamu dua pun dah nak habis belajar, kan? Akak rasa okay je. Mama dengan abah pun tak banyak soal.” Laju aje ayat yang disusun oleh Kak Sarah. Macam dah buat skrip awal-awal, tinggal baca je.
            Nina terdiam. Telefon di tangan dipandang kosong. Betul ke ini yang dia nak? Betul ke? “Akak rasa macam mana?”
            “Eh, tanya akak pula. Nina tu. Tak nak jadi adik akak?”
            Nina senyum sendiri. “Selama ni bukan adik ke kak?”          
            “Sebelum ni dah jadi adik. Lepas ni pangkat Nina akan jadi tinggi sikit. Adik ipar tersayang.”
            Sungguh dia terharu. Betul. Rasa lengkap hidup dia dengan kehadiran Kak Sarah satu keluarga. Sebab itulah dia tak teragak-agak untuk cakap ya pada Kak Sarah tadi. Sebab itulah dia tak berat hati pun untuk terima Syah.
 ***

“KAU BIAR BETUL weh? Tak aci lah macam ni.”
            Pelajar yang lalu-lalang melepasi mereka memandang pelik. Tegak berdiri di tengah-tengah engine square!
            “Kenapa pulak?”
            “Kenapa aku baru tahu. Sampai hati.”
            Nina ketawa lepas. Wajah Anip dihadapannya dipandang. “Aku dah bagitahu ni kita bertuah la, tahu?”
            Anip mencebik. “Kau betul ke ni?”
            “Laaa. Dah ada tarikh pun. Takkan main-main pulak.” Nina cuba mencari riak cemburu pada wajah Anip. Tapi dia tak jumpa. Nina, apa yang kau harapkan sebenarnya?
            “Tak adalah. Cuma cepat sangat. Kau pun baru je kenal dia, kan?”
            “Lepas nikah nanti kami ada sepanjang hari untuk kenal diri masing-masing.”
            Anip senyum tawar. “Tapi kau kahwin dulu dari aku. Tak adil. Padahal Aku dengan Sha lagi lamaa…couple.” Anip sengih sendiri.
            “Sha belum lagi habis belajar. Kau jangan nak bebankan dia dengan perangai tak senonoh kau tu. Lagi teruk hidup dia sebagai pelajar kalau dapat laki macam kau ni.”
            “Sesedap jiwa je kau kata aku, kan?”      
            Nina ketawa. Kali ni sungguh, dia ketawa senang. Dia buat pilihan terbaik. Anip sikitpun tak ada hati dekat dia sebenarnya. Yakin! “Aku nak minta Sha jadi pengapit aku. Kalau kau nak jadi pengapit Syah, kempiskan perut kau tu dulu.”
            “Nina!!”
            “Ye. Eh, kau belum cerita dekat aku.”
            “Cerita apa?”
            Nina sengih. Dah lama dia nak tanya sebenarnya. Tapi teguh tersimpan. Dia takut hati dia tak dapat terima nanti. “Sebelum tu, jom duduk dulu. Aku tak nak cair kepanasan tengah-tengah alam ni.”
            Anip menangguk. Dia mengekori langkah Nina ke bangku batu yang terletak elok di tepi pokok entah apa nama. “Cerita apa yang kau nak tahu?”
            “Hehehe.”
            “Ingat gigi kau cantik sangat nak sengih macam tu?”
            Ceh. Sempat lagi nak mengata. “Ni… aku nak tanya.”
            “Apa?”
            “Hish, tak sabar betul.”
            Giliran Anip menayangkan gigi putihnya.
            “Kau…suka Sha kenapa eh?”
            Dahi Anip terus berkerut seribu. Langsung dia tak agak soalan tu akan terkeluar dari mulut Nina. Kerutannya tak lama. Dua saat kemudian, senyum menghiasi bibir. “Kenapa nak tahu?”
            “Tak nak bagitahu, tak apalah.”
            “Aku tak cakap pun tak nak cerita.” Anip ketawa.
            Dia senyum dalam hati. “So?”
            “Dia, tak macam perempuan lain.” Mukadimah daripada Anip membuatkan hatinya berdebar-debar.
Okay. lain.
“Rasa macam susah dah nak cari yang macam dia. Kalau aku cakap, kau jangan terasa. Aku tak ada niat apa-apa pun. Aku just jawab apa yang kau tanya.”
Nina mengangkat kening. “Apahal pulak aku nak terasa. Kau cerita je lah.”
“Macam ni. Mak aku pernah pesan. Kalau nak cari isteri, cari yang buat hati kita tenang, senang dah sejuk mata memandang.” Anip terhenti seketika. “Sha..tak macam orang lain. Dari zaman sekolah lagi aku perasan. Dia jenis yang boleh buat hati aku ni kagum. Selama aku kenal dia dari dulu lagi, dia tak pernah berubah. Tudung dia tetap macam tu. Kalau zaman sekolah tudung dia labuh ke bawah, sekarang pun sama. Kalau dulu dia 24 jam pakai baju kurung, sekarang pun sama.”
Nina terdiam. Masih menanti ayat yang bakal terkeluar dari mulut sahabatnya.
            “Betul, zaman sekarang ni kalau nak dikira baju kurung tak menjanjikan kesopanan pemakai tapi Sha…”
            “Baju kurung tapi tak sopan? Maksud kau?” Kening Nina terangkat. Ada pula macamtu. Bukan ke pakai baju kurung tu dah dikira elok, sopan dah. Takkan nak suruh berjubah kut.
            Anip sengih sesaat. “Macam ni. Memanglah nama baju yang dipakai tu, baju kurung. Tapi kau tengoklah. Ketat, jarang. Boleh nampak tali singlet lagi. Itupun kalau pakai. Kalau tak? Maaflah aku cakap. Tapi yang aku suka, kau tak macam tu.”
            Nina sengih. Tapi kepalanya cuba untuk menghadam alasan Anip. Betul juga. Baju kurung sekarang hanya pada nama. Ada jugak yang ketat ikut saiz badan. Sampaikan segala lemak yang timbul tu tertimbul. Haish.
            “Tapi Sha lain. Baju kurung dia, sopan.” Senyuman terukir setiap kali nama buah hatinya disebut. 
            Masuk ni, entah berapa kali dah Anip cakap Sha lain. Memang lain sungguh la tu. Lain dari orang lain. Lain dari dia.
            “Kalau macam tu, kahwin la cepat. Melepas karang.”
            “Bukan kau cakap tadi aku kena tunggu budak tu habis belajar dulu ke?”
            “Haah la. Lupa!”
            “Ceh, tahu la dah nak kahwin.”
            Nina senyum. Tak sangka begitu sekali penilaian Anip terhadap perempuan. Segala aspek dia kira. Dan Nina sendiri. Dah sempurna ke dia untuk jadi seorang isteri?

***

MACAM BIASA, MALAM itu Syah sekali lagi mengajaknya makan diluar. Dan macam kebiasaannya, dia setuju. Kalau nak dikira, tak elok kerap berjumpa bila tarikh penting makin hampir. Tapi pujukan Syah tadi membuatnya kalah. Laju aja dia bersetuju dengan pelawaan Syah.
            Perut dah kenyang. Kereta membelah jalan pulang dengan kelajuan sederhana. Masing-masing diam. Hanya radio sahaja yang menemani. Tak lama pun masa yang diambil sebelum kereta Syah sudahpun selamat berhenti di hadapan rumah Nina.
            “Night. Balik hati-hati,” Nina membuka tali pinggang keledar. Ayat klise. Itu ajelah yang dia cakap sebelum berpisah. Dan selalunya Syah akan senyum mengangguk. Tapi malami ni…
            Tangan Nina dicapai. “Kejap. Tunggulah dulu. Saya rindu awak ni.”
            Nina terkejut apabila tangannya dipegang begitu. Tapi cepat-cepat mukanya diletakkan dalam mode asal. Tenang. “Dah jumpa, kan? Bibirnya menarik senyum.
            “Saya betul-betul rindu awak ni. Lepas ni makin jaranglah boleh jumpa.” Syah mengeluh. Mama dah pesan banyak kali. Jangan kerap sangat keluar dengan Nina. Jangan tu..jangan ni.
            “Tinggal sebulan je lagi, kan?” Nina sengih. “Takkan tak boleh tunggu.”
            “Tak boleh.” Tangan Nina digenggam erat sebelum dibawa ke bibir.
            Cepat-cepat Nina menarik kembali tangannya. “Awak ni kenapa?” suaranya ditahan sedaya upaya. Dia cuba memahami tindakan Syah tadi. Tapi ternyata, dia tak boleh terima.
            “Saya sayang awak, Nina.” Kedua-dua tangan Nina cuba dicapai. Terkial-kial dia cuba mengelak. Serius, ini bukan Syah yang dia kenal!
            “Syah, saya rasa awak patut balik dulu. Awak penat sangat ni.”
            Syah sengih sumbing. Matanya merenung tepat pada anak mata Nina. “Tak, saya tak penat. Saya tak nak balik. Saya nak awak.”
            Air liur yang ditelan terasa pahit. Sungguh! Ini bukan Syah! “Kalau awak tak nak balik, biar saya yang balik.”
            Sekali lagi lengan Nina dicapai. Kuat. “Tolong, jangan keluar lagi. Awak tahu kan, saya sayang awak. Awak akan jadi isteri saya.” Syah menarik Nina rapat kepadanya. Nina hampir menjerit apabila tangan Syah sudahpun merangkulnya erat. Sedaya upada dia cuba untuk menolak.
            “Awak ni kenapa? Saya ni akan jadi suami awak, jangan nak melawan!” suara Syah tiba-tiba berubah nada. Nina tercengang. Eh, siapa yang patut marah siapa ni?
            “Syah jangan jadi gila!” sekali lagi tangan Syah ditepis.
            “Awak akan jadi isteri saya. Apa masalahnya?!”
            “Serius awak gila Syah! Gila!”
            “Memang saya gila! awak yang buat saya gila!” Syah menjerit kuat.
            Dia makin menggila. Nina hanya mampu menutup muka. Air matanya gugur satu persatu. Kudrat Syah lebih kuat daripadanya. Itu yang pasti. Ya Allah. Kenapa mesti jadi macam ni?
            “Syahmi!!!”
            Nina masih menangis. Genggaman Syah pada bahunya terlepas. Dia tak pasti apa yang berlaku selepas itu. Sungguh dia tak berani untuk melihat. Dia tak berani untuk melihat wajah Syah yang menggila. Dia..takut..
 ***

DARAH MERAH SUDAH menyerbu ke muka. Kalau nak diikutkan hati, dah mati Syah tu dia kerjakan. Nasib baik Sha sempat selamatkan keadaan. Syah pun sudah lembik. Entah betul pengsan entah tipu. Memang dia rasa nak rejam je kepala dia dengan batu. Belajar tinggi-tinggi pun otak masih sempit!
            Dia tak dapat bayangkan jika dia tidak ikut kata Sha malam tu. Sebenarnya Kalisha mengajaknya untuk berjumpa Nina. Nak cakap pasal kerja apit-mengapit tu. Tapi waktu dia sampai, kereta Syah baru tiba entah dari mana. Dah dia agak, Nina ada dalam tu. Lama menunggu, hati dia rasa tak sedap. Itu yang dia turun tengok.
            Tak sangka pula dia ternampak sesuatu yang hampir membuatkan otaknya berada pada tahap tidak waras.
            Memang syaitan kau Syah. Sanggup kau buat Nina macam tu? Bakal isteri kau sendiri. Kawan baik aku!
            Dia menarik Syah yang sudah hilang kawalan itu ke muka pintu rumah Kak Sarah. Mia yang ibarat memahami, terus menekan loceng rumah Kak Sarah berkali-kali. Cukuplah sekali kecoh di hadapan rumah mereka tadi. Mia sendiri hampir terjerit melihat pergaduhan antara Syah dan Anip di hadapan rumah dia tadi. Nasib baiklah Kalisha sempat terangkan apa yang dah jadi. Kalau tak laju je tangan dia nak call Kak Sarah tadi.
            Hampir dua minit, pintu rumah terbuka luas. Anip menarik Syah masuk ke dalam rumah. Abang Nazeem tercengang dimuka pintu. Kemudian, Mia pula masuk dengan memapah Nina yang masih dalam sendu. Kalisha di belakang mereka hanya membisu.
            “Apahal ni?” Abang Nazeem menutup pintu rumah. Kak Sarah masih bertelekung ketika dia turun untuk membuka pintu tadi. Mereka baru sahaja selesai solat isyak sebenarnya.
            “Abang tanyalah pada dia ni!” Satu lagi penumbuk mendarat di rahang kiri Syah. Dia yang sudah lembik, jatuh mencium lantai.
            “Apa ni?!! Anip?!”
            “Abang tanya dia! Tanya dia apa yang dia dah buat pada Nina! Abang tanya dia!” Anip sudah dalam nada menengking. Kalisha terus merapatinya. Pujuk supaya terus bersabar.
            “Syah buat apa Nip?”
            Semua mata terpaku pada Kak Sarah yang turun meniti anak tangga.
            “Nina?” Nina yang terduduk di atas sofa dipandang pelik. Kenapa Nina menangis macam ni? “Mia? Apa dah jadi ni?”
            Lidah Mia kelu. Sungguh dia tak tahu nak jawab apa. Dia tersepit. “Er..Syah.. dia..dia..tadi..”
            “Apadia Mia?” Kak Sarah mendesak. Mia terus kelu. Dia memandang Anip meminta tolong. Sungguh dia tak tahu nak jawab apa.
            “Syah cuba nak perkosa Nina..” perlahan.
            Semua mata beralih kepadanya. Syah cuba untuk duduk.
            “Syah, kau cakap apa ni?”
            “Syah cuba nak perkosa Nina, kak!” Ulangnya lagi. Entah apa yang merasuk dia tadi. Kau bodoh Syah! Bodoh. Sebulan je lagi Nina akan jadi milik kau, dah kau sia-siakan macam tu je. Kau bodoh Syah.
            “Syah, kau jangan nak tipu akak.” Suara Kak Sarah terketar-ketar. Kepalanya terasa berat. Tolonglah cakap dia bermimpi.
            “Betul, kak. Dan sekarang Nina akan benci Syah. Selama-lamanya.” Kepalanya dihantukkan ke meja kopi. Abang Nazeem cuba menghalang adik iparnya. Otaknya masih cuba menghadam apa yang berlaku. Kenapa semua yang baik-baik sebelum ni bertukar menjadi tragedy macam ni?
            “Syah..kau..”
            “Kak!!”
            Satu rumah hanya mampu melihat Kak Sarah terjelopok diatas lantai. Kak Sarah pengsan!
           
***

“AKU PATUT DAH agak yang kau akan cemarkan nama keluarga kita.” Perlahan suara mak long tapi tajam menikam hatinya.
Nina hanya diam. Bisu. Tak ada ayat pun yang mampu dikeluarkan. Mia memegang erat tangan temannya. Mia sendiri kehilangan kata. Kalaulah Kak Sarah ada disini. Tak pun Abang Nazeem…
“Kalau orang tanya kenapa kau putus tunang, aku nak jawab apa Nina? Kau bagitahu aku, aku nak jawab apa?” nada maklong makin meninggi.
“Makcik Nina tak salah. Syah yang..”
“Kamu berdua sama je. Kalau budak ni yang tak buat hal, tunang dia tak akan senang-senang buat macam tu dekat dia!” Maklong pantas memotong kata-kata Mia. Awal-awal tadi, Mia sudah menceritakan apa yang berlaku. Reaksi maklong hanya satu. Merenungnya dengan tajam.
“Kau dah malukan aku Nina. Perangai kau… aku malu!” Maklong mula memukul Nina. Mia yang cuba menghalang turut sama terkena tempiasnya. Paklong yang dari tadi bertindak sebagai pemerhati tampil bangun meleraikan kekusutan.
Nina kembali menangis. Sungguh air mata dia dah kering. Kenapa hidup dia jadi macam ni?
“Kalau kau nak batalkan perkahwinan ni, kau bagitahu sendiri Nina. Aku malu! Tiga khemah aku dah tempah! Semua benda dah siap! Satu kampung dah tahu!” Maklong menjerit lagi. Dia sendiri mula meraung. Sakit hati dengan perlakuan anak tunggal arwah adiknya itu.
“Assalamualaikum.” Salam diberi dari luar rumah. Seminit kemudian, tuan punya suara melangkah masuk tanpa dijemput. “Makcik, tak payah batalkan perkahwinan. Biar saya yang kahwin dengan Nina. Makcik jangan susah hati lagi.” Semua mata tertumpu kepadanya. Tangisan Nina juga automatik terhenti. Tak percaya dengan apa yang baru menyapa telinga. Mia juga turut melopong.
Abang Nazeem?

***
(Sebelum itu)

“SUDAHLAH SARAH. Jangan nangis lagi.” Abang Nazeem mengusap kepala isterinya. Dah masuk dua hari isterinya mogok tak mahu makan, berkurung dan menangis. Dia sendiri dah hilang ikhtiar. Semuanya sebab perkara tu. Syah.. kenapalah kau bodoh sangat.
            “Abang..” susah payah Kak Sarah cuba untuk bangun. Hilang terus kudratnya. Dua hari berkurung, tenaga juga hilang.
            “Hmm?”
            “Apa salah Sarah bang?”
            “Kenapa cakap macam tu?” Abang Nazeem cuba memujuk. Sejak dia tersedar dari pengsan tempoh hari, Kak Sarah asyik menyalahkan diri sendiri. Salahkan dirinya atas perlakuan Syah. Salahkan dirinya kerana membuat Nina sekali lagi kecewa.
            “Sarah tak boleh biarkan Syah kahwin dengan Nina bang,”
            Abang Nazeem mengangguk laju. Ya. Kalaupun Nina setuju demi menjaga maruah keluarga, tapi hati dia sendiri akan merana.
            “Tapi Nina tak boleh batalkan majlis tu bang. Kesian dia. Malu.” Kak Sarah mula teresak. Sungguh berat dugaan Nina. Dan semuanya berpunca dari dirinya sendiri.
            “Kita tak boleh nak buat apa Sarah. Dah takdir Allah macam tu.”
            “Kita boleh ubah semua ni bang.”
            Kening Abang Nazeem terangkat seinci. Nak ubah macam mana lagi? sekarang ni pun, mesti keluarga Nina dah tahu duduk perkara sebenar. Syah juga sejak dari malam tu sudah hilang entah kemana. Mama dan abah pun tak tahu mana dia hilang. Jauh di dalam hatinya dia tahu. Syah malu dengan perbuatannya sendiri. Memang patut pun dia malu! “Apa yang boleh kita buat, Sarah?”
            “Abang kahwin dengan Nina.”
            Jantung Abang Nazeem berdebar laju. Terus darahnya naik ke muka. “Awak cakap apa ni?” rasanya dia tak salah dengar tadi. Kahwin dengan Nina? Tak adakah sedikit rasa sayang kepada suami sendiri? Sanggup Sarah biarkan dia kahwin dengan Nina?
            Ataupun, Sarah lebih pentingkan Nina dari dirinya sendiri. Suami?
            “Tolong, bang. Sarah tak tahu nak buat apa lagi. Tolong Nina bang. Tolong keluarga dia.”
            “Sarah cakap apa ni? Sanggup Sarah suruh abang kahwin dengan Nina? Nina dah macam adik kita sendiri. Dia kan adik Sarah!”
            “Sebab Sarah anggap dia adiklah Sarah nak jaga dia bang. Sarah tahu sekarang ni dia tersiksa. Semuanya sebab Sarah.” Makin kuat esakan Kak Sarah. Abang Nazeem buntu. Dia sudah tersandar di penjuru katil.
            “Betul ni yang Sarah nak?”
            Kak Sarah mengangguk lemah.
            Dia mengetap bibir. “Baik. Abang akan nikahi Nina!” Abang Nazeem terus bangun keluar dari bilik.
Kak Sarah terus menangis semahu-mahunya.

****
DIA MERENUNG JAUH ke arah jambatan yang menghubungkan tanah besar dan pulau. lama dia disitu. Merenung entah pada apa. Entah pada siapa. Dan, seperti biasa hatinya tidak pada imej jambatan yang dilihat. Hatinya jauh di Kuala Lumpur.
            Dia sendiri hilang kiraan. Dua tahun? Tiga tahun? Entah. Yang penting, sudah tiga kali dia berpuasa di bumi Pulau Pinang ini. Jauh meninggalkan kenalan di KL. Bukan niat dia nak malukan keluarga mak long. Bukan niat dia nak hampakan harapan Kak Sarah. Tapi dia terpaksa. Dia tak nak menjadi beban.
            Tidak pada mak long.
            Tidak pada Kak Sarah.
            Sekarang dia sendiri. Jauh dari orang-orang yang dia kenali. Nasib baiklah dia sempat menghabiskan kertas final waktu kejadian hitam dulu. Sempat juga dia habiskan ijazah. Kalau tak, sia-sia usaha dia selama ni.
            Mak long tak banyak halangan waktu dia meminta izin untuk keluar dari rumah. Lagipun dia tahu, itu  yang mak long harap selama ni. Perkahwinannya dengan Abang Nazeem yang menggantikan Syah dibatalkan. Dia tak sanggup. Mana mungkin dia curi kebahagiaan Kak Sarah?
Pada Kak Sarah pula, hanya surat yang menjadi alat penghubung. Dia tak sanggup nak tengok Kak Sarah sedih. Cukuplah jasa baik Kak Sarah selama ni. Sikit pun dia tak salahkan Kak Sarah atas apa yang dah jadi. Sudah takdir Allah.
            “Imanina!”
            Satu persatu fikirannya melayang dan terputus. Terus dia tersedar ke dunia realiti. Nina dah jauh dari dunia dulu. Sekarang Nina berada di beranda tingkat 10. Di Pulau Pinang.
            “Nina, dah nak berbuka ni.” Munirah senyum di sebalik pintu bilik yang sudah sedia terbuka. “Menung apa tu? Jom!”
            Nina mengangguk. Dia mengekori langkah Munirah ke dapur. Munirah. Gadis kecil molek yang tidak sengaja melanggarnya di Butterworh dulu. Waktu pertama kali dia menjejakkan kaki di Pulau Pinang. Dan, aturan Allah adalah yang terbaik. Munirah mempelawanya tinggal bersama.
            “Assalamualaikum,”
            Naimah, adik kepada Munirah tersenyum kepadanya. Sebelum dia tinggal disini, Munirah hanya bertiga dengan adik dan ibunya. Ayah Munirah dah lama meninggal. Itu juga salah satu sebab Nina bersetuju untuk tinggal disini. Aurat terjaga.
            “Berita ada cakap tadi, lusa raya.” Ibu Munirah bersuara. Tangannya cekap menceduk nasi ke dalam pinggan. Nina hanya senyum.
            “Kita belum lagi beli jubah baru!” Naimah mencelah. “Kak Muni cuti tak esok? Kak Nina? Jom lah cari jubah.”
            Semua ketawa. Naimah. Baru berumur 15 tahun. Apa yang paling Nina kagum, Naimah sikitpun tidak kekok berjubah dan bertudung labuh. Dekat sekolah pun, tudungnya yang paling labuh. Naimah boleh sesuaikan diri dengan  keadaan sekolah yang kebanyakannya dari kaum lain.
            Kalau dia dulu? Bila nampak sekeliling macam tu, macam tu lah dia. Tak rasa nak pertahankan diri sendiri. Contohnya, kalau dekat fakulti berapa kerat sangat pun yang berjubah. Yang pakai tudung bidag besar kononya kolot, kampung. Yang pakai baju kurung tiap-tiap hari pun tak ramai. Sebab itulah dia lebih selesa berT-shirt dan jeans. Selendang pun dililit mengikut trend. Sebab nak masuk dengan persekitaran. Takut nak jadi lain. Segan nak jadi lain.
            Tapi dia tahu, itu yang perlu diubah. Tutup, tapi tak sempurna. Macam sia-sia ajelah tutup pun. Ibarat tutup separuh.
            Tak perlu takut nak jadi lain sebenarnya. ‘Lain’ ke arah kebaikan. Itu yang perlu kita kejar pun sebenarnya. Kan?
            “Kak Nina cuti esok. Kita pergi sama-sama, ya?”
            Naimah bersorak riang. Dia sendiri senang dengan imej sekarang. Orang sekeliling pun hormat. Kenapalah dari dulu dia tidak memanfaatkan makna nama yang arwah abah bagi ni?
Imanina. Iman kami.
Kalau dulu dia dah bertudung, tapi ada je yang berani duduk dekat-dekat. Berhimpit. Pegang tangan. Tepuk tampar. Sebabnya tutup dia dulu hanya ‘tutup ala kadar’.  Dan rasanya sebab itulah Syah buat macam tu dekat dia dulu. Mungkin Syah ingat dia tak kisah.
            Rasanya juga, sebab itulah Anip tak pilih dia sebagai calon isteri. Dia pilih Sha sebab Sha…lain.
            “Dah Azan ni Nina. Kenapa tak makan?” ibu Munirah menegur. Nina beristighfar dalam hati. Jauh dia teringatkan waktu dulu. Jauh.

***
“SELAMAT HARI RAYA kak.” Nada suaranya dikawal. Air mata yang bertakung dikawal sedaya upaya tidak supaya menitis.
            “Selamat hari raya sayang. Nina okay, kan? Akak datang sana tahun ni, boleh?” itulah permintaan Kak Sarah setiap kali Nina menelefonnya. Sekali Nina cakap dia belum bersedia, Kak Sarah menurut.
            Memang dia belum bersedia dulu. Kerana dialah Kak Sarah bergaduh besar dengan Abang Nazeem. Dan itulah perkara yang dia tak sanggup tengok.
            Keputusannya untuk membatalkan majlis dan meninggalkan semua yang pernah berlaku adalah perkara yang terbaik. Dia tak nak melibatkan Kak Sarah. Tak nak melibatkan Abang Nazeem. Semuanya kerana Syah. Hanya dia!
            “Okay.” tapi sekarang rasanya dia dah sedia. Takkan selamanya dia nak bersembunyi? Takkan selamanya dia nak lari dari realiti? Orang kata, hiduplah, jangan pandang belakang lagi. Tapi bagi dia, pandang ke belakang itu perlu. Untuk elak buat kesalahan yang sama.
            Syah sudah lama berhijrah ke Australia. Rumah makcik dia. Rasanya selepas peristiwa tu. Dia tahu Syah memang rasa menyesal. Cuma dia aja, yang masih belum sedia nak berdepan dengan Syah. Dia takut.
            “Betul ni?” Kak Sarah menjerit dari hujung talian. Nina hanya senyum simpul. Datanglah bahagia. Datanglah gembira.
            Iya. Nanti Nina bagitahu makcik yang akak nak datang.
            “Alhamdulillah! Ya Allah Nina. Akak rindu sangat dengan Nina!”
            Nina senyum sendiri. Aidilfitri kali ni pastinya akan jadi lain. Lebih bermakna!

*****

SEPERTI YANG TELAH dijanjikan, Kak Sarah sampai tepat jam 3 petang pada hari raya kedua. Dari jauh lagi Nina menghadiahkan senyuman. Kak Sarah melebarkan senyuman sambil mendukung anak tunggalnya, Syakir. Dah besar Syakir ni. Abang Nazeem juga turut melempar senyum. Nina menarik nafas dalam-dalam. Sedaya upaya dia menahan air mata dari keluar.
            Dan bukan hanya Kak Sarah yang menjadi tetamu istimewanya. Anip juga. Hampir jatuh juga jantung dia bila Anip muncul mengatur langkah di belakang Abang Nazeem.
            Anip keseorangan. Tiada Sha disisi. Penat juga otak dia membuat andaian. Penuh terus kotak soalan. Cuma perlu tanya je. Tapi takkan nak tanya, kan? Punyalah bertahun tak jumpa, dia taknak merosakkan pertemuan mereka.
            “Sihat?”
            Nina mengangguk. “Alhamdulillah.”
            Anip senyum. Dua duduk di kerusi kosong bertentangan dengan Nina. Syakir yang berada di pangku Nina hanya diam tidak meragam. Kak Sarah dan Abang Nazeem masih lagi bersembang dengan Munirah dan ibunya. “Sha..”
            Nina angkat muka. Oke. Sha..apa? kau kahwin dengan dia tak? Sha dekat mana sekarang? Kenapa tak bawa dia sekali? Kenapa? Mengapa? Bagaimana?
            Punyalah banyak soalan yang tengah queue. Cuma mulut dia sahaja yang masih terkunci.
            “Sha dah tak ada,” perlahan keluar dari mulut Anip. Hampir terjatuh rahang dia ke bawah. “Tahun lepas. Waktu mengandungkan anak kami. Accident.” Tanpa soalan Anip bercerita satu persatu. Nina hanya mampu terlopong. Sungguh dia tak percaya.
            “Heh, kenapa pandang aku macam tu?” Anip tergelak. Satu yang Nina perasan, Anip seaakan teragak-agak untuk menggunakan ‘aku’ ‘kau’. Dia macam nak sesuaikan dengan keadaan Nina yang sekarang lain dari dulu. Nampak, jangan kata orang lain, Anip pun hormat dengan penampilan dia sekarang. Duduk pun di hujung dunia nu ha.
            Nina senyum tawar. Kuat sungguh hati dia. Banyak dugaan pun boleh senyum, bergurau macam ni. “Er.. kau okey ke?”
            “Aku okey je. Alhamdulillah. Dugaan Allah Nina. Dekat siapa-siapa pun ada. Cuma bentuk dugaan tu yang lain. Kan?”
            Nina mengangguk kecil. Sungguh. Kita tidak layak untuk menyebut kita sebagai orang yang beriman selagi Allah tidak memberi ujian kepada kita. Itu yang selalu dia dengar bila ada kuliah dekat masjid. Nasib baik dia kenal Munirah. Ada juga yang mengajaknya ke masjid. Kalau tidak, jarang sangat dia nak jejak kaki ke sana. Dan dia juga pernah terbaca di dalam salah satu buku Prof Dr Hamka, beliau pernah menyebut, “Ketinggian nilai keimanan itu bukan terletak pada rukuk dan sujud, tetapi ia terletak pada sekadar mana ujian Allah ke atas manusia.”
            “Na,”
            “Hmm?”
            “Kau… er, lain.”
            Nina senyum. Kali terakhir dia dengar perkataan ‘lain’ tu adalah sewaktu Anip memuji arwah Kalisha.
            “Kenapa kau tak pernah bagitahu aku? Kenapa aku tak pernah perasan?” Anip menutur sendiri. “Kau pun tak pernah bagitahu aku, kan? Tapi takkanlah kau pulak yang nak kena bagitahu. Patutnya dulu aku yang perasan.”
            “Jap, jap. Kau cakap apa ni?”
            Anip ketawa kecil. “Em..kau..pernah suka aku, kan?”
            Merah terus muka Nina. Sungguh, kalau ada langsir yang berdekatan dengan dia sekarang, sanggup dia tarik untuk selubung muka. Kenapa tiba-tiba Anip ungkit perkara ni?
            “Betul, ke? Kak Sarah yang bagitahu aku. Itupun selepas kematian Sha.”
            Nina masih diam. Dia tak tahu nak cakap apa sebenarnya. Akhirnya dia mengangguk. Tak guna juga dia nak berselindung. Anip dah tahu.
            Senyuman lebar terukir pada bibir Anip. “Agak-agak sekarang, kau masih…er..suka aku?”
            Senyuman menghiasi bibir. Syakir yang sudah lena diubah posisinya supaya lebih selesa. “Kenapa tanya?”
            “Tak ada. Cuma..kalau kau.. er..suka..aku..aku..”
            “Aku dah lain, kan?”
            Anip senyum mengangguk. “Kau lain.”
            “Tapi hati aku masih sama.” Nina senyum dalam hati. Kalau dulu Anip pilih Sha sebab Sha lain. Sekarang, dia pula. Dia juga lain.
            Senyuman Anip makin lebar. Ucapan syukur tidak putus dalam hati. Sungguhlah. Kalau dah jodoh, walau dicampak ketepi. Walau ditinggal jauh dari sisi, akan bersatu juga. Dan kalau bukan jodoh, walau serapat manapun, kalau sekuat manapun hubungan itu kita pegang, akan terlerai juga. Semuanya kuasa Allah.
            “Nina, mak long call akak tadi. Dia nak datang sini, boleh?” Kak Sarah tiba-tiba muncul dari dapur. Nina terlopong. Tak dapat nak hadam apa yang Kak Sarah cakap. Mak long?
            “Dengar tak akak cakap?”
            “Er, mak long?”
            Kak Sarah senyum mengangguk. “Mak long Nina. Dia nak datang sini jenguk Nina, boleh kan?”
            Matanya bergenang. Ya Allah. Kebahagiaan bertimpa-timpa. Syukur ya ALLAH, kerana mencantumkan kembali serpihan hati yang telah hilang. Alhamdulillah.



TAMAT.
20-5-2012

10 comments:

Anonymous said...

Salam.
Saya dah lama nak tanya ni.
Dekat penulisan2u, penulis nama Osie tu sis eh?

Illa Shanahila said...

Ya =)

Oni said...

pepagi da dapat bfast cedey... tp best!

Kak Sue said...

besttt... jarang ada cerita yang macam ni...
cerita lilla x pernah menghampakan...

Illa Shanahila said...

kepada

oni - =)

kak sue- tq! hehe =)

Aminah said...

Ila,

walau citer pendek, kak suka!!
~Aminah AR

Illa Shanahila said...

K aminah,

Tq! =)

missone hazel said...

Kalau dah org tu jodoh kita, kita akan tetap bersama dengannya. Kan?

Nana Mohd Yasin said...

Best....

Unknown said...

Assalamu'alaikum wr wb

Lama dah saya tak jenguk di sini...tuntutan tugas sbg pekerja dan pelajar, membataskan masa saya utk menjengah ke sini...tak sangka masih menyengat & berbisa bakat kurniaan Allah ni...Syabas Illa...teruskan berkarya...saya tetap sokong Illa walau jarang mampir ke sini...sayang Illa!