Monday 30 October 2017

Jika Ini Cinta [Bab 4]

BAB 4




HARI AHAD. Sepatutnya dia ada banyak kerja yang perlu diselesaikan di butik tapi sengaja dia ambil cuti. Nasib baiklah Marisa tak banyak tanya dan sudi jaga butik macam biasa.

Semalam, hampir waktu Maghrib barulah dia sampai rumah. Nasib dia baik bila mama dengan abah awal-awal lagi keluar ke masjid, jadi tak adalah sesi soal jawab kenapa muka dia lesu dan sembab.

Sepanjang malam dia berkurung di dalam bilik, menyepikan diri. Masih cuba terima kenyataan dan tenangkan hati sendiri. Berbakul-bakul panggilan dan WhatsApp dari Izzat yang dia terima sejak keluar dari hospital semalam tapi satu pun tak dibaca.

Tak kisahlah apa pun alasan Izzat, dia tetap tak boleh terima dan putuskan pertunangan ni adalah keputusan yang tepat bagi dia.

“Eh, dik? Tak kerja ke hari ni?”

Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam dapur untuk bersarapan, suara Puan Anisa menyapa telinga. Najwa sengih nipis sebelum menggeleng sesaat.

Salah satu kerusi ditarik sebelum dia melabuhkan punggung disitu. Bau nasi goreng kampung terus menyapa hidung.

“Cuti.” Pendek jawapan dia. Pinggan yang tersedia di atas meja dicapai dengan sebelah tangan. Sedap pulak tengok nasi goreng mama ni.

“Cuti? Adik tak sihat ke?” Abahnya, Encik Umar pula menyampuk. Surat khabar hari ini diturunkan sedikit untuk memandang wajah anak bongsunya itu.

“Taklah, bah. Saja, nak rehat.” Jawab dia tanpa memandang.

Dari hujung mata, Najwa sempat menangkap pandangan pelik dari abah dan mamanya.

“Abah, mama.” Dia tarik nafas panjang. Wajah abah dan mamanya dipandang bersilih ganti. “Pasal dengan adik dan Izzat...”

“Ha, mama ada jumpa umi Izzat semalam. Lama jugak bersembang pasal perkahwinan korang.”

Laju saja Puan Anisa memotong sebelum sempat dia habiskan ayat. Niat untuk cerita hal sebenar terus terbantut.

“Kenapa dengan adik dan Izzat?” soal abahnya perlahan. Surat khabar dilipat dan diletakkan ke tepi. Sebelah tangannya mencapai kopi panas sebelum memaku pandang pada Najwa.

Takde... adik ingat nak...”

“Nak cepatkan tarikh nikah? Ha, elokla tu dik. Lama sangat korang bertunang. Tak elok darah manis lama-lama.”

Najwa senyum kelat, cuba menutup risau dalam hati. Bila berdepan dengan mama dia macam ni, segala ayat yang difikirkan dalam kepala malam tadi semua serba tak jadi.

Isk, awak ni. Biarla dia habiskan ayat dulu.”

Dengar saja teguran suaminya, Puan Anisa mencebik. Najwa yang memerhati tersengih-sengih sendiri. Kelakar pulak bila nampak mama dia kena marah macam tu.

Bila nampak wajah mengharap mamanya dan riak risau abah, niat untuk putuskan pertunangan terus terbantut.

“Adik ingat nak tangguhkan lagi,” ujar dia senafas, menjawab soalan Encik Umar tadi. Tak sampai hati pulak nak kecewakan hati kedua-duanya.

“Takkan nak tangguh lagi, dik. Mama dah tak sabar nak tengok adik naik pelamin. Nak timang cucu baru...”

“Mama kan dah ada cucu.”

“Itu anak kakak. Mama nak juga tengok anak adik pulak.”

Laju saja Encik Umar menggeleng bila dengar jawapan isterinya. Memang tipikal ibu-ibu betul!

“Kalau itu yang adik nak, kami ikutkan saja. Cuma jangan lupa batas je. Bertunang bukan lesen untuk buat semua benda bersama.”

“Adik faham, bah.”

Puan Anisa menjeling tak senang. Kalau nak diikutkan hati, bulan depan jugak dia nak nikahkan Najwa dan Izzat. Dah lama sebenarnya dia berangan-angan untuk berbesan dengan keluarga Datin Sofia, umi Izzat tu.

Bukan sebab berharta, tapi Datin Sofia tersangatlah santun orangnya. Untunglah dia kalau anaknya Najwa ada ibu mertua sebaik Datin Sofia.

Sekurang-kurangnya, senanglah hati dia untuk lepaskan Najwa nanti.

“Abah dengan mama ada nak pergi melawat kawan dekat Puchong. Nak ikut?”

Laju dia geleng. Alang-alang bercuti, memang dia nak rehatkan diri dekat rumah je.

“Okey ke dekat rumah sorang-sorang ni?” Puan Anisa pula bersuara. Sebenarnya dia sendiri pelik bila tahu Najwa ambil cuti. Sebelum ni walau sakit teruk macam mana sekalipun, anak bongsu dia itu akan pergi juga ke butik.

“Okey, ma. Don’t worry.” Najwa angkat tangan tanda ‘okey’ sebelum menghabiskan nasi goreng yang masih tinggal separuh.

Hatinya berkira-kira sendiri.  Apa dia nak buat sekarang ni?

Tunggu masa lain yang lebih sesuai?

Tapi bila?



SELESAI SOLAT Zohor, Najwa terus turun ke ruang tamu. Telefon pintar yang dibiarkan tadi dicapai dengan sebelah tangan. Sempat dia meneliti setiap WhatsApp yang ada sambil memasukkan baju ke dalam mesin basuh.

Selain WhatsApp dari Izzat, ada juga beberapa dari Nasrin dan kawan-kawan yang lain. Tanpa menghiraukan yang lain, WhatsApp Nasrin dibuka.


Nasrin
Morning
Okey sikit tak hari ni?
Oit, tidur lagi ke?
Wa?
Najwa oi. Dah sihat ke belum ni? Mana kau? Takkan dengan aku pun kau nak marah sama?
Putih la janggut aku tunggu kau reply...


Terlepas juga tawa dia bila baca ayat terakhir. Selesai isi semua baju ke dalam mesin, dia masukkan pula sabun. Mesin basuh ditinggalkan sebaik saja butang ‘Start’ ditekan.

Najwa
Kau rindukan aku ya Nas?
Bukan main banyak WhatsApp aku.

Send.

Jari jemari beralih pula pada nama Izzat. Ucapan maaf dan sayang dari dia terus memenuhi skrin. Najwa tarik nafas perlahan.

Kakinya di bawa ke sofa sebelum TV dibuka dengan remote controller. Sebaik saja melabuhkan punggung di atas sofa, jarinya laju saja membuka laman Instagram.

Ada juga beberapa kali dia buka IG Effa Darlina selepas dia balik dari hospital semalam. Dari gambar yang dimuat naik Effa, langsung tak nampak kekesalan dari pihak dia.

Gambar makanan, gambar pergi gym, gambar pergi event. Kesemuanya dengan senyuman lebar macam tak ada apa pun yang jadi.

Dia yang kecewa ni separuh mati rasanya cuba tenangkan hati.

Ralit membaca kata-kata maaf dari Izzat, WhatsApp baru dari Nasrin mencuri pandangan mata.

Laju saja dia buka dan baca.

Nasrin
Rindu tu taklah. Aku takut kau mereput sorang-sorang dekat bilik tu je.
Alhamdulillah, Ana Najwa masih bernyawa

Laju dia geleng kepala.

Najwa
Ya, aku hidup lagi
Nak apa ni?

Nasrin
Aku nak pergi kedai kau. Nak beli beg untuk Zarith yang tak kesampaian semalam.

Najwa
Pergi je la Nas. Kakak aku ada tu. Nanti dia tolong pilihkan.
Kau tak payah bayar. Kira tu hadiah dari aku.

Nasrin
Kau pergi mana?
Kenapa tak ada dekat kedai?

Najwa
Dekat rumah.

Belum pun seminit dia menjawab soalan Nasrin, OPPO berbunyi nyaring. Nampak saja nama Nasrin pada skrin, dia terus menggeleng.

Apa lagi la yang dia ni tak puas hati?

“Ya tuanku...” Najwa bersuara malas sebaik saja dia menyambungkan talian. Rajin pulak Nasrin habiskan masa cari dia hari ni. Selalu tak adalah sampai berkali-kali dia WhatsApp dalam satu hari.

Kadang-kadang, seminggu sekali pun payah.

“Kau tak sihat lagi ke? Ubat yang doktor semalam kau makan ke tidak? Jangan nak mengada jadi budak kecik boleh tak? Takkanlah orang tak suruh makan ubat, kau tak makan? Tak reti nak makan sendiri?”

Sikit lagi dia nak jauhkan telefon dari telinga bila dengar soalan bertalu-talu dari orang di hujung talian.

“Oi, kau dah kenapa? Bila masa pulak aku cakap tak makan? Dah makan lah dan aku dah sihat pun. Saja nak rest dekat rumah.”

“Alah, mengada lah nak rest-rest dekat rumah. Jangan cakap yang kau tengah melayan perasaan fikirkan lelaki tak guna tu, Najwa. Kalau betul, hari ni jugak aku bagitahu abah kau.”

Isk, mana ada! Aku memang nak rehat pun. Mana ada aku menangis dah.” Suaranya naik satu nada. Suka-suka je tuduh macam-macam. Hari ni dia dah kuat. Dah tak ikutkan sangat hati yang sedih ni.

Kalau Effa yang dah hancurkan hubungan dia dan Izzat boleh bergembira macam tak ada apa jadi, kenapa dia nak bersedih pulak?

“Manalah tahu... kut-kut angin kus-kus kau semalam datang balik.” Nasrin sengih sendiri. “Jom, Wa. Siap. Aku ambil kau, kita pergi butik.”

“Aku malas nak keluar la...”

Nasrin mengeluh perlahan. “No. Aku kena keluarkan kau dari rumah. Abah dengan mama kau tak ada, kan? Jangan tipu sebab aku tahu dia orang tak ada. Ibu aku cakap nak tumpang mama kau pergi Puchong hari ni. So, jom ikut aku pergi butik. Aku tak boleh biarkan kau sorang-sorang macam ni. Kalau kau bunuh diri ke apa ke, aku jugak yang susah.”

“Gila ke apa nak bunuh diri? Ingat aku depressed sangat? Ingat aku tak tahu agama ke?”
Nasrin ketawa dari hujung talian.

“Kalau tak nak bunuh diri, jom ikut aku keluar.”

“Ya, aku bersiap. Kau jangan datang cepat sangat. Aku tak mandi lagi ni.”

“Isk! Anak dara apa macam ni? Patutlah Izzat lari.”

“Nasrin!!!”

Nasrin ketawa lagi. Panas je telinga dia dengar.

“Cepat siap. Sejam lagi aku sampai.” Talian diputuskan sebaik saja dia menghabiskan ayat.

Najwa tarik nafas panjang. Sebenarnya badan dia masih terasa letih dan lemah. Tapi bila fikirkan yang dia boleh fikir macam-macam bila bersendirian, dia kuatkan juga kaki untuk keluar.


Kan best kalau apa yang jadi semalam tu mimpi je?



*****

The Els Club- A Championship Golf Courses

Assalamualaikum dan hai!

Antara tempat yang menjadi persinggahan Kembara Blogger dan Media tempoh hari adalah di The Els Club Desaru Coast - Ocean Course. Seumur hidup, daku memang tak pernah masuk padang golf atau ke golf club house. Jadi bila dapat peluang untuk ke sini, memang excited gila!





Mr Harris 




Tiba je di The Els Club, kami diberi taklimat dan pendedahan pasal golf clubhouse ini dari Mr. Haris. Sebenarnya, saat menjejakkan kaki ke dalam clubhouse ni, terus je rasa aura mewah yang menjadi aura special dekat sini. 

Mengikut apa yang diterangkan oleh Mr Haris, The Els Club Desaru mempunyai dua bahagian berbeza  iaitu Ocean Course yang mempunyai 27 lubang dan Valley Course yang mempunyai 18 lubang. Kami para blogger diberi peluang untuk masuk ke Ocean Course dan melihat sendiri kecantikan dan kehebatan padang golf bertaraf dunia ni. 

Ocean Course yang mempunyai 27 lubang ni direka khas oleh Ernie Els iaitu permain golf profesional. 

Ocean Course ni sangat sesuai untuk pemain golf yang sukakan suasana bermain di tepi pantai. Mempunyai keluasan 45,000 kaki persegi, kelab golf ni complete dengan golf shop, bilik lokar yang mewah, kemudahan bilik untuk berehat dan menukar pakaian, kemudahan bilik untuk pelbagai function, bilik VIP, gofl carts dengan sistem GPS dan juga restoran mewah.



Golf Shop








Habis taklimat dari Mr Haris, kami dibawa ke seluruh pelusuk clubhouse untuk melihat sendiri kawasan yang disediakan untuk pengunjung dan pemain golf di sini.

Dari bilik lokar sehinggalah ke bilik VIP, rekaan The Els Club ini sangat menarik. 























Habis meneroka kawasan dalam, kami dibawa pula ke padang golf dengan menaiki buggy car yang lengkap dengan sistem GPS. Menyusuri kawasan padang golf Ocean Course ni, hati dan kepala yang serabut pun boleh jadi tenang. Memang cantik!

Keadaan padang yang kemas dan bersih membuatkan permandangan di sekitar padang golf bertambah menarik. Lebih-lebih lagi bila tour sampai di mana lubang terakhir berada. Betul-betul di tepi laut! 















Tak ketinggalan untuk bergambar bersama Mr Harris dan para blogger yang mengikuti kembara Bloggers ini.










Serius, bagi yang ingin bermain golf yang mempunyai suasana tepi pantai, The Els Club Desaru Coat ini lah tempatnya. 




The Els Performance Golf Academy

Yang bestnya, dekat sini juga ada akademi khas yang dibina untuk semua orang yang berminat dengan sukan golf.

Akademi ini terbuka kepada umum dimana semua orang termasuklah juniors dan orang dewasa berpeluang untuk belajar bermain golf dengan menggunakan kemudahan teknologi yang terkini. Dekat sini, pelajar akan dibimbing oleh tenaga pengajar yang diiktiraf.

Walaupun tak pandai main golf, daku sempat juga rasa pukul bola dan hampir masuk wei!

Tapi gambar takdelah. tak boleh nak tunjuk bukti. Heh heh heh






Bagaimana untuk ke The Els Club Desaru Ocean Course ni? Boleh cari saja di alamat sini
-
-
-
-

The Els Club Desaru Coast - Ocean Course

No. 4, Jalan Danau, Desaru Coast, 81930 Darul Ta’zim, Johor
+607-878 0000

elsclubmalaysia.com




******







Thursday 26 October 2017

Jika Ini Cinta [Bab 3]

BAB 3





DAH HAMPIR SEJAM Najwa sedarkan diri tapi langsung dia tak ingin tegur Izzat yang setia duduk di kerusi sebelah katil, khusyuk dengan iPhone  di tangan. Mulutnya dikunci rapat sambil memerhati pergerakan air dari drip yang bersambung pada tangannya.

Entah apalah yang jadi dekat cafe tadi hinggakan dia tiba-tiba saja sampai di hospital ni. Nak tanya Izzat, dia masih merajuk dan kecewa, jadi dia diamkan saja.

“Awak nak air? Nak makan?” Nada risau menyapa telinga Najwa. Izzat tarik kerusi mendekati katil bila melihat Najwa mula gelisah sendiri.

Soalan Izzat dibiarkan sepi. Sebelah tangan cuba mencapai handbag dari atas meja di tepi katil. Melihat dia yang terkial-kial ingin mencapai beg tangan sendiri, Izzat bangun membantu. Beg tangan diletakkan ke atas riba Najwa yang sudah bersila.

“Najwa... saya minta maaf. Awak nak marah saya, maki saya, saya terima. Tapi janganlah diam macam ni, sayang. Saya betul-betul menyesal.” Pujuk rayu Izzat sekadar melepasi telinga. Sedikitpun tidak terkesan di hati.

Najwa masih membatu. Wajah Izzat langsung tidak dipandang. Oppo yang diambil dari perut handbag menjadi penyelamat. Nombor telefon Nasrin dicari dalam senarai contacts sebelum dia menyambungkan talian.

“Sayang? Tolonglah jangan macam ni...” Izzat masih tak jemu merayu.

“Enough with your sayang, Izzat.” Laju dia membalas tanpa memandang. Masih menunggu panggilan dijawab.

“Sayang...”

“Baliklah Izzat. Saya dah tak ada nak cakap apa lagi dah.” Lemah saja suara yang terkeluar. 

But...”

“Nas?”

Kata-kata Izzat terhenti bila mendengar suara Najwa menyapa orang di hujung talian.

“Kau datang jemput aku kejap.” Najwa menjeling ke arah Izzat sesaat.

Izzat gigit bibir, menahan geram. Sempat Najwa mengesan jelingan Izzat padanya.

Tajam.

Najwa tahu yang Izzat cemburu bila nama Nasrin disebut-sebut.

“Ambik dekat mana? Butik? Kereta kau mana?”

 “Dekat... kejap.” Najwa turunkan Oppo dari telinga sebelum memanggil salah seorang jururawat yang melepasi katilnya. “Nurse, ini hospital mana ya?”

“Shah Alam, cik.”

“Ambil aku dekat Hospital Shah Alam. Nanti aku whatsapp details.” Habis saja ayat, Najwa terus putuskan talian.

Seperti yang dia jangka, tak sampai seminit nama Nasrin kembali muncul di skrin telefon. Panggilan Nasrin dibiarkan saja. Dia tahu yang Nasrin pasti terkejut bila dapat tahu dia tiba-tiba ada dekat hospital. Sengaja dia biarkan panggilan tak dijawab.

Malas nak bersoal jawab dengan Nasrin bila Izzat dari tadi menjeling tak puas hati.
Najwa tarik nafas perlahan. Pandangan Izzat masih tidak dihiraukan. Bila ada diatas katil hospital ni, tiba-tiba dia terasa lemah. Mungkin betullah dia perlukan rehat yang cukup. Dia kembali baring sambil menutup mata. Cuba melupakan apa yang baru jadi pagi tadi.

Kan bagus kalau semua yang jadi tadi tu mimpi...

“Ana Najwa, please. Tolong pandang saya.”

Najwa hampir menitiskan air mata.

Tidak.

Yang jadi tadi bukan mimpi. Terang-terangan Effa mengaku yang dia dan Izzat ada hubungan. Izzat pun dah mengaku.

Mungkin dia boleh jadi seorang tunang yang memahami dengan memaafkan segala kesalahan Izzat dan mula semula hubungan mereka. Tapi tak, dia tak mampu.

Sakit dan perit dikecewakan orang yang kita sayang membuatkan hati dia keras untuk terima maaf dari Izzat.

Sekurang-kurangnya bukan sekarang.

Go home, Izzat. Saya tak tahu macam mana saya nak maafkan awak dan sekarang ni saya memang tak boleh pandang awak dah.” Senafas dia menuturkan.   

“Saya nak awak je, Najwa. Bukan Effa, bukan orang lain. Please, tolonglah maafkan salah saya.” Sempat lagi Izzat merayu. Sungguh, kalau dia perlu buat pilihan, Najwa sahajalah yang dia inginkan untuk jadi isteri dan ibu untuk anak-anak dia.

Bukan Effa Darlina.

Silap dia juga sebab gagal kawal nafsu sendiri bila terbabas mencari keseronokan untuk mengisi sunyi. Walaupun awal-awal dia sekadar main-main, tapi lama-lama Effa semakin berani rapat dengan dia walaupun tahu yang dia sudah bertunang.

Sejak itulah dia selesa keluar dengan Effa setiap kali Najwa sibuk dengan urusan kerja dia.

“Baliklah sebelum Nasrin datang. Kalau dia tumbuk awak lepas ni, saya dah tak mampu nak halang.”

Izzat mengeluh keras sebelum bangun dari duduk.

“Baiklah. Awak take care. Doktor cakap awak mungkin penat sangat bekerja sampai pengsan macam ni.”

Najwa masih diam membisu. Air matanya terasa panas bertakung. Ya, dia penat bekerja untuk capai impian yang dia cipta tapi Izzat pula sibuk bergembira dengan wanita lain.

“Saya balik dulu.” Dengan berat hati, Izzat keluar dari wad menunggu.

Najwa melepas nafas perlahan. Memandang langkah Izzat menjauhinya, sekali lagi hati disapa kecewa. Cintanya separuh mati untuk Izzat disia-siakan macam tu saja dan apa yang lebih buat dia kecewa, berkali-kali juga Izzat menipu di belakangnya walau dia dah letak sepenuh percaya.


NASRIN TERPAKU beberapa saat di hadapan katil Najwa sebelum kakinya melangkah mendekati. Sebaik saja dapat panggilan dari Najwa tadi, kelam kabut dia keluar dari rumah walaupun baru saja dia duduk di meja makan untuk makan tengah hari.

Ingatkan nak merajuk dengan Najwa bila disuruh balik macam tu saja pagi tadi tapi bila dengar yang Najwa ada di hospital, dia pula yang kaget.

Apa yang Izzat dah buat sampaikan Najwa tiba-tiba boleh masuk hospital pulak ni?

“Si tak guna tu pukul kau ke apa? Kenapa tiba-tiba ada dekat sini?” Wajah Najwa diteliti setiap inci. Manalah tahu kalau-kalau Izzat dah berani naik tangan. tapi bila langsung tak ada kesan lebam atau luka pada wajah temannya, pandangannya jatuh pada kedua anak mata Najwa.

Najwa senyum pahit. Suara Nasrin membuatkan beberapa pesakit lain dan jururawat mencuri pandang.

“Kau ingat ni drama telenovela ke? Takkanlah dia pukul aku sampai masuk hospital.”
Nasrin tarik kerusi yang diduduki Izzat tadi. Pandangannya tak lepas dari wajah Najwa yang sedikit pucat.

“Manalah tahu... tadi pun drama telenovela terang-terang jadi depan mata aku.” Sempat dia masukkan perisa perli. Bagi Najwa sedar sikit yang pilihan yang dia buat tu tak betul. Berkali-kali disogok dengan cerita kecurangan Izzat, tapi satu pun dia tak percaya.

Bila dah jelas macam ni, barulah dia tahu topeng Izzat tu sebenarnya.

“Aku penat Nas. Malas nak gaduh dengan kau.” Suara Najwa berubah lemah. “Tadi doktor cakap kena tunggu sejam dua lagi. Baru boleh balik. Sorry panggil kau datang awal sangat.”

“Aku tak ada kerja pun hari ni. Boleh je tunggu kau sampai malam pun.” Jam tangan dikerling sekilas. Baru pukul 2 petang.

Najwa senyum nipis. “Thanks, Nas.”

“Tak payah nak berterima kasih sangat. Aku memang baik dan suka tolong orang. Kalau bukan kau pun, aku tolong jugak.” Nasrin mengeluarkan telefon pintar dari saku jeans.

“Apa dah jadi sebenarnya? Kalau bukan dia pukul kau, kenapa sampai masuk hospital?”

“Tak cukup rehat. Tambah pulak dengan kejadian tadi...” Jawapannya terhenti disitu. Entah kenapa air mata cepat saja bertakung bila teringatkan apa yang jadi.

“Kau ni la. Kerja macam tak cukup tanah. Menteri pun tak kerja kuat macam kau, tahu tak?”

“Menteri dah kaya raya. Aku ni baru nak menapak. Mestilah kena kerja keras.” Laju dia membela diri.

“Kalau aku la jadi laki kau, memang aku suruh kau rehat dekat rumah je. Elaun belanja pun aku bagi. Nak susah-susah kerja kumpul duit banyak-banyak ni nak buat apa? Nak tersenarai dalam Forbes 30?”

“Kau macam tak tahu je impian aku...” Najwa mencebik. “Dan, tolong sikit. Kau bukan laki aku. Jadi suka hati aku lah nak kerja keras macam mana pun.”

“Ha... betul sangat la tu. Suka hati kau nak kerja keras sampai tak cukup rehat. Masuk hospital macam ni, aku juga yang kena tunggu, kan?”

Jawapan Nasrin membuatkan dia tersengih sendiri. Sebenarnya bukan sengaja pun dia telefon Nasrin tadi. Dia tahu Marisa sibuk dengan keluarga dia sendiri. Nak telefon mama dengan abah, takut pula dia orang terlebih risau. Nak telefon kawan-kawan perempuan dia pun, semua jauh di negeri masing-masing.

Jadi Nasrin sahajalah pilihan yang dia ada.

“Berkira!”

Nasrin sengih nipis.

“Nas,” panggil dia perlahan.

Nasrin sekadar angkat kening tanda ‘apa?’.

“Kau jangan cerita lagi dekat mama dengan abah pasal Izzat, ek.”

“Aku bukan sesiapa nak sibuk cerita hal korang.” Perlahan saja jawapan dari Nasrin.

“Aku rasa...” Najwa gigit bibir perlahan. Wajah Nasrin yang menunggu ayat seterusnya dipandang lama. Sejak Izzat balik tadi sebenarnya dia fikirkan keputusan yang satu itu. Keputusan yang bakal membuatkan dua keluarga kecewa.

Dan mungkin juga malu.

Tapi itu sajalah keputusan yang dia yakin sangat untuk masa sekarang.

“Aku rasa aku nak putuskan pertunangan ni.”

Nasrin tersentak. Dia sendiri tak tahu nak gembira atau sedih. Kalau nak dikira, keputusan yang bakal Najwa buat seakan buka jalan untuk dia berani luahkan rasa tapi bila nampak Najwa kecewa macam ni, dia pulak rasa tak senang hati.

“Suka hati kaulah. Urusan hidup kau.” Itu saja yang mampu dia luahkan. “Kalau kau rasa itu yang terbaik, aku sokong keputusan kau.”

Najwa angguk perlahan. Cuba untuk mencipta senyum tapi tak berjaya. Peritnya nak buang bayangan kecurangan Izzat dalam kepala dia.

“Lagipun, dia memang tak guna punya orang.” Sambung Nasrin lagi.

“Nas...”

Nasrin sengih. “Waktu macam ni pun kau nak back up dia ke? Sedarlah wahai sahabat, dia memang tak guna.”

“Ya, aku dah sedar. Aku bodoh sebab percayakan dia. Sanggup dia buat aku macam ni walhal aku sayang sangat dia...” Air mata yang bertakung dari tadi kembali menghujani pipi.

Pantas dia menunduk, mengelap air mata dengan selimut yang tersedia. Kedua-dua lutut dipeluk erat sebelum menyembamkan muka disitu.

“Sampai hati dia buat aku macam ni, Nas. Kau pun tahu aku tak pernah buka hati aku pada sesiapa sampailah dia datang. Dia aje yang aku sayang separuh mati, tapi...” Suara dah ternggelam timbul dek esakan yang tidak terbendung. Baru sekarang dia mampu luahkan segalanya.

Baru sekarang dia boleh lepaskan semua.

Seperti biasa, Nasrin hanya diam memandang. Dia tahu Najwa ingin ruang untuk luahkan hati dan sebab itulah dia langsung tak mencelah. Perlahan-lahan dia bangun sebelum menarik track curtain sehingga menutup keseluruhan ruangan katil. Sekelip mata, katil Najwa terpisah dengan yang lain.

Kali ini, Najwa lebih bebas menangis. Lebih bebas melepaskan rasa kecewa.

“Nangislah Najwa, jangan simpan kecewa kau tu. Keluarkan semua hari ni.”

Najwa tak angkat kepala. Hanya esakan kecil yang kedengaran.

“Lepas ni kau jangan lepak dengan lelaki-lelaki durjana macam tu lagi. Kau lepak dengan aku je. Senang. Kau pun tak sakit hati.”

“Lelaki durjana yang kau cakap tu tunang aku, Nas.”

“Tunang jenis apa buat perangai macam tu. Baik tak payah ada tunang.” Suara Nasrin makin meninggi. “Aku bagi peluang kau menangis hari ni je. Esok kalau kau menangis lagi untuk dia, jangan cari aku dah.”

“Kau tahu tak aku tengah sedih sekarang ni? Kau tahu tak aku bakal putuskan pertunangan aku? Salah ke kalau aku menangis, Nas? Kau tak faham. Kau tak rasa!” Suara Najwa juga naik satu nada.

Geram pula dengan Nasrin yang tahu cakap saja. Yang menanggung sakitnya dia. Yang tanggung malunya nanti, dia.

 “Ya, aku mungkin tak faham sebab aku sendiri belum bertunang. Tapi satu je aku tahu. Hati aku sakit tengok kau menangis sebab dia. Dia tak layak pun untuk air mata kau tuNajwa.” Nasrin bangun dari kerusi.

Wajah Najwa yang masih dihujani air mata dipandang geram.

“Ini yang aku paling tak suka. Sebab lelaki tak guna tu je, dah hilang terus Najwa yang aku kenal. Mana pergi iron lady dalam diri kau tu?”

Najwa gigit bibir. Serta merta esakannya terhenti.

“Dah selesai semua nanti call aku. Sekarang ni, kalau kau nak menangis ke, nak menjerit sekalipun, suka hati kau lah. Aku tak sanggup nak tengok dah.” Dia menyelak langsir untuk keluar sebelum kembali menutupnya rapat.

Lama dia merenung langsir kosong itu tanpa tujuan. Walaupun kelibat Nasrin dah hilang, namun kata-kata sahabatana itu terngiang-ngiang di telinga.

Entah kenapa, marah Nasrin tadi bagaikan ubat meredakan segala sedih yang ada. Betul kata dia, tak guna bersedih atau menangis sebab apa yang jadi.

Apa yang pasti, dia dah nekad. Pertunangan ini mesti diputuskan.


JAM DI TANGAN dikerling sekilas sebelum membawa mata ke kiri dan ke kanan. Dah hampir empat petang tapi bayang Najwa pun dia tak nampak. Sekejap dia berdiri, dan tak lama kemudian dia kembali duduk di atas kerusi.

Kalau nak diikutkan hati, nak saja dia selak langsir yang memisahkan katil Najwa dengan suasana luar wad menunggu tu, tapi bila fikirkan hati panas yang belum sejuk, dia biarkan saja.

Anak matanya menjeling ke arah katil Najwa yang tak jauh dari situ. Masih seperti tadi.
Nafas dilepas keras.

Baru saja dia menutup mata dan bersandar pada kerusi, bahu terasa dicuit lembut. Spontan mata terbuka luas.

“Jom.” Suara Najwa antara dengar tak dengar.

Nasrin angkat wajah, membaca air muka Najwa yang masih keruh.

“Dah ke?”

“Dah.” Najwa angkat bungkusan plastik ubat yang diambil dari farmasi tadi. Sengaja dia biarkan Nasrin duduk disitu dan ke farmasi sendirian.

“Kenapa tak cakap nak pergi farmasi tadi?” Nasrin bingkas dari kerusi.

“Jom balik.” Najwa dah selangkah ke depan. Malas nak bergaduh, di soalan Nasrin dibiarkan tanpa jawapan.

“Doktor cakap apa tadi?”

“Penat. Tak cukup rehat.” Jawab dia tanpa memandang. Walaupun masih terasa pening kepala, dia gagahkan juga berjalan keluar dari situ.

Takkanlah nak suruh Nasrin dukung pulak.

“Kerja lagi macam menteri...”

Laju saja Najwa mencebik.

“Jom. Kita makan dulu sebelum aku hantar kau balik.”

Langkahnya terus terhenti bila dengar cadangan Nasrin.  “Kau hantar aku balik dulu, boleh? Penatlah. Tak larat nak makan.”

“Kau penat sebab tak makan.”

“Aku nak tidur je sekarang ni. Kalau tak nak hantar, aku panggil Grab Car je,” ugut dia.

Tahu sangat yang Nasrin akan mengalah juga kalau dia buat-buat merajuk macam tu.

Belum sempat Nasrin membalas, bunyi kuat menyapa antara mereka dan automatik dia dan Nasrin memandang sesama sendiri.

“Bunyi perut kau, eh?” Najwa dah hampir pecah dengan ketawa.

Wajah Nasrin dah kelam kelabu tahan malu. Mana tak berbunyi, dari pagi tadi lagi perut dia tak diisi!

“Jomlah aku teman kau makan.” Najwa simpan sengih.

“Pergi je la balik dengan Grab Car kau tu...”

Jawapan Nasrin terus meledakkan tawa Najwa. Dia pulak nak merajuk?

“Jom makan...” Najwa dah selangkah ke depan.

“Tadi cakap penat nak tidur?” Nasrin mengekor langkah Najwa keluar ke pintu besar hospital.

Najwa senyum nipis. Wajah Nasrin di sebelah dipandang sekilas.

“Kalau kau sanggup datang sini tunggu aku berjam-jam, takkanlah aku tak sanggup nak teman kau makan.”

Hidung Nasrin kembang setaman.

“Lagipun aku ada hutang breakfast dan lunch dengan kau. Kalau tak bayar sekarang kang, kau ungkit pulak.”

“Ha, baguslah kalau kau ingat.” Nasrin sengih. Dia bukannya lapar sangat pun. tapi dia tahu yang Najwa pun tak makan lagi dari tengah hari.

Sekali lagi Najwa mencebik.

“Wa,” panggil dia perlahan.

“Apa? Nak aku tambah belanja dinner sekali ke?”

Nasrin geleng perlahan. Sekali lagi dia meneliti raut wajah Najwa dah hampir hilang seri. Bengkak. Sembab.

“Kau okey ke ni?” Teragak-agak dia menyoal. Dia sendiri tak tahu apa definisi ‘okey’ untuk Najwa sekarang. Baru tahu tunang sendiri curang, siapa je yang boleh ‘okey’, kan?

Tapi nak tak nak, dia kena tanya juga.

“Kau nak aku belanja makan ke, kau nak aku menangis sampai keluar air mata darah?”

“Okey, sorry-sorry. Jom makan.” Nasrin sengih bersalah. Laju saja dia atur kaki ke tempat parkir kereta. Elok saja kunci dibuka, pintu di tempat duduk pemandu dibuka.

Baru saja sebelah kaki melangkah masuk, dia terpandang Najwa yang berdiri tegak di sebelah pintu bahagian penumpang.

Automatik keningnya terangkat tinggi. Takkan nak suruh bukakan pintu kot?

“Najwa?” tegur dia dari pintu sebelah pemandu. Pelik pulak bila nampak Najwa membatu sambil memandang kasut sendiri.

I’m not okay, Nas.” Najwa menggumam rendah. Dia angkat kepala, membalas pandangan Nasrin. Air mata yang kering tadi kembali membasahi pipi. “I’m not okay...”

Nasrin tarik nafas panjang.

Menyesal pulak dia tanya soalan tadi.



****