"Mama, sedihlah! Mama datang
la sini, temankan orang." Aku tak tahu berapa banyak mata yang mengerling
pandang, tapi aku yakin sangat yang suara merengek aku sekarang ni boleh buatkan
orang sekeliling menyampah.
Apa?
Dia orang ingat tak sedih ke
bila kena puasa jauh dari mama dengan abah? Dah la aku tak pernah puasa jauh
dari mama. Masa dekat uni dulu pun, aku boleh ulang alik berbuka di rumah sebab
dekat.
"Mama..." Aku
sambung merengek di telefon.
"Hish, dah dah la tu.
Kamu tu dah besar. Belajar la puasa sendiri pulak." Mama masih lagi dengan
nada memujuk. Masih cuba tenangkan anak manja dia ni.
"Tak ada orang kejutkan Jie
bangun sahur. Tak ada orang masakkan lauk untuk berbuka, tak ada orang temankan
Jie buka puasa..." masih tak habis merengek.
Sedih!
Entah macam mana aku boleh
tercampak jauh dekat KL ni dan tinggalkan mama dan abah dekat kampung sana.
Dahlah ini bulan ketiga aku bekerja. Nak cuti sekejap untuk sambut Ramadhan
dekat kampung pun tak boleh.
Sudahnya, sahur pagi tadi
memang langsung aku tak sedar.
Puasa hari pertama dan aku tak
sahur pun!
Sedih!
"Mama, datang la sini.
Teman Jie." Sekali lagi aku guna kuasa merengek dengan harapan mama akan
lembut hati. Kalau nak dikira, banyak kali jugak mama terpujuk dengan rengekan
aku.
Tapi entah kenapa kali ni
susah pulak mama nak terpedaya.
"Jangan nak mengada.
Kalau mama pergi sana, siapa nak siapkan makan minum abah dengan adik kamu
dekat kampung ni?"
Aku mengeluh perlahan bila
dengar alasan mama. Memang ada logiknya pun.
"Dah dekat waktu berbuka
ni. Kamu berbuka dekat mana hari ni?" soalan mama membuatkan aku angkat
kepala pandang sekeliling. Serta merta suasana food court Mid Valley itu kedengaran riuh dengan suara manusia. Rata-rata
manusia yang memenuhi kawasa food court
mula kalut membeli makanan berbuka masing-masing.
Spontan aku mengeluh.
"Food court." jawab aku perlahan.
Mata masih melilau ke setiap
pelusuk food court untuk mencari meja
kosong. Dari bahagian sehingga ke belakang.
Tak ada!
Memang sesak betul food court waktu-waktu macam ni.
Luar biasa betul! Memang macam
ni ke keadaan Mid Valley bila bulan puasa?
Aku toleh ke kiri dan ke kanan
dengan sebelah tangan masih memegang telefon pada telinga. Kelibat Auni yang
tadi beratur di kaunter air juga hilang entah kemana.
"Mama... Nanti datang la,
tau. Jie tak ada cuti sepanjang puasa ni." pinta aku sambil mata melilau
ke arah meja-meja yang penuh dengan manusia.
"Mana la sempat mama nak
pergi sana, Jie. Dekat sini pun banyak kerja mama nak buat. Kain baju orang
hantar tu hah, banyak lagi tak berjahit."
Aku mencebik sendiri. Mama ni
pun, dah berbuih mulut aku suruh dia berhenti ambil upah menjahit, tak jugak
dia dengar. Dah jadi darah daging katanya.
Belum sempat aku buka mulut untuk sambung membebel
pada mama, mata terpandang meja yang baru ditinggalkan oleh keluarga mat
salleh. Laju saja aku melangkah mendekati meja yang kosong tanpa penghuni tadi
sebelum sempat orang lain duduk. Kalau terlepas meja ni, entah bila lah dia
dapat meja lain.
"Ma, nanti Jie call lagi ya. Selamat berbuka."
Cepat-cepat aku matikan talian
sebelum melabuhkan punggung di meja empat kerusi tadi.
Selamat!
Auni, kita dah dapat meja!
Eh?
Bulat terus anak mata aku bila
seorang lelaki dengan selambanya duduk di atas kerusi depan.
Bertentangan.
Amboi, selambanya!
"Encik, meja ni saya
nampak dululah." Aku hampir bercekak pinggang, tak puas hati.
"Awak berapa orang?"
Soalan aku dijawab dengan soalan. Dia pandang aku dengan muka tak bersalah.
"Dua." Aku menjawab
tanpa nada. Kedua-dua tangan dilipat ke dada sambil menjeling dia yang masih
selamba.
Nak tunjuk yang aku
betul-betul tak suka.
"Kalau macam tu tak ada
masalah lah." Dia terus duduk bersandar pada kerusi. Telefon pintar
dikeluarkan dari saku dan dia terus hanyut dalam dunia sendiri.
Aku hampir ternganga.
Eh, eh. Senangnya dia cakap. Aku
dah ketap gigi, geram.
"Tak ada masalah apanya?
Sekarang ni awak dah duduk dekat meja saya. Ini. Meja. Saya. Awak nak makan,
carilah meja lain." Terketar-ketar aku tahan suara sendiri.
Nafas aku turun naik memarahi
orang depan. Dahlah selamba badak je dia duduk dekat meja aku ni. Lepas tu buat
muka tak bersalah. Tak nak berganjak pulak tu.
Heh! Aku dah lah tengah stress tak boleh puasa dekat kampung ni.
"Cik adik, meja ni ada
empat kerusi. Awak dua orang. Saya pun dua orang. Tak ada masalah, kan?”
perlahan aje dia menuturkan. “Atau... awak terganggu dengan muka kacak saya
kalau saya duduk depan awak macam ni?” sambung dia lagi.
Dengar saja ayat terakhir dia
tu, aku terus bulatkan mata. Perasannya!
“Jangan risau cik adik,
pandang muka kacak saya ni tak batal puasa." Lelaki di depan senyum
meleret.
Aku ternganga sebaik sahaja
dia habiskan ayat.
Like... betul betul ternganga!
Apa bendalah dia ni? Ingat aku
heran sangat dengan muka kacak dia
tu? Masalahnya, kacak ke? Biasa je aku tengok. Tak adalah rupa Remy Ishak pun.
Kacak tang mana entah! Kalau ya pun dia kacak, bukan taste pun dia tu.
Tolonglah. Ini Najihah la.
Terganggu konon... Rasa nak tumbuk adalah.
Heh!
"Apa?" Dia angkat
kening bila aku mula buat muka tak puas hati.
Kalau nak ikutkan hati aku
yang tengah stress, penat bercampur
lapar ni, nak je aku sambung lagi sound
barang sebakul dua.
Nasib baiklah aku puasa.
"Jie?"
Belum sempat aku jawab soalan
dia, aku toleh ke kanan bila dengar suara Auni. Auni meletakkan dulang yang
berisi sizling mee dan teh ‘o’ ais ke atas meja. Melihatkan asap dari sizzling
mee berkepuk-kepuk ke udara, serta merta bau sizzling mee menusuk hidung.
Lapar!
"Ni ke tempat kita?"
Teragak agak dia memandang lelaki-konon-konon-kacak yang masih selamba dengan
telefon di tangan. Nak tak nak, aku angguk juga. Nampak aje aku mengangguk,
Auni mengambil tempat di kerusi sebelah aku.
"Mir,"
Tiga kepala menoleh pula ke
arah seorang lelaki yang aku agak lebih kurang sebaya dengan aku berdiri tegak
di sebelah meja kami sambil menatang dulang yang berisi dua pinggan nasi goreng
daging merah.
Aku kerut dahi. Auni dah buat
muka pelik.
Siapa pulak ni?
"Sini?" soal dia
sepatah dan lelaki di depan aku terus angguk.
Ini la kut kawan yang dia cakapkan tadi.
Hish, aku baru je nak makan
dengan aman sambil bergosip dengan Auni. Tapi ada pulak yang menyibuk!
Ini silap-silap ada pulak
budak ofis yang cakap dia dengan Auni double
date pulak bulan-bulan puasa ni.
"Dah. Aku nak beli
makanan." Aku bangun dari kerusi sebaik sahaja kawan lelaki tadi duduk di
meja yang sama.
Menyesal betul. Tadi Auni offer nak belikan makanan, aku tak nak.
Sudahnya, lagi dua puluh minit nak berbuka barulah aku terkial-kial cari nasi.
Manalah aku tahu food court Mid Valley boleh ramai orang
macam ni? Bukannya weekend pun!
Mata mula meneliti setiap
barisan yang ada di kaunter makanan. Dekat western,
ramai. Dekat kaunter makanan Thai, ramai. Kaunter nasi campur pun ramai.
Kaunter yang paling sikit
orang beratur adalah kaunter sup. Aku tarik nafas panjang.
Takkan nak makan mi sup je?
Tapi bolehlah dari tak makan langsung, kan? Itu aje pilihan yang paling cepat
siap.
Lambat-lambat aku atur kaki ke
kaunter pelbagai aneka sup. Selesai membuat pesanan dan bayaran, aku hanya
berdiri berhampiran dengan kaunter sambil menjeling pandang ke arah meja aku
tadi.
Spontan dahi aku berkerut bila
hanya ada Auni dan kawan lelaki-konon-konon-kacak tu je di meja. Lelaki yang
menyakitkan hati aku tadi dah hilang entah ke mana.
Rancak pulak Auni bersembang
dengan si kawan tu.
Auni ni la...
Peramah tak kira tempat betul!
Aku melepas nafas perlahan. Nampak
je dia tak ada di meja, mata mula bekerja mencari cari lelaki berkemeja putih
tadi.
Jumpa!
Cepat je mata aku melekat pada
dia yang gigih beratur di kaunter air. Bila dia juga menoleh ke arah aku,
automatik aku cebik. Hadiah dari aku sebab dah berjaya kacau hari pertama puasa
aku.
Heh.
Tumpuan aku kembali pada kaunter
sup. Lama pulak nak siap. Takkanlah nak letak sup yang dah siap ke dalam
mangkuk yang berisi mi pun lambat?
"Dik, lambat lagi
ke?" Hati aku suruh bersabar, tapi nafsu aku dah meronta ronta tak sabar.
Nak-nak pulak, bila mata terpandang jam yang tergantung pada dinding dalam
kaunter.
Lagi lima minit nak berbuka?!
Cepatnya!
"Kejap kak. Order
banyak." Budak di kaunter tadi senyum bersalah. Ya, aku tahu dia pun
puasa. Aku je yang tak sabar-sabar. Dah la datang sini pun dah lambat. Padan
muka aku!
Waktu inilah aku mula
terbayangkan macam-macam termasuklah hidangan berbuka puasa yang selalu mama
hidangkan dekat rumah.
Mama... Jie nak makan lauk
ayam percik mama. Bukan mi sup!
"Para pelanggan yang
dihormati, sekarang telah masuk waktu berbuka puasa..." suara yang keluar
dari speaker mematikan lamunan aku.
Pengumuman yang dibuat oleh
staf Mid Valley tadi membuatkan aku hampir menangis. Mi sup masih tak nampak
rupa. Wajah mama dengan abah pulak yang ada depan mata.
Macam mana aku nak puasa
sebulan dekat sini kalau sehari puasa dah homesick
gila ni?
"Nah!"
Air mata yang bergenang tak
sempat menitis. Cepat je aku toleh ke tepi bila terasa botol air mineral
menyentuh lengan.
Dia lagi!
"Nak apa?" soal aku
geram. Tak boleh tengok aku rindukan
mama, ada je dia nak kacau. Nasib baiklah air mata sempat ditahan, kalau tak
memang sia-sia je lah dia nampak aku menangis depan kaunter Aneka Sup ni.
"Air." Kali ini botol
air mineral tadi disua betul-betul depan aku. "Minumla dulu sementara
tunggu tu."
Aku kaget. Tak tahu nak buat
apa. Lambat-lambat aku ambil botol air mineral dari tangan dia.
"Tak elok
melambat-lambatkan berbuka." dia sengih segaris sebelum melangkah ke meja
kami tadi
Aku pandang botol air mineral
di tangan. Aku pandang pula dia yang masih berjalan membelakangi aku.
Apakah?
***
"LAMANYA!"
Aku senyum tawar bila dengar
komen Auni. Dulang yang berisi mi sup panas dan air mineral itu terus
diletakkan ke atas meja. Sepasang mata yang duduk bertentangan turut memandang
sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas kerusi.
Memang pun lama. Nak cakap
menyesal beli mi sup ni pun ya. Rupanya tak ada orang beratur dekat kaunter sup
tu sebab diaorang duduk dulu. Patutlah barisan pendek je.
Hampeh.
Tipah-tertipu betul!
Manala aku tahu sebenarnya
order dekat kaunter sup bertimbun!
"Hah Ijat, kawan saya ni
nama Najihah. Tapi panggil Jie je. Kami satu rumah sewa. Tempat kerja pun tak
jauh. Itu yang janji makan dekat sini dulu sebelum balik." Panjang lebar
Auni buka cerita.
Aku pandang Auni dan Ijat
bersilih ganti. Sempat pulak Auni buka hikayat aku dengan dia dekat sini. Yang
bernama Ijat tadi terangguk-angguk dengar cerita Auni. Sempat jugak si Ijat tu
senyum pada aku.
Berbahasa.
Aku balas senyuman dia sesaat.
Dan, sekarang baru aku perasan yang lelaki-konon-konon kacak tu tak ada dekat
meja!
Automatik kepala di bawa ke
kiri dan kanan, mencari. Tapi kelibat dia tadi langsung tak kelihatan.
Tak buka puasa ke dia ni? Tadi
bukan main cakap tak elok melambat-lambatkan berbuka.
"Ooo... sama umur la
ni?"
Soalan Ijat membuatkan fokus
aku kembali pada dia.
Laju Auni angguk. Adoi Auni,
takkan nak cerita semua benda dekat orang tak kenal kot?
"Jie, kau tahu... Ijat ni
rupanya budak sekolah aku jugak."
Baru je nak mulakan suapan
pertama, kepala aku terus terangkat bila dengar pernyataan dari Auni.
“Satu sekolah?” suara aku naik
satu nada.
Auni angguk, mengiakan.
"Serius?" Bulat mata
aku pandang Ijat yang tersengih-sengih di depan. Kedua-duanya mengangguk dalam
senyuman.
"Kecilnya dunia! Dekat Mid Valley jugak
korang jumpa, ya." Aku meneruskan suapan yang tertunda tadi.
Pergh! Nikmatnya rasa sup
panas yang sedap lagi menyelerakan ni bila melalui saluran pencernaan aku.
"Haah, itulah. Tapi Ijat
dengan kawan dia tu pangkat senior aku la. Masa sekolah dulu kenal gitu-gitu
je." Sambung Auni lagi.
Rasa nikmat aku tadi tiba-tiba
hilang bila ayat 'kawan Ijat' menyapa telinga. Maknanya, lelaki tadi pun satu
sekolah dengan Auni?
Aku menggeleng sendiri. Betul-betul
kecil Malaysia ni rupanya.
Tapi, sebut pasal kawan Ijat
ni...
Aku toleh ke kiri dan kanan.
Masih tak nampak kelibat dia.
"Mana kawan tadi?"
Soalan itu terkeluar sebelum sempat aku tahan.
Ijat yang tadi asyik mengunyah nasi goreng angkat kepala.
"Surau," pendek dia
menjawab.
Gelas air didepannya dicapai
sebelum menghirupnya perlahan.
"Amir tu memang selalu
solat dulu sebelum makan yang berat-berat."
Oh, Amir. Nama dia Amir.
"Kenapa?"
Belum sempat aku nak suap mi
ke dalam mulut, satu suara asing pula menyampuk. Tiga kepala automatik menoleh
ke arah Amir yang baru sampai di meja.
Terus je dia duduk di tempat
tadi sambil memandang aku lama, tunggu jawapan. Auni dan Ijat dah kembali
dengan topik 'jejak kasih' dia orang tadi.
Hanya mata Amir saja yang
masih tertumpu pada aku.
Aku buat muka bosan.
“Kenapa apa?” aku saja je
tanya tadi. Ingat aku nak tahu sangat ke kau pergi mana? Heh.
"Kenapa cari saya?"
giat dia lagi bila aku diam menyambung makan.
Okay. Ini boleh mendatangkan
kemarahan. Boleh tak bagi aku makan dengan tenang? Siapa cari dia entah?!
Malas nak panjangkan cerita,
aku geleng je. Botol air mineral di atas meja aku capai dengan tangan kanan.
Hajat dihati nak minum air, bagi sejuk sikit hati aku.
Tapi rupanya...
"Air mineral tu dua
ringgit."
Sikit lagi nak tersembur air
yang aku minum.
Aku pandang dia, tak percaya. Dan
dia di depan masih dengan lagak selamba.
Dua ringgit? Dia minta aku
bayar dua ringgit?
Berkiranya!
Baru je ingat dia jenis yang gentleman bagi aku air untuk berbuka.
Hampeh sungguh.
****
No comments:
Post a Comment