Wednesday, 12 April 2017

Teman Lelaki Cik Bos [Bab 3]



*Hai! Nak bagitahu yang ini adalah versi sebelum diserahkan pada editor. Jadi segala kesalahan amatlah dikesali =)*


BAB 3


  “SHOOT!” Aku hentak tangan pada stereng kereta. Beberapa saat kemudian, aku menyesal sendiri bila kedua-dua tapak tangan terasa sakit. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali sambil cuba tenangkan hati.
Kenapa kau tak isi minyak, Elis? Sekarang tak pasal-pasal aku tersadai tepi jalan yang...
  “Oh my god!” Aku tutup mulut sendiri bila mata mengesan sesuatu. Laju aje kepala toleh ke kiri dan ke kanan. Bila pasti yang tempat ini sekarang langsung tak pernah aku nampak, dada mula berdetak berbagai rentak.
   Aku dekat mana ni? Kenapa macam tak ada kereta sangat pun? Kenapa jalan ni kecil? Macam mana boleh termenung bawa diri sampai dekat sini?
   Aduhai...
   Takkanlah aku menonong aje memandu sampai langsung tak tahu dekat mana?
  “Bodohnya kau Izaryn!” Aku ketuk kepala sendiri. Memang salah aku pun. Takkanlah aku nak ketuk kepala Tuan Qamarul pulak walaupun semua ni berpunca dari dia.
  Jam pada dashboard aku pandang sekilas sebelum membuka pintu untuk keluar. Dah pukul 7.15 petang. Orang pun dah tak ramai lalu lalang. Aku sendiri tak tahu dekat mana aku sekarang.
  Seminit dekat luar kereta, aku kembali duduk di tempat pemandu. Telefon bimbit dicari dari dalam beg tangan. Nak telefon Elis.
  Aku tak kira, dia kena bawa tong minyak jugak sampai sini.
  Tapi, macam mana aku nak bagitahu Elis yang aku dekat mana? Lokasi sendiri pun aku tak tahu.
  Elok aje aku pegang smartphone, dahi berkerut lebat. Tak ada bateri pulak!
  Dah lah cable nak charge pun tak ada. Cable yang ada dalam kereta Elis ni pun untuk smartphone OPPO dia je. Tak boleh masuk dengan Iphone ni.
  Aku tarik nafas panjang sebelum sekali lagi keluar dari kereta. Beberapa buah kereta yang melalui jalan yang sama aku tahan tapi tak ada satu pun yang sudi berhenti. Dari kereta paling besar sehinggalah yang paling kecil.
  Semua buat tak nampak aje aku tahan tangan.
  Nafas dilepas kasar. Buntu!
  Di kiri dan kanan pun tak ada rumah orang. Hari dah makin senja. Jangan kata dia orang semua ingat aku entiti pulak?
  Macam mana ni? Logik ke kalau aku tahan je semua kereta dekat tengah-tengah jalan? Tak kena langgar ke nanti?
  Beberapa minit berdiri di tengah-tengah jalan, sebuah motosikal mula datang mendekati. Nampak aje aku tahan, dia terus berhenti.
  Tepat di depan Kelisa.
  “Kenapa ni?” Dia turun dari EX5 sebelum buka helmet yang menutup muka.
  Elok aje dia berdiri di depan aku, spontan aku bawa tangan ke hidung.
  Busuknya!
  Berkerut terus dahi dia bila nampak kelakuan aku.
  “Cik, tahu tak kalau terang-terang tutup hidung depan orang sambil pandang atas bawah tu, tak sopan?” Sebelah tangan dia memegang helmet dan sebelah lagi diletakkan pada pinggang.
  Aku gigit bibir bila menyedari silap sendiri. Perlahan-lahan aku turunkan tangan dari hidung dan mula tahan nafas.
  “Tapi... awak busuk.” Jujur. Tak tahu nak cover macam mana dah.
  Dia tunduk, pandang badan sendiri dan mula angkat tangan kiri dan kanan. Berkerut-kerut dia pandang aku yang masih tahan nafas di depan.
  “Mana ada busuk? Hidung awak tu je yang problem.” Laju aje dia membalas. “Kereta ni kenapa?” Dia dah tukar topik.
  “Takde minyak.” Aku dah tak terdaya nak tahan nafas.
  “Hah? Takkan tak tengok meter minyak? Inilah dia orang perempuan...”
  Aku buat muka. Ini nak tolong ke, nak bagi syarahan? Nak perli-perli orang pulak.
  “Jom ikut saya beli minyak dekat stesen minyak depan sana.”
  Kening aku terangkat tinggi dengar pelawaan dia. ‘Jom’? Dia nak aku ikut dia naik EX5 tu?
  Takkanlah sepanjang jalan ke stesen minyak aku nak kena duduk belakang dia? Dan nak kena tahan nafas?
  “Nak saya tolong ke tak ni?” Mata dia tepat pada anak mata aku. Nampak aje aku angguk, dia mula melangkah ke motosikal yang diparkir depan kereta tadi. “Jomlah,” ajak dia lagi.
  “Kalau saya tunggu dekat sini je, boleh tak?” Teragak-agak aku bersuara. Sedaya upaya aku buat nada biasa. Tak bagi nampak sangat yang aku tengah fikir ‘awak busuk, saya tak tahan nak duduk dekat dengan awak lama-lama’.
  Lama dia pandang aku sebelum bersuara. “Okay. Dah Maghrib ni. Kalau tak takut, boleh duduk dalam kereta sampai aku datang.”
  Betul. Dah Maghrib. Aku sendiri dengar sayup azan tadi. Hari pun dah makin gelap.
  “Saya tunggu sini,” putus aku akhirnya.
  Dia sekadar angguk dan terus berlalu dari situ.
  Sebaik saja lampu dari motosikal dia hilang dari pandangan, aku mula menyesal dengan keputusan sendiri.
  Kenapalah aku pilih nak duduk bergelap di sini dari ikut dia?
  Dahlah tak ada kereta lalu-lalang sangat. Lampu jalan pun satu aje yang berfungsi, yang lain mati.
  Bila pelbagai bayangan dan perasaan seram mula menerjah fikiran, aku mula membaca ayat-ayat Quran yang aku tahu.
  Tak kuat, cukup sehingga telinga sendiri dengar.
  Debaran di dada makin kuat bila keadaan jalan semakin sunyi.
  Adoi, apa lama sangat dia pergi beli minyak ni? Takkan dia tak jadi tolong lepas aku cakap dia busuk, kot?
  Bila teringatkan apa yang aku cakap pada dia tadi, laju aje tangan tampar mulut sendiri beberapa kali. Itulah, mulut ni celupar sangat!  Tak boleh ke diam-diam je kalau tak suka?
  “Wargh!”
  Cermin kereta diketuk dari luar membuatkan aku menjerit kuat. Bila nampak je lelaki tadi senyum nipis dari luar, aku terus ucap syukur berkali-kali.
  “Dah gila ke kena tinggal sorang-sorang?” Dia tarik sengih tanpa memandang.
  Aiseh. Ini mesti dia nampak aku duk tampar diri sendiri ni. Aku terus keluar dari kereta sebelum membuka tangki minyak.
  “Jauh ke stesen minyak tu?” Aku hanya pandang dia yang cekap mengisi minyak ke dalam kereta dengan beberapa peralatan yang dia bawa dari stesen minyak. Dari belakang, tubuh badan dia macam aku pernah nampak.
  Tapi dekat mana ya...?
 “Tak jauh pun,” jawab dia perlahan sebelum menutup tangki minyak kemas. Tong minyak yang dipegang juga ditutup. Dia berpaling pada aku di belakang sebelum menyambung, “Sepuluh ringgit.”
  Hah! Betullah! Ini orang yang bayarkan makanan aku hari tu!
  Huluran tangan dari dia membuatkan khayalan aku mati. Dia cakap sepuluh ringgit?
  Bukan ke hutang aku makan hari tu dua puluh satu?
  “Kenapa sepuluh pulak?”
  Kening dia terangkat tinggi pandang aku. “Minyak tu saya beli sepuluh ringgit.”
  Oh! Minyak! Lupa pulak yang minyak tu pun kena bayar.
  “Kejap.” Aku buka pintu kereta dan keluarkan RM30 dari purse. “Sekali dengan saya makan hari tu.”
  Berkerut-kerut dia pandang wajah aku di depan. Dalam kesamaran senja, aku tahu yang dia dah tak cam muka aku.
  “Makan?”
  “Dua puluh satu ringgit.” Laju aje aku menjawab. “Kedai dekat... ini dekat mana?” soal aku bila teringatkan sesuatu. Takkanlah aku dah sampai sejauh kedai makan yang aku makan hari tu?
  “Hulu Selangor.”
  Jawapan dari dia membuatkan aku ternganga luas.
  “Habis tu awak nak pergi mana? Dah sesat?” Berkerut terus dahi dia bila nampak aku terkejut.
  Soalan dia dibiar lalu menyapa telinga. Patutlah sampai habis minyak kereta Elis ni. Jauhnya dari KL!
  “Kejap, yang makan banyak tapi tak ada duit hari tu, awak ke?” Dia mula menunduk dan dekatkan wajah ke muka aku.
  Spontan aku terkebelakang. Refleks.
  “Aaa... betullah. Awak.” Dia kembali tegak di depan aku.
  Kurang asam betul pernyataan dia tadi tu. ‘Yang makan banyak tapi tak ada duit’? Aku ada duit lah!
  Cuma... hari tu aje, duit masih dalam bank.
  “Awak nak ke mana sebenarnya ni?” Dia pandang jam tangan sendiri dan muka aku bersilih ganti.
  “KL.”
  “KL belah sana. Awak salah jalan ni.”
  Aku mengeluh perlahan. Aku tahu. Memang aku nak u-turn balik KL pun ni.
  “Tadi dari mana?”
  “KL,” jawab aku lagi. Dia dah garu kepala sambil pandang aku dari atas ke bawah. Tak lama kemudian, keluar tawa halus dari mulut dia.
  “Saya bukan jumpa bayangan atau makhluk halus, kan? Dari KL nak ke KL? Awak ni betul ke tidak?”
  Aku buat muka. Sesedap rasa je dia cakap aku tak betul.
  “Cuba cakap betul-betul, awak nak pergi mana?” Jam tangan dikerling lagi. Dah rupa orang besar-besar terlepas meeting aje dia ni. Dari tadi duk pandang jam. “Ah, tak kisahlah awak nak pergi mana pun. Minyak kereta pun dah penuh.”
  “Sini ada hotel?” Soalan dia aku biarkan tak berjawab.
  Dengar aje soalan aku, dia terus mengangguk. “Motel ada. Tapi jauh jugak dari sini. Nak bagitahu karang, awak sesat lagi.”
  “Awak tolong tunjukkan jalan?”
  “Saya nak cepat ni...”
Bibir terus mencebik bila dengar jawapan dia. Hari tu nak cepat. Hari ni pun nak cepat.
  “Awak nak cari tempat tidur kat sini ke?”
  Laju aku angguk. Walaupun langsung tak ada dalam plan asal, tapi sebab hari pun dah malam, aku kena bermalam dekat sini jugak. Bawa kereta waktu siang pun aku boleh cuai, kalau dalam gelap, lagilah....
  “Kalau macam tu, ikut moto saya. Saya tahu tempat yang awak boleh tidur untuk malam ni.” Duit yang aku bagi tadi dia masukkan ke dalam beg hitam yang terlilit pada pinggang, sama seperti yang aku nampak di kedai makan dulu.
  Sebelum sempat aku masuk ke tempat pemandu, dia hulur baki RM20. Kening aku terangkat tinggi.
  “Eh, kenapa ada baki pulak?”
  “Sebab seingat saya, saya cakap yang saya nak bayarkan dan awak pun dah cakap terima kasih. Jadi, dah selesai yang tu.”
  Aku tak ada pilihan. Betul juga cakap dia dan tak ada alasan pun aku nak berkeras untuk bayar jugak.
  “Okay.” Baki tadi bertukar tangan. “Awak nak saya ikut pergi mana ni? Tadi cakap tak ada hotel, motel pun jauh?”
  “Ikut ajelah. Cepat, saya dah lambat ni.”
  Spontan aku mencebik bila dengar perkataan ‘dah lambat’ keluar dari mulut dia. Dari hari tu lagi dia buat gaya orang ada bisness juta-juta. Busy.
  “Kalau awak tipu dan bawak pergi tempat bukan-bukan, saya langgar moto awak.” Aku melangkah masuk ke tempat pemandu dan mula hidupkan enjin.
  “Dan kalau saya bawa pergi tempat elok, awak hutang budi dengan saya,” balas dia selamba. Helmet dipakai kemas sebelum dia menghidupkan motosikal.
  Aku buat muka sebelum turut menghidupkan enjin. Hari makin gelap dan jam dah pun menginjak ke angka 7.45 malam. Perlahan-lahan aku bawa kereta mengekori motosikal dia di depan. Tak lama pun memandu, dia membelok je jalan kecil, jalan kampung.
  Walaupun hati berkeras cakap jangan ikut, kepala kata tak apa.
  Tak lama kemudian, motosikal dia berhenti di depan rumah kayu besar yang kelihatan cantik disinari lampu luar rumah. Berhampiran dengan rumah besar itu, terletak empat buah rumah kecil yang aku agak sebesar bilik master bedroom apartment aku je.
  Tak kecil, tak besar.
  Pagar kayu yang mengilingi rumah kecil itu membuatkan hati aku terdetik kagum. Cantik. Simple.
  Nampak dari luar aje pun dah rasa selesa.
  Dia turun dari motosikal dan mendekati aku di dalam kereta sebelum dia menghadiahkan senyuman. Nipis. 
  “Awak hutang budi dengan saya.”
  Laju aje aku cebik. Tolong tak ikhlas langsung! “Saya nak hotel. Tak pun motel. Ni rumah siapa?”
  Dia buat tak endah dengan soalan aku dan terus melangkah ke depan anak tangga pertama.  
  “Assalamualaikum!”
  Aku tarik nafas panjang. Dengar aje dia beri salam, aku terus keluar dari tempat duduk dan berdiri tegak di sebelah kereta. Menanti siapa yang dipanggil lelaki tadi.
   “Waalaikumussalam.” Pintu rumah yang tertutup rapat tadi dibuka luar dari dalam. Terjengul wajah seorang wanita yang aku agak lewat 40-an dengan lengkap bertelekung putih.
  “Kak!” Lelaki tadi senyum lebar.
  “Eh, Zaim, nak apa maghrib-maghrib ni?”
  Aku pandang akak tadi dan lelaki yang dipanggil Zaim itu bersilih ganti. Masih tak tahu hujung pangkal cerita. Si Zaim ni bawa aku pergi rumah keluarga dia ke? Aiseh!
  Kenapa la aku ikut dia tadi?
  Aku nak hotel... Motel...
  “Ni ha kak. Tetamu.” Sempat dia jeling ke arah aku sekilas.
  “La... ada tetamu...” Akak tadi turun setapak sambil memegang telekung yang berkibar ke kiri dan kanan mengikut langkah dia. “Kawan kau ke Zaim?” Sambung dia tadi.
  Zaim menggeleng laju. “Taklah. Jumpa tepi jalan tadi.” Dia tarik sengih pada aku. “Balik dulu kak.”
  Bulat mata aku bila dengar jawapan dia.
  Jumpa tepi jalan? Amboi, elok betul bahasa dia? Cakap ‘jumpa tepi jalan’ tu macam dia dah kutip aku lepas aku kena buang je. Heh.
  Tapi, memang betul pun dia jumpa aku tepi jalan, kan?
  “Eh, nak balik dah? Tunggu la kejap.” Akak tadi melaung kuat bila Zaim dah mendekati EX5 dia.
  “Lepas Isyak nanti saya datang kak. Dah lambat sangat nak ke surau ni!” Dia turut melaung dari motosikal.
  Sempat dia angkat tangan gaya hormat dengan sengihan yang masih berbaki.
  “Awak hutang saya.” Zaim kenyit mata pada aku sebelum memecut pergi.
  Akak yang bertelekung tadi menggeleng sebaik saja motosikal Zaim menjauhi. Tumpuan dia kembali pada aku yang masih berdiri tegak di sebelah kereta. Senyuman diukir lebar saat pandangan mata dia menjamah wajah aku.
  “Kejap ya dik, akak tukar baju kejap. Naik la dulu. Zaim tu memang selalu bawa tetamu untuk homestay ni.”
  Oh, homestay...
  Patutlah cantik-cantik rumah kecil tepi rumah utama ni.
  “Bawa keluar barang kamu dulu, nanti akak tunjukkan rumah yang mana.”
  “Sebenarnya...” Aku gigit bibir perlahan sambil pandang wajah lembut akak tadi. “Sebenarnya saya sehelai sepinggang je kak.” Aku sengih di hujung kata.
  “Oh ye ke?” Terus berkerut dahi akak tu bila dengar jawapan aku.
  “Sebab tak rancang pun nak bermalam...”
  “Takpe. Malam ni awak pakai aje baju akak dulu.” Senyuman akak pemilik homestay itu membuatkan dada aku terasa lapang. “Akak nak panggil apa ni?”
  Aku senyum nipis sebelum menjawab. “Izaryn.”

 *

AKU melabuhkan punggung di atas katil bersaiz queen itu sebelum meregangkan tangan dan badan. Bila nampak aje waktu Isyak dah menghampiri, aku terus bangun ke bilik air.
  Belum sempat pili dibuka, pintu bilik diketuk perlahan dari luar.
  “Nah, Iza.” Kak Maira tersenyum manis di muka pintu sambil menghulurkan sepasang baju tidur, tuala dan beberapa barangan untuk mandi.
  Lebar senyuman aku bila nampak semua yang aku perlukan ada disediakan. “Terima kasih banyak, kak.” Walaupun kekok dengan panggilan ‘Iza’ dari Kak Maira tadi, tapi langsung aku tak betulkan.
  Lembut pulak bunyinya berbanding nama Ryn yang selalu aku gunakan dekat pejabat.
  “Kalau Iza nak baju kecik, akak boleh bawak Iza beli dekat pekan kejap.” Kak Maira pandang jam pada dinding bilik aku. “Sempat lagi ni kalau nak pergi.”
  “Boleh jugak kak.” Laju aje menjawab. “Tapi saya nak solat kejap. Dah nak Isyak pun ni.”
  Kak Maira mengangguk-angguk sebelum meninggalkan aku sendirian di rumah kecil itu. Rumah kecil yang lengkap dengan dapur, bilik air dan ruang tamu kecil yang cukup untuk dua orang tidur.
  Betul tekaan aku tadi. Memang sangat selesa.
  Selesai solat Maghrib dan Isyak, aku terus keluar dari rumah dan berjalan ke rumah Kak Maira yang terletak tak jauh dari situ. Nak minta charger.
  “Bukan main kau ya, bawak lari anak dara orang.” Suara Kak Maira yang kedengaran sayup-sayup dari tangga besar membuatkan langkah aku terhenti.
  “Imaginasi akak luar kawalan betul. Saya tak kenal dia pun kak oi.” Zaim tergelak-gelak menjawab.   “Mana dia? Dah masuk bilik? Okay tak tu?”
  Bersusun soalan dari Zaim. Aku masih lagi diam di tempat tadi.
  “Dah... akak dah bagi dia rumah dekat tepi ni. Kenapa kau tanya macam tu? Dia tak okay ke?”
  Aku boleh agak yang Zaim senyum bila dia menjawab. “Nampak macam okay, tapi nampak jugak macam tak. Takpelah kak. Asalkan dia dah dapat bermalam dia sini, okay lah tu...”
  “Eh, Iza dah siap?”
  Aku tersentak bila tiba-tiba nama aku dipanggil. Tak perasan pulak aku makin kedepan, nak curi dengar punya pasal.
  Zaim yang tadi membelakangi aku menoleh sekilas. Aku senyum nipis sebelum melangkah mendekati kedua-duanya yang duduk di atas sofa kayu yang disediakan di depan tangga.
  “Nak pinjam charger,” jawab aku perlahan. “Akak ada charger Iphone?”
  “Alamak, Iza. Charger untuk Iphone yang akak sediakan untuk penginap sini baru aje rosak. Akak tak pakai Iphone pulak...” Kak Maira menggaru kepala sendiri. “Memang tak ada bateri langsung ke?”
  Aku angguk. “Kalau macam tu takpelah kak. Keluar nanti saya beli.”
  “Akak tak rasa kedai tu jual charger.”
  Jawapan Kak Maira membuatkan aku mengeluh perlahan. Dah tu, aku melangut aje dekat sini tanpa telefon? Mesti Elis susah hati tak dapat contact aku.
  Mesti Tuan Qamarul pun akan cari aku.
  Dahlah tarikh untuk hantar printing dah dekat. Kerja pulak berlambak...
  “Iza?”
  Lamunan aku terus berkecai bila dengar suara asing yang memanggil. Automatik aku angkat kepala, pandang Zaim yang memandang aku dengan dahi berkerut.
  “Apa?”
  “Saya cakap, saya ada charger. Kalau nak guna bolehlah.”
  “Oh... okay.” Perlahan aku menjawab. Jawapan aku membuatkan Kak Maira dan Zaim berpandangan. Aku dapat agak yang dalam kepala masing-masing masih terfikirkan yang ‘tak okay’ nya seorang wanita bernama Iza ni.
  “Iza ikut Zaim ya pergi kedai tu? Akak ada customer pulak kejap lagi.”
  Aku hampir ternganga. Zaim pandang aku dan aku pandang dia.
  “Pergi kedai mana kak?” soal Zaim.
  Aku dah telan air liur berkali-kali. Takkanlah Kak Maira nak aku beli pakaian dalam dengan Zaim?
  Tak kelakarlah kak.
  “Iza nak cari baju...”
  “Kak!” Cepat aje aku memotong. Ayat Kak Maira terhenti di situ dan dia terus pandang aku. Nampak aje aku menggeleng laju, dia pecah dengan ketawa. Zaim yang memerhati makin berkerut dahi.
  Pelik agaknya.
  “Oh, lupa pulak.” Tawa Kak Maira tinggal sisa. “Hah, Zaim. Kamu bawak Iza pergi kedai dekat pekan kejap ya. Ada la benda dia nak beli tu.” Kak Maira kenyit mata dan wajah aku sekarang ni aku sendiri pun tak tahu nak bayangkan macam mana.
  Kebas!
  “Boleh.” Zaim bangun dari sofa kayu. “Jom. Nanti tutup pulak.”
  Aku angguk.
  “Cepatlah ambil kunci kereta.”
  Eh?
  “Saya bawak moto aje ni.” Muncung dia melurus pada EX5 di sebelah kereta Elis.
  Lupa pulak yang dia bawa moto. Takkanlah aku nak membonceng belakang dia pulak, kan?
  “Kejap.”
  Aku patah balik ke rumah untuk mengambil kunci kereta Elis sebelum kembali ke halaman rumah Kak Maira.
  “Jom.”
  Zaim hulur tangan, minta kunci dari tangan aku. Dengan dahi berkerut, aku serahkan juga kunci kereta pada dia.
  Dia takkan curi Kelisa Elis ni, kan?
  Mati aku kalau dia bawak lari.
  “Balik dari kedai nanti, singgah rumah saya kejap.” Dia terus masuk ke tempat pemandu sebelum menghidupkan enjin.
  “Kenapa nak pergi rumah awak pulak?” Aku buat suara tak puas hati sebaik saja aku mengambil tempat di sebelah pemandu.
  Dia pandang aku sekilas. “Kata nak charger Iphone?”
  Oh... lupa!
  “Okay.” Perlahan aje suara aku yang terkeluar. Nasib baik jugak Zaim ada charger Iphone, kalau tak boleh mati kutu jugak aku dekat sini malam ni.
  Tapi, kira hebat jugaklah dia boleh pakai Iphone kalau nak dibandingkan dengan EX5 yang dia bawak tadi.
  Sekali lagi aku pandang Zaim di tempat pemandu. Lain betul pakaian dia kalau nak dibandingkan dengan petang tadi. Sekarang dia dah kemas berbaju melayu dan berkain pelikat.
  Pakaian baru balik dari surau.
  Bau busuk petang tadi pun dah tak ada.
  “Dah tak busuk, kan?”
  Aku terkedu. Macam mana dia boleh tahu apa yang aku fikir ni? Bulat terus mata aku pandang dia yang masih tenang memandu melalui jalan-jalan kecil di kawasan kampung.
  “Kalau saya busuk, saya tak berani nak masuk kereta awak. Nanti lekat pulak bau busuk saya ni.” Dia sengih dengan kata-kata sendiri.
  “Sorry,” ucap aku perlahan. “Saya tak ada niat pun nak cakap macam tu...”
  “Nak mintak maaf kenapa? Dah memang saya busuk, kan?” Zaim ketawa perlahan.
  “Ha’ah.”
  “Ceh!” Makin kuat ketawa dia bila dengar jawapan aku.
  “Awak buat apa tadi sampai busuk macam tu?” Spontan terkeluar soalan tu sebelum sempat aku tahan. Beberapa saat kemudian, aku mula menyesal sendiri. Behave, Izaryn, behave!
  “Kerja kampung, biasalah.” Zaim sengih nipis.
  “Asalkan halal, takpe je kerja apa-apa pun.” Perlahan aku menjawab. Cuba mengambil hati dia kembali.
  “Tapi, bila kerja tu berbau busuk, tak ramai pun akan fikir ‘okay’. Semua pandang pelik je, semua jeling semacam je.”
  Aku gigit bibir, mengakui setiap patah dari mulut Zaim. Memang pun. Kalau nak dikira, bila pekerja lori sampah lalu pun, semua akan tutup hidung. Bila satu lif dengan pekerja buruh kasar pun, semua akan merungut. Busuk.
  Hapak.
  Tapi tetap, kerja yang dia orang semua buat tu halal.
  Tak salah pun.
  “Tadi saya baru balik main takraw dengan budak-budak lepas balik kerja.” Dia sengih tanpa memandang. “Maaflah buat awak tak selesa sampai kena tahan nafas.
  Oh, patutlah kemain bau peluh dia.
  “Iza, kan?” soal Zaim tiba-tiba. Teragak-agak aku mengangguk walaupun kedengaran pelik.
Iza. Tak sesuai langsung dengan watak bos aku dekat pejabat. Aku Ryn. Izaryn, bos Oh My Travel.
  Yang bakal dihentikan pengeluaran tu...
  “Saya Zaim.” Dia kenalkan diri, pendek.
  “Tau.”
  Zaim senyum nipis. “Ni nak beli apa sebenarnya ni?”
  “Adalah.” Aku pandang depan dan berharap yang Zaim akan tanya soalan lain pulak.
  “Macam tau je nak beli apa.” Zaim dah tayang gigi. “Awak datang sini sehelai sepinggang, kan?” Dia menoleh sekilas.
  Aku masih diam membatu. Dah tahu tu, diam-diam ajelah.
  “Nanti beli banyak-banyak, tau. Mana tahu kena duduk sini lama.” Dia dah sengih jahat. Bencinya!   Kenapa aku kena bersembang topik sensitif ni dengan dia?
  “Sepasang je cukup, esok nak balik KL dah,” jawab aku tanpa memandang.
  “Tapi awak ada hutang budi dengan saya. Mana boleh balik lagi sebelum bayar hutang.”
  Aku mengeluh tanpa sedar. Betul cakap orang. Hutang budi dibawa mati. “Awak nak saya buat apa?” Kening aku terangkat tinggi.
  Dia senyum lagi. “Esok saya bagitahu.”

  Esok? Heh. Esok aku nak kena balik KL dah...

*
bersambung

No comments: