Thursday, 9 November 2017

Jika Ini Cinta [Bab 8 ]

Bab 8



NASRIN baru saja selesai mandi saat pintu biliknya diketuk kuat. Hari minggu, memang dah jadi kebiasaan dia untuk mandi sebelum waktu Zohor. Mana taknya, bangun pun dah hampir waktu tengah hari!

Dengan hanya bertuala, pintu yang berkunci terus dibuka luas.

“Abang!” Wajah Zarith terjengul di muka pintu. “Ibu ajak pergi rumah Mak Cik Yam.”

“Nak buat apa?” Dibiarkan saja pintu terbuka dan dia terus mencapai baju dari almari.

“Kalau pergi rumah Mak Cik Yam, mestilah nak pergi jahit baju baru.” Zarith menjawab malas. Selamba dia melabuhkan punggung ke atas katil Nasrin dan terus membuka sila.

“Mana lah tahu ibu nak pinang anak Mak Cik Yam tu ke...” Nasrin sengih senget.

Laju saja adiknya mencebik.

“Baju tu beli yang dah siap je lah. Senang.” Baju T disarungkan ke badan.

“Tak boleh. Kain tu Auntie Nisa yang bagi. Zarith punya pun ada. Kena upah jahit jugak.”
Auntie Nisa, mama Najwa yang juga kawan rapat ibu dia.

“Auntie Nisa bagi? Nak buat apa?” Pandangannya jatuh pada Zarith yang sibuk membelek majalah Backpackerz yang baru dibelinya semalam.

“Untuk kenduri la...”

Kali ini kening dia terangkat tinggi.

“Kenduri? Kenduri apa?” Dengar je perkataan kenduri, dada dia mula berdebar kencang.

Tumpuan Zarith tertumpu pada artikel Pulau Jeju di tangannya. Soalan Nasrin dibiarkan tanpa dijawab.

“Zarith, kenduri apa?” Suaranya dinaikkan satu nada.

“Kenduri Kak Najwa lah. Buat tak tahu pulak...” Zarith menjawab tanpa memandang.

Dengar je jawapan Zarith, dia terus ternganga luas. Kenduri Najwa? Najwa jadi kahwin ke?
Seluar disarung laju sebelum dia keluar dari bilik. Zarith yang sibuk dengan majalah ditinggalkan begitu saja.

Tiba di ruang tamu, wajah ibunya pula menyapa mata.

“Ibu!”

Puan Hanan yang sibuk membetulkan letak tudung di hadapan cermin besar menoleh sekilas.

“Dah siap?”

“Kenduri apa dekat rumah Najwa bu?” Tanpa menjawab soalan ibunya, dia terus ke topik utama.

“La, kenduri Najwa lah. Kamu tak tahu ke? Kan majlis nikah dia hujung bulan ni.” Pin terakhir disematkan ke bahu. Spontan dia senyum bila tudung yang dipakai kemas terletak.

Nasrin jadi tak tentu arah. Takkanlah Najwa nak nikah juga dengan Izzat? Kena guna-guna ke apa Najwa tu? Kenapa dipercepatkan pulak? Bukan ke haritu baru saja Najwa cakap yang dia nak putuskan?

“Jom. Ibu dah siap.” Puan Hanan mencapai beg tangan dari atas meja makan. “Zarith!”
Dengar saja laungan ibunya, Zarith terus keluar dari bilik Nasrin.

“Bu, Nas ada hal jap. Ibu pergi dengan Zarith.” Dia terus melangkah ke pintu besar. Tak boleh jadi ni.

 Apa yang Izzat dah racun Najwa sehinggakan perkahwinan yang sepatutnya dibatalkan jadi juga?

“Kereta abah guna la abang!” Sempat Zarith menjerit sebelum dia melepasi pintu besar.
Tanpa berfikir panjang, dia terus melemparkan kunci kereta sendiri ke arah Zarith. Cepat pula Zarith menyambut.

Kunci motosikal dan helmet dicapai dari sebelah pintu tanpa menghiraukan pandagan pelik dari ibu dan adiknya.

Dadanya membuak dengan pelbagai rasa.

Tak boleh tidak, dia kena tahu juga apa yang jadi sebenarnya.



DI BUTIK, Najwa bekerja macam biasa. Sejak dia berterus terang dengan Izzat tempoh hari, sedikit demi sedikit dia cuba untuk terima kenyataan tentang kanser yang dihadapi.

Keadaan penyakit dia masih jadi rahsia. Buat masa sekarang, hanya Izzat saja yang tahu hal sebenar. Berkali-kali juga dia ingatkan Izzat jangan bagitahu sesiapa pasal penyakit yang dia ada. Biarlah dia sendiri yang buka cerita bila tiba masanya.

Bila berita untuk cepatkan tarikh pernikahan sampai pada telinga mamanya, bertalu-talu pelukkan yang dia terima. Gembira betul gaya dia. Waktu tu juga mama sibuk menempah macam-macam benda untuk majlis nikah dia nanti.

Tengah hari itu, selesai saja dia menunaikan solat Zohor, wajah Nasrin yang mencuka menyapa mata. Hanya dia saja yang ada di dalam pejabat kecil itu. Marisa baru saja keluar makan tengah hari dengan suami dia.

Dengan masih bertelekung, perlahan-lahan dia mendekati Nasrin yang tak senang duduk di atas sofa luar pejabatnya. Nampak saja Najwa berjalan ke arahnya, Nasrin terus berdiri tegak.

“Najwa.”

“Apahal ni? Kau kena kejar dengan polis ke tengah jalan tadi?” Berkerut dahi Najwa bila nampak wajah Nasrin yang serba tak kena.

Peluh dek helmet yang dipakai dibiarkan saja.

“Wa, mama aku cakap kau jadi nikah. Dia salah faham, kan? Takkanlah kau jadi nikah. Kau kan dah putuskan pertunangan dengan si tak guna tu.”

Dengar je soalan Nasrin, dia terus mengeluh perlahan. Kaki melangkah pula ke arah pejabatnya sambil menarik telekung dari kepala. Dia tahu apa yang Nasrin nak cakap lepas ni.

Dia boleh rasa apa yang Nasrin fikir. Sama seperti Marisa, Nasrin mesti tak setuju juga bila dia cakap nak cepatkan tarikh nikah.

Sebab itulah awal-awal lagi dia tak nak bagitahu Nasrin tentang tu.

“Sebenarnya Nas, aku jadi nikah dengan dia.” Perlahan dia menuturkan.

Huh? Kau gila?” Nasrin hampir menjerit. Pintu pejabat Najwa ditutup rapat. Walaupun tertutup, cermin tembus pandang besar yang menjdi dinding pejabatnya membuatkan Nadrah dan Ros yang berada di luar terjenguk-jenguk ke dalam.

Cuba mengintai apa yang berlaku.

“Aku em... aku jadi nikah dengan Izzat. Dan aku tak gila.”

Nasrin bagai naik hantu saat mendengar jawapan dari mulut Najwa.

“Lepas semua yang dia dah buat pada kau, kau masih nak terima dia? Come on, Najwa. Kau lebih bijak dari ni la. Kenapa mesti teruskan juga pernikahan kau ni? Kenapa dia jugak yang kau pilih?”

Najwa ketap bibir. Sebenarnya, bila Nasrin telefon nak jumpa tadi, dia dah bersedia dengan pelbagai soalan. Dia dah sedia dengan pelbagai kemungkinan dah dia tahu, Nasrin takkan faham keputusan yang dia ambil sekarang ni.

“Sebab dia sayang aku.”

Izzat sanggup terima dia walau dia dah tak banyak masa. Apa lagi yang dia nak?

Bullshit!” Pintu ditumbuk sekuat hati.  

Bergegar terus satu pejabat. Bunyi kuat tadi membuatkan Nadrah dan Ros sekali lagi mencuri pandang.

“Jangan bagi aku alasan tu, Najwa. Aku tahu dia macam mana. Kau pun tahu dia macam mana. Sayang? Heh!”

Najwa tarik nafas panjang. “Nas, kalau kau tak setuju dengan keputusan aku, aku tak boleh nak buat apa. Tapi itulah yang akan jadi.”

Mata Nasrin merah membara menahan marah. Sungguh, dia sendiri tak tahu nak gambarkan apa yang dia rasa sekarang.

“Aku ada customer Nas, kalau kau nak marah-marah macam ni, baik kau balik je.” Najwa berpura-pura meneruskan kerja. Wajah Nasrin yang masih penuh dengan amarah sengaja tak dipandang.

Dia tahu Nasrin kecewa dengan keputusan ni.

Dia tahu Marisa juga langsung tak bersetuju.

“Aku tak percaya kau boleh jadi sebodoh ni untuk terima dia balik!” Nasrin menghempas pintu kasar sebelum meluru keluar ke arah motosikalnya yang diparkir betul-betul di depan kedai.

Nampak saja motosikal Nasrin memecut laju membelah jalan, cepat saja dia beristighfar. Tak pernah seumur hidup dia nampak Nasrin marah macam tu sekali. Tak pernah Nasrin tengking dia macam ni.

Dah disebabkan satu keputusan yang dia terpaksa buat sekarang, dia terpaksa hadap je kemarahan Nasrin.

Nad dan Ros terjenguk-jenguk dari kaunter, pelik agaknya bila nampak dia dan Nasrin bertengkar teruk macam tadi. Nafas ditarik dalam sambil hatinya cuba untuk bertenang.

Walau kelibat Nasrin dah hilang dari pandangan, air mata Najwa tumpah tumpah tanpa dipinta.

Tolonglah Nasrin. Untuk terakhir kali, biarlah aku bahagia dengan orang yang aku cinta.


***

No comments: