BAB 9
SEJAK Nasrin keluar
dari butik tempoh hari, sekali pun Najwa tak dapat berita tentang dia.
Selalunya ada saja cerita dekat WhatsApp
yang dia nak kongsi. Ada saja panggilan telefon dari dia walaupun topik remeh
temeh.
Sesekali jumpa
Auntie Hanan di rumah dia, segan pula nak tanya lebih-lebih pasal Nasrin. Pada
Zarith yang selalu mengikut ibunya ke sana kemari juga dia segan untuk
bertanya.
Dia dah hampir jadi
isteri orang. Takkanlah sibuk cari lelaki lain pula?
Akhirnya, dia
biarkan saja Nasrin hilang dari radar. Biarlah Nasrin dengan rajuk dia. Mungkin
lepas ni Nasrin akan faham kenapa dia ambil keputusan ni.
Hari ini, lebih
kurang dua minggu sahaja sebelum tarikh pernikahan. Marisa dan mama
masing-masing sibuk dengan urusan hadiah untuk tetamu. Abah pula rasanya dah
habis jemput jiran-jiran satu taman dan dia pula baru saja terfikir untuk
wujudkan event di Facebook.
Malam itu, selesai
menguruskan apa yang patut di tingkat bawah, Najwa naik ke bilik sendiri. OPPO
dicari sebelum satu WhatsApp dihantar
pada Ain. Kawan rapat waktu sekolah.
Nak jadi bridesmaid aku tak?
Send.
Dia mencipta senyum
nipis. Dah lama dia teringinkan majlis perkahwinan yang ada ramai bridesmaid macam kebanyakan raja sehari
zaman sekarang. Dulu waktu merancang perkahwinan dengan Izzat pun, dia ada sebut pasal nak bridesmaid ramai. Best men untuk Izzat pun dia nak.
Cantik je bila
tengok dalam gambar.
Meriah pun meriah.
Nak!!!
Siapa lagi?
Nak nak nak!
Lebar terus
sengihan dia bila baca jawapan dari Ain.
Geng kita dulu la. Munirah, Fatt,
Ya. Lepas tu kawan-kawan uni aku dua orang. –Najwa
Cun! Seronoknya! - Ain
Kau tolong buatkan group ya. Apa-apa
nanti aku bagitahu. - Najwa
Oraitto! - Ain.
Akhirnya dia hampir
merasa salah satu impian dalam hidup;
Berkahwin dengan Izzat
dalam majlis yang meriah dengan kehadiran kawan-kawan rapat.
Bibir menarik
senyum nipis. Walau kadang-kadang hati rasa berbelah bahagi dengan keputusan
sendiri, namun cepat-cepat dia tepis. Walau untuk seketika, dia nak juga rasa
bahagia.
Kepala tiba-tiba terasa
berdenyut kuat. Dia terus terlentang dengan tangan di kepala. Mata dipejam
rapat, cuma menghilangkan rasa sakit.
Baru saja Izzat
temankan dia ke hospital dua hari lepas untuk rawatan susulan dan beberapa
ujian. Sengaja dia suruh Izzat tunggu dekat luar sewaktu Doktor Mahfuzah
menerangkan tentang tumor yang makin membesar di kepalanya.
Sedikit demi
sedikit dia mula terima kenyataan.
Walau apa pun yang
jadi, hidup dia yang masih berbaki beberapa bulan ini mesti diteruskan.
Jam pada dinding dipandang
sekilas sebelum dia membetulkan letak bantal di hujung katil. Baru pukul 11
setengah malam tapi mata dia terasa berat untuk dibuka.
Belum sempat dia
baring dengan selesa, OPPO di sebelah bergetar kuat menandakan ada WhatsApp baru. Cepat saja jari jemari
membuka peti WhatsApp bila nama Izzat
terpamer pada skrin.
Senyuman nipis
tercipta bila memikirkan yang dia dan Izzat akan temu saat bahagia tak lama
saja lagi.
Najwa, maafkan saya.
Sungguh, saya tak tahu berapa kali
saya fikir sebelum ambil keputusan untuk hantar mesej ni.
Sorry sebab saya rasa saya tak
mampu nak pikul tanggungjawab untuk jadi suami awak. Saya betul-betul sayang
awak. Tapi bila dapat berita yang awak dah tak boleh hidup lama, saya jadi
keliru.
Maafkan saya sebab buat keputusan
ni lepas setuju untuk nikah dengan awak. Saya sendiri akan jumpa mama dan abah
awak untuk batalkan perkahwinan ni. I’m sorry.
Dalam hal ni, saya yang jahat.
Saya yang tak cukup baik untuk
terima awak.
Maafkan saya, Najwa.
Saya bukan calon suami terbaik
untuk awak.
Dia terus terduduk
di atas katil. Terkesima.
Tangannya
terketar-ketar memegang OPPO di tangan. Setiap bait perkataan yang ditulis Izzat
makin kabur dari pandangan mata.
Allah!
Kepala terus terasa
berpinar.
Air mata pula pecah
tanpa dipinta.
Izzat sendiri yang
hantar ni? Setelah berbakul dia kena marah dengan Nasrin sebab bela Izzat. Setelah berbakul
nasihat Marisa bagi, dia tetap dengan keputusan sendiri. Tapi ini pula
keputusan Izzat?
Dalam hal ni, saya yang jahat.
Saya yang tak cukup baik untuk terima awak. Maafkan saya, Najwa. Saya bukan
calon suami terbaik untuk awak.
Perkataan terakhir
dibaca berulang kali. Mengharapkan di tersilap baca dimana-mana. Namun dia
hampa.
Isi WhatsApp diterima masih tak berubah dan
betul, Izzat tak nak terima dia sebagai isteri.
Ya Tuhan... Kenapa macam ni
jadinya?
TENANG MALAM itu
langsung tak setenang hatinya. Sepanjang malam dia menangis di dalam bilik.
Entah apa yang dia ratapi pun dia sendiri tak pasti.
Macam-macam ayat
yang cuba dia cipta untuk bagitahu pada mama dan abahnya nanti namun tak ada
satu pun sedap didengar pada telinga.
Semua persiapan dah
hampir siap, takkan sesenang itu je dia nak bagitahu tak jadi nikah?
Mengenangkan
jawapan dari Izzat, hati dia dipaut rasa kecewa. Berkali-kali juga dia minta Izzat
fikirkan balik keputusan dia namun jawapan Izzat tetap sama.
Dia tak boleh jadi
suami yang baik untuk seorang pesakit kanser.
Bakal pengantin tak
sudi, takkanlah dia seorang sahaja yang ada di pelamin nanti?
Memikirkan itu saja
dah buat dia hampir gila. Nombor telefon Nasrin dicari dari senarai contacts untuk meluahkan segala rasa.
Sebaik saja sebaris
nama itu keluar di skrin, cepat saja dia menyambungkan talian.
Bunyi ‘tut’
menandakan telefon dimatikan membuatkan dahi dia berkerut lebat. Kalau nak
dikira, inilah kali pertama dia telefon Nasrin selepas kes di butik tempoh
hari.
Biarlah banyak mana
pun Nasrin nak marah dia.
Dia sanggup dengar
banyak mana pun kutukan dari sahabatnya asalkan dia dapat luahkan segala yang
terbuku di dada.
Bila sekali lagi
talian tak dapat disambung, Najwa menangis lagi. Nak menyesal pun dah tak guna.
Dia buta dengan cinta yang Izzat janjikan. Dia terlalu harapkan Izzat untuk tenangkan
hati yang berkecamuk kerana penyakit yang tak diundang.
Tapi dia lupa, Allah lah yang sebenarnya
sangat rindukan rintihan dia. Allah sajalah yang jadi tempat dia bergantung.
Najwa teresak
sendiri.
Sekarang ni dia dah
tak kisah dengan malu yang bakal dia tanggung.
Dia cuma berdoa agar
hati mama dan abah kuat dengan berita yang bakal dia sampaikan nanti.
***
No comments:
Post a Comment