Monday, 30 October 2017

Jika Ini Cinta [Bab 4]

BAB 4




HARI AHAD. Sepatutnya dia ada banyak kerja yang perlu diselesaikan di butik tapi sengaja dia ambil cuti. Nasib baiklah Marisa tak banyak tanya dan sudi jaga butik macam biasa.

Semalam, hampir waktu Maghrib barulah dia sampai rumah. Nasib dia baik bila mama dengan abah awal-awal lagi keluar ke masjid, jadi tak adalah sesi soal jawab kenapa muka dia lesu dan sembab.

Sepanjang malam dia berkurung di dalam bilik, menyepikan diri. Masih cuba terima kenyataan dan tenangkan hati sendiri. Berbakul-bakul panggilan dan WhatsApp dari Izzat yang dia terima sejak keluar dari hospital semalam tapi satu pun tak dibaca.

Tak kisahlah apa pun alasan Izzat, dia tetap tak boleh terima dan putuskan pertunangan ni adalah keputusan yang tepat bagi dia.

“Eh, dik? Tak kerja ke hari ni?”

Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam dapur untuk bersarapan, suara Puan Anisa menyapa telinga. Najwa sengih nipis sebelum menggeleng sesaat.

Salah satu kerusi ditarik sebelum dia melabuhkan punggung disitu. Bau nasi goreng kampung terus menyapa hidung.

“Cuti.” Pendek jawapan dia. Pinggan yang tersedia di atas meja dicapai dengan sebelah tangan. Sedap pulak tengok nasi goreng mama ni.

“Cuti? Adik tak sihat ke?” Abahnya, Encik Umar pula menyampuk. Surat khabar hari ini diturunkan sedikit untuk memandang wajah anak bongsunya itu.

“Taklah, bah. Saja, nak rehat.” Jawab dia tanpa memandang.

Dari hujung mata, Najwa sempat menangkap pandangan pelik dari abah dan mamanya.

“Abah, mama.” Dia tarik nafas panjang. Wajah abah dan mamanya dipandang bersilih ganti. “Pasal dengan adik dan Izzat...”

“Ha, mama ada jumpa umi Izzat semalam. Lama jugak bersembang pasal perkahwinan korang.”

Laju saja Puan Anisa memotong sebelum sempat dia habiskan ayat. Niat untuk cerita hal sebenar terus terbantut.

“Kenapa dengan adik dan Izzat?” soal abahnya perlahan. Surat khabar dilipat dan diletakkan ke tepi. Sebelah tangannya mencapai kopi panas sebelum memaku pandang pada Najwa.

Takde... adik ingat nak...”

“Nak cepatkan tarikh nikah? Ha, elokla tu dik. Lama sangat korang bertunang. Tak elok darah manis lama-lama.”

Najwa senyum kelat, cuba menutup risau dalam hati. Bila berdepan dengan mama dia macam ni, segala ayat yang difikirkan dalam kepala malam tadi semua serba tak jadi.

Isk, awak ni. Biarla dia habiskan ayat dulu.”

Dengar saja teguran suaminya, Puan Anisa mencebik. Najwa yang memerhati tersengih-sengih sendiri. Kelakar pulak bila nampak mama dia kena marah macam tu.

Bila nampak wajah mengharap mamanya dan riak risau abah, niat untuk putuskan pertunangan terus terbantut.

“Adik ingat nak tangguhkan lagi,” ujar dia senafas, menjawab soalan Encik Umar tadi. Tak sampai hati pulak nak kecewakan hati kedua-duanya.

“Takkan nak tangguh lagi, dik. Mama dah tak sabar nak tengok adik naik pelamin. Nak timang cucu baru...”

“Mama kan dah ada cucu.”

“Itu anak kakak. Mama nak juga tengok anak adik pulak.”

Laju saja Encik Umar menggeleng bila dengar jawapan isterinya. Memang tipikal ibu-ibu betul!

“Kalau itu yang adik nak, kami ikutkan saja. Cuma jangan lupa batas je. Bertunang bukan lesen untuk buat semua benda bersama.”

“Adik faham, bah.”

Puan Anisa menjeling tak senang. Kalau nak diikutkan hati, bulan depan jugak dia nak nikahkan Najwa dan Izzat. Dah lama sebenarnya dia berangan-angan untuk berbesan dengan keluarga Datin Sofia, umi Izzat tu.

Bukan sebab berharta, tapi Datin Sofia tersangatlah santun orangnya. Untunglah dia kalau anaknya Najwa ada ibu mertua sebaik Datin Sofia.

Sekurang-kurangnya, senanglah hati dia untuk lepaskan Najwa nanti.

“Abah dengan mama ada nak pergi melawat kawan dekat Puchong. Nak ikut?”

Laju dia geleng. Alang-alang bercuti, memang dia nak rehatkan diri dekat rumah je.

“Okey ke dekat rumah sorang-sorang ni?” Puan Anisa pula bersuara. Sebenarnya dia sendiri pelik bila tahu Najwa ambil cuti. Sebelum ni walau sakit teruk macam mana sekalipun, anak bongsu dia itu akan pergi juga ke butik.

“Okey, ma. Don’t worry.” Najwa angkat tangan tanda ‘okey’ sebelum menghabiskan nasi goreng yang masih tinggal separuh.

Hatinya berkira-kira sendiri.  Apa dia nak buat sekarang ni?

Tunggu masa lain yang lebih sesuai?

Tapi bila?



SELESAI SOLAT Zohor, Najwa terus turun ke ruang tamu. Telefon pintar yang dibiarkan tadi dicapai dengan sebelah tangan. Sempat dia meneliti setiap WhatsApp yang ada sambil memasukkan baju ke dalam mesin basuh.

Selain WhatsApp dari Izzat, ada juga beberapa dari Nasrin dan kawan-kawan yang lain. Tanpa menghiraukan yang lain, WhatsApp Nasrin dibuka.


Nasrin
Morning
Okey sikit tak hari ni?
Oit, tidur lagi ke?
Wa?
Najwa oi. Dah sihat ke belum ni? Mana kau? Takkan dengan aku pun kau nak marah sama?
Putih la janggut aku tunggu kau reply...


Terlepas juga tawa dia bila baca ayat terakhir. Selesai isi semua baju ke dalam mesin, dia masukkan pula sabun. Mesin basuh ditinggalkan sebaik saja butang ‘Start’ ditekan.

Najwa
Kau rindukan aku ya Nas?
Bukan main banyak WhatsApp aku.

Send.

Jari jemari beralih pula pada nama Izzat. Ucapan maaf dan sayang dari dia terus memenuhi skrin. Najwa tarik nafas perlahan.

Kakinya di bawa ke sofa sebelum TV dibuka dengan remote controller. Sebaik saja melabuhkan punggung di atas sofa, jarinya laju saja membuka laman Instagram.

Ada juga beberapa kali dia buka IG Effa Darlina selepas dia balik dari hospital semalam. Dari gambar yang dimuat naik Effa, langsung tak nampak kekesalan dari pihak dia.

Gambar makanan, gambar pergi gym, gambar pergi event. Kesemuanya dengan senyuman lebar macam tak ada apa pun yang jadi.

Dia yang kecewa ni separuh mati rasanya cuba tenangkan hati.

Ralit membaca kata-kata maaf dari Izzat, WhatsApp baru dari Nasrin mencuri pandangan mata.

Laju saja dia buka dan baca.

Nasrin
Rindu tu taklah. Aku takut kau mereput sorang-sorang dekat bilik tu je.
Alhamdulillah, Ana Najwa masih bernyawa

Laju dia geleng kepala.

Najwa
Ya, aku hidup lagi
Nak apa ni?

Nasrin
Aku nak pergi kedai kau. Nak beli beg untuk Zarith yang tak kesampaian semalam.

Najwa
Pergi je la Nas. Kakak aku ada tu. Nanti dia tolong pilihkan.
Kau tak payah bayar. Kira tu hadiah dari aku.

Nasrin
Kau pergi mana?
Kenapa tak ada dekat kedai?

Najwa
Dekat rumah.

Belum pun seminit dia menjawab soalan Nasrin, OPPO berbunyi nyaring. Nampak saja nama Nasrin pada skrin, dia terus menggeleng.

Apa lagi la yang dia ni tak puas hati?

“Ya tuanku...” Najwa bersuara malas sebaik saja dia menyambungkan talian. Rajin pulak Nasrin habiskan masa cari dia hari ni. Selalu tak adalah sampai berkali-kali dia WhatsApp dalam satu hari.

Kadang-kadang, seminggu sekali pun payah.

“Kau tak sihat lagi ke? Ubat yang doktor semalam kau makan ke tidak? Jangan nak mengada jadi budak kecik boleh tak? Takkanlah orang tak suruh makan ubat, kau tak makan? Tak reti nak makan sendiri?”

Sikit lagi dia nak jauhkan telefon dari telinga bila dengar soalan bertalu-talu dari orang di hujung talian.

“Oi, kau dah kenapa? Bila masa pulak aku cakap tak makan? Dah makan lah dan aku dah sihat pun. Saja nak rest dekat rumah.”

“Alah, mengada lah nak rest-rest dekat rumah. Jangan cakap yang kau tengah melayan perasaan fikirkan lelaki tak guna tu, Najwa. Kalau betul, hari ni jugak aku bagitahu abah kau.”

Isk, mana ada! Aku memang nak rehat pun. Mana ada aku menangis dah.” Suaranya naik satu nada. Suka-suka je tuduh macam-macam. Hari ni dia dah kuat. Dah tak ikutkan sangat hati yang sedih ni.

Kalau Effa yang dah hancurkan hubungan dia dan Izzat boleh bergembira macam tak ada apa jadi, kenapa dia nak bersedih pulak?

“Manalah tahu... kut-kut angin kus-kus kau semalam datang balik.” Nasrin sengih sendiri. “Jom, Wa. Siap. Aku ambil kau, kita pergi butik.”

“Aku malas nak keluar la...”

Nasrin mengeluh perlahan. “No. Aku kena keluarkan kau dari rumah. Abah dengan mama kau tak ada, kan? Jangan tipu sebab aku tahu dia orang tak ada. Ibu aku cakap nak tumpang mama kau pergi Puchong hari ni. So, jom ikut aku pergi butik. Aku tak boleh biarkan kau sorang-sorang macam ni. Kalau kau bunuh diri ke apa ke, aku jugak yang susah.”

“Gila ke apa nak bunuh diri? Ingat aku depressed sangat? Ingat aku tak tahu agama ke?”
Nasrin ketawa dari hujung talian.

“Kalau tak nak bunuh diri, jom ikut aku keluar.”

“Ya, aku bersiap. Kau jangan datang cepat sangat. Aku tak mandi lagi ni.”

“Isk! Anak dara apa macam ni? Patutlah Izzat lari.”

“Nasrin!!!”

Nasrin ketawa lagi. Panas je telinga dia dengar.

“Cepat siap. Sejam lagi aku sampai.” Talian diputuskan sebaik saja dia menghabiskan ayat.

Najwa tarik nafas panjang. Sebenarnya badan dia masih terasa letih dan lemah. Tapi bila fikirkan yang dia boleh fikir macam-macam bila bersendirian, dia kuatkan juga kaki untuk keluar.


Kan best kalau apa yang jadi semalam tu mimpi je?



*****

2 comments:

Nana Mohd Yasin said...

X puas baca
Nak lagiiii

Illa Shanahila said...

bab 7 dah published =)