Monday, 23 October 2017

Jika Ini Cinta [Bab 1]

BAB 1


KEPALA terasa berpinar namun dia paksa juga untuk menyiapkan kerja yang ada. Selesai menghantar emel kepada beberapa orang pengedar, dia terus bersandar pada kerusi sebelum memejamkan mata.

Lama.

Cuba menghilangkan denyutan di kepala yang makin menggila.

“Cik Najwa?”

Nafas dihela perlahan sebelum dia membuka mata beberapa saat. Wajah ayu Nadrah terjengul di muka pintu biliknya yang sengaja dibiarkan terbuka.

“Ya, Nad?” Mata kembali dipejam rapat. Entah kenapa sejak dua menjak ini cepat benar dia terasa letih. Mungkin sebab tak cukup tidur? Tak cukup rehat?

“Tunang cik ada dekat luar.”

Sebaris ayat dari mulut Nadrah membuatkan matanya terbuka luas. Cepat saja dia menjenguk ke arah cermin tembus pandang dari biliknya.

Betul. Izzat berdiri tegak di luar kedai dengan telefon pintar di tangan. Izzat Nazrul, lelaki yang berjaya ketuk hati dia setelah bertahun-tahun dia tak percaya dengan cinta. Izzat saja yang dia nampak bersungguh-sungguh ingin jadikan dia sebagai isteri walaupun bagi dia, dia masih muda untuk merangkul gelaran tu.

24 tahun.

Banyak lagi benda yang dia impikan dalam hidup ini selain berkahwin dengan Izzat, namun entah kenapa bila Izzat ajak dia bertunang, cepat sahaja hatinya menerima. Itupun setelah dia berjaya buka butik kecil ini bersama-sama kakaknya, Marisa.

Thanks, Nad.”

Nadrah mengangguk dengan senyuman sebelum kembali ke tempat kerjanya. Najwa tarik nafas panjang. Sempat dia mengerling jam pada dinding sambil mencapai beg tangan dari bawah meja.

Dia dah lambat setengah jam!

Sungguh dia tak sedar masa berlalu bila dah khusyuk dengan kerja.

Melihat Izzat yang melambai dari luar, bibirnya terus mencipta senyum. Kepala yang berdenyut tadi juga beransur hilang dan langkahnya dipercepatkan ke arah si tunang.

“Nad, jaga kedai kejap ya?  I nak keluar lunch.”

“Baik cik.”

Najwa senyum lebar saat menolak pintu kaca untuk keluar. Wajah Izzat yang sudah hampir seminggu tidak ditatap itu membalas senyumannya.

“Hai. Sorry saya lambat.”

“It’s okay.” Senyuman Izzat membuatkan hatinya berbunga. “Setakat lambat setengah jam saya tak kisahlah. Jangan awak lupakan saya terus, sudah.”

“Mana boleh lupa.”

Kembang terus hati si tunang dengan jawapan yang diberi.

“Nak makan dekat mana ni?”

“You decide.” Izzat buka pintu kereta. Najwa juga sama. Sebaik sahaja dia masuk di tempat sebelah penumpang, hidungnya terbau wangian yang lain dari biasa.

Ini bukan bau Gucci Flora yang selalu dia sembur setiap pagi. Nak kata bau Dunhill Blue yang Izzat selalu pakai pun, bukan.

“Kenapa?”

Soalan Izzat membuatkan dia tersentak. Cepat cepat dia mencipta senyum sebelum memakai tali pinggang keledar. Letak kerusi juga dibetulkan mengikut keselesaan.
Izzat yang tidak ambil pusing dengan keadaan di tempat duduk penumpang terus membawa kereta keluar dari petak parkir.

Najwa melepas nafas perlahan. Kenapa lain benar perasaan bila naik kereta Izzat ni? Selalu bau Dunhill Blue saja yang memenuhi segenap ruang.

Ini...

“Awak dari mana tadi?” Terpacul keluar soalan dari fikirannya tanpa sempat ditahan.

“Dari KLCC. Kan dah cakap ada photoshoot dekat taman KLCC pagi tadi?” Dahi Izzat berkerut nipis.

“Oh, awak sorang? Atau dengan team yang lain?”

“Sayang, awak pun tahu kan yang saya suka gerak sorang-sorang? Budak-budak lain dengan kenderaan dia orang sendiri.”

Dia diam seketika.

Okay... tapi mana datang bau Annick Goutal Petite Cherie ni? Hah, ingat pun mana dia bau wangian macam ni.

Memang sah Petite Cherie. Memang dia ingat bau manis buah tu sebab dia terbawa balik smellcard yang diambil dari butik Annick Goutal tak lama dulu.

Takkanlah Izzat dah bertukar selera perfume kot?

“Kenapa ni, hm?”

“Tak ada apa. It’s just, kereta you ni. Aura dia dah lain. Wangi pun lain macam je.” Sengaja dia angkat kening sebelah. Cuba bergurau walhal dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu.  Cukuplah sekali dia melihat khabar angin tentang Izzat dan Insta-Famous itu di media sosial.

Tak sanggup nak bayang apa yang jadi kalau khabar angin tu memang betul.

“Wangi? Oh... sebab tu kot.” Izzat menoleh ke belakang sekilas sebelum menumpukan perhatian pada pemanduan.

“Model tadi tertinggal perfume dia dekat set.” Sambung dia lagi.

Botol jernih Annick Goutal Petite Cherie dan beberapa barangan mekap lain elok terletak di dalam bakul di tempat duduk belakang.

“Model? Effa Darlina?”

Izzat mengangguk nipis tanpa memandang.

“Jadi nanti awak kena hantar pada dia ke lepas ni?”

“Wow, ada bau-bau cemburu...” Izzat susun gigi. “Sayang, kan saya dah bagitahu dulu. Saya memang tak ada yang lain selain awak. Saya sayang awak je. Perempuan lain tu saya pandang sebelah mata je.”

Najwa senyum kelat. Sungguh dia takkan lupa rasa sakit hati dia bila nampak gambar Effa Darlina, model dan insta-famous tu memeluk erat pinggang Izzat di dalam sebuah majlis.

Dan yang paling buat dia air mata dia jatuh, Izzat juga membalas menarik pinggang Effa dekat pada dia.

Sekeping gambar dari IG Effa itu saja sudah mampu buat malam dia huru hara. Kalau bukan kawan-kawan yang hantar screenshot gambar tu, sampai sudah dia takkan tahu yang selama ini Izzat memang selalu bekerja dengan Effa Darlina.

Photographer dan model.

Dan bila hati dia hampir remuk, Izzat tampil dengan penjelasan. Dan ya, dia percayakan Izzat.

Katanya Effa yang terlebih dahulu memeluk pinggang dia dan dia spontan menarik Effa dekat pada dia sewaktu gambar itu diambil.

Perit untuk terima, tapi dia tak ada pilihan lain selain percayakan Izzat.

Najwa tahu Izzat sayang dia dan dia cuba faham kerja Izzat sebagai jurugambar terkenal.

“Tak adalah. Saya tanya je. Kalau awak nak hantar pada dia sekarang, saya nak temankan. Nak juga saya jumpa model yang awak selalu bekerjasama tu.” Najwa menjeling ke arah tunangnya sekilas. Nak tak nak, geram juga hati dia memikirkan tindakan Izzat yang spontan memeluk pinggang anak dara orang.

Kut ya pun sebab kerja, takkanlah tak tahu halal dan haram?

Dah lama juga dia tak berkenan dengan gaya hidup sosial Izzat. Dia sendiri pun berkawan rapat dengan lelaki, tapi pegang tangan Nasrin tu pun dia tak pernah.

“Saya akan tinggalkan dekat studio nanti. Biar je dia ambil dekat situ.”

Najwa diam.

Malas nak panjangkan hal-hal yang boleh merosakkan hubungan dia dan Izzat. Lagipun, tarikh perkahwinan yang ditetapkan dah tak lama. Nak tak nak, dia kena percayakan Izzat seratus peratus. Dia kena faham kerja Izzat yang perlu bersosial dengan semua orang.

Nafas dihela perlahan. Sekali lagi dia menjeling ke arah bakul yang berisi alat mekap dan perfume tadi. Entah kenapa hati sendiri terdetik curiga. Tapi bila pandangannya kembali pada Izzat yang tersenyum manis di sebelah, rasa curiga itu ditepis jauh dari hati.



TEPAT jam lapan setengah malam, Nasrin melepas nafas lega. Dia baru saja selesai dengan kerja di pejabat sebelum telefon pintarnya berbunyi nyaring. Nama yang dibaca sekilas dari skrin telefon membuatkan dia tersenyum nipis.

“Hah, ada apa cari aku malam-malam macam ni? Ini mesti tunang kau tak layan kau, kan?” Tanpa kata-kata aluan, dia terus membidas.

Spontan suara pemanggil ketawa tawar menyapa telinga.

“Assalamualaikum, Nas. Makan popcorn ke tadi? Bukan main kau punya greetings.”
Jawapan Najwa membuatkan dia ketawa kuat. Memang susah betul nak menang dengan gadis bernama Najwa ni.

“Waalaikumussalam. Kau nak apa sebenarnya ni?” Dia bersandar pada kerusi sambil mengurut leher sendiri. Seingat dia, sebaik saja selesai Maghrib tadi, dia terus menghabiskan report yang ada.

Dua minggu delay di bahagian kewangan, baru harini dia dapat selesaikan semuanya.
Itupun bila waktu dah hampir menginjak waktu Isyak!

“Kau dekat rumah, kan? Tolong datang kedai aku boleh?”

Nasrin senyum segaris.

“Apa yang membuatkan kau rasa aku dekat rumah? Mana tahu aku masih dekat office ke, aku tengah dating ke?” Matanya meneliti segenap ruang pejabat. Hanya meja dia dan meja Ilyas sahaja yang masih berpenghuni. Yang lain semua dah menghilangkan diri sebaik saja habis waktu kerja.

Ilyas pun sama seperti dia. Siapkan kerja yang tergendala. Kalau bukan sebab nak dibawa masuk meeting dengan pengarah esok pagi, memang sampai sudahlah kerja tak siap.

“Elleh, kau tu bukannya pekerja berdedikasi sangat nak lepak dekat office waktu-waktu macam ni. Dan dating? Heh, wanita malang mana yang suka dekat kau ni?”

Laju dia menggeleng bila dengar jawapan Najwa. Perlahan-lahan dia bangun dari kerusi sambil mengemas meja dengan sebelah tangan.

“Kau jangan pandang aku sebelah mata, Najwa. Lepas ni aku bawa awek aku jumpa kau, barulah kau tahu erti penyesalan.”

“Kenapa pulak aku yang nak menyesal? Aku dah ada tunang yang jauh lebih baik dari kau, tahu?” Najwa dah tergelak-gelak di hujung talian. Entah kenapa hatinya bagai disiat-siat bila mendengar jawapan si gadis.

Sayang Najwa pada Izzat melebihi segalanya. Itu memang tak dapat nak disangkal lagi. Tak kiralah berapa banyak kali pun Izzat dah buat hati Najwa sedih. Kalau tak difikirkan yang dia bukan siapa-siapa dalam hubungan Najwa dan Izzat, nak saja dia hadiahkan buku lima pada pipi tunang Najwa tu.

Sungguh dia tak boleh lupa kejadian Najwa teresak sendiri di depan kedai dia tempoh hari. Dan yang paling dia sakit hati, Izzat pujuk sikit je, Najwa kembali terima.

“Nas, datang kedai aku tau. Aku nak minta tolong ni.”

“Tunang kau yang jauh lebih baik dari aku tu mana?” Sempat dia menambah perisa perli dalam ayat tadi.

“Dia busy.”

Automatik bibirnya mencebik. Sibuk konon. Tadi puji melambung sangat.

“Tengoklah kalau aku rajin.” Dia menjawab tanpa nada.

“Ala Nas. Datanglah. Aku tak ada orang nak minta tolong selain kau ni.”

“Pekerja kau mana?”

“Dah lama balik. Stok tiba-tiba sampai lambat pulak. Orang yang hantar tu tinggalkan depan kedai je.

“Kak Marisa?”

“Anak dia tak sihat.”

Nafas dilepas berat sebaik sahaja mejanya siap dikemas. Beg yang berisi komputer riba dan beberapa barangan lain dicapai sebelum dia meluru ke pintu keluar.

“Kau ni kan, kalau aku cakap yang si Izzat tu tak guna, kau marah...”

“Dah, tak nak datang sudah. Tak payah nak burukkan tunang aku pulak.” Suara Najwa bertukar tak senang sebelum mematikan talian.

Nasrin senyum pahit. Sempat dia menolak pintu kaca untuk keluar sebelum berpaling pada Ilyas di mejanya.

“Aku balik dulu, bro!”

“Hah. OK. OK.” Ilyas menjawab tanpa memandang.

“Hati-hati kalau terbau wangi. Jangan tegur.” Dia sengih senget di muka pintu.

“Jahanam kau, Nas. Tiba-tiba bulu roma aku meremang!”

Ketawa mereka bergabung.

Nasrin kemudiannya bergegas ke lif meninggalkan Ilyas sendirian. Sambil menunggu pintu lif terbuka, nombor telefon Najwa dicari dari senarai contacts.

Sebaik sahaja talian bersambung, suara Najwa menyambut dingin.

“Tak habis lagi nak kutuk Izzat? Tak puas lagi?”

“Kau ada dekat kedai lagi ke tu?” Nasrin senyum sendiri mendengar soalan Najwa. Pantang betul orang mengata tunang kesayangan dia tu.

“Ya. Bukan ada superman pun yang datang tolong angkat semua kotak ni.” Najwa menjawab malas.

“Kau tunggu dalam kedai. Kotak tu biar je dekat luar. Nanti Superman kau ni datang.”
Selesai je bagi arahan, talian terus diputuskan.

Nasrin tarik nafas panjang sebelum melangkah ke lif. Jam di tangan sudah menujukkan pukul 9 malam. Perut yang tidak menjamah nasi sejak tengah hari tadi mula terasa lapar. Leher yang terasa sengal-sengal tadi kembali menyerang.

Semua tu dia abaikan.

Yang penting sekarang, dia perlu cepat sampai ke kedai Najwa.



WAJAH yang langsung tak dapat ditafsir itu direnung lama. Marah ke dia? Bosan ke dia? Atau... Benci ke dia? Kenapa dari awal menjejakkan kaki ke dalam kedai kecil ini satu patah perkataan pun tak keluar dari bibir?

“Nasrin,” panggil dia perlahan.

Sungguh dia rimas dengan keadaan sepi sekarang. Walaupun radio masih memutarkan lagu terkini, namun sunyi antara mereka jelas mendominasi.

Lelaki yang dari tadi sibuk ke hulu ke hilir mengangkat kotak yang berisi barang untuk kedai menoleh seketika. Kening terangkat seinci tanda ‘apa?’.

Sorry sebab terpaksa panggil kau waktu-waktu macam ni.” Memang dia rasa serba salah. Tapi bila difikirkan yang kotak berisi sandal dan beg tangan itu memang tak mampu untuk dia angkat seorang diri, terpaksalah dia minta tolong Nasrin.

“Dah nak habis pun semua kotak ni aku angkat kau baru nak cakap ‘sorry’?” Nasrin menjawab tanpa nada.

Langkahnya kembali diteruskan ke muka pintu kedai untuk mengangkat kotak yang terakhir.

“Tak faham betul aku. Tunang kau tu punyalah sado, gagah, pergi gym tak tinggal. Last-last, aku jugak yang kena tolong kau angkat semua ni. Tunang kesayangan kau tu buat apa?” Rasa yang berbuku di hati diluah geram.

“Alah, kau ni nak emo pulak. Bukan tak pernah aku mintak tolong kau sebelum ni.” Suara Najwa naik senada. Sedikit tak senang bila mendengar Nasrin tak habis-habis nak marah Izzat.

“Sebab asyik aku je yang tolong kau buat kerja berat lah aku complain. Habis tunang kau tu takkan sikit pun tak nak tolong? Update IG rajin pulak.” Kotak terakhir dihempas kuat ke dalam bilik stor.

“Barang aku tu letak elok-elok, Nas. Mahal tu...”

Laju saja Najwa menggeleng. Dah faham sangat dengan mulut berapi Nasrin. Segala perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu memang betul-betul dari hati. Tak ada filter. Tak ada kias. Terus saja menyentap jantung.

“Aku dah telefon dia tadi. Dia baru balik meeting dekat PD lepas isyak tadi. Kesianlah pulak kalau nak suruh dia datang sini angkat barang.” 

Sengihan Najwa membuatkan hati Nasrin makin panas.

“Kau memang. Pandai kesiankan tunang kau tu je. Aku ni, jadi kuli je.” Nasrin masih membebel, tak puas hati.

Bukan dia nak marah sangat pun sebenarnya. Tapi sikap Izzat, tunang Najwa itu yang membuatkan hati dia makin panas.

“Terima kasih Nas. Kaulah penyelamat aku.” Najwa kenyit mata. Marah Nasrin langsung tak dilayan. Makin berapi Nasrin memandangnya.

Akhirnya Nasrin menghela nafas panjang. Nak marah lebih-lebih pun, bukan salah Najwa. Tunang dia itu saja yang selalu mengelat dan liat bila Najwa minta tolong. Jam tangan di kerling sekilas sebelum menjeling Najwa yang sibuk menutup lampu stor dan lampu utama kedai.

“Kita makan dulu, nak? Aku tak dinner lagi ni.” Nasrin menarik pintu kaca sebelum menyarung kasut yang ditanggalkan tadi.

“Hah? Takkanlah tak makan lagi?”

“Belum. Aku lapar dan kau kena belanja.”

Najwa mencebik sesaat sambil menutup rapat pintu kaca dari luar. Kunci.

“Minta tolong sikit pun nak upah!”

“Okey la dari tunang kau tu. Minta tolong pun malas!” Nasrin membalas.

“Sekali lagi kau kutuk tunang aku, ni... naik atas kepala.” Penumbuk digenggam kemas dan ditayangkan ke depan muka Nasrin.

Nasrin sekadar mencebik. Bukan dia tak tahu yang Najwa memang seratus peratus berpihak pada tunang dia tu. Buang air liur je kalau dia nak komplen apa-apa.

“Tu... berkerut kemain muka tu kenapa? Kutuk aku la tu, kan?”

Belum sempat Nasrin menjawab, bunyi hon membuatkan dua kepala serentak berpaling.

“Izzat?” Kening Najwa terangkat seinci. Nasrin dah ketap bibir.

Kerja dah nak siap baru tahu munculkan diri. Heh!

“Kau tunggu sini kejap.” Sebaik sahaja menghabiskan ayat, dia terus keluar mendapatkan Izzat yang masih pegun di dalam kereta yang diberhentikan tak jauh dari kedai.  Beberapa minit kemudian, dia kembali pada Nasrin dengan wajah serba salah.

Nasrin tarik nafas perlahan. Dari jauh dia dapat menghidu rasa tak sedap hati.

“Nas, aku rasa aku tak dapat belanja kau makan malam ni. Sorry!”

Dah agak dah...

“Izzat ajak teman dia makan pulak.” Sambung dia lagi

“Pergi ajelah Najwa. Apa hak aku nak larang kau.” Nasrin bersuara malas. Pintu kereta sendiri dibuka sebelum dia masuk ke tempat pemandu.

“Sorry Nas. Aku janji nanti aku belanja kau makan mahal-mahal.” Najwa senyum nipis, cuba meredakan rajuk sahabatnya.

“Dah-dah. Kau tak payah nak pujuk aku. Pergi sana dekat tunang kau. Dah hampir terbakar kereta aku ni kena laser mata dia.” Muncung Nasrin melurus pada Izzat yang menjeling dari dalam kereta.

Najwa sekadar senyum bersalah.

Thanks untuk hari ni, Nas. Kaulah sahabat terbaik aku.” Dia kenyit mata sebelah sebelum berlalu ke kereta Izzat.

Memandang Najwa ke kereta tunangnya, hati Nasrin makin terasa perit. Perlahan-lahan dia tarik nafas. Cuba bertenang. Masih cuba terima hakikat yang kawan baikknya itu sudah menjadi tunangan orang.


Dan kini satu saja yang dia inginkan. Moga Izzat sedar bertapa untungnya dia dapat memiliki wanita sebaik Najwa. 

****

No comments: