Tuesday, 24 October 2017

Jika Ini Cinta [Bab 2]

BAB 2


DAHI NAJWA BERKERUT lebat bila memandang lagak Marisa seperti kucing hilang anak. Hampir setengah jam dia ke hulu dan ke hilir mencari sesuatu. Sesekali Marisa duduk di mejanya, termenung memikirkan sesuatu. Akhirnya dia mendekati meja Najwa yang terletak bersebelahan dengan mejanya bila pecariannya menemui jalan buntu.

“Wa, kau ada nampak tak beg yang baru aku design tu?”

Tote bag warna peach tu ke?”

Marisa angguk.

“Bukan ke aku dah letak atas meja kau?”

"Mana ada..." Memang itu yang diberitahu Najwa semalam tapi sampai sudah dia tak jumpa.

“Betul ke kau dah letak?”

Najwa tarik nafas perlahan. Sempat dia menjeling ke arah meja Marisa sebelum menepuk dahi sendiri.

“Ya ALLAH, lupa! Aku tertinggal dalam kereta Izzat!”

“Hish kau ni. Buat penat je aku cari.” Marisa buat muka. “Kau tak boleh ke suruh dia datang sini kejap? Aku nak bawa pergi photoshoot untuk teaser.”

Sorry kak, Izzat tak ada dekat KL harini. Kerja dekat Seremban tu tak settle lagi.” Dia sengih bersalah. Waktu nak keluar makan dengan Izzat semalam, tanpa sengaja dia terbawa tote beg yang baru tu. Bila sedar dia tersalah bawa beg, dia letak aje beg tu dekat tempat duduk belakang.

Dah sampai dekat kereta sendiri pun dia lupa nak ambil balik.

“Dah lambat satu kerja,” rungut Marisa sebelum keluar ke tempat pameran beg dan kasut.
Najwa sengih lagi. Cepat saja tangan mencapai telefon pintar yang tersedia di atas meja. Jari jemari runcingnya berlari-lari pada skrin iPhone sebelum dia membuka applikasi WhatsApp.


‘Awak, tolong simpankan beg tangan saya dekat tempat duduk belakang kereta you tu. Nanti dah balik KL saya pergi ambik.’


Tak sampai seminit, whatsapp berbalas.

‘What beg tangan, sayang?’

Berkerut terus dahi dia bila baca soalan Izzat.

‘Malam tadi saya ada tertinggal dalam kereta awak. Takkan tak ada?’

 ‘Nanti saya tengok.’

Jawapan Izzat dibaca sekali lalu. Aik, dia ke yang salah letak ni? Kalau tak ada dalam kereta Izzat? Takkanlah dia dah bawa balik ke rumah?

‘OK.’

Masak! Kalau hilang tote beg tu mahunya Marisa mengamuk sebulan! Hari gaji dah dekat. Mereka perlu pantas buat promosi untuk menarik minat para pelanggan sebelum mereka beli beg tangan yang lain.

Sebenarnya dah hampir enam bulan butik kecil ini dia dan Marisa bangunkan. Minat nak buka kedai jenama sendiri memang dah lama ada dan bila Marisa setuju untuk jadi designer kasut dan beg tangan, terus saja mereka berusaha untuk buka kedai beg dan kasut rekaan sendiri.

Walaupun pada awalnya dia hampir mengalah bila langsung tak ada permintaan, namun dia tak berhenti setakat itu. Iyalah, dia bukan Nora Danish mahupun Fazura, asal keluarkan produk je ada orang nak beli.

Dia dan Marisa bukan sesiapa dan sebab itulah tak putus-putus dia buat marketing merata-rata.

Bila hampir setahun bergerak secara online, barulah dia dan Marisa buat keputusan untuk buka butik kecil di Shah Alam ini. Disebabkan banyak jemana besar di kiri dan kanan kedai mereka, secara tak langsung butik mereka juga terkena tempias rezeki.

Sekarang, WaRissa Couture dah pun mempunyai empat orang pekerja termasuk dia dan Marisa.

Sejak itulah Najwa makin sibuk dengan urusan kedai. Selalu juga Izzat merungut bila dia tak dapat nak temankan Izzat pergi tengok wayang ataupun sekadar keluar minum di pasaraya.

Kekangan masa dan target yang dia nak capai sebelum umur 30 tahun bersusun dalam kepala. Jadi nak tak nak, dia tak boleh berlengah.

Bunyi WhatsApp yang baru diterima mematikan lamunan panjangnya. Cepat saja dia membaca sebaris ayat kiriman Izzat.

‘Beg awak ada. Esok saya hantarkan ke butik.’

Bibir menarik senyum nipis. Selesai satu masalah!



WAJAH Izzat Hakim merah padam menahan marah. Hampir terkeluar isi bakul yang dihempas kasar ke atas meja tadi. Wajah cantik di hadapannya itu dipandang dengan dada berombak.

“You sengaja tinggalkan semua ni dalam kereta I, kan?”

Effa Darlina senyum nipis. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati meja putih yang menempatkan bakul barangan mekap miliknya itu.

Yes.” Botol Annick Goutal Petite Cherie dicapai dari bakul sebelum penutupnya dibuka. Sekali spray, semerbak studio berbau manis.

Why? You sengaja nak I kantoi dengan tunang I ke? Cukuplah masalah yang you bagi pada I dulu Effa. Lepas ni I dah tak tahu nak bagi alasan apa.”

“Masalah? Oh, gambar dalam IG tu ya?” Effa ketawa perlahan. “Takkan itu pun tunang you nak jealous.”

“Kalau dah nampak gambar perempuan lain peluk tunang dia, takkanlah dia tak cemburu, Effa.” Izzat menghenyak punggung ke atas sofa yang berada di tengah-tengah studio.

“I bukan ‘perempuan lain’. I kan girlfriend you.” Effa mencipta senyum. “Ala sayang, you dengan dia bosan sangat. Macam too good too be true. Apa salahnya I selit sikit drama dalam hubungan korang tu.”

“I sayang dia, Effa.”

“And you pun sayang I jugak kan? Bukan I tak nampak muka you waktu Jef tiba-tiba peluk I semalam.” Sinis.

Izzat terdiam. Sungguh, dia sendiri tak ada jawapan untuk soalan Effa tadi. Dia betul-betul sayangkan Najwa. Bagi dia, memang susah nak cari wanita sesempurna Najwa. Dan Effa, entahlah. Sayang?

Mungkin.

“I tahu yang I orang ketiga dalam hubungan you dan tunang you tu. Jadi, jangan risau. I akan simpan hubungan kita ni untuk kita je.”

“Dah tu kenapa you pergi upload gambar you peluk I tu dekat IG?”

“Itu sebab I rasa kita sweet sangat dalam gambar tu.” Effa mengekek ketawa. “Alah, bukan kita dua aje pun dalam gambar tu. Mark pun ada. Elia pun ada.”

“Yes. Tapi Elia tak peluk pinggang I macam you buat.” Hakikatnya hati dia masih bengkak bila mengingatkan yang Effa langsung tak tanya dia waktu nak muat naik gambar tu.

Hampir terkeluar anak mata dia nampak gambar dalam IG Effa Darlina dan dah pun terima 7 ribu likes tu. Nak suruh padam pun dah terlambat. Dan waktu itulah dia rasa tak sedap hati bila Najwa tak jawab panggilan dia. Nasib baiklah akhirnya Najwa terima alasan dia.

“I sebenarnya nak uji tunang you tu. Sayang ke tak dia pada you. Kalau dia tak sayang, senanglah I nak ambil you dari dia.”

“Dan you tinggalkan semua tu dalam kereta I sebab nak uji dia lagi? Bullshit, Effa. Boleh tak jangan buat benda bodoh? I tersuka pada you ni pun dah jadi satu kesalahan besar. You pulak sengaja nak kantoikan I.”

“Tersuka? So you tak sayang I la ni?”

“Effa... tolonglah jangan buat perangai macam ni. Awal-awal lagi you tahu yang I dan bertunang, kan? And you dengan I cuma...”

“Kekasih gelap?” Sekali lagi Effa ketawa sinis. “I sayang you, Izzat. Dan kalau boleh I tak nak kita macam ni je.”

“You jangan nak mengarutlah Effa. I sayang Najwa dan tak lama lagi I nak kahwin dengan dia. You jangan nak buat hal pulak.”

Effa senyum lagi. Langsung dia tak ambil pusing tentang ugutan Izzat. Dia bosan jadi pilihan kedua Izzat walau hakikatnya dialah orang ketiga dalam hubungan Izzat dan Najwa.

Bila asyik bersama dan dilayan Izzat, dia jadi tamak. Dia nak Izzat jadi milik dia seorang!



HARI MINGGU. Sebaik saja butik dibuka pagi itu, Najwa terus berkurung di dalam pejabatnya sambil menunggu kehadiran Izzat. Nadrah dan Ros yang bersembang di pantry dipandang sekilas sebelum dia menyemak OPPO di tangan.

Masih tiada jawapan dari Izzat. Najwa mengeluh perlahan.

Entah Izzat ingat ke tidak janji dia nak hantar beg tu pagi ni.

“Cik?” Pintu yang terbuka diketuk perlahan.

Najwa angkat kepala.

“Abang Nas.”

Jawapan Ros membuatkan kepalanya laju menoleh ke arah pintu depan. Nasrin sekadar angkat tangan tinggi tanda ‘hai’ dengan senyuman.

“Kau rindu aku ya Nas? Pagi-pagi lagi terpacak dekat sini?” tegur Najwa sebaik saja dia menghampiri Nasrin yang sedang melepasi rak pameran berhampiran pintu masuk.

“Aku datang nak tuntut janji manis kau. Belanja aku makan.” Nasrin buat muka tak ada perasaan.

“Pagi-pagi macam ni?” Kening Najwa terangkat seinci.

Yes. Breakfast and lunch.”  Dia menyentuh salah satu beg yang terpamer.

“Kau ni pun. Nak datang tak bagitahu, main terjah je...” Najwa bersuara perlahan.

“Kenapa? Dah janji dengan tunang kau?”

Perlahan dia mengangguk. “Tapi bukan janji nak keluar. Dia nak hantar barang je. Tapi aku takut kalau-kalau dia ajak keluar jugak.”

Nasrin melepas nafas perlahan. Sejak teman baiknya itu bertunang, memang banyak sungguh pantang larang yang dia ikut. Dah tak bebas macam dulu. Dan dengan terpaksa, dia cuba terima keadaan yang sekarang ni.

“Aku datang nak beli beg untuk Zarith je. Birthday dia next week.”

“Ye ke? Kalau macam tu, kau pilih sajalah yang mana kau rasa cantik untuk dia, aku belanja.” Najwa kenyit mata. Zarith, adik kepada Nasrin yang juga baik dengan Najwa. Pernah juga beberapa kali Zarith ikut dia dan kawan-kawan lain bercuti bersama.

Belum sempat Nasrin membalas, bunyi deringan OPPO di tangan Najwa memenuhi ruang. Spontan talian disambung.

“Ye kak?”

“Aku nak kau buka IG Effa Darlina sekarang dan explain.”

Arahan tegas Marisa menyapa telinga. Automatik dahi dia berkerut.

“IG Effa Darlina? Kenapa?”

Nasrin berpaling sekilas bila terdengar nama Effa Darlina disebut. Dia tahu siapa Effa Darlina. Hampir semua lelaki di Malaysia yang ada Instagram kenal siapa Effa Darlina.

“Tak payah tanya. Kau buka je IG dia sekarang.” Habis saja ayat, Marisa terus memutuskan talian.

Najwa mengeluh perlahan. Dengan rasa ingin tahu yang membuak, dia terus menaip nama 
‘Effa Darlina’ dalam ruangan ‘Search’.

Jumpa!

Dan, gambar terbaru Effa membuatkan mulutnya ternganga luas.

“Kenapa?” Nasrin mencuri pandang. Matanya memandang Najwa dan skrin telefon bersilih ganti. “Apahal ni?”

Najwa masih kaku. Dia harap sangat yang dia salah pandang tapi betul tote beg berwarna peach itu dipegang erat Effa. Apatah lagi bila gambar paras pinggang itu menampakkan kelesuruhan beg yang direka Marisa. Jelas.

“Beg ni... aku tertinggal dalam kereta Izzat... kenapa dia...” Tergagap-gagap dia menjawab. Terkejut dan kaget. Entah apa perasaan yang dia ada sekarang ni.

“What the...” Nasrin ternganga.

Hello?”

Dua kepala laju saja berpaling ke arah pintu masuk bila terdengar suara asing mencelah. Kali ini mata Najwa pula hampir terbuntang bila melihat Effa Darlina sebenar berdiri tegak di muka pintu.

“Najwa, kan?” Suara lembutnya selari dengan langkah kaki ke dalam butik. Effa mencipta senyum nipis sebelum menghulurkan paper bag besar ke depan.

Sorry, I pinjam beg you pergi event semalam.”

Teragak-agak Najwa menyambut. Dia tahu apa isi paper bag tu. Tote bag yang Marisa cari semalam!

“Mana you jumpa ni? Dan mana you kenal I?” Sedaya upaya Najwa mengawal suara sendiri walaupun dia dah dapat agak apa yang jadi.

Nasrin yang menjadi pemerhati bagaikan dapat menghidu sesuatu.

“I ambil dari kereta Izzat...”

“Effa?”

Belum sempat Effa menghabiskan ayat, suara lain punya yang mencelah. Tiga kepala menoleh ke arah Izzat yang kehairanan di muka pintu butik.

“Apa you buat dekat sini?” Izzat menyambung. Muka dia dah kelam kelabu.

Najwa pandang wajah Izzat dan Effa bersilih ganti. Sungguh, drama apa yang jadi sekarang ni?

“Saja jumpa tunang you.” Effa senyum nipis. “Lagipun dia dan I kan bakal jadi madu.”

“Apa yang you mengarut ni!”

Najwa tarik nafas panjang. Bergenang terus air mata dia bila dengar jawapan Effa. Jadi betullah semua berita yang dia dapat sebelum ni?

Bila pandang wajah Izzat yang terang-terangan bersalah, hati dia makin pedih.

“Okay, I have enough bullshit!” Nasrin terus meluru ke arah Izzat sebelum menghadiahkan penumbuk pada pipi. Izzat yang langsung tak bersedia terus terdorong ke belakang.

Darah pekat mengalir dari bibir yang pecah.

Puash hati dia. Lama betul dia simpan rasa menyampah pada tunang Najwa tu. Lantak lah lepas ni Najwa nak marah dia ke apa. Janji dia puas.

Lelaki tak tahu untung ni kena ajar!

Game apa yang kau tengah buat ni hah!” Suara Nasrin dah sampai ke tahap paling tinggi. Hilang terus sabar dia bila dia sendiri nampak apa yang jadi.

“Nas!” Najwa terus tarik lengan Nasrin sebelum sekali lagi pipi Izzat menjadi mangsa.

“Biar aku ajar je dia ni. Tak sedar diri!” lengan cuba ditarik dari genggaman Najwa. Selagi pipi lagi sebelah tak lebam, dia tak nak lepaskan Izzat!

“Nas, dah!” jeritan Najwa terus menghentikan tindakan Nasrin.

Penumbuk digenggam kemas sambil menjatuhkan pandangannya pada Najwa yang dah mula teresak. Dadanya berombak laju menahan marah.

“Kau tolong balik sekarang.” Anak matanya menikam wajah Nasrin, meminta simpati. Dia malu.

Cukup malu bila kisah curang Izzat terpampang jelas di mata Nasrin. Sia-sia saja dia puji Izzat sebelum ni.

Sia-sia!

“Aku tak habis lagi ajar dia ni...”

“Balik, Nas. Ini hal aku dengan dia. Biar aku yang selesaikan.” Najwa gigit bibir, cuba mengawal suara. Malu pada Nasrin, segan pada pekerjanya dan kecewa dengan sikap Izzat bercampur jadi satu.

Nampak saja air mata Najwa, Nasrin terpaksa akur. Sempat dia menjeling Izzat tajam sebelum dia keluar dari situ. Sungguh, kalau nak diikutkan hati, dekat situ juga dia patahkan setiap tulang Izzat.

Pandangan Najwa beralih pula pada Effa yang berdiri berhampiran pintu. Masih dengan riak tenang seperti tiada apa yang berlaku walhal apa yang jadi sekarang ini berpunca dari dia.

“Awak pun. Tolong keluar dari butik saya.” Tajam pandangannya menikam anak mata Effa. Dengan senyuman sinis, Effa juga turut berlalu dari situ.

Najwa menghela nafas perlahan. Wajah Izzat yang kesakitan di lantai dipandang lama.

We need to talk.



SUNYI. Untuk entah berapa lama, meja yang diduduki dia dan Izzat sepi tanpa sebarang kata. Najwa sendiri sudah hilang punca bila terpaksa terima kenyataan yang sangat memeritkan jiwa.

“I’m sorry, Najwa. Awak selalu sibuk dan Effa selalu je ada setiap kali...”

“Setiap kali awak perlukan teman?”

Izzat meraup wajah. Sungguh. Dia memang menyesal bila terlalu pentingkan keseronokan dari menjadi seorang yang setia pada satu. Najwa adalah gadis terbaik baginya untuk dijadikan isteri dan Effa hanyalah sekadar menjadi peneman sepi.

Susah untuk dia tolak kecantikan dan kelembutan Effa melayan dia setiap kali mereka bertemu dan bekerjasama dan akhirnya, dia hanyut dengan keseronokan layanan mesra Effa setiap kali Najwa sibuk dengan urusan butik dia.

“Lepaskan saya kalau awak betul-betul suka dia. Jangan tipu di belakang saya, Izzat. Makin sakit hati saya bila awak duakan saya senyap-senyap macam ni.” Bergetar suaranya menahan apa yang terbuku di dada.

Lambat-lambat dia angkat wajah, merenung Izzat yang masih diam membisu.

“Saya percayakan awak, Izzat. Saya cuba faham kerja awak. Bukan tak pernah saya dapat gambar awak dengan Effa. Banyak kali. Tapi saya diamkan juga dan pujuk hati sendiri cakap awak tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Saya tebalkan juga muka hadap kawan-kawan yang tunjuk gambar-gambar mesra awak dalam IG Effa. Tapi hakikatnya...” Air mata gugur juga tanpa sempat ditahan.

“Hakikatnya, memang betul awak dan dia ada hubungan dekat belakang saya. Seronok bodohkan saya macam ni, Izzat?” Suaranya sudah tenggelam timbul dek air mata yang mengalit laju. Sebak hati dia bila memikirkan yang setiap kepercayaan yang dia bagi pada Izzat dihancurkan macam tu saja.

 “Saya sayangkan awak, Najwa. Dengan dia tu, saya tak serius pun...”

Najwa tersenyum pahit. Jawapan Izzat langsung tak meredakan marah dia.

“Tak serius dengan dia? Habis tu, serius ke awak dengan hubungan kita ni sampaikan awak sempat try perempuan lain?”

Izzat terdiam.

“Saya ingatkan keputusan untuk terima awak ni betul Izzat, saya ingatkan awak betul-betul akan terima saya dan cintakan saya. Tapi bila saya sibuk kejar impian saya, awak senang-senang je cari orang lain untuk isi sunyi awak.” Bibir digigit perlahan, menahan getar pada suara yang mula merajai.

“Kalau sekarang ni pun awak tak mampu nak terima saya dan kesibukkan saya, macam mana bila kita kahwin nanti?”

“Sayang, saya dah betul-betul menyesal. Saya mengaku, memang salah saya. Saya yang tak pandai nak kawal diri. Saya memang langsung tak ada perasaan pada dia, Najwa. Percayalah. Awak saja yang saya impikan untuk jadi suri dalam hidup saya. Awak saja calon isteri yang saya nak. Tolonglah sayang, maafkan saya?”

Najwa pejam mata rapat. Lama. Sungguh, dia tak kuat untuk hadap kenyataan ni. Walaupun sejak semenjak ni dia dapat rasa ada benda yang tak kena dengan hubungan dia dan Izzat, tapi selalunya hati cepat saja fikir yang baik-baik.

Bila dah terang-terang ditipu macam ni, perasaan kecewa yang terpaksa dia tanggung ini berat sangat. Betullah orang cakap, dugaan orang bertunang ni besar.

Kepala kembali berdenyut kuat. Sakit!

“Saya janji takkan terima job yang melibatkan dia lepas ni. Tolonglah Najwa, I’m sorry!”
Perlahan-lahan dia bangun dari kerusi. Mata yang membasahi pipi disapu dengan belakang lengan.

“Sekarang ni saya masih tak mampu nak maafkan awak, Izzat. Dan, saya tak tahu saya mampu maafkan awak atau tak.”

“Najwa, please...”

Belum sempat Izzat menghabiskan ayat, Najwa sudah terjelopok ke lantai tak sedarkan diri.



***

No comments: