Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 1]


[Bab 1]


PINTU KACA YANG bertanda open aku tolak perlahan. Automatik bunyi ‘ting’ dari loceng pintu kedengaran. Aku sempat pejamkan mata sesaat sambil menghidu bau manis kek dan kopi yang tak pernah gagal buat aku senyum.
Iris Cake House.
Kedai kek dan kopi milik Kak Hasya ni memang jadi tempat aku bila aku ada masa lapang. Cake house ni tak adalah besar mana. Meja makan yang boleh memuatkan empat orang pelanggan pun cuma ada enam buah. Kesemuanya kayu yang dicat coklat tua.
Dihujung sudut ada kaunter yang menempatkan mesin duit dan display chiller yang menyimpan pelbagai jenis kek manis yang jarang-jarang aku cuba.
Bukan sebab tak sedap, tapi aku kurang sikit dengan benda manis.
Taknak kena potong kaki muda-muda.
Satu sudut lagi, ada kaunter kopi. Segala jenis kopi yang ada dekat negeri orang putih yang payah nak sebut tu, dekat sini pun ada. Siap bercorak gaya latte art lagi.
Dinding cafe pula dihiasi dengan pelbagai jenis frame gambar kopi dan kek berkonsepkan vintage yang mampu menggugat selera siapa sahaja yang tengok.
Termasuklah aku.
“Sengih je hari ni?”
Aku angkat kening seinci sambil melempar senyum ke arah tuan punya badan yang menegur. Ajim, barista ‘si pembancuh kopi’ yang paling berseni yang pernah aku kenal.
Muka gangster, hati ada ladang ros. Memang langsung aku tak percaya yang Ajim boleh buat segala corak dekat kopi gaya lukis dekat kertas A4 je.
Hebat.
“Hati manyak gumbira.” Beg sandang coklat tua aku letakkan di atas meja. Laptop Acer yang baru saja aku beli menggantikan Lenovo yang dah pun uzur itu aku keluarkan dari perut beg. “Khalisha mana?”          
Selalunya Khalisha akan tersengih menyambut aku depan kaunter. Hari ni tak ada pulak.
“Cuti. Emergency apa entah.”
Aku sekadar mengangguk bila dengar jawapan Ajim. Tangan menyapu habuk nipis yang sempat melekat pada papan kekunci Acer sebelum butang ‘On’ ditekan.
“Kau tak nak ambil order aku ke?”
“Tak payah. Aku tak tahu isi hati perut kau. Iced Americano, kan?”
“Oh Ajim, what can I do without you?”
“Poyolah tu.”
Kami sama-sama ketawa. Itulah hidup aku. Pagi sampai petang dekat fakulti. Habis kerja universiti, aku datang sini, lepak sambil update stok baru dekat Instagram dan Facebook.
“Wei, aku tak boleh log in ni. WiFi korang dah kena potong ke apa?” Aku melaung dari meja dua. Tempat yang paling aku suka kalau jejakkan kaki dekat sini. Tempat paling tersorok dan paling tak ada gangguan.
“Lupa nak cakap. Dah tukar password. Jap, nanti aku kasi.” Ajim menjawab tanpa memandang. Tangannya masih cekap membuat campuran kopi yang aku suka.
“Dengki la tu nak tukar-tukar password bagai.” Aku mencebik. Bukan baru sehari dua aku kenal Ajim. Dah dekat dua tahun pun.
Sejak aku jadi agen yang tolong jual kek dekat kolej dan bazaar universiti, aku dah jadi macam keluarga dekat Iris Cake House ni.
Lagipun, tak ramai pun pekerja Kak Hasya ni. Ajim, barista, Abang Nas dan Kak Iqa dekat dapur dan Khalisha budak lepas SPM yang buat part time jaga kaunter.
Kak Hasya jarang-jarang ada dekat kedai. Lagipun sejak dia mengandung ni memang dia asyik duduk rumah aje.
Ajim berjalan mendekati meja. Iced Americano diletakkan di tengah meja. “Adik bos yang tukar. Dia cakap password sebelum ni senang sangat orang nak hafal.”
Niat untuk mencapai kopi yang mampu menggugat selera aku itu terbantut. Adik Kak Hasya? Kak Hasya ada adik ke? Tak pernah tahu pun?
“Kedekutnya!” Kopi buatan Ajim aku capai dengan tangan kanan. Spontan aku membawa gelas kopi ke hidung. Terbiasa.
Wangi!
Ajim ketawa lepas. Dia terus menulis password baru dengan pen aku. Sempat aku menjeling di sebalik gelas kopi yang tengah aku hidu. Pergh, panjang kemain! Berbelit-belit pulak tu. Ni memang tak bagi orang pakai ke apa?
“Nah!” Tisu yang bertulis password ditolak mendekati laptop aku. “Sekarang ni kalau nak guna WiFi kau bagitahu aku.”
Aku angkat kening.
“Kenapa pulak?” Aku sebenarnya dah dapat lampu hijau dan pass besar dari bos Iris Cake House ni. Bila-bila masa aje aku boleh datang guna WiFi untuk buat kerja jualan online aku ni. Untuk kerja-kerja lain pun boleh. Tapi kenapa sekarang kena bagitahu pulak?
“Sebab adik bos tu akan tukar password tiap-tiap hari. Jadi, kalau kau nak guna esok, kau tanya aku dulu. Nanti aku kasi yang baru.”
Aku hampir tepuk dahi. Sungguhlah adik Kak Hasya ni kedekut. Sekarang ni semua kedai ada WiFi sebab nak tarik pelanggan, tau. Ini tidak, makin menyusahkkan pelanggan adalah.
“Mana dia? Kau tunjuk sikit muka orang kedekut tu?” Aku angkat kepala dan menjenguk ke arah kaunter dan dapur, mencari wajah adik Kak Hasya tu.
Ajim gelak lagi. “Perlahan sikit. Karang dia datang tiba-tiba...”
“Ada aku kisah? Aku ni pelanggan, tau. Buatlah jahat dekat aku, aku update blog bagi semua orang jangan datang sini.” Aku buat muka bangga.
Sekarang ni senang aje kalau nak hebahkan keburukan. Letak je dekat Facebook, tak sampai sehari dah jadi viral.
Tapi aku tak adalah sekejam tu. Takkanlah aku nak lingkupkan kedai Kak Hasya ni pulak.
“Bos dah bersalin dua hari lepas. Itu sebab adik dia datang tengok-tengokkan kedai.” Ajim tarik kerusi dan terus duduk di hadapan aku.
“Kak Hasya dah bersalin?” Sikit lagi nak tersembur kopi yang aku minum. Sungguh aku lupa yang kandungan Kak Hasya dah sarat.
Aduhai.
Festival Makan-Makan tu dah dekat. Booth pun dah tempah. Macam mana nak uruskan nanti?
 Kalau ada Kak Hasya senang la sikit.
“Sekarang ni Kak Hasya dekat mana? Aku ada bisness yang tengah jalan dengan dia ni...” Aku dah garu kepala.
Sayangnya nak cancel. Dahlah festival tu selalunya ramai pengunjung.
“Ada dekat kampung mertua dia tak silap. Dekat Kelantan.”
Aku tepuk dahi. Jauhnya!
“Kau call la dia nanti. Bincang sendiri.” Ajim bangun dari kerusi bila melihat beberapa orang pelanggan masuk. Laju aje dia mengambil tempat di kaunter.
Aku melepas nafas perlahan. Kak Hasya tak ada. Siapa pulak yang nak jaga booth nanti? Takkan aku sorang je?
Atau...aku pinjam je Kak Iqa sehari?
Heh, macam Iris Cake House ni aku punya.
Skrin laptop yang memaparkan halaman Facebook aku pandang lama. Keluhan terlepas tanpa dipaksa. Tak kira, bisness kena teruskan jugak.
Susah belakang kira.


AKU TAK TAHU berapa lama aku habiskan masa di dalam cafe sehinggalah Kak Iqa datang tepuk bahu dengan sengihan. Aku menggeliat kecil sambil membetulkan urat leher beberapa kali.
Sempat aku menarik senyum, membalas. “Kak Iqa...”
Bila dah mengadap laptop, segala benda yang jadi depan mata langsung aku tak perasan.
“Nah, try. Resepi baru ni. Satu piring yang berisi kek yang aku tak tahu perasa apa diletakkan betul-betul di sebelah gelas americano yang dah habis licin aku minum. “Maghrib dah nak habis ni. Dah solat belum?”
Laju aku berpaling ke belakan dan tengok keadaan luar cafe. Dah gelap gelita!
Bahaya sungguh bila tak dengar bunyi dunia luar. Azan dari surau belakang rumah kedai ni pun aku tak perasan.
“Belum.” Aku pandang kek tadi sekilas. “Kek apa tu kak? Macam brownie je saya tengok. Simpan la dulu. Saya nak tumpang surau cafe kejap.”
Cepat aje aku bangun dari kerusi. “Ajim, tolong tengokkan barang aku kejap!”
Ajim hanya mengangguk dari kaunter kopi.
“Resepi baru. Akak simpan dekat chiller, ya. Dah siap solat nanti kau ambik aje dekat sana.” Kak Iqa mengambil piring kek tadi dan terus dibawanya ke tempat pameran kek di kaunter depan.
Aku cuma mengangguk faham.
Jam tangan di tangan kiri aku pandang sekilas. Dah lapan lebih. Harap-haraplah sempat lagi.
Satu benda yang aku suka dekat Iris Cake House ni adalah tempat ni ada toilet dan surau. Jarang kedai makan yang sediakan surau dan tandas yang selesa macam ni.
Surau pulak, diasingkan untuk lelaki dan wanita. Walaupun kecil aje, tapi cukup selesa.
Siap dengan tempat wudhuk lagi.
Hebat sungguh Kak Hasya. Semua benda dia ambil berat.
Selesai solat, aku kembali ke ruangan cafe. Suasana masih seperti tadi, kecuali ada seorang pelanggan yang baru duduk di meja paling depan. Sibuk membelek handphone sendiri.
Meja yang menempatkan laptop dan barang-barang aku masih dalam keadaan yang sama. Ajim ni pun, aku dah cakap tolong tengokkan, dia pulak yang hilang.
Kalau ada orang curi Acer aku tu, siapa nak ganti?
Aku mengeluh perlahan. Sempat aku menggeleng beberapa kali mengenangkan janji-janji palsu Ajim.
Tumpuan aku beralih pada kaunter depan. Langkah mula dipesongkan ke arah sasaran. Aku membetulkan lipatan selendang pada muka sambil melangkah ke chiller.
Kek yang berwarna coklat muda tadi aku capai cari isi perut chiller.
Macam brownie. Tapi macam tak jugak. Siap ada chocolate chips lagi. Warna dia pun tak gelap macam brownie...
“Hei!”
Piring hampir terlepas dari tangan. Dada aku berdebar laju bila disergah kuat. What the...
“Kau nak mencuri eh?!”
Pelanggan yang aku nampak tadi mula bangun masuk ke bahagian kaunter. Ini siapa yang nak mencuri siapa ni? Dia tu yang suka-suka masuk kaunter cafe ni!
“Letak balik!”
Aku ternganga. Otak masih tak dapat nak hadam tindakan dia sekarang.
“Kau ni apahal?” Haa... ingat aku tak ada suara petir ke? Nak pakej sekali dengan hilai pontianak pun boleh, tahu?
“Kau siapa? Suka-suka je masuk dalam kaunter. Suka-suka je ambil kek dari chiller?!” Dia merampas piring yang berisi kek tadi dari tangan aku.
Sikit lagi aku nak buka langkah silat, tapi terbantut bila Kak Iqa meluru keluar dengan topi chef dan apron putih dia. Ajim pulak terkocoh-kocoh keluar dari tandas.
Kak Iqa dan Ajim memandang aku dan pelanggan tadi bersilih ganti.
“Dia ni ha, masuk dalam kaunter, ambil kek saya!” Aku mengadu pada Kak Iqa yang ternganga. Ajim masih lagi terlopong, tak cakap apa. Jari telunjuk tepat pada muka si penceroboh di depan.
Kalau dah pelanggan tu, buat la cara pelanggan. Duduk diam-diam dekat meja, tunggu orang hantar order.
Ini tak. Nak buat gaya Superman membanteras jenayah pulak.
Apa dia ingat aku kemaruk sangat ke nak curi kek dalam kedai ni? Aku nak rasa kek ni pun sebab Kak Iqa, tahu tak?
Dia yang menceroboh...
“Bos...”
“Nani...”
Suara Kak Iqa dan Ajim terkeluar serentak. Aku ternganga bila mendengaar perkataan ‘bos’ daripada mulut Ajim.
Bos?
Siapa bos dekat sini selain Kak Hasya?
Automatik aku menelan air liur bila teringatkan sesuatu. Wajah lelaki yang mencuka dengan kerutan seribu itu aku pandang lama. Sawo matang. Hidung mancung. Mata sepet.
Oookay.
Jadi dialah encik suka-suka hati tukar password tiap-tiap hari tu?


 ***


No comments: