[Bab
18]
AKU BERDIRI TEGAK di
depan meja aluminium. Apron yang diberi Tri tadi dah tersemat di badan. Sedikit
senyuman menghiasi bibir yang dari tadi masam mencuka. Tri mula menyusun
bahan-bahan untuk membakar congo bars.
Perlahan-lahan aku mendekati sambil menjenguk dari tepi.
Mahalnya!
Baru dua tiga bahan yang
aku jeling dah mampu membuatkan mulut ternganga luas. Bulat mata tengok harga pada
bahan-bahan untuk buat congo bars
yang Tri letakkan di atas meja. Masih berbungkus plastik dan ada tanda harga.
Butter jenama President.
Coklat chips jenama Valrhona dan badam hiris dalam plastik
kecil tu pun hampir RM 10!
“Kalau guna butter timbang tu je tak boleh ke?” Spontan
soalan tadi keluar. Laju aku tutup mulut bila Tri menjeling ke tepi.
“Nak sedap, kenalah beli
yang berkualiti sikit.”
“Tak adalah. Butter mahal. Coklat mahal. Badam pun
mahal.” Tangan mula gatal menyentuh plastik coklat dan badam yang belum dibuka.
Kalau semua bahan mahal, aku yang tak mampu ni memang tak terbuatlah agaknya. “Jenama
ni saya tak pernah tahu pun.” Plastik chocolate
chips tadi aku angkat tinggi.
“Perancis punya coklat.”
Dia menjawab senada. “Dah. Diam. Aku suruh kau tolong je. Bukan buat bising.”
Aku mencebik.
“Bagi bekas tu. Aku nak
gaul bahan ni.” Jari telunjuknya tepat pada bekas besar dihujung meja.
Patutlah suruh aku ikut
sekali. Nak buli rupanya. Ceh! Kalau aku tahu, aku duduk je melangut dekat
depan tadi. Boleh sambung tidur!
“Nah, tepung ni kau ayak
bagi habis.” pengayak tepung dan tepung ditolak mendekati aku.
“Alah, letak je la
terus. Tak boleh ke?”
Pengayak tepung melayang
ke kepala.
“Orang suruh ayak tu,
ayak ajelah. Jangan banyak bunyi.”
Aku pantang sungguh main
kepala ni. Nak tak nak, pengayak tadi aku capai juga. Habis berdebu meja dek
tepung yang terbabas keluar. Aku buat-buat tak tahu aje bila Tri menjeling dari
tepi. Marahlah, marah. Tadi sibuk suruh aku buat, kan?
“Okay, dah. Next?” Aku letakkan tepung yang sudah di
ayak ke depan. Hampir tersembur ketawa aku bila lihat muka tahan marah dia.
Habis putih satu meja!
“Aku nak campur butter dengan gula perang ni. Kau tengok
je diam-diam.” Dia meletakkan gula perang dan butter tadi ke dalam mixer.
“Kau ambil telur 3 biji dekat sana.” Tri memuncungkan mulut ke arah rak
simpanan bahan-bahan sambil menekan suis mixer.
Aku letakkan telur di
atas meja, menanti apa proses seterusnya. Tri memasukkan telur tadi sebiji demi
sebiji sambil memutarnya perlahan. Bagi rata.
3 biji kesemuanya.
Masuk esen vanila.
Dan berhenti.
Aku masih memerhati
tanpa suara.
“Kau letak tepung dalam
ni sikit-sikit, aku kacau.”
Aku angguk. Bekas tepung
tadi dicapai. Sesenduk tepung dimasukkan ke dalam adunan yang sedang dikacau
Tri.
“Nani!”
Aku angkat kepala.
“Apa?”
“Masukkan sikit sikit.
Apa yang payah sangat?” Muka dia merah padam.
Alah, aku masukkan satu
senduk penuh je, bukannya satu bekas tepung tu pun. Itupun salah ke?
Atau... satu senduk
penuh tu banyak?
“Bak sini, biar aku masukkan
sendiri.” Bekas tepung dirampas dari tangan. Tepung tadi disenduk dan dimasukkan
sedikit demi sedikit.
Memang sikit. Bukan satu
senduk penuh!
Habis tepung, dia
masukkan pula baking power dan garam.
Aku masih membatu di tepi dengan rasa teruja. Sebenarnya selama ni aku tak
pernah tahu buat kek kena fokus macam ni sekali. Ingatkan main campak je.
Tengok muka Tri
berkerut-kerut dan setiap perlakuan dia sangat teliti, aku jadi kagum.
“Ini bila nak letak?” Aku
angkat plastik badam hancur tinggi. Sebenarnya memang aku suka sangat benda
alah ni. Bukan setakat yang hancur, yang belum hancur ke yang dihiris ke semua
aku suka.
“Tunggu aku gaul sikit
lagi.”
Aku angguk. Tak sampai
seminit menunggu, Tri angkat kepala.
“Badam hancur dan chocolate chips.” Dia berhenti mengacau.
Dengan senyuman lebar
aku masukkan kedua-duanya ke dalam adunan.
“Pergi letak kertas
minyak pada loyang.”
Sekali lagi aku
mengangguk. Loyang pembakar segiempat tepat yang sudah diletakkan di atas meja
tadi aku lapikkan dengn kertas minyak. “Dah.”
“Letak butter sikit.”
“Banyak mana?”
“Sikit je. Agak agak tak
lekat.” Dia menjawab tanpa berpaling.
Tangan aku laju mengikut
arahan. “Dah!”
“Goodgirl.” Dia sengih. “Dah, tepi. Aku nak
tuang ni.”
Hampeh betul. Ada ke dia buat aku macam
robot je?
“Apa?” Dia pandang aku
sesaat bila perasan panahan mata ‘tak puas hati’ aku. Tangannya cekap meratakan
adunan ke setiap penjuru loyang.
“Tak ada apa.” Tangan
dilipat ke dada. Tak puas hati.
“Okay,
last. Tabur benda
ni.” Dia hulurkan badam hiris dan lebihan chocolate
chips.
“Taburlah sendiri.”
Muncung aku dah sedepa.
Tri tergelak kecil
sambil menggeleng.
“La... merajuk kenapa
pulak?”
“Mana ada merajuk.”
“Sekilas ikan di air,
aku tahu jantan betina. Sekilas jelingan kau, aku tahu tak puas hati dalam hati
kau tu.” Keningnya diangkat berkali-kali. “Nah, last touch. Boleh claim kau
yang buat dekat Ajim dengan Khalisha nanti.”
Dengan cebikan, aku
sambut juga huluran dia. Badam dan chocolate
chips ditabur dengan berhati-hati. Biar nampak berseni sikit.
“Okay. Siap!” Aku senyum lebar. Puas
hati!
“Sekarang, kita masukkan
ke dalam ketuhar pada suhu 170 darjah celsius dalam masa tiga puluh minit.” Dia
mengangkat tinggi loyang tadi dengan sebelah tangan. Gaya dia tak ubah macam chef dalam cerita
masak-memasak. Kemain lagi.
“Jangan terlebih bakar, ye tuan-tuan dan puan-puan.” Loyang
selamat dimasukkan ke dalam ketuhar.
“Berangan!”
“Okay. Sekarang tunggu
je.” Dia ketawa perlahan.
“Jomlah buat kek lain
pulak.” Aku dah rasa teruja nak buat kek lain. Seronok jugak sebenarnya bakar-membakar
kek ni.
“Kita tunggu je
diam-diam. Kek lain biar Kak Iqa dengan Abang Nas yang buat.” Dia lurutkan topi
chef dari kepala dan mula mengemas barang yang bersepah di atas meja.
“Alah, bosanlah satu je.
Jomlah buat kek lain. Lagipun takkan nak jual sejenis ni je?” Aku masih lagi
cuba memujuk.
“You
know what?” Dia
menyoal tanpa memandang. Di tangannya penuh dengan bekas-bekas dan senduk yang
digunakan tadi.
“What?”
“Tapi ni rahsia.” Senyum
terukir nipis.
Dahi aku berkerut.
Apahal tiba-tiba cakap pasal rahsia ni?
“Apa dia?”
“Sebenarnya aku tahu
buat satu kek tu je.”
Aku ternganga. “Seriously?”
Makin ternganga aku bila
Tri mengangguk. “Aku pernah cuba, tapi tak pernah jadi. Sebab tu aku pakar buat
benda ni. Sebab ini je yang aku tau.”
La...gaya dia ajar aku
tadi macam semua resepi kek dalam kepala dia.
Hampeh!
SEMENTARA MENUNGGU congo bars tadi masak, aku keluar ke depan meninggalkan Tri yang masih
mengemas. Jam pada dinding sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Lama rupanya aku
dengan Tri bersilat dalam tu. Sekarang ni bila-bila masa saja Kak Iqa sampai.
Aku selongkar telefon
bimbit dari beg tangan sebelum melabuhkan punggung ke atas kerusi. Kening aku
bertaut bila melihat nama Paan terpapar pada skrin. Macam tau-tau pulak aku
tengah cari telefon.
“Kenapa?” soal aku
sebaik sahaja talian disambung. Tri yang baru keluar dari dapur memandang
sekilas.
“Kau dah balik Shah
Alam?”
“Haah.” Aku mengluh
perlahan. “Kenapa?”
“Awalnya! Kau balik
dengan apa?”
Aku buat-buat tak nampak
pandangan Tri dari kaunter. “Bas. Aku ada lab
untuk research project tu la.” Tipu.
Aku tipu. Memang pun ada kerja makmal untuk subjek research project, tapi sempat je kalau nak buat selepas buka
semester pun. Lagipula, aku dan Sofia belum dapat lagi procedure untuk experiment
tu. Mana mana nak mula?
Tapi takkanlah aku nak
cakap yang aku taknak jumpa dia lepas dia bertunang dengan Ana pulak?
“Kenapa tak cakap
awal-awal. Kitaorang terus pergi Shah Alam dari rumah Ana semalam.”
Jadi?
“Kalau tak, boleh je kau
ikut sekali.”
Paan ni dah gila agaknya.
Ada ke nak ajak aku pergi majlis meminang Ana tu sama.
“Aku dah sampai sini
pun.”
“Kau kat mana? Rumah?”
Aku tarik nafas
perlahan. “Tak. Dekat cafe.”
“Eh, dah bukak ke?
Awalnya kau pergi cafe. Dating eh?”
Dating
apa pulak. Aku
gosok gigi pun belum ni.
Eh?
Betullah! Sampai stesen
bas tadi, terus ke sini. Solat subuh dan buat congo bars.
Aku buat kek tak gosok
gigi.
Aku bersembang, bergelak
ketawa dengan Tri tadi tak gosok gigi.
Terus je aku tepuk dahi
sendiri. Tri yang ada di kaunter aku jeling dengan hujung mata.
“Oi. Aku tanya ni!” Paan
menjerit satu nada dari hujung talian.
“Aku belum sampai rumah
lagi la.”
“Kalau macam tu, tunggu
situ. Aku pun dah turun dari rumah nak cari breakfast
ni. Terkejut aku bila mak kau cakap kau dah sampai Shah Alam.”
Mak ni pun. Takkan semua
benda nak bagitahu Paan?
“Aku dah nak balik rumah
ni. Nantilah jumpa.”
“Aku dah turun. Kita breakfast dulu. Nanti kau balikla
rumah. Tunggu situ.” Paan mematikan talian.
Aku termenung memandang
telefon bimbit di tangan. Kalau dan macam ni rupanya perangan tunangan Ana ni,
macam mana aku nak ikut arahan Ana tu?
“Kenapa?”
Aku geleng perlahan.
“Saya nak balik dah.” Xiaomi Note
disimpan ke dalam beg tangan.
“Eh, tak nak tunggu
masak?”
“Petang nanti saya
datang balik.”
Dia memandang aku lama.
“Lagi sepuluh minit je. Takkan tak boleh tunggu.”
Belum sempat aku
menjawab, pintu depan diketuk dari luar. Aku dan Tri sama-sama memandang ke
arah pintu kaca yang masih bertanda Closed.
Paan mengangkat tangan dari luar.
Aku dengar Tri mengeluh
perlahan sebelum dia melangkah keluar dari kaunter.
“Petang ni saya datang.”
ulang aku lagi.
“Up
to you.” Dia
menjawab perlahan sambil membuka kunci pintu depan.
“Hai.” Paan angkat
tangan. Tri cuma senyum mengangguk. Paan mengalihkan tumpuan kepada aku. “Jom.”
Dia mengambil beg baju dari tangan aku tiba-tiba.
Aku melangkah keluar
dari cafe sebelum pintu ditutup dari dalam. Nafas dihela perlahan dek kelakuan
Tri yang aneh tiba-tiba. Bukan ke dia yang suruh aku layan Paan macam biasa?
“Mama dengan abah kau
mana?” soal aku sebaik sahaja kami menghampiri Satria Neo Paan. Paan ni anak
orang senang. Motosikal pun dia bawak.
Kereta pun dia bawak.
Beg baju aku diletakkan ke dalam bonet sebelum
dia menjawab, “Dah balik Subuh tadi.”
Ooo.
“Nak makan dekat mana
eh?”
Belum sempat aku
menjawab, Xiaomi Note aku berbunyi
lagi. Laju aku keluarkan dari beg.
Ana lagi.
‘Kau dah sampai Shah Alam? How? Paan
pun ada dekat Shah Alam. Korang berjanji ke apa?’
Laju aku menggeleng. Ini
mesti Paan yang cakap aku ada kat sini. Budak Ana ni nak kena bagi ubat sikit
kot baru diam. Kalau dia tak percayakan aku tu, boleh terima la jugak. Ini dia
tak percayakan tunang dia sama.
Bukan ke tunjang
perhubungan tu percaya?
Jadi, percayalah. Paan
anggap aku kawan baik je Ana oi.
“Siapa?”
“Tunang kau.”
“Dia cakap apa?” Paan ketawa lepas.
“Kejap. Kau pandang sini.” Aku hidupkan kamera
depan. Sesaat masa, aku mengambil gambar selfie
dengan wajah Paan di sebelah pintu tempat pemandu. Lantaklah dengan muka tak
mandi dan tak gosok gigi.
“Nak bagi Ana?”
Aku angguk. “Aku tak
naklah keluar dengan tunang orang belakang-belakang macam ni,”
“Ek eleh kau ni. Aku kan
kawan kau.” Paan gelak. Lagipun aku dah bagitahu dia tadi, nak breakfast dengan kau. Alah, kau fahamlah
tunang kesayangan aku tu.” Paan sengih dan terus masuk ke dalam kereta. “Oi,
masuklah. Aku dah lapar ni.”
Aku senyum sesaat
sebelum duduk di sebelah pemandu. Tangan masih lagi rancak menghantar gambar
tadi terus ke nombor WhatsApp Ana.
‘Nani!!!’
Aku sengih sendiri. Paan
di tempat pemandu aku pandang sekilas. Masih fokus mencari arah tuju.
Tumpuan kembali pada
skrin WhatsApps. Tangan mula menaip
jawapan balas.
‘Ana, aku keluar dengan tunang kau.
Maaf sebab tak dapat nak ikut pesanan kau tadi. Kau kena percaya, aku takkan
rampas Paan dari kau. Paan tak ada hati pun pada aku.
Aku dengan Paan kawan baik. Tak ada
benda boleh ubah tu.’
***
No comments:
Post a Comment