[BAB 15]
DUA MINGGU yang penuh dengan kerja keras. Walaupun
kadang-kadang disulam juga dengan cerita Running
Man. Dua minggu ikat perut dengan hanya menjamah biskut dan teh o panas
walaupun kadang-kadang terbabas juga nasi ayam lemon ke dalam perut.
Dua minggu tidur hanya tiga empat jam, walaupun kadang
kala terlajak sehingga lapan ke sepuluh jam sehingga terpaksa qada’ solat
subuh!
Habis.
Dua minggu yang menyiksakan dah selamat aku tempuh. Dan
apa yang penting, aku berjaya!
Okay, bukanlah nak kata aku berjaya jawab semua kertas
peperiksaan akhir aku dengan jayanya tapi sedar tak sedar, habis pun bulan yang
menyiksakan ni.
Hati dah berkobar-kobar nak balik rumah.
Dah tak sabar nak balik kampung jumpa semua orang
kampung dan lepak dengan Paan depan rumah mak long.
Yang penting, tanpa Ana!
No.
Aku bukannya cemburu dengan Ana tu. Tak.
Tapi, sejak dua menjak ni, pandangan Ana lain sikit.
Tipulah kalau aku tak perasan yang dia dah berubah lepas Paan banyak tolong aku
dalam belajar. Tipulah kalau aku tak sedar yang dia dah berubah bila jumpa
kawan-kawan lain, yang lebih happening
dan banyak duit untuk berbelanja sini sana berbanding aku yang selalu sengkek, bergantung pada perniagaan aku
tu aje.
Dan tipulah kalau aku tak tahu yang dia cemburukan aku.
Tapi apa boleh buat?
Aku dengan Paan memang kawan dari zaman tadika. Tak ada
benda yang boleh ubah benda tu.
Takkan aku nak larikan diri dari Paan semata-mata
pandangan tajam Ana tu?
Kan?
Bunyi Xiaomi Note
menjerit nyaring lagu baru Taylor Swift
mematikan monolog dalaman aku. Aku menjeling ke arah nama yang terpapar pada
skrin sekilas sebelum menarik sengih lebar.
Paan.
Kan aku dah cakap, tak ada siapa boleh ubah
persahabatan aku dengan Paan.
“Kenapa?” soal aku sebaik sahaja talian bersambung.
Tangan yang sibuk mengemas baju-baju ke dalam beg dari tadi terhenti. Sempat
aku bersandar pada katil sebelum membetulkan urat pinggang.
Lenguh!
“Abang Faris tanya, kau nak tumpang balik kampung
sekali tak?” Suara Paan kedengaran sayup-sayup dari hujung talian. Ini tak
lain, tak bukan, dia tengah bawak motosikal.
Ini lagi satu yang aku paling tak suka pasal Paan ni.
Macam mana dia fikir selit telefon pada helmet, dan telefon orang sambil bawak
motosikal tu tak bahaya?
Dah lebih seratus kali aku marah dia rasanya. Tapi
semua ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Langsung tak tinggalkan
kesan.
“Kau berhenti tepi jalan dulu, boleh tak? Aku tak
dengar.” Walaupun setiap perkataan yang Paan cakap tadi, otak aku boleh
tangkap, tapi aku sengaja buat-buat tak dengar.
Sengaja.
Biar Paan reti sikit yang cakap telefon sambil
menunggang motosikal tu tak valid.
Bahaya.
“Hah, dengar tak?” Kali ini suara dia jelas tanpa
desiran angin.
Aku sengih nipis. Berjaya jugak buat dia berhenti.
“Kau cakap apa tadi?”
“Abang Faris tanya, kau nak tumpang balik sekali tak?”
ulang dia lagi.
Sengihan aku makin lebar. Abang Faris. Abang sulung
Paan. Oleh sebab Abang Faris memang tinggal dekat Shah Alam ni, jadi hampir
setiap kali balik cuti semester atau cuti hari raya dia akan tumpangkan aku
sama.
Lagipun, kereta Alza dia tu muat sangat kalau nak
sumbat aku lagi sorang sebab Abang Faris dengan isteri dia, Kak Ain belum ada
rezeki timang anak.
“Bila?”
“Esok pagi.”
Aku diam sesaat. Report
untuk Research Project 1 aku dah
hantar pagi tadi. Design Project 1
pulak minggu lepas lagi dah selamat menyerah ke atas meja Dr. Zainun. Dr.
Zainun adalah isteri kepada Dr. Mahmud. Beruntung dia orang suami isteri dapat
mengajar di universiti yang sama. Fakulti sama pulak tu.
“Bolehlah. Aku tumpang sekali.”
“Okay. Esok lepas subuh kami sampai.”
“Hah?” Takkanlah lepas Subuh terus? Ketawa Paan dari
hujung talian membuatkan aku mencebik lebar. Main-main la ni.
“Pukul sepuluh pun lepas subuh jugak, kan?”
“Bodohla kau ni.”
“Suka sangat nak bodohkan orang.”
Aku sengih bersalah. Memang tak elok pun selalu cakap
benda-benda negatif. Contohnya itulah; Bodoh. Gila.
Tapi entah. Zaman moden ni, bila makin urban perkataan
tu diucap, makin nampak gah. Bila makin negatif ayat tu, makin nampak hebat.
Sungguhlah dunia ni dah terbalik.
“Thanks
Paan.”
“Takde hal.
Macam kau tak biasa.”
Senyuman aku masih bersisa. Sebenarnya aku belum pun
beli tiket balik kampung. Memang aku tunggu Abang Faris offer, macam selalu.
Macam mana kalau Abang Faris tak offer?
Aku tahu Paan akan ingatkan abang dia tu. Aku tahu.
HOME SWEET HOME!
Aku leretkan senyuman saat badan direbahkan di atas
sofa lama di ruang tamu. Perjalanan hampir lapan jam ke kampung aku memang
mampu membuatkan segala urat saraf lemah.
Nasib baiklah kerusi kereta Alza Abang Faris tu besar
dah selesa. Boleh jugak aku tidur dengan amannya walaupun ada Kak Fiza dekat
kerusi sebelah.
Aku menarik nafas dalam-dalam dan lepaskannya
perlahan-lahan. Siling rumah yang sudah bertukar warna hampir kelabu itu aku
pandang lama.
Walaupun rumah aku tak adalah sebesar dan semewah mana,
tapi perasaan bila ada dekat rumah sendiri tu lain.
Patutlah orang boleh cipta frasa ‘Rumahku Syurgaku’ tu.
Memang heaven!
Nak pulak dengan semua kes yang dah jadi sejak dua
menjak ni. Memanglah otak aku perlu rehat dari segala benda yang boleh buat aku
gila.
Tak sabarnya nak ajak Ifa pergi bendang dekat hujung
kampung!
Dusun arwah ayah pun rasanya dah berbuah. Boleh nampak
dari tingkap kereta Abang Faris waktu melalui kawasan dusun tadi.
Tak sabar!
“Nani!!!”
Aku terloncat dari sofa bila suara nyaring memanggil
dari luar rumah. Bila kepala mula menghadam milik siapa suara tadi, spontan aku
menggeleng laju.
Tak lain tak bukan, Ifa
“Nani!” Ifa sudah pun memanjat anak tangga dan masuk ke
dalam rumah. Aku tersengih sumbing melihat Ifa yang hanya berseluar trek gelap
dan tshirt lengan panjang yang terus duduk di depan sofa. “Assalamualaikum
makcik!” Sempat dia mencipta senyum segaris kepada mak aku yang berada di
dapur.
Masak makan malam.
“Kau ni dah nak jadi bini orang pun boleh selamba
menjerit gaya pontianak hilang anak.”
Ifa ketawa lepas.
Aku bangun dari baringan dan duduk menghadap Ifa yang
sudahpun jadi tunangan orang dua bulan lepas. Ifa tak apalah, dah kerja
sendiri. Dah lama pegang duit sendiri. Kalau nak kahwin bila-bila masa pun dah
tak ada hal.
“Kau tak cakap pun nak balik, kan? Tak sempat aku nak
bentang karpet merah sepanjang jalan kampung kita ni.”
“Kau ingat aku Datuk Bandar ke apa nak kena guna red carpet bagai?”
Ifa ketawa lagi. Riuh betul rumah aku dengan suara
ketawa dia.
“Kau balik dengan apa ni? Dengan abang ipar kau?”
Sekali lagi aku menggeleng. Ifa ni memang sejak sekolah
rendah dia panggil Abang Faris tu abang ipar aku.
Nak sangat aku berjodoh dengan si Paan. Bukannya aku tak
pernah cerita yang Paan dah ada awek dekat uni tu.
“Abang ipar tak jadi.” Selamba aku menjawab dengan
sengihan. “Cukup-cukuplah dengan abang ipar tu. Dengar dek si Paan tu buat malu
aku je. Karang dia ingat aku syok dekat
dia pulak.”
“Tak ke?” Ifa senyum sumbing.
Aku cebik. Membalas. Malas nak layan usikan Ifa.
“Okey, okey.
Paan dah ada awek. Nama awek Paan tu Ana. Kawan kau. Kan?” Sepatah-sepatah dia
mengulang kembali cerita aku dulu.
Ingat pun!
“Alah, aku dah terbiasalah. Lagipun Abang Faris tu rilax je bila aku panggil dia abang
ipar kau.”
“Rilax tak rilax, aku tak suka.”
“Kau ni pun, masuk rumah langkah kiri ke apa? Moody semacam je.” Kening Ifa terangkat
tinggi sambil menilik wajah aku lama.
Aku melepas nafas perlahan. Nak bercerita, tak tahu macam
mana nak mula. Lagipun, Ifa sendiri dah ada banyak masalah dengan majlis nikah
dia nanti. Aku tak nak cerita aku menambahkan masalah dia pulak.
Cukuplah dia stress
dengan persiapan majlis kahwin dia itu je.
“Malam ni lepak dekat rumah Mak Long aku, nak?” Aku
tukar topik. Sengaja mengembalikan memori zaman sekolah dulu-dulu. Duduk dekat
tangga besar rumah mak long sambil bercerita tentang diri sendiri. Maklumlah,
masuk sekolah menengah, semua dah tercampak di sekolah yang berlainan.
Masing-masing ada cerita sendiri. Masing-masing ada pengalaman sendiri.
Mak long pulak, tiap kali kita orang lepak, dia selalu
keluarkan teh o panas. Tak pun, air kopi. Kak Husna, sepupu aku pulak suka bila
cekodok yang dia masak tu kami habiskan.
Mana tak habis, sambil bercerita, sambil mengunyah!
“Ajak Paan sekali?” Mata Ifa bersinar.
Aku mengangguk. “Kau bawak biskut.”
“Set!”
SELESAI SOLAT MAGHRIB, aku menyikat rambut yang sudah
panjang ala kadar sebelum mengikatnya menjadi ekor kuda. Tudung syria
disarungkan melepasi muka. Bila dah rasa kemas, aku senyum sendiri di depan
cermin.
“Mak, nak pergi rumah mak long kejap.” Aku melaung
kepada mak yang masih di tikar sejadah. Mengaji.
Belum sempat aku menarik pintu utama, telefon bimbit
berbunyi kuat menandakan WhatsApp baru masuk. Laju saja tangan menyeluk saku
seluar track sebelum mengeluarkan Xiaomi Note yang masih bercahaya.
0119xxxxxxx
‘Bagi
Facebook, nak tag something.’
Aku termenung depan pintu. Nombor siapa pulak ni?
Tiba-tiba pulak minta Facebook aku.
Dahlah aku dengan Facebook ada
kenangan mengguris jiwa. Heh.
Aku menjeling tarikh dan masa pesanan tadi dihantar.
Pukul 5.35 petang tadi. Kenapa sekarang baru nak masuk?
Pintu rumah ditutup rapat. Telefon bimbit kembali
disimpan ke dalam saku seluar. WhatsApp
tadi dibiarkan tidak berbalas.
Aku lupa yang aku sekarang ada dekat kampung.
Line internet dekat rumah aku memang tak mampu
mengalahkan kelajuan seekor siput! Tak kiralah rangkaian mana sekalipun.
“Lambat!”
Muncung Ifa panjang sedepa sebaik sahaja nampak kelibat
aku mendekati rumah mak long yang hanya bersebelahan dengan rumah aku.
Aku hanya sengih tanpa menjawab. Bukan aku yang lambat,
dia yang awal sangat. Tak sabar nak bergosip la tu.
“Paan mana?” Aku duduk di atas pangkin rumah mak long,
bersebelahan dengan Ifa yang sibuk bermain dengan anak Kak Husna.
“Tadi nampak dia pergi balaisah.”
Aku mengangguk. Balaisah
atau surau kecil yang diperbuat daripada kayu itu terletak bersebelahan dengan
rumah Ifa. Jadi kalau orang keluar masuk tu memang dia boleh nampak.
Kalau Paan dekat balaisah,
mungkin lepas Isyak baru dia datang. Macam biasa.
Aku membuang pandang ke dalam rumah mak long yang penuh
dengan cucu-cucunya yang berlari ke sana dan kemari.
Pintu rumah mak long sentiasa terbuka luas dan halaman
rumah sentiasa terang benderang. Kalau waktu sepupu aku, Abang Falah dan Najid
muda-muda dulu, selalu jugak dia bawa kawan lepak dekat sini. Tapi bila semua
dah bekerja dekat KL sana, giliran aku pula yang isi tempat kosong ni.
Lagipun rumah mak long berada dengan tengah-tengah kampung.
Dekat dengan beberapa rumah yang lain. Jadi kalau nak bersembang sampai malam
pun, masih lagi selamat. Ramai yang memerhati.
“Haritu kau cakap awek Paan tu cemburu dengan kau,
kan?”
Aku mengangguk tanpa memandang. Tiba-tiba pulak buka
topik si Ana ni.
“Nak cemburu kenapa pulak budak tu? Kau dengan Paan kan
dah lama kawan.” Ifa masih lagi dengan topik sama.
Aku angkat bahu. Dah bosan sebenarnya dengan topik tu.
Dahlah Tri four five tu pun sibuk
cakap aku ni orang ketiga.
“Senang-senang kau amik je si Paan tu. Kahwin dengan
dia. Biar betul awek dia melopong. Dah alang-alang cemburu sangat, kan?”
Terus tercekik air liur aku mendengar cadangan langsung
tak bernas daripada Ifa. Ada ke nak suruh aku rampas Paan daripada si Ana tu.
“Aku bukan orang ketiga la oi!” Aku ketuk bahu Ifa kuat.
Ifa mengaduh sakit. Automatik dia menggosok bahu yang
aku tepuk tadi.
“Laa, siapa cakap kau orang ketiga pulak?”
“Siapa orang ketiga?”
Aku dan Ifa sama-sama berpaling ke arah suara yang
menyampuk. Masing-masing senyum sumbing menyimpan rahsia. Paan berjalan
mendekati tangga sambil menurunkan kopiah putih dari kepala.
“Hai Paan! Lamanya tak jumpa kau.” Ifa angkat tangan.
Paan sengih selapis. Dia mengambil tempat sedikit jauh dari tempat duduk aku
dan Ifa.
“Kau tu la. Dah nak kahwin baru nak ingat contact aku. Kalau tak, haram...”
Ifa mengekek ketawa.
“Alah, aku sibuklah. Aku ingat kerja kahwin ni senang,
rupanya banyak sungguh benda nak kena buat. Sampaikan nak jemput bestfriend sendiri pun lupa.”
“Bestfriend amende kalau majlis besar macam ni pun kau
boleh lupa aku.”
Ketawa kami bergabung. Riuh rendah pangkin mak long.
Aku berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah untuk
membuat teh O sebelum Xiaomi Note aku
riuh menyanyikan lagu Blank Space.
Melihatkan nombor sama seperti di dalam WhatsApp
tadi, kening aku terangkat tinggi. Perlahan-lahan aku menyambungkan talian.
“Kau betul-betul delete
nombor aku ke? Hampeh sungguh.”
Belum sampai sesaat talian disambung, suara pemanggil
memenuhi speaker. Ifa dan Paan
sama-sama memandang aku yang masih diam dengan sebelah tangan pada telinga.
“Siapa ni?” Dahlah nombor tak kenal. Lepas tu nak
marah-marah pulak. Ini pun kira nasib baik aku angkat. Selalunya memang aku tak
angkat kalau nombor tak kenal. Biasalah,
customer aku dulu memang ramai. Memang taklah aku nak layan telefon
satu-satu.
Sebab itulah aku letakkan arahan ‘WhatsApp Only’ awal-awal.
“Na Ni... Na Ni. banyak makan semut kau ni agaknya. Itulah, aku
simpan nombor ni dalam contact handphone kau, kau delete.”
Aku terdiam. Suara macam kenal.
Oh!
“Ini akulah. Habib Fitri, kekasih semulajadi.” Dia
ketawa di hujung talian.
Spontan aku mencebik. Kekasih semulajadi konon.
“Kejap.” Aku menurunkan telefon lari telinga.
“Aku buat air kejap. Korang sembanglah dulu.”
Ifa dan Paan memandang sesama sendiri. Aku terus masuk
ke dalam rumah sebelum telinga menangkap soalan Ifa.
“Amboi, cakap telefon sembunyi-sembunyi, dia ada pakwe ke dekat sana?”
“Setahu aku tak ada. Itulah, aku pun pelik ni.” Paan
terjenguk-jenguk mengintai.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Kan dah kena gosip! Si Tri
ni ada apa pulak telefon aku malam-malam ni?
“Nak apa?” Xiaomi
kembali diletakkan ke telinga.
“Kan dah cakap tadi, nak minta Facebook kau. Nak tag
benda. Kau duduk dekat gua mana ni? Dari tadi aku nak call pakai WhatsApp tak
dapat. Rugi je kena telefon pakai kredit.”
Amboi, sedapnya bahasa. Siapa suruh dia telefon aku
entah.
“Gua yang awak cakap tu, kampung saya Encik Tri four five oi. Dan satu lagi, rasanya
saya tak suruh pun awak telefon, kan? Nak bising kredit habis kenapa?”
Dia ketawa lepas dari hujung talian. Aku tahu dia
bergurau aje pasal kredit.
“La... dekat kampung ke ni? Sorry.” Ketawa dia masih bersisa. “Manalah aku nak tahu line dekat kampung kau semput macam ni.”
Mengata la tu. Tahulah rumah dia dekat bandar.
“Nanti saya balik Shah Alam lah saya kasi Facebook. Nak bagi sekarang pun,
bukannya boleh buka Facebook. Tak
larat nak tunggu loading berjam-jam.”
“Orait then.”
“Nak tag apa?”
soal aku, membuka kembali topik yang hampir tamat bila mendengar nada kecewa
dia.
“I’ve fixed something. Not
much. But I hope benda tu boleh buat nama kedai kau bersih balik.” Dia
menjawab senada.
Aku gigit bibir sendiri. Rasa bersalah mula merajai.
Beria-ia aku marah dia, rupanya dia dah tolong aku.
Apalah kau ni Nani.
“Thank you.”
“Pleasure. Kan aku dah cakap yang aku tak ada
kerja.”
Aku senyum sendiri. “Nanti saya WhatsApp nama Facebook.”
“Bukan ke dekat sana tak ada line?”
“Ada je sebenarnya. Tapi kena gaduh dengan siput
dululah.”
“Meaning?”
Hish, tak faham pulak lawak aku.
“Ada je. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.”
“Oh, so yang
tadi tu ‘seribu dalih’ la ye?”
Aku ketawa perlahan. Matila kalau Ifa dengan Paan
nampak aku bergelak ketawa macam ni.
“Sort of.”
“So, kenapa sekarang ‘seribu daya’
pulak?”
Aku mati kata. Terjerat dengan kata-kata sendiri. Apa
alasan aku nak bagi ni?
“Na Ni?”
“No reason.” Laju aku menjawab. “I’ll WhatsApp you later. Bye.” Aaaa. Kenapa rasa panas pulak muka ni?
Tahun
Akhir Diploma
han_nani
: Hai pakcik! Lama tak online.
M_K:
Pakcik dekat kampung minggu lepas, budak.
han_nani:
Dekat kampung tak ada internet? Samalah dengan saya. Kalau balik
kampung
memang langsung tak boleh nak online. Nak kena pergi bandar baru okay.
M_K:
Sebenarnya ada je line dekat kampung pakcik ni. Tapi kena panjat pokok kelapa
dulu.
M_K:
Elok jugak internet dekat kampung tak ada. Kalau tak sampai
bila-bila
tak pandang muka mak ayah. Dekat uni pun mengadap laptop. Dekat kampung pun
mengadap laptop, telefon, bila masanya nak bersembang dengan family.
M_K:
Tahu tak yang pandang muka mak dengan ayah pun dapat pahala?
No comments:
Post a Comment