Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 7]

[Bab 7]


FITRI.
Atau nama penuh dia Habib Fitri. Itu yang tertulis pada kad nama yang terletak di atas kaunter cafe. Sebenarnya, selepas kejadian tadi Tri keluar dari cafe (memang dia nak keluar dari tadi. Tapi terlanggar aku pulak) dan aku terus ke kaunter depan. Membuat pesanan.
Tangan yang mengetuk-ngetuk meja yang diletakkan buku menu terhenti kaku saat mata terpandang business card yang selama ini tak ada pun dekat situ.

Habib Fitri
Manager

Spontan aku mencebik bila baca jawatan yang ditulis pada kad tadi. Manager konon. Untung betul jadi adik tauke kedai. Masuk tak sampai sebulan pun dah boleh jadi manager. Heh.
“Termenung apa tu kak?”
Aku angkat kepala. Automatik bibir aku menarik senyum bila memandang wajah Khalisha yang baru keluar dari tandas cafe. Lama betul tak nampak dia. Ingatkan dah berhenti.
“Termenung fikirkan masa depan.” Aku angkat kening. Kad tadi diletakkan kembali ke tempat asal. Tak teringin pun nak buat koleksi. “Ajim, aku nak macam biasa ya.”
Ajim mengangkat tangan tanda OK dari kaunter kopi tanpa suara.
“Kak Iqa ada? Abang Nas?”
“Kak Iqa tak ada. Dia balik awal harini. Abang Nas ada lagi dekat dapur. Kenapa kak?”
Aku melepas nafas perlahan. Dah tu, sia-sialah aku datang ke cafe ni? Ingatkan nak minta Kak Iqa buatkan congo bars dia tu. Abang Nas tahu buat ke?
“Along ni, bukan nak bagitahu awal-awal!”
Aku dan Khalisha membuang pandang ke arah pintu masuk cafe bila loceng pada pintu berbunyi. Wajah sugul Tri terus menerpa anak mata. Sebelah tangan kemas memegang telefon pintar di telinga dan sebelah lagi menggaru kepala.
Aku macam boleh agak dia cakap dengan siapa.
“Orang nak keluar la long. Tadi tak cakap.” Sekali lagi dia bersuara. Memprotes. Anak matanya tajam menikam aku yang mencuri pandang. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan.
Ini mesti kes Kak Hasya paksa dia suruh buat apa-apa ni...
“Tahu. Kak Iqa dah ajar.” Dia menarik salah satu kerusi kosong dan terus duduk disitu. Aku masih setia memasang telinga. Curi-curi dengar.
“Iyelah. Nanti orang buat. Along ni, kacau sungguh.”
Senyuman aku ditahan-tahan. Kemain manja cakap dengan kakak dia. Tak sesuai langsung dengan perangai malaun dia tu.
“Nak berapa dulang?”
Sikit lagi aku nak terlompat bila dia tiba-tiba bersuara dari belakang. Bila masa dia duduk belakang aku entah.
“Dulang apa?”
Tiba-tiba muncul dekat belakang, tanya dulang pulak. Dulang apa? Takkan dulang hantaran kot?
“Berapa dulang congo bars yang kau nak.” Mendatar dia menjawab.
Oh. Tu ke.
Aku simpan sengih. Inilah orang lelaki. Dulang... dulang...
Ingat ini hantaran ke nak pakai dulang?
“Bukan orang panggil loyang ke? Kan?”
Dia terdiam sesaat. Aku pulak dah tersenyum sumbing.
“Tak kisahlah apa pun. Berapa kau nak?”
Ek eleh. Cover malu la tu. “Tiga atau empat pun okay.” Aku membuat keputusan. Cukup la kot untuk dua hari festival tu.
Dia melepas nafas perlahan sebelum menuju ke dalam kaunter. Cepat-cepat aku mengikut dia dari belakang.
“Eh, kau nak pergi mana pulak ni?” Dia tiba-tiba berhenti. Nasib baik aku sempat brek, kalau tak memang sia-sialah hidung aku yang tak berapa mancung ni tercium bahu dia.
“Nak ikut awaklah. Nak tolong.” Aku buat muka pelik. Selalunya, bila ada jualan besar-besaran macam ni memang aku selalu tengok Kak Iqa dan Abang Nas bakar kek. Kak Hasya pun selalu ajak aku masuk dapur, tengok dia buat mini pavlova.
“Siapa cakap kau boleh masuk? Had pelanggan takat tu je.” Jari telunjuk dia melurus pada kawasan belakang kaunter.
“Dekat sini, staff only.” Dia pandang aku sambil memasukkan kedua dua tangan ke dalam saku seluar.
Kerek sungguh!
Mentang-mentanglah dah ada pangkat manager. Nak berlagak pulak. Aku tak nak jual dia punya kek baru tahu.
Huh!


BERKALI-KALI AKU jugak angkat kepala dan jenguk pintu dapur yang tertutup dari tadi tu. Sunyi sepi. Tak ada orang pun yang buka pintu untuk aku curi-curi tengok apa yang Tri buat dalam tu. Hatta Abang Nas pun tak ada keluar. Bau coklat dan aroma kek yang dibakar dari oven dapur serta merta membuatkan aku lapar.
Wangi!
Cawan Americano yang sudah suam aku capai dengan sebelah tangan. Perlahan-lahan aku menghirup kopi itu sehingga habis. Skrin telefon yang memaparkan laman web radio online WCFM aku pandang tanpa tujuan.
Bosan.
Deejay Ratu Kelawat Lady Julyiet yang aku suka tu tak ada on air pulak.
Nak buat kerja-kerja meniaga pun tak ada mood.
Aku mencapai handphone yang dari tadi tersadai di atas meja dengan sebelah tangan. Mata masih memerhati pintu dapur yang tertutup rapat. Hanya cermin kecil tembus pandang sahaja yang menampakkan kedua-duanya sibuk ke sana dan kemari di dapur cafe.
Aku tarik nafas perlahan. Jari jemari laju menari di atas skrin.

Kak, nanti bagi tahu MANAGER akak tu, saya nak kek tu esok pagi pukul tujuh setengah tau.

Aku simpan sengih. Sengaja aku besarkan perkataan manager tadi. Sengaja. Tak lama pun menunggu, telefon aku berbunyi pendek menandakan ada WhatsApp baru.
Aku membaca nama yang tertera sesaat sebelum tangan membuka applikasi itu.
Kak Hasya.

La, kau tak singgah dekat cafe ke?

Aku sengih lagi. Jari mula galak di atas skrin telefon.

Singgah. Tapi MANAGER akak buat saya macam tunggul. Dari tadi tunggu dia keluar, tak keluar-keluar. Entah tengah bakar kek ke, rancang nak bakar satu Shah Alam ni.

Hahaha. Maaflah, adik akak tu memang biol sikit. Nanti akak bagitau dia. Kesian kau. Nanti cakap dekat Hazim, kopi kau harini akak belanja.

Bibir aku menarik sengih membaca jawapan daripada Kak Hasya. Bukan biol sikit, kak. Banyak!.

Tak apa kak. Dah bayar pun. Lain kali la belanja. Akak tu lepas pantang nanti terus datang cafe. Dah tak tertanggung rindu ni ha.

Alah, macam tak biasa. Nanti ambil balik duit kau. Buang tabiat ke apa nak rindu akak ni? Hahaha

Kan dah kata. Perangai Kak Hasya jauh berbeza dengan adik dia. Adik dia siap suruh aku bayar waktu makan tester! Hampeh sungguh.

Iya lah kak. Manager akak tu buat saya jadi macam alien dekat cafe ni. Dah tak boleh buat macam rumah sendiri dah =(

HAHAHA. Nanti akak tolong lempang dia. Kasi betul sikit biol tu.

Ketawa aku meletus juga. Janganlah Kak Hasya pergi lempang betul-betul. Karang adik dia datang serang aku pulak. Bukannya boleh kira Tri four five tuh.
“Hah, apa plan untuk esok?”
Hampir terlepas Xiaomi Note aku dari tangan bila ditegur tiba-tiba. Aku angkat kepala, memandang wajah mencuka Tri di depan.
Seronok sangat mengumpat dia hinggakan langsung aku tak sedar bila dia keluar dari dapur. Macam chipsmore betul.
Plan apa?” Aku membetulkan suara. Buat-buat tak terkejut.
Dia menarik salah satu kerusi yang ada di meja dan terus melabuhkan punggung disitu. Tuala good morning yang dipegangnya tadi diletakkan ke leher.
“Kau yang suruh aku teman kau esok, kan? Bagi la tau apa yang aku kena buat dekat sana. Duduk je ke. Pandang orang je ke. But wait, ada apa sebenarnya esok ni?” Berkerut-kerut dahi dia bertanya itu ini.
Tapi kejap.
Bila masa aku suruh dia?
Ini mesti kerja Kak Hasya!
“Tak boleh ke suruh Ajim je pergi esok? Kau nak aku jugak ikut?”
Lama aku pandang dia, tak percaya? Kenapa aku rasa nada suara dia macam aku terdesak sangat nak dia ikut? Tolonglah!
“Kalau awak tahu bancuh kopi, it would be a PLEASURE kalau Ajim yang ikut.” Aku membalas keras.
Dia mengeluh perlahan.
Aku cebik sinis. Haa, tahu pun tak pandai.
And one more thing, saya tak suruh pun awak ikut. Lagi bagus kalau Kak Iqa atau Abang Nas yang ikut.” Cepat aku menyambung. Tak naklah dia fikir yang aku sengaja nak minta dia temankan aku esok.
“Lagipun kan, saya ni tolong cafe awak jual barang. Cafe awak. Untung pun awak. Lagi nak argue banyak?” Aku bekukan suara.
Apa, ingat dia saja boleh kerek dengan aku? Kat depan pintu kedai tadi boleh pulak senyum. Ini dah macam perasan bagus sangat!
“Kalau awak busy esok, suruh ajelah Kak Iqa ikut. Abang Nas ke...”
“Kak Iqa cuti esok. Anak dia tak sihat. Abang Nas seorang aje dekat dapur.”
Oooo. Patutla dia kena pergi.
“Khalisha?”
“Kalau dia pergi, kau nak aku yang jaga kaunter sini?”
“Why not?” Apa pulak masalahnya kalau dia jaga kaunter? Takkan dah dapat pangkat manager kedai tak boleh mencemar duli jaga kaunter duit kot.
“Pukul berapa esok?”
Aku sengih. Ingat tak nak tahu.
“Saya nak semua kek siap pukul tujuh setengah pagi. Saya tunggu dekat kedai. Lepas tu kita sama-sama pergi dekat booth.”
Dia mengangguk-angguk, faham. “Aku buat empat tray, cukup tak?”
“Cukup la kot. Nanti bawa ajelah apa-apa yang ada dalam chiller tu. Tak payah buat yang lain dah.” Aku mula membuka planner, menulis senarai barangan yang akan dijual esok.

“UTC... UTC.. pusat pelbagai perkhidmatan.
Berkhidmat untuk rakyat...”

Aku terhenti bila teringatkan sesuatu. Aku bukan duduk sorang sorang!
Ehem.” Aku berdehem perlahan. Macam manalah boleh terkeluar lagu tu? Ini tak lain tak bukan sebab dah terbiasa dengar hari-hari la ni. Dah lekat dekat bibir ni ha. Haraplah dia tak dengar aku nyanyi tadi.
Part time nyanyi untuk commercial break ke?”
Aiseh, dia dengar!
“Sibuklah.” jawab aku tanpa memandang. Malu sebenarnya.
“Jumpa esok.” Komputer riba yang masih berlagu aku tutup rapat. “Jangan lupa bawa plastik pembungkus, kotak untuk kek, tray untuk pameran...”
Whoa.. whoa... cakap slow-slow boleh? Nak hafal dalam kepala pun tak sempat kalau macam ni.”
“Tak payah hafal. Nanti esok cakap dengan Abang Nas, nak barang untuk booth. Dia tahu la apa yang nak dibuat.” Planner tadi aku sumbat ke dalam beg. Jam di tangan aku jeling sesaat. Dah lewat sangat ni. Dah dekat maghrib pun.
Aku bangun dari kerusi, berkira-kira untuk keluar.
“Kejap.”
Aku toleh ke belakang, pandang muka dia. Apa lagi yang dia tak faham ni?
“Apa?”
“Nama kau apa eh?”
Soalan yang tidak disangka-sangka dari dia membuatkan mulut aku kaku.
“Hah?”
“Nama kau.” Anak matanya tepat pada wajah aku.
“Nani.” Pendek aku menjawab.
“Hanani? Yunani? Rosnani? Ataupun...Luis Nani?” Dia tersengih di hujung kata. Apa, ingat aku tak tahu ke Luis Nani tu pemain bolasepak?
“Na. Ni.” Aku menjawab sepatah-sepatah. Tak rasa pun nak bagi tahu nama penuh aku.
Okay then, Na Ni.”
Aku mencebik. 
“Jumpa esok, Na Ni.” Dia menyambung.
Kenapa lah dalam ramai-ramai penduduk dekat Malaysia ni, dia jugak yang jadi adik Kak Hasya?






No comments: