Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 13]

[Bab 13]


STUDY WEEK.
Sungguhlah minggu belajar kali ni yang aku rasa paling pendek dan sangat terhad. Tiba-tiba aje banyak sangat benda yang aku kena tahu dan belajar. Itu belum masuk lagi final report design project satu dengan research project.
Padan muka kau, Nani. Buat lagi kerja last minute!
Hampir setiap hari aku dengan Paan lepak dekat perpustakaan dan kadang-kadang aku ajak dia ke cafe Kak Hasya.
Dan kadang kala Ana datang ikut belajar sama. Tapi macam biasa, dia banyak diam siapkan kerja sendiri. Oleh sebab Ana berlainan jurusan, kertas perperiksaan akhir dia hanya satu. Tak perlu nak kalut macam aku yang ada tiga carry paper ni.
Jadi dia banyak diam, membiarkan Paan ajar aku itu dan ini.
Selalu sangat aku nampak muka tak puas hati dia. Muka ‘Paan, bagilah perhatian dekat I jugak’ tu. Tapi aku buat tak tahu.
Ini bukan masa nak dengki mendengki takut aku rampas pakwe dia. Bukan. Ini masa aku nak belajar dan habiskan final exam ni dengan jayanya.
“Okay, I nak pergi makan.” Ana menutup rapat Asus di depan. Dia memandang Paan di sebelah, minta perhatian. Bila dengar dia sebut ‘I’ aku tahu yang dia hanya ajak Paan. Bukan aku sekali.
“Nak makan apa? Order je. Nanti I bayarkan.” Tumpuan Paan masih pada kertas di atas meja. Tangannya sibuk mengira jawapan dari soalan yang tak dapat aku jawab tadi.
Aku pandang jam di tangan sekilas. Baru pukul 12 tengah hari. Baru je tadi Ajim bagi muffin untuk isi perut. Sekarang ni pun aku masih kenyang lagi.
“I nak makan nasi.” Nada suara Ana berubah. Hidung dia dah kembang kempis tahan marah.
Aku tarik nafas perlahan memandang Paan yang masih khusyuk mengira. Paan ni pun. Dia buat macam ni lagilah Ana hangin dengan aku.
“Kau pergi lah makan dulu Paan. Nanti aku cuba kira lagi sekali.” Kertas soalan di depan Paan aku tarik perlahan. Ana senyum selapis.
“Ish, kau ni. Sikit lagi nak dapat ni. Kejaplah.” Kertas tadi kembali bertukar tangan. “Na, you pergi sorang la eh. Boleh? Bungkus pun tak apa, nanti makan dekat sini.”
Aku ternganga.
Muka Ana berubah.
Biar benar Paan ni?
Tanpa menunggu hatta sesaat, Ana bangun dari kerusi dan terus keluar dari cafe. Spontan aku melepas nafas perlahan.
“Kau ni dah kenapa?”
“Kenapa?” soal dia tanpa memandang.
“Kau pergi la teman dia makan. Nanti kau sambunglah ajar aku balik.” Ada ke biarkan awek dia makan sorang. Mana tak si Ana tu bagi jelingan dinasor dekat aku?
Paan tidak memandang. Fokus dia masih pada soalan yang sama.
“Biarlah dia pergi sendiri. Kedai makan sebelah aje kot.”
“Kau ni... kau pun tahu Ana jealous dengan aku, kan?”
“Tahu.” Paan ketawa kuat. “Dah, biar je. Aku puasa. Takkanlah aku nak melangut depan dia tunggu dia makan. Sayang awek pun agak-agaklah.” Ketawa dia masih bersisa.
Laju aku menggeleng. Patutlah Paan tak order minum pun. Muffin yang aku beli tadi pun dia tak sentuh.
 “Dah tu, kenapa tak bagitahu dia kau puasa?”
“Dia tahu.”
La... Ana pun satu. Dah tahu Paan puasa, pergi ajak jugak kenapa? Seriuslah aku tak faham. Payah jugak nak cerna perangai orang couple nih.
“Dah. Aku dah dapat jawapan.”
Fokus aku kembali pada Paan di depan.
“Macam mana?” Pen dah tersedia di tangan.
“Macam ni...”


MASUK WAKTU ZOHOR, Paan terus ke surau cafe. Ana dari tadi tak memunculkan diri. Lama sungguh dia keluar makan.
Entah-entah dia sengaja mogok, marahkan Paan.
Aku pula masih di meja, menjaga segala harta benda yang ada. Nak harapkan Ajim dengan Khalisha, diorang sendiri sibuk dengan kerja masing-masing.
Kerusi di tempat Paan tadi ditarik sebelum seseorang duduk di situ. Aku masih lagi mencuba untuk selesaikan masalah calculus di tangan. Cepat betul Paan solat. Tak sampai lima minit pun dia bangun tadi.
“Kau ni tak habis-habis nak jadi orang ketiga.”
Aku angkat kepala. Tri yang santai dengan t-shirt berkolar dan jeans gelap bersandar pada kerusi.
Bukan Paan rupanya.
“Awak tu yang tak habis-habis dengan topik orang ketiga.” Aku mencebik. “Saya bukan orang ketigalah.”
Tri sengih senget. Kedua-dua tangannya dilipat ke dada.
“Okay. Okay. Kau ada kawan lelaki, dan kawan lelaki kau ada awek. Kan?”
“Awak nak apa sebenarnya ni?” Aku letakkan kalkulator dan pensil tekan ke atas meja.
“Bosanlah kau asyik study je.”
“Kenapa pulak?” Kening aku terangkat tinggi.
“Sejak bila minat belajar ni?”
Kali ni aku diam. Sungguhlah dia pelik hari ni. Macam mana pulak dia tahu aku tak pernah minat nak belajar? Nampak sangat ke?
“Awak tak ada kerja eh? Tahulah manager dekat sini.” Aku tukar topik. Malas nak panjangkan isu minat tak minat ni.
Lagipun, aku takut perbualan ni merebak pulak ke masalah perniagaan aku. Dahlah aku dalam proses nak lupakan benda tu semua.
Tri mahu buka mulut, membalas. Tapi cepat saja aku angkat tangan tanda ‘stop’. Handphone yang berbunyi nyaring di sebelah buku Chemical Design aku pandang dengan keluhan.
Pengedar selendang.
“Ye kak?” Aku menegur sebaik sahaja talian bersambung. Tri masih lagi disitu, menunggu.
“Nani, maaf akak nak bagitahu. Bos dah tak bagi akak hantar stok dekat kamu. Akak pun tak tahu nak pujuk  macam mana dah. Kamu faham, kan?” Suara Kak Nisya tergagap-gagap dari hujung talian.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Hampir dua tahun aku jadi dropship untuk syarikat dia. Hampir dua tahun aku tolong dia orang jual selendang.
“Nani, akak betul-betul minta maaf. Akak pun tak boleh nak buat apa.”
“Saya faham kak.” Antara dengar atau tidak, itu saja yang terkeluar. Jari laju saja menamatkan talian walaupun Kak Nisya masih disitu. Aku pejam mata, lama. Cari kekuatan.
“Oit. Kenapa?”
Aku lupa yang Tri masih tegak di depan aku. Sikit lagi aku nak keluarkan air mata tadi. Bukan kerana sedih. Tapi kerana rasa geram dan marah yang tak terucap.
Now, semua orang tak nak hantar stok dekat aku. Semua orang dah tak percayakan aku.” Ayat itu terkeluar dengan keluhan. Kesal.
“Huh?”
“Semua percaya bulat-bulat benda tu.” Aku menggumam sendiri.
Why? What happened?”
“You won’t understand.”
“Try me.”
Aku tarik nafas dalam-dalam. Kedua-dua tangan diletakkan ke atas meja sebelum aku menyembamkan muka ke situ.
“Don't you hate it when you hit a certain level of unappreciated and you finally noticed it, then you don't know what to do?”
Kalau nak diikutkan hati, memang nak aje aku sembur diorang. Tapi tak boleh. Kalau aku marah, lagilah dia orang percaya bulat-bulat screenshot tu. Dan kalau aku diam macam ni pun dia orang masih ingat aku macam tu.
Jadi macam mana?
Apa aku nak buat?
Tri mengeluh perlahan sebelum membetulkan duduk. Pelik agaknya mendengar soalan random aku. Lama dia pandang wajah aku sebelum membuka mulut, “Apa yang jadi sebenarnya ni?”
“I know you know.”
“Okay, mungkin aku tahu. Tapi itu dari apa yang aku baca. Sekarang aku nak tahu dari kau pulak. Was it true?”
Aku melepas nafas perlahan. “Terpulang pada awak nak fikir macam mana. Saya dah penat nak fikir.”
“Bukan apa, aku tak percaya kau macam tu sebab dua hari dekat booth dulu pun kau macam enjoy dengan kerja meniaga kau. Tak ada pulak nak marah-marah dan membebel pada customer.”
Aku pandang dia tak lepas. Jadi, maksud lainnya, dia perhatikan aku?
“Seriously, aku sendiri menyampah bila ada yang belek-belek lepas tu letak balik. Yang tanya itu ini satu jam, tapi tak beli,” Tri masih bercerita. “Tapi kau, kau rilax je. Itu sebab payah aku nak percaya.”
Sekarang ni aku tak tahu sama ada nak menangis atau ketawa. Habib Fitri. Orang yang baru saja aku kenal beberapa bulan. Yang baru saja bersembang beberapa kali.
Kalau dia boleh percaya aku, takkanlah orang yang dah kenal aku bertahun boleh terima saja bulat-bulat apa orang kata?
“Sebenarnya, memang betul saya marah customer tu.” Nafas dihela perlahan. Riak wajah Tri jelas terkejut. Aku membuka kembali perbualan dengan pelanggan itu tempoh hari. Terus saja aku hulurkan kepada Tri di depan. “Awak bacalah. Then, judge.”
Berkerut-kerut kening dia membaca ruangan WhatsApp itu. Sesekali dia ketawa bila ada yang mencuit hati.
Yang aku tak tahu apa benda.
“So?” soal aku bila handphone bertukar tangan.
“Kelakar jugak perangai customer kau ni.” Ketawa dia masih bersisa. “Memang ada yang macam ni, eh?”
Aku sengih selapis. Tahu pun. “Sometimes. Cuma kali ni timing dia tak tepat.”
But still, aku rasa kau tak perlu taip apa yang kau marah tu. Membebel je la kuat-kuat dekat luar. Lepas tu senyum la balik dalam WhatsApp. Apa ada hal. Ini tengok, jadi macam ni sapa yang susah?” Dia sengih di hujung kata.
“Ingat tak yang saya tak bagi awak tegur hari tu?”
The day yang kau kena sumpah dengan jin masam?” Sengihannya masih belum pudar.
“Hari yang sama saya kena marah dengan lecturer pasal result teruk dan berkoyan-koyan lagi masalah yang lain.”
And then, datang pulak masalah yang ini,” Dia menyambung sendiri. mula faham situasi sebenar aku.
Aku hanya mengangguk, mengiakan.
“Okay, I think I get it.” Dia senyum selapis. “Kawan lelaki kau dah sampai. Sila lah sambung watak orang ketiga tadi.” Dia kenyit mata sebelum berlalu dari meja.
Aku nampak dia senyum kepada Paan sewaktu berselisih bahu dan Paan membalas senyuman dengan anggukan sebelum kembali duduk di depan aku.
Melihatkan dia yang masih tersengih di kaunter, kepala aku menggeleng laju. Mati-mati aku ingatkan topik tu dah habis. Hampeh betul manusia yang bernama Habib Fitri nih.


 AKU MERAUP MUKA setelah selesai berdoa. Lama aku termenung memandang sejadah. Aku tahu ujian aku kali ni tak sebesar mana pun berbanding ujian orang lain. Bukan ke setiap ujian itu tanda ALLAH sayangkan hambaNYA?
Nafas dihela perlahan. Telekung Kak Iqa yang sememangnya ditinggalkan di surau itu aku lurutkan dari badan. Rambut yang sudah mencecah belakang aku usap perlahan. Sesekali tangan menjalar ke kepala. Nak tak nak, segala yang jadi sekarang ni boleh buat jiwa aku kacau jugak.
“Takkan macam tu sekali, Along?”
Urutan aku terhenti kaku. Suara Tri dari luar menyapa telinga. Aku diam menunggu ayat seterusnya.
“Alah, sekejap je. Dah reda nanti Along bagilah dia job balik. Kamu nak ke kedai ni tak ada customer?”
Kening aku terangkat tinggi mendengar suara Kak Hasya. Bila dia sampai? Rasanya waktu aku masuk surau tadi tak ada pulak nampak dia.
Kejap. Topik apa pulak yang serius ni?
“Bukan salah dia pun, Long. Tak adillah macam tu. Selama ni pun, Along jugak yang cakap dia pandai berniaga.” Suara Tri makin mengendur.
Keluhan keluar tanpa aku sedar. Sekarang aku faham. Dia orang tengah cakap pasal aku. Cepat-cepat aku mengikat rambut menjadi satu dan memakai tudung.
“Ye. Along tahu. Tapi apa boleh Along buat? Kita pun kena jaga nama jugak. Kau nak kedai kita sekali kena kutuk? Lingkuplah cafe Along.”
Tangan yang membetulkan tudung di muka terketar-ketar. Betul ke Kak Hasya yang cakap tu?
Sabar Nani... Sabar.
“Rezeki tu daripada ALLAH, along.” Suara Tri naik senada. “Benda tu benda kecik je dan orang yang share tu yang besar-besarkan cerita. Bukan salah dia pun. Kenapa nak buat dia macam tu?”
I have no choice! Walaupun bukan salah dia, benda dah jadi. Nanti kamu bagitahu dia. Suruh dia delete semua gambar kek dekat kedai kita. Jangan mention pun nama kedai ni. Along takut cafe Along terbabit sama.”
No. Kalau Along nak cakap, cakap sendiri. Orang langsung tak sokong apa yang Along buat ni.”
“Fitri! Tolonglah. Along tak tahu nak cakap depan-depan macam mana.” Kata-kata Kak Hasya terhenti di situ sebaik sahaja aku membuka pintu surau.
Nafas ditarik dalam-dalam, menghalang air mata dari terkeluar. “It’s okay kak. Saya dah dengar.”
Riak wajah Kak Hasya dan Tri ternyata terkejut. Lama mereka diam. Mencari ayat sesuai.
“Nani, akak harap kamu faham. Akak bukannya saja-saja.”
“Tak apa kak, saya faham. Maaf sebab dah babitkan kedai akak sama.” Aku memotong tanpa memandang. Cepat-cepat aku melangkah keluar dari situ.
Sampai di meja, aku terus mengemas semua buku dah kertas yang berselerakan di atas meja. Paan memandang dengan dahi berkerut.
“Kau kenapa? Dah nak balik?”
Aku mengangguk tanpa memandang. Pensil dan pen yang bertaburan dimasukkan ke dalam bekas pensil sebelum kesemuanya disumbat ke dalam beg.
“Nani? Kau kenapa? Kita tak habis study lagi, kan?”
“Sambung malam ni, boleh? Aku nak balik.” Aku mendengar suara sendiri berubah rentak.
“Nani, kejap.”
Aku cuba tarik nafas. Aku tahu bila-bila masa saja air mata aku boleh tumpah. Tri sudahpun berdiri tegak di sebelah meja. Paan pandang aku dan Tri bersilih ganti. “Apa yang dah jadi, ni?”
“Paan, aku balik dulu. Kita sambung malam ni.” Soalan Paan dibiarkan tanpa jawapan.
“Hei, I’m sorry.”
“Bukan salah awak pun.” Beg dibawa ke bahu. Laju saja kaki melangkah ke pintu tanpa menghiraukan Tri dan Paan yang masih memerhati.
“Nani!”
Tangan aku ditarik ke sebaik sahaja aku membuka pintu cafe. Aku berpusing ke belakang. Tri mengangkat kedua-dua tangannya tinggi.
“Sorry.” Sekali lagi dia meminta maaf walaupun semua yang jadi ni sikitpun bukan salah dia. “Sabar, okay?”
Aku mengeluh perlahan. Air mata terkeluar juga tanpa sempat aku seka.


No comments: