[Bab 10]
AKU INGATKAN hujan ribut
hingga ke petang, rupa-rupanya panas menjengah juga. Sedang aku serabut dengan
kenangan dulu dan masalah sekarang, telefon bimbit aku berbunyi nyaring.
Nama Paan yang tertera
pada skrin membuatkan bibir aku tersengih tanpa paksaan.
“Nani.” Dia bersuara
sebaik sahaja talian disambung. “Kau dekat mana? Rumah?”
“Cafe. Kenapa?”
Tutt...tutt...
Kening aku terangkat
tinggi. Kenapa pulak tiba-tiba Paan putuskan talian? Ataupun, dia tak ada
kredit?
“Nani.”
Sikit lagi aku nak
terlompat dari kerusi bila ditegur dari belakang. Paan tersengih sambil menarik
kerusi di depan aku. “Dah agak dah kau datang sini.”
Aku mencebik sesaat.
Telefon bimbit yang masih berada di dalam genggaman aku letakkan ke atas meja.
“Kenapa?”
“Kejap, aku nak order air.” Dia terus bangun ke kaunter.
Ajim yang turut mengenali Paan tersengih melayan. Aku hanya mengekor gerak geri
Paan menuding jadi pada menu yang tertera pada dinding belakang kaunter
seolah-olah jari dia sampai terus ke atas sana.
Hanya beberapa minit
membuat pesanan dan bayaran, Paan kembali ke meja aku.
“Sorry, aku lambat.”
Kening aku terangkat
tinggi. Lambat? Aku ada janji nak jumpa dia ke harini? Macam tak ada.
“Ana suruh temankan dia
pilih power bank dekat Plaza Alam
Sentral tadi. Lepas tu nak makan KFC pulak. Itu yang tak sempat nak tanya kau
apa yang jadi tadi.” Panjang lebar dia bercerita.
Aku angkat tangan kanan
tinggi.
“Kejap, kejap. Apa yang
kau nak cakap sebenarnya ni? Nak cakap yang kau baru balik dating?”
Beberapa kertas A4 yang
dipegangnya terus melayang ke kepala aku. “Kau ni betul la...”
“Sakitlah!” Perlahan-lahan
aku mengusap kepala dek pukulan kertas daripada Paan tadi. “Kan aku dah cakap
jangan main kepala.”
“Kau tu la, lembab!”
Aku mencebik.
“Apa yang aku nak cakap,”
kata-katanya terhenti bila Ajim merapati dan meletakkan latte ais ke atas meja. Sempat dia senyum selapis kepada Ajim yang
tersengih dari tadi.
“Okey, sambung.” Ajim
mengenyitkan mata dan terus berlalu dari situ.
Tumpuan aku kembali pada
Paan di depan. Dia mencapai gelas yang dietakkan Ajim tadi dan terus
menghirupnya senafas.
“Dr. Diana cakap apa
tadi? Aku harap dia tak tengking kau macam dia buat dekat Qayyum.”
Oh... pasal Dr. Diana
ke.
Aku melepas nafas
perlahan.
Kisah Qayyum, budak satu
kelas dengan aku dan Paan waktu semester empat dulu kembali menjengah kepala.
Qayyum pun macam aku jugak. Selalu gagal dalam ujian. Mungkin lebih teruk.
Elok saja lepas dia kena
tengking dengan Dr. Diana dalam kuliah depan semua orang, dia terus hilangkan
diri.
Rupanya, dia dah berhenti
sambung degree. Dan sejak itu
jugaklah Dr. Diana makin diam dalam kuliah. Hanya sekali-sekala dia menegur itu
dan ini.
Tapi kalau aku jadi
Qayyum, aku pun malu. Bukan itu sejenis penderaam mental ke? Kena marah dan
direndah-rendahkan depan orang ramai.
“Kau takut aku give up macam Qayyum?” Aku menarik
sengih kepada Paan.
“Jangan kata kau nak give up. We have come this far! Kita ada satu semester je lagi.” Anak mata Paan mencerun memandang aku. Serius.
“Taklah. Aku tak give up.” Aku menjawab perlahan. Cuma...
payahnya nak kejar semua benda yang aku dah terlepas sebelum ni. Keluhan
terkeluar tanpa dipinta.
Sempat ke aku belajar
untuk cover pelajaran yang
berbulan-bulan aku tinggal? Final exam
pun tak lama dah.
“Macam ni, lepas ni kau
kurangkan sikit berniaga online tu. Study dulu.” Berhati-hati Paan
menuturkan. Dia tahu sangat yang aku pantang kalau orang kaitkan perniagaan aku
dengan belajar.
Walaupun aku tahu, aku
lebih suka online dan jual barang
berbanding belajar. Aku tahu.
Tapi aku sendiri yang
tak nak mengaku.
“Lepas exam nanti kau boleh sambung balik.
Sebulan je, okay?”
Aku mengeluh perlahan.
Sebulan. Kalau aku kurangkan aktiviti jualan aku dalam masa sebulan, mana aku
nak dapat duit belanja?
“Kau dengar tak aku
cakap ni? Aku ni nak tolong kau. Tak naklah konvo nanti aku sorang-sorang. Kau
masih lagi duduk dalam kelas.”
“Nak sangat aku extend, kan?”
Sekali lagi gulungan
kertas yang berada di atas meja melayang ke kepala.
“Paan!” Dia ni kan, aku
dah cakap aku tak suka!
“Aku cakap ni sebab aku
tak nak kau extend la makcik oi!” Suara
Paan naik senada. Spontan aku ketawa bila melihat dia mencuka.
“Lepas ni, belajar
dengan aku. Aku pun tak faham kenapa kau tak faham subjek tu. Bukannya payah
pun.”
“Nak cakap aku bodoh la
ni?”
“Bukan bodoh. Malas je
lebih. Kalau tak pandai, tapi rajin belajar dengan kawan-kawan, dengan lecturer, yang bodoh pun boleh bijak.
Ini tak...” Paan mula membebel.
“Ye
la.. ye la. Aku
tahu aku ni pemalas. Raksasa malas memang suka dekat aku, nak buat macam mana?”
“Kalau macam tu, biar
aku jadi Ultraman. Biar aku ‘fire’
segala jadah raksasa yang ada dekat kau.”
Aku senyum sendiri. Oh
Paan, kenapa kau baik sangat dengan aku? Patutlah Ana tu cemburu.
“Boleh pulak kau
senyum.” Paan menarik sengih. “Ajim cakap kau kena sumpah dengan jin masam.
Sampaikan satu cafe ni suram.” Dia ketawa mengekek.
Terus bulat mata aku
memandang Ajim di kaunter kopi. Amboi, suka-suka hari saja dia bahan aku!
“Jangan stress ‘kay.” Paan menghirup baki kopi
sebelum bingkas dari kerusi. “Nanti study
week aku ajar kau mana yang kau tak faham.”
“Semua?”
Dia angguk sebelum
menjawab, “Semua.”
“Tapi aku ada subjek repeat jugak.”
“Calculus?”
Giliran aku pula yang
mengangguk. Bukan matematik satu
campur dua, tapi Advanced Differential
Equation. Ini kali ketiga aku ambil subjek tu. Tapi masih, aku tak boleh
nak faham. Matilah aku kalau gagal lagi. Boleh kena tendang keluar uni kot!
“Kacang je. Nanti aku
tolong.” Dia sengih senget. Kertas yang dibawanya tadi dicapai dengan sebelah
tangan.
“Kalau aku berkepit study dengan kau study week nanti, Ana okay ke?” soal aku akhirnya. Itu yang aku
tengah fikirkan sebenarnya. Nanti sebab aku, tak pasal-pasal Ana mintak putus
lagi.
Ana tu bukannya boleh
kira.
“Nanti aku ajaklah dia study sekali. Apa susah. Dia kan kawan
kau jugak.” Paan angkat kening. “Okaylah. Dah nak maghrib pun. Aku chow dulu.”
Memanglah kawan. Tapi
bila masuk bab Paan, dia seolah-olah nak lawan aku.
“OK.” Aku menjawab
pendek. Dia mengangkat sebelah tangan tanda ‘selamat tinggal’ dan terus keluar
dari cafe. Elok sahaja kelibat Paan
hilang disebalik pintu, aku membuang pandang ke arah jam bercorak abstrak pada
dinding cafe. Dah hampir pukul tujuh petang.
Aku menarik nafas
dalam-dalam sambil bersandar pada kerusi sebelum meluruskan kedua-dua tangan ke
atas. Malasnya nak balik rumah sewa!
“Buah hati datang,
kemain sengih. Tadi aku nak tegur pun tak kasi.” Kerusi yang diisi Paan tadi
berganti badan. Tri meletakkan kedua-dua tangannya ke atas meja sambil
memandang aku lama. “Period ke apa?”
“Bukan ke tadi awak tak
nak pun cakap dengan saya. Lupa?”
Aku nampak dia terdiam
sendiri. Spontan bibir aku menarik sengih senget. Nak tegur aku rupanya, tapi
tak nak mengaku.
“Kau ni orang ketiga
eh?”
Kening aku bertaut. Apa
dia cakap?
“Orang ketiga?”
“Kau, budak lelaki tadi,
dan awek dia.” Dia tersengih-sengih
dia atas kerusi.
Tak habis lagi ke topik ‘Kawan Lelaki Aku Ada Awek’ ni?
Ada ke panggil aku
‘orang ketiga’. Walaupun Paan tu kawan lelaki aku yang paling rapat, tak adalah
aku nak buat jahat pisahkan dia dengan Ana tu.
Aku tahu Paan sayang
gila dekat Ana.
Kalau tak, takkan waktu
dia cerita Ana minta putus itu hari muka dia pun dah ada ura-ura nak menangis?
Kan?
Okey, boleh tolak part yang dia cakap dia nak pinang aku. Aku tahu dia gurau je masa
tu.
Mungkin dia bergurau.
Mungkin.
“Awak tak ada kerja eh?
Menyibuk je.”
“Bang!”
Suara Ajim dari kaunter
kopi membantutkan niat Tri yang ingin membalas. Dia menoleh ke arah Ajim yang
baru saja meletakkan dua gelas kopi di atas bar.
“Hantar ni jap.” Ajim
sengih lebar. “Meja enam.”
Tri terus saja bangun
dari kerusi menuju ke arah Ajim. Tumpuan aku kembali pada laptop yang sudahpun berada dalam keadaan ‘sleep’. Laju saja tangan menutup rapat komputer riba itu. Segala
buku yang berselerakan dia atas meja aku kutip dan sumbat ke dalam beg.
Melihatkan meja kosong
tanpa barang, aku melepas nafas perlahan. Thanks
to Paan, hilang sikit serabut aku.
Waktu aku berkira-kira
untuk bangun, segelas iced americano diletakkan
di atas meja bersama dulang kecil berwarna coklat tua.
Aik, aku tak order pun?
Aku bawa mata ke meja sebelah.
Tri yang meletakkan kopi itu tadi sibuk mengelap meja pelanggan sebelah. Nak
tak nak, aku tarik sengih juga.
Nampak je ego setinggi
alam, tapi baik pulak nak sejukkan muka masam aku dengan iced americano ni. Favourite aku
pulak tu!
Tanpa menunggu lama,
tangan kanan aku terus mencapai gelas kopi tadi dan aku mulakan hirupan
pertama. Nikmatnya!
“Eh, kenapa kau minum?”
Hirupan aku terhenti.
Kening aku terangkat tinggi memandang kerutan pada dahi dia.
Kenapa?
Bukan ke kopi ni untuk
aku?
“Kau ni...” Tri mengendurkan
suara. Pelahan-lahan dia menggelengkan kepala. Aku masih lagi terpinga-pinga
sendiri, tak faham. Aku nampak Ajim mengekek ketawa dari kaunter kopi. Makin
pelik aku dibuatnya.
Dan sebaik sahaja aku
menoleh ke arah meja sebelah, dua orang pelanggan yang aku agak sepasang suami
isteri memandang aku lama.
Aku pandang pula dulang
kecil di atas meja. Dan kali ini, mulut aku ternganga bila terfikirkan sesuatu.
Barulah aku tahu yang
aku sekarang tengah minum kopi yang dipesan oleh pelanggan meja sebelah!
Aduhai.
Yang dia letak dekat
atas meja aku ni kenapa?
“Sorry, kak. Abang. Kami buat yang lain.”
Aaaaa...
Malunya! Boleh tak aku
nak ghaib sekarang?
Dengan memikul beg
laptop sederhana besar, aku membawa kopi yang sudah pun tinggal separuh
menghampiri Ajim dan Tri di kaunter kopi. Baki iced americano yang aku minum tadi terus diletakkan di atas
kaunter. “Kenapa awak tak bagitahu tu bukan saya punya!?” Suara aku
ditahan-tahan. Geram.
Buat malu aku je!
“Yang kau minum kenapa?
Kau tak order air pun tadi, kan?” Tri
juga mengawal suara. Masing-masing berdiri menghadap Ajim yang tangkas
membancuh kopi.
Memanglah aku tak order. Tapi aku ingatkan...
“Tu ada lagi separuh. Jangan nak membazir.” Sambung
dia lagi.
Aku mencebik lebar dan
terus menghirup kopi tadi sampai licin. “Dah, pergi kaunter sana. Saya nak
bayar. Tak cakap, mana la nak tahu!” Aku masih lagi membela diri.
“Kan aku letak dengan
dulang. Kau tak nampak ke sebesar-besar dulang tu? Aku tumpang letak sebab nak
lap meja sebelah tu je.” Tanpa menunggu lama, dia berjalan ke kaunter bayaran.
“Yang kau tu, selamba pulak pergi minum.”
Aku menggigit bibir.
Menyesal pulak aku minum. Dahlah kopi ni hampir berharga tujuh ringgit. Bulan
ni pulak aku kena kurangkan berniaga.
Memang pokai la aku
sebulan ni.
“Kau ingat aku yang bagi
kopi tu untuk kau, eh?”
Aku diam. Ketawa Ajim
makin kuat kedengaran.
Aku nampak Tri senyum
selapis sambil menekan papan kekunci mesin duit di depannya. Dan aku tahu
senyuman dia perisa perli.
“Kau ingat aku yang
belanja? Na Ni... Na Ni...”
Hish, dahlah! Aku tahu
aku yang perasan. Menyesal sungguh aku minum!
No comments:
Post a Comment