Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 4]

[Bab 4]

AKU MELETAKKAN skuter merah milik aku betul-betul di sebelah Restoran Dapur Sedap sebelum mengunci tayar depan. Rumah sewa aku betul-betul di atas restoran di tingkat empat.
Walaupun awal-awal dulu rasa nak tercabut juga lutut bila hari-hari panjat tangga sampai tingkat empat, sekarang ni aku dah terbiasa. Nak naik, turun dan naik balik pun tak ada hal.
Oleh sebab paling atas, sewa rumah jugak tak mahal mana. Sebab itulah kami mampu tinggal lima orang saja.
Zati dan Sirah di master bedroom, Anis dan Mila di bilik tengah dan aku di bilik paling kecil. Aku sikit pun tak kisah duduk dalam bilik kecil ni sebabnya dan ada meja studi, tilam untuk tidur dan almari kain yang aku letak baju-baju dah cukup sangat bagi aku.
Kalau ruang besar pun, buat aku sepahkan barang je. Heh.
Buka saja pintu, mata mula menangkap Anis, Sirah dan Zati yang bersila di depan TV. Kalau duduk bersila ni tak ada lainlah. Tengok movie ataupun makan.
“Hoi, makan.”
Aku sengih selapis sambil meletakkan helmet merah yang aku pegang tadi ke atas meja yang dikhaskan untuk helmet.
“Langkah kanan aku harini...” Beg sandang dan segala jenis barang aku letakkan ke dalam bilik sebelum turut bersila di depan TV.
“Siapa masak?”
“Anis.” Zati mejawab sepatah.
“Wow!” Kecur air liur aku bila nampak ayam masak merah menyala depan mata. Lama sungguh tak makan masakan dapur rumah sewa sendiri.
 “Maaflah kalau tak sedap.” Anis sengih senget.
“Berani nak complain? Dapat makan lauk dekat rumah pun dah kira untung.”
Semua ketawa lepas. Dah jadi kebiasaan siapa yang free dia masak. Tak ada jadual bertugas pun. Kira siapa rajin, masak. Malas, beli dekat bawah. Tapi kalau nak dikira, yang malas itulah yang banyak.
Belum sempat aku kunyah suapan pertama, Xiaomi mula menjerit lantang. Sengaja aku biarkan lagu 50 Ways To Say Goodbye itu berlagu sendiri. Masa makan, jangan kacau aku.
Sehari suntuk tak jumpa nasi ni.
 “Tak nak angkat ke?”
Aku geleng, menjawab soalan Sirah. Kalau ada benda penting, mesti dia orang akan telefon balik. Lagipun, selalunya pelanggan jualan online aku aje yang selalu telefon. Dah besar-besar tulis dekat Facebook dan Instagram ‘WhatsApp only’,  ada jugak yang tak faham pergi telefon memanjang.
Ingat kerja aku angkat telefon aje agaknya.
“Nanti kau update senarai shawl baru. Aku nak tengok.” Sirah mencapai gelas berisi air kosong dari dulang. “Rasa gatal pulak tangan nak habiskan duit.”
“Untunglah kaya.” Zati menyampuk tanpa memandang. Matanya melekat pada Berita Utama di kaca TV.
“Kau ni pun, stok tu ada je dalam bilik aku. Tengok jelah. Nak kena update pulak.”
“Malas nak sepahkan. Barang kau tu dahlah bertimbun dalam bilik tu.”
Aku sengih. Memang betul pun dia cakap. Bilik kecil itulah yang jadi stor tempat aku simpan barangan jualan aku. Mana tak bertimbun!
“Yelah. Nanti aku update. Sekarang nak pakai WiFi pun payah.” Hati tiba-tiba bengkak bila teringatkan kejadian tadi. Mulut mengunyah nasi yang tak bersalah dengan geram.
“Apahal pulak? WiFi kedai kek tu dah kena potong ke?”
Aku menjawab soalan Anis dengan gelengan. Semua tahu yang aku suka online dekat situ. Nak guna WiFi universiti, memang sehari pun payah nak upload gambar. Itu yang Kak Hasya bermurah hati bagi aku guna WiFi dia.
Tapi sekarang ada mamat yang suka-suka tukar password pulak...
“Dah tu? Kak Hasya tak bagi kau guna dah?”
Sekali lagi aku menggeleng. Anis dan Sirah berpandangan. Zati masih menumpukan perhatian pada berita yang hampir ke penghujung.
“Adik Kak Hasya tu...” Sengaja aku membiarkan ayat itu tergantung. Satu lagi suapan dibawa ke mulut.
“Adik?”
Kali ni aku angguk laju. “Adik dia tukar password setiap hari. Panjang berbelit pulak tu.”
“Kedekutnya!”
Exactly! Ha, nampak. Bukan aku aje yang rasa dia kedekut. Semua pun kata macam tu.
Xiaomi melolong lagi sebelum sempat aku menyokong kata-kata Anis. Kali ni aku gagahkan juga kaki untuk bangun ke bilik. Dah tiga kali berbunyi, penting sangat la tu agaknya.
Beg sandang aku selongkar dengan tangan kiri. Melihatkan nama Paan pada skrin, kening aku mula berkerut.
“Paan?”
“Hah, kau. Eksen bebenor tiga kali call baru nak angkat.” Paan terus membebel sebaik sahaja aku menyambung talian.
“Aku tengah makanlah.” Aku duduk di kerusi meja belajar sambil menyilang kaki. “Kau nak apa?”
“Alah, dah makan ke? Aku baru nak ajak kau belanja. Hutang assignment tadi.”
“Bukan kau tolong tadi ikhlas ke?” Mengungkit pulak dia ni, sengaja la tu nak habiskan duit aku. Orang cari duit susah-susah.
“Mana ada benda percuma dalam ni sayang oi. What you give, you get back.” Paan ketawa lepas.
Macam itu pulak yang dia tafsir. Dah elok-elok orang cipta quote tu untuk kebaikan.
“Tapi aku dah makan ni, takkan nak makan lagi. Esok ajelah.”
“Malam ni la. Aku lapar ni tak makan lagi. Dah siap makan, kau turun. Kedai bawah ni je pun.”
Aku mengeluh. Tak ada kerja aku nak keluar makan semata-mata nak belanja dia.
Nasi dekat rumah ni pun banyak.
Hah!
Aku senyum sendiri. Idea sudah mari.
“Ok. Nanti aku text kau.” Aku simpan senyum. Lapar sangar kan. Aku bungkus je nasi dekat rumah ni. Settle. Tak payah habiskan duit aku.
Oh, bijaknya kau Nani!


“BIAR BETUL KAU masak untuk aku?”
Sikit lagi aku nak tergelak bila nampak muka Paan berkerut sejuta. Dia pandang bekas makanan dan muka aku bersilih ganti. Agaknya terharu bila aku bungkuskan makanan bagi dia gaya orang rumah bagi bekal dekat suami.
Heh. Beranganlah kau Paan oi.
“Housemate aku masak. Ada lebih.” Laju aje aku membetulkan segala anasir-anasir yang bakal hadir dalam kepala dia.
“Mati-mati aku ingat kau masakkan aku makan malam.” Paan sengih senget. Bekas makanan tadi diletakkan di dalam raga motosikal.
“Dah tu, tak nak keluar makan dengan aku la ni?”
“La, kan dah ada makanan tu. Nak makan apa lagi?”
“Teman ah. Kau minum je pun tak apa.”
Kening aku automatik berkerut. Memang lain macam Paan hari ni. Selalunya mana ada buat perangai nak juga aku temankan dia malam macam ni. Kalau ada pun jarang. Waktu di ada masalah je.
“Kau ada problem eh?”
Dia sengih senget. LC hitam emas milik dia diparkir di tepi kaki lima. Dia mencapai bekas makanan tadi dan terus membawa langkah ke Restoran Dapur Sedap yang tak jauh dari tempat kami berdiri.
Sah dia ada masalah.
Nak tak nak aku ikut juga dia dari belakang. Nasib baiklah aku bawa dompet turun sekali tadi. Kalau tak, memang air pun aku tak mampu nak belanja dia.
Dia pilih meja paling tengah, depan TV. Aku hanya menurut. Nasib baiklah pekerja dekat sini dah kenal aku lama. Bolehlah juga buat macam kedai sendiri, bawa makanan luar.
Selesai memesan air, sekali lagi aku pandang wajah Paan. Dia membalas dengan kening terangkat.
“Apa?”
Elleh. Buat-buat cool konon.
“Ok. Story telling time.” Aku menyilangkan kedua-dua tangan ke dada sambil bersandar pada kerusi.
Story telling apa pulak kau ni.” Dia membuka bekas makanan yang berisi nasi putih dan ayam masak merah tanpa menghiraukan.
“Wow, terernya budak rumah kau masak!”
Aku mencebik. Sengaja la tu nak ubah topik. Macamlah tak biasa nampak ayam masak merah. “Jangan tukar topik boleh tak?” Aku menyua muka ke depan, geram.
“Eh, jauh sikit. Aku tak suka dekat-dekat dengan perempuan ni.” Sekali lagi dia tarik sengih.
Paan ni la. Ada jugak aku terbalikkan bekas makanan ni karang.
Sudahnya, aku bersandar saja pada kerusi sambil melihat dia makan. Itulah Farhan. Kalau tak nak buka cerita, korek macam mana pun memang tak akan dapat.
“Tak makan, kak?”
Aku angkat kepala melihat Ikram, pelayan Restoran Sedap yang menegur ramah. Teh O ais dan teh ais diletakkan di atas meja.
“Dah makan tadi. Terima kasih.” Aku mencipta senyum segaris. Berbahasa.
Ikram cuma mengangguk dan terus berlalu dari situ. Sejak menyewa dekat rumah kedai ni, hampir setiap hari jugak aku jumpa Ikram.
“Ana...” Paan di hadapan bersuara sepatah.
Tumpuan aku kembali pada dia yang masih tunduk menghabiskan makanan. Automatik aku menelan air liur bila satu nama itu disebut.
Ana. Ana kawan aku. Ana girfriend Paan.
“Kenapa dengan Ana?” Dada mula berdebar pelbagai lagu. Bukannya aku tak biasa dengan cemburu Ana. Selalu. Tapi apa nak buat? Aku kenal Paan dari tadika kot. Satu kampung, satu sekolah rendah, cuma sekolah menengah saja berbeza sebab dia masuk asrama.
Dan tak tahu macam mana boleh jumpa dekat universiti ni. Satu kelas lagi.
Dan Ana pula, aku kenal waktu hari pertama daftar dekat universiti. Kalau nak diperincikan lagi, Ana kenal Paan melalui aku jugak.
Jadi aku tak faham kenapa dia nak cemburu lebih-lebih dengan aku.
“Dia mintak putus.”
Aku ternganga. Biar betul? Dah dekat tiga tahun kot!
“Kenapa?”
Paan angkat bahu. Tangannya masih laju menyuap nasi ke dalam mulut.
“Tipulah kau tak tahu. Takkan tiba-tiba?” Takkan sebab cemburukan aku lagi kut? Biar benar Ana ni?
“Sebab aku, eh?”
“Kenapa sebab kau pulak?”
Kali ni giliran aku pulak yang angkat bahu. Tanda tak tahu. “Entah. Sebab hari ni dia dah block dari dari FB. Aku ingatkan sebab dia marahkan aku sebab tak ajak dia main bowling hari tu.” Aku sengih senget.
“Takkanlah sebab tak ajak main bowling pun dia nak block kau.”
“Manalah tahu. Kau tahulah cik intan payung kau tu.”
Kali ni Paan ketawa lepas. Aku tahu dia sendiri pun dah masak dengan perangai manja Ana. Tapi, itulah yang dia puja. Yang dia suka.
“Entahlah Nani. Kadang aku fikir, senang-senang aku pinang kau jelah. Mama pun dah kenal kau. Mak kau pun dah kenal aku. Kau pun dah masak sangat dengan perangai aku. Tak payah aku nak makan hati hari-hari.”
Ke situ pulak dah perginya.
“Kau dah gila eh?”
Paan ketawa lepas. Dia menggeleng beberapa kali. Mungkin dia sendiri tak sangka dengan apa yang dia cakap sekarang. Bukan dia aje. Aku pun tak percaya.
Ada ke nak pinang aku sebab Ana minta putus?
“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?” Paan merenung mata aku lama. Sungguh, aku sendiri tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Paan ni main-main ke serius?
Sumpah aku tak boleh nak beza.
Akhirnya aku mencebik sambil melarikan pandangan ke arah TV yang tergantung pada dinding kedai.
“Gila.”


HANYA ADA DUA kemungkinan yang boleh aku rumuskan perihal malam tadi.
Satu. Paan bergurau.
Dua. Aku yang over serius.
Akhirnya soalan gila Paan malam tadi dibiarkan tanpa jawapan sehinggalah hari ini.
Keadaan kembali seperti biasa. Dalam kelas macam biasa dan dia masih tegur aku macam biasa dan melawak macam biasa.
Sungguhlah. Kenapa aku pulak yang rasa luar biasa bila teringatkan soalan dia malam tadi? Lagak Paan dalam kelas tadi seolah-olah dia hanya tanya soalan ‘nak makan KFC tak?’
Lelaki. Inilah dia. Bila serius pun aku tak tahu.
Aku mengeluh kuat. Segala jenis buku yang aku pegang dari dewan kuliah diletakkan di atas meja perpustakaan.
Betullah aku yang ambil serius. Orang disana tak ada apa-apa pun.
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil membuka beg laptop yang memang aku bawa dari rumah. Walaupun kelas tak pernah guna laptop untuk sesi pembelajaran, tapi aku suka angkut sekali bila keluar.
Senang untuk aku buat kerja lepas kelas.
Lagipun laptop aku 12 inci je. Berat pun tidak. Sengaja aku beli yang ringan sebab kerja aku memang akan sentiasa angkut laptop ke sana kemari.
Aku tarik salah satu kerusi yang berdekatan dan terus duduk di situ.
Sempat aku menggeliat kecil sambil melemparkan pandangan ke seluruh isi perpustakaan itu. Tak ramai pun manusia. Tengah hari pun belum, ramai yang masih ada kelas agaknya.
Aku membuang pandang ke arah timbunan buku yang aku bawa tadi. Tutorial Particle Technology ada dua soalan. Assignment Ethnic Relation satu.
Tapi semua tu langsung tak menarik minat aku.
Tumpuan aku kembali pada Acer di depan. Laju saja tangan menaip password WiFi universiti.
Elok saja disambung, tangan pantas menekan icon Google Chrome. Stok baru dan stok lama perlu dikemaskini. Tudung, selendang, perfume, kek.
“Lambatnyaaaa!” Suara terkeluar juga tanpa sempat aku tahan. Beberapa pelajar yang duduk berhampiran menjeling tak puas hati.
Alah, aku bising sesaat ajepun. Bukannya berjam-jam.
Melihatkan paparan google yang masih putih pada skrin, aku mengeluh berat. Ni entah berapa jam lagi baru dapat letak gambar baru ni.
Tak boleh jadi.
Aku kena jugak guna WiFi Kak Hasya. Lagipun, bukan aku duduk saja-saja. Aku beli kopi jugak, kan?
Ya, Nani. Kau tak buat salah. Kak Hasya bagi kau green light. Bukannya curi-curi guna. Persetankan segala halangan yang bakal tiba.
Persetankan encik suka-suka hati tukar password semalam. Baru sehari dua jenguk kedai dah nak buat macam negara sendiri.
Persetankan.


No comments: