Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 5]

[Bab 5]


KENING AKU BERKERUT bila melihat ruangan parking di hadapan kedai penuh. Lama aku menoleh ke kiri dan kanan mencari ruang kosong, tapi tak ada. Akhirnya, aku masukkan juga di antara dua motosikal yang diparkir sedikit jarak.
Walaupun ruangan sempit, aku sumbat juga Ego aku masuk hingga ke depan.
Automatik bibir mencipta senyum. Muat pun. Laju aje aku mematikan enjin dan menurunkan tongkat. Terjengket-jengket aku turun dari tempat duduk dek ruangan yang terhad. Beberapa kali mencuba, dapat jugak aku meloloskan diri dari situ.
Aku mengeluarkan kunci dari bawah seat motosikal untuk kunci tayar macam biasa. Mak selalu pesan, letak moto je, kunci.
Oleh sebab susah untuk ke tayar depan dek ruangan yang sempit, aku berjalan membawa kunci hingga ke hujung barisan motosikal dan masuk dari depan. Langkah dihentikan di hadapan Yamaha Ego merah menyala yang baru saja aku basuh minggu lepas dan terus saja aku mengunci tayar depan.
Siap.
Tumpuan beralih pula pada kedai Kak Hasya. Haraplah aku boleh buat kerja macam biasa.
Pintu kaca aku tolak perlahan sebelum menjenguk isi kedai.
Spontan aku menarik tarik nafas lega-seleganya bila melihat kedai kosong tanpa adik Kak Hasya. Hanya ada beberapa orang pelanggan dan Ajim yang membuang pandang ke arah pintu masuk bila loceng angin berbunyi nyaring. Terus saja aku mengangkat kening kepada Ajim yang berada di muka pintu dapur.
“Hari selasa. Kelas kau pagi aje kan?”
Aku angguk. Dah jadi rutin bila balik kelas singgah sini, sampaikan Ajim pun dah hafal jadual kelas aku.
“Lambat pulak kau datang sini. Study ke?” Dia sengih senget.
Aku mencebik. Saja la tu. Bukannya dia tak tahu aku study bila esok ada test atau exam aje. Heh.
“Bagi kopi latte ais satu.” Aku terus meletakkan beg di kerusi sebelah sebelum mengeluarkan laptop yang aku tinggalkan dalam mode ‘Sleep’ tadi.
“Aik, tukar selera nampak? Aku baru nak bancuh favourite kau.” Ajim mula berjalan ke tempat kerja dia.
“Saja. Nak sejukkan hati.” Aku sengih lebar.
“Weh, bak password.” Komputer riba diletakkan di atas meja bersama-sama planner hitam yang dah jadi macam diari aku.
Segala benda tentang perniagaan online aku catat dekat situ. Oleh sebab aku ni boleh tahan pelupa, jadi semua benda aku kena buat rekod.
“Ha, lama akak tunggu kau.”
Aku angkat kepala dari planner. Kak Iqa terjengul di depan pintu dapur dengan senyuman yang susah aku nak tafsir.
Kenapa Kak Iqa buat muka macam tu pulak? Seriau aku tengok. Muka macam nak suruh aku jadi adik ipar dia je...
“Nah.”
Mata aku terarah pada piring putih berisi sekeping congo bar yang sama seperti aku makan semalam. Apakah?
“Yang ini akak belanja kau. Sorrylah pasal semalam. Akak pun tak sangka yang adik bos suruh kau bayar pulak.”
Oh, patutlah!
“Ini pun yang dia buat ke?” Bibir aku automatik mencebik. Bila dah nampak tuan punya congo bars ni punya perangai, benda yang sedap pun boleh jadi super tak sedap.
“Akak yang ajar dia buat. Kira kami sama-sama buat la...”
Bibir aku masih lagi mencebik tanpa gagal. Bukan senang luka di hati yang tercalar dek gelaran pencuri yang dia ungkapkan semalam tu boleh pulih, tahu? Memang aku pantang sungguh bila orang tuduh aku benda yang aku tak buat.
Tahu tak yang tuduh menuduh, fitnah memfitnah ni salah? Dosa?
Aku menjeling ke arah piring yang diserahkan tadi.
Benda sedap ni pun tak boleh nak pulihkan luka aku ni, tahu?
Elok saja Kak Iqa ke dapur, Ajim pula datang mendekati dengan gelas latte ais di tangan.
“Nah password.” Kertas kecil bertukar tangan. “Kau jangan ambik hati dengan bos kecik tu. Dia tu okay je sebenarnya.” Sambung dia lagi.
Okay haper. Dahlah panggil aku pencuri. Lepastu suruh aku bayar pulak makanan yang orang suruh rasa.
Ada ke...
Mana ada orang kena bayar bila makan tester?
“Dia ada?” Aku menghirup latte ais senafas. Macam biasa, kopi buatan Ajim memang terbaik.
“Ada, dekat dapur.”
Hampir tersembur kopi yang aku minum mendengar jawapan Ajim. Aiseh. Dia ada la pulak!
“Apahal?”
“Aku takut dia humban aku keluar macam semalam.”
Ajim ketawa lepas. Dulang hitam yang dibawanya bersama latte ais aku tadi dibawa rapat ke dada. Ajim. Rambut panjang melepasi kolar tapi dikemaskan dengan cekak rambut hitam.
Pada badannya sentiasa tersarung apron coklat pekat yang dipadankan dengan uniform cafe. Merah darah.
Sekali tengok, memang ada gaya cafe Jepun punya barista. Padanlah ramai awek yang singgah sini beli kopi.
“Dia okay la...”
“Okay apa macam tu?” Sekali lagi aku mencebik.
“Ajim,”
Belum sempat aku menjawab, satu suara asing memenuhi ruang cafe. Laju aje aku dan Ajim berpaling ke arah suara tadi. Bos dia, adik Kak Hasya.
“Ya bang?”
Dia pandang aku lama sebelum kembali kepada Ajim yang bertanya. “Kejap, aku tak jumpa ni...”
Ajim bergegas mendekati dia di muka pintu. Aku mengeluh perlahan sebaik sahaja kelibat Ajim hilang dari pintu dapur. Tangan mula mengeluarkan headphone dari perut beg.
Okay.
WiFi ada.
Minuman ada.
Makanan... er...
Aku pandang congo bar yang masih tidak disentuh. Biar ajelah dekat situ dulu. Sikit pun aku tak rasa nak jamah.
Congo bars.
Ruangan google yang kosong tanpa carian pada skrin komputer riba itu aku pandang lama. Tanpa dipinta, jari menaip congo bar pada petak carian. Tak sampai seminit, carian aku menyediakan berpuluh-puluh jawapan.

 These Congo Bars (aka Blondies) are soft, decadent, and chewy in the center with ooey gooey chocolate strewn throughout.

Blondies? Apa tu?
Sekali lagi jari menari-nari pada papan kekunci.

A blondie (also known as a "blond[e] brownie" or "blondie bar") is a rich, sweet dessert bar

OK. Kelakar.
Brownies pun ada blonde tak blonde ke? Heh. Macam-macam.
Aku menggeleng laju. Piring blondies atau congo bar itu aku pandang lama.
Sudah-sudahlah tu Nani. Fokus. Fokus.
Headphone diletakkan pada kepala. Laman Facebook aku buka dengan menggunakan tetikus di tangan kanan.
Facebook page dan instagram. Jom bekerja.


AKU KEMBALI KE dunia realiti saat Ajim meletakkan gelas berisi air kosong di atas meja. Spontan bibir mencipta senyum sambil menarik headphone dari kepala.
“Serius betul.” Komen dia sepatah. Kerusi di hadapan aku ditarik sebelum dia duduk di situ.
Aku mula bersandar pada kerusi sebelum menggeliat kecil. Membetulkan urat. Dah lebih pukul tiga pun. Patutlah leher ni lenguh semacam. Nasib baiklah aku cuti harini. Kalau tak, sia-sia je lambat solat sebab khusyuk sangat mengadap laptop. Sibuk hal dunia.
“Kalau kau belajar pun serius macam ni kan bagus?”
Sengihan manis aku bertukar masam. Ajim ni pun, sempat lagi nak perli aku. Gelas air kosong yang dibawanya tadi aku capai dengan sebelah tangan. Tiba-tiba terasa perit pulak tekak.
Dahaga dia lain macam. Mungkin sebab cuaca yang tengah jerebu sekarang ni. Ajim pulak, macam tahu-tahu aje yang tekak aku tengah haus air kosong. Bravo Ajim. 100 markah untuk kau.
“Senyap sunyi je kedai...” aku membuang pandang ke seluruh isi cafe. Pelanggan yang duduk minum pun dua orang aje. Couple rasanya. Dari tadi bergelak ketawa, bergurau senda.
Dan, Ajim aje yang ada dekat luar ni. Bos dia tadi entah dekat mana.
“Khalisha cuti lagi ke?”
Ajim mengangguk sekali. “Balik kampung rasanya.”
Oh, patutla lama betul dia cuti. Kak Iqa pun lepas keluar bagi blonde brownie tadi, terus hilang.
Blonde brownie...
Laju saja mata aku mencari piring yang berisi congo bar tadi. Melihatkan piring putih itu kini kosong, serta merta aku menelan air liur. Tak percaya.
Aku dah habiskan benda tu? How? Kenapa aku tak sedar pun?
“Kau kenapa?” tegur Ajim dengan kening terangkat.
Jari telunjuk aku tepat pada piring kosong tadi. “Benda ni...” Ayat aku terhenti di situ.
Ajim senyum meleret. Kedua tangannya dilipat ke dada. “Suka betul kau dengan congo bar tu. Setahu aku, kau tu bukannya hantu kek. Satu slice kek pun kau tak pernah habis.”
Aku masih lagi diam, tak memberikan reaksi. Masih tak percaya yang aku dah habiskan pencuci mulut tu. Memang betul kata Ajim. Tak pernah aku habiskan hatta satu slice kek yang aku beli. Sebab utama. Manis.
Sebab kedua, aku cepat muak.
Tapi benda yang aku makan tadi tak rasa manis pun.
Muak pun tak.
Just nice.
“Lepas ni, nampaknya kau kena berbaik dengan Abang Tri tu.”
Giliran kening aku pula yang terangkat.
“Abang tiga mana pulak ni?”
Meletus jugak tawa Ajim.
“Bos kecik tu la. Abang Tri.” Ajim menjawab pendek.
“Nama dia Fitri. Rupanya dia tinggal dekat KL nun. Jauh betul ulang alik datang Shah Alam tiap-tiap hari. Bos memang paksa dia datang sini, tengok kedai. Sambil belajar...”
Cop, cop.”
Aku mengangkat kedua-dua tangan ke depan, memotong penerangan Ajim yang dah panjang berjela.
“Yang kau buat karangan biografi bos kecik kau tu kenapa? Aku sikit pun tak rasa nak tahu. Tahu tak?” Tiba-tiba pulak telinga terasa panas dek nama yang disebut Ajim tadi.
“Kau ni la. Aku nak bagitahu je.” Ajim ketawa lepas. Perlahan-lahan dia menggeleng.
 “Tak payah. Aku tak nak tahu pun.” Aku buat muka bosan. “Tapi, apahal aku kena berbaik dengan dia pulak?” Kepala tiba-tiba teringatkan topik asal tadi. Topik ‘Aku kena berbaik dengan Abang Tri ‘
“Sebab dia suka buat benda ni, kau suka makan.” Ajim memuncungkan mulut tepat pada piring putih yang hanya berbaki sisa congo bar tadi. 
“Tak ke sesuai tu?” Keningnya diangkat berkali-kali.
“Langsung. Tak.” Aku menjuihkan bibir. “Dah. Pergi kerja, jangan nak mengarut.”
Ajim ketawa lagi. Nak tak nak, dia terus ke kaunter bila couple tadi mula bergerak ke kaunter bayaran. Tumpuan aku kembali pada laptop yang dibiarkan sepi dari tadi. Belum sempat jari jemari menyentuh papan kekunci musik intro entah lagu apa tiba-tiba memenuhi ruang cafe. Aku dan Ajim mula berpandangan.
Tak pernah-pernah pun cafe ni pasang lagu.
Aku pasang telinga, mengamati.

Berapa lama kah lagi
Terpaksa aku menanti
Sehingga teguhnya pendirian di hati

 Lirik pertama mula dinyanyikan. Serta merta mata aku bulat, tak percaya.
Ini bukan ke lagu zaman...
Gila!
Coffee house pasang lagu jiwang zaman 90-an? Biar betul? Lagipun, bukan ke coffee house supposed to be calm and quiet? Ini dah macam pusat permainan boling pulak jadinya.
Cuma lagu je versi Rock Kapak dan Rock Jiwang.

Bukan hanya kepentingan
Malahan keegoan
Telah ku korbankan


“Ajim, tutuplah radio tu. Bising! Berdarah telinga aku dengar lagu ni.” Aku melaung dari kerusi sebaik sahaja pasangan tadi keluar dari cafe.
“Bukan aku lah.” Dia menjawab pendek.
“Dah tu?”
Belum sempat Ajim menjawab, tak semena-mena ‘Abang Tri’ tadi keluar dari dapur dengan muka selamba. Dua pasang mata terus jatuh pada dia yang selamba meletakkan kek ke dalam chiller.
“Kenapa?” soal dia sepatah. Dia memandang aku dan Ajim bersilih ganti.
Ajim tahan gelak. Aku mencebik sesaat sambil meletakkan kembali headphone tadi ke kepala. Nasib baiklah aku bawa benda ni. Kalau tak, mahunya aku pengsan dengar lagu jiwang dia.
Windows Media Player yang dibiarkan dalam keadaan pause tadi mula mengeluarkan bunyi bila beralih pada play.
Suara Beyonce dan Jay-Z mula menjamah telinga. Dejavu.
Sempat aku menjeling dia sesaat sebelum kembali pada kerja di depan. Latte ais dah habis. Air kosong tadi pun dah tinggal sisa. Haraplah mamat suka tukar password tiap-tiap hari ni tak tendang aku keluar.
Kalau betul dia tendang, aku mengadu dekat Kak Hasya.
Mulut aku masih lagi mengomel saat Abang Tri Ajim tu keluar dari dapur tanpa apron dan topi chef. Sebelah tangan memegang telefon bimbit ke telinga sambil berjalan keluar dri kedai.
Aku tarik nafas lega.
Akhirnya, keluar jugak dia dari kedai.
Belum sempat senyuman aku mati, kelibat dia kembali memenuhi mata. Aku hanya memerhati lagak dia yang berulang alik ke sana ke mari dengan muka berkerut. Entah apa masalah yang dibincangkan dengan si pemanggil tu. Sikit pun aku tak dapat tangkap butir bicara dari mulut dia.
Suara Beyonce yang menyanyikan lagu Dejavu masih memekak di telinga. Tumpuan kembali pada komputer riba di depan.
Tak payah sibuk hal oranglah Nani.


TEPAT PUKUL LIMA, aku lurutkan headphone dari kepala. Komputer riba dibiarkan dalam keadaan stand by sebelum aku menutupnya rapat. Cukup lah tu. Lepas ni boleh balik rumah, buat assignment pulak.

Andainya aku bertanya
Padamu tentang bahagia
Di mana nilai setia
Di manakah puncak cinta

Laju aku menggeleng. Ingatkan dah habis sesi lagu 90-an ni.
Sekali lagi aku meluruskan tangan ke depan, membetulkan urat yang hampir tegang.
“Aku tak boleh keluar.”
Sikit lagi aku nak terlompat dari kerusi bila suara itu tiba-tiba menyapa telinga. Betul-betul sebelah aku pulak tu.
Kepala terus berpaling ke kanan. Adik Kak Hasya. Ajim punya Abang Tri.
“Kau datang ambik aku. Entah malaun mana pergi kunci tayar motor aku tu.”
Spontan aku sengih bila mendengar perkataan malaun dari mulut dia. Suka-suka je cakap orang. Dia tu yang malaun.
“Kau ambik dekat kedai kakak aku, tahu kan?”
Melihatkan muka masam perisa cuka dia, aku menggeleng laju. Tak habis-habis lagi ke masalah negara dia dari tadi?
“Ya, aku tahu aku cakap nak pergi sendiri tadi. Masalahnya motor aku tak boleh gerak ni.”
Tanpa menghiraukan dia yang kehulu kehilir dengan telefon bimbit, aku mula mengemas segala barangan yang bersepah di atas meja. Selesai semuanya, aku bingkas dari kerusi.
“Ajim, balik dulu!” Sempat aku angkat tangan kepada Ajim yang khusyuk membancuh kopi untuk pelanggan di kaunter kopi.  Dia mengangkat tangan ke dahi, tanda ‘selamat tinggal’.
Hampir sahaja aku bertembung dengan dia di pintu keluar. Dia melepas nafas kasar sebelum masuk ke dalam kedai. Spontan aku mencebik. Kurang tatasusila betul. Dahla hampir langgar orang, minta maaf pun tidak. Siap bagi jelingan maut pulak tu.
Sungguhlah aku tak boleh nak percaya yang dia tu adik Kak Hasya!
Dengan rungutan yang masih berbekas di bibir, aku mula melangkah ke tempat parking untuk mendapatkan motosikal yang di parking tadi. Sebaik sahaja tiba di depan motosikal kepunyaan aku, aku menyeluk poket seluar, mengeluarkan kunci sebelum duduk mencangkung untuk membuka kunci tayar.
“Eh?”
Melihatkan tayar kosong tanpa kunci, tangan aku terkaku tiba-tiba. Aku yakin yang aku dah kunci tadi. Tapi kenapa tak ada?
“Hah, ingat dalam dunia ni kau sorang pakai Ego? Motor sendiri pun tak kenal!”
Tak semena-mena suara asing menegur dari belakang. Laju aku berpaling ke belakang. Bulat terus mata aku bila nampak wajah tuan punya suara.
Tri?!
Kejap, dia cakap apa tadi?
Sekali lagi aku memandang ke arah tayar motosikal aku. Macam mana boleh hilang pulak kunci aku ni?
Alamak!
Sikit lagi aku nak terduduk di atas jalan tar bila melihat kunci merah aku berada di tayar motosikal sebelah! Aiseh, macam mana aku boleh terkunci tayar moto sebelah pulak ni?
“Cepatlah bukak. Ingat orang tak ada kerja macam dia agaknya. Lepak dekat kedai sepanjang hari...” Dia masih membebel sambil bercekak pinggang.
“Orang tak sengaja pun nak kecoh.” Cepat saja aku membuka kunci tayar Yamaha Ego merah di sebelah. Aku pun tak ingin nak kunci tayar kau sesuka hati, tahu? Tak sengaja tu, tak sengaja lah!
Takkan tak faham?
Lagipun, semua motosikal Ego merah sama aje bentuk dia. Manalah aku nak perasan.
“Tak sengaja satu hal. Perkataan maaf tu tak boleh nak sebut? Berjam-jam aku tunggu siapa punya motosikal. Dalam kedai tadi pun aku bising, kau boleh buat bodoh?” Dia bercekak pinggang dengan wajah merah menyala.
Aku tergelak tanpa sempat ditahan.  
Aku pakai headphone, mana la nak dengar. Padan muka! Siapa suruh kau pasang lagu jiwang karat dalam cafe tadi?
Lagi satu, nasib kaulah beli skuter merah sama dengan aku.
“Dah, tepi.”
Belum sempat aku melawan, sebuah satria hitam berhenti betul-betul di hadapan kedai. Cermin tingkap dibuka penuh menampakkan seorang lelaki berkulit sederhana cerah dengan cermin mata hitam gelap.
“Oi Tri, tadi cakap terkunci?” Lelaki berkaca mata hitam itu melaung dari dalam kereta. Tri sempat menjeling aku sesaat sebelum mendekati tuan punya satria.
Malaun tadi dah bukakan kunci.” Selamba dia menjawab.
Aku terus ternganga. Apa dia? Dia cakap aku malaun? Malaun sungguh!





 ****

No comments: