[Bab
8]
Okay. Aku silap. Mungkin duduk dengan dua
orang manusia yang bernama Tri dan Adi ni tak adalah menyampah mana pun
sebenarnya. Elok je orang ramai tengah hari tadi, Adi mula mainkan peranan.
Tegur gadis sana sini.
Dengan berbekalkan ayat manis dan rupa yang boleh tahan kacak dia tu, para
gadis pula tersenyum-senyum melirik dan terus berhenti depan kedai.
Lepas rasa ‘tester’ di atas meja, dia orang beli.
Ada yang sempat membelek selendang dan baju dekat penyangkut besi sebelah meja.
Ada jugak yang jeling katalog perfume
yang terbuka dan hidu tester sambil
buat order.
Dan yang paling penting,
licin terus tiga tray congo bars yang
ada!
Tri pula, sepanjang
jualan dia hanya banyak diamkan diri. Kadang-kadang saja dia tegur aku sepatah
dua. Kalau tak dia hanya bersembang dengan Adi.
Budak perempuan dekat
sini lawa-lawa la.
Semua macam model la.
Tapi kalau nak dikira,
bagus jugak Adi ikut sekali harini. Tak adalah keadaan dekat booth aku ni sedingin kutub utara. Dia
rajin melayan rungutan Tri. Dia juga tak jemu melayan leteran aku.
Hari dah beransur
petang. Siap berkemas untuk balik ke cafe, aku keluarkan telefon bimbit. Hajat
dihati nak minta tolong Sirah ambilkan.
Rasa menyesal pulak
tinggalkan motosikal dekat kedai tadi.
“Beb, kau dekat mana?”
soal aku sebaik sahaja talian bersambung.
“Rumah.” Sirah menjawab
sepatah.
“Kenapa?”
“Tak ada,” Aku terdiam
sesaat. Kalau dekat rumah, macam serba salah pulak nak minta dia datang sini.
“Aku ingatkan nak minta kau ambil aku dekat dataran depan kolej foodcourt ni...”
“Tak payah. Kau datang
dengan van ni, balik dengan van jugakla.” Tri mencelah tiba-tiba. “Tak payah
nak susahkan orang.”
Automatik kening
terangkat tinggi melihat dia yang sedang bersandar pada van. Semua barang yang
sudahpun selamat disusun ke dalam van.
“Sekarang ke?” soal
Sirah di hujung talian.
Aku menarik nafas
dalam-dalam. Tri masih pandang aku, menunggu aku tamatkan panggilan.
“Tak apa la beb. Aku
tumpang van cafe.”
“Hmm, okay.”
Talian diputuskan.
“Adi mana?”
“Dia terus balik dengan
kereta dia.” Pintu van dibuka dengan sebelah tangan. Belum sempat aku menjawab,
cermin pintu di sebelah penumpang diturunkan sehingga habis. “Cepatlah naik,
takkan nak tunggu aku bukakan pintu kot.”
Aku mencebik
selebar-lebarnya sambil masuk kedalam van mini tadi. Cakap tu tak boleh nak
baik-baik sikit.
Elok saja aku memakai
tali pinggang keledar, lagu rock
kapak mula menyapa telinga. Laju aku berpaling ke arah Tri di sebelah. Takkan
dekat cafe nak pasang dalam kereta pun nak pasang lagu ni?
“Awak boleh mati eh
kalau tak dengar lagu-lagu ni sehari?”
“Apa?” soal dia kembali.
Van dibawa keluar dari petak parking.
“Lagu jiwang karat ni, tak
boleh ke tunggu awak sorang-sorang baru pasang?”
“Kenapa?”
“Saya tak suka.” Bukan
aku tak suka sebenarnya. Tapi lagu-lagu zaman ni mengingatkan aku pada
seseorang.
Seseorang yang dah
hilang lama dari hidup aku.
“Aku peduli apa kalau
kau tak suka.” Dia menjawab dengan sengihan. “Van aku, kan?”
“Van company.” Aku membetulkan
“Company Along aku.” Dia tak nak kalah.
“Still.
Not yours.” Aku pun
tak nak kalah. Dia menjengilkan mata dan aku pura-pura membuang pandang keluar
tingkap.
UNTUK HARI KEDUA, Tri
sempat membakar lagi beberapa loyang congo
bars bahana kepopularan benda tu
semalam.
Aku sendiri tak percaya
yang semua congo bars yang kami bawa semalam habis licin. Siap ada yang nak datang ke
cafe sebab nak tempah banyak-banyak.
Sama seperti semalam,
Adi datang lagi untuk membantu (atau nak cuci mata sebetulnya). Hari Ahad, tak
ramai sangat pun yang ada di dataran. Rata-rata lebih suka habiskan masa dekat
panggung wayang ataupun pusat karaoke ataupun jalan-jalan dekat mall.
Tahu sangat.
Sebab aku pun pelajar
yang suka kan hiburan bila waktu hujung minggu. Tipikal pelajar. Sama macam aku
jugak.
“Nani, dari kau
mengelamun dekat situ, apa kata kau belikan kami teh ais ke, milo dinasor ke.”
Adi tiba-tiba memecah sunyi. “Dan, kalau jumpa awek cun macam Nora Danish boleh
jugak kau bungkus ikat tepi.”
Niat hati aku yang suci
lagi murni untuk bangun waktu dengar ayat pertama dia terus terbantut bila dengar
ayat kedua.
Spontan kepala digeleng
beberapa kali.
Memang tak ada kerja
lain agaknya si Adi ni. Nak usha awek cun saja. Heh.
“Hah, betul jugak tu.
Aku nak teh o ais.” Tri yang dari tadi khusyuk dengan handphone dari tadi
menyampuk tiba-tiba.
Pandangan aku beralih
kepada Tri.
“Apa?” Soal dia bila
nampak aku menjeling tajam.
“Korang saja, kan? Nak
membuli je kerja.”
Ketawa Adi dan Tri
bergabung serentak.
“Kau paling muda.
Biasalah tu kalau budak-budak kena buli beli air dekat kedai.” Tri menjawab
dengan sisa ketawa yang masih belum hilang. Tak lama kemudian, tumpuannya
kembali pada handphone di tangan.
Ayat dia tu...
Ayat dia tu macam biasa aku
dengar.
Kebetulan?
Aku menarik nafas
pelahan. Kaki dipaksa juga keluar dari booth
dan melangkah ke kedai air yang berdekatan.
Oh kenangan.
Tahun Akhir Diploma
han_nani: umur berapa?
M_K: 25
han_nani: ohh dah tua
M_K: kamu?
han_nani:
baru 21
M_K:
Muda lagi. Kalau dekat sekolah boleh buli pergi beli air dekat kantin.
Budak..budak.
han_nani:
ada ke...
han_nani:
kalau saya budak, awak tu pakcik. >_<
ISNIN.
Jika sebelum ini
perkataan Monday Blues itu tak pernah langsung bagi kesan pada aku, tapi hari ni
lain pulak jadinya.
Hari Isnin ini akan aku
ingat sampai bila-bila.
Habis sahaja kuliah
tengah hari, nama aku dipanggil ke depan. Beberapa mata mula memandang dengan
tanda tanya. Aku faham pandangan perli beberapa pelajar lain. Aku boleh tangkap
pandangan simpati daripada Paan.
Dan aku boleh baca
pandangan pelik daripada Jiha dan kawan-kawan yang lain. Dengan muka tebal, aku
melangkah ke depan dan terus mengikuti Dr. Diana ke bilik dia yang terletak
tidak jauh dari dewan kuliah.
Lama dia pandang aku
sehinggalah dia meletakkan kertas ujian aku di atas meja.
Melihatkan markah yang
tertera, aku boleh agak apa yang Dr. Diana nak cakap. Matilah kau Nani.
“Hannani, kalau awak nak
lulus final exam, awak kena belajar betul-betul. Siapkan semua assignment dan tutorial saya. Kalau awak
masih macam ni, saya tak akan teragak-agak untuk gagalkan awak final exam nanti.” Dr. Diana memandang
aku tajam.
“Sekarang ni, carrymarks awak memang sangat teruk. Dua test awak failed. Saya betul-betul harap awak siapkan semua kerja yang saya
bagi untuk tampung markah final exam
awak. Kalau tak, awak memang tak ada pilihan lain selain jumpa saya lagi
semester depan.”
Aku masih menunduk,
pandai kasut sendiri. Sikitpun aku tak berani nak bertentang mata dengan Dr.
Diana.
Ya, semua orang tahu Dr.
Diana pensyarah yang berpangkat doktor paling muda di unversiti ni. Dan
pastinya, dialah yang paling tegas dan serius.
Aku pun tahu.
Tapi, aku bukan sengaja
nak gagal dalam subjek dia. Subjek dia susah kot! Dah hampir hujung semester
pun aku masih tak faham bab satu Financial
and Accounting ni.
Kenapalah ada subjek
akaun untuk pelajar engineering ni?
Hampir setengah jam juga
aku tercongok di depan meja Dr. Diana sebelum aku dibenarkan keluar. Aku
memandang markah ujian kedua yang berada di tangan sekilas. 15%.
Test pertama 20%.
Test kedua makin teruk.
Manalah Dr. Diana tak mengamuk.
Aku mengeluh berat. Perlahan-lahan
aku memasukkan kertas ujian tadi ke dalam beg sandang. Langkah aku dilajukan ke
lif dan terus ke parking motosikal.
Aku taknak repeat subjek ni semester depan.
Aku taknak duduk untuk
subjek yang sama dua kali berturut-turut. Penat. Siksa. Kena masuk kelas budak
junior pulak tu!
Entah kenapa, motosikal
yang aku bawa terus melencong ke Iris Cake House. Aku menolak lemah pintu kaca
dan terus mengambil tempat di meja biasa.
“Hei kau...”
Aku berpaling ke arah
suara yang menegur. Tri terus terdiam bila pandang muka tak ada mood aku.
Sekali lagi aku
mengeluh. Cukuplah. Aku tak ada mood
nak gaduh hari ni.
Tanpa menghiraukan dia,
segala barang yang aku bawa tadi aku letakkan di atas meja. Bersepah terus meja
kayu berwarna hitam tu.
“Jangan cakap dengan aku.”
Tangan cepat mengeluarkan komputer riba dan buku yang ada. Headphone diletakkan pada telinga dan terus aku pandang skrin
laptop.
“Aku pun tak nak cakap
dengan kau.” Teragak-agak dia menjawab.
Aku buat tak dengar. Tangan
sibuk memilih senarai lagu di dalam folder.
“Kenapa tu?” Tri pandang
Ajim yang setia di kaunter kopi.
Aku nampak Ajim
memandang aku lama. Akhirnya dia angkat bahu sebelum menjawab, “Entah.”
Lagu dipilih secara
rawak. Volume dibuka sehabis tinggi.
Jangan kacau aku. Aku memang tak ada mood.
TUMPUAN AKU terhenti
bila melihat telefon bimbit menyala menandakan ada WhatsApp baru. Laju saja jari menekan ‘open’.
‘Salam sis, kenapa barang saya tak
sampai lagi ye? Dah seminggu saya tunggu. Sis poskan ke tak barang tu?’
Kening
aku terangkat tinggi. Pelahan-lahan aku meneliti WhatsApp aku sebelum ni. Betul. Dah pos. Tracking number pun aku dah bagi.
‘Saya dah poskan sis. Tracking number
dah ada kan?’
‘Ada. Tapi sis la yang kena check.
Takkan customer pulak.’
Bulat
mata aku memandang setiap ayat yang di balas pada skrin WhatsApp. Kalau macam tu, apa fungsi aku bagi nombor tracking tu cik adik oi?
Aduhai.
Waktu mood aku ke Lautan Hindi ini
lah ada customer nak buat perangai
pun.
‘Kejap
ye.’
Sabar
Nani, sabar. Orang kata, customers always
right. Aku terus membuka laman web poslaju. Tracking number yang aku berikan kepada dia sebelum ini aku
masukkan ke dalam kotak carian satu-persatu.
Okay.
Dah received.
Jadi, apa masalah dia?
‘Dekat sini dah tulis terima tiga hari lepas.’
‘Awak jgn nak tipu saya. Memang tak ada
pun sampai ni. Menyesal saya beli barang dekat awak, penipu rupanya. Buat kerja
haram! Hidup tak berkat! Saya nak balik duit saya!’
Ya Allah dia ni...
‘Dekat sini memang dah tulis sampai
dekat Kolej Samudera. Kolej awak, kan? Dah pergi pejabat kolej ke untuk
collect? Dah tanya dekat pejabat ke belum?’
‘Dekat kolej? Tak sampai ke bilik saya
ke?’
Aku tepuk dahi. Macam ni
pun ada ke?
‘Awak, kalau barang yang sampai dekat
kolej, pihak pejabat kolej yang terima.’
‘Cubala fikir sikit. Awak ni baru
belajar nak beli barang online ke apa? Jangan nak serabutkan seller boleh tak?
Benda simple macam ni pun nak bising.’
Sungguhlah api kemarahan
aku dah membuak-buak. Tak pernah lagi pembeli lain cakap aku penipu.
‘Amboi, bahasa awak memang kurang ajar
kan? Saya takut barang tak sampai je.’
Aku melepas nafas
perlahan. Sekali lagi aku membaca mesej yang aku hantar tadi. Ya. Memang sikit
kurang ajar. Tapi silap timing betul
budak ni marahkan aku. Aku pun ada hari stress
jugak.
‘Sorry. Maafkan saya. Nanti awak check
dekat kolej ye. Terima kasih.’
Cepat-cepat aku kawal
marah sendiri. Ingat Nani. Customer
always right! Melainkan dia kata kau penipu! Heh.
Akhirnya WhatsApp diam tak berbalas. Sekali lagi
aku tarik nafas dalam-dalam. Kumpul kekuatan.
Tiba-tiba secawan kopi
pekat diletakkan di atas meja. Laju aku angkat kepala. Wajah Ajim tersengih
memenuhi padangan mata. Spontan aku lurutkan headphone dari kepala.
“Kau kenapa hari ni?”
Aku mengeluh entah buat
ke berapa kali. Kopi di atas meja aku pandang lama. “Americano?” soal aku tanpa mempedulikan soalan dia tadi.
Americano. Bahan asas hanyalah air panas dan espresso.
Ajim angguk mengiakan.
“Dengan sedikit gula. Nak bagi manis sikit muka kau tu.” Dia menyambung dengan
senyuman.
Aku mencebik. Bagilah
gula ke, stevia ke, gula melaka ke. Memang takkan boleh maniskan aku sekarang
ni.
“Again, what’s wrong with you
today?” Dia dah pun duduk di atas salah satu kerusi di depan aku.
Salah satu benda yang
aku musykil pasal budak bernama Hazim ni, bukan sekali aku dengar dia speaking loghat Australia. Banyak kali.
Aku pun kalah.
Tapi bila aku tanya, dia
cakap dia lulusan SPM je. Kampung dekat ceruk Malaysia.
Akhirnya, aku malas nak
tanya lebih-lebih.
Aku pandang kiri dan
kanan. Macam biasa, petang-petang macam ni pelanggan tak adalah ramai mana.
“I can say... Sudah jatuh, ditimpa tangga. Tercolek tahi ayam dekat
muka.”
Ketawa Ajim meletus
kuat. “Kau ni...”
“Kan best jadi budak kecik. Pergi sekolah,
mak bagi duit. Balik sekolah, makan tengah hari. Tidur. Lepas tu main.” Aku
merebahkan kepala ke meja. “Esoknya, buat benda sama balik. Happy je. Tak ada masalah.”
“Kau memang pelik hari
ni.” Ajim melipat kedua-dua tangannya ke dada. “Tak nak cerita?”
“Masalah, Jim. Sampai
bila pun takkan habis.”
“Berpunca dari kau? Atau
orang lain?”
Aku diam berfikir. Kalau
nak dikira, semua masalah yang aku hadap sekarang ni berpunca daripada aku
jugak. Kalau aku serius belajar, tak adalah markah test aku macam tu. Kalau aku
tak tengok Facebook, Instagram
ataupun belek Twitter waktu kuliah,
tak adalah aku blur bila lecturer mengajar.
Aku tahu tu.
Tapi susahnya la nak
hilangkan tabiat tu.
“Dah, aku nak sambung
kerja. Air kau hari ni aku belanja.” Ajim kenyitkan mata sebelum hilang ke
kaunter kopi. Aku tarik nafas berat. Entah kenapa kepala mula membuat flashback ke beberapa tahun sebelum ni.
Sewaktu aku masih buat
diploma.
Waktu aku ada peneman
belajar.
“Nani... Nani Nani
Nani...”
Aku angkat kepala
sebelum menangkap wajah ceria Adi di muka pintu. Suka-suka aje dia samakan nama
aku dengan lagu iklan ‘nano nano’ tu.
“Whats
up wahai Nani?” Adi
dahpun tersengih di depan meja. Sejak dia ikut jualan itu hari, baru harini aku jumpa dia balik.
“Oi, sini. Jangan kacau
makcik tuh.”
Belum sempat aku
menjawab soalan Adi, suara Tri terlebih dahulu memotong. Sebenarnya mood kelaut aku dah kembali reda waktu
Ajim datang bagi kopi tadi. Jadi bila Adi datang tegur tadi aku tak adalah rasa
nak pancung dia sangat.
“Kenapa?” Adi angkat
kening, pelik. Perlahan-lahan dia menapak menghampiri Tri di meja paling depan.
“Dia period ke?” sambung dia sambil
ketawa mengekek. Tri turut tersengih.
“Entah. Mood dia dah sampai Lautan Antartik tu.”
Tapi bila fikir balik, mungkin
aku memang nak pancung dua-dua tu sekarang. Layan dua orang ni memang tak akan
pernah buat hati aku sejuk pun. Headphone
kembali diletakkan ke kepala. Musik dipasang sekuat mungkin.
‘Belajar Nani, belajar.’
Tahun
akhir Diploma
M_K: Kalau isi minyak moto seringgit,
jangan buat angan-angan nak pergi angkasa.
han_nani: Habistu nak letak berapa ringgit,
pakcik?’ aku ketawa kuat. Analogi pakcik ni luar alam sungguh.
M_K: Pakcik cakap ni, cubalah serius
sikit, budak.’
han_nani: Entahlah pakcik. Exam esok
tawakkal je la...
M_K: Usaha dulu nak tawakkal pun. Usaha
tak? Ataupun, balik bilik, makan, online, tidur. Lepas tu bila nak exam, mula
la nak tawakkal je...
han_nani: Okay...okay... orang usaha
dulu..
M_K: Dah. Pergi belajar. Dari kecik
jawab periksa takkan dah besar pun takut lagi?
AKU MELEPAS NAFAS perlahan.
Tak semena-mena nama samaran YM ‘pakcik’ dulu aku lakarkan pada dada planner di atas meja.
M_K
Rindunya zaman tu. Zaman
yang membuatkan semangat aku untuk habiskan diploma dan sambung ijazah.
Zaman selalu diketuk
oleh ‘pakcik’ bila aku malas.
Rindunya...
No comments:
Post a Comment