[Bab 19]
“KAU SAYANG ANA, KAN?” Soalan itu terkeluar juga setelah beberapa minit aku berkira-kira dalam kepala. Paan yang asyik mengunyah nasi lemak di depan angkat kepala.
“Mestilah. Lagi nak tanya ke?” Dia menyambung suapan yang terhenti tadi.
Aku tarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba, aku rasa bersalah selepas hantar gambar tadi. Walaupun se’BFF’ manapun aku dengan Paan, dia tetap seorang lelaki.
“Dengar ni aku nak cakap.” Sengaja aku menggantungkan ayat, meminta perhatian Paan.
“Apa dia?”
“Kita tak boleh keluar kerap macam selalu dah.”
“Kenapa pulak?”
Aku mencebik. Aku tak tahu Paan ni tak tahu, atau buat-buat tak tahu, ataupun dia tak ada perasaan.
“Kau kan dah jadi tunang orang.”
Dahi Paan berkerut lebat.
“Ya, ya aku tahu kita kawan. Tapi Ana tu tunang kau. Kalau nak kira pangkat, dia lebih layak nak marah aku, nak cemburukan aku.” Aku ni perempuan. Aku faham sangat dengan perasaan perempuan.
“Jadi? Nak putus kawanlah, macam tu?”
“Tak adalah sampai macam tu.”
“Dah tu? Kau nak cakap apa sebenarnya ni?”
Aku mengeluh perlahan. Teh o ais di atas meja aku hirup perlahan sebelum menyambung,
“Sebenarnya aku tak nak Ana dengan kau gaduh sebab aku. Aku tak nak orang cakap yang aku ni suka berkepit dengan tunang orang.”
Paan habiskan suapan terakhir.
“Jadi sekarang ni aku kena sedar diri sebab aku dah jadi tunang orang?”
“Lebih kurang.” Aku senyum selapis. “Common sense la Paan. Siapa yang tak cemburu kalau tunang dia keluar dengan perempuan lain. Hatta kawan sekalipun. Kau kena belajar jugak perihal hati perempuan ni. Kau tahu kan yang kaum kami ni complicated?”
“Memang pun complicated.”
Aku senyum selapis, masih cuba bertindak positif.
“Aku kawan kau, kau kawan aku. Aku tak nak sebab aku kau putus tunang dengan Ana pulak. Haritu break sekejap pun dah nangis, inikan pulak putus tunang.”
“Kurang ajar la tu. Bila masa aku nangis pulak?”
Spontan aku ketawa. Memang langsung aku tak boleh lupa wajah kecewa Paan malam tu.
“Okay...” dia mencapai cawan teh tarik di atas meja.
“Okay apa?”
Keningnya diangkat tinggi di sebalik cawan sambil menghirup teh tarik dengan senyuman.
“Apa?” Main teka-teki pulak dia.
Cawan kosong diletakkan di atas meja.
“Okay, kalau macam tu kau kena cepat-cepat mengorat abang cafe tu. Mana tahu lepas kau ada kekasih hati, Ana takkan cemburu lagi?”
“Gila.”
Dan ketawa Paan meletus kuat.
LAMA AKU BERDIRI depan cermin besar rumah. Pantulan diri sendiri pada cermin aku tenung satu persatu. Tudung bawal hitam, tshirt lengan pandang hitam dan jeans hitam.
Teruk sangat ke aku sampaikan satu rumah tak nak hiraukan aku?
Dan cantik sangat ke aku hinggakan Ana tak habis-habis dengan cemburu dia tu?
Wajah kacukan mak dan ayah itu aku pandang lama. Cantik. Tapi cantik lagi Ana yang persis Mira Filzah tu.
Nafas dihela perlahan. Melihatkan doa yang terlekat pada bucu cermin, spontan bibir aku menyebut, “Ya Allah sebagaimana Kau cantikkan wajahku, maka perelokkanlah akhlak ku. Amin”
Aku betulkan tudung di kepala, bersedia untuk ke Iris Cake House. Mata sempat menjeling ke arah pintu bilik Anis dan Mila. Anis dah lama keluar. Kerja. Mila pula sejak dia sampai rumah lepas sarapan dengan Paan tadi, dia masih membatu dalam bilik.
Siapkan tesis agaknya.
Selesai sarapan bersama Paan tadi, aku terus minta dia hantar aku balik. Aku hanya tidur sepanjang hari sehinggalah terjaga pukul empat petang. Dengan kalutnya aku solat Zohor yang dah hampir-hampir habis waktu.
Dan sekarang, aku nak tunaikan janji aku pada Tri.
Dan juga membawa idea gila Paan bersama.
Memang gila.
“TRI,”
Dia angkat kepala dari majalah di atas meja. Khusyuk sangat baca majalah tu, aku masuk tadi pun dia tak perasan.
Tanpa disuruh, aku tarik kerusi bertentangan dengan dia yang masih berkerut memandang aku.
“Kek tadi mana?”
Muncung dipanjangkan ke arah display chiller di sebelah kaunter. Aku sengih segaris bila melihat congo bars yang tersusun elok di situ.
Aku senyum bangga.
Cantik jugak aku buat.
Heh. Padahal usaha aku dalam tu 10% je.
“Nak apa?”
Lamunan aku pada congo bars terus melayang. Aku menoleh ke arah Tri di depan, membaca apa makna air muka dia tu. Apahal lain macam pulak perisa ni? Pagi tadi elok je ajar aku buat kek semua. Ini dah gaya ceti mintak hutang pulak.
Aku ada buat salah ke?
Atau... dia pun dah sama nak banned aku macam Kak Hasya?
“Hmm, kalau ganggu maaflah. Saya cuba nak cakap sikit je.” Aku bangun dari kerusi. Berlakon aje sebenarnya. Nak tengok betul ke tidak dia banned aku.
“Cakap jelah. Macam tak biasa ganggu aku.” Majalah di tangan ditutup rapat. Baru mata aku dapat menangkap apa nama majalah yang dia sibuk tenung tadi. Majalah LIBUR.
Dengan sengihan yang lebar, aku kembali duduk. Dia tak banned aku, kan?
“Hah, nak cakap apa? Cepatlah. Aku busy ni.” Anak mata dia menikam tepat pada anak mata aku. Menunggu.
Busy?
Heh. Sibuk apanya kalau pelanggan pun ada tiga orang je. Itu pun Khalisha yang layan. Dan dia pulak, aku masuk cafe tadi dia duduk tercongok baca majalah je. Bukannya tengah urus bisnes juta-juta pun.
“Apa?” Sekali lagi dia menyoal. Hilang sabar agaknya.
Aku senyum selapis. Rasanya aku tahu kenapa dia macam ni. Mungkin dia tak suka aku baik dengan Paan lepas tahu Paan tu tunang orang. Ingat aku tak perasan jelingan maut dia pagi tadi?
“Kalau tak nak cakap apa-apa, aku nak sambung buat kerja.” Dia pura-pura untuk bangun sebelum aku menghalang. “Kejaplah!” Ek eleh. Dia pulak yang nak acah-acah bangun.
Dengan masam muka, dia duduk juga. “For the last time, aku tanya. Apa benda kau nak cakap tadi?”
Aku sengih lagi. Tak tahu macam mana nak mula sebenarnya. “Sebenarnya...” aku terhenti sesaat. Wajah ingin tahu dia membuatkan kepala terus mengeluarkan idea jahat. “Sebenarnya, why should we buy the gold disc; original and not the purple disc dvd-r?”
“Nani!”
Dan ketawa aku terlepas juga. “Sorry... Sorry.” Kedua-dua tangan di
Merah padam muka dia waktu pandang aku yang masih ketawa. Aku tahu dia pun nak tergelak sama. Tahan aje tu.
“Saya nak minta awak teman saya jumpa tunang Paan, boleh?”
Riak muka Tri terus berubah pelik. “Jumpa tunang siapa?”
“Paan. Kawan saya yang pagi tadi tu la.”
“Nak selesaikan kes orang ketiga?”
Aku angkat bahu. “Lebih kurang.”
Wajah aku direnung lama seaakan mengambil ilham untuk berikan jawapan. Entah kenapa panahan mata dia membuatkan aku hilang rentak. Tajam lain macam!
“Please?”
“Why me?” Dia bersandar pada kerusi sambil melipat kedua-dua tangan pada dada. Mata masih tak lepas dari pandang wajah aku.
“Alah, temankan je. Bukan nak suruh berlakon apa pun.”
Tri senyum tawar. “Nak suruh aku duduk situ macam robot, dengar aje apa yang korang sembang?”
Aku sengih sambil mengangguk. “Haah.”
“Tapi, why me?”
Aku terdiam. Sebenarnya aku sendiri pun tak ada jawapan. Padahal aku boleh aje pergi sendiri berdepan dengan Ana dan Paan. Bersemuka dan bincangkan apa yang patut.
Tapi aku tahu Ana tak akan berhenti dengan cemburu dia selagi aku masih ‘single’.
“Hello, I’m still here.” Tri mengawang-awangkan tangan ke muka aku. Meminta perhatian.
Keluhan terkeluar tanpa aku sedar. Sebab selebihnya, aku tahu yang aku masih tak dapat terima Paan dan bertunang dengan Ana. Dan di sudut hati aku, aku tahu yang aku tak kuat. Wahai Nani, terimalah kenyataan.
“Okay. Aku temankan.”
Apa dia?
Mata aku bersinar terang.
“Okay?”
“Ye.”
“Betul awak nak temankan?”
Tri tarik muka. “Berapa lama tak korek telinga?”
Senyuman aku ditarik lebar. Dia nak temankan aku! Tak sangka pulak dia akan setuju.
“Nanti nak cakap apa dekat tunang kawan kau tu?”
Senyuman aku terus mati bila dengar soalan dia. Automatik tangan menggaru kepala yang terlindung. Nak cakap apa ye?
‘Ana, percayalah yang aku dengan Paan hanya kawan kerana aku sudah mempunyai kekasih hati?’
Dan dalam kes ini, Tri lah kekasih hati yang aku maksudkan tu.
Macam tu? Skima sangat.
Aiseh. Pening!
Kenapa aku nak kena berlakon ada ‘kekasih hati’ semata-mata nak hilangkan cemburu Ana pulak?
“Nak cakap yang aku ni boyfriend kau?” anak mata dia tepat pada mata aku. “Dan kau tak ada apa-apa perasaan dekat Paan sebab kau dah ada aku?”
Haah. Itulah yang aku nak cakap. Exactly!
“Tahu tak tipu tu dosa, Na Ni?” Kali ini dia mencipta sengih.
“Habis tu, saya nak cakap apa? Ada idea lain ke?” Aku mengeluh lagi. Payahnya nak berkawan dengan tunang orang ni.
“Make it real.”
“Hah?” Aku picingkan anak mata kepada Tri yang masih tenang di atas kerusi. Entah kenapa ayat dia tadi membuat kepala aku menyimpulkan sesuatu.
“Tak payah tipu.”
Aku telan air liur yang tiba-tiba terasa pahit. “Maksudnya?”
“That I am your real boyfriend.”
“Gila.” Entah kenapa ringan aje kaki bangun meninggalkan Tri di meja. Aku minta teman aje. Tu pun sebab nak tipu Ana.
Bila masa dia jadi boyfriend aku entah.
Heh!
No comments:
Post a Comment