Sunday 31 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 20]



RASANYA AKU PATUT buat banner tulis TERIMA KASIH ABANG BIDIN besar besar dan letak dekat meja dia sebab dah tolong hidupkan enjin kereta aku selama aku tak ada.
Aku tahu sangat, kalau dua minggu tak hidup, pastinya kesayangan aku ni takkan nak gerak elok macam ni.
Aku masih tenang memandu masuk ke Jalan Kuching yang sedikit sesak dengan kepala yang masih kusut berfikir itu ini. Sekali sekala aku menurunkan tangan kanan dari stereng bila terasa sakit mencucuk.
Bila teringatkan lengan yang ditoreh, air mata mula bergenang tanpa dipinta. Bukan sebab sakit, tapi sebab geram yang amat.
Dan, aku tahu, banyak mana pun aku marahkan Zack bila dia dah cederakan aku, aku patut bersyukur sebab dia dah lepaskan aku dengan selamat macam ni.
Kan?
Otak aku masih berperang dengan hati sendiri sewaktu kereta memasuki kawasan rumah. Aku meletakkan kereta di tempat biasa dan mula memanjat tangga untuk naik ke atas.
Nafas ditarik perlahan bila terpandang mangga pada pintu. Wajah Zack dan Mail kembali mencuri ruang ingatan. Seriusla, sampai bila aku nak nampak muka dia pada mangga ni?
Ada jugak aku tukar grill besi esok kang.
Laju aku menggeleng, konon-konon boleh hilangkan ingatan pada dia orang.  Suiz lampu utama aku hidupkan sebaik sahaja kaki melangkah masuk. Baru sahaja pintu ditutup rapat, mata terpandang pula beg tangan yang aku tinggalkan di atas meja semalam.
            Beg tangan yang selama ni dipegang oleh Zack sehinggalah hari aku di lepaskan.
            Aiseh. Apahal semua nak buat aku ingat dia ntah?
            Tanpa menunggu walau sesaat, aku bergegas ke bilik sendiri untuk mandi. Mana tahu kali ni, dengan mandi boleh buatkan sel sel otak aku kembali berhubung?
            Waktu mandi, aku sengaja biarkan air sejuk membasahi seluruh badan tanpa menggunakan water heater. Sengaja. Nak kasi otak segar.
            Selesai mandi ala kadar (sebab bila pandang sabun, teringat lagi), aku mula mengangkut satu bakul kain yang belum dibasuh ke dapur. Sungguh, kali ni aku tak akan biarkan walau sesaat wajah dia orang muncul.
Kesemua baju tadi aku sumbat ke dalam mesin basuh, dan mula menekan beberapa butang pada mesin sebelum meletakkan sabun. Melihatkan mesin mula bergerak, aku membawa kaki ke ruang tamu.
Sempat aku menjeling ke arah dapur sekilas, kalau-kalau ada pinggan yang perlu aku cuci ataupun barang yang perlu aku kemas.
Tapi tak ada.
Mana pernah pun aku masak selama ni (kecuali megi). Memang tak akan sepah pun dapur aku tu.
Aku mula masak pun bila kena paksa dengan Zack…
Oh em gee! Boleh tak kalau tak fikir lagi!
Aku mengetuk kepala beberapa kali, cuba menghilangkan bayang-bayang Zack dalam kepala. memang parah.
Parah!
Baru dua hari kot aku balik rumah ni,
Nak tak nak, aku menarik nafas dalam-dalam, cuba bertenang. Rasanya, kalau tengok TV, layan drama apa-apa, kepala tak akan fikir benda pelik lagi.
            Kan?
            Aku mula menyelongkar beberapa DVD Korea yang dibeli online beberapa bulan lepas. Laju aje tangan memilih drama City Hunter. Drama yang dah berkali-kali aku tengok, tapi tak pernah jemu.
            Mungkin sebab ada Lee Min Ho kot. Heh.
            Aku mencapai bantal kecil empat segi dan duduk berlunjur di atas sofa milik tuan rumah. Lagu pengenalan mula memenuhi ruang rumah melawan bunyi mesin basuh di dapur.
Spontan aku mencipta senyum nipis. Wahai Lee Min Ho, jumpa lagi kita.
Belum pun tiga minit bermula, nafas aku mula terasa sesak. Pistol! Dia orang pegang pistol!
Cepat-cepat aku mencapai remote DVD player dan menekan butang STOP. Bodohnya kau Naurah… dah tahu cerita ni cerita yang ada pistol berlambak, kau nak tengok jugak.
Aku mengeluh. TV yang gelap gelita aku pandang lama. Buntu sebenarnya. Apa lagi yang boleh aku buat ni? Tukar cerita lain? Tapi nafsu nak layan drama Korea dah kelaut.
Ke Lautan Pasifik sana.
Baru aje aku  berkira-kira untuk bangun ke bilik, Lenovo yang aku letakkan di atas meja kopi berdering lantang. Laju aje aku mencapainya dan menyambungkan talian.
Encik Danny!
Walaupun aku pelik kenapa Encik Danny nak telefon malam-malam macam ni, tapi rasa bersyukur tetap ada. Sekurang-kurangnya ada juga yang boleh hilangkan bayang dia orang sekejap.
“Norah sorry. Saya lupa nak bagitahu awak siang tadi.” dia terus bersuara setelah talian bersambung. Tak ada salam. Tak ada mukadimah.
“Kenapa bos?” soal aku sambil membawa kaki ke bilik. Memang dah tak ada rasa langsung nak tengok cerita.
“Awak kena pergi ke Palembang next week. Semua orang dah full dengan jadual masing-masing.”
Palembang? Macam pernah dengar nama tu…
“Jangan lupa bawa passport.”
Ha, ingat dah. Palembang tu tempat asal usul Parameswara, kan? Yang buka Kota Melaka tu… wah! Hebat jugak sejarah kau Naurah!
“Norah?”
Aku hampir tepuk dahi sendiri. Lupa yang Encik Danny masih di hujung talian. “Baik bos. Nanti saya bawak passport.”
“Good.”
“OK.”
“OK.” Balas dia pula. Spontan kening aku terangkat tinggi. Aih, bos ni tak  nak letak ke? Kalau aku letak dulu karang, ada pulak tajuk tambahan ‘Pekerja Derhaka’ dalam majalah bulan depan.
Heh.
“Ada apa-apa lagi, bos?” soal aku. Atau dalam kata lain, ‘kalau dah tak ada apa-apa, bolehlah bos putuskan talian.’
            “Oh, itu aje. Bye.”
            Aku melepas nafas perlahan setelah menamatkan panggilan. Palembang. Minggu depan.
            Elok juga aku ada kerja jauh-jauh macam ni. Bolehlah kalau nak tenangkan fikiran, ye dak?
            Aku mula berbaring sambil mencapai novel yang sudah berkurun berada di hujung katil. Tangan mula membelek tanpa tujuan dan terhenti di mukasurat 230.
            Baca Naurah. Baca… lupakan dia… lupakan mereka. Lupakan…
            …dan aku tak pasti bila aku terlelap sehinggalah telinga menangkap mesin basuh berbunyi kuat menandakan baju siap dibasuh. Aku menjeling ke arah jam pada dinding dan mula menguap besar. Novel yang terjatuh ke dada tadi aku letakkan kembali ke hujung katil.
            Kacau.
            Dahlah aku memang berusaha nak tidur dari tadi.
            Aku bangun juga ke dapur, untuk sidai kain. Aku tahu kalau dibiarkan sampai esok, lain pulak bau yang timbul. Kalau sekarang ni elok je bau pencuci Kao Attack, esok mungkin boleh berubah jadi telur busuk.
            Satu persatu kain aku capai dari mesin dan disangkut pada tali penyidai.
            Hampir separuh kain aku sidai, tangan terkaku tiba-tiba bila mata terpandang sesuatu. Sekali lagi dada berombak kuat.
            Tak boleh jadi ni.
            Sungguh, aku dah tak boleh tahan. Macam mana aku boleh lupa nak buang baju yang Zack belikan ni?
            Cepat-cepat aku menjemur baki baju yang tinggal dan terus kembali ke bilik. Beberapa pasang kemeja dan jeans aku sumbat ke dalam beg troli yang tersedia di sudut bilik.
            Belum pun selesai mengisi baju, aku mencapai telefon bimbit dari atas katil sebelum jari mencari-cari nombor telefon yang diingini.
            Jumpa!
            Aku menarik nafas dalam-dalam sambil menunggu talian disambung.
“Hello?”
Bibir mencipta senyum nipis. Tanpa menghiraukan sapaan dia, aku terus ke topik asal. “Qila, sorry kacau. Angah nak tumpang tidur rumah kau boleh?”


SEPANJANG DALAM perjalanan, aku cuba tenangkan diri. Jangan fikir. Jangan fikir.
            Tapi tak boleh. Bukan Zack aje, Mail pun muncul sekali.
            Apahal aku kena ingat diorang ni sebenarnya?
            Setelah membelok masuk ke highway, aku mencari-cari nombor telefon Ain dalam handphone.
            “Ain!” spontan aku menjerit bila talian bersambung. “Aku rasa aku dah gila.”
            “Hish kau ni. Cubalah bagi salam dulu. Dahla lama menghilang tak ada berita. Tiba-tiba telefon cakap kau gila ni kenapa?” panjang lebar Ain membebel. Bibir aku mencipta senyum tawar.
            “Sorry. Panjang cerita dia…”
            “Apa yang jadi? Apa cerita pulak kau dengan kawan sepupu kau tu?”
            Spontan aku mengeluh. Itu satu pun satu hal.
            “Aku sebenarnya…” aku menenal air liur. Tak tahu nak cerita dekat Ain ke tidak. Aku dah janji yang takkan bagitahu sesiapa pasal aku kena culik ni.
            Tapi…
            “Aku kena culik dua minggu dan sekarang aku dah terlepas tapi aku teringatkan penculik aku tu. Aku dah gila, kan?”
            “Kejap. Apa kau cakap?” suara Ain naik satu nada. “Kena culik? Ya Allah, habis tu kau okay tak sekarang? Macam mana boleh kena culik? Kau report polis tak?” Ain mula menembak aku dengan soalan dia.
            Sekali lagi aku mengeluh. Mata masih menumpukan perhatian penuh pada jalan raya.
            “Ain, aku cerita ni kau jangan cakap dekat sesiapa, tau. Suami kau pun. Aku taknak orang lain tahu.”
            Ain diam sejenak.
            “Aku tak ada apa-apa. Betul. Aku dah bebas pun sekarang.”
            “Betul kau tak nak report polis ni?”
            Aku angguk walaupun aku tahu Ain tak nampak pun anggukan aku. “Aku dah tak nak ada kaitan dengan dia orang dah…”
            “Tapi tadi kau cakap… kau teringatkan penculik kau tu?”
            Aku membiarkan soalan Ain seketika. Radio yang berbunyi kuat tadi aku tutup dengan sebelah tangan. Earphone di telinga aku ketatkan.
            “Macam ni cerita dia…”
            Segala cerita dua minggu yang bersejarah tu aku luahkan kepada Ain. Tak ada satu pun yang tertinggal. Termasuklah cerita tentang Benjamin, pengantin tak jadi aku.
            Dan, Ain pun faham kenapa aku tak nak report polis.           
            Satu aje yang dia tak faham. Dia tak faham kenapa aku nak ingatkan orang yang dah toreh lengan aku macam ni.
            Tapi yang itu, aku sendiri pun tak faham.


“ANGAH TAK KERJA ke esok?”
            Itu soalan pertama Qila bila melihat aku tercegat di depan pintu pagar rumah sewa dia.
            Penat jugak aku cari dalam GPS, akhirnya jumpa juga.
            “Kerja…” aku menjawab sepatah. Aku faham apa makna soalan dia tadi. Rumah aku dengan rumah dia bukannya setakat 5-10 kilometer. Ada lebih kurang 40 kilometer jugak rasanya.
            Tapi, apa pilihan yang aku ada? Nak tempah hotel? Nak tumpang rumah Kak Melati yang dah bersuami tu?
            “Dah tu, kenapa tidur sini? Kan jauh…” pintu pagar ditarik luas, membenarkan aku masuk dengan beg troli sederhana besar yang aku bawa tadi.
            Memang pun jauh. Dan sebab jauhlah aku tak pernah pun datang sini.        
            “Angah ada problem sikit. Tumpang, eh?” aku malas bercerita panjang. Takkanlah aku nak cakap yang aku asyik terbayangkan muka orang yang culik aku?
Aku tahu kalau cerita aku kena culik sampai ke telinga Qila, tak mustahil Wanda pun akan tahu. dan kalau Wanda tahu, makcik pun akan tahu.
            Dah, tahulah kalau makcik dah tahu…memang satu keluarga aku akan tahu. rumah pun sebelah-sebelah.
            “Rumah angah kena pecah ke? Kena rompak?”
            Laju aku menggeleng. “Bukanlah,” sedaya upaya aku mencipta senyum.
            “Oookay….”
            “Kenapa? Tak suka angah tumpang?”
            “Hish, bukanlah. Orang pelik je…”
            “Tak payah nak pelik, tolong angkat beg angah ni ha. Tetamu datang bukan nak sambut dengan senyuman ke… kompang ke…”        
            “Kompang apanya ngah, semua dah buat mimpi sekarang ni. Angah aje yang segar bugar lagi drive sorang-sorang sampai sini.” Qila ketawa perlahan. “Jomlah masuk, makanan tak ada tau. Kalau angah nak masak megi, ada dekat dapur sana.” Dia menyambung sambil menutup pintu besar.
            “Angah tak nak makan dah. Nak tidur aje.” aku membawa belakang tangan ke mulut. Menguap.
Sungguh. I need my beauty sleep.
           

HARI SABTU. Kalau nak dikira dah hampir seminggu aku dekat sini. Nasib baiklah Qila tu sepupu sendiri, kalau orang lain memang aku tak betah lama-lama. Segan!
Beberapa hari di rumah Qila fikiran aku kembali normal. Dengan keletah Lili yang peramah walaupun baru kenal. Dengan kerajinan Hani memasak itu ini membuatkan aku terasa malas nak balik rumah sendiri.
            Dan aku tahu, aku takkan dapat duduk sini selama-lamanya. Takkan nak bersesak-sesak satu bilik dengan Qila sampai bila-bila? Kalau zaman belajar dulu bolehlah duduk satu rumah sepuluh orang.
Tapi sekarang ni? masing-masing nakkan privacy sendiri. Lagipun, aku dah ada rumah sewa sendiri. Rumah untuk aku sorang pulak tu!
            Kejap.
            Macam mana kalau aku cari penyewa yang lain? Hah! Betul! Aku kena cari teman serumah untuk buat teman.
            Nanti tak adalah sunyi sangat dekat rumah tu. kan?
            Bijaknya kau Naurah!
            “Dah kenapa senyum sorang-sorang ni ngah?”
            Dengan senyuman yang masih berbaki, aku meneguk kopi panas yang sudahpun jadi suam-suam kuku. “Tak ada apa lah.” Senyum lagi.
            “Angau ke apa angah ni? teringatkan buah hati?” cawan kosong di dalam dulang dicapai dan terus dituang kopi ke dalamnya.
            “Buah hati apanya, buah hati dah kena kebas.” Serta merta aku teringatkan Benjamin dan Sara. Tak semena-mena Qila ketawa kuat. Teko berisi kopi diletakkan kembali ke dalam dulang.
            “Orang pun ingat Ben tu suka angah. Tup-tup dia sangkut pulak dengan kawan orang tu.”
            Hampir tersembur kopi yang aku minum tadi. Budak Sara tu kawan Qila ke? Ceh. Ingatkan memang Ben punya long lost girlfriend ke, satu pejabat dengan dia ke, kawan dari kecik ke…
            Ini baru aje jumpa?
            Haih.
            “Dia ada cakap apa yang dia nak serius dengan angah…” aku bersuara perlahan. Roti Gardenia yang sudah hampir separuh itu aku celupkan ke dalam cawan. “Apa?” Kening aku terangkat tinggi melihat mata Qila membulat, memandang aku.
            “Biar betul, ngah? Dah tu, kenapa dia layan Sara pulak?”
            “Manalah angah tahu…” memang pun aku tak tahu. dan yang paling aku tak boleh terima, dia berpaling tadah kepada Sara dalam masa dua minggu aku tak ada.
            Dua minggu!
            “Ei, kalau macam tu orang nak warning si Sara tu lah. Nanti dia tinggalkan Sara macam dia tinggalkan angah pulak.”
            Hampir tercekik roti yang aku telan bila mendengar ayat ‘dia tinggalkan angah’ tadi. Sungguh sadis rasanya. sikit lagi aku nak nyanyi lagu Pelamin Anganku Musnah.
            “Tak payah campur hal dia oranglah. Biarkan aje, mana tahu Ben memang nak serius dengan Sara ke…”
            Qila terdiam berfikir. Aku memang harap sangat dia tak bagitahu Sara. Macam mana kalau dia orang putus sebab aku cerita benda ni pada Qila? Mahunya Ben kerat aku jadi lapan belas keping sebab dah hancurkan hubungan dia.
            Kerat lapan belas? Tu bukan ke Zack pernah cakap dulu…
            Aku mengeluh tanpa sedar.
            “Dah kenapa mengeluh pulak…”
            Aku mengangkat muka dari cawan kopi dan memandang wajah Qila di kerusi bertentangan. Spontan aku mencipta senyum, membalas soalan dia.
            Dah parah aku ni.
            “Ada plan nak pergi mana-mana tak harini?” aku menukar topik lama-lama cerita pasal patah hati ni, boleh suram hidup aku.
Qila yang baru sahaja meneguk air menggeleng perlahan. “Kenapa?” cawan diletakkan di atas meja makan.
            “Teman angah ambil barang dekat rumah sewa angah, boleh?”
            Anak mata Qila mula tajam menikam wajah aku. “Rumah angah kena pecah eh? Sebab tu angah takut nak balik?”
            Automatik aku ketawa lepas. Ke situ pulak dia. “Bukanlah…”
            “Dah tu?”
            “Ikut je lah…”
            “Kalau tak bagitahu, orang tak nak ikut.” Qila mencebik lebar, protes.
            “Tak nak ikut sudah, angah pergi sendiri.”
            Cebikan Qila makin lebar. “Angah ni la… ye la, orang ikut.”
            Dan aku tersenyum kemenangan.

TEPAT JAM SATU tengah hari, kereta mula memasuki kawasan rumah. Aku keluarkan beg troli kosong dari tempat duduk belakang dan Qila meninjau-ninjau kawasan sekitar blok perumahan.
            “Tak nampak macam bahaya pun ngah…” dia bersuara perlahan.
            “Siapa kata bahaya?” aku senyum nipis, membalas. Aku tahu rumah flat ni memang dah nampak usang. Tapi setakat ni, memang jarang aku dengar ada kes berat-berat. Setakat curi kasut depan pintu tu, adalah.
Sebaik sahaja kereta dikunci, kaki dibawa ke anak tangga untuk naik ke atas.
            Belum sempat memanjat anak tangga yang pertama, aku terkaku sesaat. Cepat-cepat aku menoleh ke kanan, ke arah kawasan taman permainan bila terasa ada kelibat yang memerhati.
            Ya, aku yakin ada yang memerhati.
            Dan gaya dia macam…Zack?
            Berkali aku menoleh ke kiri dan ke kanan mencari kelibat tadi. Tapi tak ada. Bulu roma terasa tegak tiba-tiba.
            “Kenapa ngah?” Qila juga membuang pandang ke arah yang sama tanpa tujuan.
            “Tak ada apa. Jom.”
            Sekali lagi aku melihat ke arah taman permainan kecil tadi sebelum melangkah ke atas. Memang tak ada Zack dekat situ.
            Dah tu, kenapa macam ada kelibat dia tadi?

            Oh em gee! Takkan aku dah berhalusinasi dia pulak?

Friday 29 August 2014

Bagaimana Nak Mancing Udang Galah Di Teluk Intan?

Assalamualaikum!

Entri lepas illa ada cerita pasal mancing udang di  Sg. Perak, kan? Jadi bagi yang bertanya macam mana nak mancing dekat sana, macam mana nak sewa bot semua tu, meh illa cerita.

Pertama sekali, korang mesti ke Teluk Intan, sebabnya, selain Menara Condong yang sememangnya popular di sini, Teluk intan juga menjadi destinasi memancing udang galah untuk pelancong =)

Keduanya, pastikan ada semua alatan mancing macam joran, mata kail, umpan tu semua (yang ini tak pasti kalau tekong boleh kasi pinjam tak ;) )





Ketiga, pergi ke Jeti Persatuan Pengail-Pengail Melayu Hilir Perak, boleh sewa bot dekat situ dengan harga (biasanya) RM70 untuk bot dan RM 70 untuk tekong. Kenalah sewa dua dua sekali sebabnya kalau tekong tak bawak, memang tak akan sampailah kita ke tempat mancing tu. Heh he.



Yang keempat, jangan lupa bawa bekal makanan atau minuman takut kalau-kalau tiba-tiba lapar masa mancing.



Akhir sekali, selamat memancing! >__<


Udang galah yang sangat mudah dipancing.

Selamat Memancing!

#Terima KasihTourism Malaysia Perak


Thursday 28 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 19]


  

AKU TAK TAHU kalau ini perasaannya bila lepas kena culik. Adakah semua orang yang dilepaskan akan rasa macam yang aku rasa ni? adakah?
            Tapi aku tak fikir pun yang dia orang harap akan jumpa lagi dengan penculik dia orang tu, kan?
            Dah tu kenapa aku rasa macam…aku nak jumpa Zack dengan Mail lagi?
            Aku mesti dah gila! I must be crazy!
            Macam manalah aku boleh terfikir semua tu?
            Stop it Naurah!
            Aku menepuk kuat kepala sendiri. Ya, aku tak fikir. Apa yang penting sekarang, aku tak boleh duduk sendiri. Aku tak boleh sendirian dekat sini sehinggalah kepala aku kembali normal.
            Ya, sehingga aku lupakan Zack dan Mail.
             Cepat-cepat aku menutup lampu dan cuba untuk tidur. Lama-lama berjaga macam ni boleh buatkan aku gila berfikir.
            Baru aje nak melelapkan mata, Lenovo aku berbunyi perlahan menandakan ada WhatsApp baru yang masuk. Aku mencapai handphone dari atas meja sebelah katil dengan tangan kiri sebelum membuka applikasi itu.
            Siapa pulak yang WhatsApp aku malam-malam ni?
            Abang Bidin?

‘Kau kerja esok, kan?’
‘Eh, aku tak perasan dah pukul satu. Kau dah tidur ke?’

Aku mula meniarap dan menaip laju untuk membalas

‘Baru nak tidur.’
‘Haah, esok kerja. Knp bang?’

‘Aku nampak kereta kau dekat ofis lagi.’
‘Esk kau pergi kerja dengan apa?’
‘Kalau nak suruh aku singgah ambil, boleh je.
           
Haahlah. Aku lupa! Kalau tak ada kereta memang susah nak pergi kerja esok. Pagi-pagi alam mana nak dapat teksi dekat rumah aku ni.

Abg tahu rumah sy ke?
Boleh jugak. Sy tumpang abg la esk.
Aku tahu dekat Segambut je.
Nanti kau hantar map rumah kau.
OK.
Tq!


Aku meletakkan kembali handphone di tempat tadi. dengan senyuman lebar, aku menarik selimut menutup separuh badan.
            Abang Bidin ni betullah macam a knight in a shining armour.
            Selesai satu masalah.


PUKUL LAPAN PAGI lagi Abang Bidin dah terpacak depan blok rumah aku. Dari jauh lagi aku nampak dia sengih lebar dengan gigi dia yang tersusun tu. tanpa menunggu lama, aku terus masuk ke tempat duduk sebelah pemandu.
            Sikit lagi aku nak buka pintu tempat duduk belakang. Dah terbiasa.
            “Apahal kau tinggal kereta dekat ofis?”
            Itu soalan pertama Abang Bidin selepas dia menukar gear dan meluncur ke jalan besar. Dada mula berdebar laju. Apa jawapan yang aku nak goreng ni?
            “Atau kau rasa letak dekat sini tak selamat?”
            Aku tahu apa maksud Abang Bidin. Sini tu, kawasan rumah aku. Aku tahu kawasan rumah flat aku ni memang selalu ada kecurian, ceroboh dan macam-macam lagi.
            Tak masuk lagi dengan curi tayar kereta segala.
            Tapi rumah flat ini aje yang aku mampu untuk sewa seorang diri dengan gaji aku sekarang.
            Perlahan-lahan aku mengangguk, mengiakan. Sungguh aku tak tahu nak cipta alasan apa lagi.
            “Lain kali kalau kau nak keluar lama-lama tinggal je dekat rumah aku. Kalau pergi assignment dua tiga hari tu logikla jugak nak tinggal dekat ofis. Ini dua minggu…” Abang Bidin masih lagi membebel tanpa memandang.
            Memang pun aku selalu tinggal kereta dekat parking pejabat kalau ada assignment yang perlu bermalam. Bukan sekali dua. Selalu.
            “Kau dah makan kenyang eh?”
            Laju aku berpaling ke arah Abang Bidin. Random sungguh soalan dia tu. “Kenapa abang tanya macam tu?”
            Aku mendengar Abang Bidin ketawa perlahan sebelum menjawab, “Tak adalah. Tak pernah-pernah aku nampak kau sopan santun diam macam ni pagi-pagi. Ini mesti perut dah kenyang. Sebab tu kau tak banyak bunyi.”
            Nak tak nak aku senyum juga. Aku tahu yang aku akan bad mood kalau lapar. Aku tahu aku akan rasa tak best kalau perut kosong.
            Tapi, bila dah kena kurung dekat rumah Zack dulu, perut aku pun dah biasa tak diisi.
            Keadaan kembali sunyi. Aku sempat menyelit rambut depan yang terjatuh ke belakang telinga. Mata masih lagi merenung ke arah jalan raya tanpa tujuan. Hari ini aku hanya bersiap ringkas dengan kemeja putih berbelang ungu dan khaki gelap.
            “Seronok kau bercuti, kami dekat ofis tu nak pecah kepala dengan kerja.” Sekali lagi Abang Bidin membuka topik untuk menghidupkan suasana.
            “Kenapa?”
            “Kau tahu kan program Visit Malaysia tahun ni? punyalah banyak event yang tak dapat cover. Semua clash. Kelam kabut juga bos nak cari contributor.”
            Aku faham sangat situasi tu. bila semua program dan event dibuat pada tarikh yang sama, kami kumpulan yang kecil ni mulalah kelam kabut nak cari orang lain untuk ganti.
            Biasanya contributor yang syarikat panggil adalah geng blogger. Jadi, kenapa nak kelam kabut sebab biasanya senarai nama blogger yang selalu ikut program dah tersenarai dekat board.
            “Jadi bos marah la eh saya cuti?”
            “Tak ada lah marah. Cuma dia ungkit jugalah kenapa baru sekarang kau nak cuti.” Abang Bidin masih tenang memandu. “Lagipun, lepas lunch kau terus tak masuk, kan? Kau ni…memang nak jadi pekerja bermasalah ke apa?”
            Spontan aku mencebik. Mail. Semua sebab Mail. Entah berapa kali aku ulang benda sama bila ada yang mengungkit. Tapi memang salah Mail!
            Tapi bos pun satu, bukan ke sebelum ni memang dia benarkan aku cuti. Kenapa nak bahas pula?
            Lagipun, aku bukan pergi bercuti. Aku kena culik!
            Haih.
            Belumpun habis aku membebel, kereta Abang Bidin berhenti di kawasan parking. Aku terus keluar dari kereta dan berlari ke arah kereta kesayangan aku. Namun, setelah beberapa langkah berlari, aku terhenti kaku.
            Kereta yang masih berada di bawah pokok itu aku pandang lama.
            Kenapa. Kereta. aku. bersih. Sangat?
            Takkan aku tinggal dua minggu ada car wash yang baik hati datang cuci kereta ni?
            “Aku jumpa spare key kereta kau dalam laci masa cari bullets,” suara Abang Bidin mula menyapa telinga dari belakang.
Aku masih lagi tercegat memandang Viva  Putih yang nampak sedikit berkilat. Bersih!
“…jadi aku tolong startkan enjin kereta kau sebab dan seminggu dekat situ.”
Laju aku berpaling ek arah Abang Bidin yang sudahpun berdiri di sebelah. Dia tolong hidupkan enjin kereta aku? Guna kunci spare?
“Sorry sebab aku main ambik je dari laci. Tapi kau jugak yang salah sebab letak dekat situ.” dia tergelak kecil sebelum menyambung. “Lain kalu jangan tinggal spare key dekat situ. Bahaya.”
Aku masih memandangnya tak lepas. Tak sangka sebenarnya…
“Nasib baik aku yang jumpa. Kalau orang lain, alamat wassalamlah Viva kau tu.” Abang Bidin masih rancak bercerita.
            Mulut aku terkunci terus. Tak tahu nak cakap apa. Aku terharu sebenarnya. Abang Bidin tolong hidupkan kereta aku selama ni? “Dan abang yang pergi cuci kereta saya ni?” terkeluar juga soalan yang dari tadi bermain-main dalam kepala.
Mulut aku hampir ternganga bila melihat dia mengangguk dengan senyuman.
            “Abang,”
            “Apa dia?”
            “Terima kasih.”
            Abang Bidin tersenyum sambil mengangguk kecil. “Dah, jom masuk ofis.”
            Aku masih lagi tak mampu bergerak. Abang Bidin dan tolong aku dua kali! Memang betul-betul knight in the shining armour kalau macam ni.


WAKTU MAKAN TENGAH hari. Aku masih lagi diam di kerusi sendiri, termenung melihat lengan yang dijahit tempoh hari. Sedikit sebanyak, kerja menaip aku hari ni tergendala jugak dek kesakitan yang datang tiba-tiba.
            Aku mengeluh lagi untuk entah kali ke berapa. Lengan kemeja yang diselak tadi aku lurutkan kembali ke bentuk asal. Arah pandangan mula melilau ke semua bahagian. Kak Melati dah hilang ke restoran mana entah. Ada appointment dengan client dia katanya.
            Abang Bidin pulak tak pasti. Dari tadi hilang tak nampak muka.
            Sekali lagi aku melepas nafas berat. Kertas post-it-notes pada dinding aku pandang tanpa tujuan. Mata tiba-tiba terkaku pada satu notes yang membariskan nombor telefon seseorang. Spontan aku mengeluh.
            Tangan kiri laju aje mencabutnya dari softboard dan terus dihumbankan ke dalam tong sampah.
            Memang itu tempat dia.
            Tempat untuk orang yang dah buang aku dalam masa dua minggu!
            “Tak keluar makan ke?”
            Aku mendongak melihat Encik Danny yang kemas berkemeja biru tanpa tali leher. Automatik aku menggeleng laju. “Dah kenyang la bos.”  
            “Kenyang pasal kepala masih ingat Sabah ye?” dia sengih. “Tak ada buah tangan untuk saya?”
            Perlahan-lahan aku menggeleng sambil mencipta senyum plastik. Semua orang ingat aku bercuti. Itu belakang kira. Yang penting sekarang ni, semua orang ingat aku kedekut sebab tak beli apa-apa pun untuk dijadikan buah tangan.
            Dahla ofis kami kecil je.
            Memang betul kedekut la kalau tak beli cenderahati.
            Tapi…aku bukannya pergi bercuti…
            “Tak apalah kalau tak nak makan. Ingat nak ajak awak sekali. Bosan pulak makan sorang-sorang.”
            Aku menarik senyum dengan rasa bersalah. Satu sebab tak belikan cenderahati. Dua sebab tak dapat teman bos makan. Memang pun selama ni bos ajak je siapa-siapa makan dengan dia kalau dia lapar.
            Kenapa entah dia tak ajak girlfriend sendiri.
            Aku hanya mampu menghantar langkah Encik Danny sehingga ke pintu keluar. Memikirkan perut yang tiba-tiba berkeroncong, aku bangun dari kerusi untuk ke pantry (tadi berlagak sangat cakap dah kenyang).
            Hampir empat meter dari pantry, mata aku menangkap koleksi gambar-gambar yang ditangkap Abang Bidin yang di tampal pada soft board di belakang tempat duduk dia.
Aku tahu sangat hobi Abang Bidin yang satu tu. Cuci mana-mana gambar yang dia rasa cantik, dan lekatkan dekat situ.
            Tapi gambar tu bukan ke…
            Perlahan-lahan aku membawa kaki mendekati berpuluh-puluh gambar pada soft board itu mata mula dipicingkan ke arah satu gambar yang menarik perhatian aku tadi.
Betul!
            Itu gambar aku. Gambar sama yang ada pada Mail waktu dia culik aku dulu. Kenapa Abang Bidin pun ada gambar ni? belum sempat aku berpusing untuk ke pantry, satu lagi gambar asing di sudut paling tepi mula menarik pandangan mata aku.
            Gambar seorang perempuan berambut panjang mengurai yang juga sedang ketawa.
            Siapa dia ni?
            Rasanya bukan budak ofis aku.
            “Pandang apa?”
            Aku hampir melatah bila Abang Bidin tiba-tiba berdiri di belakang. Laju aje aku berpaling ke arahnya, refleks.
            “Kau tengok apa khusyuk kemain?” Abang Bidin membawa cawan yang dipegang ke mulut. Hish, tak senonoh betul minum sambil berdiri.
            “Perempuan ni siapa, bang?” jari telunjuk aku tegak pada gambar perempuan tadi. Melihatkan kepala Abang Bidin menggeleng laju, dahi aku mula berkerut.
            “Entah, aku pun tak kenal.”
            Tak kenal, tapi tampal dekat sini? Pelik…“Gambar ni pulak, mana abang dapat?” jari dilarikan pula ke arah gambar aku. “Ini waktu family day ofis kan?”
            “Haah. Aku baru cuci jumaat lepas. Kenapa?”
            “Abang ada bagi dekat siapa-siapa tak gambar saya ni?”
            Kali ini, kening Abang Bidin pula terangkat  tinggi. Dia meletakkan cawan ke atas meja dan berpeluk tubuh memandang aku. “Apahal pulak aku nak bagi dekat orang? Aku cuci, aku letak sini. Kau ni pun…macam tak biasa.”
            Aku mengeluh sendiri. Buntu. Tak tahu lagi apa kaitannya gambar aku pada Abang Bidin dan gambar aku pada Mail.
            “Gambar kau tu dua kali aku cuci. Masa cuci banyak-banyak dulu, gambar yang ni tiba-tiba hilang. Yang aku dapat gambar budak perempuan ni ha.” Tangan Abang Bidin melurus pada gambar gadis berambut panjang tadi. “Lepas tu, aku cuci balik gambar kau ni. Budak kedai bawah tu yang tersilap bagi rasanya.”
            “Abang cuci semua ni dekat kedai bawah tu eh?”
            Abang Bidin mengangguk perlahan. Dahinya mula berkerut memandang aku. Pelik agaknya bila tiba-tiba aku tanya macam-macam. Dah berkurun Abang Bidin ada hobi macam tu, tak pernah pun aku tanya sebelum ni.
            “Abang ada jumpa siapa-siapa tak dekat kedai gambar tu?
            “Kau ni, dah namanya kedai gambar mestilah ramai…”
            Laju aku menggeleng, “Bukan… kot-kot abang terlanggar siapa-siapa ke…tertukar gambar dengan siapa-siapa ke….”
            Abang Bidin diam dengan kerutan yang masih berbaki. “Budak pakai topi tu kot…”
            Budak pakai topi?
            “Keluar aje dari cuci gambar tu dia langgar abang, dan betulla waktu tu semua gambar ni terjatuh…” Abang Bidin mula berkata-kata sendiri. “Jadi kau nak kata yang aku tertukar gambar kau dengan budak tu?”
            Aku menelan air liur yang terasa payau. Kalau dah Mail ada gambar aku, memang sah la dia orang tertukar.
Aku menghela nafas berat sambil memandang ke arah Abang Bidin di hadapan.
            Rupanya, Abang Bidin yang jadi punca dia kena culik.
            Bukan Mail je.
            “Tapi, kenapa kau tnya?”
            Soalan Abang Bidin membuatkan aku menggeleng laju. Malas nak besarkan hal tu. Cukuplah aku tahu kisah sebenar macam mana gambar aku boleh ada pada Mail.
            Cukuplah.
            Lagipun, aku dah selamat dilepaskan, bukan ke itu pun dah mencukupi?
            Sekali lagi aku menatap gambar gadis berambut panjang di sudut soft board tadi. Agaknya, itulah anak Dato yang Zack dengan Mail beria-ia nak culik tu.

            Apalah nasib budak tu sekarang…