Tuesday 22 April 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 9]


AKU CUBA UNTUK membuka mata, tapi tak berjaya. Silau cahaya aku tutup dengan gebar yang menyelimuti tubuh. Sejuk!
Mata aku kembali layu bila keadaan kembali selesa.
“Bangunlah!” 
            Suara asing yang sayup-sayup kedengaran membuatkan badan aku terkaku seketika. Mata masih berat untuk dibuka. Aku menggeliat perlahan sebelum kembali ke alam lena. Suara yang menyapa telinga tadi aku biarkan tanpa jawapan.
            “Ala bos, bagilah saya tidur kejap lagi…”
            Rasa sakit belakang dan kepala membuatkan mata aku terbuka luas. Gebar yang menutup sampai ke kepala aku tolak ke tepi. Bunyi suara kedua membuatkan nafas aku terhenti sesaat, memerhati. Permandangan di dalam bilik yang bersepah dan samar-samar mula menyapa mata.
            “Bangun! Kau nak aku cakap dengan tangan?”
            Aku masih diam memerhati setiap isi perut bilik kecil itu. Berfikir dari tadi, tak sempat hadam pun apa yang jadi. Dahi aku mula berkerut dalam konsentrasi. Mencari dan mengumpul jawapan apa yang sedang berlaku.
            “Cepatlah Mail. Kau lambat, tak ada makanan.”
            Suara asing itu datang lagi. Perlahan-lahan aku melurutkan comforter yang menutupi separuh badan.
            Bilik kecil…
            Comforter…
            Mail…
            Aku terbangun dari baringan bila tersedar sesuatu.
            “Ala bos ni. Pagi masih muda la…” suara merengek Mail di luar kedengaran jelas di telinga.
            Betullah aku kena culik…
            “Aku kira sampai tiga. Kalau kau tak bangun, jangan harap aku nak bagi kau makan sampai bila-bila.” suara bos Mail naik satu nada.
Aku melepas nafas perlahan. hari ini, kalau nak diikutkan rancangan Mail dan bos dia mereka akan cari anak Dato’ Hafiz yang sebenar. Bila dah dapat anak Dato’ tu, aku sendiri tak tahu apa yang mereka nak buat lepas tu.
Nasib aku sendiri pun, aku belum pasti lagi.
Sampai bila aku dikurung di sini?
Cuti aku… rancangan untuk kahwin aku…
Semua berkecai.
“Dah bangun?” pintu dikuak dari luar tiba-tiba. “Cepat siap, kau pun kena ikut.” Mail bersuara selepas menguap beberapa kali.
Nak bersiap apanya. Ini je yang aku ada pun. Bukannya boleh pakai bedak. Bukannya boleh calit lipstik.
“Oh lupa…” Mail membawa tangan ke mulut. Menguap lagi. “Kau sehelai sepinggan je...”
“Nak pergi mana?” aku memberanikan diri, bertanya. Rasanya malam tadi, bos dia tak adalah garang sangat. Bolehlah bertimbang rasa siap belikan aku baju baru lagi untuk tukar persalinan. Takkan Mail pulak nak over jadi bengis, kan?
“Tak payah nak sibuk, kau ikut je.”
Ceh. Berlagak. Aku report jugak dekat bos dia karang. “Berus gigi lebih ada?” soal aku lagi.
Terus bulat mata mata dia memandang aku. “Kau ni nak lebih-lebih apahal?!” suara Mail meninggi. Aku menelan air liur yang tiba-tiba terasa payau. Mail ni nampak ke kecil, muda. Tapi baran dia kemain. Ini lah kot yang dinamakan darah muda.
“Apahal ni?”
Mail terus terdiam. Bos Mail yang sudah lengkap berjaket coklat tua dan rayban muncul di hadapan pintu. Spontan aku meraup muka, kalau-kalau ada tahi mata ataupun air liur basi yang tertinggal.
Kejap.
Kenapa aku nak kisahkah tahi mata pulak?
“Dia ni bos, banyak songeh pulak. Kita tinggalkan je dia dekat hutan.” Mail mula mengomel. Berkerut-kerut dahinya menahan marah.
Bos Mail mengalihkan pandangannya kepada aku yang masih serabai dengan rambut yang mengerbang. Waktu ni lah aku rasa menyesal simpan rambut panjang. Dahlah malam tadi tak ada syampu…
Boleh kalah Kak Limah ni…
“Pergi panaskan enjin kereta.” kunci kereta dilemparkan ke arah Mail dan laju aje Mail menyambutnya.
Dengan omelan yang masih berbaki, Mail membawa juga kaki keluar dari rumah. Spontan aku menarik nafas lega. Wajah bos Mail yang masih tercegat di hadapan pintu aku pandang lama.
Kenapa lelaki seelok ini pilih kerjaya sebagai penculik?
Sungguh, sikitpun tak ada muka bengis macam singa.
Sikitpun tak ada DNA pecah rumah.
Kenapa?
“Cepat siap. Kita keluar.” pendek dia bersuara. “Aku tak beli berus gigi lebih. Maaf.” Sambungnya lagi sebelum berlalu ke ruang tamu.
Aku melepas nafas perlahan. spontan. Tangan cepat sahaja melipat comforter dan diletakkan di sudut bilik. Aku tahu yang aku akan kembali ke bilik kecil ni. melainkan Mail dan bos dia tu buang aku tepi jalan.
Tak bernyawa!
Dengan berat hati, aku keluar juga dari bilik. Kaki aku terhenti tiba-tiba di hadapan cermin kecil yang disangkut pada dinding sebelah dapur.
Mata aku sembab.
Rambut aku kusut masai.
Dan yang paling teruk, aku tak gosok gigi!
Mak…angah nak balik…
“Cepat sikit!”
Laungan dari ruang tamu membuatkan aku terkocoh-kocoh keluar. Aku tahu mood bos Mail boleh bertukar bila-bila masa sahaja. Aku tahu sebaik mana pun bos Mail malam tadi, dia tetap penculik. Dia tetap penjahat. Kalau dah namanya penjahat, memang jahatlah jawabnya.


           
KAIN YANG MENUTUP mata aku ditarik kasar dari belakang. Pandangan aku mula berpinar beberapa saat sebelum permandangan yang amat aku kenal terlakar di depan mata.
            Kawasan pejabat aku.
Hanya beberapa meter dari tempat aku parking kereta. Ya, kereta aku masih tersadai di bawah pokok. Tempat yang sama aku parking semalam.
Aku tahu Abang Bidin dan Kak Melati hatta yang lain-lain dekat ofis itu pun tak akan perasan kereta aku dekat situ. Terlindung.
Dan, selama ni tak pernah pun aku letakkan Viva kesayangan aku tu dekat bawah pokok tu.
Dan yang paling teruk, mereka semua ingatkan aku dah mula cuti…
Automatik aku mengeluh.
Tak perlu untuk menoleh, aku tahu siapa yang tarik kain yang menutup mata aku tadi.
Aku hanya sempat menjeling ke arah Mail yang beberapa kali mengetatkan ikatan pada tangan dan mulut aku. Takut sangat aku terlepas.
            Tahu pun takut.
Kalau nak diikutkan, nak aje aku menjerit sekuat hati kasi Encik Danny dengar.
Kasi Kak Melati nampak.
Biar Abang Bidin tahu yang aku ada dekat kawasan parkir ofis, diculik dan diikat!
Tapi semua tu hanya tinggal angan-angan. Mulut aku yang diikat kemas sikit pun tidak membenarkan suara aku ni keluar.
Diorang cari apa sebenarnya dekat sini?
            “Dekat mana kau culik dia ni?” bos Mail tiba-tiba bersuara dari tempat pemandu.
            “Depan bangunan ni la bos. Kan betul ni tempat yang bos cakap tu.”
            “Memanglah ini tempat dia. Tapi anak perempuan Dato’ tu, bukannya dia.”
            Kening aku terangkat beberapa kali, menahan marah. Ini agaknya yang dikatakan terlajak perahu boleh diundur. Terlajak culik, buruk padahnya!
            “Tapi bos…gambar tu, memang dia ni.” jari telunjuk Mail tepat pada batang hidung aku. sekali lagi aku menjeling ke arahnya. Geram.
            Itu satu hal lagi.
            Entah macam mana pulak gambar aku boleh ada pada Mail sebenarnya?
            Aku mendengar bos Mail melepas nafas perlahan sebelum membuka radio. Dia membuka topi yang dipakainya dan membetulkan rambut beberapa kali sebelum kembali meletakkan topi tadi di atas kepala.
            “Kau pasti ke yang kau tak jumpa sesiapa waktu culik dia semalam?”
            Aku turut sama membuang pandang ke arah Mail di sebelah, menanti jawapan. Mail menggaru kepalanya beberapa kali sebelum menggeleng.
            Aku dan bos Mail sama-sama mengeluh. Sungguh tak faham kenapa aku boleh terjebak dalam cerita penculikan Mail dan bos dia ni…
            “Takkanlah…”
            “Apa?” dua pasang mata cepat sahaja memaku pandang ke arahnya. Mail masih lagi menggaru kepalanya yang aku sangat-sangat yakin, tak gatal.
            “Waktu saya balik dari beli air, adalah saya terlanggar orang…”
            “Orang?”
            Dahi aku berkerut seribu. Mungkinkan ‘orang’ yang Mail langgar tulah pemilik sebenar gambar aku? Tapi siapa?
            “Siapa?” soalan yang sama terpacul dari mulut bos Mail. Aku masih lagi diam, memasang telinga. Nak menyampuk, mulut aku dah pun diikat kemas sewaktu ditarik masuk ke dalam kereta tadi.
            Mail mengangkat bahu. Tanda tak tahu.
            “Habis, kau tertukar gambar dengan orang tu?”
            Sekali lagi Mail mengangkat bahu. “Saya tak pasti bos. Mungkin kot…”
            “Bodoh. Kerja senang pun tak boleh buat!” suara bos Mail meninggi. Aku menelan air liur mendengar nada suaranya yang berubah tiba-tiba. “Sekarang ni, kau tunggu dekat luar. Nampak perempuan tu, bagitahu aku.”
            Mail terus keluar tanpa menjawab walau sepatah. Aku menghela nafas berat tanpa sedar. Dengan tangan yang diikat kemas, aku bersandar pada kerusi di tempat duduk belakang. Telinga menangkap alunan musik radio yang dipasang perlahan. Mail di luar kereta mula bersandar dengan kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
            “Nah,”
            Roti gardenia yang berharga RM 0.80 itu dilemparkan ke atas riba aku.
            “Makan.” sambungnya lagi.
            Aku mengeluh lagi. Cakap dekat Mail bodoh. Dia pun sama. Dah kedua-dua tangan aku diikat mulut pun ditutup, cuba bagitahu aku macam mana lagi cara untuk aku makan?
            Bos Mail tiba-tiba berpaling ke belakang, menangkap kedua-dua anak mata aku. dia memandang pula ke arah kedua-dua tangan aku yang terikat. Takkanlah dia dengar yang aku cakap dia bodoh?
“Kalau aku buka mulut kau, jangan jerit.”
            Aku mengangguk. Berjanji.
            Dia mula membuka ikatan pada mulut aku dari tempat duduk hadapan. Lega! Barulah aku dapat rasa nikmat ada mulut dan suara!
            Dan sekarang, yang tinggal hanya tangan aku. Macam mana aku nak makan dengan tangan yang terikat ni? Nak koyak plastik pun tak boleh.
Tapi kan, kalau aku keluar dari kereta ni, dia orang takkan sempat kejar aku sampai pejabat, kan?
            Bos Mail mencapai bungkusan roti di atas paha aku dan terus membuka plastik pembungkus. Aku hanya memandang tindakannya dengan dahi yang berkerut.
            Bukan ke tadi, dia nak bagi aku makan?
            Buruk sikulah nak ambil balik…
            “Nah.” Roti tadi dihulurkan tepat pada mulut aku. Serta merta mata aku membulat. Tak percaya.
            Biar betul dia nak suap aku?
            “Buka mulut tu…”
            “Saya boleh makan sendiri lah!” gila kekok! Selama ini pun, mana pernah aku makan bersuap.
            Dengan lelaki pulak tu.
            Dan yang paling teruk, dia nak suruh aku nganga? Aku gosok gigi pun tidak!
             “Aku tak boleh buka ikatan kau sekarang.” Dia melepas nafas perlahan sambil meletakkan kembali roti ke atas riba aku. “Aku masih tak percayakan kau.” Sambungnya lagi.
            Roti Gardenia berperisa jagung itu aku pandang lama. Dah hampir pukul sembilan pun. Perut aku dari tadi berbunyi. Lapar.
            Tak pernah aku ponteng sarapan pagi.
            Aku rindukan nasi lemak Kak Yam.
            Aku mengidam mi goreng bekal Kak Melati.
            Aku teringin nak minum nescafe pekat buatan Fara.
            Dan yang paling menyedihkan, roti ini pun aku tak mampu nak makan…
            “Kau nak tak? Aku boleh tolong suapkan.”
            Aku diam, berfikir. Aku aku tak makan sekarang, entah bila lagi dia orang akan belikan aku makanan.
            Dan yang paling teruk, dia orang mungkin akan tinggalkan aku di mana-mana lepas anak Dato’ yang sebenar diculik!
            “Nak ke tidak? Kalau tak nak aku suap, aku suruh Mail yang suapkan…”
            “…tak nak Mail…” cepat-cepat aku menyampuk. Gila. Kerja gila Naurah! Kau nak suruh penculik ni suap kau?
            Bos Mail kembali mencapai roti yang diletakkannya tadi. Belum sempat dia menyua ke mulut aku, kelibat seorang lelaki yang mengenakan baju T berkolar dan seluar jeans gelap yang melepasi kereta membuatkan mulut aku ternganga luas. Abang Bidin!
            “Abang!!!” aku mendengar suara sendiri menjerit lantang. Kedua-dua tangan yang diikat dari depan mula mengetuk cermin tingkap, kuat.
Sebelum sempat aku melihat reaksi Abang Bidin, tangan kasar mula menarik badan aku ke belakang dan menutup mulut rapat sehinggakan aku tersandar ke belakang. Mata kami bertentangan. Wajahnya merah menyala menahan marah. Aku hanya mampu memandang langkah Abang Bidin yang semakin menjauh dengan air mata bertakung.
            “Aku dah cakap jangan jerit.” dia bersuara keras. Tangan kanannya masih menutup mulut aku kemas.
            Air mata aku mula mengalir sendiri. Aku tahu aku dah keruhkan keadaan. Aku tahu bos Mail tak akan percayakan aku lagi.
            Bodohlah kau Naurah. Kenapa tak makan aje roti tadi diam diam?
            “Kau nak mati?” suara bos Mail masih lagi keras seperti tadi. Laju aku menggeleng. “Aku suruh kau diam, jadi diam. Faham?”
            Kali ni aku mengangguk laju. Bos Mail akhirnya melepaskan tangannya dari mulut aku sambil menghela nafas perlahan.
            “Too bad, Naurah.” dia bersuara perlahan.
Aku menggigit bibir sendiri. Rasa terkejut tadi masih bersisa.

            “Kau dah hilangkan kepercayaan aku…”

***

Thursday 17 April 2014

Victoria Secret Body Mist Wangi!

Assalamualaikum!

Hi. Semua orang suka bau wangi kan? Sapa tak suka, boleh abaikan post ni. Kehkehkeh. Okay, nak cerita yang Opah Cun dah jual VS body mist pelbagai bau dan jenis. Tapi yang paling illa suka Pure Seduction dengan Love Spell. Wangi!!




Ada yang 250mL dan juga 60mL. Nama dia macam gaya-gaya nak menggoda ajekan? Huuhu. Apa-apa pun, kalo minat nak try dan nak tambah koleksi bolehlah laju-laju PM fb Opah Cun. =)

Tuesday 15 April 2014

Jelajah Komedi Sinar di Village Mall Gempak!

Assalamualaikum! 

Hai, ni bukan bab baru MMPL. Hee <3 Iklan kejap.

Sabtu itu hari illa berpeluang ikut serta ke jelajah komedi Sinar FM bersama Kawan Paratha yang diadakan di Village Mall Sungai Petani. Kalau nak tahu, hampir 4000 pengunjung yang datang memeriahkan jelajah ini. Apa taknya, pelawak jemputan bukan calang-calang!

Antara barisan pelawak yang memeriahkan Jelajah Komedi Sinar FM di Kedah adalah Shiro, Jambu dan juga Jep Sepahtu dan penyampai yang terlibat adalah Kak Engku, Salih Yaacob, Krill, Feeya (Cik Piah), Zaidi Zainal, Jamal Jamaludin, Najman dan Abby Fana.

Jadi, boleh bayang meriah dia macam mana? 

Jep selaku pengacara jemputan

Shiro!

Penyampai Sinar FM, Kak Engku dan SY

Penonton yang memenuhi Village Mall, Sg  Petani

Antara penonton sporting yang mengambil bahagian

Jep sempat mengusik Kak Bed (Abby Fana)

Jambu dan Shiro memeriahkan pentas
Yus Jambu 'dibelasah' peminat! 

Antara penonton yang bertuah bersama Jep Sepahtu

Semua pengunjung memang sporting dan tak malu-malu untuk menjayakan pelbagai aksi kelakar di atas pentas bersama pelawak dan penyampai Sinar FM.


Kak Engku sempat 'selfie' dengan monopod dia. Heh he.

Barisan penyampai Sinar bersama Kawan Paratha.

Jelajah Komedi Sinar bersama Kawan Paratha bakal bersambung lokasinya di Mydin MITC Melaka pada 19 April 2014 dan akhirnya menutup tirai di Planet Gempak Astro, Bukit Jalil pada 26 April 2014 nanti!

Bagi yang nak jumpa pelawak kesayangan korang, pergilah beramai-ramai kesana! Hoohoho

KAMI! antara geng media yang terlibat dan abang Jamal Jamaludin 


Monday 14 April 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 8]




AKU BERJALAN KE kiri dan ke kanan. Panas, rimas. Kipas yang yang ada pun perlahan aje pusingan dia Angin pun tak masuk. Silap haribulan, aku boleh mati kekurangan oksigen dalam ni.
            Mata aku mula bergerak ke segenap ruang. Terdapat satu tingkap kecil di bahagian atas, melepasi kepala. Beberapa kali aku cuba jengketkan kaki, tak juga dapat lihat apa yang ada dekat luar. Tapi yang pasti, bunyi sungai mengalir sentiasa menjadi peneman telinga.
            Aku mengeluh lagi. Penat berdiri, aku duduk bersila. Dah lama aku tak dengar apa-apa bunyi dari luar. Jangan cakap yang Mail dan bos dia tinggalkan aku keseorangan dekat sini?
            Kalau tadi dia cakap dah jam lapan malam, sekarang ni mesti dah pukul 10, 11 atau lebih.
            Gila!
            Baru sahaja mulut aku ingin menjerit, pintu dibuka dari luar dan muka Mail terjengul di muka pintu. Refleks, aku terlompat ke belakang.
            Mana tak terkejut?
            “Nah!” Mail melemparkan comforter yang masih berbungkus di dalam beg plastik. “Nasib kau baik sebab bos aku belikan benda ni. Aku pun tidur atas kerusi kayu je, tahu?”
            Rasa terkejut aku tadi makin hilang. Comforter yang berada di hadapan aku pandang lama. Warna hitam putih. Simple. Tapi cantik.
            “Korang yang tersilap culik, salah aku pulak?” tangan kanan mula membuka zip plastik yang membalut comforter itu. sayangnya nak letak benda ni atas lantai berdebu.
            Tapi kalau tak letak, takkan aku nak tidur atas lantai simen ni tanpa alas?
            “Cakap banyak pulak. Aku backhand karang.”
            Bulat mata aku memandang Mail yang masih berdiri tegak di depan pintu. Dia nak backhand aku? patutnya aku yang lempang dia sebab salah culik orang. Sakitnya hati!
            “Mail!”           
Baru aje aku hendak membuka mulut untuk membalas, suara bos Mail lebih cepat menyampuk. Aku kembali menutup mulut.
Kalau nak dibandingkan Mail dengan bos dia, aku lebih takutkan bos dia. satu, sebab terang-terang dia tu bos kepada Mail, jadi memang sah-sahlah kuasa dia lebih besar daripada Mail.
Dua, sebab dia sangatlah tegas. Cakap sepatah. Apa yang dia cakap, itulah yang kena ikut.
Tiga, sebab pandang muka dia pun boleh buat jantung rasa kecut. Mungkin sebab pisau yang tersisip kemas dekat pinggang dia tu.
“Ye bos?” Mail berpaling ke kiri. Dia masih tegak di muka pintu, tak bergerak.
            “Aku suruh kau bagi benda tu je, kan?” keras suaranya menegur.
Aku masih lagi memasang telinga. Kelibat bos Mail sikitpun tidak terlihat dari pandangan mata.
Sorry bos.”
“Dah, pergi tidur sana. Esok kau kena ikut aku cari budak tu.” bos Mail mula mendekati pintu bilik dengan hanya berbaju T putih dan jeans lusuh. Terpapar wajahnya yang masih basah dengan air di seluruh wajah.            
Takkan baru mandi kut?
 “Tak boleh harap langsung. Nak kena aku jugak yang buat.” Dia menyambung lagi. sehelai tuala yang tersangkut pada bahu dibawa ke muka, mengelap sisa air yang ada.
“Kau, tak nak mandi?” matanya tepat merenung aku yang sudahpun selesai mengeluarkan comforter dari sarungnya.
Laju aku menggeleng.  Nak suruh aku mandi, lepastu nak intai aku waktu aku mandi? baik tak payah. Heh.
Kenapa layanan mereka baik sangat? Bagi makan, comforter, siap pelawa mandi. Tapi apa nak pelik, kan? Kambing pun diberi makan banyak-banyak sebelum disembelih.
“Kalau kau selesa busuk habuk macam tu, terpulang.”
Aku menggigit bibir. Sengaja!
Dia sengaja nak suruh aku mandi ke apa?
“Bilik air tu penuh dengan simen kiri kanan atas bawah. Aku takkan intai kau wahai Naurah.” Suaranya masih lagi bernada sama. Tanpa perisa apa-apa.
“Tak payah. Saya tak nak mandi.”
Aku nampak bos Mail mengangkat bahu, tanda ‘suka hati kaulah’ tanpa perasaan. Aku mendengus deras sambil bingkas bangun dari sila dan menghamparkan comforter tadi ke lantai. Argh! Kenapalah dia orang salah culik orang?
“Awak semua boleh keluar sebab saya nak tidur!” comforter yang baru dibentangkan tadi aku tarik  keatas sehingga menutup dada. Ya, badan memang melekit.
Baju dan skirt aku dah berhabuk. Kotor.
Tapi aku tak nak mandi…
Aku tak rela kalau dia orang curi-curi intai nanti.
Mak… angah nak balik!
“Tengok tu bos, eii, kalau ikut saya, saya tampar je. Kurang ajar. Orang beli benda tu bukan nak terima kasih ke apa.”
“Kau yang salah culik dia, tak ingat?” bos Mail membalas tajam. Aku mendengar bunyi pintu bilik ditutup perlahan.
“Ya, saya tahu saya salah. Saya cuma ikut gambar yang bos bagi tu je.” Mail mula membela diri. Aku masih lagi memasang telinga, mendengar sayup-sayup butir bicara Mail dan bos dia tu.
“Aku bagi gambar anak Dato’ Hafiz, bukannya perempuan tu!”
“Tengok ni bos.”
Aku menggigit bibir sebelum bangun dari baringan. Perlahan-lahan aku mengintai di celah-celah pintu. Nampak!
Mail mula mengeluarkan sekeping gambar yang ditunjukkan kepada aku siang tadi. Gambar aku.
“Mana kau dapat gambar ni?” bos Mail menyoal dengan kerutan yang jelas pada dahinya. “Bukan gambar ni yang aku bagi semalam.”
“Hah? Betulla gambar ni bos. Sepanjang hari saya pegang, saya tunggu depan kedai makan tu.”
Gambar aku yang sudah pun bertukar tangan direnung lama. Jujur dari hati, itu bukan gambar terbaik aku. Tengah gelak ketawa macam tu, tak sempat nak pose segala.
Tapi, semua tu tak penting. Yang penting sekarang ni, aku pun sama jugak dengan bos Mail. Pelik dan tertanya-tanya.
Macam mana gambar aku ada dalam tangan Mail?
“Kau ada jumpa siapa-siapa tak waktu depan restoran siang tadi?”
Laju Mail menggeleng.  “Tak ada bos. Saya memang duduk dalam kereta je sepanjang masa. Sehinggalah perempuan tu datang.”
Bos Mail mengeluh berat sebelum menyimpan gambar aku ke dalam saku jeans dia.
“Bos er.. gambar tu?”
“Apa?”
“Gambar perempuan tu.” Mail menghulurkan tangan.
“Gambar ni dah tak guna. Kau salah orang dan tu bukan gambar budak tu!” Dia membawa langkah ke ruang tamu yang hanya menempatkan satu set kerusi kayu dan meja kopi. “Dah, tidur! Esok ikut aku.”
“Perempuan dalam tu macam mana bos?”
Kakinya terhenti melangkah dan berpaling ke belakang, ke arah bilik aku. Spontan aku mengalihkan badan dari celah-celah pintu tadi.
“Nanti aku fikir...”
Aku tersandar pada pintu mendengar jawapan daripada bos Mail.
“Bos nak lepaskan dia? Kalau dia report polis macam mana?” suara Mail masih lagi memenuhi ruang rumah kecil itu. aku menelan air liur beberapa kali. jangan kata dia nak…bunuh aku?
“Aku cakap nanti fikir. Dah, tidur!”
            Dan Mail terus menutup mulut.


AKU TERSEDAR DARI tidur buat kesekian kalinya. Gebar yang menutup separuh badan aku tolak kebawah. Bila malam, sejuk dia lain macam. Tapi masih, aku tak boleh nak tidur. Aku bangun dan bersila sambil melebarkan pandangan tanpa arah. Bias cahaya dari luar menjadikan bilik kecil ini suram.
            Rimas. Melekit. Kotor.
            Comforter baru sikitpun tidak membuatkan tidur aku lena. Perlahan-lahan aku bergerak ke arah pintu yang tertutup rapat. Pemegang pintu itu aku tarik perlahan.
            Tapi hampa, sikit pun pintu tak bergerak dek dikunci dari luar.
            Apa malang nasib aku. Setahun tak bercuti, bila dapat cuti kena culik pulak. Dan yang paling parah, bila dah jumpa calon sesuai, peluang terlepas macam tu aje.
            Dan, dah tiba masanya aku tukarkan status bujang yang aku sandang selama 29 tahun ni ke ‘berkahwin’.
            Kalau si Mail tak culik aku…
            “Kau kenapa?”
            Aku menjerit kecil, refleks. Jantung hampir gugur jatuh ke lantai. Pintu yang aku cuba buka tadi dikuak dari luar, terjengul wajah bos Mail di muka pintu. Seperti biasa, air mukanya sedikitpun tak dapat aku agak.
            Marah ke dia?
            “Ma…maaf…” aku yang tersandar pada dinding bersebelahan pintu menjawab soalannya dengan getaran yang tak dapat dielakkan. Ya, aku sangat takut!
            “Kau nak pergi mana?”
            Aku diam. Berkali-kali aku menelan air liur, dan membetulkan suara. Mati aku kalau dia tahu aku nak lari.
            “Kau nak lari?”
            Laju aku menggeleng. Mengingatkan amaran dia siang tadi, perut aku jadi kecut. Macam mana kalau sampai bila-bila dia tak percayakan aku? Aku tak nak di kurung di sini sampai bila-bila.
            “Nak guna tandas?” soalnya lagi. Kali ini, kepala aku laju aje mengangguk. Rasanya tak ada alasan lain lagi yang lebih logik dari tu.
            Aku nampak dia mengela nafas berat sebelum membuka pintu seluas-luasnya. “Kenapa tak panggil?”
            Aku masih lagi membisu. Aku mula bangun sambil memerhatikan segenap isi rumah kecil ini. Mail yang sedang nyenyak tidur di atas kerusi kayu aku pandang sekilas sebelum kembali memandang wajah bos dia.
            “Er…awak ada baju lain tak?”
            Keningnya terangkat tinggi. “Nak mandi?”
            Aku mengangguk. Aku tahu ini bukan masanya untuk fikirkan selesa atau tak sebab bila-bila masa aje aku boleh dibunuh.
            Tapi, selagi aku tak mandi, memang aku tak boleh tidur.
            Dan…aku sendiri tak tahan dengan bau pakaian aku sekarang.
            “Kau pergi tandas dulu. Nanti aku bawak.” dia terus meninggalkan aku sendiri di hadapan bilik.
            Dia tak takut aku lari ke?
            “Tandas dekat dapur. Belah kanan kau tu.” laungnya perlahan.
            Kelibatnya hilang ke dalam bilik besar. Pelbagai idea muncul dalam kepala. kalau aku lari sekarang, dia takkan sedar, kan?
            “Jangan cuba nak lari. Sekali kau lari, selamanya aku tak percayakan kau.”
            Kaki kanan yang baru sahaja ingin melencong ke pintu besar terus terkaku. Aku mengeluh berat. Suara tenang bos Mail dari dalam bilik membuatkan niat aku terbantut.
            Aku sedar, ini bukan filem.
            Ini bukan drama.
            Sekali aku lawan arahan penculik, memang tak akan ada maaf.
            Dengan perasaan yang berbaur, aku gagahkan juga untuk ke bilik air. Betul kata bos si Mail tu. bilik air kecil ni memang dipenuhi simen kiri kanan atas bawah. Memang tak ada ruang langsung hatta setengah inci.
Kalau ada pun, dekat bawah pintu. Lipas nak masuk pun tak muat agaknya.
Aku mencari-cari suis lampu tandas yang tidak kelihatan di mana-mana bahagian dinding.
Dahi berkerut tanpa dipinta. Takkan aku nak mandi dalam gelap, kot?
Pili air dibuka juga dengan berat hati. Kalau. Pintu masih dibiarkan terbuka sedikit, membenarkan cahaya masuk.
Leka bermain air dengan jari jemari, pintu diketuk dari luar. Laju aje aku berpaling ke belakang. Bos Mail menghulurkan tuala, baju T lengan panjang dan seluar tracksuit dengan sebelah tangan.
“Lampu rosak.” Ujarnya sepatah.
Mata aku menangkap tanda harga yang terlekat pada baju dan tuala sebelum aku mencapai kesemuanya. Pintu tandas ditutup kemas. Dan sekarang, keadaan tandas gelap gelita!
Baju dan tuala yang masih bertanda harga itu aku pandang dalam cahaya samar-samar dengan perasaan yang sukar untuk aku ungkap.
Dia baru beli semua ni?
“Awak,” mulut bersuara tanpa sedar.
“Apa dia?”
Aku menarik nafas dalam-dalam sambil menyangkut pakaian yang diberinya tadi pada paku-paku yang dipaku dalam bilik mandi.
“Terima kasih.” Ujar aku perlahan.
“Hmm.”
“Boleh tunggu dekat luar tak?”
Memang tak ada cara lain. Buatnya tiba-tiba ada entiti lain yang muncul dalam bilik air ni macam mana?
“Saya takut.” Sambung aku lagi. Aku menggigit bibir sendiri, tak percaya dengan apa yang aku cakap.
Wahai Naurah, dia tu penculik. Dan mungkin pembunuh, mungkin jugak perogol! Takkan kau nak suruh dia tunggu depan tandas, teman kau mandi? Heh. Kerja gila!
“Aku ada je dekat luar ni.” jawab dia perlahan.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku tahu dia takkan curi-curi tengok. Kalau dia intai sekalipun, memang gelap gelita!
Pili air ‘hujan’ aku buka, membiarkan air membasahi baju dan skirt yang aku pakai. Selesa.
Sungguh! Tak pernah aku rasa nikmat mandi macam ni!
“Sekarang pukul berapa?” sengaja aku mencari topik, nak pastikan yang dia betul-betul temankan aku di luar tandas.
“Dua setengah.” Pendek dia menjawab.
Aku diam lagi. Air sejuk dari pili aku biarkan menuruni kepala, rambut badan dan kaki.
“Kenapa awak tak tidur lagi?” soal aku lagi. Tangan dibawa ke serata badan, menggosok kotoran yang melekat dari siang tadi.
Nak cari sabun pun tak nampak. Syampu apatah lagi. Berus gigi pun tak ada…
“Kau kenapa tak tidur?” soalnya kembali.
Tangan aku yang meraba mencari sabun terhenti. “I’ve been kidnapped, remember?” laju aje aku menjawab.
“Maaf pasal tu.”
Aku terdiam mendengar nada suaranya. Dia…ketawa? Apa? ingat kelakar sangat ke bila kena culik?
“Lepaskan saya esok, please…?” aku masih cuba memujuk. Aku tahu esok mereka akan culik anak Dato’ tu. Dan aku, memang tak ada gunanya lagi.
“Maaf. Aku masih tak percayakan kau.” Suaranya kembali ke nada asal. Spontan aku mengeluh.
Pili air aku tutup rapat sebelum mencapai tuala yang tergantung. Laju aje aku menukar baju yang basah kepada persalinan yang baru dibeli tadi. Lega. Selesa! Bila mengingatkan pakaian dalam yang basah dan tak ada ganti aku terus meletakan tuala atas kepala dan menyelimut tubuh sendiri.
Langkah selamat daripada terdedah pada bahaya yang tak ada siapa boleh duga. Pakaian dalam yang turut sama basah aku selitkan ke dalam tuala. Nak jemur dalam bilik nanti.
Perlahan-lahan aku membuka pintu tandas dan melangkah keluar dengan persalinan baru. Bos Mail tadi masih duduk di atas kerusi meja makan, membelakangi aku.
“Dah siap?” soalnya tanpa memandang. Surat khabar ditangannya dilipat kecil.
Aku mengangguk walaupun aku tahu dia tak nampak. “Dah. Thanks.”
“Hmm.” Surat khabar tadi diletakkan di atas meja. Dia bingkas dari kerusi dan terus ke bilik kecil dimana aku dikurung tadi. “Baju kau tadi mana?”
“Dalam tandas. Esoklah saya cuci.”
“Tak payah. Kejap lagi aku nak buang.”
Mata aku membulat pada dia. Nak buang? Gila? Baju tu…skirt tu…Baru aje aku pakai beberapa kali. Takkan nak buang kut! Dahlah mahal aku beli onilne! Kena bayar kos postage lagi…
Aku terus berpatah balik ke bilik air untuk mengambil baju tadi. Menyesal pulak aku basahkan tadi.
“Tak payah.”
Tangan kanan aku ditarik ke belakang.
“Kalau orang lain tahu kau ada dalam rumah ni, aku tak boleh jamin keselamatan kau.” Dia menerangkan senafas. “Baju tu, aku akan buang. Kau duduk dalam bilik tu diam-diam.” Sambungnya lagi.
Lidah aku terus kelu. Keselamatan aku tak dijamin? Kenapa? Siapa pulak yang nak bunuh aku selain Mail dan bos dia ni?
“Kau dengar tak?”
“Dengar…” aku menjawab perlahan.
“Sekarang, kau tidur je. Selagi aku tak percayakan kau, aku tak boleh lepaskan kau. Maaf.”
Aku mengeluh perlahan. Dah banyak kali dia ulang pernyataan yang sama. Aku sendiri tak tahu macam mana lagi nak buat supaya dia percayakan aku. takkan nak tunggu aku berjanggut dekat sini, kenal hati budi baru nak percaya?
“Satu lagi,”
Kaki yang baru sahaja ingin melangkah masuk ke dalam bilik terhenti. Laju aku mengangkat muka, memberanikan diri memandang wajah seorang lelaki yang belum pun aku tahu namanya. “Apa lagi?”
“Tu… nak aku buang jugak ke?” dia memuncungkan bibir ke lantai. Aku terngaga luas melihat pakaian dalam yang aku sorokkan tadi terjatuh ke lantai.
Oh em gee!
Macam mana boleh terjatuh ni?!
Nak tak nak, aku capai juga dari lantai dan terus masuk ke dalam bilik. Dahi yang tak bersalah aku tepuk beberapa kali.
Ya, malu.

Argh! Aku nak keluar dari tempat ni!