Saturday 16 December 2017

Sembang Santai Bersama KPDNKK

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 14 Disember lepas, aku berpeluang untuk turut serta dalam program Santai Bersama Menteri KPDNKK. Antara isu hangat yang diperkatakan adalah isu harga barang dan kos sara hidup dan isu ini adalah sangat penting disebabkan sekarang ini sebab kenaikan harga barang memang melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

Menteri yang bertanggungjawab dalam masalah ini adalah Dato' Seri Hamzah bin Zainudin iaitu menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan. Konsep sembang santai ini baik untuk perbincangan antara pengguna dan menteri untuk membincangkan isu semasa yang berkait dengan masalah kepenggunaan di Malaysia. 

Dato' Seri Hamzah bin Zainudin

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menteri dan kakitangan kementerian mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu rakyak Malaysia dalam menghadapi masalah ini dalam semua sudut. 

Dalam pada itu, terdapat barang- barang keperluan asas seperti gula, minyak masa, beras, LPG dan tepung diberikan subsidi oleh kerajaan. Oleh itu, jika ada peniaga yang tidak mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan, pengguna boleh melaporkan kepada pihak yang berwajib.

Bagi barang-barang basah seperti ikan, ayam, sayur, daging dan sebagainya, kerajaan telah bersetuju, melalui Kementerian Pertanian dan Industri dan Asas Tani serta agensi-agensi LKIM dan FAMA, akan memerangi orang-orang tengah yang rakus menaikkan harga untuk barang-barang tersebut.

Banyak sebenarnya bantuan yang pihak kementerian ingin cuba bantu rakyat Malaysia dalam menangani isu kepenggunaan dalam negara dan ada juga beberapa applikasi dan cara yang boleh kita guna sebagai pengguna di Malaysia untuk memudahkan kerja kita juga. Antaranya adalah 

Ez ADU KPDNKK




"Ez ADU adalah satu aplikasi peranti pintar mudah alih yang dibangunkan oleh KPDNKK yang membolehkan pengguna untuk membuat sebarang aduan terus kepada KPDNKK supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. - KPDNKK"

Di applikasi ini, pengguna boleh membuat sebarang aduan ataupun laporan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan penyelewengan harga atau lain-lain isu kepenggunaaan yang laporan ini akan terus diajukan pada pihak Kementrian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan. 


Menurut KPDNKK, pengguna sering ditipu mengenai:-

Penipuan Perkhidmatan
Penipuan Harga
Penipuan Transaksi Internet
Jualan Bahan Petroleum
Tiada Tanda Harga
Bengkel Kenderaan Bermotor
Pekhidmatan Telekomunikasi
Penipuan Gores Dan Menang
Penipuan Perjanjian Sewa Beli
Penyelewengan Jualan Langsung

Jika pengguna tidak berpuas hati dengan harga atau kualiti barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, pengguna boleh merujuk kepada KPDNKK melalui:
Talian bebas tol (1-800-886-800) atau portal rasmi,  http://e-aduan.kpdnkk.gov.my/ selain melalui apps Ez ADU KPDNKK

Satu lagi applikasi yang dapat menolong pengguna menjadi pembeli yang bijak adalah dengan applikasi

PRICE CATCHER




Mobile apps ini diwujudkan untuk membantu pengguna menjadi pengguna bijak dalam membeli barangan harian dan dalam masa yang sama, ini boleh menjimatkan perbelanjaan untuk barangan yang sepatutnya.

Price Catcher membolehkan pengguna membuat semakan dan perbandingan harga terlebih dahulu di kawasan sekitar. Jadi, pengguna akan lebih bijak membeli di kedai atau pasaraya yang menawarkan harga baranggan dengan lebih rendah. 

Memang boleh berjimat!

Kesimpulan dari sembang santai malam itu, memang banyak manfaat yang boleh kita dapat jika kita mengikut saluran yang betul. Perkongsian pada malam itu juga bermanfaat bagi mengetahui apa yang dirasai pada sisi pengguna dan juga pada sisi pihak kementerian. 

Dalam dunia yang makin mencabar ini, pengguna diharap bijak untuk berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan.

Bai!



Monday 20 November 2017

Cafe Harry Potter Di Malaysia?

Assalamualaikum dan hai!

Balik kampung ku sayang minggu lepas, aku sempat singgah dekat Hedwig Books & Cafe dekat Kubang Kerian Kelantan. Itu pun unplanned sebab aku dengan kawan aku sorang ni tak tahu mana nak pergi. Haha!




Jadi, bila teringat yang dua tiga minggu ni ada saja orang share pasal cafe bertemakan Harry Potter tu, terus je aku bagi cadangan untuk ke sana. 

Hedwig Books & Cafe ni terletak betul-betul depan HUSM Kubang Kerian. Cafe dia sebaris dengan Dominos Pizza. Level 1. Jadi kalau korang tengok belah bawah je, memang tak perasan. Kena dongak sikit =)



Masuk je ke dalam, memang kagum jugaklah dengan hiasa yang dia orang buat. Peminat Harry Potter confirm teruja bila sampai sini. Dari jubah, penyapu terbang, cermin mata harry potter, magic wand, buku dan macam-macam lagilah dari cerita Harry Potter, ada dekat sini. 


Antara props yang customer boleh pakai untuk bergambar




Yang menarik lagi, nama makanan dan minuman dekat sini pun pakai nama watak-watak dalam Harry Potter. Memang all out Harry Potter habis!

Seronok jugaklah lepak dekat sini. Ramai juga datang untuk buat kerja ataupun untuk makan dan bergambar dengan props yang disediakan. Kita orang pun memang tak lepaskan peluang untuk bergambar dengan props yang ada. 

Kalau malu memang rugilah. Bukannya hari-hari dapat pakai jubah Gryffidor kan?

Oke, jom tengok gambar kitorang dekat sana!































Bila dekat library Hogwarts pun ada novel kau =)



Sebagai peminat Harry Potter, memang aku kagumlah dia orang dapat idea untuk buat cafe tema ni. Sebab bila aku post dekat media sosial pun, ramai yang ingat aku dekat luar negara, bukan dekat Malaysia.

Jadi, kudos untuk korang. Makanan dan kopi pun sedap.

Kalau korang ada dekat Kelantan, bolehlah datang sini lepak-lepak dengan kawan. Memang best!


Jika Ini Cinta [Bab 10]

BAB 10




“TAK JADI KAHWIN?” Suara Encik Umar naik senada.

Puan Anisa pula mengucap panjang di kerusi.

Raut wajahnya sekarang penuh dengan pelbagai rasa. Anak mata tepat memandang wajah anak bongsunya yang masih tunduk dari tadi.

Najwa sekadar mengangguk. Langsung dia tak berani nak bertentang mata dengan abahnya. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata yang mungkin bila-bila masa saja akan pecah.

“Izzat nak batalkan perkahwinan kami, abah.” Senafas dia menuturkan. “Dia cakap nanti dia datang rumah untuk bincang...”

“Kalau nak batalkan, nak bincang apa lagi?” Encik Umar terduduk di atas kerusi. Perlahan-lahan dia meraup wajah sendiri. Cuba bertenang. Baru saja dia nak keluar rumah untuk uruskan hal-hal khemah yang akan dipasang di luar rumah. tiba-tiba ini pula berita yang dia dapat.

“Lagi dua minggu majlisnya. Kamu berdua memang betul-betul dah buat keputusan ke?”

Anggukkan Najwa bagaikan menghancurkan lagi harapan abahnya. Terus saja Encik Umar membisu. Fikirannya sarat dengan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.

“Adik tak cuba ke pujuk Izzat? Takkanlah bergaduh sikit nak batalkan terus pernikahan?” Kali ini Puan Anisa pula menyampuk. Tangan anak bongsunya itu digengam kemas.

“Dia dah tak nak adik, ma.” Setitis air mata gugur juga tanpa diseka. “Maaf sangat sebab terpaksa buat keputusan ni. Tapi adik tak boleh nak buat apa dah untuk selamatkan hubungan kami.” Tersekat-sekat dia meluahkan rasa hati.

“Kenapa baru sekarang, dik? Kenapa lepas setahun bertunang baru dia nak putuskan?” soal Encik Umar lembut. Dia sendiri buntu dan langsung tak jangka ini akan berlaku.

Najwa ketap bibir, menahan pelbagai rasa yang ada. Hati mama dan abahnya dah cukup hancur bila tahu yang perkahwinan dia tak jadi. Dia tak sampai hati nak bercerita tentang kanser yang dia ada.

“Mama dah cakap jangan bertunang lama... mama dah pesan banyak kali suruh cepatkan tarikh pernikahan...” Suara Puan Anisa tenggelam timbul menahan esakan. Nampak saja air mata di pipi ibunya, Najwa hampir meraung. Cepat-cepat dia memeluk si ibu erat.

Cuba tenangkan kesedihan si ibu dan juga pinjam kekuatan.

“Maafkan adik, ma. Maafkan adik. Adik tak ada niat pun nak malukan keluarga kita.” Esakan Najwa dan ibunya bergabung.

Encik Umar yang memandang dari jauh hanya mampu mendiamkan diri. Sepanjang pertunangan Izzat dan Najwa, Izzat langsung tak ada cacat cela. Semua tentang bakal menantunya itu elok saja di matanya.

“Adik minta maaf, bah. Adik pun tak nak benda ni jadi.”

Mata Najwa yang membengkak dek mengangis terlalu lama dipandang lama. Rasa marah yang membuak tadi tiba-tiba bertukar menjadi sayu.

“Tak apalah. Kalau itu kesudahannya, abah reda. Nanti suruh Izzat datang dengan keluarga dia. Kalau dia boleh datang minta adik dulu dengan cara elok, suruh dia putuskan dengan cara elok juga.” Encik Umar cuba bersuara tenang.

“Adik... kamu berdua bergaduh sebab apa? Takkan ini saja jalan penyelesaian yang ada? Takkan kamu tak boleh mengalah pujuk dia. Dua minggu je lagi, dik. Dua minggu je lagi tarikh nikah kamu berdua...”

“Anisa, sudah.”

Belum sempat Najwa membuka mulut, suara abahnya terlebih dahulu menyampuk.

“Orang dah tak nak anak kita, takkan awak nak suruh anak kita pulak terhegeh-hegeh pujuk untuk terima dia?”

Puan Anisa terdiam. Dalam diam, dia sendiri mengakui kata-kata suaminya. Namun bila difikirkan malu yang bakal mereka sekeluarganya terima, dia jadi hilang punca.

“Tapi semua dah sedia, bang. Macam mana kita nak batalkan semua ni? Pelamin, caterer, jemputan semua...”

“Semua tu boleh diuruskan, Nisa. Awak jangan nak rendahkan anak kita pada orang.” Encik Umar bangkit dari kerusi dan terus melangkah keluar dari rumah.

Najwa tarik nafas panjang. Dari semalam, air matanya tersangat murah untuk Izzat. Dan bila melihat reaksi mama dan abahnya, hatinya makin hancur.

Ya Allah.

Kuatkanlah hati ini untuk tempuh apa yang jadi.



PAGI ITU, IZZAT datang sendiri berjumpa abah dan mama tanpa keluarganya. Najwa awal-awal lagi keluar ke butik. Tak sanggup rasanya untuk dengar dan saksikan apa yang jadi waktu Izzat berbincang abah dan mamanya.

Bersungguh-sungguh dia minta Izzat rahsiakan tentang penyakit dia. elum masanya lagi untuk mama dan abahnya tahu tentang kenyataan itu.

Sepanjang pagi, dia sekadar mendiamkan diri di dalam pejabat. Hanya sesekali saja dia keluar dari bilik bila dipanggil Nadrah ataupun Ros. Marisa juga sibuk dengan urusan rekaan beg baru di ruangan khas bersebelahan kaunter pembayaran.

Berita tentang putus tunang dah sampai ke telinga Marisa malam tadi. Sengaja dia minta Marisa dan suaminya balik ke rumah mama dan abah. Nak jelaskan hal sebenar.

Walaupun Najwa dah bersedia dengan pelbagai soalan, tapi kakaknya itu sekadar mendiamkan diri bila tahu perkahwinan dia dan Izzat tak akan diteruskan lagi.

“Kau tak terkejut?” soal dia malam tadi bila Marisa sikitpun tak beri apa-apa reaksi.

“Kan aku dah cakap, aku sebenarnya tak nampak Izzat tu sebagai suami yang baik untuk kau.” Ringkas saja jawapan Marisa dan terus membuatkan bibir Najwa terkunci rapat.

Waktu itu hanya dia dan Marisa saja di ruangan dapur dan yang lain-lain sibuk berbincang tentang apa yang akan dibuat seterusnya.

“Kau uruskan hal ni dulu. Bila dah ready nanti baru masuk kerja. Aku tak kisah.” Marisa tepuk bahu adiknya perlahan sebelum keluar ke ruang tamu.

Dan selepas itu, topik tak jadi kahwin langsung tak keluar dari mulut Marisa.

“Cik Najwa?”

Lamunannya terhenti bila suara Nadrah menyapa telinga. Sempat dia menjeling sekilas pada Marisa yang sibuk melakar sesuatu pada buku notanya.

“Ya Nad?”

Nadrah tersenyum-senyum melangkah ke dalam bilik sambil membimbit paperbag berwarna warni.

“Saya dan Ros nak bagi ni.” Paper bag di tangannya tadi disua ke depan. “Kami tak dapat nak dapat waktu cik nikah sebab waktu tu kami dah terbeli tiket nak pergi Sabah.” Nadrah sengih nipis.

Melihat bungkusan besar di dalam paper bag itu, air matanya mula berkaca. Nafas ditarik panjang sebelum dia melepaskannya perlahan. Sedaya upaya dia mencipta senyum yang ternyata tawar.

“Saya tak jadi kahwin.” Senafas dia menuturkan.

Wajah Nadrah di depan berkerut lebat. Tak berkelip dia memandang bosnya di hadapan. Masih tak percaya dengan apa yang dia baru dengar.

“Saya tak jadi nikah, Nad. Awak simpanlah hadiah tu. Terima kasih, ya.” Kali ini Najwa cuba senyum ikhlas. Kesian pula dia bila nampak wajah Nad yang dah serba salah.

“Er... sorry... cik... saya. Er...” Muka Nadrah dah kelam kelabu. Hadiah di atas meja kembali dicapai dengan sebelah tangan.

“It’s okay, Nad. Awak tak tahu. Sebab tu saya bagitahu.” Najwa senyum lagi.

“Cik, maaf sangat-sangat.”

Takpe.”

“Saya keluar dulu.”

Najwa sekadar mengangguk sambil menghantar langkah Nadrah keluar dari bilik dari ekor mata. Dia mengeluh perlahan tanpa sedar. Belum sempat dia kembali fokus pada laman Facebook Pages butik, telefon bimbit pula berbunyi nyaring menandakan WhatsApp baru masuk.


Babe, dah ada tema ke untuk bridesmaid nanti? Aku rasa kena beli yang dah siap la, senang. Nak jahit sekarang tak sempat dah.


WhatsApp daripada Ain membuatkan air matanya bergenang. Cepat saja diseka sebelum jatuh membasahi pipi.

Sebenarnya baru beberapa hari Ain wujudkan WhatsApp Group untuk para pengapit dia. Baru je dia gembira bila hampir semua kawan baik dia sanggup turun ke KL untuk jadi pengapit.

Dia lupa.

Bila keputusan untuk batalkan perkahwinan dibuat, urusan tu bukan lagi hanya urusan dia dan Izzat. Semua orang pun akan terbabit sama termasuklah kawan-kawan dah dia dah jemput sebelum ni.

Najwa kuatkan hati. Perlahan-lahan dia membawa jari berlari di atas skrin, membalas WhatsApp dari Ain.


I’m sorry. Aku tak jadi nikah.
Nanti aku explain


Wajah terasa kebas sebaik saja dia menjawab soalan Ain. Malunya hanya Tuhan saja yang tahu.

OPPO diletakkan jauh dari pandangan. Tak sanggup rasanya nak baca jawapan dari teman-teman yang lain.

Namun bila bertalu-talu WhatsApp baru masuk, nak tak nak, dia terpaksa semak juga.

Munirah
Hah? Serius ke babe?

Fatt
Kenapa Najwa? Betul ke tak jadi?

Ain
Korang, janganlah tanya lagi.
Kalau betul tak jadi, kita doakan je yang terbaik untuk Najwa.

Najwa
Betul. Tak jadi.
I’m sorry kalau korang dah minta cuti.

Ain
Ish. Kenapa nak sorry pulak.
It’s okay. Take your time.
Apa-apa nanti kau cerita je okey?


Terbabas juga air matanya menuruni pipi. Telefon pintar diletakkan ke atas meja. Tak mampu rasanya menjawab setiap soalan yang muncul.

Nasib baiklah dia belum lagi buat event di Facebook untuk jemput kawan-kawan yang lain.

Nasib baik juga dia terlalu sibuk untuk agihkan kad kahwin kepada semua orang. Baru beberapa orang saja yang dah dapat kad kahwin dari dia dan yang lain-lain, semuanya dari Izzat.

Dan sekarang ini, dia perlu mesej seorang demi seorang rakan yang dia dah jemput sebelum tarikh pernikahan.

Sakit dan perit. Ya. Tak tertanggung rasanya.

Namun bila difikirkan mama dan abah di rumah yang mungkin lagi malu, Najwa beristighfar panjang.  Dia kena kuat.

Takkan dia nak biarkan saja mama dan abah tanggung segalanya?



SEMUA URUSAN PEMBATALAN majlis perkahwinan dah pun selesai. Walaupun pada tarikh perkahwinan ada saja dua tiga tetamu yang datang bila berita pembatalan majlis tak sampai pada dia orang, namun tetamu tetap di layan seperti biasa.

Marisa yang cadangkan untuk teruskan saja guna khidmat katerer walaupun majlis dibatalkan. Bayaran penuh dah dibuat, jadi lagi rugi kalau makanan yang ditempat tak dapat seperti yang diminta.

Tetamu yang datang hari itu dijamu walaupun tiada majlis pernikahan. Makanan yang lebih pula diagih-agihkan ke beberapa buah surau yang berdekatan.

Dia pula masih memencilkan diri di dalam bilik bila ada dua tiga tetamu datang bertanya. Bukan sengaja nak lepaskan beban pada mama dan abah, tapi sepanjang hari badan dia terasa lesu dan sakit-sakit bahana stres yang teramat.

Sakit kepalanya juga tak berkurang walaupun dan banyak ubat tahan sakit yang dia makan. Sekarang ni, hanya rehat saja yang dia perlukan. Hati yang berbuku dengan pelbagai rasa dan cerita masih tak dapat diluahkan.

Sampai sekarang Nasrin masih mendiamkan diri.

Terkejut juga bila Auntie Hanan bagitahu yang Nasrin keluar negara atas urusan kerja. Itupun Marisa yang tanyakan semalam.

Takkanlah tempat yang Nasrin pergi tu langsung tak ada WiFi sehinggakan WhatsApp yang dia hantar tu satu pun tak sampai?

Tapi bila difikirkan balik, logik juga kalau Nasrin dah block nombor telefon dia dari senarai WhatsApp. Dia tahu marah Nasrin memang dikemuncak waktu dia di butik dulu.

Dan yang paling perit, untuk kesekian kalinya, Nasrin betul tentang Izzat.

Dia yang salah nilai.

Bilik yang dihuninya sekarang tiba-tiba terasa sesak membuatkan diri dia lemas dalam sunyi. Bila sakit kepala mula reda, perlahan-lahan dia mengatur kaki ke bawah, mencari abah dan mama yang masih sibuk melayan seorang dua tetamu yang datang.

Kotak-kotak cenderamata yang asalnya untuk diberi pada tetamu terbiar di sebelah tangg, di pandang sepi.

Cepat saja matanya menangkap kelibat abah yang berdiri di sebelah tempat letak makanan, mempersilakan tetamu makan. Mama pula sekadar duduk di meja makan bersama Mak Su Bihah yang datang dari Melaka pagi tadi.

Nasib baik ada Mak Su Bihah. Mama yang sebelum ni kecewa dengan keputusan dia sedikit sebanyak sudah bertenang dan makin terima kenyataan.

Langkahnya diatur ke arah abah sebelum lengan abahnya ditarik perlahan dari sekelompok tetamu senyap-senyap. Tiba di suatu sudut, lengan abahnya dilepaskan dan wajah tenang abahnya dipandang lama.

Bersalahnya dia bila terpaksa jadi anak yang memalukan keluarga.

“Abah...” Suara bagaikan tersekat di kerongkong bila memikirkan tentang keadaan abah sekarang.

Mesti abah malu sangat dengan jiran-jiran.

Encik Umar sekadar diam menumpukan perhatian. Masih menanti ayat seterusnya dari mulut Najwa.

“Lepas selesai semua ni, adik nak minta izin pergi bercuti.” Bibir diketap kuat. “Kalau abah izinkan, adik nak pergi sorang...”

“Abah izinkan.” Laju saja Encik Umar membalas. Perlahan-lahan dia tarik senyum, cuba ceriakan hati si anak.

Mata Najwa yang redup tadi kembali bersinar. Spontan tubuh abahnya dipeluk erat.

“Jaga diri.” Sambung abah dia lagi.

Sungguh, dia tak kuat nak hadap semua ni sorang-sorang.

Betullah. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walau dah cantik mana pun perancangan majlis perkahwinan yang dia dah atur, kalau ditakdirkan belum masanya, belumlah jawabnya.

Dan untuk sekarang, dia cuba untuk reda.

***

Monday 13 November 2017

Jika Ini Cinta [Bab 9]

BAB 9


SEJAK Nasrin keluar dari butik tempoh hari, sekali pun Najwa tak dapat berita tentang dia. Selalunya ada saja cerita dekat WhatsApp yang dia nak kongsi. Ada saja panggilan telefon dari dia walaupun topik remeh temeh.

Sesekali jumpa Auntie Hanan di rumah dia, segan pula nak tanya lebih-lebih pasal Nasrin. Pada Zarith yang selalu mengikut ibunya ke sana kemari juga dia segan untuk bertanya.

Dia dah hampir jadi isteri orang. Takkanlah sibuk cari lelaki lain pula?

Akhirnya, dia biarkan saja Nasrin hilang dari radar. Biarlah Nasrin dengan rajuk dia. Mungkin lepas ni Nasrin akan faham kenapa dia ambil keputusan ni.

Hari ini, lebih kurang dua minggu sahaja sebelum tarikh pernikahan. Marisa dan mama masing-masing sibuk dengan urusan hadiah untuk tetamu. Abah pula rasanya dah habis jemput jiran-jiran satu taman dan dia pula baru saja terfikir untuk wujudkan event di Facebook.

Malam itu, selesai menguruskan apa yang patut di tingkat bawah, Najwa naik ke bilik sendiri. OPPO dicari sebelum satu WhatsApp dihantar pada Ain. Kawan rapat waktu sekolah.


Nak jadi bridesmaid aku tak?

Send.

Dia mencipta senyum nipis. Dah lama dia teringinkan majlis perkahwinan yang ada ramai bridesmaid macam kebanyakan raja sehari zaman sekarang. Dulu waktu merancang perkahwinan dengan Izzat pun, dia ada sebut pasal nak bridesmaid ramai. Best men untuk Izzat pun dia nak.

Cantik je bila tengok dalam gambar.

Meriah pun meriah.


Nak!!!
Siapa lagi?
Nak nak nak!

Lebar terus sengihan dia bila baca jawapan dari Ain.


Geng kita dulu la. Munirah, Fatt, Ya. Lepas tu kawan-kawan uni aku dua orang. –Najwa
  
Cun! Seronoknya! - Ain

Kau tolong buatkan group ya. Apa-apa nanti aku bagitahu. - Najwa

Oraitto! - Ain.


Akhirnya dia hampir merasa salah satu impian dalam hidup;

Berkahwin dengan Izzat dalam majlis yang meriah dengan kehadiran kawan-kawan rapat.

Bibir menarik senyum nipis. Walau kadang-kadang hati rasa berbelah bahagi dengan keputusan sendiri, namun cepat-cepat dia tepis. Walau untuk seketika, dia nak juga rasa bahagia.

Kepala tiba-tiba terasa berdenyut kuat. Dia terus terlentang dengan tangan di kepala. Mata dipejam rapat, cuma menghilangkan rasa sakit.

Baru saja Izzat temankan dia ke hospital dua hari lepas untuk rawatan susulan dan beberapa ujian. Sengaja dia suruh Izzat tunggu dekat luar sewaktu Doktor Mahfuzah menerangkan tentang tumor yang makin membesar di kepalanya.

Sedikit demi sedikit dia mula terima kenyataan.

Walau apa pun yang jadi, hidup dia yang masih berbaki beberapa bulan ini mesti diteruskan.

Jam pada dinding dipandang sekilas sebelum dia membetulkan letak bantal di hujung katil. Baru pukul 11 setengah malam tapi mata dia terasa berat untuk dibuka.

Belum sempat dia baring dengan selesa, OPPO di sebelah bergetar kuat menandakan ada WhatsApp baru. Cepat saja jari jemari membuka peti WhatsApp bila nama Izzat terpamer pada skrin.

Senyuman nipis tercipta bila memikirkan yang dia dan Izzat akan temu saat bahagia tak lama saja lagi.

Najwa, maafkan saya.
Sungguh, saya tak tahu berapa kali saya fikir sebelum ambil keputusan untuk hantar mesej ni.
Sorry sebab saya rasa saya tak mampu nak pikul tanggungjawab untuk jadi suami awak. Saya betul-betul sayang awak. Tapi bila dapat berita yang awak dah tak boleh hidup lama, saya jadi keliru.
Maafkan saya sebab buat keputusan ni lepas setuju untuk nikah dengan awak. Saya sendiri akan jumpa mama dan abah awak untuk batalkan perkahwinan ni. I’m sorry.
Dalam hal ni, saya yang jahat.
Saya yang tak cukup baik untuk terima awak.
Maafkan saya, Najwa.
Saya bukan calon suami terbaik untuk awak.


Dia terus terduduk di atas katil. Terkesima.

Tangannya terketar-ketar memegang OPPO di tangan. Setiap bait perkataan yang ditulis Izzat makin kabur dari pandangan mata.

Allah!

Kepala terus terasa berpinar.

Air mata pula pecah tanpa dipinta.

Izzat sendiri yang hantar ni? Setelah berbakul dia kena marah dengan Nasrin sebab bela Izzat. Setelah berbakul nasihat Marisa bagi, dia tetap dengan keputusan sendiri. Tapi ini pula keputusan Izzat?


Dalam hal ni, saya yang jahat. Saya yang tak cukup baik untuk terima awak. Maafkan saya, Najwa. Saya bukan calon suami terbaik untuk awak.


Perkataan terakhir dibaca berulang kali. Mengharapkan di tersilap baca dimana-mana. Namun dia hampa.

Isi WhatsApp diterima masih tak berubah dan betul, Izzat tak nak terima dia sebagai isteri.
Ya Tuhan... Kenapa macam ni jadinya?



TENANG MALAM itu langsung tak setenang hatinya. Sepanjang malam dia menangis di dalam bilik. Entah apa yang dia ratapi pun dia sendiri tak pasti.

Macam-macam ayat yang cuba dia cipta untuk bagitahu pada mama dan abahnya nanti namun tak ada satu pun sedap didengar pada telinga.

Semua persiapan dah hampir siap, takkan sesenang itu je dia nak bagitahu tak jadi nikah?

Mengenangkan jawapan dari Izzat, hati dia dipaut rasa kecewa. Berkali-kali juga dia minta Izzat fikirkan balik keputusan dia namun jawapan Izzat tetap sama.

Dia tak boleh jadi suami yang baik untuk seorang pesakit kanser.

Najwa hampir meraung bila baca setiap jawapan yang dihantar Izzat. Nak tak nak, dia kena juga akur dengan permintaan Izzat.

Bakal pengantin tak sudi, takkanlah dia seorang sahaja yang ada di pelamin nanti?

Memikirkan itu saja dah buat dia hampir gila. Nombor telefon Nasrin dicari dari senarai contacts untuk meluahkan segala rasa.

Sebaik saja sebaris nama itu keluar di skrin, cepat saja dia menyambungkan talian.

Bunyi ‘tut’ menandakan telefon dimatikan membuatkan dahi dia berkerut lebat. Kalau nak dikira, inilah kali pertama dia telefon Nasrin selepas kes di butik tempoh hari.

Biarlah banyak mana pun Nasrin nak marah dia.

Dia sanggup dengar banyak mana pun kutukan dari sahabatnya asalkan dia dapat luahkan segala yang terbuku di dada.

Bila sekali lagi talian tak dapat disambung, Najwa menangis lagi. Nak menyesal pun dah tak guna. Dia buta dengan cinta yang Izzat janjikan. Dia terlalu harapkan Izzat untuk tenangkan hati yang berkecamuk kerana penyakit yang tak diundang.

 Tapi dia lupa, Allah lah yang sebenarnya sangat rindukan rintihan dia. Allah sajalah yang jadi tempat dia bergantung.

Najwa teresak sendiri.

Sekarang ni dia dah tak kisah dengan malu yang bakal dia tanggung.


Dia cuma berdoa agar hati mama dan abah kuat dengan berita yang bakal dia sampaikan nanti.



***

Thursday 9 November 2017

Astaka Morocco, Putrajaya - Permandangan Seakan Berada Di Luar Negara!

Assalamualaikum dan hai!

Minggu lepas aku ada kerja sikit dekat Putrajaya. Masa scroll FB waktu dalam ERL, ternampak pulak post pasal Astaka Morocco ni. Jadi, apa lagi, sepantas kilat aku google pasal Astaka Morocco dan wow!!!

Cantik weh!

Ini gambar aku. Bukan gambar yang aku google =)




Jadi, lepas saja selesai kerja di salah satu pejabat kerajaan di Putrajaya, aku terus gerak ke Astaka Morocco dengan bantuan Grab Car.. Hohoho. Mudah betul perjalanan aku sekarang ni bila ada Grab Car. Terima kasih untuk semua pemandu Grab Car di luar sana sebab permudahkan perjalanan kami.

Oke, habis pasal Grab Car. Berbalik pada Astaka Morocco ni, masa OTW ke sana, abang Grab Car tu ada tanya aku, apa yang ada dekat Astaka Morocco ni? Kenapa nak pergi sana?

Aku pon jawablah dengan jujur. Aku pun tak tahu ada apa. Baru nak terjah je ni. So, bila sampai je dekat pintu masuk, mula-mula aku kena tahan dengan makcik guard depan. 

Dia tanya nak masuk buat apa. Aku cakap je la nak jalan-jalan. Tengok dalam.
Pastu dia tanya lagi, ada nak buat photoshoot ke apa ke? Aku jawab lagi, tak. Nak ambil gambar pakai handphone Pakar Selfie Anda ni je. 

Barulah aku tahu yang kalau nak masuk sini untuk photoshoot apa-apa atau untuk iklan apa-apa, kena bayar. Berapa bayaran tu, tak pulak aku survey sebab lepas je makcik guard tu bagi masuk, aku terus masuk ke dalam.

Dan ya, view dekat dalam Astaka Morocco tu memang cantik wei!! Aku pergi sana hari Jumaat lepas orang solat Jumaat. Masa tu tak ada orang pun. Seronok lah aku snap gambar sana sini pakai OPPO. Memang tak bawa camera besar pun.





































Haaa... cantik, kan? 

Kalau cakap betul-betul ada dekat Morocco pun orang boleh percaya. 

Bila dah rasa lama sangat aku dalam tu, aku mula nak gerak balik. Tengok je dekat luar, dah ramai orang yang berpusu-pusu masuk sini. Kebanyakannya untuk photoshoot gambar pre-convo dan wedding. Memang apa-apa photoshoot dekat sini pun sesuai sebab lawaaaaa.























Habis lah sudah kes terjah aku. Memang tak puas sebab kawasan dia tak adalah besar mana. Tapi setiap ceruk dan sudut bangunan dekat sini memang memukau. 







Sebelum aku lupa, tiket nak masuk dalam ni RM3 seorang. Untuk masuk dalam ni je. Kalau nak jalan dekat luar memang tak payah kena bayar. Tapi, masuk ajelahhh. Tak rugi pun. Betul. Nak-nak pulak bila nampak setiap ukiran ayat-ayat Al-Quran memenuhi dinding Astaka Morocco ni. Overal, puas hatilah. 4/5 bintang sebab tak puas pusing. Hohoho


Dekat mana Astaka Morocco ni?
Dalam Taman Botani je. Kalau guna Google Map pun boleh sampai =)