Thursday 4 September 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 22]


HARI KE DUA dekat Palembang cukup membuatkan aku longlai kepenatan. Yang sebenarnya aku sendiri tak tahu  kenapa cepat sangat aku penat sejak dua menjak ni. Takkanlah sebab aku dah makin tua.
Aku belum lagi cecah 30 tahun kot!
Aku mengeluh tanpa sedar. Jam hampir bergerak ke angka 6 petang. Dekat sini, pukul enam pun dah gelap gelita. Matahari cepat terbenam.
Aku membuang pandang ke arah Mbak Rita yang asyik bersembang dengan pemandu bot dan beberapa orang staff perlancongan di sini.
Itulah agaknya kerja pemandu pelancong tiap-tiap hari. Tegur dan buat baik dengan semua orang.
Kami sebenarnya dalam perjalanan balik ke jeti dari Pulau Camaro, pulau yang berada di tengah tengah Sungai Musi. Sungai yang  membelah Palembang dan satu-satunya cara nak menyeberanginya dengan jalan darat adalah dengan merentasi Jambatan Ampera tu.
Aku pandang ke belakang. Kak Ina sudahpun leka dengan gajet di tangan. Che Faisal dan Fadil pula rancak berborak sesama sendiri.
Pandangan aku kembali pada Sungai Musi yang luas itu.
Waktu ini bot melewati kawasan rumah-rumah kayu yang dibina di tebing sungai. Aku hanyut sendiri melihat deretan rumah kayu yang kebanyakannya dahpun usang dimakan usia.
Semua rumah ada jeti dan bot kecil sendiri. Kepala terus teringat kampung Aspalela dalam cerita Duyung. Lebih kurang macam tu lah keadaanya, bezanya, kampung Aspalela dekat laut.
Bertuahnya aku dilahirkan di kampung yang ada dekat atas darat. Bukan dekat tepi sungai…bukan dekat laut…
"Aih, sejak datang sini asyik termenung je..."
Laju aku membawa kepala ke kiri. Che Faisal menyusun gigi di tempat duduk sebelah, sengih. Bila masa pulak dia datang sini entah.
Tak dengar pun dia jalan ke sini? Tapi macam mana nak dengar pun, enjin bot ni punyalah kuat.
"Tak adalah. Mengantuk. Itu yang hanyut tu." Jam pada tangan aku jeling sekali lagi. Kenapa entah aku rasa bot ni jalan perlahan sangat.
"Dah lama dengan Majalah Rilaks?" soal dia tiba-tiba. Memang lari topik sungguh.
"Dah tiga tahun kut."
Che Faisal mengangguk perlahan. "Sebelum ni kerja apa?
"Call centre."
"Oh..."dia angguk lagi.
Keadaan kembali sunyi. Mungkin dia pun dah tak tahu nak tanya apa bila aku jawab sepatah-sepatah. Hanya bunyi enjin bot yang membelah sungai memenuhi suasana. Aku kembali membuang pandang ke arah deretan rumah kayu tadi.
Kali ini anak mata terpaku pada kelibat di tebing sungai. Satu persatu gerakannya menjamu mata. Aku tahu apa yang dia buat.
Dia tengah berwudhuk.
Nak solat Maghrib.
Entah kenapa nafas aku terasa sesak tiba tiba.
Bot semakin melepasi rumah lelaki yang berwudhuk tadi. Dan kali ini, pandangan aku jatuh pula pada seorang wanita separuh umur dan anak dia dekat tangga jeti.
Juga berwudhuk.
Aku menarik nafas dalam dalam.
Sesaat kemudian, azan Maghrib mula berkumandang entah dari masjid mana. Tiba tiba aku terasa ada batu besar menghempap kepala. Spontan aku membawa tangan ke dahi.
Ya Allah! Apa yang aku buat selama ni?
"Eh, kenapa? Migrain?"
Aku menggeleng dengan senyuman tawar.
Ini bukan migrain. Ini kes malu pada diri sendiri. Dia orang yang tinggal dekat rumah usang, dekat tepi sungai lagi, dengan terpaksa wudhuk dengan air sungai...
Tak rasa terbeban pun nak solat.
Aku?
Aku duduk dekat rumah batu yang selesa. Ada paip air sendiri, tak perlu nak ceduk air sungai yang entah bersih entah kotor.
Dekat sini pulak, duduk dekat hotel 5 bintang.
Kiblat pun pihak hotel dah tunjukkan dekat siling.
Dan masih, aku tak solat jugak…
"Naurah, awak okay ke tak ni?"
Sekali lagi aku menggeleng. Wajah Che Faisal yang berkerut aku pandang lama.
Nak tak nak, aku menjawab juga, "Okay." Sedaya upaya aku menarik bibir untuk senyum.
Ya, aku okay. Setakat ni aku okay...
Tapi macam mana kalau Allah tarik nyawa aku lepas ni? Macam mana kalau bot ni tiba-tiba tenggelam?
Sempat ke aku nak solat?
…dan akan ‘okay’ ke aku waktu tu?


SAMPAI AJE DEKAT hotel, aku terus ke bilik sendiri. Walaupun aku terdengar suara Che Faisal memanggil, saja aku pekakkan telinga.
Aku nak naik cepat. Aku nak solat.
Kad kunci hotel aku sua pada pintu. Laju aje aku membuka pintu bila bunyi ‘titt’ kedengaran. Segala jenis beg yang aku galas dari siang tadi aku lemparkan ke katil sebelah.
Untung ada dua katil bujang dalam satu bilik macam ni. Senang aku nak sepahkan barang tanpa kacau tempat tidur aku.
Tanpa menunggu hatta sesaat, kaki dibawa ke bilik mandi.
Aku kena mandi. Aku kena sucikan diri.
Entah kenapa aku rasa diri ni kotor sangat. Banyak dosa. Dosa yang selama ni Allah tutup.
Pili air hujan aku buka perlahan. Sengaja aku biarkan air sejuk membasahi muka tanpa alat pemanas.
Kalaulah dosa aku tu berbau…agak-agak, ada orang tak yang nak dekat dengan aku?
Sekali lagi aku mengeluh.
Lama aku membiarkan diri dalam bilik air. Selesai mandi, aku mula mengambil wudhuk dengan rasa malu pada diri sendiri. Aku tahu dah lama sangat aku tak berwudhuk. Solat pun bila ada orang je.
Dekat kampung, sebab malu dekat abah.
Dekat pejabat pun jarang-jarang…
Tangan masih lagi tenang membasahkan kepala, telinga dan kaki. Pergerakan aku terhenti tiba-tiba bila teringatkan sesuatu.
Aku mana bawak telekung!
Sikit lagi aku nak tepuk dahi sendiri. Teruk sungguh kau ni Naurah! Berbakul bakul aku menyumpah diri sendiri. Keluar aje dari bilik mandi, aku menyarung baju tidur dan mengatur langkah ke bilik sebelah, bilik Kak Ina.
Malu lain cerita.
Yang penting sekarang, aku kena solat.
Berkali-kali loceng pada dinding sebelah pintu itu aku tekan, tak juga ada jawapan. Aku berkira-kira untuk berpatah balik saat pintu bilik terbuka luas. Terjengul mula Kak Ina dengan telekung putih di kepala.
“Sorry, Naurah akak solat tadi. Kenapa?”
Aku sengih lebar, tayang gigi. Tak tahu nak mula macam mana sebenarnya.
“Jomlah masuk.”
“Eh, tak apa kak. Saya datang er…” aku terhenti sesaat. Ah, lempar aje malu ke tepi. Cakap Naurah, cakap! “Saya nak pinjam telekung akak, boleh?”
Sedaya upaya aku tebalkan muka. Tolonglah Kak Ina, janganlah tanya kenapa aku tak bawak. Janganlah tanya kenapa aku tak ada telekung, aku tak nak menipu…
…dan, segala andaian aku salah. Aku nampak Kak Ina tersenyum nipis sebelum menjawab, “Okay, kejap ya.”
Automatik aku menarik nafas lega. Selesai satu perkara.


AKU BANGUN KEESOKKAN harinya dengan perasaan baru. Walaupun sekali lagi aku terpaksa tebalkan muka ketuk bilik Kak Ina untuk solat subuh, tapi sikit pun aku tak rasa tertekan.
            Mbak Rita cakap semalam, program bermula pukul 12 tengah hari. Tapi awal-awal pagi lagi aku dah bersiap. Lepas sarapan nanti aku kena pergi pasar, cari barang.
            Barang yang setiap orang bernama wanita Islam macam aku kena ada.
            Telekung.
            Habis aje bijirin cornflakes dengan susu untuk sarapan, aku terus keluar dari hotel, nak cari teksi.
            Belum sempat kaki keluar ke jalan besar, mata menangkap susuk tubuh yang dikenali di hadapan pintu hotel.
            Che Faisal.
            Dengan rokok di tangan.
            Aku menggeleng dalam hati. Dia orang ni kalau tak merokok lepas makan, tak boleh ke?
            Haih.
            “Nak pergi mana?”
            Belum sempat aku buat-buat tak nampak, dia terlebih dahulu menegur ramah, macam selalu.
            “Pasar 16.” Aku senyum nipis, berbahasa.
            “Buat apa? sorang je? Kak Ina tak ikut?”
            “Sorang. Kak Ina tak turun makan lagi tadi.” kening aku terangkat tinggi melihat kerutan dahi dia. Dah kenapa dia nak pandang aku macam tu? Macam pelik sangat je nampak aku sorang-sorang dekat bawah ni.
            “Bahaya tu. Awak tu perempuan… lagi pulak, pernah pergi ke kat sana?”
            Dengar aje soalan dia, aku mencipta sengih lebar sambil menggeleng. Memang pun tak pernah sampai sana. Semalam pun, kami lalu aje dengan bas. Pasar 16 terletak betul-betul sebelah Jambatan Ampera.
            Semalam memang tak sempat pergi sana sebab jadual padat.
            Harini pun tak ada tentatif ke sana.
            Dekat situ aje yang otak aku boleh fikir nak cari telekung.
Lagipun, sampai bila aku nak pinjam telekung Kak Ina?
            Jadi, nak tak nak, memang aku kena pergi sekarang. Ingatkan tadi nak redah je naik teksi, berlakon jadi orang Palembang dengan pakcik teksi.
            Tapi awal-awal lagi kena tahan dek pengawal tak berbayar depan hotel ni. heh.
            “Kejap,” batang rokok yang sudah lebih separuh dihisap dipenyekkan ke atas tong sampah. “saya naik ambil beg duit.”
            Aku terdiam sesaat. Apa dia cakap? “Hah?”
            “Tunggu sini, jangan pergi lagi. Saya teman awak.”
            “Eh, takpe takpe.” Laju aku menahan. Takkan nak susahkan dia pulak?
            “Dah tu, awak nak pergi sorang-sorang je? No… no… kalau jadi apa-apa dekat awak, apa yang saya nak jawab pada Melati nanti?”
            Dah kenapa nak kaitkan Kak Melati dalam hal ni pulak…?
            Belum sempat aku menjawab, dia sudahpun hilang ke perut lobi, menuju ke lif. Aku melepas nafas perlahan. Kalau nak diikutkan hati, aku tak nak pun tunggu dia.
            Tapi, betul jugak apa yang dia cakap. Ini bukan kampung aku. Ini bukannya Malaysia. Ini Palembang.
            Tempat aku tak biasa.
            Lagipun, tak salah kan kalau ada bodyguard teman, kan? Kan?
           

SAMPAI SAJA DI Pasar 16, aku terus masuk ke dalam tanpa mempedulikan Che Faisal di belakang. Sikit lagi aku nak menjerit kegembiraan bila nampak pelbagai jenis barang yang dia orang jual.
            Dari segala jenis songket, kain batik, beg tangan, selipar, baju sehinggalah ke cenderamata. Semua ada! Selama ni kalau sebut Indonesia, tempat yang terlintas dalam kepala aku untuk shopping, mesti Bandung je.
Tapi, dekat sini, semua benda pun ada.
Dan, benda pertama yang aku capai, telekung. Sikitpun aku tak pandang Che Faisal waktu aku membayar harga telekung tadi. Biarlah dia nak fikir apa pun.
“Tak nak beli apa-apa ke?” duit baki bertukar tangan. Aku menoleh ke arah Che Faisal sekilas sambil menyimpan baki ke dalam purse.
Dia menggeleng perlahan sambil membawa mata ke sekeliling. “Entah. tak tahu nak beli apa dan untuk siapa.”
Aku mencebik. Inilah lelaki. Barang punyalah banyak macam ni pun tak tahu lagi nak beli apa? haih. Kesian sungguh isteri dia.
“Belikan untuk orang yang awak beli jubah dulu? No?”
“Oh…” dia tergelak kecil. “Thanks ingatkan.”
Aku sengih sendiri. Takkanlah untuk isteri sendiri pun lupa…
“Tolong pilihkan kain batik dua tiga helai. Saya tak pandai nak pilih yang macam mana.”
“No hal.” Aku membuat tanda ‘OK’ dengan jari. “Untuk isteri ke untuk mak?” laju aje mulut bertanya.
Bukan apa, nak pilih kain batik untuk orang tua-tua dan orang muda, lain caranya. Orang tua-tua selalunya suka corak gelap. orang muda macam aku pulak, pakai yang terang-terang.
Heh. Macamlah kau pakai kain batik Naurah oi.
“Untuk mak.” aku nampak dia senyum segaris.
“Oh…untuk orang rumah nak belikan kain songket ye.” Tangan aku mula laju memilih corak batik yang bersesuaian di kedai sebelah.
“Orang rumah saya dah tak ada. Dia meninggal tahun lepas. Sakit.”
Tangan yang membelek kain batik terhenti kaku. Air liur yang ditelan terasa pahit tiba-tiba.
Adus, aku salah cakap ke?
“Sorry.” Sungguh, aku tak tahu nak buat muka macam mana. Rasa bersalah pun ada.
“It’s okay.” dia senyum lagi.
Aku menggigit bibir sambil memandang ke arahnya yang membuang pandang ke arah setiap pelusuk kedai.
Kenapa aku rasa dia ‘tak okay’?
Nak je aku cilikan mulut sendiri sebab menyibuk hal dia. Dan sekarang ni, aku rasa bersalah sangat!


AKU MENINGGALKAN PALEMBANG dengan pelbagai perasaan. Perasaan tenang bila jumpa diri sendiri, perasaan bersalah sebab terbusybody pasal hidup Che Faisal dan juga…
Kepenatan!
Sungguhlah, tak pernah aku rasa penat macam ni. Aku belum tua lagi, kan?
Tiba aje di Malaysia, kami berpecah dekat klia2. Fadil balik dengan teksi, sebab rumah dia dekat putrajaya aje. Che Faisal pulak naik ERL, sebab nak kejar masa. Kak Ina katanya suami dia datang ambil. Dan tinggallah aku sendiri dalam bas shuttle ke KL Sentral.
Sampai aje di KL Sentral, aku ambil teksi untuk ke rumah.
            Malas nak bersesak-sesak dalam Rapid.
            Malas nak turun naik tren.
            Tak sampai pun setengah jam dari KL Sentral, teksi berhenti di hadapan blok rumah aku.
            Selesai keluarkan beg dan menutup pintu, aku mula menggeliat kecil. Membetulkan urat yang tegang.
            Sungguhlah assignment kali ni paling letih.
            Teksi yang menghantar aku tadi mula bergerak meninggalkan kawasan rumah. Aku berkira-kira untuk menarik beg troli untuk ke atas sebelum kaki tiba-tiba kaku.
            Kejap.
Itu bukan ke….
Oh em gee!
Betul ke yang aku nampak ni?
            Aku bukan berhalusinasi sebab penat, kan?
            Sungguh aku tak mampu untuk bergerak. Lelaki yang berdiri betul-betul di sebelah tangga untuk ke rumah aku tadi mula berjalan merapati. Mata aku memaku pandang ke arahnya, tak percaya.
            “Hai,” tegur dia perlahan.
            ‘Hai?’
            Dah berminggu tak jumpa dan sekarang dia boleh cakap ‘Hai’ dengan senyuman?
            Takkan dia dah lupa apa yang dia dah buat dekat aku?
            Heh.
            “Hoi, kau ni berangan eh?”
Aku mencebik. Hah, belum apa-apa dah keluar perangai betul dia. “Mail?” Kaki aku amsih disitu. Tak percaya sebenarnya. Jadi, orang yang aku nampak sebelum ni, Mail? “Kau buat apa dekat sini? Nak culik aku lagi?”
            Dia tidak menjawab. Tiba saja di depan aku, dia mula mengeluh perlahan. Kening aku terangkat tinggi melihat air muka dia tiba-tiba berubah.
            Mana pernah aku nampak Mail muka serabut macam ni? Kalau tadi dia elok-elok ‘hai’kan aku, sekarang ni entah kenapa aku rasa dia macam nak…
Menangis?
Kenapa dengan dia?
            “Mail? Kau kenapa?”
Dia diam lagi.
“Apahal dengan kau ni? Zack mana?”
            Mail mengangkat muka, memandang aku lama sebelum mengeluh berat. “Sebab tu aku datang cari kau ni.”
Aku angkat kening. Tak faham.
“Bos hilang. Aku tak tahu dia dekat mana...” Dia kembali tunduk memandang kasut. “Aku tak tahu mana dia pergi…”
            Kali ini mulut aku betul-betul ternganga luas. Zack hilang?

            Hilang?!


***

*Assalamualaikum! Nak tak nak, illa kena cakap jugak yang ini bab terakhir dekat blog =) Terima kasih banyak-banyak untuk semua yang sudi baca cerita ni. Buat masa ni,  cerita ni saya stopkan dekat sini. Doakan saya cepat siapkan, ye <3

Sekali lagi terima kasih banyak untuk sokongan. Saya dah hafal pun nama-nama yang selalu komen dan baca. (yang x komen illa x tahu. tapi apa-apa pun, terima kasih jugak:) 

Okeh, habis pengumuman. Tata! *

Wednesday 3 September 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 21]





Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 21]


AKU MASIH LAGI termenung di atas katil Qila memikirkan apa yang jadi tengah hari tadi. Dengan hanya berkemban, aku memintal-mintal hujung rambut tanpa tujuan sambil menjeling ke arah pintu bilik air.
            Tunggu nak mandi.
Walaupun separuh hati yakin yang kelibat yang aku nampak tadi kelibat dia, tapi separuh hati lagi menolak. Kenapa dia nak ikut aku, kan? Dia tu ada banyak lagi kerja lain. Nak culik orang tu la,  nak culik orang ni la…
Tak boleh jadi ni. Aku kena balik rumah sendiri. Aku nak pastikan betul-betul yang aku nampak tu bukan Zack.
Kepala sedikit terangkat memandang Qila yang baru saja keluar dari bilik air dengan hanya berbalut tuala. Bayangan Zack terus hilang.
Aku pandang ke arah Qila lama. dia masih lagi khusyuk mengelap rambut dan mencapai baju tidur dari almari. Spontan aku mengeluh. Entah bila aku nak susahkan dia entah. Nasib baiklah Isnin depan dah kena pergi assignment, kira hari-hari aku tak adalah kosong sangat.
“Tak nak mandi?” soal Qila bila nampak aku masih termenung.
“Nak!” Aku bangun ke belakang pintu bilik mencapai tuala kecil yang tersangkut dan terus melangkah ke bilik air.
“Angah, kejap!”
            Kaki terus terkaku. “Kenapa?” dahi aku berkerut lebat bila melihat wajah terkejut dia. Siapa yang patut terkejut sebenarnya ni? Dia yang menjerit, dia yang terkejut.
            “Er, lengan tu…kenapa?” jari telunjuk Qila melurus pada lengan kanan aku yang terdedah.
            Aku hampir tepuk kepala. Lupa! Selama ni aku pakai baju lengan panjang aje tiap-tiap malam. Aku berkemban tadi pun sebab nak mandi.           
Serius aku lupa!
            “Jatuh.” aku menjawab sepatah. Tolonglah percaya. Tolonglah.
            “Takkan luka jatuh macam tu? jatuh kerja cermin ke?”
            Perlahan-lahan aku mengangguk, mengiakan. Sungguh aku tak tahu nak jawab apa.
            “Macam teruk je tu ngah… tak sakit ke mandi nanti?” kening Qila mula berkerut, membayangkan kesakitan bila luka bertemu air agaknya.
            “Angah tak basahkan, should be okay.” aku menampal senyum nipis, cuba meyakinkan. Nak tutup topik sebenarnya.
            Macam mana kalau topik luka dekat tangan aku ni merebak sampai kampung sana?
            “Sakitnya….” Matanya masih pada luka aku. Aku cuma tersengih sambil meneruskan langkah ke bilik air. Sakit memang sakit, Qila. Tapi sakit lagi bila fikir orang yang lukakan lengan angah ni…
           

“ANGAH, JOM LAYAN movie!”
Aku keluar dari bilik Qila sambil mengelap rambut basah. Kali ni aku menyarung baju lengan pendek san semuat kapas. Tak payah pakai lengan panjang dah.
Tak payah sorok-sorok dah.
Tuala yang masih lembab aku lilit ke kepala sebelum duduk di sebelah Qila. Mata mula melilau ke kiri dan kanan.
Hanya Qila sahaja yang bersila di ruang tamu.
“Mana semua orang?”
Sebenarnya sejak balik dari rumah sewa aku tadi lagi aku tak nampak Lili dengan Hani. Takkan keluar dari pagi pukul 9 tak balik lagi kot?
            “Hani kerja. Lili dekat lab rasanya..” Qila menjawab tanpa memandang.
            Oh.. lupa yang Hani kerja shift dan Lili tengah sambung belajar. Aku mula bersila, ambil kedudukan untuk tengok cerita yang Qila tengah khusyuk tengok. Kotak DVD yang diletakkan di atas meja aku capai sambil membaca perlahan tajuk yang tertera. Maleficient.
            Kalau dah Angelina Jolie yang jadi pelakon dia, memang confirm best la cerita ni…
Qila tiba-tiba bangun dari sofa.kening aku terangkat tinggi melihat dia melangkah ke bilik tidur.
Eh, takkan nak tidur dah? Rasanya cerita ni baru aje mula…
“Nak pergi mana? Tadi ajak angah tengok cerita…”
Qila berpaling ke belakang, “Angah tengok dulu. Orang nak solat kejap.” dia terus hilang dari pandangan.
Aku terdiam.
            Solat.
            Selama dekat rumah Qila ni, mana pernah aku solat. Dekat rumah sendiri pun jarang. Seminggu dekat sini, Qila ingat aku period agaknya. Sebab itulah Qila buat tak tahu je…
            Lagipun semua dah besar.
            Mesti Qila pun tak agak yang aku tak solat…
            Dengan keluhan berat, aku kembali mengalihkan pandangan ke arah skrin TV.
            …dan apa yang aku pandang sekarang ni terasa kosong.
           

HARI ISNIN.
Hanya dengan sejam masa penerbangan, aku sudahpun menjejakkan kaki di Kota Palembang. Assignment kali ni, hanya aku seorang yang jadi wakil, jadi kerja bertambah-tambah.
            Mana nak ambil gambar lagi, mana nak cari isi pasal Palembang lagi.
            Tapi tak apa. benda-benda sibuk macam ni lah boleh buat aku lupakan Zack, kan? (Tengok, baru sampai dah sebut pasal Zack).
            Haih.
            “Bentar ya mbak, kita tunggu lagi dua orang belum sampei.”
            Aku senyum mengangguk. Jam di lengan kiri aku kerling sekilas. Awal lagi. lagipun, malam ni tak ada aktiviti.
            “Dari media mana dik?”
            Laju aku berpaling ke belakang sebelum menjamah wajah seorang wanita yang aku agak dah pun berumur 30-an  yang tersenyum lebar. Dia pun sekali ke? Tak perasan pun tadi.
            “Majalah Rilaks. Akak dari mana?” aku melabuhkan punggung di sebelahnya, mula menghulur salam. Kalau dulu masa universiti aku memang payah nak bergaul, bila dah kerja macam ni, nak tak nak, aku memang kena jumpa orang baru tiap-tiap kali buat assignment luar.
            Kawan aku sekarang pun dan berbilang bangsa dari mekap artis hinggalah PR pivate company.
            “Oh… anak buah Danny la ni ya? Akak dari Majalah Cuti.”
            Aku angguk lagi. Majalah Cuti dan majalah aku memang selalu je ada assignment sama. Aku pun ad jugak kenal beberapa orang staff dekat sana. Tapi akak ni tak pernah nampak pulak.
            “Saya Naurah, kak.”
            “Panggil akak Kak Ina je.”
            Belum sempat aku membalas, Mbak Rita, pemandu pelancong kami tadi mula mendekati dengan dua orang lelaki di belakangnya.
Seorang kemas dengan tshirt berkolar dan slack dan seorang lagi santai dengan jeans dan sweater.
Aku dan Kak Ina automatik bangun, menyambut.    
            Dia orang ini la kot yang Mbak Rita suruh tunggu tadi.
            “Kenalkan, ini Mas Faisal sama Mas Fadil dari travel agency di Malaysia.” Mbak Rita memperkenalkan kedua-duanya. Kedua-dua lelaki tadi tersenyum mengangguk. “Bentar ya, saya lagian mahu nelpon bus.” Dan dia terus melangkah keluar dari tempat menunggu.
            Lelaki yang memakai jeans mula melangkah, merapati. Dia tersenyum nipis sebelum membuka mulut.
“Lama ke tunggu?” dia menegur ramah. Kan dah cakap, kalau masuk dunia pekerjaan macam ni, memang jarang sangat ada yang pendiam. Semua jenis peramah.
            “Tak panas punggung pun lagi Encik Fadil…” Kak Ina membalas.
            Kami sama-sama ketawa. Dan pecah pun ais. Tak payah buat sesi pengenalan dua tiga jam. Empat lima minit pun dah cukup.
            “Dari mana semua ni?” yang bernama Faisal pula membuka mulut.
            “Akak dari Majalah Cuti. Ini Naurah dari Majalah Rilaks.” Kak Ina menjawab bagi pihak aku. Aku cuma senyum mengangguk.
            “Rilaks? Jadi kenal Melati la, kan?”
            Mata aku jatuh pasal Faisal di hadapan. “Kenal sangat,” aku tersengih nipis. “Kenal Kak Melati ke?”
            “Rilaks banyak buat promosi saya punya travel agency. Dan saya selalu jumpa Melati kalau ada apa-apa…”
            Ooh…travel agency… yang Kak Melati selalu jumpa tu ke?
            Faisal… “Encik Che Faisal?” soalan itu keluar tanpa sempat di tahan. Aku nampak Che Faisal mengangguk dengan sengihan nipis.
            “Wah, tak sangka pulak saya popular dekat Rilaks tu..”
            Aku menggigit bibir sendiri, tersengih. Sempat juga aku berpaling ke arah Kak Ina yang berbual rancak dengan Fadil. Sesaat kemudian, pandangan kembali pada Che Faisal di hadapan.
Kalaulah Che Faisal tahu yang nama dia memang jadi bualan, apalah yang dia akan cakap nanti.
            Tapi betullah apa yang Kak Melati cakap. Che Faisal ni handsome walaupun nampak dah berumur. Cakap pun sopan teratur dan lemah lembut.
            Tapi kenapa aku rasa macam pernah jumpa dia…?
Oh em gee!
Bukan dia ke yang aku jumpa dekat Jalan TAR dulu?
Yang pulangkan beg plastik aku yang tertinggal…
Yang aku ingat dia letak nombor telefon pada resit pembelian…
Kecilnya dunia!



TEPAT JAM LAPAN malam, semua berkumpul di lobi hotel, menunggu untuk makan malam. Ada lima orang lagi media dari Jakarta yang turut sama dalam program kali ni.
Aku hanya ringkas berbaju tee lengan panjang dan jeans dengan menyangkut kamera Sony Alpha ILCE-6000 putih ke leher.
            Belum sempat aku membuka topik untuk berborak dengan Kak Ina, Mbak Rita datang dan menjemput semua ke dalam bas untuk ke restoran.
            Lebih kurang lima belas minit di dalam bas, kami sampai di sebuah restoran berhampiran dengan Jambatan Ampera. Melihatkan jambatan yang penuh dengan kerlipan lampu, bibir aku spontan tersenyum.
            Cantik!
            Aku ni simple je sebenarnya. Nak bagi aku senyum, tunjuk je benda-benda cantik macam ni.
            Kalau sebelum ni aku pernah tengok dalam internet je, kali ni Jambatan Ampera betul-betul depan mata!
            “Amboi sengih dia…”
            Sikit lagi aku nak melompat ke depan dek terkejut yang amat. Entah bila Che Faisal berdiri dekat sebelah. Aku ingatkan Kak Ina…
            “Teringat dekat orang rumah ke?”
            Aku ketawa kecil mendengar ayat ‘orang rumah’ yang keluar dari mulut dia. Bukan ke ‘orang rumah’ tu selalu orang cakap pada si isteri ke? Apa lah…
            “Mana ada orang rumah pun…” aku membalas selamba. Tahu sangat dah itu cara dia nak tahu aku dah berpunya ke belum. Tahu sangat dah…
            “Laa… solo lagi rupanya…”
            Aku angkat bahu. Senyuman tadi masih belum mati. Mata laju mencari Kak Ina, tapi hampa.
            Kak Ina tengah melayan Aria dari radio Jakarta di hadapan pintu bas. Tak ada can la aku nak larikan diri dengan soalan-soalan yang bakal ditanya Che Faisal ni.
            “Tapi kan, saya rasa macam pernah jumpa awak. Kita pernah jumpa eh sebelum ni?”
            Sekali lagi aku hampir tergelak. Kalau bukan aku betul-betul pernah jumpa dia sebelum ni, confirm Che Faisal ni pun termasuk dalam jenis-jenis yang ‘terlebih’ peramah.
            “Depan Muaz, Jalan TAR.” aku menekan butang ‘on’ pada kamera. Tanpa menunggu hatta sesaat, imej Jambatan Ampera disemadikan ke dalam Sony.
            “Hah, betullah! Patutlah macam familiar sangat.”
            Aku hanya senyum tanpa memandang.
            Kami mula mengikut langkah yang lain masuk ke dalam restoran.
            “Macam ada jodoh je boleh jumpa lagi macam ni?”
            Jari telunjuk yang baru sahaja ingin menekan butang off pada kamera terkaku sesaat. Jodoh.
            Aku pantang dengar bab-bab jodoh ni.
            Laju aje jantung mengepam darah.
            Dia ni pun, baru aje jumpa aku dua kali. Takkan dah nak cerita pasal jodoh. Kalau tiba-tiba dia jadi macam Ben, macam mana?
            Ataupun…dia saja nak sedapkan ayat?
            Haih, kau ni Naurah. Benda tu kan biasa. Macam ‘Ada jodoh, kita jumpa lagi…’ kan?
            No heart feeling pun.
            “Naurah?”
            Laju aku mengangkat kepala, memandangnya di sebelah. Aku berkhayal lagi ke?
            “Jauh betul mengelamun, teringat orang Malaysia ke?” Che Faisal menyusun gigi, sengih.
            Aku tahu dia harap aku jawab, ‘ya’. Atau ‘Taklah. Mana ada teringat orang Malaysia…’ tapi aku ambil keputusan untuk senyum aje.
            Aku baru aje kena tipu dengan Ben. Kena tinggal dengan Zack lagi. Takkanlah senang-senang aku nak rapat dengan Che Faisal pulak, kan?
            Kejap.
            Dah kenapa mesti ada Zack jugak ni?
            Kalau bukan sebab Kak Ina mencuit, sampai sekarang aku tak akan perasan yang semua dah mengambil tempat duduk masing-masing mengelilingi meja makan.
            Sempat aku mencipta senyum nipis pada semua yang memandang sebelum duduk di sebelah Kak Ina.
            Haih, tak pasal-pasal orang ingat aku ‘gila’.
            “Assalamualaikum,”
            Belum sempat tangan menyentuh sudu dan garfu, suara Mbak Rita memecah ruang restoran. Aku turut mencuri pandang ke arahnya yang sudah pun berdiri di atas pentas kecil di sudut restoran. Tempat karaoke.
            “Malam ini kita ada tetamu dari Malaysia,” tangannya mula melurus kepada kami berempat yang duduk di satu meja. “Jadi, saya ingin menjemput wakil dari Malaysia untuk menyanyikan beberapa lagu.”
            Mbak Rita. Katanya dia pernah  tinggal di Malaysia dua tahun. Tadi memang tak hairanlah kalau dia fasih berbahasa Malaysia.
            “Silakan mas, mbak,” sekali lagi dia menjemput.
            Aku pandang Kak Ina, Kak Ina pandang aku. sesaat kemudian, pandangan kami beralih pula pada Che Faisal dan Fadil di kerusi bertentangan.
            Takkanlah dia orang nak suruh aku dengan Kak Ina yang nyanyi kot?
            “Lagu Bang Toyyib ada tak?”
            Aku dan Kak Ina ternganga memandang Che Faisal yang tiba-tiba bingkas dari kerusi.
            Biar betul? Aku ingatkan Fadil dulu yang nak volunteer
            “Mas juga tahu lagu Bang Toyyib?”
            Aku mendengar Mbak Rita ketawa perlahan. Mungkin dia tak sangka yang Wali Band popular dekat Malaysia.
            Kalau setakat lagu Aku Bukan Bang Toyyib tu, aku pun tahu. Tak lama kemudian, musik intro lagu Wali Band itu mula memecah malam. aku mencapai sudu untuk makan.
            Lapar!
            Tak kisahlah Che Faisal nak nyanyi berapa lagu pun, yang penting perut aku perlu di isi.

“Sayang, Aku Bukanlah Bang Toyib
Yang Tak Pulang-Pulang
Yang Tak Pasti Dia Datang
Sabar Sayang
Sabarlah Sebentar
Aku pasti Pulang

Karna aku bukan aku bukan bang Toyib…”
Tapi…kenapa lagu ni membuatkan aku ingatkan seseorang?