BAB 10
“TAK JADI KAHWIN?”
Suara Encik Umar naik senada.
Puan Anisa pula mengucap
panjang di kerusi.
Raut wajahnya
sekarang penuh dengan pelbagai rasa. Anak mata tepat memandang wajah anak
bongsunya yang masih tunduk dari tadi.
Najwa sekadar
mengangguk. Langsung dia tak berani nak bertentang mata dengan abahnya. Sedaya
upaya dia cuba menahan air mata yang mungkin bila-bila masa saja akan pecah.
“Izzat nak batalkan
perkahwinan kami, abah.” Senafas dia menuturkan. “Dia cakap nanti dia datang
rumah untuk bincang...”
“Kalau nak
batalkan, nak bincang apa lagi?” Encik Umar terduduk di atas kerusi. Perlahan-lahan dia
meraup wajah sendiri. Cuba bertenang. Baru saja dia nak keluar rumah untuk
uruskan hal-hal khemah yang akan dipasang di luar rumah. tiba-tiba ini pula
berita yang dia dapat.
“Lagi dua minggu
majlisnya. Kamu berdua memang betul-betul dah buat keputusan ke?”
Anggukkan Najwa
bagaikan menghancurkan lagi harapan abahnya. Terus saja Encik Umar membisu.
Fikirannya sarat dengan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.
“Adik tak cuba ke
pujuk Izzat? Takkanlah bergaduh sikit nak batalkan terus pernikahan?” Kali ini
Puan Anisa pula menyampuk. Tangan anak bongsunya itu digengam kemas.
“Dia dah tak nak
adik, ma.” Setitis air mata gugur juga tanpa diseka. “Maaf sangat sebab
terpaksa buat keputusan ni. Tapi adik tak boleh nak buat apa dah untuk
selamatkan hubungan kami.” Tersekat-sekat dia meluahkan rasa hati.
“Kenapa baru
sekarang, dik? Kenapa lepas setahun bertunang baru dia nak putuskan?” soal
Encik Umar lembut. Dia sendiri buntu dan langsung tak jangka ini akan berlaku.
Najwa ketap bibir,
menahan pelbagai rasa yang ada. Hati mama dan abahnya dah cukup hancur bila
tahu yang perkahwinan dia tak jadi. Dia tak sampai hati nak bercerita tentang kanser
yang dia ada.
“Mama dah cakap
jangan bertunang lama... mama dah pesan banyak kali suruh cepatkan tarikh
pernikahan...” Suara Puan Anisa tenggelam timbul menahan esakan. Nampak saja
air mata di pipi ibunya, Najwa hampir meraung. Cepat-cepat dia memeluk si ibu
erat.
Cuba tenangkan
kesedihan si ibu dan juga pinjam kekuatan.
“Maafkan adik, ma.
Maafkan adik. Adik tak ada niat pun nak malukan keluarga kita.” Esakan Najwa
dan ibunya bergabung.
Encik Umar yang
memandang dari jauh hanya mampu mendiamkan diri. Sepanjang pertunangan Izzat
dan Najwa, Izzat langsung tak ada cacat cela. Semua tentang bakal menantunya
itu elok saja di matanya.
“Adik minta maaf,
bah. Adik pun tak nak benda ni jadi.”
Mata Najwa yang
membengkak dek mengangis terlalu lama dipandang lama. Rasa marah yang membuak
tadi tiba-tiba bertukar menjadi sayu.
“Tak apalah. Kalau
itu kesudahannya, abah reda. Nanti suruh Izzat datang dengan keluarga dia.
Kalau dia boleh datang minta adik dulu dengan cara elok, suruh dia putuskan
dengan cara elok juga.” Encik Umar cuba bersuara tenang.
“Adik... kamu
berdua bergaduh sebab apa? Takkan ini saja jalan penyelesaian yang ada? Takkan
kamu tak boleh mengalah pujuk dia. Dua minggu je lagi, dik. Dua minggu je lagi
tarikh nikah kamu berdua...”
“Anisa, sudah.”
Belum sempat Najwa
membuka mulut, suara abahnya terlebih dahulu menyampuk.
“Orang dah tak nak
anak kita, takkan awak nak suruh anak kita pulak terhegeh-hegeh pujuk untuk
terima dia?”
Puan Anisa terdiam.
Dalam diam, dia sendiri mengakui kata-kata suaminya. Namun bila difikirkan malu
yang bakal mereka sekeluarganya terima, dia jadi hilang punca.
“Tapi semua dah
sedia, bang. Macam mana kita nak batalkan semua ni? Pelamin, caterer, jemputan
semua...”
“Semua tu boleh
diuruskan, Nisa. Awak jangan nak rendahkan anak kita pada orang.” Encik Umar
bangkit dari kerusi dan terus melangkah keluar dari rumah.
Najwa tarik nafas
panjang. Dari semalam, air matanya tersangat murah untuk Izzat. Dan bila
melihat reaksi mama dan abahnya, hatinya makin hancur.
Ya Allah.
Kuatkanlah hati ini
untuk tempuh apa yang jadi.
PAGI ITU, IZZAT
datang sendiri berjumpa abah dan mama tanpa keluarganya. Najwa awal-awal lagi
keluar ke butik. Tak sanggup rasanya untuk dengar dan saksikan apa yang jadi
waktu Izzat berbincang abah dan mamanya.
Bersungguh-sungguh
dia minta Izzat rahsiakan tentang penyakit dia. elum masanya lagi untuk mama
dan abahnya tahu tentang kenyataan itu.
Sepanjang pagi, dia
sekadar mendiamkan diri di dalam pejabat. Hanya sesekali saja dia keluar dari
bilik bila dipanggil Nadrah ataupun Ros. Marisa juga sibuk dengan urusan rekaan
beg baru di ruangan khas bersebelahan kaunter pembayaran.
Berita tentang
putus tunang dah sampai ke telinga Marisa malam tadi. Sengaja dia minta Marisa
dan suaminya balik ke rumah mama dan abah. Nak jelaskan hal sebenar.
Walaupun Najwa dah
bersedia dengan pelbagai soalan, tapi kakaknya itu sekadar mendiamkan diri bila
tahu perkahwinan dia dan Izzat tak akan diteruskan lagi.
“Kau tak terkejut?”
soal dia malam tadi bila Marisa sikitpun tak beri apa-apa reaksi.
“Kan aku dah cakap,
aku sebenarnya tak nampak Izzat tu sebagai suami yang baik untuk kau.” Ringkas
saja jawapan Marisa dan terus membuatkan bibir Najwa terkunci rapat.
Waktu itu hanya dia
dan Marisa saja di ruangan dapur dan yang lain-lain sibuk berbincang tentang
apa yang akan dibuat seterusnya.
“Kau uruskan hal ni
dulu. Bila dah ready nanti baru masuk
kerja. Aku tak kisah.” Marisa tepuk bahu adiknya perlahan sebelum keluar ke
ruang tamu.
Dan selepas itu,
topik tak jadi kahwin langsung tak keluar dari mulut Marisa.
“Cik Najwa?”
Lamunannya terhenti
bila suara Nadrah menyapa telinga. Sempat dia menjeling sekilas pada Marisa
yang sibuk melakar sesuatu pada buku notanya.
“Ya Nad?”
Nadrah
tersenyum-senyum melangkah ke dalam bilik sambil membimbit paperbag berwarna
warni.
“Saya dan Ros nak
bagi ni.” Paper bag di tangannya tadi
disua ke depan. “Kami tak dapat nak dapat waktu cik nikah sebab waktu tu kami
dah terbeli tiket nak pergi Sabah.” Nadrah sengih nipis.
Melihat bungkusan
besar di dalam paper bag itu, air
matanya mula berkaca. Nafas ditarik panjang sebelum dia melepaskannya perlahan.
Sedaya upaya dia mencipta senyum yang ternyata tawar.
“Saya tak jadi
kahwin.” Senafas dia menuturkan.
Wajah Nadrah di
depan berkerut lebat. Tak berkelip dia memandang bosnya di hadapan. Masih tak
percaya dengan apa yang dia baru dengar.
“Saya tak jadi
nikah, Nad. Awak simpanlah hadiah tu. Terima kasih, ya.” Kali ini Najwa cuba
senyum ikhlas. Kesian pula dia bila nampak wajah Nad yang dah serba salah.
“Er... sorry... cik... saya. Er...” Muka Nadrah
dah kelam kelabu. Hadiah di atas meja kembali dicapai dengan sebelah tangan.
“It’s okay, Nad. Awak tak
tahu. Sebab tu saya bagitahu.” Najwa senyum lagi.
“Cik, maaf
sangat-sangat.”
“Takpe.”
“Saya keluar dulu.”
Najwa sekadar
mengangguk sambil menghantar langkah Nadrah keluar dari bilik dari ekor mata. Dia
mengeluh perlahan tanpa sedar. Belum sempat dia kembali fokus pada laman Facebook Pages butik, telefon bimbit
pula berbunyi nyaring menandakan WhatsApp
baru masuk.
Babe, dah ada tema ke untuk bridesmaid nanti? Aku rasa kena beli yang dah siap la, senang. Nak
jahit sekarang tak sempat dah.
WhatsApp daripada Ain membuatkan
air matanya bergenang. Cepat saja diseka sebelum jatuh membasahi pipi.
Sebenarnya baru
beberapa hari Ain wujudkan WhatsApp Group
untuk para pengapit dia. Baru je dia gembira bila hampir semua kawan baik dia
sanggup turun ke KL untuk jadi pengapit.
Dia lupa.
Bila keputusan
untuk batalkan perkahwinan dibuat, urusan tu bukan lagi hanya urusan dia dan Izzat.
Semua orang pun akan terbabit sama termasuklah kawan-kawan dah dia dah jemput
sebelum ni.
Najwa kuatkan hati.
Perlahan-lahan dia membawa jari berlari di atas skrin, membalas WhatsApp dari Ain.
I’m sorry. Aku tak jadi nikah.
Nanti aku explain
Wajah terasa kebas
sebaik saja dia menjawab soalan Ain. Malunya hanya Tuhan saja yang tahu.
OPPO diletakkan
jauh dari pandangan. Tak sanggup rasanya nak baca jawapan dari teman-teman yang
lain.
Namun bila
bertalu-talu WhatsApp baru masuk, nak
tak nak, dia terpaksa semak juga.
Munirah
Hah? Serius ke babe?
Fatt
Kenapa Najwa? Betul ke tak jadi?
Ain
Korang, janganlah tanya lagi.
Kalau betul tak jadi, kita doakan
je yang terbaik untuk Najwa.
Najwa
Betul. Tak jadi.
I’m sorry kalau korang dah minta
cuti.
Ain
Ish. Kenapa nak sorry pulak.
It’s okay. Take your time.
Apa-apa nanti kau cerita je okey?
Terbabas juga air
matanya menuruni pipi. Telefon pintar diletakkan ke atas meja. Tak mampu
rasanya menjawab setiap soalan yang muncul.
Nasib baiklah dia
belum lagi buat event di Facebook untuk jemput kawan-kawan yang
lain.
Nasib baik juga dia
terlalu sibuk untuk agihkan kad kahwin kepada semua orang. Baru beberapa orang
saja yang dah dapat kad kahwin dari dia dan yang lain-lain, semuanya dari Izzat.
Dan sekarang ini,
dia perlu mesej seorang demi seorang rakan yang dia dah jemput sebelum tarikh
pernikahan.
Sakit dan perit.
Ya. Tak tertanggung rasanya.
Namun bila
difikirkan mama dan abah di rumah yang mungkin lagi malu, Najwa beristighfar
panjang. Dia kena kuat.
Takkan dia nak
biarkan saja mama dan abah tanggung segalanya?
SEMUA URUSAN
PEMBATALAN majlis perkahwinan dah pun selesai. Walaupun pada tarikh perkahwinan
ada saja dua tiga tetamu yang datang bila berita pembatalan majlis tak sampai
pada dia orang, namun tetamu tetap di layan seperti biasa.
Marisa yang
cadangkan untuk teruskan saja guna khidmat katerer walaupun majlis dibatalkan.
Bayaran penuh dah dibuat, jadi lagi rugi kalau makanan yang ditempat tak dapat
seperti yang diminta.
Tetamu yang datang
hari itu dijamu walaupun tiada majlis pernikahan. Makanan yang lebih pula
diagih-agihkan ke beberapa buah surau yang berdekatan.
Dia pula masih
memencilkan diri di dalam bilik bila ada dua tiga tetamu datang bertanya. Bukan
sengaja nak lepaskan beban pada mama dan abah, tapi sepanjang hari badan dia
terasa lesu dan sakit-sakit bahana stres
yang teramat.
Sakit kepalanya
juga tak berkurang walaupun dan banyak ubat tahan sakit yang dia makan.
Sekarang ni, hanya rehat saja yang dia perlukan. Hati yang berbuku dengan
pelbagai rasa dan cerita masih tak dapat diluahkan.
Sampai sekarang Nasrin
masih mendiamkan diri.
Terkejut juga bila
Auntie Hanan bagitahu yang Nasrin keluar negara atas urusan kerja. Itupun
Marisa yang tanyakan semalam.
Takkanlah tempat
yang Nasrin pergi tu langsung tak ada WiFi sehinggakan WhatsApp yang dia hantar tu satu pun tak sampai?
Tapi bila
difikirkan balik, logik juga kalau Nasrin dah block nombor telefon dia dari senarai WhatsApp. Dia tahu marah Nasrin memang dikemuncak waktu dia di
butik dulu.
Dan yang paling
perit, untuk kesekian kalinya, Nasrin betul tentang Izzat.
Dia yang salah
nilai.
Bilik yang
dihuninya sekarang tiba-tiba terasa sesak membuatkan diri dia lemas dalam
sunyi. Bila sakit kepala mula reda, perlahan-lahan dia mengatur kaki ke bawah,
mencari abah dan mama yang masih sibuk melayan seorang dua tetamu yang datang.
Kotak-kotak
cenderamata yang asalnya untuk diberi pada tetamu terbiar di sebelah tangg, di pandang
sepi.
Cepat saja matanya
menangkap kelibat abah yang berdiri di sebelah tempat letak makanan,
mempersilakan tetamu makan. Mama pula sekadar duduk di meja makan bersama Mak
Su Bihah yang datang dari Melaka pagi tadi.
Nasib baik ada Mak
Su Bihah. Mama yang sebelum ni kecewa dengan keputusan dia sedikit sebanyak
sudah bertenang dan makin terima kenyataan.
Langkahnya diatur
ke arah abah sebelum lengan abahnya ditarik perlahan dari sekelompok tetamu
senyap-senyap. Tiba di suatu sudut, lengan abahnya dilepaskan dan wajah tenang
abahnya dipandang lama.
Bersalahnya dia
bila terpaksa jadi anak yang memalukan keluarga.
“Abah...” Suara
bagaikan tersekat di kerongkong bila memikirkan tentang keadaan abah sekarang.
Mesti abah malu
sangat dengan jiran-jiran.
Encik Umar sekadar
diam menumpukan perhatian. Masih menanti ayat seterusnya dari mulut Najwa.
“Lepas selesai
semua ni, adik nak minta izin pergi bercuti.” Bibir diketap kuat. “Kalau abah
izinkan, adik nak pergi sorang...”
“Abah izinkan.”
Laju saja Encik Umar membalas. Perlahan-lahan dia tarik senyum, cuba ceriakan
hati si anak.
Mata Najwa yang
redup tadi kembali bersinar. Spontan tubuh abahnya dipeluk erat.
“Jaga diri.”
Sambung abah dia lagi.
Sungguh, dia tak
kuat nak hadap semua ni sorang-sorang.
Betullah. Kita
hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walau dah cantik mana pun perancangan
majlis perkahwinan yang dia dah atur, kalau ditakdirkan belum masanya, belumlah
jawabnya.
Dan untuk sekarang,
dia cuba untuk reda.
***