Saturday 28 September 2013

Sayang Awak, Janji! [2]



[Dua]


DENGAN SENYUMAN LEBAR aku menolak pintu masuk walaupun aku tak pasti entah apa bala yang akan aku terima kejap lagi. Sekarang ni sebenarnya musim pelanggan buat hal.
Eh, bukan pelanggan. Produk kami yang buat hal (masalah teknikal aje sebenarnya).
Sejak semalam dah nak berdarah telinga aku dengan suara maki+marah dari corong telefon. Ni semua gara-gara produk yng baru dilancarkan tu.
Elok aje kaki kanan aku mencecah lantai, telinga yang ditutupi tudung menangkap bunyi kuat dari belakang. Automatik kepala berpusing 45 darjah ke belakang.
            Hampir terkeluar toing toing biji mata aku bila melihat sekujur tubuh yang dah tak sedarkan diri. Makcik tadi dah terjelopok ke atas lantai dengan barang-barang yang dibawanya habis jatuh bersepah.
Oh tidak! Tidak…Tidak!
            Jangan cakap makcik tu pengsan! (Dah tu kau ingat dia tidur ke Diyan?)
            “Makcik!” aku menjerit tanpa sedar. Refleks! Terkejut punya pasal. Bergema terus satu level. Laju aje kaki berlari ke arah makcik tadi. Macam mana ni? macam mana ni? Macam mana aku nak angkat makcik ni? peluh dah mula memercik. Sungguh aku tak tahu nak buat apa. takkan tak ada manusia pun yang nak keluar dari lif ni?
            Tak ada ke?
            “Makcik! Makcik!” lama aku pandang kiri kanan sebelum cuba mengejutkan makcik tadi. Ya, aku tahu makcik tu bukan pura-pura pengsan. Tapi aku nak juga cuba… “Makcik!”
            Macam mana ni? Boleh ke aku tinggalkan makcik ni sorang-sorang dekat luar ni? tapi kalau aku tak tinggalkan dia, macam mana aku nak minta tolong? Wahai otak, kenapa kau lembab pulak berfikir saat-saat genting macam ni?
            Hah!
            Laju tangan menyelongkar beg tangan. cari telefon bimbit. Namun, belum sempat lagi jari jemari aku menyentuh samsung sendiri, Nokia makcik tadi pula berbunyi.

Incoming Call
‘Abang’

Hah! Abang ni la kut yang makcik telefon tadi!
Laju tangan aku mencapai Nokia yang hanya beberapa sentimeter dari tempat makcik tadi pengsan. Dengan sesaat masa aku terus menekan butang hijau.
            “Abang!” fuhhh, terasa lega dalam hati. Bagus betul ‘Abang’ ni. Waktu-waktu macam nilah dia telefon. Waktu aku dah hilang akal dan cara nak buat apa.
            Tapi…kenapa dia diam?
            “Abang!!! Mak abang pengsan ni!” kuat aku menjerit. “Datang sini cepat!” haish ‘Abang’ ni. Boleh pulak dia tak bagi respon aku panggil dia?
            “Hah?”
            Aku terdiam dua saat bila mendengar suara garau lelaki dari hujung talian. Er… “Makcik pengsan, datang sini cepat!” …aku panggil dia apa tadi?
            “Awak ni siapa?”
            Aku terus terdiam. haahlah! Dia siapa? Dah tu kenapa aku dengan senang jiwa aje panggil dia…
Oh tidak! Aku panggil dia abang? ABANG???
            Aku menelan air liur tanpa sedar. Aduhai… macam mana boleh tak perasan ni… “Datang sini cepat, makcik tak sedarkan diri ni…” suara aku makin mengendur. Rasa cemas tadi dah bertukar perisa…malu.”
            “Sini tu dekat mana wahai adik?”
            Haish dia ni…itu perli aku ke apa? Lagi satu, dia yang nak ambil makcik ni tadi, kan? Takkanlah dia tak tahu mana mak dia pergi? “Bangunan KRS. Tingkat lima,”
            “Adik tunggu situ. Saya naik sekarang!” talian terus diputuskan.
            Kejap, dia cakap naik sekarang? Naik? Dia dah ada dekat bawah?
            Dan…tak sampai sepuluh saat, bunyi lif berdenting membuatkan kepala aku terus terangkat memandang ke hadapan.
            Mengharapkan ‘Abang’ datang menyelamat.
            Dan ya! Pintu lif terbuka luas dan menampakkan seorang lelaki yang aku agak sama baya dengan aku (atau mungkin tua sikit) memaku pandang pada wajah aku. Rambutnya yang hampir botak menampakkan wajah dia hampir sama dengan Syam pengacara rancangan Sarapan tu. Eh, tak. Dia kurus sikit macam Wentworth Miller pelakon pecah penjara tu!
Sangat ringkas dengan hanya mengenakan jersi Pasukan Barcelona dan jeans gelap. Sesaat…dua saat…
Oh, stop it Diyan, ada orang pengsan depan kau ni! “Er…abang?”
            Aku nampak dia seakan tersedar dari sesuatu sebelum menurunkan pandangan ke lantai.
“Ya ALLAH! Mak!”


“SAYA NAK MASUK punch kad dulu, lepas tu saya datang balik.” aku terus bangun setelah lelaki tadi mengambil alih. Barang-barang yang bersepah aku kumpul satu persatu sebelum meletakkan kesemuanya di hadapan dia.
            Dia hanya memandang tanpa bersuara. Terkejut agaknya. Bukan…bukan aku nak lepas tangan. tapi kehadiran aku perlu dijaga juga. Aku tak nak gara-gara lewat elaun performance aku kena tolak. RM200 tu. 
             Er…nak tolong orang pun kena pakai banyak alasan ke?
            “Nah!” telefon bimbit makcik tadi bertukar tangan. aku menoleh pula ke arah ibunya yang pucat tak sedarkan diri. Kesian makcik ni. nampak sangat tak sihat. Makcik ni kerja dekat sini ke?
            Tapi tak pernah nampak pun.
            “Er, boleh tolong saya angkat barang-barang ni?” teragak-agak dia bertanya. Spontan aku memandang ke arah barang-barang yang aku kutip tadi. ya. Memang banyak. Ada beg sederhana besar. Ada plastik buah-buahan. Ada juga sebotol air mineral.
            Sah-sahlah dia tak boleh nak angkat barang-barang ni engan mak dia sekaligus.
            Perlahan-lahan aku mengangguk. Memang aku nak tolong pun. tapi masalahnya sekarang aku kena masuk dulu.
            “Boleh, boleh. Tapi saya kena masuk dulu.” aku memandang dia yang masih cuba untuk mengangkat makcik tadi. mana semua orang? Takkan tak ada seorang pun yang berkeliaran dekat sini?
            “Kejap eh. Saya masuk punch kad dulu. lepas ni saya keluar balik.” jangan risau bang. Saya janji akan keluar balik. takkanlah saya nak tinggal abang dengan makcik macam tu je.
            Dia memandang lama sebelum mengangguk.
            “Nanti saya datang balik. sorry!” aku terus berlari meninggalkan ‘abang’ tadi dengan mak dia. kalau nak ikutkan jam aku, lagi seminit tepat jam 8.30. Aku kena cepat. Lepas tu bolehlah aku minta half day dengan Team Leader.
            Sekali lagi aku melayangkan kad putih ke arah pengimbas. Pintu kaca terus aku tolak setelah kad aku diterima. Sempat juga aku buat walkathon sehingga ke pintu masuk bahagian call centre. Serentak itu mata aku menyapu beberapa manusia yang sudahpun memaku punggung di meja masing-masing.
            “Diyan!”
Suara Hada terus menyapa telinga sebaik sahaja pintu kaca kedua aku buka. Mata terus menangkap susuk tubuh yang sedikit gempal yang berjalan mendekati aku. rambut ekor kudanya bergerak ke kiri dan ke kanan mengikut langkah kaki dia yang laju.
            Hah! Boleh minta tolong Hada panggilkan siapa-siapa untuk tolong…
            “Kau pergi mana? Encik Razif cari kau dari tadi!”
            …makcik…hah?
            “Report semalam mana report?” Hada menghulurkan tangan kanan, meminta. “Jangan kata kau tertinggal. Mati kita nanti.”
            Report? Oh! Laporan pelanggan yang aku dengan Hada buat semalam. Kes tak dapat guna produk kami walaupun diorang dah tunggu 24 jam selepas pendaftaran.
            Bukan seorang, hampir dua puluh orang! Nak cair jugak telinga kami dekat bahagian call centre ni nak menjawab. Teknikal punya masalah, kami jugak yang kena jawab. Haish. Pelanggan pun kena lah faham. Nama pun produk baru. Kira logiklah kalau ada kekurangan dekat mana-mana.
            Bukan ke kami ada buat pakej pengembalian wang kalau tak berpuas hati?
            Heh.
            “Ada…aku bawak.” Laju aku menyelongkar beg tangan, mengeluarkan beberapa helai kertas yang baru aje aku print malam tadi. Nak selesaikan dekat pejabat semalam tak sempat. Nak keluar ‘dating’ dengan Fadz punya pasal.
            Pengikat kata disitu sebab mama pun ikut sekali. (Kena paksa dengan mama sebenarnya).
            “Fuh!” aku nampak Hada menarik nafas lega. Ya. Memang dia lega. Kalau laporan tu kami tak hantar hari ni, mahunya dua puluh orang pelanggan yang tak puas hati tu datang serang pejabat kami. Heh.
            “Jom. Dah nak mula ni.”
            Mula?
            “Bak sini report tu. Aku nak fotostat bagi dekat semua Team Manager dalam mesyuarat kejap lagi.”
            Mesyuarat! Aduhai. Lupa pulak aku kena masuk mesyuarat.
            “Nah.” Laporan pelanggan bertukar tangan. “Semua dah ada ke?”
            Hada mengangguk laju. “Dah, semua dah ada dalam tu. aku keluar ni pun sebab nak cari kau.”
            Oh no. Matilah aku. “Mula pukul lapan setengah, kan?”
            Hada mengangguk sambil mengangkat tangan kanan, mengerling ke arah jam Alba dia. “Yup. Just…in time.”
            Okay Diyan. Inilah masanya kau tunjukkan segala bakat terpendam kau.
Ini juga masanya kau keluarkan segala isi idea daripada kepala. Mana tahu ada rezeki naik pangkat. Kau pun dah lama jadi kuli jawab telefon. Heh.
Bibir perlahan-lahan mencipta senyum lebar. “OK, jom. Aku simpan beg dulu.”


FUH. AKHIRNYA SEGALA kesulitan produk baru tu selesai juga. Wang kesemua pelanggan yang menghadapi masalah dah pun dikembalikan dengan jayanya.  Troubleshoot dah buat. Kaji selidik dah berjaya. Lepas ni engineer pulak yang ambil alih kerja.
Sedar tak sedar, lapan jam di pejabat sudahpun berlalu. Awal-awal lagi aku tolak pelawaan Fadz untuk balik sekali. Kalau dah rumah dia dekat kutub utara, rumah aku dekat kutub selatan, takkan lah aku dengan sesenang jiwa nak suruh dia hantar balik, kan?
Tapi leceh sungguh. Ada lesen dalam purse, lesen motosikal. Lesen L pulak tu. Nak main terjah aje bawa motosikal, dah kena perintah berkurung. Ini semua gara-gara aku kemalangan teruk beberapa bulan lepas. Alah, aku accident dulu pun buka sebab aku yang duit. Pemandu Mini Cooper tu yang kurang tatanegara.
Bawa kereta mahal nak main langgar LC aku la? Heh. Sebabkan Mini Cooper tu lah Fadzril terus haramkan aku motosikal untuk aku. Mama pulak satu. Sokong sangatlah bakal menantu kesayangan dia tu.
            Bawa motosikal bahaya la…
            Perempuan tak manis bila bawa motosikal la…
            Dah tu, mama jugak yang dengan senang jiwa hantar aku masuk kelas memanda B2 dulu. Haish.
            Besar sungguh pengaruh Fadzril Hakim dalam hidup mama hinggakan hidup aku sekali dah terpengaruh sama.
            OK, baik. Tak bagi aku bawa motosikal, bukannya nak beli kereta sebiji bagi aku (ya…ya. Aku tahu aku tak ada lesen). Kalau bagi aku kereta, tak adalah aku menyiksa kaki sendiri jalan kaki petang-petang macam ni.
            Haih.
            Rumah flat aku yang rasanya tak sampai pun satu kilometer dari stesen LRT terasa sangat jauh. Baju aku yang wangi sepanjang hari dah pun tercemar dengan habuk+asap+peluh. Aduhai. Teksi pulak satu.  Kalau kurang 1 kilometer memang diorang tak nak terima ke? Ataupun pemandu teksi malas nak meredah jammed sepanjang jalan nak masuk ke rumah aku tu?
            Aku bayar la weh!
            “Adik manis!”
            Spontan aku buat muka sambil menambah kelajuan kaki berjalan. Inilah yang aku tak berapa nak gemar. Dekat-dekat maghrib macam ni memang banyak mamat warga asing yang berkeliaran dekat kawasan rumah aku ni. Aku sekarang ni pun buat-buat berani aje. Dibuatnya kena kejar, memang tak cukup kakilah aku nak lari.
            “Mahu abang teman?”
            Aaargh! Karang melayang tangan aku ni karang. Pergi jauh-jauh la brader. Kaki aku dah sakit ni, karang tiba-tiba melayang tak tahu…
            Tanpa berpaling aku terus mengenggam erat beg tangan di bahu dah terus berjalan ke hadapan. Suara ketawa kedengaran sayup-sayup dari belakang, kurang asam garam sungguh. Apa? pelik ke kalau perempuan melayu+ayu+comel-comel macam aku ni jalan kaki balik kerja?
            Pelik ke?
            (Peliklah kut sebab dekat kawasan aku ni mana ada dah perempuan lain yang jalan kaki).
            Aku menarik nafas lega bila melihat lelaki tadi masih berdiri di tempatnya tadi. dibuatnya dia ikut aku sampai rumah, naya je. Perlahan-lahan aku menoleh ke kiri. Beberapa buah kereta masih beratur menunggu giliran untuk melepasi lampu isyarat. Peh.
            Tak bergerak!
            Rasanya rapid tadi dah ada dekat depan waktu aku turun dari stesen. ini dah sama jauh dengan aku yang jalan kaki. Heh.
            Wahai manusia-manusia yang berjalan kaki, turunlah dari rapid sekarang, pastinya perjalanan kamu lebih cepat. Haha!
            “Hoi! Tepilah!”
            Kaki aku terus terkaku terpaku pada bumi. Terasa nafas semput tiba-tiba. Sikit lagi!
            Sikit lagi motosikal tadi nak langgar aku. macam mana aku boleh terbabas masuk jalan raya ni!
            Haish, berangan kau Diyan! Naik ke bahu jalan la….
            “Sorry bang!” aku cuba mencipta senyum setelah terasa nafas kembali normal. Mahunya tak terkejut bila motosikal abang ni tiba-tiba brek mengejut depan mata.
            “Nak jalan tu tepi sikit! kena langgar aku jugak yang susah!” habis aje apa yang dia nak cakap, abang yang bermisai lentik tadi terus memecut laju membelah jalan. Aku agak dia pun turut sama terkejut macam aku.
            Maaflah bang, berangan punya pasal, tak perasan dah terbabas masuk jalan raya. Ini semua kes nak berlagak jalan kaki lagi laju dari bas. Heh.
            Bang…Abang…
            Oh no!

            Aku lupa nak keluar balik tolong ‘abang’ tu!


****

Sayang Awak, Janji! [1]




[Satu]


Janji. Semua orang pernah berjanji. Aku pun sama. Tak kiralah janji nak bekerjasama untuk membuat perniagaan juta-juta ataupun janji nak bagi 20 sen kalau beri tiru kerja sekolah. Tak kisah apa pun, tapi janji tetap janji.
            Kesulitannya sekarang, tak semua orang yang berjanji tu tunaikan janji dia. Ya. Tak semua.
            Dan aku pun sama.
            Bukan nak kata aku pernah mungkir janji untuk bayar RM 1000 dalam masa sebulan waktu aku pinjam dengan Wahida dulu. Tak… ini bukan kes janji yang besar-besar gaya janji dua orang dato’ yang nak jodohkan anak-anak dia orang lepas tu anak masing-masing mula melawan membantah sebab tak setuju.
Bukan. Bukan sebesar tu. Janji macam tak tidur lagi walaupun dah janji dengan teman lelaki nak tidur lepas tengok cerita Rosalinda. Ataupun janji tak nak beli novel lagi bila tak ada duit, tapi beli jugak.
            Rasanya tak semua janji kena patuhi, kan? Kalau benda yang kita janji tu memudaratkan diri macam mana? Macam, kalau aku tidur lepas tengok Telenovela Rosalinda, aku akan bermimpi jadi girlfriend Fernando Jose Altamirano de Castillo walaupun bagi aku, Si Fernando Jose tu tak adalah kacak mana.
            Dan kalau aku tak beli novel baru, hidup aku terasa huru hara macam kekurangan sinar cahaya (chewah).
Tapi betul.
 Jadi, terpaksalah janji-janji itu aku mungkiri. Lagipun benda-benda tu tak ada kesan pada sesiapa pun, kan?
            Yang menjadikan benda tu sulit, adalah dia ni.
            Sungguh. Menyulitkan keadaan. Ya, aku tahu aku pernah janji nak telefon dia sebaik sahaja kaki kanan aku jejak lantai rumah. dah tu kalau telefon bimbit aku mati tak bernyawa macam mana?
            Tak ada kerja aku nak pinjam telefon rumah makcik depan semata-mata nak bagitahu dia yang aku dah selamat sampai. tak ada kerja namanya.
            Kalau dah macam tu cerita aku, takkan itu pun dia nak marah? Heh.
            “Berapa kali I nak cakap. takkan itu pun you tak boleh nak buat.” Sekali lagi telinga kiri aku yang tak bersalah ini kena ceramah percuma.
            Tengok. Inilah dia.
            Gaya macam aku buat salah besar aje bila tak bagitahu dia yang aku dah SELAMAT sampai dengan jayanya. Lepas ni mulalah dia nak kata…
            “You singgah tempat lain dulu eh?”
            …macam-macam. Hah. Dah agak pun.
            Spontan aku menggeleng laju selaju 10km/jam. Tangan kanan yang berada di bawah kepala aku bawa ke pelipis, nak hilangkan serabut (dengan harapan). Besar sangat ke salah aku? nak tahu sangat aku pergi mana, beli la GPS, lepas tu letak pengesan dekat badan aku. hah. Mampu?
            Ini tak ada ribut tak ada halilintar nak tuduh aku macam-macam pulak. Nasib baiklah aku ni jenis yang suka bertenang. Ya. Bertenang selagi boleh.
            “I terus balik la. You yang hantar I depan stesen bas tadi kan?” rasanya dah dua puluh lima kali kot aku bagitahu dia ayat ni. Masih juga tak nak percaya. “Bateri handphone habis. I cas dulu lepas tu pergi mandi.” bengkak hati aku. bengkak. Kalau bukan sebab dia ni, dia. Tak ada maknanya aku nak bagitahu segala jadah benda yang aku buat.
            “Takkan dah sejam baru nak call I balik?” suara dia dari corong telefon dah naik satu nada. Sikit lagi nak jadi soprano. Sikit lagi. ini kalau nak kira bunyi recorder, suara dia dah masuk tahap Alto dah.
            “You, I call bagitahu ni pun dah cukup baik, tahu? Kalau nak ikutkan I terus aje tidur dan you takkan tahu I sampai rumah ke tidak.” Aku membalas tenang walaupun dalam hati nak aje aku tengking kuat-kuat bagitahu ‘Hey, mind your own business la. Aku nak baik hati nak telefon ni!’
            Heh.
            “I penat Fadz. I nak tidur. Tadi pun I tak sempat nak sambung tidur you dah datang.” Sedaya upaya aku mencipta suara ‘penat’ nak bagi dia percaya. Tolong. Tolonglah percaya.
            Dahlah aku kerja shift malam. Pukul 10 pagi dia dah terpacak depan rumah, ajak keluar. Kalau nak diikutkan rasa hati dan jiwa, mahu pukul 2 atau 3 petang baru aku buka mata tengok alam semesta. Itupun kalau aku tak ‘cuti’. Kalau cuti rasanya sampai pukul 5 pun aku boleh selamba-bomba buat kuak lentang dekat atas katil tu.
            Nasib baiklah dia datang dengan permit BESAR arahan mama. Nasib baik. Kalau tak sampai malamlah aku tak layan dia punya ketukan dekat pintu tu.
            Aku mendengar dia mengeluh dari corong telefon. Dah mengalah agaknya. Ataupun dia masih tak puas hati mendengar jawapan aku. Agaknya dia ingat aku lebih memilih untuk lepak dekat kedai mamak berbanding tidur di atas katil empuk aku ni?
            Heh. Kata kenal hati budi aku. tipulah tu.
            “Sorry. I risau. Kalau apa-apa jadi pada you apa I nak jawab pada mama.”
            Inilah yang aku tak suka. Semua benda dia nak kaitan dengan mama. Takut mama marahlah. Takut mama risaulah. Takut mama tanya la.
            Dia nak kahwin dengan aku, kan? Bukannya dengan mama.
            “I’m okay, okay?” boleh buat hati jadi suam-suam kuku sungguh. “I nak tidur. I masih selamat dekat sini, jangan risau.” Aku menjawab perlahan. dah bosan sebenarnya melayan karenah dia.
            Tak. Aku tak pernah benci dia. mana mungkin aku benci manusia orang cintakan aku sepenuh hati (kata dia la). Sungguh. Tapi bila dah selalu sangat dia buat perangai macam ni, aku jadi bosan.
            Okay, aku tahu aku ni amanah mama pada dia. tapi aku bukannya tunang dia pun. Isteri apatah lagi. Aku cuma nak dia faham takat mana had dia tu. itu aje.
            “Night. Tidur awal. Basuh kaki dulu sebelum tidur.” Macam biasa, itulah pesanan dia pada aku tiap-tiap malam tanpa gagal.
            “Hmm.” dan aku, iakan aje walaupun aku tak pernah pun bangun balik dari katil semata-mata nak pergi tandas, ambil cebok dan basuh kaki. Tak pernah. Lagipun baru aje tadi aku mandi. kaki ni bersih lagi, tahu?
            Ini lah contoh janji yang aku mungkiri tu. tak basuh kaki walaupun dah berjanji. Heh.
            “Okay sayang, sweet dream.”
            Ini lagi satu. Sebenarnya telinga aku ni cukup meremang bila dengar perkataan yang satu tu. Tak suka. Sungguh. Kenapa entah aku rasa macam…tak suka bila dengar dia sebut tu. bukan sekali dua. Tiap-tiap hari.
            Tak jemu ke?
            “Night.” Terus aje aku mematikan talian. Fadzril Hakim. Bakal menantu mama. Bakal suami aku. itulah yang terbayang-bayang dalam kepala semua orang bila mendengar nama tu.
            Serius, aku sendiri tak tahu kenapa dia nak sangat aku (manusia yang paling dingin bila layan dia) jadi isteri dia. sungguh aku tak faham. Bukan nak kata aku pernah buat kuih sesedap Durian Crepe dan bagi dia makan pun (aku pun allergik dengan durian). Bukan juga aku pernah buat-buat gaya I-minat-dekat-you pun.
            Tak pernah.
            Aku hanya senyum. Senyum bila jumpa dia dimana-mana. Ya. SENYUM.
            Itupun sebab dia Team Manager tempat aku bekerja. Itu aje sebabnya. Takkan aku nak buat muka gangsta depan dia pulak. Karang tak pasal pasal elaun performance aku hilang. Rm200 tu. Bukannya sikit. Boleh beli nasi lemak 100 bungkus dah.
Nak dipendekkan cerita, terus aje dia minta izin mama (yang kebetulan datang ofis aku bagi handbag yang tertinggal dekat rumah) untuk keluar dengan aku.
            Dan semua tu dah tinggal kenangan. Kini, aku dah ‘selamat’ bersama dia walaupun dengan campur tangan mama. Mama dah berkenan sangat nak jadikan En. Fadzril Hakim ni menantu dia. Nampak macam muka budak baik aje. Kata mama la.
            Oleh sebab aku ni ada genetik hormat orang-orang tua, apatah lagi mama aku yang tersayang ni, nak tak nak aku ikutkan aje. Lagipun, Fadzril tak adalah teruk mana. Memangpun dia baik. Sangat-sangat baik.
            Tengok aje kes tadi. Lambat bagitahu sampai rumah pun dia dah risau gila. Ya, baik. Rasanya kalau sejam satu minit aku masih tak telefon dia, dia tak akan teragak-agak untuk start enjin kereta dan terus pecut ke rumah aku. rumah aku dengan rumah dia pulak bukannya macam Kampung Tualang rendah dengan Kampung Tualang Tinggi. Jauhnya berpuluh-puluh kilometer.
            Kebaikan dia tu luar kawasan betul. Sungguh. Itu yang buat aku…er…rimas.
            Dah tak tahu berapa kali dah aku mengeluh. Siling putih yang sudahpun dicemari sarang labah-labah aku pandang tanpa tujuan. Kalau sekarang ni pun aku dah terasa bosan, macam mana aku nak berdepan dia pada hari-hari yang akan datang?
            Macam mana?


HARI AKAN DATANG.
Ya. Ia termasuk juga dengan hari ni. hari kerja aku macam biasa. Tengok. Inilah sebabnya kenapa aku boleh rasa rimas dengan dia. Nak cakap tak suka, nanti merajuk pulak. Nak kata suka, memang dah sah-sah aku sangat tak suka.
Wahai hati. Sila tenangkan diri. Tenanglah wahai hati. Tenang. Bukan ke dari kecil lagi kau dah diajar untuk bertenang. Takkan benda kecil macam ni nak tunjuk garang sembur cahaya laser membunuh gaya superman?
            Tapi… kecil?
            Haish. Kalaulah benda yang jadi sekarang ni benda kecil. Bolehlah aku buat-buat tak ada apa-apa.
Dan rasa-rasanya untuk pakai baju sama corak dekat pejabat…aku rasa itu benda besar.
            Ya, benda besar!
Hampir ternganga mulut aku memandang baju kemeja merah jambu berbelang ungu yang dia pakai pagi ni. Baju yang kami sama-sama beli waktu keluar tengok wayang dua minggu lepas. Dengan mulut ternganga luas, aku melangkah juga masuk ke dalam lif yang dah pun dipenuhi dengan manusia-manusia lain. Manusia yang pandang kami dengan pandangan berbeza.
Patutlah awal-awal pagi lagi dia telefon tanya aku nak pakai baju apa. Kenapalah aku  tak fikir semuatu? Kenapa? Kenapa? Haish.
Aku tak tahulah apa yang dia fikir. Dekat luar ya, tapi dalam waktu pejabat, dekat pejabat…
            “Cantik baju.”
            …takkan nak buat pengumuman depan semua orang kot. Haih. “Thanks.” Nak tak nak, aku senyum aje pada Nina yang menegur. Aku nampak Fadz tersenyum simpul. Bangga. Apa yang nak dibanggakan pun aku tak tahu. bangga sebab dia ada teman wanita dekat pejabat ni? Heh. Dua tiga manusia yang turut berada di dalam lif turut mencipta senyum.
            Ya, aku tahu.
            Aku tahu bila dua orang yang berlainan jantina pakai baju corak yang sama untuk pergi kerja itu benda yang SANGAT jarang dijumpai. Sungguh. Sungguh aku menyesal beli kemeja sama dulu.
Dahtu, Fadzril ni dah kenapa? Mendung tak, cerah pun tidak tiba-tiba muncul dengan baju sama warna sama corak dengan aku pulak. Haish.
            Malulah macam ni…
            “Korang nampak sweet sangat!”
            …dan aku senyum lagi sambil menjeling ke arah nombor yang tertera pada dinding lif.
            “Thank you Jayden.” Giliran Fadz membalas dengan senyuman. Seronok la tu bila orang kata kami ni ‘sweet’. Entah betul ke tidak. Entah-entah Jayden dah letak awal-awal perisa perli dalam ‘sweet’ dia tu. heh.
            Sungguhlah aku tak faham. Nasib baik jugak Fadzril punya pejabat dekat tingkat yang berlainan. Kalau sama floor, mahunya aku pakai topeng iron man, tutup muka, malu punya pasal.
            Dan akhirnya, siksa dalam lif habis juga. Dengan selambanya aku keluar dari lif tanpa memandang ke arah Fadzril ataupun Jayden, budak callcentre tu. cukuplah untuk pagi ni. cukup. Tak pernah dibuat dek orang pakai baju sama pergi kerja. Kalau nak membuang masa dekat pasaraya tu logiklah jugak.
            Mama, tolong angah ma. Tolong!
            “Diyan!”
            Dengar aje nama aku dipanggil, terus aku berpaling ke belakan, Lif yang hampir tertutup rapat kembali terbuka luas. Mata Fadz tepat pada aku yang dahpun selamat berdiri tegak di hadapan pintu lif. apa lagi yang dia nak? Aku dah malu gila tahap cucu cipan ni.
            “Lunch pukul berapa?”
            Aku angkat bahu tanda tak tahu. selalunya, kerja macam aku ni waktu makan pun kena ikut arahan bos. Bukan selalunya, dah memang macam tu. “Kenapa?”
            “Kalau lunch pukul satu call I ya?”
            Aku nampak Jayden yang berdiri di tepi lif sengih. Aku nampak Tasya yang sibuk menaip sesuatu pada skrin handphone mengekek. Qayyum yang bersandar pada dinding lif hanya memandang tanpa reaksi.
            Haish Fadzril Hakim. Udah-udahlah tu memalukan aku. okay. okay. kita dah cukup suwittt dekat pejabat ni.
            Sungguh!
            “Hmm, OK.” Itu aje yang aku mampu balas sebelum lif kembali tertutup rapat. Lama aku merenung pintu lif dengan pandangan kosong. Sebelum seorang makcik yang aku agak hampir sebaya dengan mama tergopoh-gapah menekan butang lif. nak turun.
            Jam tangan Guess yang baru aje tiga hari aku pakai dah pun menunjukkan pukul 8.20 pagi. Dah nak mula pun shift aku.
            “Abang dekat mana tu?”
            Aku mengerling sesaat melihat makcik tadi bercakap melalui telefon bombit. Perlahan-lahan aku meninggalkan makcik tadi di hadapan lif. pintu pejabat aku dah tak jauh mana pun dengan pintu lif.
            “Mak dah nak turun pun. Mak tunggu dekat tempat biasa ya?”
            Kad keras yang berwarna putih aku layangkan ke mesin pengimbas. Bunyi ‘tit’ bergema sebaik sahaja kad aku disahkan. Perlahan-lahan aku mencipta senyum. Lawa makcik ni. anak makcik pun tentu sama ‘lawa’.
            Nak kenal dengan ‘abang’ makcik, boleh?
            Behave Diyan, behave. Awal-awal pagi lagi kau nak buat muka gatal. Orang masuk pejabat nak cari rezeki. Kau masuk pejabat terus lupa bakal tunang, lupa bakal suami. Heh.
            Okay, Fine. Aku janji tak buat lagi. Janji lagi…

Saturday 21 September 2013

Lunch

Hari minggu.

Tak keluar ke mana-mana

Tak ada date dengan sesiapa

Jadi, untuk lunch yang dah superrrr late, tekan kekunci, pilih-pilih-pilih, siap. Tak payah susah-susah guna suara yang cun, tak payah susah-susah pening kepala fikir menu.

Ini namanya dunia di hujung jari.

Mr. Delivery, cepatlah sampai. Nak parkinson dah neh.




Pilih aje set mana yang nak.



Lepastu boleh track dekat mana order kita tu. Pergh, senang je keje.


Okeh. dah sampai pun. Jom!




Friday 20 September 2013

Bukan Bab Baru





Hai. Ya, ini bukan entry bab baru. Kepada yang menunggu Nick Doll dengan Wan Senah, harap sabarrrr. Kita sama-sama sabar (pasal illa pun memang dah tak sesabo). Heh. Tapi InsyaALLAH tak lama dah. Dah dapat tarikh nanti, dengan besar hati dan jiwa, illa buat announcement (gaya retis pulak dah).

Jadi, sabar ya. =)

Okeh. Tanpa melengahkan masa dan saat dan ketika, jom illa kasik hadiah.



“Esok nak pergi, hari ni baru cakap?”
            Aku sengih senget (dah terjangkit dari dia) sebelum mendekati dia setapak. “Bolehlah…malam ni awak jogging lah sikit. Buat persediaan. Takut nanti cramp pulak.”
            “Siapa yang akan cramp ni? Saya ke awak?”
            “Awaklah. Saya pemenang marathon kejar train. Awak ada?” aku senyum bangga.
            “Cik Senah, you know what?” dia tiba-tiba tegak memandang anak mata aku.
            Hish, dah kenapa buat muka macam ni tiba-tiba? “Apa?” keluar juga suara yang tiba-tiba terasa tersekat di kerongkong. Ha...sekali Nick pandang macam tu, gelabah kau Wanda...
            “Lepas saya dah letak tanda you’re mine, awak dah tukar perangai baru.”
            Huh? Mata aku terus mengerling cincin di jari. Tanda. ya. Cincin tu cincin tanda dan silau masih terasa. 
            “Err… betul ke?” aku menelan air liur berkali-kali. betul ke aku dah berubah? Dan, kenapa Nick cakap macam tu? Adakah dia menyesal? Adakah? “Sorry…
            “It’s nothing, actually. Awak buat saya rasa lebih diperlukan.” Dia berhenti sesaat sebelum menyambung. “Awak buat saya jadi lebih bertanggungjawab untuk jaga awak sampai bila-bila… well, in a good way.”
Aku masih terdiam. Susah sebenarnya nak hadam kata-kata Nick tadi. apa yang aku dah buat sebenarnya? Apa yang aku dah 'ubah'?
“Kenapa sebelum ni awak suka sangat cakap berlapik?” soal Nick tiba-tiba.
“Berlapik?” kening aku terangkat tinggi. Apa makna dia?
Nick senyum nipis sebelum menjawab, “Saya tahu awak suka saya. Saya tahu awak nak sangat saya cepat-cepat masuk meminang. Tapi kenapa lain yang keluar dari mulut?”
Darah merah terus menyerbu ke muka. panas! Aiseh Nick. “Planet mana yang awak tinggal sebelum ni? Mana ada manusia dalam dunia ni cakap straight to the point macam tu?”
“Itulah masalah manusia sekarang. Kalau nak cakap putih, suka pergi pusing dekat tempat lain dulu. cakap kelabu asaplah. Hitam pekatlah, warna pelangilah. kalau putih cakap putih, kan senang.”

Aku terus geleng kepala. Tak percaya. Seriously Nick Rayyan, takkanlah aku tiba-tiba nak cakap depan dia yang aku suka dia sangat-sangat dan cepatlah masuk meminang aku? Ada ke....


Diorang nak pegi mana ni? Kehkehkeh. Jom tunggu....