Friday, 20 April 2018

Kita Akan Bercinta [Bab 5]



ABID sudah pun menunggu di atas kerusi kayu berhadapan dengan kaunter pendaftaran sewaktu aku melangkah keluar dari perut lif. Sempat juga aku hadiahkan senyuman kepadanya.
Berbahasa.
Dia yang ada di depan aku sekarang ini sama seperti dia yang tadi. Masih dengan rambut tak terurus, dengan jaket coklat tebal yang dibiarkan tidak dizip dan juga jeans lusuh.
Dia terus berdiri sebaik sahaja aku datang mendekati.
"Nak keluar macam ni?" tanya Abid.
Laju aje aku pandang diri sendiri.
Apa yang tak kena? Jeans dan T-shirt lengan panjang. Selendang pulak aku lilit macam biasa.
"Kenapa?"
Abid hampir ketawa bila mendengar soalan aku.
"Kat luar tu sejuklah."
Oh... pasal tu ke.
"Saya tahan sejuk." Cepat saja aku menjawab. Separa betul sebenarnya. Malas pulak rasanya nak naik ambil jaket aku tadi.
"Okey... Jangan ingat saya nak bagi pinjam jaket ni kalau awak sejuk nanti. Saya tak tahan sejuk." Tangan dia menyentuh jaket sendiri.
Aku buat muka.
"Tak ingin pun." Langsung tak terlintas dalam fikiran nak pinjam jaket dia.
Abid sekadar sengih dengan jawapan aku.
"Okey, jom."
Sebaik sahaja pintu ditolak, angin malam terus menyerbu muka. Aku ketap bibir bila suhunya lebih sejuk daripada yang aku jangka.
Pehhh! Sejuk dia lain macam!
Belum apa-apa lagi, aku sudah memeluk tubuh sendiri. Apahal malam ni sejuk pulak? Siang tadi elok je panas terik.
"Awak nak makan kat mana ni?" Aku mencipta soalan sebelum dia perasan yang aku dah kesejukan. Mata mula melilau ke arah papan tanda pada setiap kedai yang dilepasi.
Abid angkat bahu. "Entah. Kebab nak?"
"Kebab je?"
Meletus tawa dia.
"Kenapa?" Terpacul keluar soalan daripada mulut aku.
"Habis tu, awak nak apa? Nasi?"
Aku terdiam. Sebenarnya, perut aku ni dah lapar gila. Dalam flight tadi pun aku cuma sempat makan Nasi Lemak Pak Nasser je. Dan waktu tu masih lagi pagi. Sekarang, dah dekat isyak pun!
"Nasi kat sini mahal, cik kak oi. Tapi kalau awak nak makan jugak, saya bolehlah temankan. Tapi, saya makan kebab ajelah kat sebelah." Selamba dia menjawab tanpa memandang. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam saku jaket. Nampak selesa betul.
Kalaulah aku ikut cakap dia untuk pakai baju tebal tadi.
Aku mengeluh tanpa sedar. Bila angin malam sekali lagi menyapa tubuh, aku hampir menggigil kesejukan. Spontan kedua-dua tapak tangan digosok perlahan. Mencipta haba.
"Orang cakap sejuk, tak percaya..."
"Mana ada sejuk!" Kedua-dua tangan aku terus berhenti menggosok sesama sendiri.
"So? Nak nasi jugak ke?"
"Saya ikut awak makan kebablah," putus aku akhirnya. Lagipun, baru saja separuh hari aku dekat Perth. Takkan nak manjakan perut jamu nasi terus, kan?
Malam terasa dingin dengan cahaya lampu terang menerangi setiap bangunan yang dilalui. Beberapa orang tempatan yang melepasi aku dan Abid sempat melemparkan senyum ramah dan aku juga senyum membalas.
Tak jauh pun Abid bawa aku jalan. Hanya sekitar William Street, di luar kawasan Perth Library, Art Museum dan juga Perth Station, stesen kereta api kalau dekat Malaysia, macam KL Sentral lah.
Sebelum balik ke hostel, Abid singgah di kedai kebab halal dari Pakistan. Hampir terjojol keluar anak mata aku bila melihat harga yang tertera. Satu kebab dah AUD 8! Mak ai... baru sehari dah boleh kopak macam ni.
Kalau convert ke duit Malaysia, dua puluh ringgit lebih! Memang betul cakap Kak Hajar. Boleh bankrupt!
Abid tarik kerusi di salah satu meja luar dan mengarahkan aku duduk di situ.
"Memang dah rancang nak travel sorang ke?" soal Abid sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas kerusi.
Laju aku mengangguk. Malas nak bercerita panjang.
"Redah je ke, ada study pasal Perth?"
"Mestilah study!"
Abid sengih sebelum membuang pandang ke sekitar kedai.
"Dah tu, takkan tak tahu kebab dekat sini mahal?"
Nak mengata akulah tu.
"Tau..." Teragak-agak aku menjawab. Kedua-dua tapak tangan tanpa sedar menggosok lengan sendiri.
"Takkan tak tahu malam dekat sini sejuk?"
Bibir digigit perlahan. Kantoi! Sebenarnya, banyak perkara juga yang aku skip waktu baca pasal Perth. Niat di hati nak pilih info yang penting-penting. Rupanya semua info penting!
"Manalah saya tahu sejuknya sampai tujuh darjah celcius!"
"Sejuk jugak rupanya. Tadi cakap tahan sejuk." Dia ketawa perlahan.
"Saya tahan sejuklah." Aku masih nak menang walaupun sah-sah aku nampak kesejukan.
"Okey." Abid mengangguk-angguk penuh makna.
Pesanan kebab siap dan tanpa menunggu walaupun sesaat, aku terus mengisi perut yang dah lama bergendang minta diisi. Masing-masing makan tanpa suara dek kelaparan dari tengah hari.
Elok juga aku dapat kebab malam ni. Kalau hanya beralaskan perut dengan Maggi cup, aku sendiri tak tahu berapa lama aku boleh bertahan.
"Esok pergi mana?" Abid melipat kertas pembalut kebab yang dah habis dimakan sambil ralit memandang aku menghabiskan baki kebab yang ada.
Cepat betul dia makan!
"Pusing bandar ni je. Naik CAT bus, free." Aku menjawab tenang sebelum kembali menggigit kebab. Nikmatnya!
"Lepas tu?" Kertas pembalut yang dilipat kecil tadi diletakkan di tengah-tengah meja. Matanya masih tepat memandang aku.
"Hmm... pergi Caversham Wildlife Park. Lepas tu Fremantle." Aku masih sibuk mengunyah. Satu per satu senarai tempat yang aku dah buat diluah pada Abid. Janganlah tanya banyak-banyak.
Aku berjaya sampai dekat sini pun dah jadi kejayaan besar, tahu?
"Oh... then?"
"Mungkin pergi city beach kot." Hisy, ada lagi soalan dia ni.
"Jalan area sini je?" Berkerut-kerut dahi dia memandang aku.
Aku angguk. Nak pergi jauh-jauh, katanya tak ada public transport. Macam nak ke pinnacles tu... sand dunes ke...
Sejak dari rumah lagi, aku dah reda kalau tak dapat ke sana. Yalah, nak kena sewa kereta pulak kalau nak ke Pinnacles dan Lancelin. Kalau aku dengan kawan-kawan bolehlah juga kongsi sewa kereta dan buat road trip sampai sana.
"Tak sewa kereta ke pergi luar Perth?"
Soalan dia membuatkan aku berhenti mengunyah.
"Southern Perth tu lawa. Rugi kalau tak sampai. Sesetengah tempat dekat Northern Perth pun cantik jugak." Beria-ia Abid bercerita. "Kalau awak minat pada nature la." Sambung dia lagi.
Minat! Tapi...
"Saya jalan dengan public transport je."
"Kereta dekat sini sama dengan Malaysia jugak. Plus, highway dia tak banyak kereta sangat. Kalau awak ada bajet lebih, sewa je kereta. Pusing satu Perth. Memang takkan rugi!" Abid masih lagi dengan topik 'sewa kereta' dia.
"Saya tak ada lesen."
Dengar saja jawapan aku, Abid ternganga.
"Seriously?" Boleh nampak dia simpan tawa, tapi ditahan.
Aku buat muka bosan.
"Umur berapa ni? Takkan tak ada lesen lagi?"
Kurang tatasusila betul!
"Berdosa ke kalau tak ada lesen? Ada lesen tu syarat untuk hidup ya?" Sempat aku isi perisa perli dalam soalan tadi. Suka sangat nak kutuk aku!
"Tak adalah berdosa ke apa..." Terlepas tawa dia walau perlahan. Air mineral yang dia beli tadi diteguk seketika.
"Sebenarnya ada je. Tapi saya tak berani bawak dekat tempat asing. Kereta saya gerak dari rumah-ofis. Ofis-rumah. Tak pun, taman sebelah sebab nak pergi supermarket. Tempat lain tak berani. Apa lagi dekat sini." Aku buat muka.
Dah kenapa pulak aku kena terangkan panjang lebar pasal ni pada dia?
"Kalau macam tu..."
Dia tutup air mineral sambil merenung wajah aku.
"Kalau macam tu, apa?" soal aku tak sabar.
"Nak ikut saya buat road trip tak?"
Dengar saja pelawaan Abid, mata aku terus bersinar. Inilah orang cakap, bila mengantuk disorongkan bantal!
Aku semakin teruja. Bila dengar cerita dia pasal Southern Perth tadi, aku terus jadi tak keruan. Nak tengok jugak!
"Tapi bukan esoklah. Saya sewa kereta lusa. Esok saya nak ke Caversham Wildlife Park dulu dengan tren. Kalau you nak, kita kongsi sewa kereta dan minyak, okey?"
Keterujaan aku surut sedikit.
Ceh! Ada udang di sebalik mi rupanya. Patutlah dia ajak aku sama.
What do you expect, Tihah?
Mestilah dia pun nak cari orang untuk kongsi sewa kereta. Bukan aku saja yang nak berjimat. Lagipun, siapa aku ni dia nak belanja bawa pusing Perth free?
"Tapi kalau awak nak jalan sekitar city je, tak apa. Tapi rugilah tak dapat jelajah bahagian Southern Perth sana."
"Sewa kereta berapa?" Laju aku menyoal. Nak kena kira jugak bajet yang ada. Itu hari pun, aku tukar duit tak adalah banyak mana. Memang untuk bajet jalan-jalan dekat bandar saja.
"Nanti malam ni saya kira. Nak ikut?"
"Kalau berpatutan, saya ikut."
"Alah, pengalaman tengok tempat orang tak ternilai. Rugi kalau dah sampai sini, tapi tak jelajah."
"Ya, ya. Dah banyak kali awak cakap."
Abid senyum nipis.
"Awak kerja apa kat Malaysia?"
"Huh, kenapa?" Dia kerut dahi dengar soalan tiba-tiba daripada aku.
"Saya kenalah tahu jugak dengan siapa saya nak buat road trip ni. Karang tak pasal-pasal awak jual saya pulak."
Laju Abid menggeleng sebelum terlepas tawa daripada bibir.
"Awak punya imaginasi memang luar alam betul. Ingat untung ke kalau jual awak ni?"
Aku mencebik.
"Awak ingat kalau saya betul-betul jahat, saya nak mengaku ke yang saya jahat?"
Aku buat-buat tak dengar. Baki kebab tadi dimasukkan ke mulut sebelum aku mengunyah perlahan.
Ya... ya... aku tahu aku over berfikir.
"Tak nak bagitahu, sudah." Aku tak nak kalah.
"Cukuplah awak tahu yang saya buat kerja halal."
Aku tak menjawab. Kertas pembungkus kebab tadi turut dilipat menjadi kecil dan diletakkan di tengah meja.
"Jom balik."
"Eh, baru pukul 9.00. Tak nak jalan lagi?" Kening Abis terangkat seinci.
"Penat." Aku mencipta alasan. Sebetulnya, aku sejuk! Menyesal sungguh aku sarung t-shirt lengan panjang saja. Kalaulah aku capai jaket tadi sama, tak adalah aku kesejukan macam ni.
Dah hampir beku jari aku dengan cuaca malam dekat sini.
"Saya nak jalan sikit lagi ni. Kalau awak nak balik, saya hantar depan hostel." Abid bersuara tenang.
Dia tak sejuk, bolehlah nak jalan-jalan lagi.
"Nak jalan pergi mana?" Alah, ruginya tak dapat jalan lagi. Malam dekat Perth sebenarnya seronok jugak. Nak pulak bila esok hari minggu. Ramai orang keluar buat aktiviti masing-masing.
Suasana pun best. Meriah. Sayangnya kalau balik dah.
"Awak sejuk kan sebenarnya?" Abid menduga sambil memandang aku.
"Awak jalan ajelah. Saya balik sendiri."
Bila nampak aku dah mula berdiri, dia turut sama bangun dari kerusi. Kedua-dua pembalut kebab tadi dicapai dengan tangan kanan sebelum dia membuka jaket yang dipakai.
Jaket tadi diletakkan di atas meja dan ditolak ke depan aku. Spontan kening aku bertaut.
Apa maknanya ni?
"Nah. Nanti balik Malaysia awak viral pulak cakap jejaka Melayu tak gentleman. Biarkan gadis kesejukan di Perth."
Aku hampir tenganga. Bukan sebab terkejut dia bagi aku jaket, tapi sebab tajuk yang dia cakap tadi. Sempat pulak otak dia cipta tajuk entah apa-apa tu. Aku sendiri pun langsung tak terfikir nak viral apa-apa.
Ingat aku ni tipikal netizen yang 24 jam dengan smartphone dan cari peluang nak bash orang ke?
"Pakai ajelah. Baju saya ni pun dah cukup tebal. Baju awak tu je yang nipis. Tahan sejuk konon..."
Aku ketap bibir, geram. Ni nak bagi ke tidak?
"Take it, Fatihah. Kalau esok awak tiba-tiba demam, awak jugak yang susah. Saya tak ada hal. Masih boleh jalan-jalan dengan gembiranya." Abid senyum nipis. Cuba pancing aku.
Nak tak nak, aku capai juga jaket kulit Abid dari atas meja. Memang tak boleh nak ego dah. Dingin malam di sini bukan tahap main-main. Betul juga cakap dia. Dibuatnya kena selesema, esok memang terbaring dekat katil sajalah jawabnya.
Rugi tak jalan-jalan bila dah sampai sini!
Aku nampak dia tersenyum saat jaket tadi aku sarungkan ke badan. Bau minyak wangi yang dipakainya terus menusuk hidung. Fresh.
Tapi, rasa pelik pulak bila aku pakai baju lelaki. Kalau tahu dek Anum dan Kak Hajar ni, maunya dia orang pelik setahun.
Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum memandang Abid di depan.
"Puas hati?"
Abid sekadar angkat bahu dengan senyuman yang masih belum padam.
"Suits you well." Komen dia ringkas. "You're welcome."
Aku pandang tubuh sendiri. Bolehlah.
Lagipun jaket ni macam unisex je. Lelaki dan perempuan boleh pakai. Tak adalah janggal sangat rupa aku pakai ni.
"Thank you." Hari ni saja dah berapa banyak 'thank you' yang dia dapat daripada aku. Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam saku jaket. Macam ni barulah selesa nak pusing-pusing bandar Perth.
"Jom, kita jalan kawasan sana pulak." Plastik pembalut kebab dibuang ke dalam tong sampah yang berdekatan. Jari telunjuknya melurus pada jalan yang bertentangan dengan laluan yang kami dah singgah tadi.
"Awak okey ke tu? Tak sejuk?"
Aku melirik ke arah dia di sebelah. Baju putih gaya Shah Rukh Khan dalam Mohabbatein tu nampak kena betul di badan dia.
"Kenapa? Awak takut saya pulak yang selesema?" Dia jawab soalan aku dengan soalan. Langkahnya diperlahankan mengikut rentak langkah aku.
"Bukan apa, kalau awak tak sihat esok, tak ada pulak tour guide yang boleh bawa saya pusing Perth ni percuma." Laju aku menjawab. Rasanya tadi dia juga yang cakap dia tak tahan sejuk. Kalau dia betul-betul selesema esok, habislah aku.
"So, jadilah nak share bayar sewa kereta dengan saya ni?"
Lambat-lambat aku membalas pandangan matanya sambil mengangguk.
Dan Abid terus tersenyum.

-----Bersambung.....

Kita Akan Bercinta [Bab 4]



TIGA buah katil double decker menyapa mata sebaik saja aku membuka pintu bilik. Kosong tanpa penghuni yang lain. Ada satu katil saja yang sedikit bersepah menandakan ada yang menghuni. Aku tarik nafas panjang.
Menarik.
Tak sia-sia juga aku berjimat bila pilih dorm untuk wanita memandangkan hampir semua katil kosong tanpa tuan.
Ini namanya rezeki!
Senyum simpul menghiasi bibir sebelum aku melangkah ke dalam. Kasut diletakkanbersebelahan pintu bila melihat seluruh lantai dilapisi karpet.
Beg seberat hampir tujuh kilogram itu dihempaskan ke atas katil bersebelahan tingkap. 
Katil tepi tingkap, favourite. Dapat tengok permandangan luar.
Sebaik sahaja angin sejuk menyapa pipi, aku tersenyum lagi.
Alhamdulillah.
Badan dihempas ke atas katil sebelum aku mengeluarkan smartphone dari saku seluar. Applikasi WhatsApp dibuka. Jari-jemari mula laju menaip pada skrin,
- Kak, aku dah sampai bilik. Baru sampai je ni. Aku dah jatuh hati dekat Perth ni.
Send.
Tak sampai seminit, WhatsApp berbalas.
+ Ya? Alhamdulillah. Enjoy your holiday!
- Thank you! Tiba-tiba aku rasa macam nak pindah duduk sini je.
+ Hah, sehari kau dekat sana memanglah. Cuba kau duduk sebulan. Licinlah akaun kau tu nak bayar makanan.
Aku tersengih lebar bila baca jawapan daripada Kak Hajar. Memang pun, tadi waktu nak bayar harga untuk simcard pun aku dah rasa perit. Nasib baiklah banyak jugak 'data' yang diberi. Cukuplah untuk seminggu di sini.
Nafas dilepas perlahan. Mata dilemparkan di setiap sudut bilik yang sederhana besar itu. Cukup selesa walaupun ada tiga katil double decker. Ada ruang yang cukup untuk penghuni bilik ini lalu-lalang, solat dan juga ada almari kayu yang cukup untuk semua.
Aku bingkas dari katil. Cepat saja aku membuka almari kayu yang paling hampir dengan katil sebelum aku terkaku beberapa saat.
"Aku lupa bawa mangga!"
Automatik aku tepuk dahi sendiri. Macam manalah boleh terlupa yang aku perlukan padlock bila tinggal dekat dorm? Haish!
Common sense, Tihah. Common sense!

*****

BAJU dan barang-barang yang dibawa dah siap dikemas masuk ke dalam almari. Segala dokumen penting pula dimasukkan ke dalam beg kecil sebelum aku keluar dari bilik.
Nak beli padlock.
Rasanya belakang kaunter tadi, aku ada nampak macam-macam benda yang pemilik hostel ni jual. Mana tahu dekat situ ada padlock yang dicari?
Walaupun separuh hati aku kata tak apa kalau tak kunci pun, tapi separuh hati lagi berkeras untuk kunci. Bila difikirkan yang aku sekarang di negara orang dan manusia yang aku berkongsi bilik sekarang mungkin dari berlainan negara, aku jadi waswas.
Beringat sebelum kena. Dibuatnya satu almari barang kena rompak, macam mana? Dahlah datang seorang diri. Pada siapa aku nak bergantung nanti?
Pintu ditutup perlahan. Seorang lagi teman sebilik masih tidak menunjukkan rupa. Lagipun, hari baru menginjak petang. Mungkin dia pun tak habis lagi jalan-jalan dekat luar.
Aku pantas menuju ke pintu lif. Tak sampail lima minit, aku dah pun tercegat di hadapan kaunter pendaftaran tadi. Setiap barangan yang ditayang pada dinding belakang kaunter aku perhati satu per satu.
Kabel untuk smartphone... bateri... pencuci muka...
Padlock... padlock...
"Mana padlock ni... takkan tak jual?"
"Sorry?"
Aku tersengih sendiri bila ditegur dari tepi. Tak sedar pulak yang bibir dah terkumat-kamit sendiri. Wajah putih tinggi lampai si penjaga kaunter tadi aku pandang dengan senyuman.
Tadi tak ada orang dekat kaunter, entah dari mana pulak abang mat salleh ni datang.
"Kenapa?"
Satu lagi soalan dari bahasa lain menyapa telinga. Spontan aku menoleh ke kanan sebelum memandang lelaki yang ikut aku tadi. Apa pulak yang lelaki ni buat dekat bawah ni? Takkan nak cari padlock jugak?
"Padlock. Lupa." Sepatah-sepatah aku menjawab. Mata kembali fokus ke belakang kaunter.
"Nak guna padlock ke?"
"Hmm." Masih tak memandang lelaki tadi.
"Duduk dalam dorm?"
Kali ni, aku menoleh ke arah dia. Lambat-lambat aku angguk. Kening terangkat tinggi, pelik. Mana pulak dia tahu yang aku duduk dekat dorm?
Takkanlah dia ikut aku balik bilik tadi? Oh. My!
"What? Awak ingat saya ni stalker?" Pecah terus ketawa dia. "Common sense, cik kak. Sini ada dorm dan bilik private. Dan kalau awak nak cari padlock, mestilah sebab ada orang lain dalam bilik awak tu. Right?"
Ah... Logik. Logik.
"So, kalau awak nak guna padlock, saya ada lebih. Nak tak?"
Penjaga kaunter tadi masih memerhati kami yang bercakap sesama sendiri. Sesekali dia mencipta senyum di sebalik komputer di atas meja.
"Awak ada lebih?" Bersinar terus mata aku.
Laju dia angguk. "Nak pinjam tak? Kalau beli berapa AUD jugak tu."
Memang pun! Tengok harga air mineral pun boleh buat haus aku hilang!
"Nak!" Cepat saja aku terima pelawaan dia.
"Okey, kalau nak jom naik bilik saya."
Dengar saja perkataan itu, aku terus tarik muka masam. Hampeh betul! Baik ada niat tersembunyi!
"Muka tu kenapa?"
Berkerut-kerut dahi dia pandang wajah aku.
"Awak jangan main-main dengan saya boleh tak? Apa hal sampai ajak ke bilik pulak ni?" Suara aku dah naik satu nada.
Penjaga kaunter tadi turut angkat kepala, menjenguk. Mungkin terganggu dengan suara tinggi aku tadi.
"Lah... jom ke bilik ambil padlock lah. Saya nak hantar ke bilik awak pun tak boleh, tak tahu bilik mana satu." Dia ketawa di hujung kata.
Oh, macam tu ke? Aisey... aku ke yang over acting ni? Tiba-tiba muka aku terasa panas membahang. Malu!
Nasib baiklah abang mat salleh depan ni tak faham. Kalau tak, double malu yang aku dapat!
"Okey." Rendah aku menjawab. Muka dah merah menyala tahan malu. Bila dia dah mula melangkah ke pintu lif, aku terus mengekori dari belakang.
Kenapalah aku kena terikat dengan dia. Itulah, awal-awal tak bawa padlock sendiri, kan dah tak pasal-pasal terhutang budi dengan orang yang tak kenal.
Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba bertenang. Sempat aku mengerling sekilas ke arah dia yang berjalan setapak di depan.
Lemas sungguh bila terpaksa berdua dengan dia dalam lif!
"Datang sorang ke?"
Aku gigit bibir perlahan. Nak tak nak, aku kena juga jadi peramah. Tak mati pun kalau jadi peramah sekejap dekat negara orang, kan?
"Ha'ah. Awak?"
"Sorang jugak."
Suasana kembali sepi. Lif terbuka sebaik sahaja tiba di tingkat dua.
"Oh, awak bilik sorang." Aku menggumam sendiri. Patutlah dia tak guna pun padlock tu.
"Ha'ah."
Dia melangkah masuk ke dalam bilik yang masih belum terusik itu. Sempat juga aku meneliti segenap ruang. Tak besar, tak sempit. Muat-muat satu katil bujang dan ruangan untuk berjalan. Nak bentang sejadah untuk solat pun muat. Yang paling penting, kenapa nampak selesa sangat bilik ni?
Jeles!
Boleh tahan 'berada' jugak dia ni kalau boleh sewa bilik seorang. Aku senyum sendiri membuat kesimpulan.
"Saja nak duduk sorang. Kalau ikutkan bukannya mampu sangat." Padlock dihulur ke depan. "Tiap-tiap bulan makan megi je sebab nak sewa bilik dekat Perth ni." Dia tersengih sendiri.
Eh, dia ni. Macam tahu-tahu je apa yang aku fikir.
"Thanks." Huluran padlock bersambut. Sekali lagi aku terasa bagai deja vu.
"Malam ni makan kat mana?"
Aku sekadar angkat bahu. Belum ada perancangan pun nak makan di mana. Sekejap lagi waktu maghrib dah nak masuk. Nak keluar malam-malam pun, aku tak tahu nak pergi ke mana.
"Makan megi je kut."
"Dekat hostel ni?" Kening diangkat tinggi.
Laju aku mengangguk. Pelik sangat ke? Lagipun, kata penjaga kaunter tadi, dekat aras 1 ada disediakan pantri. Bolehlah aku masak air panas nanti. Nak masak makanan lain, waswas pula nak guna kuali atau periuk.
"Tak nak keluar ke?"
"Tak tahu nak pergi mana malam-malam ni." Tak. Bukan tak tahu sebenarnya, tapi aku takut nak keluar sendirian malam-malam.
Walaupun banyak blog jugak yang bagitahu bandar Perth ni selamat dan orang di sini semuanya baik-baik, tapi perasaan takut tu tetap ada.
"Saya nak keluar pusing area sini lepas maghrib nanti. Kalau nak ikut, jom."
Lama aku pandang wajah lelaki di depan, cari keikhlasan. Sebenarnya, aku sendiri tak tahu kenapa susah sangat nak percayakan dia. Rasanya tak pernah pula dia buat hal bukan-bukan selain ketawakan aku dekat airport tadi.
Antara takut, tak percaya dan peluang datang depan mata. Mana satu aku nak pilih ni?
"Don't worry, kalau awak nak snap gambar saya dan viral dekat Facebook pun takpe kalau masih tak percaya." Dia sengih lebar depan pintu. Sempat pulak dia angkat dua jari tanda 'peace'.
Aku senyum tawar. Tak rasa kelakar pun lawak dia buat tadi.
"Kalau nak ikut nanti, datang je sini. Saya ada sehingga waktu maghrib."
"Takkan nak datang sini?" Aku terus buat muka. Kalau pun aku setuju nak ikut, takkan aku nak datang ketuk bilik orang? Lelaki pulak tu!
"Oh... tak manis... Right." Dia sengih senget. "Kalau macam tu, saya bagi nombor telefon. Kalau awak nak keluar, WhatsApp je. Saya tunggu dekat lobi." Dia sudah meluru masuk ke bilik dan menulis sesuatu pada buku nota kecil.
Muka surat yang bertulis dikoyak sebelum mendapatkan aku di depan pintu.
Lambat-lambat aku menyambut kertas kecil yang dihulur.
"Nak ikut ke tak?" Sekali lagi dia menyoal soalan yang sama.
"Nanti saya bagitahu." Kertas kecil tadi dilipat sebelum diseluk ke dalam poket jaket.
"Abid."
"Hah?" Aku terpinga-pinga.
"Nama saya Abid, kalau awak nak save dalam senarai contact nanti."
Sempat lagi lelaki itu menayang gigi. Bila nampak dia senyum, automatik bibir aku juga menarik senyum.
Kan dah cakap senyum ni boleh berjangkit!
"Abig? Big?"
"Abid. A. B. I. D." Sepatah-sepatah dia mengeja. "Big tu awak."
Kurang asam. Dia tahu tak ini bukan big? Aku chubby je...
"Okey. Nama awak Abid. Noted."
Patutlah dia asyik nak berbual dengan aku!
"Lain kali cakaplah yang awak tu siapa. Tak adalah saya nak fikir macam-macam."
"Saya bukan apa, takut pulak awak dah lupa hal dekat Mid Valley tu."
Mana boleh lupa. Setiap kali nampak barangan yang aku beli tempoh hari, setiap kali itulah aku teringatkan kejadian tertinggal beg plastik tu.
Secara tak langsung, lelaki yang sudi tolong aku itu juga bermain-main dalam kepala. Berhantu betul!
"Okey, sekali lagi terima kasih untuk ini." Aku angkat padlock di tangan sesaat sebelum menuju je lif.
"Fatihah, wait!"
Aku lantas menoleh dengan kening terangkat.
"Bilik nombor berapa?"
"Rahsia."
Abid terus menggeleng dengan senyuman.

*****

SELESAI solat asar, aku sempat termenung di atas tikar sejadah nipis yang dikhaskan untuk pelancong. Lewat aku solat asar hari ni. Beberapa minit lagi, dah nak masuk waktu maghrib.
Hati masih berkira-kira untuk terima pelawaan Abid atau tak.
Fikiran mula bercampur-baur sehinggalah selesai solat maghrib. Elok saja selesai melipat telekung, pintu dorm kecil itu dibuka dari luar.
Spontan aku mencipta senyum sebaik sahaja melihat teman sebilik yang dari tadi tidak kelihatan.
"Oh, hi!"
Jelas nampak riak terkejut dia bila menyedari aku ada di situ. Aku menghadiahkan senyuman. Sempat juga aku bersembang ala kadar setelah bersalaman.
Emilie, dari Perancis. Tinggi lampai dengan rambut perang panjang mencecah bahu. Wajahnya yang sentiasa tersenyum membuatkan hati aku terasa tenang.
Best juga rupanya bila sewa dorm macam ni. Macam-macam manusia boleh jumpa. Dan, langsung aku tak sangka yang aku boleh berkawan dengan orang Perancis!
Syabas, Tihah!
Walaupun Bahasa Inggeris aku tak adalah sefasih mana, tapi Emilie tetap sabar melayan aku. Dan, bila ditanya yang aku keluar tak malam ni, terus aku mengangguk.
"Alone?" soal Emilie.
"Nope. With my friend."
"Oh, okay." Emilie senyum lebar sambil mengemas kain bajunya yang sedikit berselerak di atas katil. "Take care."
Aku senyum lagi. Ramah betul Emilie ni.
Aku bersila di atas katil sambil memandang kertas kecil yang tertulis nombor telefon Abid tadi. Cepat saja tangan mencapai smartphone dari bucu katil sebelum nombor telefon dia dimasukkan ke dalam senarai contacts.
Keluar ajelah.
- Saya jadi ikut awak keluar. Tunggu saya.
+ Nice. See you.
Aku berasa cuak pula bila membaca jawapan balas daripada Abid. Betul ke tindakan aku ikut dia ni?
Abid bukan saudagar yang jual rakyat Malaysia di negara orang, kan?
At least, nampak macam tak. Tapi, tak apa ke aku keluar dengan dia dekat Perth ni? Bukan ke dia tu pakwe orang?
Ah, follow the flow ajelah!

****

Bersambung.....