Thursday, 17 March 2016

Memori Tri + Nani [Bab 4]

[Bab 4]

AKU MELETAKKAN skuter merah milik aku betul-betul di sebelah Restoran Dapur Sedap sebelum mengunci tayar depan. Rumah sewa aku betul-betul di atas restoran di tingkat empat.
Walaupun awal-awal dulu rasa nak tercabut juga lutut bila hari-hari panjat tangga sampai tingkat empat, sekarang ni aku dah terbiasa. Nak naik, turun dan naik balik pun tak ada hal.
Oleh sebab paling atas, sewa rumah jugak tak mahal mana. Sebab itulah kami mampu tinggal lima orang saja.
Zati dan Sirah di master bedroom, Anis dan Mila di bilik tengah dan aku di bilik paling kecil. Aku sikit pun tak kisah duduk dalam bilik kecil ni sebabnya dan ada meja studi, tilam untuk tidur dan almari kain yang aku letak baju-baju dah cukup sangat bagi aku.
Kalau ruang besar pun, buat aku sepahkan barang je. Heh.
Buka saja pintu, mata mula menangkap Anis, Sirah dan Zati yang bersila di depan TV. Kalau duduk bersila ni tak ada lainlah. Tengok movie ataupun makan.
“Hoi, makan.”
Aku sengih selapis sambil meletakkan helmet merah yang aku pegang tadi ke atas meja yang dikhaskan untuk helmet.
“Langkah kanan aku harini...” Beg sandang dan segala jenis barang aku letakkan ke dalam bilik sebelum turut bersila di depan TV.
“Siapa masak?”
“Anis.” Zati mejawab sepatah.
“Wow!” Kecur air liur aku bila nampak ayam masak merah menyala depan mata. Lama sungguh tak makan masakan dapur rumah sewa sendiri.
 “Maaflah kalau tak sedap.” Anis sengih senget.
“Berani nak complain? Dapat makan lauk dekat rumah pun dah kira untung.”
Semua ketawa lepas. Dah jadi kebiasaan siapa yang free dia masak. Tak ada jadual bertugas pun. Kira siapa rajin, masak. Malas, beli dekat bawah. Tapi kalau nak dikira, yang malas itulah yang banyak.
Belum sempat aku kunyah suapan pertama, Xiaomi mula menjerit lantang. Sengaja aku biarkan lagu 50 Ways To Say Goodbye itu berlagu sendiri. Masa makan, jangan kacau aku.
Sehari suntuk tak jumpa nasi ni.
 “Tak nak angkat ke?”
Aku geleng, menjawab soalan Sirah. Kalau ada benda penting, mesti dia orang akan telefon balik. Lagipun, selalunya pelanggan jualan online aku aje yang selalu telefon. Dah besar-besar tulis dekat Facebook dan Instagram ‘WhatsApp only’,  ada jugak yang tak faham pergi telefon memanjang.
Ingat kerja aku angkat telefon aje agaknya.
“Nanti kau update senarai shawl baru. Aku nak tengok.” Sirah mencapai gelas berisi air kosong dari dulang. “Rasa gatal pulak tangan nak habiskan duit.”
“Untunglah kaya.” Zati menyampuk tanpa memandang. Matanya melekat pada Berita Utama di kaca TV.
“Kau ni pun, stok tu ada je dalam bilik aku. Tengok jelah. Nak kena update pulak.”
“Malas nak sepahkan. Barang kau tu dahlah bertimbun dalam bilik tu.”
Aku sengih. Memang betul pun dia cakap. Bilik kecil itulah yang jadi stor tempat aku simpan barangan jualan aku. Mana tak bertimbun!
“Yelah. Nanti aku update. Sekarang nak pakai WiFi pun payah.” Hati tiba-tiba bengkak bila teringatkan kejadian tadi. Mulut mengunyah nasi yang tak bersalah dengan geram.
“Apahal pulak? WiFi kedai kek tu dah kena potong ke?”
Aku menjawab soalan Anis dengan gelengan. Semua tahu yang aku suka online dekat situ. Nak guna WiFi universiti, memang sehari pun payah nak upload gambar. Itu yang Kak Hasya bermurah hati bagi aku guna WiFi dia.
Tapi sekarang ada mamat yang suka-suka tukar password pulak...
“Dah tu? Kak Hasya tak bagi kau guna dah?”
Sekali lagi aku menggeleng. Anis dan Sirah berpandangan. Zati masih menumpukan perhatian pada berita yang hampir ke penghujung.
“Adik Kak Hasya tu...” Sengaja aku membiarkan ayat itu tergantung. Satu lagi suapan dibawa ke mulut.
“Adik?”
Kali ni aku angguk laju. “Adik dia tukar password setiap hari. Panjang berbelit pulak tu.”
“Kedekutnya!”
Exactly! Ha, nampak. Bukan aku aje yang rasa dia kedekut. Semua pun kata macam tu.
Xiaomi melolong lagi sebelum sempat aku menyokong kata-kata Anis. Kali ni aku gagahkan juga kaki untuk bangun ke bilik. Dah tiga kali berbunyi, penting sangat la tu agaknya.
Beg sandang aku selongkar dengan tangan kiri. Melihatkan nama Paan pada skrin, kening aku mula berkerut.
“Paan?”
“Hah, kau. Eksen bebenor tiga kali call baru nak angkat.” Paan terus membebel sebaik sahaja aku menyambung talian.
“Aku tengah makanlah.” Aku duduk di kerusi meja belajar sambil menyilang kaki. “Kau nak apa?”
“Alah, dah makan ke? Aku baru nak ajak kau belanja. Hutang assignment tadi.”
“Bukan kau tolong tadi ikhlas ke?” Mengungkit pulak dia ni, sengaja la tu nak habiskan duit aku. Orang cari duit susah-susah.
“Mana ada benda percuma dalam ni sayang oi. What you give, you get back.” Paan ketawa lepas.
Macam itu pulak yang dia tafsir. Dah elok-elok orang cipta quote tu untuk kebaikan.
“Tapi aku dah makan ni, takkan nak makan lagi. Esok ajelah.”
“Malam ni la. Aku lapar ni tak makan lagi. Dah siap makan, kau turun. Kedai bawah ni je pun.”
Aku mengeluh. Tak ada kerja aku nak keluar makan semata-mata nak belanja dia.
Nasi dekat rumah ni pun banyak.
Hah!
Aku senyum sendiri. Idea sudah mari.
“Ok. Nanti aku text kau.” Aku simpan senyum. Lapar sangar kan. Aku bungkus je nasi dekat rumah ni. Settle. Tak payah habiskan duit aku.
Oh, bijaknya kau Nani!


“BIAR BETUL KAU masak untuk aku?”
Sikit lagi aku nak tergelak bila nampak muka Paan berkerut sejuta. Dia pandang bekas makanan dan muka aku bersilih ganti. Agaknya terharu bila aku bungkuskan makanan bagi dia gaya orang rumah bagi bekal dekat suami.
Heh. Beranganlah kau Paan oi.
“Housemate aku masak. Ada lebih.” Laju aje aku membetulkan segala anasir-anasir yang bakal hadir dalam kepala dia.
“Mati-mati aku ingat kau masakkan aku makan malam.” Paan sengih senget. Bekas makanan tadi diletakkan di dalam raga motosikal.
“Dah tu, tak nak keluar makan dengan aku la ni?”
“La, kan dah ada makanan tu. Nak makan apa lagi?”
“Teman ah. Kau minum je pun tak apa.”
Kening aku automatik berkerut. Memang lain macam Paan hari ni. Selalunya mana ada buat perangai nak juga aku temankan dia malam macam ni. Kalau ada pun jarang. Waktu di ada masalah je.
“Kau ada problem eh?”
Dia sengih senget. LC hitam emas milik dia diparkir di tepi kaki lima. Dia mencapai bekas makanan tadi dan terus membawa langkah ke Restoran Dapur Sedap yang tak jauh dari tempat kami berdiri.
Sah dia ada masalah.
Nak tak nak aku ikut juga dia dari belakang. Nasib baiklah aku bawa dompet turun sekali tadi. Kalau tak, memang air pun aku tak mampu nak belanja dia.
Dia pilih meja paling tengah, depan TV. Aku hanya menurut. Nasib baiklah pekerja dekat sini dah kenal aku lama. Bolehlah juga buat macam kedai sendiri, bawa makanan luar.
Selesai memesan air, sekali lagi aku pandang wajah Paan. Dia membalas dengan kening terangkat.
“Apa?”
Elleh. Buat-buat cool konon.
“Ok. Story telling time.” Aku menyilangkan kedua-dua tangan ke dada sambil bersandar pada kerusi.
Story telling apa pulak kau ni.” Dia membuka bekas makanan yang berisi nasi putih dan ayam masak merah tanpa menghiraukan.
“Wow, terernya budak rumah kau masak!”
Aku mencebik. Sengaja la tu nak ubah topik. Macamlah tak biasa nampak ayam masak merah. “Jangan tukar topik boleh tak?” Aku menyua muka ke depan, geram.
“Eh, jauh sikit. Aku tak suka dekat-dekat dengan perempuan ni.” Sekali lagi dia tarik sengih.
Paan ni la. Ada jugak aku terbalikkan bekas makanan ni karang.
Sudahnya, aku bersandar saja pada kerusi sambil melihat dia makan. Itulah Farhan. Kalau tak nak buka cerita, korek macam mana pun memang tak akan dapat.
“Tak makan, kak?”
Aku angkat kepala melihat Ikram, pelayan Restoran Sedap yang menegur ramah. Teh O ais dan teh ais diletakkan di atas meja.
“Dah makan tadi. Terima kasih.” Aku mencipta senyum segaris. Berbahasa.
Ikram cuma mengangguk dan terus berlalu dari situ. Sejak menyewa dekat rumah kedai ni, hampir setiap hari jugak aku jumpa Ikram.
“Ana...” Paan di hadapan bersuara sepatah.
Tumpuan aku kembali pada dia yang masih tunduk menghabiskan makanan. Automatik aku menelan air liur bila satu nama itu disebut.
Ana. Ana kawan aku. Ana girfriend Paan.
“Kenapa dengan Ana?” Dada mula berdebar pelbagai lagu. Bukannya aku tak biasa dengan cemburu Ana. Selalu. Tapi apa nak buat? Aku kenal Paan dari tadika kot. Satu kampung, satu sekolah rendah, cuma sekolah menengah saja berbeza sebab dia masuk asrama.
Dan tak tahu macam mana boleh jumpa dekat universiti ni. Satu kelas lagi.
Dan Ana pula, aku kenal waktu hari pertama daftar dekat universiti. Kalau nak diperincikan lagi, Ana kenal Paan melalui aku jugak.
Jadi aku tak faham kenapa dia nak cemburu lebih-lebih dengan aku.
“Dia mintak putus.”
Aku ternganga. Biar betul? Dah dekat tiga tahun kot!
“Kenapa?”
Paan angkat bahu. Tangannya masih laju menyuap nasi ke dalam mulut.
“Tipulah kau tak tahu. Takkan tiba-tiba?” Takkan sebab cemburukan aku lagi kut? Biar benar Ana ni?
“Sebab aku, eh?”
“Kenapa sebab kau pulak?”
Kali ni giliran aku pulak yang angkat bahu. Tanda tak tahu. “Entah. Sebab hari ni dia dah block dari dari FB. Aku ingatkan sebab dia marahkan aku sebab tak ajak dia main bowling hari tu.” Aku sengih senget.
“Takkanlah sebab tak ajak main bowling pun dia nak block kau.”
“Manalah tahu. Kau tahulah cik intan payung kau tu.”
Kali ni Paan ketawa lepas. Aku tahu dia sendiri pun dah masak dengan perangai manja Ana. Tapi, itulah yang dia puja. Yang dia suka.
“Entahlah Nani. Kadang aku fikir, senang-senang aku pinang kau jelah. Mama pun dah kenal kau. Mak kau pun dah kenal aku. Kau pun dah masak sangat dengan perangai aku. Tak payah aku nak makan hati hari-hari.”
Ke situ pulak dah perginya.
“Kau dah gila eh?”
Paan ketawa lepas. Dia menggeleng beberapa kali. Mungkin dia sendiri tak sangka dengan apa yang dia cakap sekarang. Bukan dia aje. Aku pun tak percaya.
Ada ke nak pinang aku sebab Ana minta putus?
“Agak-agak kalau aku pinang kau, kau terima tak?” Paan merenung mata aku lama. Sungguh, aku sendiri tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Paan ni main-main ke serius?
Sumpah aku tak boleh nak beza.
Akhirnya aku mencebik sambil melarikan pandangan ke arah TV yang tergantung pada dinding kedai.
“Gila.”


HANYA ADA DUA kemungkinan yang boleh aku rumuskan perihal malam tadi.
Satu. Paan bergurau.
Dua. Aku yang over serius.
Akhirnya soalan gila Paan malam tadi dibiarkan tanpa jawapan sehinggalah hari ini.
Keadaan kembali seperti biasa. Dalam kelas macam biasa dan dia masih tegur aku macam biasa dan melawak macam biasa.
Sungguhlah. Kenapa aku pulak yang rasa luar biasa bila teringatkan soalan dia malam tadi? Lagak Paan dalam kelas tadi seolah-olah dia hanya tanya soalan ‘nak makan KFC tak?’
Lelaki. Inilah dia. Bila serius pun aku tak tahu.
Aku mengeluh kuat. Segala jenis buku yang aku pegang dari dewan kuliah diletakkan di atas meja perpustakaan.
Betullah aku yang ambil serius. Orang disana tak ada apa-apa pun.
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil membuka beg laptop yang memang aku bawa dari rumah. Walaupun kelas tak pernah guna laptop untuk sesi pembelajaran, tapi aku suka angkut sekali bila keluar.
Senang untuk aku buat kerja lepas kelas.
Lagipun laptop aku 12 inci je. Berat pun tidak. Sengaja aku beli yang ringan sebab kerja aku memang akan sentiasa angkut laptop ke sana kemari.
Aku tarik salah satu kerusi yang berdekatan dan terus duduk di situ.
Sempat aku menggeliat kecil sambil melemparkan pandangan ke seluruh isi perpustakaan itu. Tak ramai pun manusia. Tengah hari pun belum, ramai yang masih ada kelas agaknya.
Aku membuang pandang ke arah timbunan buku yang aku bawa tadi. Tutorial Particle Technology ada dua soalan. Assignment Ethnic Relation satu.
Tapi semua tu langsung tak menarik minat aku.
Tumpuan aku kembali pada Acer di depan. Laju saja tangan menaip password WiFi universiti.
Elok saja disambung, tangan pantas menekan icon Google Chrome. Stok baru dan stok lama perlu dikemaskini. Tudung, selendang, perfume, kek.
“Lambatnyaaaa!” Suara terkeluar juga tanpa sempat aku tahan. Beberapa pelajar yang duduk berhampiran menjeling tak puas hati.
Alah, aku bising sesaat ajepun. Bukannya berjam-jam.
Melihatkan paparan google yang masih putih pada skrin, aku mengeluh berat. Ni entah berapa jam lagi baru dapat letak gambar baru ni.
Tak boleh jadi.
Aku kena jugak guna WiFi Kak Hasya. Lagipun, bukan aku duduk saja-saja. Aku beli kopi jugak, kan?
Ya, Nani. Kau tak buat salah. Kak Hasya bagi kau green light. Bukannya curi-curi guna. Persetankan segala halangan yang bakal tiba.
Persetankan encik suka-suka hati tukar password semalam. Baru sehari dua jenguk kedai dah nak buat macam negara sendiri.
Persetankan.


Memori Tri + Nani [Bab 3]

[Bab 3]

OKAY, SEKARANG NI aku tak tahu nak ketawa atau menangis. Entah berapa lama mata dipaku pada skrin Xiaomi Note di tangan merenung skrin yang menunjukkan laman Facebook tu.
Patutlah tak boleh nak tag dia, aku dah kena removed rupanya.
Ketawa aku lepas juga. Tak sangka langsung kali ini aku sendiri yang kena. Bukannya aku tak tahu yang selama ni dia memang suka block atau remove orang dekat Facebook kalau dia tak suka.
Kalau gaduh ke, kalau tak puas hati ke dan sekarang, aku pulak yang kena.
Aduhai.         
Tangan kanan laju aje menekan butang close. Terus saja paparan wall dia hilang dari skrin. Dah tak jadi terus nak tag nama dia dalam status.
Boleh pulak kau main aci kawan tak nak kawan macam budak sekolah darjah dua wahai Ana.
“Hoih, belajar. Kau sengih depan telefon ni kenapa?”
Bahu aku dicuit dari tepi. Jiha sengih dengan pen ditangan.
“Kau salinlah. Nanti aku tiru.” Cepat aje aku masukkan kembali telefon bimbit ke dalam beg dan mencapai pen yang dah lama tersadai di atas meja. Kuliah Dr. Rajesh ni memang mampu buat fikiran aku melayang.
Itu yang terasa nak buat status tengok wayang tu.
Tapi terbantut pulak. Sebab dah kena remove dek kawan sendiri.
Haih. Kelakar.
“Sengih lagi...” Jiha bersuara tanpa memandang. Aku cuma tayang gigi. Pen hitam menyentuh dada buku nota yang hanya bertulis tarikh hari ini. Nota yang dah hampir separuh slide ditayangkan aku salin dengan rasa malas.
Namun, sesaat kemudian tulisan aku terhenti kaku.
Hari ni Isnin. Macam ada je benda yang kena hantar hari Isnin.
Alamak!
“Weh, Assigment kau dah siap?”
Anggukan Jiha membuatkan dada aku yang sesak terasa lega. Bolehlah tiru dia lepas ni, kan?
“Tapi aku dah hantar pagi tadi. Masa lalu depan pejabat fakulti.” Laju aje Jiha menambah.
Alahai Jiha ni. Kenapa rajin sangat nak hantar awal. Dateline pukul lima kot. Sekarang baru pukul... aku pandang jam di tangan.
Dekat pukul satu!
Mati aku. Macam mana aku nak jawab soalan berupa masalah negara tu dengan hanya empat jam?
“Tak siap lagi ek?”
Laju aku mengangguk. Mata kembali pada slide Dr. Rajesh di depan walau hati dah terasa galau.
“Banyak lagi?”
“Langsung tak buat.” Aku menjawab perlahan.
Jiha terus ternganga bila dengar jawapan aku.
“Aku tak reti la...” Sempat aku bela diri sendiri.
“Ajar aku weh. Macam tak sempat je nak buat sendiri.”
Lepas kelas Dr. Rajesh ni, sepanjang petang free, tak ada kelas. Bolehlah belanja Jiha teh o ais ke, milo tabur ke, sambil-sambil tu boleh ajarkan aku soalan Mechi ni.
“Tengah hari ni aku ada hal. Sorry sangat,” Jiha pulak yang tayang gigi. “Bukan tak nak tolong kau. Aku memang nak kena pergi KL petang ni. Sebab tu aku hantar awal tadi.”
La... pulak dah. Dah tu siapa nak tolong aku siapkan assignment ni? Hadoi, siapalah yang cipta subject ni hah? Siapa?
Kelas Dr. Rajesh dihabiskan dengan perasaan berbaur. Marahkan diri sendiri + menyesal tak buat awal-awal + padan muka aku + takut.
Macam mana kalau aku tak dapat nak siapkan? Sudahlah markah test pun tak lulus. Kalau assignment aku tak bagi kesan untuk carrymarks aku, macam mana?
Aku tak nak gagal final nanti. Letihlah kalau kena ambil kelas repeat.
Aku keluar dari dewan kuliah dengan langkah longlai. Sikit pun tak ada tenaga walau nak berjalan pun. Nak tak nak aku kena buat jugak sendiri, tak kisahlah dapat markah ‘sa’ pun.
Buat ikut apa yang aku mampu, kan? Kurang-kurang ada jugak markah dari kosong aje.
Aku mengeluh perlahan. Semua orang dah berpusu-pusu keluar dari dewan kuliah dan Jiha pulak awal-awal dah cabut.
Pintu kelas ditolak dengan sebelah tangan dan mata mula melilau mencari sesuatu di lantai dengan harapan kertas assignment sesiapa tercicir depan pintu dan aku boleh tiru, tapi hampa.
Nafas dihela perlahan sebelum mata menangkap susuk tubuh yang dikenali.
Itu bukan ke...
Bibir aku terus tersenyum lebar. Penyelamat aku!
“Paannnnn...!” Mata terus bersinar bila aku nampak Paan disitu. Beberapa orang pelajar yang berjalan di sekitar fakulti mencuri pandang. Laju aje aku mencebik.
Macamlah nama diorang semua ni Paan. Aku panggil Paan, biar Paan ajelah pandang.
Heh.
Aku nampak Paan angkat kepala dari kertas di atas meja. Bibir aku masih lagi dengan sengihan. Dah agak dah! Tengah buat assignment la tu.
“Weh!” Aku kuatkan suara. Telinga tak pernah nak kosong dari headphone!
“Kau dah kenapa?” Buku rujukan Hibbeler ditarik ketepi, memberi ruang pada beg kuning aku. Tanpa menjawab soalan dia, aku terus rentap pen yang dipegang. Laju aje kertas assignment dia jadi mangsa contengan tulisan comel aku.

‘Kot ya pun, buka lah headphone dekat telinga tu. Semua orang pandang aku tau. MALU!’

Dia sengih bersalah sambil menurunkan headphone tadi ke leher.
“Hah, aku dah buka. Kau nak apa?”
“Kau buat assignment kan?” Kertas yang dihadapnya dari tadi aku jeling sesaat. Sekali pandang pun aku dah tahu dia buat assignment mechanics.
“Haah, kenapa?” Kening dia terangkat seinci.
Aku melebarkan sengihan. Tangan mula laju keluarkan kotak pensil dan kertas kajang dari beg.
“Kau dah siap ke weh?”
“Nama aku Muhammad Farhan bin Rosli, bukan Weh.”
Aku ketap bibir sendiri, geram, Nasiblah kaulah Nani dapat kawan macam ni.
“Dah siap ke?” Aku menjengah ke dapan tanpa mempedulikan perlian Paan.
“Huish, apa dekat-dekat ni? Aku tak biasa dekat-dekat dengan perempuan ni.”
Elleh, poyo je lebih! Muka sengih Paan aku pandang dengan rasa menyampah. Kalau bukan sebab nak tiru assignment dia, tak adanya aku nak relakan telinga ni makan perlian demi perlian Paan nih. Menyengat!
“Tinggal satu soalan je lagi. Last. Kalau kau nak tengok yang lain ambil je lah. Tak payah nak sopan sangat dengan aku.” Paan menjawab tanpa nada.
Oh Paan, kaulah penyelamat aku!
Sengihan yang masih mekar berkembang, aku susun kertas kajang, pen pembaris, pensil, pemadam di atas meja. Sedia untuk membuat assignment. Iyalah. Takkan nak keluarkan megi goreng pulak waktu-waktu macam ni.
Mata pen mula berlari pada dada kertas. Sesekali aku angkat kepala, pandang Paan yang asyik mengira itu, ini. Menulis itu, ini. Robot ke apa dia ni? Main buat macam tu je? Buka buku pakcik Hibbeler pun tidak. Biar betul?
“Yang kau tenung aku lama-lama ni kenapa?”
Kantoi mati anak itik tenung anak teruna orang. Huh, malu weh!
“Kau buat macam tu je?” Terkeluar jugak soalan yang satu tu.
Mana taknya, kalau aku, satu buku rujukan tu aku akan belek. Tak cukup dengan tu, aku akan telefon Jiha atau Sofia kalau ada yang aku tak tahu.
Si Paan ni pulak boleh jawab soalan ni macam makan kacang?
Hebat. Hebat.
“Kenapa?” Dia pandang aku dengan hujung mata.
“Senang ke soalan ni? Aku tengok tak faham apa pun.”
“Sebab itulah mak ayah hantar pergi sekolah suruh belajar dalam kelas. Bukan guna handphone untuk main Facebook dalam kelas.”
Aku tarik muka. Perli. Perli. Menusuk betul. Mesti dia nampak status aku pagi tadi. “Elleh, kau pun tadi ponteng.”
“Itu kira darurat. Nak kena siapkan assignment untuk kasi dekat budak tu tiru.”
Ceh, kena lagi!
“Paan,”
“Apa?”
“Kau diam kejap boleh tak? Aku kena concentrate buat ni. Tak sempat siap karang mati aku kena ketuk dengan Dr. Amin.”
“Huh, ambil balik kertas aku karang.”
“Janganlah, aku nak buat rujukan.” Cepat-cepat aku pegang kertas assignment Paan yang ada di atas meja.
Paan sua buku Mechanics of Material tulisan pakcik Hibbeler ke depan.  Sikit lagi nak kena batang hidung aku yang tak berapa mancung ni.
“Nah, ini baru betul rujukan. Yang kau pegang tu, ‘tiruan’.”
Main ayat perisa perli je dia ni.
“Aku tak retilah. Lagipun, mana sempat nak buat sendiri dah. Kalau aku  buat sendiri, mahunya makan berminggu-minggu.”
“Tak reti, tanya. Bukan tiru.”
“Bosanlah kau ni. Macam cikgu besar! Kalau reti, aku dah buat sendiri dah.”
“Kau nak buat sendiri tak?” Dia meletakkan pensel di atas helaian soalan yang terakhir.  Lama aku pandang wajah selamba dia. Tak faham.
“Hah?”
“Kau buat, aku ajar.”
Tekak terus terasa kering. Dah lama aku hilang semangat belajar. Hilang sejak hilangnya ‘pakcik’.
Waktu itu, di tahun Akhir Diploma.

han_nani: Assalamualaikum.
M_K : waalaikumussalam. Siapa ya?
han_nani: one of your blog follower

Itulah permulaan perkenalan aku dengan ‘pakcik’. Dari hanya jadi pembaca blog Pahlawan Dari Timur, sehinggalah aku beranikan diri YM dia. Blog dia memang lain.
Bukan hanya fasal kehidupan peribadi, tapi penuh dengan pengajaran yang diselitkan dengan cerita yang kelakar dan bermakna.
Akhirnya, pakcik jadi pembakar semangat aku.

M_K: BUZZ
M_K: Belajarlah budak. Asyik online je pakcik tengok.
M_K: Dah final sem, kan. Lupakan semua benda lagho untuk grad bermaruah.

  ****

Memori Tri + Nani [Bab 2]





[Bab 2]

AKU PANDANG DIA, dia pandang aku. Entah berapa lama mata aku dan dia berbalas aura. Masing-masing keluarkan laser. Aku laser merah. Dia laser biru. Dan, sekarang rasanya masing-masing berimaginasi memancung kepala sesama sendiri.
Seteru. Seteru.
Piring kek serupa brownies tadi akhirnya selamat mendarat juga di meja aku. Dia pula kembali ke meja paling depan tadi. Beberapa helai kertas yang aku agak report jualan hari ini disentuh dengan sebelah tangan.
Sekali sekala mata dia mencuri pandang ke arah aku.
Masih tak puas hati.
Nampak muda lagi. Kalau tua pun, hanya beberapa tahun dari aku. Muka berlagak gaya ‘ini kedai aku yang punya’ dia tu aku pandang lama.
Selain mata sepet dia, sikit pun aku tak rasa yang dia tu mirip Kak Hasya. Dahlah Kak Hasya tu putih melepak. Dia pulak kulit sawo matang macam aku je.
Tinggi melangit pulak tu.
Lain sungguh dari Kak Hasya yang kecil molek.
Lagi satu, kalau wajah Kak Hasya tu macam Chinese look, dia ni pulak macam... er... communist look!
Padan sangatlah tu. Muka pun garang nak mati.
Aku melepas nafas perlahan sambil memandang jam pada skrin laptop. Dah hampir pukul lapan empat puluh lima malam. Iris Cake House memang selalu tutup awal. Sebabnya, kalau malam-malam mana ada orang nak cari kek dengan kopi sangat. Semua cari nasi.
Lagipun kedai ni pukul 7.30 pagi dah buka. Sesuai la untuk orang macam aku yang suka minum kopi pagi-pagi gaya orang putih pegang cawan kopi sambil jalan pergi kelas.
Tumpuan aku kembali pada adik Kak Hasya tadi. Tanpa menghiraukan jelingan dia, aku mencapai garfu dan mula merasa kek di dalam piring tadi dengan muka ‘aku tak curi pun, okey?’
“Ajim kejap.”
Aku memamdang Ajim yang kalut menghampiri Encik Suka-Suka Tukar Password tadi.
“Bos?”
“Siapa budak tu?”
Walaupun perlahan, tapi bisikan dia jelas pada telinga aku. Nak berbisik pun tak reti. Dia tak tahu ke cafe ni sunyi tak ada orang? Cicak menguap pun boleh dengar, tahu?
“Er, kawan Kak Hasya, bisness partner lebih kurang.”
Kembang hidung aku bila Ajim menyebut perkataan bisness partner. Haa... baru kau tahu kuasa aku dekat sini.
“Aku tak tahu pulak kakak aku ada bisness partner masa bukak kedai ni.” Dengan suara yang sedingin freezer peti ais, dia menjeling ke arah aku beberapa saat.
Dan apa lagi, ingat aku tak ada jelingan maut jugak? Dengan senang hati aku membalas jelingan dia tadi.
“Bukan bisness partner tu bos. Er... macam...” Ajim pandang aku, minta pertolongan agaknya. Garfu kecil tadi sekali lagi merobek isi kek di dalam piring. Sedap pulak benda ni. Tak manis macam brownies.
“Saya yang tolong kedai ni buat promosi online. Kadang-kadang buka booth dekat kolej. Dan kadang-kadang delivery.” Aku menambah sambil mengunyah kek sedap tadi.
“Saya tak tahu pun?” Kali ni soalan dia ditujukan kepada aku. Dengan hanya jarak satu meja, sekali lagi kami berbalas pandang. Kali ini dia betul-betul memusingkan kerusi menghadap aku.
“Awak tu baru berapa hari dekat sini...”
“Dan awak tu, BUKAN pemilik kedai ni.” Dia memotong. “Ajim, saya tak suka orang luar masuk sampai kaunter. Had pelanggan dekat luar ni je.” Sambung dia lagi.
Oh mak ai. Sombongnya kau. Ini kalau betul-betul aku kutuk dalam Facebook ni karang...
“Lagi satu, congo bars yang kau makan tu, jangan lupa bayar. Aku buat benda tu bukan sebab nak bagi free.”
Congo bars? Benda apa tu?
Mata aku jatuh pada kek di dalam piring yang hampir licin aku makan. Ini ke maksud dia? Aku dah agak bukan brownies! Tapi tak tahu pulak nama dia congo bars. Tak pernah dengar pun nama tu.
Tapi apa-apa pun, Kak Iqa yang bagi aku, bukannya aku curi.
“Er, bos. Itu nanti saya bayar.” Muka Kak Iqa terjengul dari pintu dapur tiba-tiba. Aku buat muka menyampah. Dah lah sombong, kedekut pulak tu.
Bukannya aku tak biasa rasa resepi baru kedai ni. Selalunya, Kak Hasya pun pernah je bagi aku sepotong dua kek kalau kami jumpa.
Ini...
Haram!
“Tak apalah kak. Saya boleh bayar. Tak luak pun dompet saya nak bayar benda yang saya makan.” Sengaja aku kuatkan suara. Bukan nak marah Kak Iqa sebab suruh aku cuba kek ni tadi. Tapi sebab nak mengajar sikit orang dekat meja depan tu.
Ingat aku tak tahu ke makan benda tak bayar tu haram? Ingat aku tak tahu ke benda haram tu berdosa?
Menyesal pulak aku habiskan kek tadi. Eh bukan kek, congo bars.
Congo bars konon. Kalau aku tahu dia yang buat, jangan haraplah aku nak rasa tadi.

Huh!


*****

Memori Tri + Nani [Bab 1]


[Bab 1]


PINTU KACA YANG bertanda open aku tolak perlahan. Automatik bunyi ‘ting’ dari loceng pintu kedengaran. Aku sempat pejamkan mata sesaat sambil menghidu bau manis kek dan kopi yang tak pernah gagal buat aku senyum.
Iris Cake House.
Kedai kek dan kopi milik Kak Hasya ni memang jadi tempat aku bila aku ada masa lapang. Cake house ni tak adalah besar mana. Meja makan yang boleh memuatkan empat orang pelanggan pun cuma ada enam buah. Kesemuanya kayu yang dicat coklat tua.
Dihujung sudut ada kaunter yang menempatkan mesin duit dan display chiller yang menyimpan pelbagai jenis kek manis yang jarang-jarang aku cuba.
Bukan sebab tak sedap, tapi aku kurang sikit dengan benda manis.
Taknak kena potong kaki muda-muda.
Satu sudut lagi, ada kaunter kopi. Segala jenis kopi yang ada dekat negeri orang putih yang payah nak sebut tu, dekat sini pun ada. Siap bercorak gaya latte art lagi.
Dinding cafe pula dihiasi dengan pelbagai jenis frame gambar kopi dan kek berkonsepkan vintage yang mampu menggugat selera siapa sahaja yang tengok.
Termasuklah aku.
“Sengih je hari ni?”
Aku angkat kening seinci sambil melempar senyum ke arah tuan punya badan yang menegur. Ajim, barista ‘si pembancuh kopi’ yang paling berseni yang pernah aku kenal.
Muka gangster, hati ada ladang ros. Memang langsung aku tak percaya yang Ajim boleh buat segala corak dekat kopi gaya lukis dekat kertas A4 je.
Hebat.
“Hati manyak gumbira.” Beg sandang coklat tua aku letakkan di atas meja. Laptop Acer yang baru saja aku beli menggantikan Lenovo yang dah pun uzur itu aku keluarkan dari perut beg. “Khalisha mana?”          
Selalunya Khalisha akan tersengih menyambut aku depan kaunter. Hari ni tak ada pulak.
“Cuti. Emergency apa entah.”
Aku sekadar mengangguk bila dengar jawapan Ajim. Tangan menyapu habuk nipis yang sempat melekat pada papan kekunci Acer sebelum butang ‘On’ ditekan.
“Kau tak nak ambil order aku ke?”
“Tak payah. Aku tak tahu isi hati perut kau. Iced Americano, kan?”
“Oh Ajim, what can I do without you?”
“Poyolah tu.”
Kami sama-sama ketawa. Itulah hidup aku. Pagi sampai petang dekat fakulti. Habis kerja universiti, aku datang sini, lepak sambil update stok baru dekat Instagram dan Facebook.
“Wei, aku tak boleh log in ni. WiFi korang dah kena potong ke apa?” Aku melaung dari meja dua. Tempat yang paling aku suka kalau jejakkan kaki dekat sini. Tempat paling tersorok dan paling tak ada gangguan.
“Lupa nak cakap. Dah tukar password. Jap, nanti aku kasi.” Ajim menjawab tanpa memandang. Tangannya masih cekap membuat campuran kopi yang aku suka.
“Dengki la tu nak tukar-tukar password bagai.” Aku mencebik. Bukan baru sehari dua aku kenal Ajim. Dah dekat dua tahun pun.
Sejak aku jadi agen yang tolong jual kek dekat kolej dan bazaar universiti, aku dah jadi macam keluarga dekat Iris Cake House ni.
Lagipun, tak ramai pun pekerja Kak Hasya ni. Ajim, barista, Abang Nas dan Kak Iqa dekat dapur dan Khalisha budak lepas SPM yang buat part time jaga kaunter.
Kak Hasya jarang-jarang ada dekat kedai. Lagipun sejak dia mengandung ni memang dia asyik duduk rumah aje.
Ajim berjalan mendekati meja. Iced Americano diletakkan di tengah meja. “Adik bos yang tukar. Dia cakap password sebelum ni senang sangat orang nak hafal.”
Niat untuk mencapai kopi yang mampu menggugat selera aku itu terbantut. Adik Kak Hasya? Kak Hasya ada adik ke? Tak pernah tahu pun?
“Kedekutnya!” Kopi buatan Ajim aku capai dengan tangan kanan. Spontan aku membawa gelas kopi ke hidung. Terbiasa.
Wangi!
Ajim ketawa lepas. Dia terus menulis password baru dengan pen aku. Sempat aku menjeling di sebalik gelas kopi yang tengah aku hidu. Pergh, panjang kemain! Berbelit-belit pulak tu. Ni memang tak bagi orang pakai ke apa?
“Nah!” Tisu yang bertulis password ditolak mendekati laptop aku. “Sekarang ni kalau nak guna WiFi kau bagitahu aku.”
Aku angkat kening.
“Kenapa pulak?” Aku sebenarnya dah dapat lampu hijau dan pass besar dari bos Iris Cake House ni. Bila-bila masa aje aku boleh datang guna WiFi untuk buat kerja jualan online aku ni. Untuk kerja-kerja lain pun boleh. Tapi kenapa sekarang kena bagitahu pulak?
“Sebab adik bos tu akan tukar password tiap-tiap hari. Jadi, kalau kau nak guna esok, kau tanya aku dulu. Nanti aku kasi yang baru.”
Aku hampir tepuk dahi. Sungguhlah adik Kak Hasya ni kedekut. Sekarang ni semua kedai ada WiFi sebab nak tarik pelanggan, tau. Ini tidak, makin menyusahkkan pelanggan adalah.
“Mana dia? Kau tunjuk sikit muka orang kedekut tu?” Aku angkat kepala dan menjenguk ke arah kaunter dan dapur, mencari wajah adik Kak Hasya tu.
Ajim gelak lagi. “Perlahan sikit. Karang dia datang tiba-tiba...”
“Ada aku kisah? Aku ni pelanggan, tau. Buatlah jahat dekat aku, aku update blog bagi semua orang jangan datang sini.” Aku buat muka bangga.
Sekarang ni senang aje kalau nak hebahkan keburukan. Letak je dekat Facebook, tak sampai sehari dah jadi viral.
Tapi aku tak adalah sekejam tu. Takkanlah aku nak lingkupkan kedai Kak Hasya ni pulak.
“Bos dah bersalin dua hari lepas. Itu sebab adik dia datang tengok-tengokkan kedai.” Ajim tarik kerusi dan terus duduk di hadapan aku.
“Kak Hasya dah bersalin?” Sikit lagi nak tersembur kopi yang aku minum. Sungguh aku lupa yang kandungan Kak Hasya dah sarat.
Aduhai.
Festival Makan-Makan tu dah dekat. Booth pun dah tempah. Macam mana nak uruskan nanti?
 Kalau ada Kak Hasya senang la sikit.
“Sekarang ni Kak Hasya dekat mana? Aku ada bisness yang tengah jalan dengan dia ni...” Aku dah garu kepala.
Sayangnya nak cancel. Dahlah festival tu selalunya ramai pengunjung.
“Ada dekat kampung mertua dia tak silap. Dekat Kelantan.”
Aku tepuk dahi. Jauhnya!
“Kau call la dia nanti. Bincang sendiri.” Ajim bangun dari kerusi bila melihat beberapa orang pelanggan masuk. Laju aje dia mengambil tempat di kaunter.
Aku melepas nafas perlahan. Kak Hasya tak ada. Siapa pulak yang nak jaga booth nanti? Takkan aku sorang je?
Atau...aku pinjam je Kak Iqa sehari?
Heh, macam Iris Cake House ni aku punya.
Skrin laptop yang memaparkan halaman Facebook aku pandang lama. Keluhan terlepas tanpa dipaksa. Tak kira, bisness kena teruskan jugak.
Susah belakang kira.


AKU TAK TAHU berapa lama aku habiskan masa di dalam cafe sehinggalah Kak Iqa datang tepuk bahu dengan sengihan. Aku menggeliat kecil sambil membetulkan urat leher beberapa kali.
Sempat aku menarik senyum, membalas. “Kak Iqa...”
Bila dah mengadap laptop, segala benda yang jadi depan mata langsung aku tak perasan.
“Nah, try. Resepi baru ni. Satu piring yang berisi kek yang aku tak tahu perasa apa diletakkan betul-betul di sebelah gelas americano yang dah habis licin aku minum. “Maghrib dah nak habis ni. Dah solat belum?”
Laju aku berpaling ke belakan dan tengok keadaan luar cafe. Dah gelap gelita!
Bahaya sungguh bila tak dengar bunyi dunia luar. Azan dari surau belakang rumah kedai ni pun aku tak perasan.
“Belum.” Aku pandang kek tadi sekilas. “Kek apa tu kak? Macam brownie je saya tengok. Simpan la dulu. Saya nak tumpang surau cafe kejap.”
Cepat aje aku bangun dari kerusi. “Ajim, tolong tengokkan barang aku kejap!”
Ajim hanya mengangguk dari kaunter kopi.
“Resepi baru. Akak simpan dekat chiller, ya. Dah siap solat nanti kau ambik aje dekat sana.” Kak Iqa mengambil piring kek tadi dan terus dibawanya ke tempat pameran kek di kaunter depan.
Aku cuma mengangguk faham.
Jam tangan di tangan kiri aku pandang sekilas. Dah lapan lebih. Harap-haraplah sempat lagi.
Satu benda yang aku suka dekat Iris Cake House ni adalah tempat ni ada toilet dan surau. Jarang kedai makan yang sediakan surau dan tandas yang selesa macam ni.
Surau pulak, diasingkan untuk lelaki dan wanita. Walaupun kecil aje, tapi cukup selesa.
Siap dengan tempat wudhuk lagi.
Hebat sungguh Kak Hasya. Semua benda dia ambil berat.
Selesai solat, aku kembali ke ruangan cafe. Suasana masih seperti tadi, kecuali ada seorang pelanggan yang baru duduk di meja paling depan. Sibuk membelek handphone sendiri.
Meja yang menempatkan laptop dan barang-barang aku masih dalam keadaan yang sama. Ajim ni pun, aku dah cakap tolong tengokkan, dia pulak yang hilang.
Kalau ada orang curi Acer aku tu, siapa nak ganti?
Aku mengeluh perlahan. Sempat aku menggeleng beberapa kali mengenangkan janji-janji palsu Ajim.
Tumpuan aku beralih pada kaunter depan. Langkah mula dipesongkan ke arah sasaran. Aku membetulkan lipatan selendang pada muka sambil melangkah ke chiller.
Kek yang berwarna coklat muda tadi aku capai cari isi perut chiller.
Macam brownie. Tapi macam tak jugak. Siap ada chocolate chips lagi. Warna dia pun tak gelap macam brownie...
“Hei!”
Piring hampir terlepas dari tangan. Dada aku berdebar laju bila disergah kuat. What the...
“Kau nak mencuri eh?!”
Pelanggan yang aku nampak tadi mula bangun masuk ke bahagian kaunter. Ini siapa yang nak mencuri siapa ni? Dia tu yang suka-suka masuk kaunter cafe ni!
“Letak balik!”
Aku ternganga. Otak masih tak dapat nak hadam tindakan dia sekarang.
“Kau ni apahal?” Haa... ingat aku tak ada suara petir ke? Nak pakej sekali dengan hilai pontianak pun boleh, tahu?
“Kau siapa? Suka-suka je masuk dalam kaunter. Suka-suka je ambil kek dari chiller?!” Dia merampas piring yang berisi kek tadi dari tangan aku.
Sikit lagi aku nak buka langkah silat, tapi terbantut bila Kak Iqa meluru keluar dengan topi chef dan apron putih dia. Ajim pulak terkocoh-kocoh keluar dari tandas.
Kak Iqa dan Ajim memandang aku dan pelanggan tadi bersilih ganti.
“Dia ni ha, masuk dalam kaunter, ambil kek saya!” Aku mengadu pada Kak Iqa yang ternganga. Ajim masih lagi terlopong, tak cakap apa. Jari telunjuk tepat pada muka si penceroboh di depan.
Kalau dah pelanggan tu, buat la cara pelanggan. Duduk diam-diam dekat meja, tunggu orang hantar order.
Ini tak. Nak buat gaya Superman membanteras jenayah pulak.
Apa dia ingat aku kemaruk sangat ke nak curi kek dalam kedai ni? Aku nak rasa kek ni pun sebab Kak Iqa, tahu tak?
Dia yang menceroboh...
“Bos...”
“Nani...”
Suara Kak Iqa dan Ajim terkeluar serentak. Aku ternganga bila mendengaar perkataan ‘bos’ daripada mulut Ajim.
Bos?
Siapa bos dekat sini selain Kak Hasya?
Automatik aku menelan air liur bila teringatkan sesuatu. Wajah lelaki yang mencuka dengan kerutan seribu itu aku pandang lama. Sawo matang. Hidung mancung. Mata sepet.
Oookay.
Jadi dialah encik suka-suka hati tukar password tiap-tiap hari tu?


 ***