Jika Ini Cinta [Bab 10]

BAB 10




“TAK JADI KAHWIN?” Suara Encik Umar naik senada.

Puan Anisa pula mengucap panjang di kerusi.

Raut wajahnya sekarang penuh dengan pelbagai rasa. Anak mata tepat memandang wajah anak bongsunya yang masih tunduk dari tadi.

Najwa sekadar mengangguk. Langsung dia tak berani nak bertentang mata dengan abahnya. Sedaya upaya dia cuba menahan air mata yang mungkin bila-bila masa saja akan pecah.

“Izzat nak batalkan perkahwinan kami, abah.” Senafas dia menuturkan. “Dia cakap nanti dia datang rumah untuk bincang...”

“Kalau nak batalkan, nak bincang apa lagi?” Encik Umar terduduk di atas kerusi. Perlahan-lahan dia meraup wajah sendiri. Cuba bertenang. Baru saja dia nak keluar rumah untuk uruskan hal-hal khemah yang akan dipasang di luar rumah. tiba-tiba ini pula berita yang dia dapat.

“Lagi dua minggu majlisnya. Kamu berdua memang betul-betul dah buat keputusan ke?”

Anggukkan Najwa bagaikan menghancurkan lagi harapan abahnya. Terus saja Encik Umar membisu. Fikirannya sarat dengan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi.

“Adik tak cuba ke pujuk Izzat? Takkanlah bergaduh sikit nak batalkan terus pernikahan?” Kali ini Puan Anisa pula menyampuk. Tangan anak bongsunya itu digengam kemas.

“Dia dah tak nak adik, ma.” Setitis air mata gugur juga tanpa diseka. “Maaf sangat sebab terpaksa buat keputusan ni. Tapi adik tak boleh nak buat apa dah untuk selamatkan hubungan kami.” Tersekat-sekat dia meluahkan rasa hati.

“Kenapa baru sekarang, dik? Kenapa lepas setahun bertunang baru dia nak putuskan?” soal Encik Umar lembut. Dia sendiri buntu dan langsung tak jangka ini akan berlaku.

Najwa ketap bibir, menahan pelbagai rasa yang ada. Hati mama dan abahnya dah cukup hancur bila tahu yang perkahwinan dia tak jadi. Dia tak sampai hati nak bercerita tentang kanser yang dia ada.

“Mama dah cakap jangan bertunang lama... mama dah pesan banyak kali suruh cepatkan tarikh pernikahan...” Suara Puan Anisa tenggelam timbul menahan esakan. Nampak saja air mata di pipi ibunya, Najwa hampir meraung. Cepat-cepat dia memeluk si ibu erat.

Cuba tenangkan kesedihan si ibu dan juga pinjam kekuatan.

“Maafkan adik, ma. Maafkan adik. Adik tak ada niat pun nak malukan keluarga kita.” Esakan Najwa dan ibunya bergabung.

Encik Umar yang memandang dari jauh hanya mampu mendiamkan diri. Sepanjang pertunangan Izzat dan Najwa, Izzat langsung tak ada cacat cela. Semua tentang bakal menantunya itu elok saja di matanya.

“Adik minta maaf, bah. Adik pun tak nak benda ni jadi.”

Mata Najwa yang membengkak dek mengangis terlalu lama dipandang lama. Rasa marah yang membuak tadi tiba-tiba bertukar menjadi sayu.

“Tak apalah. Kalau itu kesudahannya, abah reda. Nanti suruh Izzat datang dengan keluarga dia. Kalau dia boleh datang minta adik dulu dengan cara elok, suruh dia putuskan dengan cara elok juga.” Encik Umar cuba bersuara tenang.

“Adik... kamu berdua bergaduh sebab apa? Takkan ini saja jalan penyelesaian yang ada? Takkan kamu tak boleh mengalah pujuk dia. Dua minggu je lagi, dik. Dua minggu je lagi tarikh nikah kamu berdua...”

“Anisa, sudah.”

Belum sempat Najwa membuka mulut, suara abahnya terlebih dahulu menyampuk.

“Orang dah tak nak anak kita, takkan awak nak suruh anak kita pulak terhegeh-hegeh pujuk untuk terima dia?”

Puan Anisa terdiam. Dalam diam, dia sendiri mengakui kata-kata suaminya. Namun bila difikirkan malu yang bakal mereka sekeluarganya terima, dia jadi hilang punca.

“Tapi semua dah sedia, bang. Macam mana kita nak batalkan semua ni? Pelamin, caterer, jemputan semua...”

“Semua tu boleh diuruskan, Nisa. Awak jangan nak rendahkan anak kita pada orang.” Encik Umar bangkit dari kerusi dan terus melangkah keluar dari rumah.

Najwa tarik nafas panjang. Dari semalam, air matanya tersangat murah untuk Izzat. Dan bila melihat reaksi mama dan abahnya, hatinya makin hancur.

Ya Allah.

Kuatkanlah hati ini untuk tempuh apa yang jadi.



PAGI ITU, IZZAT datang sendiri berjumpa abah dan mama tanpa keluarganya. Najwa awal-awal lagi keluar ke butik. Tak sanggup rasanya untuk dengar dan saksikan apa yang jadi waktu Izzat berbincang abah dan mamanya.

Bersungguh-sungguh dia minta Izzat rahsiakan tentang penyakit dia. elum masanya lagi untuk mama dan abahnya tahu tentang kenyataan itu.

Sepanjang pagi, dia sekadar mendiamkan diri di dalam pejabat. Hanya sesekali saja dia keluar dari bilik bila dipanggil Nadrah ataupun Ros. Marisa juga sibuk dengan urusan rekaan beg baru di ruangan khas bersebelahan kaunter pembayaran.

Berita tentang putus tunang dah sampai ke telinga Marisa malam tadi. Sengaja dia minta Marisa dan suaminya balik ke rumah mama dan abah. Nak jelaskan hal sebenar.

Walaupun Najwa dah bersedia dengan pelbagai soalan, tapi kakaknya itu sekadar mendiamkan diri bila tahu perkahwinan dia dan Izzat tak akan diteruskan lagi.

“Kau tak terkejut?” soal dia malam tadi bila Marisa sikitpun tak beri apa-apa reaksi.

“Kan aku dah cakap, aku sebenarnya tak nampak Izzat tu sebagai suami yang baik untuk kau.” Ringkas saja jawapan Marisa dan terus membuatkan bibir Najwa terkunci rapat.

Waktu itu hanya dia dan Marisa saja di ruangan dapur dan yang lain-lain sibuk berbincang tentang apa yang akan dibuat seterusnya.

“Kau uruskan hal ni dulu. Bila dah ready nanti baru masuk kerja. Aku tak kisah.” Marisa tepuk bahu adiknya perlahan sebelum keluar ke ruang tamu.

Dan selepas itu, topik tak jadi kahwin langsung tak keluar dari mulut Marisa.

“Cik Najwa?”

Lamunannya terhenti bila suara Nadrah menyapa telinga. Sempat dia menjeling sekilas pada Marisa yang sibuk melakar sesuatu pada buku notanya.

“Ya Nad?”

Nadrah tersenyum-senyum melangkah ke dalam bilik sambil membimbit paperbag berwarna warni.

“Saya dan Ros nak bagi ni.” Paper bag di tangannya tadi disua ke depan. “Kami tak dapat nak dapat waktu cik nikah sebab waktu tu kami dah terbeli tiket nak pergi Sabah.” Nadrah sengih nipis.

Melihat bungkusan besar di dalam paper bag itu, air matanya mula berkaca. Nafas ditarik panjang sebelum dia melepaskannya perlahan. Sedaya upaya dia mencipta senyum yang ternyata tawar.

“Saya tak jadi kahwin.” Senafas dia menuturkan.

Wajah Nadrah di depan berkerut lebat. Tak berkelip dia memandang bosnya di hadapan. Masih tak percaya dengan apa yang dia baru dengar.

“Saya tak jadi nikah, Nad. Awak simpanlah hadiah tu. Terima kasih, ya.” Kali ini Najwa cuba senyum ikhlas. Kesian pula dia bila nampak wajah Nad yang dah serba salah.

“Er... sorry... cik... saya. Er...” Muka Nadrah dah kelam kelabu. Hadiah di atas meja kembali dicapai dengan sebelah tangan.

“It’s okay, Nad. Awak tak tahu. Sebab tu saya bagitahu.” Najwa senyum lagi.

“Cik, maaf sangat-sangat.”

Takpe.”

“Saya keluar dulu.”

Najwa sekadar mengangguk sambil menghantar langkah Nadrah keluar dari bilik dari ekor mata. Dia mengeluh perlahan tanpa sedar. Belum sempat dia kembali fokus pada laman Facebook Pages butik, telefon bimbit pula berbunyi nyaring menandakan WhatsApp baru masuk.


Babe, dah ada tema ke untuk bridesmaid nanti? Aku rasa kena beli yang dah siap la, senang. Nak jahit sekarang tak sempat dah.


WhatsApp daripada Ain membuatkan air matanya bergenang. Cepat saja diseka sebelum jatuh membasahi pipi.

Sebenarnya baru beberapa hari Ain wujudkan WhatsApp Group untuk para pengapit dia. Baru je dia gembira bila hampir semua kawan baik dia sanggup turun ke KL untuk jadi pengapit.

Dia lupa.

Bila keputusan untuk batalkan perkahwinan dibuat, urusan tu bukan lagi hanya urusan dia dan Izzat. Semua orang pun akan terbabit sama termasuklah kawan-kawan dah dia dah jemput sebelum ni.

Najwa kuatkan hati. Perlahan-lahan dia membawa jari berlari di atas skrin, membalas WhatsApp dari Ain.


I’m sorry. Aku tak jadi nikah.
Nanti aku explain


Wajah terasa kebas sebaik saja dia menjawab soalan Ain. Malunya hanya Tuhan saja yang tahu.

OPPO diletakkan jauh dari pandangan. Tak sanggup rasanya nak baca jawapan dari teman-teman yang lain.

Namun bila bertalu-talu WhatsApp baru masuk, nak tak nak, dia terpaksa semak juga.

Munirah
Hah? Serius ke babe?

Fatt
Kenapa Najwa? Betul ke tak jadi?

Ain
Korang, janganlah tanya lagi.
Kalau betul tak jadi, kita doakan je yang terbaik untuk Najwa.

Najwa
Betul. Tak jadi.
I’m sorry kalau korang dah minta cuti.

Ain
Ish. Kenapa nak sorry pulak.
It’s okay. Take your time.
Apa-apa nanti kau cerita je okey?


Terbabas juga air matanya menuruni pipi. Telefon pintar diletakkan ke atas meja. Tak mampu rasanya menjawab setiap soalan yang muncul.

Nasib baiklah dia belum lagi buat event di Facebook untuk jemput kawan-kawan yang lain.

Nasib baik juga dia terlalu sibuk untuk agihkan kad kahwin kepada semua orang. Baru beberapa orang saja yang dah dapat kad kahwin dari dia dan yang lain-lain, semuanya dari Izzat.

Dan sekarang ini, dia perlu mesej seorang demi seorang rakan yang dia dah jemput sebelum tarikh pernikahan.

Sakit dan perit. Ya. Tak tertanggung rasanya.

Namun bila difikirkan mama dan abah di rumah yang mungkin lagi malu, Najwa beristighfar panjang.  Dia kena kuat.

Takkan dia nak biarkan saja mama dan abah tanggung segalanya?



SEMUA URUSAN PEMBATALAN majlis perkahwinan dah pun selesai. Walaupun pada tarikh perkahwinan ada saja dua tiga tetamu yang datang bila berita pembatalan majlis tak sampai pada dia orang, namun tetamu tetap di layan seperti biasa.

Marisa yang cadangkan untuk teruskan saja guna khidmat katerer walaupun majlis dibatalkan. Bayaran penuh dah dibuat, jadi lagi rugi kalau makanan yang ditempat tak dapat seperti yang diminta.

Tetamu yang datang hari itu dijamu walaupun tiada majlis pernikahan. Makanan yang lebih pula diagih-agihkan ke beberapa buah surau yang berdekatan.

Dia pula masih memencilkan diri di dalam bilik bila ada dua tiga tetamu datang bertanya. Bukan sengaja nak lepaskan beban pada mama dan abah, tapi sepanjang hari badan dia terasa lesu dan sakit-sakit bahana stres yang teramat.

Sakit kepalanya juga tak berkurang walaupun dan banyak ubat tahan sakit yang dia makan. Sekarang ni, hanya rehat saja yang dia perlukan. Hati yang berbuku dengan pelbagai rasa dan cerita masih tak dapat diluahkan.

Sampai sekarang Nasrin masih mendiamkan diri.

Terkejut juga bila Auntie Hanan bagitahu yang Nasrin keluar negara atas urusan kerja. Itupun Marisa yang tanyakan semalam.

Takkanlah tempat yang Nasrin pergi tu langsung tak ada WiFi sehinggakan WhatsApp yang dia hantar tu satu pun tak sampai?

Tapi bila difikirkan balik, logik juga kalau Nasrin dah block nombor telefon dia dari senarai WhatsApp. Dia tahu marah Nasrin memang dikemuncak waktu dia di butik dulu.

Dan yang paling perit, untuk kesekian kalinya, Nasrin betul tentang Izzat.

Dia yang salah nilai.

Bilik yang dihuninya sekarang tiba-tiba terasa sesak membuatkan diri dia lemas dalam sunyi. Bila sakit kepala mula reda, perlahan-lahan dia mengatur kaki ke bawah, mencari abah dan mama yang masih sibuk melayan seorang dua tetamu yang datang.

Kotak-kotak cenderamata yang asalnya untuk diberi pada tetamu terbiar di sebelah tangg, di pandang sepi.

Cepat saja matanya menangkap kelibat abah yang berdiri di sebelah tempat letak makanan, mempersilakan tetamu makan. Mama pula sekadar duduk di meja makan bersama Mak Su Bihah yang datang dari Melaka pagi tadi.

Nasib baik ada Mak Su Bihah. Mama yang sebelum ni kecewa dengan keputusan dia sedikit sebanyak sudah bertenang dan makin terima kenyataan.

Langkahnya diatur ke arah abah sebelum lengan abahnya ditarik perlahan dari sekelompok tetamu senyap-senyap. Tiba di suatu sudut, lengan abahnya dilepaskan dan wajah tenang abahnya dipandang lama.

Bersalahnya dia bila terpaksa jadi anak yang memalukan keluarga.

“Abah...” Suara bagaikan tersekat di kerongkong bila memikirkan tentang keadaan abah sekarang.

Mesti abah malu sangat dengan jiran-jiran.

Encik Umar sekadar diam menumpukan perhatian. Masih menanti ayat seterusnya dari mulut Najwa.

“Lepas selesai semua ni, adik nak minta izin pergi bercuti.” Bibir diketap kuat. “Kalau abah izinkan, adik nak pergi sorang...”

“Abah izinkan.” Laju saja Encik Umar membalas. Perlahan-lahan dia tarik senyum, cuba ceriakan hati si anak.

Mata Najwa yang redup tadi kembali bersinar. Spontan tubuh abahnya dipeluk erat.

“Jaga diri.” Sambung abah dia lagi.

Sungguh, dia tak kuat nak hadap semua ni sorang-sorang.

Betullah. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Walau dah cantik mana pun perancangan majlis perkahwinan yang dia dah atur, kalau ditakdirkan belum masanya, belumlah jawabnya.

Dan untuk sekarang, dia cuba untuk reda.

***

Comments