Sunday, 24 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 13]


 Assalamualaikum!

Awal-awal nak pesan, jangan terkejut bila nampak entry yang tiba-tiba dan entah bab mana. Hahaha. Sebenarnya, illa ada buka sikit cerita ni dari bab 11 hingga 15. Jadi, kalau nak mendalaminya (chewwah!) bolehla kembali ke zaman silam...ke zaman bab 11.

Rasanya tak ada orang buat rombak bab macam  ni. Hah ha. maaf dan enjoy!


***


ZACK DEMAM PULAK!
            Matilah aku macam ni…! Macam mana kalau demam dia melarat dan boleh bawa maut macam demam denggi tu? Alamak-alamak, macam mana aku nak balik rumah nanti? Dahlah handphone dan segala beg aku dia pegang.
Aku menggaru kepala kuat. Habis serabai rambut aku dibuatnya. Zack yang nyenyak tidur di atas sofa usang itu aku pandang lama. Mail dari tadi keluar cari penadol. Sampai sekarang tak nampak muka.
Wajah Zack yang semakin pucat aku pandang lagi. Tadi eksyen sangat…
Dah biasa…dah biasa…
“Panas lagi ke dia?”
Belum sempat aku sambung membebel, Makcik Wan keluar dari dapur dengan membawa kain lembab dan besen yang berisi air. Dua barang tadi diletakkan betul-betul berhampiran dengan kepala Zack.
“Meh saya buat, makcik.” Aku mengambil tuala basah dari tangan Makcik Wan. Tak boleh jadi ni. Mana boleh dia demam. Mana boleh dia sakit. nanti siapa nak hantar aku balik?
“Tak payah. Kau pergi masak sana…”
Tangan yang baru sahaja mendarat di atas dahinya terhenti kaku. Lah, tak tidur rupanya…
“Mak boleh masak. Biar Naurah duduk sini.” Makcik Wan menjawab bagi pihak aku. laju aje aku menghadiahkan senyuman paling manis untuk Makcik Wan.
“Tak payah. Bukan boleh sihat pun. Kau pergi masak. Biar mak duduk sini. Bak sini kain tu.” dia menadah tangan tanpa membuka mata. Nak tak nak, aku letak juga tuala basah tadi atas dahi dia.
Teruk sangat gayanya. Nak buka mata pun tak larat.
Wahai Zack, kau jangan mati lagi…
Dengan berat hati aku bangun juga dari bersila dan menuju ke dapur. Udang galah yang kami pancing tadi masih lagi dibiarkan di dalam plastik berhampiran dengan tong air. Rumah ni tak ada sinki, jadi kalau nak basuh pinggan ke, basuh lauk pauk ke, kena guna air dalam tong tu je.
Dia nak suruh aku nak masak apa ni? Butter prawn? Masak lemak cili api?
            Harapanlah…
            Nak siang udang ni pun aku tak pasti boleh lulus ke tidak, inikan pulak nak berangan jadi chef masak udang ni jadi Butter Prawn!
            “Nah, kamu buat sendiri, mak nak tolong Naurah masak tu…”
            Tangan yang terkial-kial membuka plastik berisi udang galah terhenti sesaat bila mendengar suara Makcik Wan. Haa, betul tu makcik. Meh la sini tolong saya. Saya budak baru belajar.
            “Alah, biarkan dia. asyik makan tidur aje. Biar dia tahu susah sikit nak cari makan…”
            Walapun perlahan, kata-kata Zack hinggap juga di telinga. Spontan aku mencebik.
            Dia ingat aku tak pernah rasa susah ke? Aku pun orang kampunglah. Heh.
            “Kamu ni…rumah mak ni macam mana, susah dia nanti…”
            “Biarkan aje dia mak…”
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Berani dia ingat aku tak dapat buat semua ni? heh, bab masak goreng kunyit tak ada hal lah. Pejam mata pun aku dah boleh buat.
            Tapi, macam mana nak siang udang ni?
            “Bos suruh tolong kau. Kau nak aku tolong apa ni?”
            Aku mengalihkan pandangan dari plastik udang ke arah tuan punya suara yang menegur. Mail! Sikit lagi aku nak peluk Mail ketat-ketat sebab muncul tepat pada waktunya.
            Aku sempat mengerling ke arah ruang tamu. Zack masih lagi terbaring di tempat sama. Elleh, tadi tak bagi makcik tolong. Ni suruh Mail pulak tolong.
            “Apahal kau pandang aku macam tu?” Mail buat muka. dia turut sama mencangkung menghadap plastik udang dan tong air yang ditadah dengan pili.
            “Kau tahu siang udang ni tak?” nak tak nak, aku maniskan juga muka depan Mail. Nak ambil hati Mail, kena sabar sikit. Senyum ajelah walau terpaksa.
            “Mana aku tahu…”
            Automatik aku menepuk dahi. Mail ni la… apa benda yang dia tahu? “Tolonglah. Aku  tak ada idea ni. nak kena buang semua kulit dia ke?”
            Dua pasang mata merenung plastik yang berisi udang itu lama. masing-masing mencari akal. Dah gaya rupa tikus tengok keju pun ada.
            “Aku rasa, kau potong dia punya sesungut je kot.”
            “Kulit dia? biarkan?”
            “Selalu aku nampak orang biarkan aje kulit dia tu. Kau ni… takkan tak pernah makan udang?” suara Mail naik satu nada.
            Aku tersengih sendiri. Betul jugak. Selalunya memang orang biarkan udang tu macam tu. Jadi, aku main belasah letak garam kunyit ajelah, kan?
            Heh, siapa kata masak susah.
            “Kau keluar ajelah. Tak payah tolong apa-apa. Tolong tengokkan bos kau tu je. Jangan bagi dia mati.” Aku mencipta sengih di hujung kata. Seekor udang yang sederhana besar aku capai dari plastik.
            “Kalau kau dah kata macam tu….” Mail terus berdiri tegak. “Aku layan tidur ajelah.” Dia sengih segaris sebelum berlalu dari situ.
            Hampeh sungguh.
            Aku menyising lengan baju hingga ke siku. Rambut yang mengurai melepasi bahu aku ikat satu. Satu-persatu udang aku capai dari plastik. Syabas Naurah. Syabas. Kau dah pandai masak.
            Bolehlah suruh Benjamin pinang kau lepas ni.
            Tak sampai lima minit, semua udang dah dibasuh dan disiang bersih. Dengan senyuman yang masih berbaki, aku membawa bekas yang berisi udang tadi ke dapur.
            Kaki tiba-tiba terhenti kaku bila melihat ‘dapur’ di hadapan. udang hampir terlepas dari genggaman. Dada berombak laju. Mulut automatik ternganga. Ni ke ‘dapur’ tu?
            Oh em gee, macam mana aku nak masak guna dapur kayu?!


AKU TERPAKSA PEKAKKAN bila Mail membebel panjang. Aku tahu aku boleh minta tolong Makcik Wan untuk hidupkan api, tapi aku tahu Zack akan bising.
            Nak tak nak, aku kejut juga Mail yang baru aje lima minit melelapkan mata. Terpaksa sebenarnya.
            Bibir aku automatik melakar senyum bila api mula menyala. Aku memandang ke arah Mail yang belum habis membebel. Kalau dulu aku menyampah dengar dia mengomel itu ini, sekarang benda tu dah jadi kebiasaan.
            Banyak mana pun Mail mengomel, membantah atau membebel, apa yang dia tak nak buat tu, dia akan buat juga. Contohnya macam sekarang ni.
            “Terima kasih banyak Mail!”
            Mail mencebik sambil meletakkan lighter di atas meja kecil sebelah dapur. “Dah, jangan kacau aku.”
            “Ayyai!” tangan di bawa ke dahi, ambil hati.
            Tanpa membalas, Mail membawa kaki ke bilik kecil bersebelahan dengan bilik yang aku tidur semalam. Nak sambung tidur agaknya.
            Aku mencapai kuali hitam yang tergantung pada dinding. Kuali, ada. Minyak, ada. Garam dah kunyit dah perap.
            Dengan lafaz bismillah, aku meletakkan kesemua udang yang diperap tadi ke dalam kuali. Tangan kanan mula mengacau udang di dalam kuali dan tangan kiri mula menguis beberapa arang keluar.
            Tak bagi api kuat sangat.
            “Goreng kunyit je pun… itu pun lambat,”
            Sudip di tangan hampir melayang ke arah tuan punya suara yang menegur. Hish, dia ni pun. tak tahu ke aku tengah buat kerja-kerja bahaya ni. kalau kena mintak panas dekat muka tu siapa nak jawab?
            “Siapa suruh saya masak. Kalau Makcik Wan masa tadi, bolehlah  wak merasa udang masak merah.” Laju aku menjawab. Nak complaint pulak. Aku berbesar hati nak tolong masak ni pun dah kira bagus.
            “Kau ingat mak aku tu orang gaji? Nak makan, masaklah sendiri.”
            Spontan aku mencebik. Kata orang… “Awak pergi sanalah. Dah siap masak nanti saya panggil. Sakit tu buat cara sakit.”
            “Dah sihat dah…”
            Kening aku terangkat tinggi. Tipulah tu. tadi dah gaya orang nak mati, takkan boleh tiba-tiba sihat. Tangan kiri aku terangkat tinggi tanpa sedar. Belum sempat mengena dahi, Zack lebih cepat menepis.
            “Ish, saya nak rasa badan awak tu panas lagi ke tidak.”
            “Tak payah.”
            Sombong. Sekali lagi aku membuat muka. aku mula mengacau udang di dalam kuali. Sekali-sekala aku membetulkan letak arang pada api tadi dengan kayu panjang. Kuat sangat karang, hangus pulak udang aku.
            “Dah masak dah tu. seafood orang tak goreng lama-lama.” Zack menegur dari belakang.
            “Ye ke?”
            “Tak ada untung pun aku nak tipu.” Dia membalas selamba. “Sini!”
            Aku berpaling ke belakang dengan dahi berkerut. Sini? “Apadia?”
            Tuala basah yang dipegangnya tadi dibawa ke muka aku.
            Dia lap pipi aku? Zack lap pipi aku?
            “Baru masak sekali, arang dah penuh dekat muka,” dia bersuara perlahan. Aku terkaku sendiri. Darah merah mula naik ke kepala dan muka. Janganlah dia perasan yang aku tengah ‘blushing’!
            “Udang tu, angkat. Hangit karang.”
            Cepat-cepat aku mengaut kesemua udang di dalam kuali dan diletakkan di dalam pinggan. Dada masih lagi berdebar kencang dek tindakan Zack tadi.
            “Kejap, ada lagi arang tu.”
            Aku mengangkat muka, memberanikan diri memandang wajah selamba dia. Tangan kanan dia mula menyentuh hidung aku sebelum sempat aku menepis.
            “Okay. dah.” Dia tersenyum nipis dan terus berlalu ke ruang tamu.
            Jantung aku makin kencang mengepam darah. Mata masih memaku pandang ke arahnya sehinggalah dia kembali baring di atas sofa.
            Apa. Dah. Jadi. Ni?


TELUR DADAR, udang goreng dan sup sayur (yang ini makcik yang buat) terhidang elok di atas meja. Bila dah lapar macam ni, pandang telur dadar tu pun dah rasa terliur gila!
            Mail mengekek ketawa bila aku menghulurkan pinggan berisi nasi kepada dia.
            Makcik Wan juga menyimpan senyum. Hanya Zack saja yang masih dengan muka tenang dia.
            Semua orang dah kenapa?
            “Kesian kamu Naurah. Maaflah makcik tak tolong.”
            Aku senyum segaris. Aku tak kisah sebenarnya. Tapi itulah, nak hidupkan dapur kayu tu leceh sikit.
            Rupanya ada lagi rumah yang guna dapur kayu. Tak ada TV, kipas. Lampu pun guna lampu mentol warna kuning itu aje.
            Macam manalah Makcik Wan hidup dekat sini. Sorang-sorang pulak tu.
            “Ini ajelah yang saya mampu masak pun.”
            “Dah bagus sangat ni. Biar tak pandai masak, janji kena rajin.”
            Hidung terasa kembang bila dipuji. Aku menjeling ke arah Zack sekilas. Nampak, mak dia pun puji aku, tahu?
            “Rajin sangat tu mak…” Mail tiba-tiba menyampuk. Bibirnya masih tidak kering dengan sengihan.
            “Makan, Mail. Sudah-sudahlah kamu mengusik Naurah ni.”
            “Mana ada. Saya tak usik dia pun mak…” Mail ketawa lepas. Wajah Makcik Wan dan Mail aku pandang bersilih ganti. Apa kena dengan dia orang ni sebenarnya?
            “Zaki, bagi mak kain tu,”
            Zaki? ZAKI? Nama Zack, Zaki?
            “Nak buat apa?” soal Zack tanpa memandang.
            “Tanya lagi. Bukannya mak tak tahu ni kerja kamu dua orang.” Makcik Wan mengambil kain lembab dari bahu Zack. Aku hanya memerhati. Sikit pun aku tak faham apa yang jadi sekarang.
            Yang aku tahu, nama Zack, ZAKI!
            “Naurah, sini makcik lap muka tu.”
            Lap muka? Aku menadah muka dengan rasa pelik. Bukan ke tadi Zack dah tolong lap. Ada lagi ke? “Kotor sangat ke makcik?”
            Makcik Wan menggeleng perlahan dengan senyuman. “Sikit je. Dekat hidung ni ha.”        
            Hidung? Bukan ke tadi…
            Laju aku memadang ke arah Zack yang selamba menyuap nasi ke mulut. Pandangan beralih pula pada Mail yang dari tadi tersengih.
            Padanlah dia orang semua gelakkan aku.

            Ada yang menconteng arang dekat muka aku rupanya. Heh. Tak patut betul!

         

Saturday, 23 August 2014

Menara Condong Teluk Intan

Assalamualaikum!

Bagi sesiapa yang lebih kurang baya illa, mesti ingat buku teks darjah satu dulu (ke darjah dua) ada cerita pasal Menara Condong Teluk Intan.



Ingat tak? Ingat tak? Ha, lepas tengok gambar tu, terus terasa nak tengok sendiri depan mata dan...


Tada! Umur 25 tahun baru boleh jejak dekat sini.
Terharu! T_T

Walaupun tak ada rezeki nak naik sampai atas (sebab tutup), tapi dapat ambil gambar depan Menara Condong pun dah cukup best. (Terima Kasih Tourism Malaysia Perak sebab bagi peluang ni).

Ini dah kira dalam impian dari kecik jadi kenyataan sebab memang dah lama teringin nak tengok sendiri depan mata.

Tengok, bukan illa sorang aje, semua pun takkan lepaskan peluang untuk bergambar dengan menara ni.


Dari dekat tak nampak pun condong, tapi dari jauh, memang ternyata condong menara ni. Yang paling menarik, walaupun dah berumur lebih 100 tahun, menara condong ni tetap teguh berdiri. =)



Menara Condong di malam hari. 

Jadi, kalau ke Teluk Intan, korang memang kena singgah ke menara condong. Rugi kalau tak tengok sendiri salah satu ikon perlancongan Negeri Perak ni.


Nak tau lagi tentang menara ni? Meh baca ni
=)





Thursday, 21 August 2014

Pengalaman Mancing Udang Galah

Assalamualaikum!

Korang pernah sampai Perak? Pernah sampai Teluk Intan? Jangan tak tahu, selain Menara Condong Teluk Intan yang sangat terkenal tu, ada satu lagi tempat yang wajib pergi bila korang ada dekat Teluk Intan.

Mancing udang galah!

Cakap pasal tajuk dekat atas tu, hujung minggu lepas illa berpeluang pergi Teluk Intan, ikut rombongan che kiah pergi mancing udang galah. (Jangan lepaskan peluang untuk pergi mancing udang galah kalau korang semua dah sampai sini. Rugi!)



Kalau nak tahu, dekat Sg. Perak, ada satu kawasan yang sangat sangatlah popular untuk mancing udang galah iaitu dekat Teluk Intan. Pergi dekat Jeti Persatuan Pengail-Pengail Melayu, lepas tu, sewa bot, lepas tu duduk la dekat sungai tu sampai dapat udang dua tiga kilo. @_@ Percayalah, 6 jam dekat sungai pun takkan puas.






Kalau korang rasa mancing udang ni bosan, korang silap. sebabnya, masa tunggu udang tu makan umpan, korang boleh je bawa radio sumbangkan dua tiga lagu. Tak perlu nak diam sunyi sepi. Mitos je semua tu (kata pakcik yang bawa illa haritulah. hahaha)



Illa bertuah sangat sebab dapat ikut Tourism Malaysia Perak mancing udang dekat sini. Kalau nak pergi sendiri, entah bila lah dapa peluang tu. Bertambah-tambah bertuah bila tekong yang illa dapat, memang tekong yang paling femes dengan kehandalannya dalam bab-bab mancing udang ni.



Abg Abu ni terer gila. Tengok cara kita tarik tali tu pun dia boleh agak ada udang ke tidak. Udang beso ke kecik. Respek2. Tengok tu, sampai empat joran dia letak. Rasa nak tepuk tangan kuat-kuat pun ada bila dapat udang galah pertama (dah tepuk pun sebenarnya). Puas!



Budak Uzu buat buat berani pegang udang galah. =)


Inilah hasil kitaorang mancing tadi. Adala dalam sekilo lebih kot semua yang dapat termasuklah yang anak-anak udang galah. Itupun rasa tak puas lagi duk dekat sungai tu. Dari redup, ke panas terik, lepas tu redup balik. Dah kematu punggung masing-masing, tapi mata kail tetap dekat dasar, cari mangsa.

Okey, meh nak kasi tips sikit bagi sesiapa yang baru nak cuba-cuba pancing udang galah. (Tips dari Abg Abu...)

1- Guna umpan anak udang. Satu, sebab udang galah makan anak udang. Dua, sebab tangan tak kotor. Kalau guna cacing, memang kotorlah tangan. Lagipulak, illa sendiri pun tak nak pegang kalo cacing! Hah ha

2- Kena tunggu air pasang. Sebab kata Abg Abu, udang galah banyak waktu air pasang.

3- Mancing dekat tepi-tepi sungai. Kalau dekat tengah memang jarang ada katanya...

4- Jangan guna tali tangsi. Guna benang. Sebab kalau guna tali tangsi, senang je nak putus.

5- Guna dua mata kail. Tak tahu sebab apa udang galah ni suka makan yang ada dua umpan. Kalau satu memang dia tak layan.



Okay, jom tengok gambar kitaorang yang gumbira dekat Sg Perak mancing udang galah!







Dah, balik rumah masing-masing, ni makan diaaa... Hohohoho



Hah, apa lagi, Moh kite mancing udang galah! =)

Foto: Kredit Tourism Malaysia Perak

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 12]


 Assalamualaikum!

Awal-awal nak pesan, jangan terkejut bila nampak entry yang tiba-tiba dan entah bab mana. Hahaha. Sebenarnya, illa ada buka sikit cerita ni dari bab 11 hingga 15. Jadi, kalau nak mendalaminya (chewwah!) bolehla kembali ke zaman silam...ke zaman bab 11.

Rasanya tak ada orang buat rombak bab macam  ni. Hah ha. maaf dan enjoy!


BAU KOPI PEKAT menusuk hidung sebaik sahaja aku membuka mata. Selimut nipis yang menutupi separuh badan. Matahari dah tinggi pun masih lagi terasa sejuk. Aku menggeliat kecil tanpa sedat.
Lama sungguh perjalanan nak sampai dekat kampung ni.
            Jalan berbukit bukit pula tu. sikit lagi aku nak muntah bila kereta Zack asyik ke kanan dan ke kiri mendaki.
            Dan, sampai di rumah ni pun dah hampir senja. Entah ceruk mana Zack bawa aku. Atau sebenarnya kami dah sampai negara jiran?        
“Dah bangun?”
            Aku menoleh ke arah pintu. Seorang wanita separuh umur tersenyum manis sambil menatang dulang yang berisi teko dan beberapa biji cawan. Aku membalas soalannya dengan senyuman.
            “Jom, sarapan.”
            Aku hanya mengangguk. Wanita tadi terus hilang ke ruang tamu. Mata mula meneliti segenap ruang bilik kecil yang menjadi tempat aku tidur malam tadi. Kecil, memang kecil. Dinding bilik dibuat dari simen yang tak siap. Tak ada katil, hanya dua tilam lama yang sudah usang.
            Rasa menyesal pula aku tidur waktu hampir sampai dekat sini semalam. Sebabnya, sekarang ni aku sendiri pun tak tahu aku dekat mana. Tapi kalau dengar pelat makcik tadi, macam bunyi Perak.
            Ke, Kedah?
            Ataupun, perlis?
            Aku menggeleng sendiri.
            Makcik tadi pun aku tak tahu apa kaitannya dengan Zack. Sesi perkenalan malam tadi pun ringkas sangat dan makcik tadi pun tak banyak soal.
            Terus aje dia bagi aku bilik untuk tidur.
            “Kau ni… dekat mana-mana pun lembab.”
            Aku terus mencebik lebar. Tak perlu berpaling, aku dah tahu siapa empunya suara. Mail.
            Dia ni la…
            “Cepatlah. Bos panggil makan.” Dia mengetuk bilik beberapa kali dan terus hilang.
            Aku melangkah juga ke ruang tamu kecil yang hanya menempatkan meja makan sebesar empat kerusi dan sofa usang dua tempat duduk. Tak ada televisyen, tak ada kipas dinding.
            “Makan, Naurah…” makcik tadi menegur lembut. Aku tersenyum kekok sambil menarik kerusi di meja makan. Zack dan Mail sibuk menghabiskan nasi goreng tanpa memandang.
            “Makan cepat, kejap lagi ikut aku.”
Pinggan kosong ditolak ke arah aku.
“Hish, takkan nak bawa Naurah sekali?” makcik tadi pula menyampuk.
“Kalau dekat rumah, tidur aje kerja dia mak.”
‘Mak’? Makcik ni mak dia ke?
Aku mendengar Mail ketawa lepas tanpa memandang. Khusyuk sungguh dia menghabiskan makanan. Satu benda yang aku perasan pada Mail ni, dia makan banyak. Ya. Walaupun badan dia kecil dan tak berapa tinggi, tapi nafsu makan dia menggunung!
“Nak pergi mana?” aku menceduk nasi goreng ke dalam pinggan. Ringkas saja nasi goreng ni. Hanya ada telur dan sayur. Ayam dengan daging pun tak ada.
Tapi nampak Mail dengan Zack makan berselera kemain. Nasi goreng dibawa ke mulut.
Betullah, sedap!
“Nak pergi mana…?” sekali lagi aku mengulang soalan yang sama.
“Ikut ajelah…”

OH. MY.
            Dia bawa aku ikut dia masuk hutan?
            Ya, aku tahu aku pun orang kampung. Tapi selama 29 tahun aku hidup dekat dunia ni, tak pernah langsung aku masuk hutan tebal macam ni. Kalau semak-semak tepi rumah dekat kampung tu, selalu la.
            Hutan dekat taman rekreasi pun selalu. Tapi ni…?
            Nak redah pun kena tebas pokok! Dia tak takut ada ular ke?
            “Awak nak bawa saya pergi mana ni…?” hampir lima belas minit berjalan, aku bersuara juga. Seram kut duduk dalam hutan tebal macam ni. Kaki aku pun tak rasa jejak tanah. Kalau aku terpijak benda berbeli-belit tu, macam mana?
            Kalau ada ‘pak belang’ tiba-tiba macam mana?
            “Bisingla kau ni…” Mail mula membebel.
Spontan aku mencebik membalas bebelan Mail. Badan tegap Zack yang berjalan di hadapan aku cuit beberapa kali. Dia ni… tak dengar ke, buat-buat tak dengar?
            “Apahal?” dia berpaling ke belakang. “Sabarlah. Nak sampai dah.”
            “Awak nak tinggalkan saya dekat sini eh?” dahi aku mula berkerut lebat. berkali-kali aku menelan air liur. Mana tahu dia nak hilangkan jejak aku dengan tinggalkan aku dekat sini.
            Nak-nak kalau aku kena makan dengan harimau ke, singa ke…oh my, mati!
            “Kau ni…” Zack menggeleng beberapa kali.
            “Ikut hati aku, memang aku nak tinggalkan kau dekat sini pun. bising je…”Mail pula mencelah.
            “Hei, ingat sikit, awak yang culik saya. Salah siapa saya ada dekat sini? Hah?” Aku menoleh ke arah Mail di sebelah. Lupa daratan sungguh.
            Belum sempat Mail membalas, suara Zack lebih pantas mencelah. “Dah, dah. Dah sampai pun. korang gaduh lagi aku campak dua-dua dalam tu.”
            Aku dan Mail terus terdiam dan memandang ke arah yang ditunjukkan. Sebatang sungai yang sangat luas terbentang membuatkan mata aku terkebil-kebil beberapa kali. Ni…sungai ke tasik?
            Cantiknya!
            “Kita nak buat apa dekat sini bos?” Mail meletakkan beg yang dipikulnya dari tadi ke bawah. Tangan kanan di bawa ke dahi, mengelap peluh yang menitik.
            “Kita pancing udang galah.” Zack mencipta senyum nipis.
            Udang galah? Udang galah?!
            Bukan ke kalau ada udang galah, adalah bu…a…ya?
            Kepala terus berpaling ke arah Zack yang masih tersenyum melihat sungai di hadapan.      
            Biar betul dia ni? dah lah bawa masuk hutan yang mungkin ada ular dan harimau. Sekarang nak masuk sungai yang mungkin ada buaya pulak?
            Dia ni waras ke tidak?


           
AKU TAK TAHU bila masa dia letak joran dalam beg yang Mail pikul tadi. memang joran sekarang boleh lipat-lipat sampai jadi pendek ke? Aku tak pernah tahu pun sebelum ni.
            Lagi satu, macam mana dia boleh dapat satu plastik kecil anak udang ni?
            Aku masih lagi memandang wajah Zack dan Mail bersilih ganti. Khusyuk sungguh dia orang memasukkan umpan anak udang ke mata kail.
            Aku hanya mampu bersila di tengah-tengah bot kecil itu sambil menyanyi kecil. Terlupa yang aku ni sebenarnya mangsa culik Zack dan Mail.
            Rupanya ada lagi penculik yang ‘baik hati’ macam dia orang ni. kira baiklah sebab dia orang tak pernah apa-apakan aku.
            “Nah.” Sebatang joran dihulurkan kepada aku. “Pegang ni.”
            Aku pandang wajah Zack yang tidak beriak. Dia membetulkan topi coklat cair di kepalanya dengan tangan kiri.
Tak patut betullah. Kalau dia orang cakap awal-awal, bolehlah aku bawa sesuatu untuk tutup kepala ni.
Sekarang ni tak apalah, pagi. Nanti tengah hari maunya terbakar kepala aku. Aku melepas nafas perlahan. Joran yang sederhana panjang itu aku sambut dengan teragak-agak.
Dua mata kail yang berisi anak udang beras itu aku campak ke dalam sungai. Pemberat yang digantung tadi terus membawa mata kail itu ke dasar. “Kenapa letak dua umpan?” soalan itu terkeluar sebelum sempat aku menahan.
“Nak mancing udang bukan macam mancing ikan. Udang galah memang suka dua umpan. Kalau letak satu memang dia tak pandang.”
Aku mengangguk faham. Tamak jugak udang galah ni rupanya.
Keadaan kembali sunyi. Masing-masing memegang satu joran. Aku mula membuang pandang ke arah jeti yang menempatkan bot kecil ini tadi. Rupanya jalan yang kami lalu tadi jalan pintas.
Patutlah kena redah hutan bagai. Ada je sebenarnya jalan betul yang nak ke jeti nelayan ni. tapi jauh sikit.
Dan, entah macam mana Zack boleh kenal dengan Pakcik Abu, tuan punya bot ni. Masa jumpa dekat jeti tadi, elok je dia orang bersembang. Siap boleh dengar Zack ketawa besar lagi.
Selama ni aku ingat Zack ni ada penyakit saraf dekat mulut. Masam aje memanjang.
Atau…ni sebenarnya kampung Zack? Sebab tu dia kenal semua orang?
Tapi boleh pulak dia balik kampung segala. Bukan ke dia patut culik anak dato’ tu?
Penculik pun ada hari cuti eh?
Tangan terasa bergegar tiba-tiba. Aku memandang ke arah tali pancing yang separuh tenggelam. Udang galah dah makan umpan aku ke?
“Zack…zack udang ni!” aku menjerit tanpa sedar. “Macam mana ni? macam mana?”
“Bukan udang tu.” dia memandang joran yang aku pegang sekilas.
Bukan udang dia cakap? habis tu yang benda ni bergerak-gerak melawan aku ni kenapa? Takkanlah buaya…..
“Angkatla tengok. Tarik ke atas.”
Tangan terus memusing laju mesin dengan tangan kiri. Tengokla…dia tak percaya. Aku dapat udang galah dulu dari dia…
“Pusing pun tak betul. Pusing slow-slow la…” Mail yang diam dari tadi menyampuk.
Oh, kalau pancing udang kena pusing perlahan ke? Aku tengok dalam TV dia orang pusing mesin ni laju macam tak cukup tanah. Mendengar teguran Mail tadi, aku memperlahankan gerakan tangan.
Dan betullah kata Zack, bukan udang. Tapi ikan!
Wah! Aku dah berjaya memancing ikan! Syabas Naurah, Syabas. Baru aje tangan nak menyentuh ikan yang aku dapat tadi, Zack lebih pantas menghalang.
Bot bergoyang beberapa saat dek langkah Zack yang tiba-tiba.
“Jangan pegang!” dia terus merampas tali pancing daripada aku. ikan yang hanya sepanjang tapak tangan itu menggelepar dek kesakitan terkena mata kail. “Ikan ni beracun…” dia mencabut muncung ikan tadi dari mata kail dan terus mencampakkannya ke dalam sungai. Sesaat masa, ikan kecil berwarna putih gading itu hilang dari pandangan mata.
Aku dan Mail memandangnya pegun. Pantas betul.
Tapi, manalah aku tahu ada ikan berbisa dekat sungai ni. Bukan ke ikan keli je yang ada sengat? Tapi ikan tadi tak ada rupa ikan keli pun.
“Lain kali tanya dulu sebelum nak sentuh apa-apa. Ikan tu kalau kena sengat dia boleh demam. Tak nampak ke tiga duri dekat badan ikan tu tadi? Orang yang dah biasa pun boleh demam, kalau kau yang kena entah-entah boleh pengsan terus…”
“Tapi awak pegang…” jari telunjuk aku melurus pada tapak tangannya yang sedikit merah. Tak tahulah sebab duri ikan tadi ataupun kena semut merah. Tapi, mana ada semut merah dalam bot ni.
Tiga pasang mata mula memaku pandang pada tapak tangan Zack. Bukan ke dia kata…
“Aku dah biasa….” Dia menjawab tanpa memandang. Mata kail yang kosong itu diletakkan umpan.
“Tapi awak cakap, yang dah biasa pun boleh demam…” aku menggumam sendiri. Tali pancing bertukar tangan. Aku terus mencampakkan kembali mata kail ke dalam sungai bila melihat Zack mengunci mulut.
Kalau Zack demam, ataupun pengsan, ataupun sakit, siapa yang nak bawa aku balik nanti? Nak harapkan Mail, haram!
Aku mencuri pandang ke arah Zack yang masih sabar menunggu udang galah memakan umpan. Nampak dari gaya dia, tak ada rupa sakit pun.
Tolonglah Zack. Janganlah sakit.

OKAY, SELAMA NI aku ingat memancing adalah benda yang membosankan. Boring. Buang masa. Tapi, bila dapat rasa sendiri perasaan bila memancing, Zack ajak balik pun aku tak sedar!
            Sungguhlah. Rupanya dah hampir 5 jam aku dengan dia orang duduk dalam bot ni. Sekejap dekat kanan jeti, sekejap dekat kiri.
            Selama 5 jam dekat sini, aku baru dapat dua ekor! Mana puas lagi!
            “Bak la sini joran tu…aku nak simpan.” Sekali lagi Zack membuka suara. Mail sudahpun meluruskan kedua-dua kaki melintang dengan tangan di belakang kepala. Gaya bersenang lenang.
            “Kejaplah… nak tangkap seekor aje lagi.” aku menjawab tanpa memandang. Tak aci sungguh udang galah dekat sini. Mail dan Zack punyalah berkali-kali dapat. Aku dua ekor je? Itu pun yang saiz anak-anak aje.
            “Dah tak ada tu. Meh sini aku nak simpan.”
            Aku mengeluh kuat sambil menghulurkan joran yang diminta. Mulut mencebik tanpa dipaksa.
            “Nak mancing lama-lama pergi sendiri.”
            Cebikan aku makin lebar. Nak suruh aku pergi sendiri? Harapanlah. Mana pernah aku pergi memancing pun selama aku hidup ni.
            Dan yang paling penting, lepaskan aku dulu. baru boleh sembang pasal suruh aku memancing sendiri. Heh.
            Akhirnya aku duduk di hujung bot, menikmati suasana sungai. Walaupun dah petang, matahari masih lagi tegak di kepala.
            Mail yang mula melelapkan mata di sebelah aku pandang dengan sengihan. Perlahan-lahan aku menarik tuala kecil dari kepala dia.
            “Hish!” belum sempat tuala jatuh dari kepala, Mail menepis tangan aku kuat. “Apa ni ambik aku punya…”
            “Kedekut!” budak Mail ni la… dia tak tahu ke yang aku ni lagi tua dari dia? Tak ada rasa hormat langsung!
            “Korang boleh diam tak? Aku campak sungguh karang.”
            Sekali lagi aku mencebik. Habislah muka aku nanti. Dahlah kalau sekali ‘burn’ payah sungguh nak elok balik.
            “Pegang,” Topi yang dipakainya tadi diletakkan di atas riba aku. Laju aje aku mendongak ke atas. Zack mula menghidupkan enjin dan membetulkan stereng bot. Beberapa punat ditekan sebelum kembali menyambung. “Jatuh dalam sungai nanti aku suruh kau terjun ambik balik.”
            Bibir terus tersenyum tanpa dipaksa. Yeay! Selamatlah muka aku dari dimakan panahan terik matahari. Sempat aku menjeling ke arah Mail yang mengomel tanpa suara. Tanda tak puas hati.
            Dengan senyuman yang masih  berbaki, aku memandang ke depan. Bot mula bergerak laju menuju ke jeti tadi. Bila ada dekat depan bot macam ni, memang rasa diri terbang dibawa angin.
Sebelah tangan didepakan dan sebelah lagi memegang topi Zack erat. Takut jatuh ditiup angin. Sekarang ni aku betul-betul terasa macam Rose dalam filem Titanic.
            Bezanya, tanpa Jack disisi.
            Jack? Zack?
            Oh Em Gee!