Sunday, 30 March 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 3]



BERKALI KALI AKU mengangkat tangan kiri, menilik jam berjenama ELLE yang dihadiahkan oleh Ain tahun lepas. Rasanya dari tadi aku nampak manusia-manusia yang berjantina lelaki berkeliaran dengan baju melayu depan kedai ni.
            Lagipula, jam dah pun menunjukkan pukul 2.30 petang. Takkan belum selesai lagi?
            Sehelai selendang kapas bercorak hijau biru ungu aku capai tanpa tujuan. Sekali lagi mata aku terarah pada kaki lima, kalau-kalau ada kereta Abang Bidin yang diparkir berhampiran. Tapi hampa.
            Bayang kereta dia pun aku tak nampak.
            Keluhan terkeluar tanpa sedar.
            Selendang tadi diletakkan kembali ke tempat asal. Kaki dibawa pula ke bahagian baju-baju dan jubah. Sekadar menghabiskan masa yang ada. Sebenarnya aku dah bayar pun harga selendang untuk Iqa tadi. Nak keluar, panas terik.
Jadi aku ambil keputusan untuk tunggu aje Abang Bidin dekat sini. Terlindung dari panas matahari.
Lenovo aku dari tadi diam tanpa sebarang bunyi.
Kenapa lama sangat Abang Bidin ni?
“Yang ni fesyen baru kak, boleh cuba dulu kalau mahu.”
Aku tersentak dari lamunan sendiri. Seorang pekerja Indonesia yang berdiri tegak di hadapan jubah-jubah itu tersenyum manis memandang aku. Sikit lagi aku nak ketuk dahi sendiri.
Sumpah aku ingatkan dia tu patung tadi!
“Er…berapa ringgit ni?” terpacul soalan dari mulut aku tanpa dipinta. Jubah dari kain jenis lycra itu aku pegang lama. Kalau nak suruh aku pakai, memang tak mungkin.
Dengan kerja aku ke hulu ke hilir macam ni, macam mana nak pakai jubah?
Tapi kalau belikan untuk mak, sesuai jugak. Lagipun, takkan aku belikan selendang untuk Iqa aje. Haih, kenapalah tak terfikir pun tadi. Nasib baik aku tak keluar lagi dari kedai ni.
“Lima puluh sembilan aje kak.” Dia tersenyum lagi.
Aku menarik nafas perlahan sambil meneliti setiap jahitan pada jubah tadi. Simple. Tak banyak bunga dan tak banyak warna.
Memang sesuai untuk mak.
“Ada warna hijau lumut tak?” tiba-tiba aku teringatkan warna kegemaran mak yang satu tu. Kebanyakan baju mak semua warna hijau. Damai katanya. “Kalau ada, saya nak yang saiz M ya?”
“Kejap ya kak, saya cari.”
Aku senyum nipis melihat pekerja tadi sibuk membelek setiap stok yang disusun di atas rak tadi. Dah lama rasanya aku tak beli barang untuk mak. Paling akhir, waktu raya dulu. Dah dekat tujuh bulan kot!
“Dik, make it two, boleh?”
Aku terlompat ke depan, terkejut dek suara asing yang menyampuk tiba-tiba. Laju aku memusingkan kepala ke belakang. Imej seorang lelaki yang lengkap berbaju melayu dan bersongkok hitam itu aku pandang dengan kerutan di dahi.
“Apa abang?” pekerja tadi turut memandangnya, tak lepas. “Apa yang boleh?” keningnya terangkat tinggi. Mungkin sebab dia tak faham arahan lelaki tadi.
“Dia pun nak satu. Nanti bagi kami dua helai ya.” Aku menjawab bagi pihak lelaki tadi.
Make it two, make it two… ingat dia tengah order makanan ke apa? Heh.
 “Thanks.” Aku nampak dia tersenyum nipis sambil mengangkat songkok dan membetulkan rambut basahnya beberapa kali. “Saya tak tahu nak pilih yang mana, jadi saya tiru awak punya pilihan, boleh kan?” jelasnya panjang lebar sambil meletakkan kembali songkok tadi ke kepala.
Aku hanya mengangkat bahu, tanda tak kisah.
Akhirnya pekerja tadi mengeluarkan dua helai jubah berwarna hijau yang masih berbungkus di dalam plastik lutsinar. Aku menyambutnya dengan senyuman dan terus berjalan ke kaunter, meninggalkan lelaki tadi.
Tiba di kaunter, Lenovo aku akhirnya mengeluarkan bunyi. Bunyi Whatsapp Message diterima.

Aku dah siap. Kau kat mana?
Sy dalam Muaz.
Abg tunggu kejap, sy nak bayar jap.
Muaz?
Dekat mana tu?
OK.
Abg parking dekat mana?
Nanti sy pergi sana.
Ala abg tengok la signboard. Ada belah kanan jalan ni.
OK.

“Lima puluh sembilan ringgit cik.”
Jari aku terhenti berlari di atas skrin telefon. Dompet coklat tua aku keluarkan dari saku seluar. Sehelai not lima puluh ringgit dan sehelai not tertera sepuluh ringgit aku keluarkan dari perut Levis.

Jumpa tak?

Jari jemari kembali pada skrin telefon.

Kejap. Tengah cari.
Tak jumpa la.
Kau dah siap ke?
Nak keluar la ni.

“Bakinya cik.”
Aku mencipta senyum segaris kepada penjaga kaunter sambil menyambut baki RM1 tadi.

Kejap, saya keluar.

Lepas aje taip ayat terakhir, aku terus keluar dari perut Muaz Textile dan berlari ke pinggir jalan. Kedua-dua belah mata sibuk mencari kereta Abang Bidin yang mungkin berdekatan.
Tak ada pun!

Abg dekat mana ni?
Sy tak nampak pun kereta.
Tengah pusing.
Tunggu situ.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Tengah pusing. Penat aje aku berlari keluar. heh.

“Er, cik.”
Aku mengangkat muka dari skrin telefon ke arah tuan punya suara yang menegur.
Ini bukan ke…lelaki tadi?
“I think this is yours.” dia mengangkat tinggi satu beg plastik yang berwarna merah kuning dengan senyuman.
Dan aku masih lagi bingung.
Awak punya.  Keluar cepat sangat tadi, you tertinggal ni.”
Oh my. Tu jubah yang aku beli tadi ke?
Laju aje aku memandang ke arah tangan sendiri. Betul! Hanya plastik yang berisi selendang aje yang aku pegang.
Haih, macam manalah boleh terlupa nak ambil benda ni tadi.
“Thanks.”
Dia hanya mengangguk kecil. “Well, 1-1.”
Aku senyum nipis, faham apa maksud dia.
“Kejar masa nak balik office?”
Aku geleng perlahan. Kedua-dua beg plastik tadi aku sumbat ke dalam beg sandang. “Tak. Kejar kereta kawan.”
“Oh…”
Diam lagi. Awkward. Awkward. Kenapa dia tak nak pergi aje ni? takkan minta upah kut?
“You tak nak balik ofis?” giliran aku pula yang bertanya soalan. Soalan yang sama. Obviously.
Topik apa aje pun yang boleh di bawa bersembang waktu pertama kali jumpa. Cuara jerebu?
Heh.
“Nak balik la ni.”
“Naurah!”
Bunyi hon kereta yang ditambah lagi dengan suara Abang Bidin membuatkan aku hampir terlompat ke belakang.
Abang Bidin ni pun…kut ya pun teruja jumpa aku, takkanlah nak jerit macam tu sekali.
“Kawan dah sampai…” dia berkata perlahan.
Aku senyum nipis. “Haah.”
“Okay then. Thanks Norah.” Dia turut sama senyum.
            Kening aku terangkat tinggi mendengar dia menyebut nama aku. Sah, dia dengar nama aku disebut-sebut Abang Bidin tadi. Salah sebut pulak tu.
“Thanks to you to.” Aku terus berlari mendapatkan kereta Abang Bidin di hujung jalan tanpa menoleh ke belakang. Tahulah dia cari jalan balik ofis sendiri nanti.
            “Sorry bang. Lama pusing?” aku menutup pintu kereta dan terus memakai tali pinggang keledar selepas mencampakkan beg sandang yang aku pikul tadi ke bawah.
            “Taklah. Aku baru keluar dari masjid waktu mesej kau tadi.” aku nampak Abang Bidin tersnyum nipis.
            Cait. Main tipu.
            Bersungguh-sungguh aku berlari keluar dari kedai tadi semata-mata tak nak dia terlepas.
            Boleh dia main tipu macam tu?
            “Banyak beli tudung?”
            “Ada la sikit. Untuk adik.” Sengaja aku tekankan ayat ‘untuk adik’.
            “Untuk adik je?”
            “Hmm.” aku menjawab pendek. “Kita taknak makan dulu ke? Saya laparla.” Cepat-cepat aku mengubah topik. Bab-bab tudung ni, aku sensitif sikit. bukan aku tak tahu orang Islam wajib tutup aurat.
            Tapi…
            “Lapar lagi?” Abang Bidin memandang ke arah aku sekilas sebelum kembali menumpukan perhatiannya ke jalan raya.
            “Tadi kita breakfast. Sekarang lunch. Salah ke?” aku membalas.
            “Manalah kau simpan segala makanan yang kau makan tu Naurah oi. Penat laki kau nak bela kau nanti.” Abang Bidin dah bantai ketawa.
            Muncung aku terus naik seinci tanpa dipaksa.
            “Memang aku nak kena pesan dekat laki kau, tak boleh bagi kau lapar. Kalau tak…”
            “Saya tak makan orang la. Saya makan nasi. Nasi.” Aku memotong.
            Sekali lagi ketawa Abang Bidin pecah. “Iyalah, kita singgah makan dulu. lepas tu balik ofis terus. Aku kena balik awal ni.”
Aku mencebik. Dari semalam ayat yang sama. Nak balik awal. Nak balik awal. Entah-entah betul yang dia simpan mistress tak?
            “Saya pun nak balik awal jugak. Bukan abang sorang je.” Aku menjawab malas. balik rumah nanti, kemas sikit-sikit, terus balik kampung.
            Malas pulak nak mengharungi malam dekat jalan sunyi Pagoh tu. Kalau gerak siang, tak adalah menyeramkan sangat.
            “Nak buat apa balik awal? Dating?”
            “Dating kebendanya bang oi.” Laju aku mencebik. Bukannyaa Abang Bidin tak tahu yang aku ni pencari calon pengantin lelaki tegar.
            “Manalah tahu kau nak keluar dating dengan budak depan kedai tadi.”
            Wajah Abang Bidin yang masih tenang memandu di sebelah aku pandang lama. Budak depan kedai?
            “Siapa?”
            “Yang kau bersembang sampai tak ingat dunia tu. Aku panggil lima enam kali pun tak dengar.”
            Oh… Abang Bidin dah panggil aku lama rupanya…
            “Saya tak kenal pun siapa dia.” jujur aku menjawab. Memang pun tak kenal.
            Kereta Abang Bidin membelok ke kawasan pejabat. Sempat kut nak makan dekat Restoran Kak Yam sebelum naik ke ofis.
            Lagipun, bos tak ada.
            “Tipulah.”
            “Tak ada untungnya saya nak tipu. Sembang pun sebab saya tertinggal barang.” Aku berhenti sesaat mengingatkan kejadian tadi. “Dia yang tolong ambilkan untuk saya.”
            “Oh sweet kemain.” Dia sengih lebar. Kereta sudahpun memasuki kawasan parkir bawah.
            Aku hampir tergelak mendengar perkataan ‘sweet’ yang terkeluar dari mulut Abang Bidin. Dengan umurnya yang hampir mencecah 40, sikitpun aku tak rasa perkataan tu sesuai.
            “Sweet apanya…”
            Abang Bidin tergelak sendiri. Suis kereta dimatikan sebelum dia membuka kunci pintu. “Balik rumah nanti kau cuba periksa barang yang kau tertinggal tu. Kut-kutlah dia ada tinggalkan nombor telefon.”
            “Abang ingat ni drama swasta?” aku mencebik. Beg sandang yang diletakkan di kaki tadi aku capai sebelum ke pintu belakang. Barang-barang untuk dulang hantaran Wanda aku keluarkan dari kereta. Abang Bidin yang hanya tegak memerhatikan segala gerak gerinya dipandang sekilas. “Terlebih tengok filem abang ni…”
            “Manalah tahu…”


SELESAI MAKAN DAN lapor diri ke pejabat, aku terus bergegas balik ke rumah sewa, kemas ala kadar. Sehelai baju kurung yang dijahit sempena raya tahun lepas aku capai dari lipatan yang paling bawah.
            Lama sungguh aku tak pakai baju kurung.
            Plastik yang berisi selendang Iqa dan jubah untuk mak aku sumbat ke dalam beg yang sama.
            Siap.
            Baru sahaja tangan ingin menutup rapat zip, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Jari jemari mula membuka kembali zip yang separa terbuka. Beg plastik Muaz yang berisi jubah untuk mak aku capai dari perut beg.
            Dan akhirnya aku tergelak sendiri.
            Tak ada kertas asing kecuali resit yang berharga RM59.00.
            Tak ada nombor telefon yang terselit di mana-mana.
            Tak ada.
            Aku menggeleng beberapa kali sambil  memasukkan kembali beg plastik tadi ke dalam beg pakaian.
Apa yang kau fikir wahai Naurah? Lelaki tu betul-betul tinggalkan nombor telefon dia dekat situ?
            Ini semua Abang Bidin punya pasal. Imaginasi drama dia melampau-lampau.
Beg yang sudah siap diisi aku angkat keluar dan terus dimasukkan ke dalam kereta. Barang untuk hiasan dulang Wanda yang masih berbungkus di dalam plastik aku pandang sekilas. Spontan nafas ditarik perlahan.
Kut ya pun terdesak nak cari calon pengantin lelaki, takkan semua orang yang tegur kau tu nak mengurat kau. Sedarlah Naurah. Ingat senang ke boleh pilih-pilih tepi jalan?
Sekali lagi aku mengeluh bila mendengar kata hati sendiri.
Ya, aku tahu.
Aku tahu, payah.


HAMPIR PUKUL LAPAN MALAM.
Sewaktu kereta masuk ke halaman rumah, beberapa orang kampung yang berada di halaman rumah Makcik Rosnah memandang ke arah kereta aku sambil bercakap sesama sendiri.
            Tak ramai pun yang aku kenal.
            Ada Pakcik Ya, yang sedang gigih membetulkan letak khemah. Pakcik Din yang turut sama membantu. Udin dan Apis, anak Pakcik Adam yang sibuk mengatur kerusi dan meja.
            Makcik Bihah, Makcik Hanum dan Ngah Ida rancak bersembang di hadapan periuk besar yang aku tak tahu apa isinya. Telur ayam mungkin.
            Aku memandu perlahan masuk ke perkarangan rumah aku yang hanya beberapa meter dari rumah Wanda. Pandangan mata orang-orang kampung masih pada kereta aku sehinggalah enjin kereta dimatikan.
            Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah keluar dari kereta sambil membimbit beg tangan.
            “Baru sampai Angah?”
            Pintu kereta baru sahaja ditutup ketika ada suara yang menegur. Aku mendongak ke arah tangga rumah aku. Abang Mazlan tersenyum nipis dengan membawa tukul dan paku.
            “Haah. banyak kerja bang?” soal aku, berbahasa. Kalau nak dikira, Abang Mazlan ni dah macam Abang aku jugak. Sebabnya, dia dengan Along memang rapat dari kecil. Umur pun sebaya. Dah macam kembar.
            “Bolehlah. Semua kelam kabut. Mana tahu si Wan tu jadi nikah jugak lepas accident tu.” Abang Mazlan sudahpun menyarung selipar jepun yang diletakkan di bawah tangga.
            Mengingatkan kisah Wanda, aku tersenyum lebar. Memang tak disangka dia boleh pulih dengan cepat.  “Nasib baik tak cancel semua.”
            “Nick yang tak bagi cancel dulu. Nasib baik jugak. Kalau ikutkan abang dengan dengan mak, memang kami nak tangguhkan.”
            “Bagus betul Nick tu. Dia yakin yang Wan akan sembuh macam biasa sebelum tarikh nikah dia orang. Mungkin sebab tu dia tak bagi batalkan.” Tambah aku. lebih kepada bercakap sendiri. Untung sungguh jadi budak Wanda tu.
            “Ok lah ngah. Abang nak sambung sangkut langsir dekat rumah tu. hisy, mana pulak budak ni…” Abang Mazlan mengintai-intai ke arah rumah aku, mencari sesuatu.
            Ataupun seseorang?
            “Siapa? Abah nak tolong abang pasang ke?” aku membuka pintu kereta belakang, mengeluarkan segala barang yang aku beli petang tadi. Niatnya lepas mandi nanti barulah aku akan ke rumah Wanda. “Bawak ni sekali bang. Lepas isyak nanti angah pergi sana.” Aku menghulurkan plastik yang berisi barang hiasan untuk dulang tadi.
            “OK. Eh, Ben, kau bawa ni.”
            Kening aku berkerut seribu. Ben? Laju aje aku berpusing ke belakang, mengikut arah pandangan Abang Mazlan. Seorang lelaki putih melepak dan bercermin mata berdiri tegak di muka pintu rumah aku.
            Sejak bila Along yang berkulit sawo matang jadi putih melepak ni? ataupun, Adie, suami Iqa tu dah buat pembedahan plastik? Tapi, takkanlah lepas buat pembedahan plastik terus tukar nama?
            Takkan mak lahirkan anak lelaki lain kot?
            “Pakcik cakap, tukul ada satu saja.” Lelaki yang dipanggil Ben tadi turun dari tangga, mendekati aku dan Abang Mazlan yang masih berdiri di tepi kereta.
            “Tak apa. Biar aku je yang pasang semua. Kau tolong bawa ni.” plastik tadi bertukar tangan. “Angah, ni kawan abang, Benjamin.”
            Aku memandang ke arah Benjamin yang tersenyum nipis di hadapan. Muka macam bukan orang melayu… pelat pun macam bukan orang sini…
            “Assalamualaikum,” tegur dia dengan senyuman. “Hai, saya Benjamin.”

            Aku tersentak sesaat sebelum menjawab salam dalam hati. “Naurah.” balas aku perlahan. Islam rupanya… 

***

2 comments:

missone hazel said...

Alahai.. ben pulak muncul....

Nana Mohd Yasin said...

Hihihihi
Suka suka suka
Naurah benjamin
Sweet....
Lagiiii