BERKALI KALI AKU
mengangkat tangan kiri, menilik jam berjenama ELLE yang dihadiahkan oleh Ain
tahun lepas. Rasanya dari tadi aku nampak manusia-manusia yang berjantina
lelaki berkeliaran dengan baju melayu depan kedai ni.
Lagipula, jam dah pun menunjukkan pukul 2.30 petang.
Takkan belum selesai lagi?
Sehelai selendang kapas bercorak hijau biru ungu aku
capai tanpa tujuan. Sekali lagi mata aku terarah pada kaki lima, kalau-kalau
ada kereta Abang Bidin yang diparkir berhampiran. Tapi hampa.
Bayang kereta dia pun aku tak nampak.
Keluhan terkeluar tanpa sedar.
Selendang tadi diletakkan kembali ke tempat asal. Kaki
dibawa pula ke bahagian baju-baju dan jubah. Sekadar menghabiskan masa yang
ada. Sebenarnya aku dah bayar pun harga selendang untuk Iqa tadi. Nak keluar,
panas terik.
Jadi
aku ambil keputusan untuk tunggu aje
Abang Bidin dekat sini. Terlindung dari panas matahari.
Lenovo
aku dari tadi diam tanpa sebarang bunyi.
Kenapa
lama sangat Abang Bidin ni?
“Yang
ni fesyen baru kak, boleh cuba dulu kalau mahu.”
Aku
tersentak dari lamunan sendiri. Seorang pekerja Indonesia yang berdiri tegak di
hadapan jubah-jubah itu tersenyum manis memandang aku. Sikit lagi aku nak ketuk
dahi sendiri.
Sumpah
aku ingatkan dia tu patung tadi!
“Er…berapa
ringgit ni?” terpacul soalan dari mulut aku tanpa dipinta. Jubah dari kain
jenis lycra itu aku pegang lama. Kalau
nak suruh aku pakai, memang tak mungkin.
Dengan
kerja aku ke hulu ke hilir macam ni, macam mana nak pakai jubah?
Tapi
kalau belikan untuk mak, sesuai jugak. Lagipun, takkan aku belikan selendang
untuk Iqa aje. Haih, kenapalah tak terfikir pun tadi. Nasib baik aku tak keluar
lagi dari kedai ni.
“Lima
puluh sembilan aje kak.” Dia tersenyum lagi.
Aku
menarik nafas perlahan sambil meneliti setiap jahitan pada jubah tadi. Simple. Tak banyak bunga dan tak banyak
warna.
Memang
sesuai untuk mak.
“Ada
warna hijau lumut tak?” tiba-tiba aku teringatkan warna kegemaran mak yang satu
tu. Kebanyakan baju mak semua warna hijau. Damai katanya. “Kalau ada, saya nak
yang saiz M ya?”
“Kejap
ya kak, saya cari.”
Aku
senyum nipis melihat pekerja tadi sibuk membelek setiap stok yang disusun di
atas rak tadi. Dah lama rasanya aku tak beli barang untuk mak. Paling akhir,
waktu raya dulu. Dah dekat tujuh bulan kot!
“Dik,
make it two, boleh?”
Aku
terlompat ke depan, terkejut dek suara asing yang menyampuk tiba-tiba. Laju aku
memusingkan kepala ke belakang. Imej seorang lelaki yang lengkap berbaju melayu
dan bersongkok hitam itu aku pandang dengan kerutan di dahi.
“Apa
abang?” pekerja tadi turut memandangnya, tak lepas. “Apa yang boleh?” keningnya
terangkat tinggi. Mungkin sebab dia tak faham arahan lelaki tadi.
“Dia
pun nak satu. Nanti bagi kami dua helai ya.” Aku menjawab bagi pihak lelaki
tadi.
Make it two, make it two…
ingat dia tengah order makanan ke
apa? Heh.
“Thanks.”
Aku nampak dia tersenyum nipis sambil mengangkat songkok dan membetulkan rambut
basahnya beberapa kali. “Saya tak tahu nak pilih yang mana, jadi saya tiru awak
punya pilihan, boleh kan?” jelasnya panjang lebar sambil meletakkan kembali
songkok tadi ke kepala.
Aku
hanya mengangkat bahu, tanda tak kisah.
Akhirnya
pekerja tadi mengeluarkan dua helai jubah berwarna hijau yang masih berbungkus
di dalam plastik lutsinar. Aku menyambutnya dengan senyuman dan terus berjalan
ke kaunter, meninggalkan lelaki tadi.
Tiba
di kaunter, Lenovo aku akhirnya
mengeluarkan bunyi. Bunyi Whatsapp
Message diterima.
Aku
dah siap. Kau kat mana?
Sy
dalam Muaz.
Abg
tunggu kejap, sy nak bayar jap.
Muaz?
Dekat
mana tu?
OK.
Abg
parking dekat mana?
Nanti
sy pergi sana.
Ala
abg tengok la signboard. Ada belah kanan jalan ni.
OK.
“Lima puluh sembilan ringgit cik.”
Jari aku terhenti berlari di atas
skrin telefon. Dompet coklat tua aku keluarkan dari saku seluar. Sehelai not
lima puluh ringgit dan sehelai not tertera sepuluh ringgit aku keluarkan dari
perut Levis.
Jumpa
tak?
Jari
jemari kembali pada skrin telefon.
Kejap.
Tengah cari.
Tak
jumpa la.
Kau
dah siap ke?
Nak
keluar la ni.
“Bakinya
cik.”
Aku
mencipta senyum segaris kepada penjaga kaunter sambil menyambut baki RM1 tadi.
Kejap, saya keluar.
Lepas
aje taip ayat terakhir, aku terus keluar dari perut Muaz Textile dan berlari ke pinggir jalan. Kedua-dua belah mata
sibuk mencari kereta Abang Bidin yang mungkin berdekatan.
Tak
ada pun!
Abg dekat mana ni?
Sy tak nampak pun kereta.
Tengah
pusing.
Tunggu
situ.
Aku
menarik nafas dalam-dalam. Tengah pusing. Penat aje aku berlari keluar. heh.
“Er,
cik.”
Aku
mengangkat muka dari skrin telefon ke arah tuan punya suara yang menegur.
Ini
bukan ke…lelaki tadi?
“I think this is yours.”
dia mengangkat tinggi satu beg plastik yang berwarna merah kuning dengan
senyuman.
Dan
aku masih lagi bingung.
“Awak punya. Keluar cepat sangat tadi, you tertinggal ni.”
Oh my.
Tu jubah yang aku beli tadi ke?
Laju
aje aku memandang ke arah tangan sendiri. Betul! Hanya plastik yang berisi
selendang aje yang aku pegang.
Haih,
macam manalah boleh terlupa nak ambil benda ni tadi.
“Thanks.”
Dia
hanya mengangguk kecil. “Well, 1-1.”
Aku
senyum nipis, faham apa maksud dia.
“Kejar
masa nak balik office?”
Aku
geleng perlahan. Kedua-dua beg plastik tadi aku sumbat ke dalam beg sandang.
“Tak. Kejar kereta kawan.”
“Oh…”
Diam
lagi. Awkward. Awkward. Kenapa dia
tak nak pergi aje ni? takkan minta upah kut?
“You
tak nak balik ofis?” giliran aku pula yang bertanya soalan. Soalan yang sama. Obviously.
Topik
apa aje pun yang boleh di bawa bersembang waktu pertama kali jumpa. Cuara
jerebu?
Heh.
“Nak
balik la ni.”
“Naurah!”
Bunyi
hon kereta yang ditambah lagi dengan suara Abang Bidin membuatkan aku hampir
terlompat ke belakang.
Abang
Bidin ni pun…kut ya pun teruja jumpa aku, takkanlah nak jerit macam tu sekali.
“Kawan
dah sampai…” dia berkata perlahan.
Aku
senyum nipis. “Haah.”
“Okay then. Thanks Norah.”
Dia turut sama senyum.
Kening aku terangkat tinggi mendengar dia menyebut nama
aku. Sah, dia dengar nama aku disebut-sebut Abang Bidin tadi. Salah sebut pulak
tu.
“Thanks to you to.”
Aku terus berlari mendapatkan kereta Abang Bidin di hujung jalan tanpa menoleh
ke belakang. Tahulah dia cari jalan balik ofis sendiri nanti.
“Sorry bang. Lama pusing?” aku menutup pintu kereta dan
terus memakai tali pinggang keledar selepas mencampakkan beg sandang yang aku
pikul tadi ke bawah.
“Taklah. Aku baru keluar dari masjid waktu mesej kau
tadi.” aku nampak Abang Bidin tersnyum nipis.
Cait. Main tipu.
Bersungguh-sungguh aku berlari keluar dari kedai tadi semata-mata
tak nak dia terlepas.
Boleh dia main tipu macam tu?
“Banyak beli tudung?”
“Ada la sikit. Untuk adik.” Sengaja aku tekankan ayat
‘untuk adik’.
“Untuk adik je?”
“Hmm.” aku menjawab pendek. “Kita taknak makan dulu ke?
Saya laparla.” Cepat-cepat aku mengubah topik. Bab-bab tudung ni, aku sensitif
sikit. bukan aku tak tahu orang Islam wajib tutup aurat.
Tapi…
“Lapar lagi?” Abang Bidin memandang ke arah aku sekilas
sebelum kembali menumpukan perhatiannya ke jalan raya.
“Tadi kita breakfast.
Sekarang lunch. Salah ke?” aku
membalas.
“Manalah kau simpan segala makanan yang kau makan tu
Naurah oi. Penat laki kau nak bela kau nanti.” Abang Bidin dah bantai ketawa.
Muncung aku terus naik seinci tanpa dipaksa.
“Memang aku nak kena pesan dekat laki kau, tak boleh bagi
kau lapar. Kalau tak…”
“Saya tak makan orang la. Saya makan nasi. Nasi.” Aku
memotong.
Sekali lagi ketawa Abang Bidin pecah. “Iyalah, kita
singgah makan dulu. lepas tu balik ofis terus. Aku kena balik awal ni.”
Aku
mencebik. Dari semalam ayat yang sama. Nak balik awal. Nak balik awal. Entah-entah
betul yang dia simpan mistress tak?
“Saya pun nak balik awal jugak. Bukan abang sorang je.”
Aku menjawab malas. balik rumah nanti, kemas sikit-sikit, terus balik kampung.
Malas pulak nak mengharungi malam dekat jalan sunyi Pagoh
tu. Kalau gerak siang, tak adalah menyeramkan sangat.
“Nak buat apa balik awal? Dating?”
“Dating kebendanya bang oi.” Laju aku mencebik. Bukannyaa
Abang Bidin tak tahu yang aku ni pencari calon pengantin lelaki tegar.
“Manalah tahu kau nak keluar dating dengan budak depan kedai tadi.”
Wajah Abang Bidin yang masih tenang memandu di sebelah
aku pandang lama. Budak depan kedai?
“Siapa?”
“Yang kau bersembang sampai tak ingat dunia tu. Aku
panggil lima enam kali pun tak dengar.”
Oh… Abang Bidin dah panggil aku lama rupanya…
“Saya tak kenal pun siapa dia.” jujur aku menjawab.
Memang pun tak kenal.
Kereta Abang Bidin membelok ke kawasan pejabat. Sempat kut
nak makan dekat Restoran Kak Yam sebelum naik ke ofis.
Lagipun, bos tak ada.
“Tipulah.”
“Tak ada untungnya saya nak tipu. Sembang pun sebab saya
tertinggal barang.” Aku berhenti sesaat mengingatkan kejadian tadi. “Dia yang
tolong ambilkan untuk saya.”
“Oh sweet kemain.”
Dia sengih lebar. Kereta sudahpun memasuki kawasan parkir bawah.
Aku hampir tergelak mendengar perkataan ‘sweet’ yang terkeluar dari mulut Abang
Bidin. Dengan umurnya yang hampir mencecah 40, sikitpun aku tak rasa perkataan
tu sesuai.
“Sweet apanya…”
Abang Bidin tergelak sendiri. Suis kereta dimatikan
sebelum dia membuka kunci pintu. “Balik rumah nanti kau cuba periksa barang
yang kau tertinggal tu. Kut-kutlah dia ada tinggalkan nombor telefon.”
“Abang ingat ni drama swasta?” aku mencebik. Beg sandang
yang diletakkan di kaki tadi aku capai sebelum ke pintu belakang. Barang-barang
untuk dulang hantaran Wanda aku keluarkan dari kereta. Abang Bidin yang hanya
tegak memerhatikan segala gerak gerinya dipandang sekilas. “Terlebih tengok
filem abang ni…”
“Manalah tahu…”
SELESAI MAKAN DAN lapor
diri ke pejabat, aku terus bergegas balik ke rumah sewa, kemas ala kadar.
Sehelai baju kurung yang dijahit sempena raya tahun lepas aku capai dari
lipatan yang paling bawah.
Lama sungguh aku tak pakai baju kurung.
Plastik yang berisi selendang Iqa dan jubah untuk mak aku
sumbat ke dalam beg yang sama.
Siap.
Baru sahaja tangan ingin menutup rapat zip, tiba-tiba aku
teringatkan sesuatu. Jari jemari mula membuka kembali zip yang separa terbuka.
Beg plastik Muaz yang berisi jubah untuk mak aku capai dari perut beg.
Dan akhirnya aku tergelak sendiri.
Tak ada kertas asing kecuali resit yang berharga RM59.00.
Tak ada nombor telefon yang terselit di mana-mana.
Tak ada.
Aku menggeleng beberapa kali sambil memasukkan kembali beg plastik tadi ke dalam
beg pakaian.
Apa
yang kau fikir wahai Naurah? Lelaki tu betul-betul tinggalkan nombor telefon
dia dekat situ?
Ini semua Abang Bidin punya pasal. Imaginasi drama dia
melampau-lampau.
Beg
yang sudah siap diisi aku angkat keluar dan terus dimasukkan ke dalam kereta. Barang
untuk hiasan dulang Wanda yang masih berbungkus di dalam plastik aku pandang
sekilas. Spontan nafas ditarik perlahan.
Kut
ya pun terdesak nak cari calon pengantin lelaki, takkan semua orang yang tegur
kau tu nak mengurat kau. Sedarlah Naurah. Ingat senang ke boleh pilih-pilih
tepi jalan?
Sekali
lagi aku mengeluh bila mendengar kata hati sendiri.
Ya,
aku tahu.
Aku
tahu, payah.
HAMPIR PUKUL LAPAN
MALAM.
Sewaktu
kereta masuk ke halaman rumah, beberapa orang kampung yang berada di halaman rumah
Makcik Rosnah memandang ke arah kereta aku sambil bercakap sesama sendiri.
Tak ramai pun yang aku kenal.
Ada Pakcik Ya, yang sedang gigih membetulkan letak
khemah. Pakcik Din yang turut sama membantu. Udin dan Apis, anak Pakcik Adam
yang sibuk mengatur kerusi dan meja.
Makcik Bihah, Makcik Hanum dan Ngah Ida rancak bersembang
di hadapan periuk besar yang aku tak tahu apa isinya. Telur ayam mungkin.
Aku memandu perlahan masuk ke perkarangan rumah aku yang
hanya beberapa meter dari rumah Wanda. Pandangan mata orang-orang kampung masih
pada kereta aku sehinggalah enjin kereta dimatikan.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah keluar
dari kereta sambil membimbit beg tangan.
“Baru sampai Angah?”
Pintu kereta baru sahaja ditutup ketika ada suara yang
menegur. Aku mendongak ke arah tangga rumah aku. Abang Mazlan tersenyum nipis
dengan membawa tukul dan paku.
“Haah. banyak kerja bang?” soal aku, berbahasa. Kalau nak
dikira, Abang Mazlan ni dah macam Abang aku jugak. Sebabnya, dia dengan Along
memang rapat dari kecil. Umur pun sebaya. Dah macam kembar.
“Bolehlah. Semua kelam kabut. Mana tahu si Wan tu jadi
nikah jugak lepas accident tu.” Abang
Mazlan sudahpun menyarung selipar jepun yang diletakkan di bawah tangga.
Mengingatkan kisah Wanda, aku tersenyum lebar. Memang tak
disangka dia boleh pulih dengan cepat. “Nasib
baik tak cancel semua.”
“Nick yang tak bagi cancel dulu. Nasib baik jugak. Kalau ikutkan
abang dengan dengan mak, memang kami nak tangguhkan.”
“Bagus betul Nick tu. Dia yakin yang Wan akan sembuh
macam biasa sebelum tarikh nikah dia orang. Mungkin sebab tu dia tak bagi
batalkan.” Tambah aku. lebih kepada bercakap sendiri. Untung sungguh jadi budak
Wanda tu.
“Ok lah ngah. Abang nak sambung sangkut langsir dekat
rumah tu. hisy, mana pulak budak ni…” Abang Mazlan mengintai-intai ke arah
rumah aku, mencari sesuatu.
Ataupun seseorang?
“Siapa? Abah nak tolong abang pasang ke?” aku membuka
pintu kereta belakang, mengeluarkan segala barang yang aku beli petang tadi.
Niatnya lepas mandi nanti barulah aku akan ke rumah Wanda. “Bawak ni sekali
bang. Lepas isyak nanti angah pergi sana.” Aku menghulurkan plastik yang berisi
barang hiasan untuk dulang tadi.
“OK. Eh, Ben, kau bawa ni.”
Kening aku berkerut seribu. Ben? Laju aje aku berpusing
ke belakang, mengikut arah pandangan Abang Mazlan. Seorang lelaki putih melepak
dan bercermin mata berdiri tegak di muka pintu rumah aku.
Sejak bila Along yang berkulit sawo matang jadi putih
melepak ni? ataupun, Adie, suami Iqa tu dah buat pembedahan plastik? Tapi,
takkanlah lepas buat pembedahan plastik terus tukar nama?
Takkan mak lahirkan anak lelaki lain kot?
“Pakcik cakap, tukul ada satu saja.” Lelaki yang
dipanggil Ben tadi turun dari tangga, mendekati aku dan Abang Mazlan yang masih
berdiri di tepi kereta.
“Tak apa. Biar aku je yang pasang semua. Kau tolong bawa
ni.” plastik tadi bertukar tangan. “Angah, ni kawan abang, Benjamin.”
Aku memandang ke arah Benjamin yang tersenyum nipis di
hadapan. Muka macam bukan orang melayu… pelat pun macam bukan orang sini…
“Assalamualaikum,” tegur dia dengan senyuman. “Hai, saya
Benjamin.”
Aku tersentak sesaat sebelum menjawab salam dalam hati.
“Naurah.” balas aku perlahan. Islam rupanya…
***
2 comments:
Alahai.. ben pulak muncul....
Hihihihi
Suka suka suka
Naurah benjamin
Sweet....
Lagiiii
Post a Comment