Janji. Semua orang pernah berjanji. Aku pun sama. Tak
kiralah janji nak bekerjasama untuk membuat perniagaan juta-juta ataupun janji
nak bagi 20 sen kalau beri tiru kerja sekolah. Tak kisah apa pun, tapi janji
tetap janji.
Kesulitannya
sekarang, tak semua orang yang berjanji tu tunaikan janji dia. Ya. Tak semua.
Dan aku pun
sama.
Bukan nak
kata aku pernah mungkir janji untuk bayar RM 1000 dalam masa sebulan waktu aku
pinjam dengan Wahida dulu. Tak… ini bukan kes janji yang besar-besar gaya janji
dua orang dato’ yang nak jodohkan anak-anak dia orang lepas tu anak
masing-masing mula melawan membantah sebab tak setuju.
Bukan. Bukan sebesar tu. Janji
macam tak tidur lagi walaupun dah janji dengan teman lelaki nak tidur lepas tengok
cerita Rosalinda. Ataupun janji tak nak beli novel lagi bila tak ada duit, tapi
beli jugak.
Rasanya tak
semua janji kena patuhi, kan? Kalau benda yang kita janji tu memudaratkan diri
macam mana? Macam, kalau aku tidur lepas tengok Telenovela Rosalinda, aku akan
bermimpi jadi girlfriend Fernando
Jose Altamirano de Castillo walaupun bagi aku, Si Fernando Jose tu tak adalah
kacak mana.
Dan kalau
aku tak beli novel baru, hidup aku terasa huru hara macam kekurangan sinar
cahaya (chewah).
Tapi betul.
Jadi, terpaksalah janji-janji itu aku
mungkiri. Lagipun benda-benda tu tak ada kesan pada sesiapa pun, kan?
Yang
menjadikan benda tu sulit, adalah dia ni.
Sungguh.
Menyulitkan keadaan. Ya, aku tahu aku pernah janji nak telefon dia sebaik
sahaja kaki kanan aku jejak lantai rumah. dah tu kalau telefon bimbit aku mati
tak bernyawa macam mana?
Tak ada
kerja aku nak pinjam telefon rumah makcik depan semata-mata nak bagitahu dia
yang aku dah selamat sampai. tak ada kerja namanya.
Kalau dah
macam tu cerita aku, takkan itu pun dia nak marah? Heh.
“Berapa
kali I nak cakap. takkan itu pun you tak boleh nak buat.” Sekali lagi telinga
kiri aku yang tak bersalah ini kena ceramah percuma.
Tengok.
Inilah dia.
Gaya macam
aku buat salah besar aje bila tak bagitahu dia yang aku dah SELAMAT sampai
dengan jayanya. Lepas ni mulalah dia nak kata…
“You
singgah tempat lain dulu eh?”
…macam-macam.
Hah. Dah agak pun.
Spontan aku
menggeleng laju selaju 10km/jam. Tangan kanan yang berada di bawah kepala aku
bawa ke pelipis, nak hilangkan serabut (dengan harapan). Besar sangat ke salah
aku? nak tahu sangat aku pergi mana, beli la GPS, lepas tu letak pengesan dekat
badan aku. hah. Mampu?
Ini tak ada
ribut tak ada halilintar nak tuduh aku macam-macam pulak. Nasib baiklah aku ni
jenis yang suka bertenang. Ya. Bertenang selagi boleh.
“I terus
balik la. You yang hantar I depan stesen bas tadi kan?” rasanya dah dua puluh
lima kali kot aku bagitahu dia ayat ni. Masih juga tak nak percaya. “Bateri
handphone habis. I cas dulu lepas tu pergi mandi.” bengkak hati aku. bengkak.
Kalau bukan sebab dia ni, dia. Tak ada maknanya aku nak bagitahu segala jadah
benda yang aku buat.
“Takkan dah
sejam baru nak call I balik?” suara
dia dari corong telefon dah naik satu nada. Sikit lagi nak jadi soprano. Sikit
lagi. ini kalau nak kira bunyi recorder,
suara dia dah masuk tahap Alto dah.
“You, I call bagitahu ni pun dah cukup baik,
tahu? Kalau nak ikutkan I terus aje tidur dan you takkan tahu I sampai rumah ke
tidak.” Aku membalas tenang walaupun dalam hati nak aje aku tengking kuat-kuat
bagitahu ‘Hey, mind your own business
la. Aku nak baik hati nak telefon ni!’
Heh.
“I penat
Fadz. I nak tidur. Tadi pun I tak sempat nak sambung tidur you dah datang.”
Sedaya upaya aku mencipta suara ‘penat’ nak bagi dia percaya. Tolong. Tolonglah
percaya.
Dahlah aku
kerja shift malam. Pukul 10 pagi dia
dah terpacak depan rumah, ajak keluar. Kalau nak diikutkan rasa hati dan jiwa,
mahu pukul 2 atau 3 petang baru aku buka mata tengok alam semesta. Itupun kalau
aku tak ‘cuti’. Kalau cuti rasanya sampai pukul 5 pun aku boleh selamba-bomba
buat kuak lentang dekat atas katil tu.
Nasib
baiklah dia datang dengan permit BESAR arahan mama. Nasib baik. Kalau tak
sampai malamlah aku tak layan dia punya ketukan dekat pintu tu.
Aku
mendengar dia mengeluh dari corong telefon. Dah mengalah agaknya. Ataupun dia
masih tak puas hati mendengar jawapan aku. Agaknya dia ingat aku lebih memilih
untuk lepak dekat kedai mamak berbanding tidur di atas katil empuk aku ni?
Heh. Kata
kenal hati budi aku. tipulah tu.
“Sorry. I risau. Kalau apa-apa jadi pada
you apa I nak jawab pada mama.”
Inilah yang
aku tak suka. Semua benda dia nak kaitan dengan mama. Takut mama marahlah.
Takut mama risaulah. Takut mama tanya la.
Dia nak
kahwin dengan aku, kan? Bukannya dengan mama.
“I’m okay, okay?” boleh buat hati jadi
suam-suam kuku sungguh. “I nak tidur. I masih selamat dekat sini, jangan
risau.” Aku menjawab perlahan. dah bosan sebenarnya melayan karenah dia.
Tak. Aku
tak pernah benci dia. mana mungkin aku benci manusia orang cintakan aku sepenuh
hati (kata dia la). Sungguh. Tapi bila dah selalu sangat dia buat perangai
macam ni, aku jadi bosan.
Okay, aku
tahu aku ni amanah mama pada dia. tapi aku bukannya tunang dia pun. Isteri
apatah lagi. Aku cuma nak dia faham takat mana had dia tu. itu aje.
“Night. Tidur awal. Basuh kaki dulu
sebelum tidur.” Macam biasa, itulah pesanan dia pada aku tiap-tiap malam tanpa
gagal.
“Hmm.” dan
aku, iakan aje walaupun aku tak pernah pun bangun balik dari katil semata-mata
nak pergi tandas, ambil cebok dan basuh kaki. Tak pernah. Lagipun baru aje tadi
aku mandi. kaki ni bersih lagi, tahu?
Ini lah
contoh janji yang aku mungkiri tu. tak basuh kaki walaupun dah berjanji. Heh.
“Okay
sayang, sweet dream.”
Ini lagi
satu. Sebenarnya telinga aku ni cukup meremang bila dengar perkataan yang satu
tu. Tak suka. Sungguh. Kenapa entah aku rasa macam…tak suka bila dengar dia
sebut tu. bukan sekali dua. Tiap-tiap hari.
Tak jemu
ke?
“Night.” Terus aje aku mematikan talian.
Fadzril Hakim. Bakal menantu mama. Bakal suami aku. itulah yang
terbayang-bayang dalam kepala semua orang bila mendengar nama tu.
Serius, aku
sendiri tak tahu kenapa dia nak sangat aku (manusia yang paling dingin bila
layan dia) jadi isteri dia. sungguh aku tak faham. Bukan nak kata aku pernah
buat kuih sesedap Durian Crepe dan
bagi dia makan pun (aku pun allergik dengan durian). Bukan juga aku pernah buat-buat
gaya I-minat-dekat-you pun.
Tak pernah.
Aku hanya
senyum. Senyum bila jumpa dia dimana-mana. Ya. SENYUM.
Itupun
sebab dia Team Manager tempat aku
bekerja. Itu aje sebabnya. Takkan aku nak buat muka gangsta depan dia pulak.
Karang tak pasal pasal elaun performance aku
hilang. Rm200 tu. Bukannya sikit. Boleh beli nasi lemak 100 bungkus dah.
Nak dipendekkan cerita, terus
aje dia minta izin mama (yang kebetulan datang ofis aku bagi handbag yang tertinggal dekat rumah)
untuk keluar dengan aku.
Dan semua
tu dah tinggal kenangan. Kini, aku dah ‘selamat’ bersama dia walaupun dengan
campur tangan mama. Mama dah berkenan sangat nak jadikan En. Fadzril Hakim ni
menantu dia. Nampak macam muka budak baik aje. Kata mama la.
Oleh sebab
aku ni ada genetik hormat orang-orang tua, apatah lagi mama aku yang tersayang
ni, nak tak nak aku ikutkan aje. Lagipun, Fadzril tak adalah teruk mana.
Memangpun dia baik. Sangat-sangat baik.
Tengok aje
kes tadi. Lambat bagitahu sampai rumah pun dia dah risau gila. Ya, baik. Rasanya
kalau sejam satu minit aku masih tak telefon dia, dia tak akan teragak-agak
untuk start enjin kereta dan terus pecut ke rumah aku. rumah aku dengan rumah
dia pulak bukannya macam Kampung Tualang rendah dengan Kampung Tualang Tinggi.
Jauhnya berpuluh-puluh kilometer.
Kebaikan
dia tu luar kawasan betul. Sungguh. Itu yang buat aku…er…rimas.
Dah tak
tahu berapa kali dah aku mengeluh. Siling putih yang sudahpun dicemari sarang
labah-labah aku pandang tanpa tujuan. Kalau sekarang ni pun aku dah terasa
bosan, macam mana aku nak berdepan dia pada hari-hari yang akan datang?
Macam mana?
HARI AKAN DATANG.
Ya. Ia termasuk juga dengan
hari ni. hari kerja aku macam biasa. Tengok. Inilah sebabnya kenapa aku boleh
rasa rimas dengan dia. Nak cakap tak suka, nanti merajuk pulak. Nak kata suka,
memang dah sah-sah aku sangat tak suka.
Wahai hati. Sila tenangkan
diri. Tenanglah wahai hati. Tenang. Bukan ke dari kecil lagi kau dah diajar
untuk bertenang. Takkan benda kecil macam ni nak tunjuk garang sembur cahaya laser membunuh gaya superman?
Tapi… kecil?
Haish.
Kalaulah benda yang jadi sekarang ni benda kecil. Bolehlah aku buat-buat tak
ada apa-apa.
Dan rasa-rasanya untuk pakai
baju sama corak dekat pejabat…aku rasa itu benda besar.
Ya, benda
besar!
Hampir ternganga mulut aku
memandang baju kemeja merah jambu berbelang ungu yang dia pakai pagi ni. Baju
yang kami sama-sama beli waktu keluar tengok wayang dua minggu lepas. Dengan mulut
ternganga luas, aku melangkah juga masuk ke dalam lif yang dah pun dipenuhi
dengan manusia-manusia lain. Manusia yang pandang kami dengan pandangan
berbeza.
Patutlah awal-awal pagi lagi
dia telefon tanya aku nak pakai baju apa. Kenapalah aku tak fikir semuatu? Kenapa? Kenapa? Haish.
Aku tak tahulah apa yang dia
fikir. Dekat luar ya, tapi dalam waktu pejabat, dekat pejabat…
“Cantik
baju.”
…takkan nak
buat pengumuman depan semua orang kot. Haih. “Thanks.” Nak tak nak, aku senyum aje pada Nina yang menegur. Aku
nampak Fadz tersenyum simpul. Bangga. Apa yang nak dibanggakan pun aku tak
tahu. bangga sebab dia ada teman wanita dekat pejabat ni? Heh. Dua tiga manusia
yang turut berada di dalam lif turut mencipta senyum.
Ya, aku
tahu.
Aku tahu
bila dua orang yang berlainan jantina pakai baju corak yang sama untuk pergi
kerja itu benda yang SANGAT jarang dijumpai. Sungguh. Sungguh aku menyesal beli
kemeja sama dulu.
Dahtu, Fadzril ni dah kenapa?
Mendung tak, cerah pun tidak tiba-tiba muncul dengan baju sama warna sama corak
dengan aku pulak. Haish.
Malulah
macam ni…
“Korang
nampak sweet sangat!”
…dan aku
senyum lagi sambil menjeling ke arah nombor yang tertera pada dinding lif.
“Thank you Jayden.” Giliran Fadz membalas
dengan senyuman. Seronok la tu bila orang kata kami ni ‘sweet’. Entah betul ke tidak. Entah-entah Jayden dah letak
awal-awal perisa perli dalam ‘sweet’ dia tu. heh.
Sungguhlah
aku tak faham. Nasib baik jugak Fadzril punya pejabat dekat tingkat yang
berlainan. Kalau sama floor, mahunya
aku pakai topeng iron man, tutup
muka, malu punya pasal.
Dan
akhirnya, siksa dalam lif habis juga. Dengan selambanya aku keluar dari lif
tanpa memandang ke arah Fadzril ataupun Jayden, budak callcentre tu. cukuplah untuk pagi ni. cukup. Tak pernah dibuat dek
orang pakai baju sama pergi kerja. Kalau nak membuang masa dekat pasaraya tu
logiklah jugak.
Mama,
tolong angah ma. Tolong!
“Diyan!”
Dengar aje
nama aku dipanggil, terus aku berpaling ke belakan, Lif yang hampir tertutup
rapat kembali terbuka luas. Mata Fadz tepat pada aku yang dahpun selamat
berdiri tegak di hadapan pintu lif. apa lagi yang dia nak? Aku dah malu gila
tahap cucu cipan ni.
“Lunch pukul berapa?”
Aku angkat
bahu tanda tak tahu. selalunya, kerja macam aku ni waktu makan pun kena ikut
arahan bos. Bukan selalunya, dah memang macam tu. “Kenapa?”
“Kalau lunch pukul satu call I ya?”
Aku nampak
Jayden yang berdiri di tepi lif sengih. Aku nampak Tasya yang sibuk menaip
sesuatu pada skrin handphone mengekek. Qayyum yang bersandar pada dinding lif
hanya memandang tanpa reaksi.
Haish Fadzril
Hakim. Udah-udahlah tu memalukan aku. okay. okay. kita dah cukup suwittt dekat
pejabat ni.
Sungguh!
“Hmm, OK.” Itu
aje yang aku mampu balas sebelum lif kembali tertutup rapat. Lama aku merenung
pintu lif dengan pandangan kosong. Sebelum seorang makcik yang aku agak hampir
sebaya dengan mama tergopoh-gapah menekan butang lif. nak turun.
Jam tangan Guess yang baru aje tiga hari aku pakai
dah pun menunjukkan pukul 8.20 pagi. Dah nak mula pun shift aku.
“Abang
dekat mana tu?”
Aku
mengerling sesaat melihat makcik tadi bercakap melalui telefon bombit. Perlahan-lahan
aku meninggalkan makcik tadi di hadapan lif. pintu pejabat aku dah tak jauh
mana pun dengan pintu lif.
“Mak dah
nak turun pun. Mak tunggu dekat tempat biasa ya?”
Kad keras
yang berwarna putih aku layangkan ke mesin pengimbas. Bunyi ‘tit’ bergema
sebaik sahaja kad aku disahkan. Perlahan-lahan aku mencipta senyum. Lawa makcik
ni. anak makcik pun tentu sama ‘lawa’.
Nak kenal
dengan ‘abang’ makcik, boleh?
Behave Diyan, behave. Awal-awal pagi lagi
kau nak buat muka gatal. Orang masuk pejabat nak cari rezeki. Kau masuk pejabat
terus lupa bakal tunang, lupa bakal suami. Heh.
Okay, Fine. Aku janji tak buat lagi.
Janji lagi…
6 comments:
best! best! best!
Menarik.....
dh macam terpaksa je dgn Fadz tu
ok, I x mo janji...
best...
permulaan yang menarik...
lebih baik kenal gengan 'abang' makcik...hehehe
Fadz ni mcm bkn hero cte ni je...
Post a Comment