Saturday, 28 September 2013

Sayang Awak, Janji! [1]




[Satu]


Janji. Semua orang pernah berjanji. Aku pun sama. Tak kiralah janji nak bekerjasama untuk membuat perniagaan juta-juta ataupun janji nak bagi 20 sen kalau beri tiru kerja sekolah. Tak kisah apa pun, tapi janji tetap janji.
            Kesulitannya sekarang, tak semua orang yang berjanji tu tunaikan janji dia. Ya. Tak semua.
            Dan aku pun sama.
            Bukan nak kata aku pernah mungkir janji untuk bayar RM 1000 dalam masa sebulan waktu aku pinjam dengan Wahida dulu. Tak… ini bukan kes janji yang besar-besar gaya janji dua orang dato’ yang nak jodohkan anak-anak dia orang lepas tu anak masing-masing mula melawan membantah sebab tak setuju.
Bukan. Bukan sebesar tu. Janji macam tak tidur lagi walaupun dah janji dengan teman lelaki nak tidur lepas tengok cerita Rosalinda. Ataupun janji tak nak beli novel lagi bila tak ada duit, tapi beli jugak.
            Rasanya tak semua janji kena patuhi, kan? Kalau benda yang kita janji tu memudaratkan diri macam mana? Macam, kalau aku tidur lepas tengok Telenovela Rosalinda, aku akan bermimpi jadi girlfriend Fernando Jose Altamirano de Castillo walaupun bagi aku, Si Fernando Jose tu tak adalah kacak mana.
            Dan kalau aku tak beli novel baru, hidup aku terasa huru hara macam kekurangan sinar cahaya (chewah).
Tapi betul.
 Jadi, terpaksalah janji-janji itu aku mungkiri. Lagipun benda-benda tu tak ada kesan pada sesiapa pun, kan?
            Yang menjadikan benda tu sulit, adalah dia ni.
            Sungguh. Menyulitkan keadaan. Ya, aku tahu aku pernah janji nak telefon dia sebaik sahaja kaki kanan aku jejak lantai rumah. dah tu kalau telefon bimbit aku mati tak bernyawa macam mana?
            Tak ada kerja aku nak pinjam telefon rumah makcik depan semata-mata nak bagitahu dia yang aku dah selamat sampai. tak ada kerja namanya.
            Kalau dah macam tu cerita aku, takkan itu pun dia nak marah? Heh.
            “Berapa kali I nak cakap. takkan itu pun you tak boleh nak buat.” Sekali lagi telinga kiri aku yang tak bersalah ini kena ceramah percuma.
            Tengok. Inilah dia.
            Gaya macam aku buat salah besar aje bila tak bagitahu dia yang aku dah SELAMAT sampai dengan jayanya. Lepas ni mulalah dia nak kata…
            “You singgah tempat lain dulu eh?”
            …macam-macam. Hah. Dah agak pun.
            Spontan aku menggeleng laju selaju 10km/jam. Tangan kanan yang berada di bawah kepala aku bawa ke pelipis, nak hilangkan serabut (dengan harapan). Besar sangat ke salah aku? nak tahu sangat aku pergi mana, beli la GPS, lepas tu letak pengesan dekat badan aku. hah. Mampu?
            Ini tak ada ribut tak ada halilintar nak tuduh aku macam-macam pulak. Nasib baiklah aku ni jenis yang suka bertenang. Ya. Bertenang selagi boleh.
            “I terus balik la. You yang hantar I depan stesen bas tadi kan?” rasanya dah dua puluh lima kali kot aku bagitahu dia ayat ni. Masih juga tak nak percaya. “Bateri handphone habis. I cas dulu lepas tu pergi mandi.” bengkak hati aku. bengkak. Kalau bukan sebab dia ni, dia. Tak ada maknanya aku nak bagitahu segala jadah benda yang aku buat.
            “Takkan dah sejam baru nak call I balik?” suara dia dari corong telefon dah naik satu nada. Sikit lagi nak jadi soprano. Sikit lagi. ini kalau nak kira bunyi recorder, suara dia dah masuk tahap Alto dah.
            “You, I call bagitahu ni pun dah cukup baik, tahu? Kalau nak ikutkan I terus aje tidur dan you takkan tahu I sampai rumah ke tidak.” Aku membalas tenang walaupun dalam hati nak aje aku tengking kuat-kuat bagitahu ‘Hey, mind your own business la. Aku nak baik hati nak telefon ni!’
            Heh.
            “I penat Fadz. I nak tidur. Tadi pun I tak sempat nak sambung tidur you dah datang.” Sedaya upaya aku mencipta suara ‘penat’ nak bagi dia percaya. Tolong. Tolonglah percaya.
            Dahlah aku kerja shift malam. Pukul 10 pagi dia dah terpacak depan rumah, ajak keluar. Kalau nak diikutkan rasa hati dan jiwa, mahu pukul 2 atau 3 petang baru aku buka mata tengok alam semesta. Itupun kalau aku tak ‘cuti’. Kalau cuti rasanya sampai pukul 5 pun aku boleh selamba-bomba buat kuak lentang dekat atas katil tu.
            Nasib baiklah dia datang dengan permit BESAR arahan mama. Nasib baik. Kalau tak sampai malamlah aku tak layan dia punya ketukan dekat pintu tu.
            Aku mendengar dia mengeluh dari corong telefon. Dah mengalah agaknya. Ataupun dia masih tak puas hati mendengar jawapan aku. Agaknya dia ingat aku lebih memilih untuk lepak dekat kedai mamak berbanding tidur di atas katil empuk aku ni?
            Heh. Kata kenal hati budi aku. tipulah tu.
            “Sorry. I risau. Kalau apa-apa jadi pada you apa I nak jawab pada mama.”
            Inilah yang aku tak suka. Semua benda dia nak kaitan dengan mama. Takut mama marahlah. Takut mama risaulah. Takut mama tanya la.
            Dia nak kahwin dengan aku, kan? Bukannya dengan mama.
            “I’m okay, okay?” boleh buat hati jadi suam-suam kuku sungguh. “I nak tidur. I masih selamat dekat sini, jangan risau.” Aku menjawab perlahan. dah bosan sebenarnya melayan karenah dia.
            Tak. Aku tak pernah benci dia. mana mungkin aku benci manusia orang cintakan aku sepenuh hati (kata dia la). Sungguh. Tapi bila dah selalu sangat dia buat perangai macam ni, aku jadi bosan.
            Okay, aku tahu aku ni amanah mama pada dia. tapi aku bukannya tunang dia pun. Isteri apatah lagi. Aku cuma nak dia faham takat mana had dia tu. itu aje.
            “Night. Tidur awal. Basuh kaki dulu sebelum tidur.” Macam biasa, itulah pesanan dia pada aku tiap-tiap malam tanpa gagal.
            “Hmm.” dan aku, iakan aje walaupun aku tak pernah pun bangun balik dari katil semata-mata nak pergi tandas, ambil cebok dan basuh kaki. Tak pernah. Lagipun baru aje tadi aku mandi. kaki ni bersih lagi, tahu?
            Ini lah contoh janji yang aku mungkiri tu. tak basuh kaki walaupun dah berjanji. Heh.
            “Okay sayang, sweet dream.”
            Ini lagi satu. Sebenarnya telinga aku ni cukup meremang bila dengar perkataan yang satu tu. Tak suka. Sungguh. Kenapa entah aku rasa macam…tak suka bila dengar dia sebut tu. bukan sekali dua. Tiap-tiap hari.
            Tak jemu ke?
            “Night.” Terus aje aku mematikan talian. Fadzril Hakim. Bakal menantu mama. Bakal suami aku. itulah yang terbayang-bayang dalam kepala semua orang bila mendengar nama tu.
            Serius, aku sendiri tak tahu kenapa dia nak sangat aku (manusia yang paling dingin bila layan dia) jadi isteri dia. sungguh aku tak faham. Bukan nak kata aku pernah buat kuih sesedap Durian Crepe dan bagi dia makan pun (aku pun allergik dengan durian). Bukan juga aku pernah buat-buat gaya I-minat-dekat-you pun.
            Tak pernah.
            Aku hanya senyum. Senyum bila jumpa dia dimana-mana. Ya. SENYUM.
            Itupun sebab dia Team Manager tempat aku bekerja. Itu aje sebabnya. Takkan aku nak buat muka gangsta depan dia pulak. Karang tak pasal pasal elaun performance aku hilang. Rm200 tu. Bukannya sikit. Boleh beli nasi lemak 100 bungkus dah.
Nak dipendekkan cerita, terus aje dia minta izin mama (yang kebetulan datang ofis aku bagi handbag yang tertinggal dekat rumah) untuk keluar dengan aku.
            Dan semua tu dah tinggal kenangan. Kini, aku dah ‘selamat’ bersama dia walaupun dengan campur tangan mama. Mama dah berkenan sangat nak jadikan En. Fadzril Hakim ni menantu dia. Nampak macam muka budak baik aje. Kata mama la.
            Oleh sebab aku ni ada genetik hormat orang-orang tua, apatah lagi mama aku yang tersayang ni, nak tak nak aku ikutkan aje. Lagipun, Fadzril tak adalah teruk mana. Memangpun dia baik. Sangat-sangat baik.
            Tengok aje kes tadi. Lambat bagitahu sampai rumah pun dia dah risau gila. Ya, baik. Rasanya kalau sejam satu minit aku masih tak telefon dia, dia tak akan teragak-agak untuk start enjin kereta dan terus pecut ke rumah aku. rumah aku dengan rumah dia pulak bukannya macam Kampung Tualang rendah dengan Kampung Tualang Tinggi. Jauhnya berpuluh-puluh kilometer.
            Kebaikan dia tu luar kawasan betul. Sungguh. Itu yang buat aku…er…rimas.
            Dah tak tahu berapa kali dah aku mengeluh. Siling putih yang sudahpun dicemari sarang labah-labah aku pandang tanpa tujuan. Kalau sekarang ni pun aku dah terasa bosan, macam mana aku nak berdepan dia pada hari-hari yang akan datang?
            Macam mana?


HARI AKAN DATANG.
Ya. Ia termasuk juga dengan hari ni. hari kerja aku macam biasa. Tengok. Inilah sebabnya kenapa aku boleh rasa rimas dengan dia. Nak cakap tak suka, nanti merajuk pulak. Nak kata suka, memang dah sah-sah aku sangat tak suka.
Wahai hati. Sila tenangkan diri. Tenanglah wahai hati. Tenang. Bukan ke dari kecil lagi kau dah diajar untuk bertenang. Takkan benda kecil macam ni nak tunjuk garang sembur cahaya laser membunuh gaya superman?
            Tapi… kecil?
            Haish. Kalaulah benda yang jadi sekarang ni benda kecil. Bolehlah aku buat-buat tak ada apa-apa.
Dan rasa-rasanya untuk pakai baju sama corak dekat pejabat…aku rasa itu benda besar.
            Ya, benda besar!
Hampir ternganga mulut aku memandang baju kemeja merah jambu berbelang ungu yang dia pakai pagi ni. Baju yang kami sama-sama beli waktu keluar tengok wayang dua minggu lepas. Dengan mulut ternganga luas, aku melangkah juga masuk ke dalam lif yang dah pun dipenuhi dengan manusia-manusia lain. Manusia yang pandang kami dengan pandangan berbeza.
Patutlah awal-awal pagi lagi dia telefon tanya aku nak pakai baju apa. Kenapalah aku  tak fikir semuatu? Kenapa? Kenapa? Haish.
Aku tak tahulah apa yang dia fikir. Dekat luar ya, tapi dalam waktu pejabat, dekat pejabat…
            “Cantik baju.”
            …takkan nak buat pengumuman depan semua orang kot. Haih. “Thanks.” Nak tak nak, aku senyum aje pada Nina yang menegur. Aku nampak Fadz tersenyum simpul. Bangga. Apa yang nak dibanggakan pun aku tak tahu. bangga sebab dia ada teman wanita dekat pejabat ni? Heh. Dua tiga manusia yang turut berada di dalam lif turut mencipta senyum.
            Ya, aku tahu.
            Aku tahu bila dua orang yang berlainan jantina pakai baju corak yang sama untuk pergi kerja itu benda yang SANGAT jarang dijumpai. Sungguh. Sungguh aku menyesal beli kemeja sama dulu.
Dahtu, Fadzril ni dah kenapa? Mendung tak, cerah pun tidak tiba-tiba muncul dengan baju sama warna sama corak dengan aku pulak. Haish.
            Malulah macam ni…
            “Korang nampak sweet sangat!”
            …dan aku senyum lagi sambil menjeling ke arah nombor yang tertera pada dinding lif.
            “Thank you Jayden.” Giliran Fadz membalas dengan senyuman. Seronok la tu bila orang kata kami ni ‘sweet’. Entah betul ke tidak. Entah-entah Jayden dah letak awal-awal perisa perli dalam ‘sweet’ dia tu. heh.
            Sungguhlah aku tak faham. Nasib baik jugak Fadzril punya pejabat dekat tingkat yang berlainan. Kalau sama floor, mahunya aku pakai topeng iron man, tutup muka, malu punya pasal.
            Dan akhirnya, siksa dalam lif habis juga. Dengan selambanya aku keluar dari lif tanpa memandang ke arah Fadzril ataupun Jayden, budak callcentre tu. cukuplah untuk pagi ni. cukup. Tak pernah dibuat dek orang pakai baju sama pergi kerja. Kalau nak membuang masa dekat pasaraya tu logiklah jugak.
            Mama, tolong angah ma. Tolong!
            “Diyan!”
            Dengar aje nama aku dipanggil, terus aku berpaling ke belakan, Lif yang hampir tertutup rapat kembali terbuka luas. Mata Fadz tepat pada aku yang dahpun selamat berdiri tegak di hadapan pintu lif. apa lagi yang dia nak? Aku dah malu gila tahap cucu cipan ni.
            “Lunch pukul berapa?”
            Aku angkat bahu tanda tak tahu. selalunya, kerja macam aku ni waktu makan pun kena ikut arahan bos. Bukan selalunya, dah memang macam tu. “Kenapa?”
            “Kalau lunch pukul satu call I ya?”
            Aku nampak Jayden yang berdiri di tepi lif sengih. Aku nampak Tasya yang sibuk menaip sesuatu pada skrin handphone mengekek. Qayyum yang bersandar pada dinding lif hanya memandang tanpa reaksi.
            Haish Fadzril Hakim. Udah-udahlah tu memalukan aku. okay. okay. kita dah cukup suwittt dekat pejabat ni.
            Sungguh!
            “Hmm, OK.” Itu aje yang aku mampu balas sebelum lif kembali tertutup rapat. Lama aku merenung pintu lif dengan pandangan kosong. Sebelum seorang makcik yang aku agak hampir sebaya dengan mama tergopoh-gapah menekan butang lif. nak turun.
            Jam tangan Guess yang baru aje tiga hari aku pakai dah pun menunjukkan pukul 8.20 pagi. Dah nak mula pun shift aku.
            “Abang dekat mana tu?”
            Aku mengerling sesaat melihat makcik tadi bercakap melalui telefon bombit. Perlahan-lahan aku meninggalkan makcik tadi di hadapan lif. pintu pejabat aku dah tak jauh mana pun dengan pintu lif.
            “Mak dah nak turun pun. Mak tunggu dekat tempat biasa ya?”
            Kad keras yang berwarna putih aku layangkan ke mesin pengimbas. Bunyi ‘tit’ bergema sebaik sahaja kad aku disahkan. Perlahan-lahan aku mencipta senyum. Lawa makcik ni. anak makcik pun tentu sama ‘lawa’.
            Nak kenal dengan ‘abang’ makcik, boleh?
            Behave Diyan, behave. Awal-awal pagi lagi kau nak buat muka gatal. Orang masuk pejabat nak cari rezeki. Kau masuk pejabat terus lupa bakal tunang, lupa bakal suami. Heh.
            Okay, Fine. Aku janji tak buat lagi. Janji lagi…

6 comments:

Bizzy Bees Kindergarten said...

best! best! best!

-sj- said...

Menarik.....

aisyah said...

dh macam terpaksa je dgn Fadz tu

Nana Mohd Yasin said...

ok, I x mo janji...
best...

Kak Sue said...

permulaan yang menarik...
lebih baik kenal gengan 'abang' makcik...hehehe

Waisya Carissa said...

Fadz ni mcm bkn hero cte ni je...