Tuesday 6 December 2016

Hero Hati Najihah (LIMITED EDITION) - Bab 1



"Mama, sedihlah! Mama datang la sini, temankan orang." Aku tak tahu berapa banyak mata yang mengerling pandang, tapi aku yakin sangat yang suara merengek aku sekarang ni boleh buatkan orang sekeliling menyampah.

Apa?

Dia orang ingat tak sedih ke bila kena puasa jauh dari mama dengan abah? Dah la aku tak pernah puasa jauh dari mama. Masa dekat uni dulu pun, aku boleh ulang alik berbuka di rumah sebab dekat.

"Mama..." Aku sambung merengek di telefon.

"Hish, dah dah la tu. Kamu tu dah besar. Belajar la puasa sendiri pulak." Mama masih lagi dengan nada memujuk. Masih cuba tenangkan anak manja dia ni.

"Tak ada orang kejutkan Jie bangun sahur. Tak ada orang masakkan lauk untuk berbuka, tak ada orang temankan Jie buka puasa..." masih tak habis merengek.

Sedih!

Entah macam mana aku boleh tercampak jauh dekat KL ni dan tinggalkan mama dan abah dekat kampung sana. Dahlah ini bulan ketiga aku bekerja. Nak cuti sekejap untuk sambut Ramadhan dekat kampung pun tak boleh.

Sudahnya, sahur pagi tadi memang langsung aku tak sedar.

Puasa hari pertama dan aku tak sahur pun!

Sedih!

"Mama, datang la sini. Teman Jie." Sekali lagi aku guna kuasa merengek dengan harapan mama akan lembut hati. Kalau nak dikira, banyak kali jugak mama terpujuk dengan rengekan aku.

Tapi entah kenapa kali ni susah pulak mama nak terpedaya.

"Jangan nak mengada. Kalau mama pergi sana, siapa nak siapkan makan minum abah dengan adik kamu dekat kampung ni?"

Aku mengeluh perlahan bila dengar alasan mama. Memang ada logiknya pun.

"Dah dekat waktu berbuka ni. Kamu berbuka dekat mana hari ni?" soalan mama membuatkan aku angkat kepala pandang sekeliling. Serta merta suasana food court Mid Valley itu kedengaran riuh dengan suara manusia. Rata-rata manusia yang memenuhi kawasa food court mula kalut membeli makanan berbuka masing-masing.

Spontan aku mengeluh.

"Food court." jawab aku perlahan.

Mata masih melilau ke setiap pelusuk food court untuk mencari meja kosong. Dari bahagian sehingga ke belakang.

Tak ada!

Memang sesak betul food court waktu-waktu macam ni.

Luar biasa betul! Memang macam ni ke keadaan Mid Valley bila bulan puasa?

Aku toleh ke kiri dan ke kanan dengan sebelah tangan masih memegang telefon pada telinga. Kelibat  Auni yang tadi beratur di kaunter air juga hilang entah kemana.

"Mama... Nanti datang la, tau. Jie tak ada cuti sepanjang puasa ni." pinta aku sambil mata melilau ke arah meja-meja yang penuh dengan manusia.

"Mana la sempat mama nak pergi sana, Jie. Dekat sini pun banyak kerja mama nak buat. Kain baju orang hantar tu hah, banyak lagi tak berjahit."

Aku mencebik sendiri. Mama ni pun, dah berbuih mulut aku suruh dia berhenti ambil upah menjahit, tak jugak dia dengar. Dah jadi darah daging katanya.

 Belum sempat aku buka mulut untuk sambung membebel pada mama, mata terpandang meja yang baru ditinggalkan oleh keluarga mat salleh. Laju saja aku melangkah mendekati meja yang kosong tanpa penghuni tadi sebelum sempat orang lain duduk. Kalau terlepas meja ni, entah bila lah dia dapat meja lain.

"Ma, nanti Jie call lagi ya. Selamat berbuka."

Cepat-cepat aku matikan talian sebelum melabuhkan punggung di meja empat kerusi tadi.

Selamat!

Auni, kita dah dapat meja!

Eh?

Bulat terus anak mata aku bila seorang lelaki dengan selambanya duduk di atas kerusi depan.

Bertentangan.

Amboi, selambanya!

"Encik, meja ni saya nampak dululah." Aku hampir bercekak pinggang, tak puas hati.

"Awak berapa orang?" Soalan aku dijawab dengan soalan. Dia pandang aku dengan muka tak bersalah.

"Dua." Aku menjawab tanpa nada. Kedua-dua tangan dilipat ke dada sambil menjeling dia yang masih selamba.

Nak tunjuk yang aku betul-betul tak suka.

"Kalau macam tu tak ada masalah lah." Dia terus duduk bersandar pada kerusi. Telefon pintar dikeluarkan dari saku dan dia terus hanyut dalam dunia sendiri.

Aku hampir ternganga.

Eh, eh. Senangnya dia cakap. Aku dah ketap gigi, geram.

"Tak ada masalah apanya? Sekarang ni awak dah duduk dekat meja saya. Ini. Meja. Saya. Awak nak makan, carilah meja lain." Terketar-ketar aku tahan suara sendiri.

Nafas aku turun naik memarahi orang depan. Dahlah selamba badak je dia duduk dekat meja aku ni. Lepas tu buat muka tak bersalah. Tak nak berganjak pulak tu.

Heh! Aku dah lah tengah stress tak boleh puasa dekat kampung ni.

"Cik adik, meja ni ada empat kerusi. Awak dua orang. Saya pun dua orang. Tak ada masalah, kan?” perlahan aje dia menuturkan. “Atau... awak terganggu dengan muka kacak saya kalau saya duduk depan awak macam ni?” sambung dia lagi.

Dengar saja ayat terakhir dia tu, aku terus bulatkan mata. Perasannya!

“Jangan risau cik adik, pandang muka kacak saya ni tak batal puasa." Lelaki di depan senyum meleret.

Aku ternganga sebaik sahaja dia habiskan ayat.

Like... betul betul ternganga!

Apa bendalah dia ni? Ingat aku heran sangat dengan muka kacak dia tu? Masalahnya, kacak ke? Biasa je aku tengok. Tak adalah rupa Remy Ishak pun.

Kacak tang mana entah! Kalau ya pun dia kacak, bukan taste pun dia tu.

Tolonglah. Ini Najihah la. Terganggu konon... Rasa nak tumbuk adalah.

Heh!

"Apa?" Dia angkat kening bila aku mula buat muka tak puas hati.

Kalau nak ikutkan hati aku yang tengah stress, penat bercampur lapar ni, nak je aku sambung lagi sound barang sebakul dua.

Nasib baiklah aku puasa.

"Jie?"

Belum sempat aku jawab soalan dia, aku toleh ke kanan bila dengar suara Auni. Auni meletakkan dulang yang berisi sizling mee dan teh ‘o’ ais ke atas meja. Melihatkan asap dari sizzling mee berkepuk-kepuk ke udara, serta merta bau sizzling mee menusuk hidung.

Lapar!

"Ni ke tempat kita?" Teragak agak dia memandang lelaki-konon-konon-kacak yang masih selamba dengan telefon di tangan. Nak tak nak, aku angguk juga. Nampak aje aku mengangguk, Auni mengambil tempat di kerusi sebelah aku.

"Mir,"

Tiga kepala menoleh pula ke arah seorang lelaki yang aku agak lebih kurang sebaya dengan aku berdiri tegak di sebelah meja kami sambil menatang dulang yang berisi dua pinggan nasi goreng daging merah.

Aku kerut dahi. Auni dah buat muka pelik.

Siapa pulak ni?

"Sini?" soal dia sepatah dan lelaki di depan aku terus angguk.

Ini la kut kawan yang dia cakapkan tadi.

Hish, aku baru je nak makan dengan aman sambil bergosip dengan Auni. Tapi ada pulak yang menyibuk!

Ini silap-silap ada pulak budak ofis yang cakap dia dengan Auni double date pulak bulan-bulan puasa ni.

"Dah. Aku nak beli makanan." Aku bangun dari kerusi sebaik sahaja kawan lelaki tadi duduk di meja yang sama.

Menyesal betul. Tadi Auni offer nak belikan makanan, aku tak nak. Sudahnya, lagi dua puluh minit nak berbuka barulah aku terkial-kial cari nasi.

Manalah aku tahu food court Mid Valley boleh ramai orang macam ni? Bukannya weekend pun!
Mata mula meneliti setiap barisan yang ada di kaunter makanan. Dekat western, ramai. Dekat kaunter makanan Thai, ramai. Kaunter nasi campur pun ramai.

Kaunter yang paling sikit orang beratur adalah kaunter sup. Aku tarik nafas panjang.

Takkan nak makan mi sup je? Tapi bolehlah dari tak makan langsung, kan? Itu aje pilihan yang paling cepat siap.

Lambat-lambat aku atur kaki ke kaunter pelbagai aneka sup. Selesai membuat pesanan dan bayaran, aku hanya berdiri berhampiran dengan kaunter sambil menjeling pandang ke arah meja aku tadi.
Spontan dahi aku berkerut bila hanya ada Auni dan kawan lelaki-konon-konon-kacak tu je di meja. Lelaki yang menyakitkan hati aku tadi dah hilang entah ke mana.

Rancak pulak Auni bersembang dengan si kawan tu.

Auni ni la...

Peramah tak kira tempat betul!

Aku melepas nafas perlahan. Nampak je dia tak ada di meja, mata mula bekerja mencari cari lelaki berkemeja putih tadi.

Jumpa!

Cepat je mata aku melekat pada dia yang gigih beratur di kaunter air. Bila dia juga menoleh ke arah aku, automatik aku cebik. Hadiah dari aku sebab dah berjaya kacau hari pertama puasa aku.

Heh.

Tumpuan aku kembali pada kaunter sup. Lama pulak nak siap. Takkanlah nak letak sup yang dah siap ke dalam mangkuk yang berisi mi pun lambat?

"Dik, lambat lagi ke?" Hati aku suruh bersabar, tapi nafsu aku dah meronta ronta tak sabar. Nak-nak pulak, bila mata terpandang jam yang tergantung pada dinding dalam kaunter.

Lagi lima minit nak berbuka?!

Cepatnya!

"Kejap kak. Order banyak." Budak di kaunter tadi senyum bersalah. Ya, aku tahu dia pun puasa. Aku je yang tak sabar-sabar. Dah la datang sini pun dah lambat. Padan muka aku!

Waktu inilah aku mula terbayangkan macam-macam termasuklah hidangan berbuka puasa yang selalu mama hidangkan dekat rumah.

Mama... Jie nak makan lauk ayam percik mama. Bukan mi sup!

"Para pelanggan yang dihormati, sekarang telah masuk waktu berbuka puasa..." suara yang keluar dari speaker mematikan lamunan aku.

Pengumuman yang dibuat oleh staf Mid Valley tadi membuatkan aku hampir menangis. Mi sup masih tak nampak rupa. Wajah mama dengan abah pulak yang ada depan mata.

Macam mana aku nak puasa sebulan dekat sini kalau sehari puasa dah homesick gila ni?

"Nah!"

Air mata yang bergenang tak sempat menitis. Cepat je aku toleh ke tepi bila terasa botol air mineral menyentuh lengan.

Dia lagi!

"Nak apa?" soal aku geram.  Tak boleh tengok aku rindukan mama, ada je dia nak kacau. Nasib baiklah air mata sempat ditahan, kalau tak memang sia-sia je lah dia nampak aku menangis depan kaunter Aneka Sup ni.

"Air." Kali ini botol air mineral tadi disua betul-betul depan aku. "Minumla dulu sementara tunggu tu."

Aku kaget. Tak tahu nak buat apa. Lambat-lambat aku ambil botol air mineral dari tangan dia.

"Tak elok melambat-lambatkan berbuka." dia sengih segaris sebelum melangkah ke meja kami tadi

Aku pandang botol air mineral di tangan. Aku pandang pula dia yang masih berjalan membelakangi aku.

Apakah?

*** 

"LAMANYA!"

Aku senyum tawar bila dengar komen Auni. Dulang yang berisi mi sup panas dan air mineral itu terus diletakkan ke atas meja. Sepasang mata yang duduk bertentangan turut memandang sebaik saja aku melabuhkan punggung di atas kerusi.

Memang pun lama. Nak cakap menyesal beli mi sup ni pun ya. Rupanya tak ada orang beratur dekat kaunter sup tu sebab diaorang duduk dulu. Patutlah barisan pendek je.

Hampeh.

Tipah-tertipu betul!

Manala aku tahu sebenarnya order dekat kaunter sup bertimbun!

"Hah Ijat, kawan saya ni nama Najihah. Tapi panggil Jie je. Kami satu rumah sewa. Tempat kerja pun tak jauh. Itu yang janji makan dekat sini dulu sebelum balik." Panjang lebar Auni buka cerita.

Aku pandang Auni dan Ijat bersilih ganti. Sempat pulak Auni buka hikayat aku dengan dia dekat sini. Yang bernama Ijat tadi terangguk-angguk dengar cerita Auni. Sempat jugak si Ijat tu senyum pada aku.

Berbahasa.

Aku balas senyuman dia sesaat. Dan, sekarang baru aku perasan yang lelaki-konon-konon kacak tu tak ada dekat meja!

Automatik kepala di bawa ke kiri dan kanan, mencari. Tapi kelibat dia tadi langsung tak kelihatan.

Tak buka puasa ke dia ni? Tadi bukan main cakap tak elok melambat-lambatkan berbuka.

"Ooo... sama umur la ni?"

Soalan Ijat membuatkan fokus aku kembali pada dia.

Laju Auni angguk. Adoi Auni, takkan nak cerita semua benda dekat orang tak kenal kot?

"Jie, kau tahu... Ijat ni rupanya budak sekolah aku jugak."

Baru je nak mulakan suapan pertama, kepala aku terus terangkat bila dengar pernyataan dari Auni.

“Satu sekolah?” suara aku naik satu nada.

Auni angguk, mengiakan.

"Serius?" Bulat mata aku pandang Ijat yang tersengih-sengih di depan. Kedua-duanya mengangguk dalam senyuman.

 "Kecilnya dunia! Dekat Mid Valley jugak korang jumpa, ya." Aku meneruskan suapan yang tertunda tadi.

Pergh! Nikmatnya rasa sup panas yang sedap lagi menyelerakan ni bila melalui saluran pencernaan aku.

"Haah, itulah. Tapi Ijat dengan kawan dia tu pangkat senior aku la. Masa sekolah dulu kenal gitu-gitu je." Sambung Auni lagi.

Rasa nikmat aku tadi tiba-tiba hilang bila ayat 'kawan Ijat' menyapa telinga. Maknanya, lelaki tadi pun satu sekolah dengan Auni?

Aku menggeleng sendiri. Betul-betul kecil Malaysia ni rupanya.

Tapi, sebut pasal kawan Ijat ni...

Aku toleh ke kiri dan kanan. Masih tak nampak kelibat dia.

"Mana kawan tadi?" Soalan itu terkeluar sebelum sempat aku tahan.  Ijat yang tadi asyik mengunyah nasi goreng angkat kepala.

"Surau," pendek dia menjawab.

Gelas air didepannya dicapai sebelum menghirupnya perlahan.

"Amir tu memang selalu solat dulu sebelum makan yang berat-berat."

Oh, Amir. Nama dia Amir.

"Kenapa?"

Belum sempat aku nak suap mi ke dalam mulut, satu suara asing pula menyampuk. Tiga kepala automatik menoleh ke arah Amir yang baru sampai di meja.

Terus je dia duduk di tempat tadi sambil memandang aku lama, tunggu jawapan. Auni dan Ijat dah kembali dengan topik 'jejak kasih' dia orang tadi.

Hanya mata Amir saja yang masih tertumpu pada aku.

Aku buat muka bosan.

“Kenapa apa?” aku saja je tanya tadi. Ingat aku nak tahu sangat ke kau pergi mana? Heh.

"Kenapa cari saya?" giat dia lagi bila aku diam menyambung makan.

Okay. Ini boleh mendatangkan kemarahan. Boleh tak bagi aku makan dengan tenang? Siapa cari dia entah?!

Malas nak panjangkan cerita, aku geleng je. Botol air mineral di atas meja aku capai dengan tangan kanan. Hajat dihati nak minum air, bagi sejuk sikit hati aku.

Tapi rupanya...

"Air mineral tu dua ringgit."

Sikit lagi nak tersembur air yang aku minum.

Aku pandang dia, tak percaya. Dan dia di depan masih dengan lagak selamba.

Dua ringgit? Dia minta aku bayar dua ringgit?

Berkiranya!

Baru je ingat dia jenis yang gentleman bagi aku air untuk berbuka.


Hampeh sungguh. 


****

No comments: