Wednesday 7 December 2016

Hero Hati Najihah (LIMITED EDITION) - Bab 2



Bab 2

TENANG, JIE. TENANG. Tarik nafas, hembus.

Melihatkan gaya dia di depan macam betul-betul minta aku bayar harga air mineral yang aku minum tadi, aku tarik nafas panjang.

Sempat aku berdehem perlahan sebelum menjawab.

“Okay." Botol air mineral diletakkan ke atas meja.

Sedaya upaya aku kawal suara. Tak bagi nampak menyampah sangat. Tak bagi nampak yang aku mengharap sangat dia belanja.

Dia sekadar sengih. Kedua-dua tangan diangkat untuk baca doa makan. Suapan mi sup aku kembali terbantut.

Sikit lagi aku nak tepuk dahi sendiri. Aku lupa nak doa masa berbuka tadi!

Haiyyoo... itulah, siapa suruh mood aku kelaut marah-marah dan stress sebelum berbuka tadi?

Sekarang aku sendiri yang rugi bila terlepas peluang untuk berdoa sebelum buka puasa. Mama selalu pesan yang kita digalakkan untuk berdoa apa sahaja yang kita nak masa tunggu waktu berbuka.

Antara waktu yang paling mustajab pulak tu. Rugi... rugi.

Padan muka aku sendiri.

"Tak sedap ke?"

Spontan aku toleh ke tepi, memandang Auni dengan muka pelik.

"Apa yang tak sedap?" soalan Auni aku jawab dengan soalan.

"Mi sup kau tu la. Yang tergeleng-geleng beria tu, tak sedap ke?

Ijat di depan Auni dah simpan senyum. Amir pulak baru mulakan suapan nasi goreng ke dalam mulut dan mencuri pandang.

Nak tak nak, terlepas jugak ketawa aku. Aku geleng ke tadi?

"Sedap je..." jawab aku bila ketawa beberapa saat tadi kembali reda.

Auni angkat kening. Pelik agaknya bila nampak aku ketawa sorang-sorang.

"Kawan kau ni memang jenis yang pelik eh, Auni?" Soalan tanpa tapisan itu membuatkan satu meja kami gamat dengan ketawa.

Kecuali aku.

Anak mata aku menikam tajam wajah Amir di depan. Selamba bomba je dia kata aku pelik? Ini dah lebih!

Auni pun boleh bantai ketawa sama, tak patut betul!

"Taklah Mir. Jie okay je la. Korang ni tak baik tau," jawab Auni dengan ketawa yang masih bersisa. Cepat-cepat dia berhenti ketawa bila nampak muka bengang aku.

Aku hadiahkan pandangan penuh makna pada Auni. Pandangan ‘Kau, Auni. Tunggu la dekat rumah nanti aku karatekan kau sama.’

"Kau makan cepat sikit, Auni. Aku dah tak ada selera ni. Nak balik," bisik aku pada Auni dengan nada teramat geram. Sempat aku jeling orang depan dengan jelingan tajam.

"Eh, takkan nak balik dah..." Amir menyampuk. Telinga lintah betul. Dengar aje!

"Suka hati sayalah!" Suara aku dah naik satu volume. "Cepatlah Auni."

Tak pasal-pasal Auni pulak yang kena marah. Itulah, siapa suruh Auni masuk geng budak dua orang tu? Mengacau ketenteraman aku betul. Musnah harapan aku untuk menikmati hari sedih sebab terpaksa berbuka tanpa mama dengan abah tahun ni.

Semua sebab Amir!

Dek gesaan aku, terkocoh-kocoh dia habiskan sizzling mee yang masih tinggal separuh tu.

"Takdelah. Takkan nak balik dah. Solat maghrib la dulu." Amir sengih di hujung kata. Ijat simpan tawa. Auni pun.

Dan aku pulak...

Kenapa rasa terbakar semacam ni? Heh. Aku tahulah nak solat Maghrib dulu sebelum balik. Takkanlah aku nak buat senarai 'Jom Auni solat dulu pastu pergi Guardian beli syampu dan masuk Aeon beli lauk basah untuk sahur esok dan lepas tu jom balik,' depan dia orang pulak?

Urgh!

"Dah la tu Mir. Muka Najihah tu dah macam nak makan kau dah." Ijat pulak menyampuk. Aku pandang Ijat dengan muka 'Thank you Ijat. Memang aku sekarang rasa nak kunyah-kunyah je kawan dekat sebelah kau tu.'

"Dia dari sebelum berbuka lagi nak makan aku. Berselera sungguh agaknya bila nampak muka kacak ni."

Aku ternganga luas bila dengar pernyataan yang sangat meloyakan dari dia tu. Nasib tak muntah balik je mi sup yang aku makan tadi.

Auni mengekek ketawa sambil cuba habiskan sizzling mee sampai licin. Ijat yang bela aku tadi pun dah bantai ketawa sama.

Ya Allah! Apa la nasib aku hari ni. Malas nak bertekak, aku sekadar mencebik dan bersandar pada kerusi sambil melipat tangan ke dada.

Sungguhlah, mood aku sekarang ni dah kelaut dalam!

Mi sup yang masih tinggal separuh aku pandang dengan rasa bersalah. Berdosanya aku tak habiskan makanan. Bukannya aku tak tahu yang dekat luar sana lagi ramai yang tak dapat makan macam aku ni.

Kesedaran yang datang sesaat tadi membuatkan aku kembali mencapai sudu dan garfu.

Makan Jie, makan. Jangan membazir. Membazir amalan syaitonirrojim...

"La, tadi cakap nak balik? Sambung makan lagi?"

Ini lagi satu syaitonirrojim.

Terus kaku tangan aku yang memegang sudu dan garfu tadi. Nafas dilepas kasar.

Aku angkat kepala pandang Amir di depan. Muka aku sekarang ni aku sendiri tak tahu nak tafsir macam mana tapi yang pastinya, panas menggelegak. Ikutkan hati aku nak tikam je dua biji mata dia tu dengan garfu dekat tangan aku sekarang ni macam Kassim Selamat.

Biar dia tahu sikit erti penyesalan.

"Leave me alone, boleh?" Aku ketap gigi. Pandangan mata dia aku balas setajam mungkin tanda 'Keep Out, Danger'.

Amir sengih nipis sebelum menjawab, "Okay. Makanlah..."

Heh. Tahupun takut.


SUASANA di medan selera Mid Valley yang riuh dengan suara orang bergelak tawa tidak langsung membuatkan hati aku tenang. Elok saja habiskan baki mi sup tadi, aku terus tarik Auni untuk bangun dari kerusi.

Serius aku dah tak sabar-sabar nak tinggalkan makhluk tuhan yang bernama Amir tu.

"Pergi dulu korang. InsyaAllah boleh jumpa lagi." Sempat Auni sengih ke arah kedua-duanya. Aku buat muka.

Kau nak jumpa, kau jumpalah sorang-sorang, Auni.

"Okay, simpan nombor saya tu, Auni. Senang-senang boleh berbuka sama nanti." Ijat senyum senget.

"Bisa di atur!" tangannya diangkat ke dahi tanda tabik. Sengihan Auni melebar. Baru aje kaki nak melencong ke surau yang berada disudut food court, aku teringat sesuatu.

Dua ringgit dia!

"Auni, kau ada dua ringgit tak?" bisik aku perlahan.

Soalan aku membuatkan dahi Auni berkerut. Tangannya spontan membelek dompet yang sedia berada di genggaman.

Dua not satu ringgit dikeluarkan dan aku cipta senyum lebar. Nasib baiklah Auni ada duit kecil. Duit kecil aku dah habis buat beli makanan tadi. Yang tinggal not puluh-puluh je.

Aku mengundur beberapa tapak ke belakang. Dua ringgit tadi diletakkan ke atas meja betul-betul sebelah pinggan nasi goreng milik Amir. Laju je dia angkat kepala.

"Apa ni?"

Eh, eh. Buat buat tanya pulak. Tadi bukan main lagi mintak dua ringgit.

"Duit air tadi la..." Bergetar suara aku tahan geram.

"La, saya cakap je dua ringgit. Bukan mintak bayar balik." Dia sengih nipis.

Auni di sebelah dah mula mengekek ketawa. Ijat pulak tersenyum-senyum sendiri tanpa memandang. Takut agaknya bila nampak muka merah padam aku.

"Takkanlah orang smart dan kacak macam saya ni tak boleh nak belanja air dua ringgit. Awak ni pun..." Dua ringgit kembali ditolak ke arah aku.

"Tak payah. Saya tak nak ada apa-apa pun yang berkait dengan awak. Tak kira la smart ke, kacak ke, banyak duit ke. Tak hingin, tahu tak?" Aku mencebik lebar. Puas hati aku. “Tak payah nak berlagak handsome sangat depan saya. Awak bukan taste saya pun!”

Tergeleng-geleng dia dengar jawapan aku. Kali ni fokus dia beralih pada Auni.

"Auni, ambik balik ni. Kang hilang pahala saya bagi orang puasa berbuka tadi." Dua ringgit tadi dihulur pada Auni dan cepat pulak Auni sambut.

Auni ni lah!

Aku hampir tepuk dahi.

Laju je aku jeling Amir yang masih duduk habiskan nasi goreng tadi. Nak pahala bagi orang bebuka konon, dah bagi main perli perli pulak.

"Jom Jie..."

Auni cuit bahu aku bila nampak aku dah bersedia untuk sembur Amir tu balik.

"Ramai pulak orang dekat surau nanti." Sambung dia lagi.

Aku tarik nafas dalam dalam, cuba bertenang.

"Okay korang. Pergi dulu," sekali lagi Auni senyum meminta diri. Spontan Amir dan Ijat mengangguk. Juga senyum.

Aku je yang masih panas hati. Langsung aku tak hiraukan kedua-duanya dah terus melangkah ke surau Mid Valley yang mula dipenuhi manusia.

Walaupun ramai, keadaan surau masih boleh dikatakan selesa untuk jemaah yang nak mendirikan solat.

Selesai solat maghrib, aku dan Auni keluar dari kawasan food court. Sempat aku menjeling ke arah meja kami tadi yang sudahpun bertukar tuan. Ijat dan Amir dah tak ada dekat situ.

Auni yang berjalan di sebelah aku mula buat senarai kedai yang dia nak singgah sebelum balik. Semuanya hanya masuk telinga kanan dan terus keluar dari telinga kiri.

Satu pun aku tak dapat nak install dalam kepala.

Bila teringatkan Amir yang mampu membuatkan mood aku bertukar dari 'cool' ke el nino, aku melepas nafas perlahan.

Nasib baiklah azab makan depan dia dah habis. Lepas ni tak payah nak jumpa dah.


HARI KEDUA PUASA. Aku kerja macam biasa, sama seperti hari-hari biasa cumanya waktu makan rehat tadi aku sempat curi masa untuk lelap sekejap sebelum solat zuhur.

Lain benar badan aku bila mula bulan Ramadhan ni.

Penat dan mengantuk!

Tepat jam lima setengah petang, Auni dah sibuk telefon aku, tanya nak berbuka dekat mana. Malas nak buat keputusan, aku biarkan je dia yang pilih tempat, asalkan bukan dekat medan selera Mid Valley, aku okay.

Aku dah serik nak pergi sana.

Tak boleh aku bayangkan kalau tiba-tiba Amir pun ada sama. Disaster!

"Kita masak ajelah, Jie." Tiba tiba Auni buat keputusan. Penat sangat fikir nak makan dekat mana agaknya.

"Ala, penatla Auni. Nak balik ni pun nanti KTM penuh. Sampai rumah pulak dah pukul berapa..." laju je aku bantah.

"Kalau macam tu kita berbuka dekat Kl Sentral ajelah. Alang-alang nak turun sana tukar train."

"Bolehlah." Cepat saja aku setuju.

"Okay. Aku tunggu kau depan RotiBoy."

Talian diputuskan setelah aku beri kata sepakat. Auni memang kerja dekat MidValley jadi memang selalunya dia akan tunggu aku dekat situ untuk balik sama.

Aku pulak, dekat The Gardens, sebelah aje dengan Mid Valley. Walaupun agak jauh jugak nak jalan ke KTM Mid Valley, aku tabahkan jugak hati. Itu saja pilihan yang aku ada. KTM.

Fresh grad, baru mula kerja. Mana mampu aku nak pakai kereta? Nak pulak dengan ekonomi tak menentu sekarang. Nak beli motosikal sekarang pun aku tak mampu.

Habis je waktu pejabat, aku terus keluar dari tempat kerja. Hari kedua berbuka, nak makan apa ya?

"Satu ringgit... dua ringgit..."

Suara menyanyi di sebelah aku membuatkan segala menu makanan yang baru keluar dari kepala aku hilang. Automatik langkah aku untuk ke RotiBoy terhenti kaku.

"Hai, Cik Najihah." Amir tersengih-sengih sambil bersandar pada dinding di sebelah Digi Centre.

Dia lagi! Adoi. Takkan hari-hari nak kena terserempak dengan dia kot? Selama ni tak pernah nampak pun!

Tapi selama ni mana aku kenal dia pun. Jadi, manalah aku tahu yang aku pernah terserempak ke tidak, kan?

Tapi, takkan dia pun kerja dekat dekat sini?

Bila pandang muka senyum dia, aku terus buat muka tak puas hati. Serabut betullah! Tak boleh ke dia buat tak kenal je?

Pandangan mata Amir yang dari tadi melekat pada aku, dibalas dengan jelingan tajam. Biar tahu sikit yang kemunculan dia sekarang ni langsung tak menyenangkan!

"Apa pandang pandang? Ada hutang?" Aku bulatkan mata.

Amir ketawa perlahan bila dengar soalan aku. "Ada... dua ringgit."

Aku rasa nak menjerit dekat situ jugak. Ya Allah geramnya hati aku. Orang nak bayar, cakap tak payah. Lepas tu cakap aku hutang dia pulak. Heh!

Padan muka kau Jie, salah soalan kau tanya dia tadi.

Jelingan tajam aku pada dia masih tak beralih. Bila nampak senyum kambing dia makin lebar, aku terus buka zip bahagian belakang beg tangan dan keluarkan dua ringgit dari situ.

Nasib baik ada.

Poket bahagian belakang beg tangan aku memang selalu jadi tempat untuk aku letakkan duit baki bila aku malas nak buka dompet. Jadi, duit syiling dan not seringgit memang banyak dekat poket tu.

"Nah. Lepas ni, jangan tegur saya dah. Saya tak kenal awak, dan awak tak kenal saya." Aku hulur dua ringgit tadi ke depan.

Anak mata dia jatuh pada duit ditangan aku. Sesaat kemudian, bibirnya mencipta senyum.

"Mana boleh tak kenal. Awak Jie, saya Amir."

Jawapan selamba dia membuatkan aku ketap bibir kuat. Apa payah faham sangat dia ni?

"Hish, ambikla cepat. Saya tak ada masa nak layan awak dekat sini ni." Aku pandang jam di tangan. Dah hampir 5.40. Masa untuk aku sampai dekat RotiBoy sana adalah dalam 10 ke 15 minit. Kesian Auni kena tunggu.

"Tak nak. Saya nak air mineral jugak. Bukan dua ringgit ni."

Aku buat muka bosan. Tak habis-habis! Kang kalau aku baling dua ringgit dekat muka dia ni kang, tak pasal-pasal jadi Najihah kurang ajar pulak.

"Suka hati awaklah. Taknak sudah. Lepas ni jangan tegur saya dah." Bosan dengan perangai tarik tali dia, aku terus melangkah ke Mid Valley sambil menyimpan kembali dua ringgit tadi.

"Eh, nak pergi mana ni? Berbuka? Eloklah tu. Saya pun nak pergi Mid Valley jugak ni." dia mula mengekori aku dari belakang.

Aku diam. Malas nak bertekak. Buat habis sisa tenaga aku je berbahas dengan manusia macam Amir ni. Annoying!

"Jie? Ooo Najihah?"

Eii, dia ni la...

"Awak nak apa lagi?!" Haaa... Kan dah keluar suara mak lampir aku.

Langkah dia terus terhenti. Dari sengih, wajah dia kembali normal. Mungkin ada riak terkejut jugak sikit.

Terkejut bila aku marah dia macam tu agaknya.

"Er... saya nak join awak sama la ni. Bukan ke Auni ajak saya dengan Ijat berbuka sama dekat KL Sentral nanti?"

Aku ternganga bila dengar jawapan dia.

She what?!


Auni!!!!


*****

No comments: