Hero Hati Najihah (LIMITED EDITION) - Bab 4



BAB 4

Kisah Amir dan sahur awal pagi tadi aku buang jauh jauh dari kotak fikiran. Sampai je di tempat kerja, aku mula lalui rutin biasa.

Untuk berbuka harini, awal-awal lagi aku bagi cadangan untuk beli dekat bazar je.

Rindu pulak nak jelajah bazar Ramadhan. Kalau dekat kampung aku, memang tak cukup jarilah nak pegang makanan yang aku beli. Tapi sampai dekat rumah je, mesti abah marah.

Membazir kata abah.

Iyalah, aku beli banyak banyak, bila berbuka makan lauk yang mama masak jugak. Sudahnya makanan yang aku beli tu tersadai je sampai sahur. Heh. Nafsu nafsu.

Bazar ramadhan tak jauh pun dari rumah aku. Turun je KTM, aku dan Auni kena jalan sikit untuk sampai ke tapak bazar. Tak sempat keluar peluh pun.

"Kau nak makan apa ni?" Soal Auni tanpa memandang. Dia dah pun tenggelam dengan makanan yang dipamerkan sepanjang jalan.

Ada ayam golek, ada roti john, ada air tebu, air kelapa, kambing bakar...

Aku senyum segaris. Bestnya!

"Hai Cik Najihah!"

Sikit lagi aku nak terlompat ke depan bila ada asing menegur. Satu hari di tempat kerja aku tak nampak dia alih-alih dia muncul dekat sini?

"Auni..." tegur dia pada Auni pula.

Auni senyum mengangguk. "Hai Mir."

Amir yang berdiri tegak di tengah-tengah laluan turut senyum. Cepat je aku pandang Auni di sebelah kot-kot la harini pun dia ajak Amir dan Ijat sama.

Tapi laju dia menggeleng. Tanda bukan.

Aku picingkan mata meneliti wajah Amir di depan. Cuba mengesan muslihat dia.

Takkan dekat bazar pun jumpa dia!

"Beli apa?" Mata dia melirik ke arah tangan aku dan Auni yang masih kosong.

"Baru sampai ni. Tak beli apa pun lagi." jawab Auni. Aku diam je sambil membuang pandang ke sekeliling.

"Sorang je? Ijat mana?" soal aku pula. Auni dan Amir sama-sama pandang aku dengan kening terangkat.

"Hai Cik Najihah, saya ada dekat sini pun awak tanya orang lain jugak?" Mata dia menikam anak mata aku lama.

"Laa, kenapa pulak? Saya tanya je." Aku buat muka. Auni di sebelah dah mengekek ketawa.

"Soalan awak tu buat saya jealous pada Ijat." senafas dia menuturkan.

Aku hampir tepuk dahi. Pulak dah...

"Jangan nak mengarut boleh tak?" Aku tak tahu kalau muka aku sekarang ni dah bertukar warna, tapi aku tahu yang suara aku tadi dah berubah gagap.

"Mana ada mengarut. Betulla saya cakap tu. Hah, untuk soalan awak tadi, Ijat ada, dia tengah cari parking."

Aku diam. Sengaja aku lemparkan pandangan ke sekeliling bazar, tak nak pandang muka dia yang aku yakin sangat tengah sengih sekarang.

"Auni, jomlah beli makanan!" Aku tarik tangan Auni menjauhi Amir yang masih tegak berdiri. Mengacau ketenangan hidup betul!

"Bye Amir!" Auni sempat angkat tangan tinggi tanda selamat tinggal sebelum dia terpaksa megekori aku ke kedai kuih-muih yang tak jauh dari situ.  Amir sekadar senyum mengangguk.

"Dia pun tinggal dekat area sini ke?"  bisik aku pada Auni sementara menunggu giliran aku. Makcik yang menjual kuih-muih itu sibuk melayan beberapa orang pelanggan yang datang.

"Manalah aku tahu. Aku pun baru je jumpa dia balik, kan?"

Aku cebik. Iyalah tu. Entah entah Amir datang sini pun kerja Auni. Bukan boleh percaya budak Auni sorang ni.

"Kau cakap betul-betul, Auni." Sengaja aku keraskan suara, bagi Auni takut sikit. Sudahnya, Auni gelak je bila dengar nada suara aku tu.

"Betullah. Aku tak tahu. Tapi kalau Ijat, ya. Dia memang tinggal tak jauh dari bazar ni."

Bulat mata aku pandang Auni di sebelah. Biar betul?

"Ijat yang cakap haritu. Rumah kita tak jauh pun dari rumah dia. Lagipun, dekat kawasan ni bazar ni je yang paling besar, kan?"

Kebetulan apa yang jadi sekarang ni? Tempat kerja dekat-dekat. Rumah pun dekat-dekat jugak?

Aku tarik nafas perlahan, cuba bertenang.

Okay, Ijat tinggal dekat area sini...

Tapi si Amir tu, apa pulak yang dia buat dekat sini?

"Dia orang serumah ke? Satu tempat kerja? Dia orang kerja dekat Mid Valley jugak eh? Kerja apa?" Bertalu-talu soalan yang keluar.

Belum sempat Auni menjawab, satu suara asing menyampuk dari belakang.

"Nope."

Oh mak kau!

Laju je aku toleh ke belakang. Nampak je wajah Amir yang senyum meleret, aku terus membuntangkan mata.

Dia lagi!  Bila masa pulak dia ikut aku dengan Auni sampai sini?

"Saya tak serumah pun dengan Ijat. Tapi ya, memang satu tempat kerja. Tapi bukan dekat Mid Valley, dekat bangunan sebelah Mid Valley tu. Hari ni saya saja je nak lepak berbuka dekat rumah Ijat." panjang lebar dia menjawab.

Aku cuma diam mendengar. Segan pun ada. Kenapalah aku tak jenguk dulu keadaan sebelum soal semua tu tadi?

Malu!

"Ingatkan tak berminat, tak sangka awak nak tahu jugak pasal saya." Perlahan je bisikan dia dari belakang aku dan Auni.

Aku nampak Auni senyum lebar. Aku pulak, sikit pun tak berani nak toleh belakang.

"Takpe, next time, awak text je. Nanti saya jawab semua soalan awak."

Aku gigit bibir sendiri, geram. Menyesalnya aku tanya!


CUTI!

Aku bangun dengan hati senang bila mengingatkan yang hari ni aku tak perlu ke tempat kerja. Bukan sebab kerja yang bertimbun, tapi sebab nak elakkan dari jumpa senior Auni tu.

Hari minggu di bulan puasa. Tak banyak pun yang aku boleh buat. Nak jogging pun tak boleh, nanti cepat haus. Nak kemas rumah pun terasa malas.

Sudahnya, aku melangut saja depan TV sambil berborak dengan mama melalui telefon.

"Jie!"

Baru je habis bersembang dengan mama, suara Auni mula memenuhi ruang tamu. Aku toleh ke arah Auni yang bercekak pinggang di pintu dapur. Automatik kening aku terangkat tinggi.

Apahal pulak Auni ni?

"Kenapa?" laung aku dari sofa lusuh milik tuan rumah. Serius malas nak bergerak.

"Kau tak makan ke akok yang Amir beli semalam? Membazir la..." jelas kedengaran nada tak senang dia.

Mata aku mengerling ke arah plastik kecil yang berisi beberapa keping akok di atas meja makan. 
Masih di situ sejak petang semalam.

Aku mengeluh kecil.

"Aku dah cakap dengan dia yang aku tak suka.” perlahan aku menjawab.

Ya, memang rasa bersalah sebab tak habiskan akok tu semalam. Tapi aku memang tak suka. Rasa telur tu yang selalu buat aku tak tahan. Bukannya aku tak pernah cuba makan.

Akok tu favourite abah dengan mama, bukan aku.

"Kau ni la... takkan satu pun tak makan?"

Laju aku geleng. Memang aku tak sentuh langsung. Amir ni pun satu, dah lari dari dia pun, boleh pulak terserempak bila nak balik.

Dan, aku dah cakap  yang aku tak nak bila dia hulurkan plastik berisi akok tu. Dia jugak yang degil konon orang Kelantan semua suka.

Haih.

"Kau habiskan je lah Auni. Elok lagi tu."

"Hah, kau suka lah kan bagi aku cirit birit kalau benda tu dah basi?" Muncung Auni panjang sedepa. Spontan aku ketawa.

"Dah tu nak buat macam mana? Buang ajelah."

Makin panjang muncung dia bila aku suruh buang.

"Membazir... membazir..." Auni mula merungut sendiri. Plastik berisi akok tadi dibawa ke sinki.

Aku sengih je bila dengar dia membebel dekat dapur. Fokus aku kembali pada siaran TV. Tak ada satu pun rancangan yang menarik minat aku.

Bosannya!

"Hari ni aku berbuka dekat luar. Kau nak ikut?" Auni tiba-tiba muncul dari dapur dan melabuhkan punggung di sebelah aku. Dia dah buang agaknya akok tadi. Tak pun, dia curi-curi makan jugak tanpa pengetahuan aku.

"Dengan siapa? Kat mana? Nak!" Gila tak nak? Sadis kot buka puasa sorang sorang dekat rumah.

"Dengan Ijat." Auni simpan sengih.

Aku ternganga bila dengar jawapan dia. Oh my! Jangan cakap yang...

"Kau jangan nak fikir macam-macam. Dia ajak berbuka je." cepat Auni memotong sebelum sempat aku reka cerita cinta dia dan Ijat dalam kepala.

"Auni! Cepatnya! Cinta lama berputik kembali ke apa ni?" Aku tutup mulut. Excited!

"Hish, bukanlah. Aku tak kenal sangat pun dia dulu masa sekolah. Tapi aku tau la dia orang tu satu kelas dengan kakak aku."

"Mesti dia dah lama pandang kau dari jauh, kan? Whoaa... macam filem la weh!"

"Over la kau ni." Ketawa Auni terus pecah bila dengar komen aku. "Kau nak ikut tak?"

"Kalau tuan hamba nak dating, tak apalah. Biarlah hamba pacal yang hina berbuka sendirian." Aku mengekek ketawa. Tak sangka betul Ijat cepat betul mulakan langkah. Tak syak lagi. Memang dia dah aim Auni dari kecik ni.

Confirm!

Budak Auni tu pulak boleh tahan cun. Sesuai sangatlah dengan Ijat yang rupa hero melayu tu. Ijat dan Auni. Boleh tahan jugak kalau berpasangan. Ijat tinggi melangit. Auni pula hanya paras bahu dia.

Senyuman aku masih lagi belum mati saat pandang wajah malu-malu Auni.

Ijat muka hero melayu, Auni pula muka gadis ayu.

Padan!

"Okay. Kau nak aku cal­l Amir temankan kau berbuka tak?"

Bayangan Ijat bersebelahan Auni yang tercipta tadi hilang bagai ditelan kabus.

Senyuman aku mati bila dengar nama yang satu tu.

"No!" sepantas kilat menjawab.

Aku buat muka bila Auni ketawa kuat. Hampeh betul kawan Macam ni.

"Kau tak payah nak rajin jadi informer dia pulak. Aku rela berbuka sendiri dari hadap muka dia tu."

Auni ni pun satu. Dia tak tahu ke aku ni pantang nampak muka Amir je, mula la aku nak marah orang?
Ini pulak nak ajak duduk makan semeja? Silap-silap memang boleh tercetus perang dunia ketiga!


AUNI DAH keluar sejak pukul empat petang tadi. Aku pulak, elok je Auni keluar, jari jemari laju je buka laman google, cari resepi untuk berbuka. Bila semua resepi yang aku cari tu tak cukup bahan, handphone terus dicampak ke sofa.

Kecewa.

Semangat nak masak macam-macam menu tadi terus terkubur.

Bila jam sudahpun menunjukkan tepat pukul enam petang, aku bangun ke dapur dengan kepala yang masih mencari-cari apa benda yang aku nak masak hari ni.

Goreng ikan masin, buat sambal jawa dan makan dengan nasi panas! Simple! Spontan aku senyum dengan idea sendiri.

Pergh. Fikir je dah buat aku kecur air liur.

Aku mula kumpulkan bahan-bahan ke atas meja sewaktu handphone aku berdering kuat.

Lambat-lambat aku atur kaki ke sofa. Nama pemanggil aku pandang sesaat.

Amir lagi!

"Assalamualaikum Cik Najihah!" Suara dia memenuhi speaker handphone sebaik sahaja aku sambungkan talian.

"Nak apa ni?" Salam yang diberi aku jawab dalam hati. Patutnya aku tak payah tanya pun. dah tahu yang niat dia telefon aku cuma satu. Nak mengganggu keamanan dan ketenteraman hidup aku.

Tak ada lain dah.

"Eh, period ke?" Dia dah ketawa dari hujung sana.

"Awak nak apa sebenarnya ni? Saya nak masaklah." Aku cuba kawal suara.

"Oh, puasa. Ingatkan period tadi. Garang semacam je. Tapi, kalau nak fikir balik, sejak bila pulak awak reti cakap elok-elok, kan?" Tawa dia masih bersisa.

Aku terus ternganga. Dia mengata aku? Dia kutuk aku ke?

"Kalau telefon sebab nak sakitkan hati saya, baik tak payah!”

Dia ketawa lagi bila dengar rungutan aku. Marah aku pada dia bagai langsung tak ada kesan.

"Jie, saya nak tanya satu benda. Dah lama sebenarnya saya fikir. Kenapa awak tak suka saya, eh?"

"Hah, eloklah awak tanya. Meh saya terus terang. Awak tu annoying. Cakap tak boleh nak elok-elok, asyik perli orang je. Berlagak, perasan handsome. Pandang muka awak pun saya menyampah, tahu tak?"

Hah. Ambik kau. Nak tahu sangat kan?

"Oh..." dia terdiam, memberi ruang sunyi menerpa untuk beberapa saat. “Okay then. Thank you sebab bagi tahu. Sebab iyalah, dah 27 tahun saya perangai macam ni, tak pernah pulak orang complain." Dia tertawa tanpa nada.

Aku tarik nafas perlahan. Membiarkan dia menghabiskan ayat.

"Tapi mungkin dengan awak je kot saya over react. Sebab awak tu dingin sangat. Makin nak dekat makin awak tolak saya jauh." Dia ketawa kecil dengan ayat sendiri.

Aku masih diam, tak ada mood langsung nak menyampuk.

"But, okay. Now I know yang cara saya nak tarik perhatian awak tu, annoying bagi awak. So, my bad."

Dahi aku berkerut tanpa dipinta. Kenapa macam lain benar aje nada dia sekarang ni?

"Sebenarnya tadi Ijat cakap awak berbuka sorang-sorang hari ni sebab Auni keluar dengan dia. Tadi ingat nak teman awak berbuka, tapi bila awak cakap pandang muka saya pun buat awak menyampah, so I guess tak jadilah."

Cebikan pada bibir aku mula hilang perlahan-lahan. Entah kenapa satu perasaan menyesal mula terbit dalam hati.

Kasar sangat ke aku tadi?

"So, selamat berbuka! Assalamualaikum."

Talian diputuskan sebelum sempat aku menahan. Aku pandang handphone ditangan dengan rasa yang bercampur aduk.

Aku kasar sangat ke? Kenapa aku nak marah dia macam tu sekali? Apa yang dah aku buat ni?

Suara Amir tadi macam dah jauh hati.

Adui, apa yang aku nak buat ni?

**** 





Comments

Anonymous said…
Wuhuu daebakkk best!! Mmg kat blog smpai bab ni je ke ����
Illa Shanahila said…
Anon-
Kita akan sambung lagi sikit =) Lepas ni tak de dah. Kena dapatkan buku. Thank you!