Wednesday 14 December 2016

Hero Hati Najihah (LIMITED EDITION) - Bab 5

  

BAB 5

OKAY. Aku mengaku yang aku memang kasar pada dia tadi. Tapi, memang patut pun dia kena marah, kan?

Aku cuba sedapkan hati.Tapi bila waktu masak tadi pun aku asyik fikir hal tu, waktu berbuka pun fikir lagi, aku jadi tak tenang.

Tak tenang selagi tak minta maaf dari dia.

Pukul 9.15 malam. Selesai solat isyak, lambat-lambat aku capai handphone dari atas katil. Lama aku tenung skrin telefon sebelum ambil keputusan untuk WhatsApp Amir.

Ah, minta maaf ajelah. Janji hati aku tenang.

Jari jemari mula berlari-lari di atas skrin. Tak sampai seminit, semua ayat yang berlegar dalam kepala tadi selamat dihantar.

"Assalamualaikum. Sorry. Saya tahu saya kasar sikit tadi."

Seminit berlalu, WhatsApp aku tidak berbalas. Dua 'grey tick' yang dipamer menandakan WhatsApp aku selamat sampai kepada si penerima.

Lima minit, masih tak ada jawapan.

Aku gigit bibir sendiri. Entah kenapa dada aku pulak yang berdebar menunggu jawapan balas dari dia.


"Amir, sorry la. Salah awak jugak yang selalu cari hal dengan saya."


Sekali lagi aku tekan butang send.

10 minit menunggu, WhatsApp aku masih tidak berbalas. Marah betul agaknya dia sampaikan semua WhatsApp yang aku hantar langsung tak di balas.

"Amir, awak betul marah saya eh? Betul-betul saya minta maaf ni. 🙏"

Masih tak ada jawapan.

Aku mengeluh perlahan.

"Okay. For the last time, sorry."

Lama merenung laman WhatsApp, aku bangun dari sejadah dan melipat telekung sebelum keluar ke ruang tamu. Handphone diletakkan ke atas meja kopi.

Auni yang keluar dari tadi masih tak nampak batang hidung.

Lama betul dia keluar dating.

Sekali lagi aku menjeling ke arah handphone yang tesadai di atas meja. Masih tak ada bunyi. Masih tak ada balasan.

Jam pada dinding aku pandang sekilas. Dah dekat setengah jam pun. Marah sangat ke dia?

Belum sempat aku capai remote TV di atas meja, handphone mula bergetar perlahan menandakan ada WhatsApp baru masuk.

Balas pun!

Melihatkan nama dia pada notification bar, dada mula kembali berdebar kencang. Perlahan lahan aku buka WhatsApp dari dia.

"Waalaikumussalam. Tengah terawih tadi. Bukan main banyak mesej minta maaf. Ye, saya maafkan. Esok awak belanja saya air mineral 2 ringgit."

Habis sahaja baca WhatsApp yang dihantar, pipi aku terasa kebas.

Aiseh! Macam mana boleh lupa waktu ni orang terawih?


"Sorry. Tak teringat...."

"Sayang tau tinggal terawih. Bukan selalu ada bulan Ramadhan yang mulia ini😊."


Aku gigit bibir. Malu pada dia, malu pada diri sendiri. Adoi! Kenapalah aku tak fikir dulu sebelum hantar? Sekarang, sia-sia je aku kantoi tak pergi terawih.

Betul kata Amir. Sayangnya bila aku tak hargai bulan Ramadhan ni. Sayangnya sebab aku tak jadikan bulan Ramadhan ni lebih bermakna dari bulan bulan biasa. Dahlah bulan Ramadhan datang setahun sekali aje.

Ruginya...


'So?'

Kening aku terangkat tinggi membaca WhatsApp baru dari dia.

'Apa?'

Cepat je aku menaip jawapan balas. Tiba tiba aku lupa apa topik bersembang tadi.

'Buka puasa'
'Esok'
'With me?'

Ohh. Aku tarik nafas perlahan. Nak ke tak? Lama aku merenung lima patah perkataan yang dihantar itu.

Buka puasa esok with me.

Setuju ajelah.

Lagipun selagi tak selesai air mineral dua ringgit tu, sampai sudah dia menghantui hidup aku.

'Ok'

Lambat-lambat aku taip walau hanya 'ok'.

'Ok 😉'
'Sahur esok nak saya kejut tak?'

Aku sengih nipis tanpa sedar.

'Tak payah. Nanti awak suka suka hati je azankan saya.'

'Susah sangat nak bangun sahur, memang patut la kena azankan😜'

Aku ketap gigi. Dia ni kan, perangai yang satu tu dah memang ada dalam DNA dia agaknya.

Menyakitkan jiwa sungguh!

  
HARI AHAD itu, belum pukul 5 lagi aku dah mula bersiap. Mandi, cuci rambut iron baju dan pakai mekap ala kadar.

Auni yang santai di depan Tv dah pandang pelik. Aku sengih sendiri. Bukan aku tak perasan yang pandangan Auni tu penuh tanda tanya.
Kita ada janji nak berbuka dekat luar ke hari ni?” Kening Auni terangkat tinggi. Rimas agaknya nampak aku ulang alik ke ruang tamu dan ke bilik untuk bersiap.

“Tak ada.” Aku simpan senyum.

“Dah tu kau nak pergi mana ni?” Auni dah berpusing, memandang aku yang sibuk menampal foundation pada pipi di depan cermin besar. “Tak ajak aku pun!”

Aku senyum dalam diam. Foundation dah siap dipakai. Nipis je. 

“Ijat tak ajak kau berbuka ke hari ni?” soal aku pula. Sengaja tak jawab soalan Auni tadi.

“Takkanlah hari-hari dia nak hadap muka aku. Agaknya dia berbuka dengan family dia la kut hari ni.”Auni menjawab malas. “Kau tu... nak pergi mana? Nak berbuka dengan siapa? Macam ni la kawan, tak ajak aku pun!”

Aku mengekek ketawa sambil meletakkan eyeliner pada mata.

“Kau cuba la ajak dia berbuka nanti. Aku berbuka dekat luar ni. Kesian pulak kau sorang-sorang dekat rumah.” Tangan masih cermat meletakkan eyeliner pada mata kanan. Tak nipis. Tak tebal. Sedang-sedang saja.

Selesai mengenakan eyeliner, aku senyum sendiri. Puas hati.

Itu ajelah yang aku reti pakai pun. Foundation, bedak dan eyeliner.

“Jie! Bencilah macam ni. Cakaplah, kau nak berbuka dengan siapa?” Kesabaran Auni makin menipis bila aku main tarik tali.

“Amir.” Senafas aku menjawab.

“Hah? Siapa?”

Aku tahu yang Auni dengar. Tapi sengaja je dia ulang soalan.

“Amir. Aku berbuka dengan Amir.” Lambat-lambat aku menuturkan. Sempat aku jeling dia dari cermin di depan dan seperti jangkaan aku, Auni terus tarik senyum.

Lebar.

“Najihah!!!” Auni dah menjerit riang. “Oh my Najihah! Aku tak sangka kau akan lembut hati jugak dengan Amir!”

“Ish, kau ni. Nak buat announcement ke apa? Aku keluar berbuka ajelah. Bukan nak pergi kahwin dengan dia pun.” Aku buat muka tak senang. “Berdaulat sangat ke dia tu sampaikan kalau aku keluar dengan dia, kau nak teruja sangat sampai macam ni sekali?”

Sengihan Auni masih tak padam. Perlahan-lahan dia bangun dari sofa dan mendekati aku di depan cermin. Kening diangkat berkali-kali sebelum pandang aku atas bawah.

“Tak pernah kau keluar dengan aku berhias sampai macam ni.”Auni mula mengusik.

“Apa pulak tak pernah? Selalu je!” cepat je aku membangkang. “Kau tu yang tak pernah nak perhati apa yang aku pakai.”

“Banyaklah kau!”

Ketawa kami bergabung.

Tapi betul juga kata Auni. Selama ke tempat kerja, aku selesa dengan hanya berseluar slack dan kemeja. Itu aje yang aku pakai hari-hari. Senang nak bergerak. Senang nak kejar tren.

Tak pernah pulak aku sarung baju kurung atau skirt macam ni.

Sekali sekala, tak salah kan?

Hm, agak-agak Amir perasan tak nanti?



>>>> Boleh dapatkan Limited Edition Hero Hati Najihah ini dengan pembelian online melaui FB Penerbitan Idea Kreatif atau di Expo Buku Malaysia 15hb Disember hingga 18hb Disember 2016. =) Terima kasih!<<<<<<

2 comments:

Anonymous said...

Assalam...illa, cane nak dapatkan novel ni? ada lagi x? huhuu..

Illa Shanahila said...

Waalaikumussalam.. alamak, stok dah habis��.