Tuesday 4 April 2017

Teman Lelaki Cik Bos [Bab1 ]



SERIUS. Aku dah tak tahu nak buat muka macam mana sekarang. Mak cik depan aku ni pulak dah pandang aku atas bawah dari tadi. Kecik besar aje mata dia renung dari tudung bawal yang aku pakai, turun ke kemeja putih dan slack hitam hinggalah ke kasut hitam tanpa tumit.

Dan pandangan mata dia kembali pada anak mata aku.

“Bayar,” ulang dia lagi.

“Ya, saya memang nak bayar. Tapi mak cik kena bagi saya pergi ATM terdekat dulu. Saya betul-betul tak ada cash ni.” Dan dah banyak kali aku ulang jawapan balas yang sama.

Masih lagi mak cik tu tak percaya.

Alahai, macam mana lah aku boleh terlupa yang aku langsung tak ada cash dalam purse? Dah habis licin aku makan baru perasan yang ada dua ringgit aje dalam tu.

Malu!

“Dah ramai sangat yang bagi alasan macam tu, cik. Tapi tengok-tengok, lesap.” Sinis. Sekali lagi mak cik tuan kedai makan tu jeling aku.

Serentak aku mengeluh kasar.

Inilah masalah orang. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Dan aku antara yang susu yang rosak tu.

“Yang pakai tudung, yang tak pakai tudung, yang tudung labuh, singkat, lelaki, perempuan, semua sama je perangai. Makan, lari tak bayar. Ingat aku buat kerja amal agaknya.” Mak cik yang aku agak dah lewat 40-an tu masih membebel sendiri.

“Mak cik, saya cakap betul ni, saya lupa saya tak ada cash. Ini, kad saya. Saya nak pergi ATM terdekat, dan cucuk duit. Lepas tu saya akan datang sini balik, bayar.” Satu persatu aku terangkan pada dia. bagi makcik tu faham yang aku bukanlah tergolong dalam ‘nila’ yang buat semua ‘susu’ rosak tadi.

Aku ada duitlah.

Aku nak bayar apa yang aku makan tu. Bukan nak lari!

“Tunjuk kad aje, buat apa. Kalau dalam tu tak ada duit pun, mana aku nak tahu?”

Haih la makcik.

Serius, aku dah hilang daya nak pujuk. Beberapa mata yang pandang aku dan makcik tadi di kaunter bayaran langsung aku tak endahkan. Dah tebal rasanya muka aku ni bila semua dengar perbualan aku dan mak cik tadi.

Silap betul aku pilih makan seorang diri dekat sini. Perut dah lapar sangat dan terpaksalah aku pilih kedai dekat kawasan aku berpisah dengan Tuan Qamarul.

Kalau Elis ada tadi, bolehlah aku pinjam duit dia.

“Macam ni lah mak cik, apa kata mak cik ikut saya pergi ATM. Tak pun, salah seorang pekerja mak cik.”

“Gila? Kenapa aku nak ikut kamu pulak? kalau kamu culik aku, macam mana?” suara mak cik tadi makin meninggi.

Ya Allah...

Mak cik oi, apa pekdahnya saya nak culik mak cik?

Aku dah hampir hilang akal. Kang aku sound jugak karang mak cik ni. Orang nak pergi ATM cucuk duit pun tak percaya, orang nak ajak dia bagi percaya pun, masih tak percaya.

Habis nak aku buat apa?

Basuh pinggan? Jadi waiter tak berbayar? Gadai Baby-G dekat tangan ni?

Haih!

Belum sempat aku buka suara nak membalas, seorang pelanggan meletakkan not RM50 dan kertas putih yang tertulis RM12.70 ke atas meja kaunter. Spontan aku tarik nafas perlahan.
Cuba tenangkan diri dan biarkan mak cik tadi bagi baki bayaran pelanggan tadi.

“Berapa ringgit?”

Lelaki. Suara pelanggan lelaki tadi menyapa telinga aku. Aku masih membekukan diri di depan kaunter sambil memandang meja. Sikit pun tak berani nak angkat kepala.

Malu.

“Dua belas ringgit, tujuh puluh sen, dik.” Laju aje mak cik tu jawab. Aku jeling kertas putih kecil tadi.

Dah sah-sah tertulis 12.70 takkanlah nak tanya lagi?

“Tak, bukan saya punya, orang ni punya.”

Orang ni punya.

Aku ke?

Aku toleh sebelah, pandang dia dengan rasa tak percaya. Dan pandangan mak cik di sebelah dalam kaunter pula tepat pada aku. Masih dengan pandangan sinis.

“Dua puluh satu ringgit.”

Laju aje pelanggan lelaki tadi pandang aku dan cepat-cepat aku tunduk. Mesti dia pelik kenapa aku makan tengah hari dekat kedai makan ni sampai dua puluh ringgit.

Aku saja je tadi nak rasa kambing bakar dia.

Dan jus alpukat, dah lama aku tak rasa...

Mana lah aku nak tahu yang aku tak ada cash dalam purse!

Dan orang tu pulak... anak mata sekali lagi dibawa ke tubuh badan orang sebelah.

“Kira sekali ajelah mak cik,” ujar dia senafas.

Sempat mak cik tu jeling aku sekilas sebelum memulangkan baki pada pelanggan lelaki tadi.
Alhamdulillah... Alhamdulillah! Terlepas aku dari mak cik ni. Tengoklah, lepas ni memang aku takkan jejak kaki dekat restoran ni lagi.

Never!

“Er, encik!” Aku melaung kuat bila pelanggan lelaki tadi terus menonong keluar dari restoran. “Encik jap! Saya nak nombor telefon, nak bayar balik.” Langkah aku dilajukan ikut rentak kaki dia.

Sampai je di tempat parkir motosikal, kaki dia terus terhenti.

Automatik kaki aku juga dipaku. Tegak. Sikit lagi nak terlangar badan dia bila tiba-tiba dia berhenti macam tu.

Sekarang aku dah berdepan dengan dia yang juga pandang aku dari atas ke bawah, sama macam mak cik tadi. Kening aku terangkat tinggi bila nampak pakaian dia. Jauh beza dengan pelanggan-pelanggan kedai makan tadi.

Dengan jeans lusuh gedabak, beg hitam kecil yang dililit di pinggang dan t-shirt putih lengan panjang, muka dia sekarang sikit pun aku tak dapat nak tafsir.

Sempat aku jeling topi bulat di tangan dia. Topi coklat cair yang selalu pakcik-pakcik pakai untuk berkebun.

“Kenapa?” soal dia sepatah.

“Tunggu sini kejap. Saya pergi ATM, nak bayar balik.” Kesian pulak bila dia terpaksa bayarkan aku RM 21 tu.

Takpe. Saya belanja.” Dia naik salah satu motosikal yang ada dekat situ. Topi tadi diletakan ke dalam raga motosikal. Helmet dipakai kemas dan dia toleh aku di sebelah. “Nak apa lagi?”

Eh, eh dia ni. Buat aku macam peminta sedekah pulak. “Saya boleh bayarlah, encik. Tunggu je sini kejap, saya nak cucuk duit dekat ATM.” Aku buat nada suara sama. Dingin.

“Tak payah. Dah cakap tadi, saya belanja. Lagipun saya tak ada masa nak tunggu awak cucuk duit tu. Saya sibuk.” Motosikal dihidupkan sebaik sahaja dia habiskan ayat.

Amboi. Kemain ‘sibuk’ lagi dia.

“Saya nak bayar jugak, saya tak nak berhutang dengan orang yang saya tak kenal.” Aku dah berdiri tegak depan motosikal dia. Tak bagi dia gerak kemana-mana.

“Tak nak berhutang dengan saya, senang je.” Dia pulas minyak beberapa kali tanpa memasukkan gear.

Aku diam, menanti ayat seterusnya.

“Ucap terima kasih.”

What?

“Orang tolong, kita cakap terima kasih. Benda simple macam tu takkanlah cik yang bekerjaya ni tak reti nak buat?”

Aku ternganga. Dia perli aku ke? Dia perli aku?

“Jadi?” Dia pandang aku lama. “Cepat sikit, boleh tak? Saya sibuk.”

Aku gigit bibir perlahan. Nafas dihela kuat sebelum aku lepaskan pegangan pada motosikal dia.

Aku balas pandangan dia sebelum membuka mulut. “Terima kasih.”

Elok aje keluar ayat tu, bibir dia menarik senyum. Nipis. Cukup menunjukkan lesung pipit pada pipi kanan.

“Sama-sama.” Gear satu ditekan dengan kaki. “Assalamualaikum.” Dan motosikal dia laju aje memecut keluar dari situ.

Lama aku pandang motosikal yang makin menjauhi itu sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon dari Elis. Nafas dilepas perlahan dan talian disambung.

“Bos? Tadi makan dekat mana? Bukan ke Cik Bos cakap lupa nak cucuk duit pagi tadi? Dah makan ke belum ni? Nak I bungkuskan tak?”

Bertalu-talu soalan dari Elis. Aku hanya mampu mengeluh panjang. Kelibat motosikal tadi dah hilang dari pandangan.

Hai Elis, kau lambat lah...




KEESOKAN harinya, aku masuk pejabat macam biasa. Sempat aku jeling soft board yang bertampal pelbagai jenis dan warna sticky notes itu sebelum mengeluh panjang.

Fresh ideas!

Tulisan kemas dari Sharpie merah menarik perhatian aku. Besar dan garang. Elis yang tulis dua patah perkataan tu bila aku selalu aje ingatkan semua orang tentang idea baru yang tak pernah dibuat orang.

Elok saja aku letak beg komputer riba ke atas meja, pintu bilik diketuk perlahan. cepat aje aku jerit ‘masuk’ sebelum Fakis melangkah ke dalam dengan membawa beberapa keping kertas.

Design untuk front cover yang aku mintak agaknya.

‘First thing in the morning,’ kata aku semalam. Dan sekarang, memang betul-betul pagi dia bagi.

Perli ke apa?

“Buat lagi!”

Again?” soal dia kuat. Terserlah nada protes dekat situ. Terkejut agaknya.

Laju aje aku angguk. Terkulat-kulat dia pandang aku bila nampak aku tolak kedua-dua design untuk iklan yang dia serahkan tadi.

Kalau macam inilah design yang dia nak tunjuk pada customer, memang taklah aku nak terima.

Aku sendiri tengok pun tak rasa tertarik, inikan pulak, customer yang bakal tengok nanti. Dia bukannya tak tahu yang design menarik pun adalah salah satu cara marketing.

“Ini dah kali ke-empat, bos.” Perlahan. Tapi cukup membuatkan mata aku bulat pandang dia. Ni sejak bila di Fakis ni pandai melawan? Ini mesti Si Najmi yang jadi tukang ajar...

Tak boleh jadi, aku kena pisahkan tempat duduk dia orang bagi sorang dekat utara, sorang  dekat selatan.

Tapi, tak melampau sangat ke? Tak macam cikgu kelas layan budak-budak darjah tiga ke?

“I don’t care. Kali ke-empat ke, kali ke-lima ke, selagi I tak puas hati, selagi tu you kena buat semula.” Senafas aku menuturkan.  Kuat. Bukan setakat Fakis, aku rasa semua orang dalam ofis kecil ni pun boleh dengar.

“Cik Bos?”

Ketukan dari pintu membuatkan kepala aku dan Fakis sama-sama berpaling. Terjengul wajah Elis yang tersenyum nipis sambil membawa beberapa fail yang aku minta tadi.

“Masuk Elis,” tegur aku perlahan. “And you, Fakis. I nak you ubah design ni ikut trend terkini. I tak nak idea lama lagi. Bosan. Faham?” Aku pandang tepat pada anak mata Fakis.

Terangguk-angguk dia sambil bingkas dari kerusi. “Okay bos.”

Elis sempat senyum segaris pada Fakis sebelum Fakis keluar dari bilik. Aku tarik nafas panjang sebelum bersandar pada kerusi.

“Cik Bos, lunch meeting nanti jangan lupa.” Elis senyum panjang sebelum duduk di atas kerusi yang ditinggalkan Fakis tadi tanpa disuruh. Aku pandang Elis yang berkaca mata bingkai tebal dan berbaju pastel itu sebelum mengeluh perlahan.

“I know, Elis. I tak nyanyuk lagi.”

“Kut la Cik Bos lupa. Tugas I kan kena selalu ingatkan Cik Bos.” Dia tayang sengih tak bersalah. “Hah, semalam pun bos lupa yang bos tak ada duit dalam purse, kan?”

Dengar aje soalan Elis, kepala terus teringatkan lelaki yang bayarkan makanan tengah hari aku semalam.

Dan, tak lupa jugak pandangan mata mak cik tuan punya kedai tu.

Memalukan betul!

“B0s,” panggilan Elis mematikan lamunan aku. Fail yang dibawa tadi diletakkan ke atas meja. “Ada satu surat apply cuti.” Dia tarik keluar sekeping kertas dan terus meletakkannya ke depan aku.

Nama pemohon dipandang sekilas.

“Nadia?” Kening aku terangkat seinci. “Bukan ke baru hari tu I bagi dia cuti?”

“Itu cuti emergency Cik Bos. ini cuti sebab dia nak check up.” Elis sengih lagi.

Spontan aku mengeluh. Kalau macam inilah gayanya, memang takkan siaplah project yang ada sekarang.

Tak bagi cuti karang, kata pulak aku kejam.

“Dah berapa banyak cuti dia bulan ni...” Suara yang terkeluar lebih pada rasa tak puas hati. Laju aje aku jeling ke luar bilik yang terpampang jelas di sebalik cermin kaca.

Nadia yang baru saja mengandung tiga bulan aku pandang lama. Dekat pejabat ni tak pernah nampak dia muntah-muntah atau loya. Tapi kenapa kerap sangat dia nak cuti?

“Alah, biasalah Cik Bos. Orang pregnant...”

“Orang lain pun pregnant jugak, tapi tak adalah sampai tiap-tiap minggu nak MC.” Sengaja aku kuatkan suara. Bagi tuan empunya badan dengar.

Kepala Najmi, Cheng Yee, Nadia dan Fakis sama-sama terangkat bila dengar suara aku dari dalam bilik. Tapi tak lama, nampak aje pandangan aku terarah ke arah mereka, cepat-cepat kerja yang ditinggalkan tadi disambung.

“Lunch meeting nanti dekat mana?” Aku tukar topik. Sekali lagi aku pandang wajah Elis di depan.

Aik bos, tadi cakap ingat?”

You nak I zip mulut you tu ke, Elis? I tanya betul-betul...”

Elis senyum nipis sebelum menjawab, “Tropicana City, Cik Bos. I nak kena ikut tak?” Elis seorang saja dalam ofis ni yang langsung tak muncung kalau aku marah. Senyum aje.

Dah kadang-kadang, senyuman dia tu lah buat aku lagi berasap.

“Pernah ke you tak ikut I meeting?” Soalan Elis dijawab dengan soalan. Laju aje dia menggeleng, menjawab soalan aku. “Ha, so?”

“Okay bos!” Tangan diangkat separas dahi, membuat tabik hormat sebelum dia bangun dari kerusi. “I keluar dulu bos.”

“Hmm.”

Sebaik saja Elis keluar dari bilik, mata aku kembali fokus pada kertas kerja untuk meeting nanti. Bulan lepas saja, carta jualan jatuh merudum bila ada majalah percutian yang baru ditubuhkan lebih hipster dan lagi ‘remaja’ dari majalah yang ada sekarang.

Bila Pengarah Urusan dah mula bising, barulah semua nak perah kepala, cari idea lebih fresh untuk naikkan balik carta. Waktu inilah semua orang kalut nak cari bahan yang yang tak pernah ada lagi dalam mana-mana majalah percutian.

Kalau carta jatuh lagi, cetakan Majalah Oh My Travel akan dihentikan serta merta.

Memang tak boleh jadi!

“Cik Bos?” Ketukan dan diiringi dengan suara halus mematikan lamunan dia.

“Apa lagi, Elis?” Aku buat muka. Susah betul ada setiausaha yang tak makan saman ni.

Meeting.” Elis tayang gigi.

Cepat aje aku pandang jam di tangan. Dah hampir pukul satu! Cepat sungguh masa berlalu. Beg tangan dicapai tadi meja tepi dan fail yang aku tengok tadi ditutup rapat sebelum bangun dari kerusi.

“Kereta you. I malas nak drive.” Arah aku perlahan sebaik saja melepas Elis di muka pintu.
Dan seperti biasa, Elis hanya menurut tanpa membantah. “Baik Cik Bos.”


SELESAI MEETING, AKU terus saja berkurung dalam bilik. Cuba fikirkan cara yang terbaik untuk membuatkan Oh My Travel jadi lebih fresh di mata pembeli. Sekarang ni zaman internet di hujung jari. Dah tak ramai suka beli majalah untuk baca-baca atau tambah ilmu tentang sesuatu perkara ramai yang lebih suka Google saja.

Sebab itulah banyak kali jugak aku paksa Cheng Yee dan Nadia berikan senarai tempat-tempat yang belum diterokai atau masih ‘dara’ dari pengunjung. Sebab itulah aku desak juga Najmi dan Fakis untuk kemukanan halaman yang trendy untuk tarik minat traveller atau backpackers.

Semuanya sebab nak naikkan kembali Oh My Travel masuk dalam carta hati pembeli.

“Elis, cik bos tu memang sejak lahir macam tu eh?”

Niat untuk masuk ke pantry terbantut bila telinga menangkap suara Najmi dari dalam. Bila dengar aje ‘cik bos’ dari mulut Najmi, terus saja aku tegak di situ. Memasang telinga.

Bukan selalu aku dengar komen-komen pekerja tentang aku.

“Macam apa?” Suara Elis kedengaran membalas. Aku pulak yang berdebar-debar tunggu jawapan dari Elis.

“Macam robot. Nak senyum pun tak reti.”

Kening aku terus terangkat tinggi. Ye ke?

“Ei, tak baik tau Encik Najmi ni. Cik Bos tu tahu senyumlah.”

Good job, Elis. Kan? Mana ada aku macam robot!

“Bila? I tak pernah nampak pun. Selalu muka dia mencuka macam nak makan orang je.” Boleh agak Najmi sengih.

“Bila meeting dekat luar.” Elis menjawab.

“Lah, I ingat urat senyum dia dah putus!”

Nafas turun naik tahan marah. Sedaya upaya aku buat muka selamba sebelum melangkah masuk ke dalam pantry. Tekak yang haus harus diubati dengan air.

Hati yang panas pulak?

Elok aje sebelah kaki melangkah ke dalam, Najmi dan Elis terus terdiam. Hanya senyuman saja yang menghiasi bibir masing-masing. Aku buat muka selamba gaya tak ada apa-apa pun yang aku dengar.

“Hai bos,” tegur Najmi perlahan. Tersengih-sengih dia pandang aku yang mendekati peti ais kecil di suatu sudut. Aku sekadar mengangguk. Dah ‘selamat’ kutuk aku, nak ‘hai-hai’ pulak.

Heh.

“Cik Bos nak I buatkan air tak?” Elis pula menyampuk.

Laju aje aku menggeleng. Baru saja kena kutuk putus urat senyum, takkanlah aku rela nak kena kutuk ‘bos buli pekerja’ pulak, kan?

Tak lama pun Najmi di situ. Sebaik saja aku capai botol air mineral, dia terus keluar dari pantry.

“Bos, tadi I dapat call dari potential sponsor.” Elis bersandar pada meja makan.

“Bila? Siapa?” Tangan lincah membuka botol air mineral.

“Waktu bos solat tadi. Homestay dekat area Sekinchan.” Elis hirup kopi dia perlahan. “Dia nak kita bermalam dekat sana dan cover pasal homestay tu.”

Aku angguk perlahan. “You research dulu pasal homestay tu, kalau menarik, unik dan berpatutan untuk kita cover, you proceed.”

“Okay bos!”

“Okay. Apa-apa hal, you update pada I.”

“Okay bos!” Elis angkat sebelah tangan ke dahi tanda ‘tabik hormat’ macam biasa dan sebelah lagi masih memegang cawan kopi.

“Hmm.” Sempat aku capai botol air mineral tadi sebelum berkira-kira untuk keluar dari pantry.

“Cik Bos,” panggil Elis perlahan.

Aku sekadar angkat kening tanda ‘apa?’

“Cik Bos dengar ke apa yang Encik Najmi cakap tadi?” Teragak-agak dia menyoal. Bila nampak aku angguk, air muka dia terus berubah. “Er, sorry bos. I rasa Encik Najmi saja gurau tu. Tak ada niat pun.” Elis tampal senyum nipis.

“Kalau betul pun Elis, I don’t care.” Dan aku terus berlalu dari situ.

Betul, aku tak kisah.


Cakap ajelah apa-apa yang dia orang nak cakap yang penting aku buat kerja aku. Kerja aku untuk buat Oh My Travel kembali dapat perhatian pembaca. Kalau kena hentikan cetakan nanti, dia orang jugak yang susah.


....bersambung =) 
http://illashanahila.blogspot.my/2017/04/teman-lelaki-cik-bos-bab-2.html

No comments: