Monday 23 October 2017

Jika Ini Cinta [Prolog]

Prolog


NAJWA masih cuba tenangkan diri walaupun sudah hampir sejam dia terduduk di hadapan kedai. Imej yang dilihatnya beberapa jam tadi masih jelas pada matanya. Air mata yang mengalir dari tadi sudah tidak mampu dia hentikan.

Nafas dihela perlahan. Entah kenapa hatinya terasa kacau bilau walaupun sedaya upaya hati cuba menidakkan apa yang dia nampak tadi.

“Najwa!”

Najwa angkat kepala bila dengar namanya dipanggil. Air mata dilap dengan belakang tangan. Dalam gelap malam, dia nampak jelas wajah sahabatnya yang menjenguk dari cermin kereta yang berhenti betul-betul di hadapan kedai milik dia.

“Kenapa kau suruh aku datang malam-malam ni? Kereta rosak?” Sekali lagi Nasrin bersuara. Pelik pula dia bila Najwa mendiamkan diri dan bergelap sendirian di hadapan kedai yang sudah ditutup kemas.

Dengar sahaja nada suara risau dari Nasrin, Najwa gigit bibir. Wajah si sahabat dipandang lama tanpa suara. Belum sempat dia tahan, air mata sekali lagi mengalir laju dan kali ini dia biarkan saja tanpa diseka.

“Kau kenapa?” 

Soalan Nasrin membuatkan tangisan Najwa makin menjadi-jadi.

“Ana Najwa ...” Suara Nasrin berubah lembut. Cuba memujuk si gadis walaupun dia langsung tak tahu apa yang menyebabkan Najwa boleh menangis macam tu sekali.

Teragak-agak dia mendekati Najwa yang masih teresak sendiri. Bahu si gadis yang terhenjut-henjut menahan esakan dipandang pelik. Tak pernah pulak dia nampak Najwa menangis macam tu sekali.

Najwa masih tenggelam dengan tangisnya. Dia sendiri tak tahu mana nak mula. Tak tahu apa yang patut dia cerita.

“Apa-apa pun, masuk dalam kereta dulu. Dah malam sangat ni.”

Najwa angkat kepala, memandang Nasrin yang berdiri tegak di hadapan. Pandangannya berbalam dek air mata yang tidak diseka.

“Jom. Aku hantar kau balik. If you are too tired to speak, just sit in the car. Nak menangis pun, menangislah. Sebab aku faham apa saja bahasa yang kau pakai.” Nasrin tampal senyum.
Najwa tarik nafas dalam. Lambat-lambat dia bangun dari duduk dan terus mengekori Nasrin ke dalam kereta.

“Kau tak nak tahu kenapa aku menangis?” Suaranya serak dek tangisan yang masih bersisa.

Langkah Nasrin terhenti sesaat sebelum dia mencipta sengih nipis. Raut wajah Najwa yang penuh dengan air mata dipandang lama.

“Menangislah Najwa sebanyak mana yang kau nak. Dan ceritalah apa pun yang kau nak cerita. Aku takkan suruh kau berhenti dan aku takkan paksa kau beritahu aku apa yang kau tak nak aku tahu. Apa yang penting sekarang, aku akan hantar kau balik rumah.” Nasrin terus masuk ke dalam kereta.


Najwa tarik nafas panjang. Betul tindakan dia telefon Nasrin tadi. Nasrin saja yang tahu macam mana nak tenangkan hati dia sekarang ni.

***

No comments: