AKU CUBA UNTUK membuka
mata, tapi tak berjaya. Silau cahaya aku tutup dengan gebar yang menyelimuti
tubuh. Sejuk!
Mata
aku kembali layu bila keadaan kembali selesa.
“Bangunlah!”
Suara asing yang sayup-sayup kedengaran membuatkan badan
aku terkaku seketika. Mata masih berat untuk dibuka. Aku menggeliat perlahan
sebelum kembali ke alam lena. Suara yang menyapa telinga tadi aku biarkan tanpa
jawapan.
“Ala bos, bagilah saya tidur kejap lagi…”
Rasa sakit belakang dan kepala membuatkan mata aku
terbuka luas. Gebar yang menutup sampai ke kepala aku tolak ke tepi. Bunyi
suara kedua membuatkan nafas aku terhenti sesaat, memerhati. Permandangan di
dalam bilik yang bersepah dan samar-samar mula menyapa mata.
“Bangun! Kau nak aku cakap dengan tangan?”
Aku masih diam memerhati setiap isi perut bilik kecil
itu. Berfikir dari tadi, tak sempat hadam pun apa yang jadi. Dahi aku mula
berkerut dalam konsentrasi. Mencari dan mengumpul jawapan apa yang sedang
berlaku.
“Cepatlah Mail. Kau lambat, tak ada makanan.”
Suara asing itu datang lagi. Perlahan-lahan aku
melurutkan comforter yang menutupi
separuh badan.
Bilik kecil…
Comforter…
Mail…
Aku terbangun
dari baringan bila tersedar sesuatu.
“Ala bos ni. Pagi masih muda la…” suara merengek Mail di
luar kedengaran jelas di telinga.
Betullah aku kena culik…
“Aku kira sampai tiga. Kalau kau tak bangun, jangan harap
aku nak bagi kau makan sampai bila-bila.” suara bos Mail naik satu nada.
Aku
melepas nafas perlahan. hari ini, kalau nak diikutkan rancangan Mail dan bos
dia mereka akan cari anak Dato’ Hafiz yang sebenar. Bila dah dapat anak Dato’
tu, aku sendiri tak tahu apa yang mereka nak buat lepas tu.
Nasib
aku sendiri pun, aku belum pasti lagi.
Sampai
bila aku dikurung di sini?
Cuti
aku… rancangan untuk kahwin aku…
Semua
berkecai.
“Dah
bangun?” pintu dikuak dari luar tiba-tiba. “Cepat siap, kau pun kena ikut.”
Mail bersuara selepas menguap beberapa kali.
Nak
bersiap apanya. Ini je yang aku ada pun. Bukannya boleh pakai bedak. Bukannya
boleh calit lipstik.
“Oh
lupa…” Mail membawa tangan ke mulut. Menguap lagi. “Kau sehelai sepinggan je...”
“Nak
pergi mana?” aku memberanikan diri, bertanya. Rasanya malam tadi, bos dia tak
adalah garang sangat. Bolehlah bertimbang rasa siap belikan aku baju baru lagi
untuk tukar persalinan. Takkan Mail pulak nak over jadi bengis, kan?
“Tak
payah nak sibuk, kau ikut je.”
Ceh.
Berlagak. Aku report jugak dekat bos
dia karang. “Berus gigi lebih ada?”
soal aku lagi.
Terus
bulat mata mata dia memandang aku. “Kau ni nak lebih-lebih apahal?!” suara Mail
meninggi. Aku menelan air liur yang tiba-tiba terasa payau. Mail ni nampak ke
kecil, muda. Tapi baran dia kemain.
Ini lah kot yang dinamakan darah muda.
“Apahal
ni?”
Mail
terus terdiam. Bos Mail yang sudah lengkap berjaket coklat tua dan rayban muncul di hadapan pintu. Spontan
aku meraup muka, kalau-kalau ada tahi mata ataupun air liur basi yang
tertinggal.
Kejap.
Kenapa
aku nak kisahkah tahi mata pulak?
“Dia
ni bos, banyak songeh pulak. Kita tinggalkan je dia dekat hutan.” Mail mula
mengomel. Berkerut-kerut dahinya menahan marah.
Bos
Mail mengalihkan pandangannya kepada aku yang masih serabai dengan rambut yang
mengerbang. Waktu ni lah aku rasa menyesal simpan rambut panjang. Dahlah malam
tadi tak ada syampu…
Boleh
kalah Kak Limah ni…
“Pergi
panaskan enjin kereta.” kunci kereta dilemparkan ke arah Mail dan laju aje Mail
menyambutnya.
Dengan
omelan yang masih berbaki, Mail membawa juga kaki keluar dari rumah. Spontan
aku menarik nafas lega. Wajah bos Mail yang masih tercegat di hadapan pintu aku
pandang lama.
Kenapa
lelaki seelok ini pilih kerjaya sebagai penculik?
Sungguh,
sikitpun tak ada muka bengis macam singa.
Sikitpun
tak ada DNA pecah rumah.
Kenapa?
“Cepat
siap. Kita keluar.” pendek dia bersuara. “Aku tak beli berus gigi lebih. Maaf.”
Sambungnya lagi sebelum berlalu ke ruang tamu.
Aku
melepas nafas perlahan. spontan. Tangan cepat sahaja melipat comforter dan diletakkan di sudut bilik.
Aku tahu yang aku akan kembali ke bilik kecil ni. melainkan Mail dan bos dia tu
buang aku tepi jalan.
Tak
bernyawa!
Dengan
berat hati, aku keluar juga dari bilik. Kaki aku terhenti tiba-tiba di hadapan
cermin kecil yang disangkut pada dinding sebelah dapur.
Mata
aku sembab.
Rambut
aku kusut masai.
Dan
yang paling teruk, aku tak gosok gigi!
Mak…angah
nak balik…
“Cepat
sikit!”
Laungan
dari ruang tamu membuatkan aku terkocoh-kocoh keluar. Aku tahu mood bos Mail boleh bertukar bila-bila
masa sahaja. Aku tahu sebaik mana pun bos Mail malam tadi, dia tetap penculik.
Dia tetap penjahat. Kalau dah namanya penjahat, memang jahatlah jawabnya.
KAIN YANG MENUTUP mata
aku ditarik kasar dari belakang. Pandangan aku mula berpinar beberapa saat
sebelum permandangan yang amat aku kenal terlakar di depan mata.
Kawasan pejabat aku.
Hanya
beberapa meter dari tempat aku parking
kereta. Ya, kereta aku masih tersadai di bawah pokok. Tempat yang sama aku parking semalam.
Aku
tahu Abang Bidin dan Kak Melati hatta yang lain-lain dekat ofis itu pun tak
akan perasan kereta aku dekat situ. Terlindung.
Dan,
selama ni tak pernah pun aku letakkan Viva kesayangan aku tu dekat bawah pokok
tu.
Dan
yang paling teruk, mereka semua ingatkan aku dah mula cuti…
Automatik
aku mengeluh.
Tak
perlu untuk menoleh, aku tahu siapa yang tarik kain yang menutup mata aku tadi.
Aku
hanya sempat menjeling ke arah Mail yang beberapa kali mengetatkan ikatan pada
tangan dan mulut aku. Takut sangat aku terlepas.
Tahu pun takut.
Kalau
nak diikutkan, nak aje aku menjerit sekuat hati kasi Encik Danny dengar.
Kasi
Kak Melati nampak.
Biar
Abang Bidin tahu yang aku ada dekat kawasan parkir ofis, diculik dan diikat!
Tapi
semua tu hanya tinggal angan-angan. Mulut aku yang diikat kemas sikit pun tidak
membenarkan suara aku ni keluar.
Diorang
cari apa sebenarnya dekat sini?
“Dekat mana kau culik dia ni?” bos Mail tiba-tiba
bersuara dari tempat pemandu.
“Depan bangunan ni la bos. Kan betul ni tempat yang bos
cakap tu.”
“Memanglah ini tempat dia. Tapi anak perempuan Dato’ tu, bukannya
dia.”
Kening aku terangkat beberapa kali, menahan marah. Ini
agaknya yang dikatakan terlajak perahu boleh diundur. Terlajak culik, buruk
padahnya!
“Tapi bos…gambar tu, memang dia ni.” jari telunjuk Mail
tepat pada batang hidung aku. sekali lagi aku menjeling ke arahnya. Geram.
Itu satu hal lagi.
Entah macam mana pulak gambar aku boleh ada pada Mail
sebenarnya?
Aku mendengar bos Mail melepas nafas perlahan sebelum
membuka radio. Dia membuka topi yang dipakainya dan membetulkan rambut beberapa
kali sebelum kembali meletakkan topi tadi di atas kepala.
“Kau pasti ke yang kau tak jumpa sesiapa waktu culik dia
semalam?”
Aku turut sama membuang pandang ke arah Mail di sebelah,
menanti jawapan. Mail menggaru kepalanya beberapa kali sebelum menggeleng.
Aku dan bos Mail sama-sama mengeluh. Sungguh tak faham
kenapa aku boleh terjebak dalam cerita penculikan Mail dan bos dia ni…
“Takkanlah…”
“Apa?” dua pasang mata cepat sahaja memaku pandang ke
arahnya. Mail masih lagi menggaru kepalanya yang aku sangat-sangat yakin, tak
gatal.
“Waktu saya balik dari beli air, adalah saya terlanggar
orang…”
“Orang?”
Dahi aku berkerut seribu. Mungkinkan ‘orang’ yang Mail
langgar tulah pemilik sebenar gambar aku? Tapi siapa?
“Siapa?” soalan yang sama terpacul dari mulut bos Mail.
Aku masih lagi diam, memasang telinga. Nak menyampuk, mulut aku dah pun diikat
kemas sewaktu ditarik masuk ke dalam kereta tadi.
Mail mengangkat bahu. Tanda tak tahu.
“Habis, kau tertukar gambar dengan orang tu?”
Sekali lagi Mail mengangkat bahu. “Saya tak pasti bos.
Mungkin kot…”
“Bodoh. Kerja senang pun tak boleh buat!” suara bos Mail
meninggi. Aku menelan air liur mendengar nada suaranya yang berubah tiba-tiba.
“Sekarang ni, kau tunggu dekat luar. Nampak perempuan tu, bagitahu aku.”
Mail terus keluar tanpa menjawab walau sepatah. Aku
menghela nafas berat tanpa sedar. Dengan tangan yang diikat kemas, aku
bersandar pada kerusi di tempat duduk belakang. Telinga menangkap alunan musik
radio yang dipasang perlahan. Mail di luar kereta mula bersandar dengan
kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
“Nah,”
Roti gardenia yang berharga RM 0.80 itu dilemparkan ke atas
riba aku.
“Makan.” sambungnya lagi.
Aku mengeluh lagi. Cakap dekat Mail bodoh. Dia pun sama.
Dah kedua-dua tangan aku diikat mulut pun ditutup, cuba bagitahu aku macam mana
lagi cara untuk aku makan?
Bos Mail tiba-tiba berpaling ke belakang, menangkap
kedua-dua anak mata aku. dia memandang pula ke arah kedua-dua tangan aku yang
terikat. Takkanlah dia dengar yang aku cakap dia bodoh?
“Kalau
aku buka mulut kau, jangan jerit.”
Aku mengangguk. Berjanji.
Dia mula membuka ikatan pada mulut aku dari tempat duduk
hadapan. Lega! Barulah aku dapat rasa nikmat ada mulut dan suara!
Dan sekarang, yang tinggal hanya tangan aku. Macam mana
aku nak makan dengan tangan yang terikat ni? Nak koyak plastik pun tak boleh.
Tapi
kan, kalau aku keluar dari kereta ni, dia orang takkan sempat kejar aku sampai
pejabat, kan?
Bos Mail mencapai bungkusan roti di atas paha aku dan
terus membuka plastik pembungkus. Aku hanya memandang tindakannya dengan dahi
yang berkerut.
Bukan ke tadi, dia nak bagi aku makan?
Buruk sikulah nak ambil balik…
“Nah.” Roti tadi dihulurkan tepat pada mulut aku. Serta
merta mata aku membulat. Tak percaya.
Biar betul dia nak suap aku?
“Buka mulut tu…”
“Saya boleh makan sendiri lah!” gila kekok! Selama ini
pun, mana pernah aku makan bersuap.
Dengan lelaki pulak tu.
Dan yang paling teruk, dia nak suruh aku nganga? Aku
gosok gigi pun tidak!
“Aku tak boleh
buka ikatan kau sekarang.” Dia melepas nafas perlahan sambil meletakkan kembali
roti ke atas riba aku. “Aku masih tak percayakan kau.” Sambungnya lagi.
Roti Gardenia berperisa jagung itu aku pandang lama. Dah
hampir pukul sembilan pun. Perut aku dari tadi berbunyi. Lapar.
Tak pernah aku ponteng sarapan pagi.
Aku rindukan nasi lemak Kak Yam.
Aku mengidam mi goreng bekal Kak Melati.
Aku teringin nak minum nescafe pekat buatan Fara.
Dan yang paling menyedihkan, roti ini pun aku tak mampu
nak makan…
“Kau nak tak? Aku boleh tolong suapkan.”
Aku diam, berfikir. Aku aku tak makan sekarang, entah
bila lagi dia orang akan belikan aku makanan.
Dan yang paling teruk, dia orang mungkin akan tinggalkan
aku di mana-mana lepas anak Dato’ yang sebenar diculik!
“Nak ke tidak? Kalau tak nak aku suap, aku suruh Mail yang
suapkan…”
“…tak nak Mail…” cepat-cepat aku menyampuk. Gila. Kerja gila Naurah! Kau nak suruh penculik ni
suap kau?
Bos Mail kembali mencapai roti yang diletakkannya tadi. Belum
sempat dia menyua ke mulut aku, kelibat seorang lelaki yang mengenakan baju T
berkolar dan seluar jeans gelap yang melepasi kereta membuatkan mulut aku
ternganga luas. Abang Bidin!
“Abang!!!” aku mendengar suara sendiri menjerit lantang.
Kedua-dua tangan yang diikat dari depan mula mengetuk cermin tingkap, kuat.
Sebelum
sempat aku melihat reaksi Abang Bidin, tangan kasar mula menarik badan aku ke
belakang dan menutup mulut rapat sehinggakan aku tersandar ke belakang. Mata
kami bertentangan. Wajahnya merah menyala menahan marah. Aku hanya mampu
memandang langkah Abang Bidin yang semakin menjauh dengan air mata bertakung.
“Aku dah cakap jangan jerit.” dia bersuara keras. Tangan
kanannya masih menutup mulut aku kemas.
Air mata aku mula mengalir sendiri. Aku tahu aku dah
keruhkan keadaan. Aku tahu bos Mail tak akan percayakan aku lagi.
Bodohlah kau Naurah. Kenapa tak makan aje roti tadi diam
diam?
“Kau nak mati?” suara bos Mail masih lagi keras seperti
tadi. Laju aku menggeleng. “Aku suruh kau diam, jadi diam. Faham?”
Kali ni aku mengangguk laju. Bos Mail akhirnya melepaskan
tangannya dari mulut aku sambil menghela nafas perlahan.
“Too bad,
Naurah.” dia bersuara perlahan.
Aku
menggigit bibir sendiri. Rasa terkejut tadi masih bersisa.
“Kau dah hilangkan kepercayaan aku…”
***
17 comments:
Ish naurah nie.. geram pulak rasa..huhu
adakah ini kisah naurah dgn penculik???
Kasihan Naurah ... pi bercuti dalam hutan pulak... siapakah org yang tertukar gambar dgn mail tu??... peminat mestri Naurah ke??... jengjengjeng...
alaaaaa....
sian naurah....
salah langkah
kesiannye naurahh.
dia tak salah ponn.
nak lagiiii.
Kesian naurah teruja tgk abg bidin smp xsdar tjerit namanya! Kesian naurah! Sob3
Illa.. nak bab 10 pelessss...
next episod plssssssssss
Alamk, xde n3 br lg ke
Illa.. nk ep 10 plssss... lame dah dok tunggu ni. :)
Alaaaa... illa..bila nk bab 10 ni...debor2 dh niiii...
Sorryyyy. Mood cuti x habis lagi... tq sbb tunggu.. sabo ehh :):):);)
Bab seterusnya misi mencari pengantin plezzz
cik ila...bile nk apdte nih...x sabau dh ni, sile le jgn mndera...huhu
Kak illa bila nak sambung ni...terseksa jiwa dan raga kami menunggu .hehehe jgn lame lame plizz
sedang diusahakan =) =) =)
plssssssssssss
Post a Comment