Thursday 10 April 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 7]


KAIN HITAM YANG menutup kepala aku ditarik kasar sebelum aku dapat melihat raut wajah seorang lelaki yang aku agak awal 30-an memandang aku dengan riak terkejut.
            Seriously, siapa yang patut terkejut sebenarnya ni?
“Mail!” keras suaranya memanggil budak yang menculik aku ke sini. lelaki yang dipanggil Mail tadi terus melangkah beberapa tapak, mendekatinya. “Siapa yang kau bawak ni?” lelaki yang tinggi lampai itu bersuara keras.
Aku masih lagi diam, menelan air liur beberapa kali dek ketakutan yang amat. Kedua-dua belah tangan yang diikat kuat menyebabkan tangan terasa pedih. Habislah aku…Habislah…
Apa la nasib aku nanti….
“Perempuan yang bos suruh saya culik tu la.” Mail menjawab dengan dahi berkerut.
“Aku suruh kau culik anak perempuan Dato’ Hafiz tu! Bukan dia ni!”
Kening Mail terangkat tinggi sebelum memandang aku dan lelaki tinggi lampai tadi bersilih ganti. Dada aku berdebar laju tanpa sedar.
Takut.
Ya.
Sangat takut.
Kalau dalam filem, bila dah tersalah culik orang, penculik tu bunuh aje mangsa tu.
Dan, dalam keadaan ni, mangsa tu adalah aku.
Aku!
Mak…!
“Bos suruh culik perempuan rambut panjang, kasut tinggi dan pakai beg tangan mahal. Dia ni la. Beg dia pun saya ada bawak sekali ni.” Mail terus meluru ke arah penjuru bilik kecil itu dan mengangkat tinggi beg tangan jenama Bonia tiruan aku.
Lelaki tinggi lampai tadi terus merampas beg yang  dihulurkan sebelum mengeluarkan purse aku.
Sikit pun aku tak mampu untuk bersuara. Takut!
“Naurah binti Nasir.” Dia membaca perlahan perkataan yang tertera pada kad pengenalan aku. “Kau ada dengar aku sebut Hafiz tak?”
Mail menggeleng laju.
“Kau dah salah culik orang ni Mail! Perempuan ni bukannya anak Dato’ Hafiz!”
“Er…bukan…ke..b..bos?” Tergagap-gagap Mail menjawab sambil memandang aku. “Habis kau siapa?”
“Saya Naurah la. Kan dah baca nama tadi!” aku menjerit geram. dah culik aku, lepastu boleh tanya pulak aku siapa. Gila…
Ini semua gila!
“Kenapa kau tak cakap kau bukan anak dato?”
Aku memandang Mail tajam. Boleh dia tanya aku soalan tu?  “Awak terus tarik saya masuk dalam kereta, tutup mulut, tutup muka, awak ingat saya sempat nak bagitahu?”
Habis aje ayat aku, lelaki tinggi lampai tadi terus menepuk kepala Mail kuat. Spontan Mail mengaduh kesakitan.
“Habis tu kita nak buat apa bos?”
“Kau tanya aku? Yang kau salah heret orang ni kenapa?” sekali lagi kepala Mail diluku kuat.
“Maaf bos, maaf.” Laju Mail menggosok kepala. “Kita lepaskan ajelah dia ni bos.”
Aku masih lagi diam memerhati. Si lelaki tinggi lampai yang dipanggil bos tadi menghela nafas berat sambil memandang aku.
“Tolonglah lepaskan saya…” sekali lagi aku cuba merayu. Mana tahu bos si Mail ni lembut hati.
            “Tak boleh. Kau dah nampak muka kami.” Perlahan dia menjawab. “Aku tak boleh lepaskan kau.”
            “Saya janji saya tak bagitahu sesiapa. Saya janji saya diamkan diri. Tolonglah lepaskan saya…” kalau dia orang lepaskan aku, aku takkan ungkit pun benda ni dekat siapa-siapa. Aku takkan buat report polis pun.
            Aku takkan dedahkan muka mereka.
            Takkan.
            Yang penting diorang lepaskan aku. Aku ada dating ni…
            Aku memandang wajah tegang bos si Mail dengan pandangan ‘tolonglah berhati perut sikit’. Dia kemudiannya mendekati aku yang diikat dan duduk mencangkung betul-betul di hadapan aku. Nafas aku mula turun naik, bimbang kalau-kalau dia buat sesuatu yang tak dijangka.
            Mana tahu dia nak bunuh aku ke?
            Aku dah nampak muka penculik, apa lagi yang boleh jadi?
            “Maaf, aku tak boleh lepaskan kau. Kau kena duduk sini sampai semuanya selesai.” Perlahan dia bersuara namun terasa kerasnya.
            Aku menelan air liur beberapa kali. Ya Allah, takkan ini takdir hidup aku? Takkan begini akhirnya hayat aku?
            Di tangan penculik?
            “Saya takkan bagitahu sesiapa, saya takkan buat report polis. Saya janji!” bersungguh-sungguh aku yakinkan dia. Memang pun aku tak tipu.
            Kalau diberi peluang untuk melepaskan diri, sekalipun aku takkan buka cerita apa yang dah jadi.
            Biarlah si penculik semua ni tak mencari.
            Biarkan aku bebas dengan hidup aku kembali.
            Sekali lagi aku mendengar dia mendengus kuat sebelum bingkas berdiri dan merenung tajam wajah Mail yang hanya dia memerhati. “Aku tak percayakan kau. Maaf. Kau kena duduk sini.”
            Akhirnya aku bersandar pada dinding dengan kecewa. Dia langsung tak termakan dengan pujukan aku. Habislah aku…
            Aku belum kahwin lagi.
            Seaakan tak percaya ini caranya aku tinggalkan dunia… Mak…Abah…
            “Mail, kau jaga perempuan ni betul-betul. Jangan lupa bagi dia makan. Kalau perempuan ni hilang, kau aku kerjakan.” Senafas dia memberi arahan sebelum dia menghilang di sebalik pintu kayu.
            Mail yang dari tadi diam mendengar terkebil-kebil memandang aku. Gambar yang berada di tangannya dipandang berulang kali. perlahan-lahan dia mendekati aku dan terus mencangkung di hadapan.
            “Ini, kau kan?”
            Gambar yang bersaiz 4R itu disua ke hadapan. Kerut kening aku makin lebar bila foto seorang wanita yang ketawa riang di atas kerusi kayu menerpa anak mata. Itu…aku!
            Ya!
            Itu gambar aku waktu family day pejabat dua minggu lepas. Gambar aku yang sedang bergurau senda dengan Kak Sirah, dengan Kak Zati di dalam pejabat…
            Tapi, macam mana….?
            “Betul kan? Ini kau?” ulang Mail lagi.
Laju aku menggeleng.
Bos Mail sendiri cakap aku bukan orang yang dia orang nak culik. Kenapa aku nak mengaku pulak, kan?
“Tapi…” Mail menggaru kepalanya laju. Dia mendekatkan mukanya ke muka aku, memerhati setiap inci wajah aku yang aku rasa penuh dengan habuk dan debu.
Sesaat kemudian dia kembali memandang gambar aku di tangannya. Dahinya berkerut lebat.
Tolonglah…tolonglah Mail. Tolonglah percaya yang tu bukan aku.
Tapi, macam mana pulak gambar aku boleh ada dengan dia?
“Takkan aku yang rabun, kot?” dia bingkas berdiri dan menggosok kedua-dua matanya beberapa kali. “Betul bukan kau?”
Sekali lagi aku menggeleng. “Bukan…tolonglah lepaskan saya. Awak dah silap orang!”
Mail menarik nafas perlahan sebelum menyimpan kembali gambar aku ke dalam poket seluarnya. “Tak boleh. Bos tak nak lepaskan kau. Aku tak boleh buat apa-apa.”
Aku hampir menangis mendengar jawapan daripada Mail. Tak nak lepaskan aku, maknanya…?
Mak…
“Sorry sebab bawa kau ke sini.” Ujar Mail perlahan. “Tapi bos aku baik, aku rasa dia tak akan apa-apakan kau.”
Segala pujukan Mail hanya masuk ke telinga kanan dan keluar dari telinga kiri. Tak terkesan langsung dalam hati aku. Penculik. Kalau dah namanya penculik, ada ke yang masih ‘baik hati’?
“Lepaskan aku…tolonglah lepaskan aku…” aku merayu lagi. Air mata yang dah lama aku simpan jatuh juga ke lantai. Aku takut. Sungguh!
Tengok pisau rambo di tangan bos Mail tadi dah cukup buat dada aku semput.
“Tak boleh. Kau duduk sini dulu.” Mail bersuara perlahan sebelum menutup pintu rapat.
Aku kehilangan kata. Mata aku mula meneliti setiap sentimeter bilik kecil yang hanya dipenuhi dengan kotak kosong dan beberapa keping kayu itu.
Aku patutnya keluar dating dengan Benjamin. Aku sepatutnya duduk semeja dengan dia dan bercerita perihal hidup masing-masing.
Dan…aku sepatutnya dah boleh bawa balik pengantin lelaki untuk mak dan abah.
Tapi sekarang?
Oh tuhan…apa yang patut aku buat sekarang?


AKU TERSEDAR DARI lena bila mendengar pintu dihempas kuat dari dalam. Beberapa suara garau mula menerjah telinga. Aku diam tidak bersuara. Sikitpun aku tak berani untuk membuka mulut, apatah lagi meminta untuk dilepaskan.
            Sesaat kemudian, bunyi kayu patah dan hentakan makin kuat kedengaran. Badan aku menggigil tanpa sedar.
            “Baik korang cepat!” suara garau itu memenuhi ruang rumah. Aku memberanikan diri untuk memandang ke arah pintu bilik yang masih tertutup rapat dan bila-bila masa sahaja akan terbuka.
            Jari jemari yang memeluk paha sendiri terasa bergetar, menggigil. Apa-apa pun yang berlaku dekat luar sana, aku tahu ia bukan benda baik. Bukan. Benda. Baik.
            Maknanya, aku mungkin dibunuh!
            “Apa-apa hal pun, aku nak kau orang selesaikan hal ni cepat. Makin lama, makin besar kepala Dato’ Hafiz tu! aku tak senang hati!”
            Aku menutup mulut rapat. Saat ini, hatta bunyi nafas pun aku tak nak didengari sesiapa.
            “Ya, aku tahu.” suara kedua membalas. Aku kenal suara tu. Suara bos Mail.
            “Kerja kau lambat! Apahal dengan kau sebenarnya hah? Makin lama makin lembab!” jerit suara garau itu lagi.
            Aku masih memasang teliga dari dalam bilik. Aku yakin si suara garau tu tak tahu menahu tentang kewujudan aku disini. Ya, aku yakin!
            “Aku tahu kerja aku. Aku akan selesaikan. Jangan risau.”
Aku mendengar bos Mail menjawab tenang.
“Hmm, jangan lambat! Aku benci tengok muka gembira si celaka tu!”
Sekali lagi aku mendengar pintu dihempas kuat, dan keadaan kembali sunyi. Perlahan-lahan aku menarik nafas lega. Nampaknya si suara garau tadi dah keluar dari rumah ni.
Dan aku selamat! Sekurang-kurangnya buat masa ni.
Aku menghela nafas berat tanpa sedar. Kedua-dua kaki yang tak berkasut aku lunjurkan ke hadapan. Rasanya kasut aku tercabut waktu bergelut dengan Mail petang tadi.
Dan sampai sekarang, aku tak nampak pun mana perginya kasut tinggi baru aku tu. Baru harini aku pakai semata-mata untuk keluar dengan Benjamin. Haih.
“Kau dah sedar?” pintu bilik tiba-tiba ternganga luas. Wajah seorang lelaki yang kelihatan tegang itu tegak di muka pintu. “Makan.” Satu beg plastik kecil diletakkan di hadapan aku bersama sebotol air mineral.
Tanpa menunggu hatta sesaat, dia terus menutup rapat pintu bilik.
Dia suruh aku makan? Dengan tangan berikat macam ni? “Awak!” aku mendengar suara sendiri menjerit lantang. Tak sampai seminit, pintu kembali terbuka luas.
“Diamlah!”
Suara aku terus tersekat pada kerongkong. Bos Mail memandang aku tajam, tak berkelip. Perlahan-lahan aku mengangkat kedua-dua tangan yang diikat dari depan. Meminta untuk dilepaskan.
Atau sekurang-kurangnya dilonggarkan.
Kalau tak, macam mana aku nak makan?
Bos Mail mengeluh berat sambil berjalan merapati aku. Laju aje tangannya membuka ikatan yang dari tadi membuatkan tangan aku kepedihan. Sempat aku menjeling pisau Rambo yang terselit pada pinggangnya, bila-bila masa sahaja boleh melayang mencari mangsa.
“Thanks.” ucap aku perlahan sebaik sahaja ikatan dileraikan.
“Hmm.”
 “Boleh saya tahu sekarang ni pukul berapa?” aku memberanikan diri memandang wajahnya. Kalau nak diikutkan mata aku yang belum rabun ni, rasanya umur dia belum pun masuk 30 tahun. Ataupun dia awet muda? Tak nampak tua?
Tapi takkan muda-muda dah jadi penculik?
Gila.
“Kenapa nak tahu? Bukannya ada tv pun kalau kau nak tengok cerita.”
            “Serius tak ada!?”
            Bos Mail tiba-tiba merenung aku lama. Air liur ditelan tanpa sedar. Seram pulak bila nampak dia renung macam tu.
            “Kenapa?” cepat-cepat aku melarikan diri dari renungan mata dia. tajam. Sungguh. Tajam. Tiba-tiba jari terasa kembali menggigil ketakutan.
            Janganlah lepas dia bagi aku makan, dia bunuh aku pulak.
            “Dah kena culik macam ni pun, kau ada selera lagi nak tengok TV?”
            Aku diam. Perlahan-lahan aku menarik plastik makanan yang diberinya tadi. aku tahu dia perli.
            Aku tahu.
            Botol air mineral aku buka perlahan sebelum membasuh tangan kanan yang bertukar warna kelabu. Kotor!  Entah berapa zillion kuman yang dah melekat dekat tangan aku ni. Nak basuh tangan dengan sabun, tak ada pulak.
            “Air tu cukup untuk kau sampai esok. Kalau kau rasa nak bagi tangan bersih lagi penting dari tekak kau, tuanglah banyak-banyak.”
            Aku pandang wajahnya, tak percaya. Biar betul? Takkan dalam rumah ni tak ada air langsung untuk diminum?
            Botol air mineral tadi aku hempas ke atas lantai. Getah sayur yang membalut polisterin makanan aku buka tanpa memandang wajah bos Mail yang masih memerhatikan segala gerak geri aku.
            “Tak adil! Korang salah culik orang, bawa ke sini, entah dekat planet mana. Lepas tu boleh pulak nak catu air semua!” air mata aku bertakung tanpa rela. satu suapan telahpun selamat masuk ke dalam mulut. Sungguh aku lapar.
            Sengaja aku simpan perut untuk makan tengah hari dengan Benjamin. Dan akhirnya, aku kelaparan sampai malam!
            …dan nasi yang dia orang bawak balik ni tak sedap!
            “Kenapa paksa saya tinggal sini? Awak silap culik orang, kenapa tak lepaskan aje saya?” aku mendongak ke atas, memandang wajah bos Mail yang sudahpun berdiri dengan kedua-dua tangannya diselitkan ke dalam saku seluar. Air mata akhirnya menitis juga.
            “Maaf, aku tak boleh lepaskan kau.”
            Air mata yang mengalir ke pipi aku kesat perlahan dengan lengan baju. Satu suapan lagi aku bawa ke mulut.
            Tak adil… kenapa aku?
            Kenapa gambar aku yang Mail pegang?
            Kenapa?
            “Saya takkan bagitahu sesiapa tentang awak. Saya takkan cerita yang saya kena culik dengan Mail.” Nasi yang terasa keras di dalam mulut aku kunyah perlahan. “Saya janji saya tutup mulut, jadi tolonglah lepaskan saya…”
            Bos Mail itu tiba-tiba mencangkung di hadapan aku. Cermin mata hitam yang dipakainya dari siang tadi ditolak ke atas. Dan sekarang, mata kami bertentangan.
            “Tak boleh. Aku tak percayakan kau.” balasnya perlahan.
            Aku mengeluh berat. Kalau diikutkan hati, nak aje aku tumbuk muka dia tu. tapi aku tahu. kalau pun aku tumbuk dia, belum tentu dia rasa sakit.
            Tangan aku yang sakit nanti.
            Kudrat aku, seorang wanita yang dah melepasi zaman muda-mudi ni manalah nak terbanding dengan kudrat dia?
            Tambah pulak yang dia tu penculik.
            Silap haribulan, aku mati sebelum sempat aku habiskan nasi ayam goreng kunyit ni.
            “Sekarang, kau makan dulu.”
            Aku diam lagi. dah tak terasa untuk menjawab. dah tak ada rasa untuk memujuk rayu untuk dilepaskan. Aku tahu semuanya sia-sia.
            “Handphone kau ni,” dia mengeluarkan Lenovo S890 dari saku seluarnya dan diangkat sehingga ke paras dada. “Aku simpan dulu. Aku dah matikan pun. Dan aku takkan ambil handphone kau, jangan risau.”
            Mata aku bulat memandang telefon bimbit ditangannya. Handphone aku! kalau aku boleh dapatkan handphone aku, bolehkan aku suruh Benjamin datang sini, selamatkan aku gaya knight in the shining armour tu kan?
            “Dan, jangan mimpi kau nak curi handphone ni. Sekali kau cuba nak curi, aku akan campak terus masuk dalam sungai belakang rumah ni.” sambungnya lagi.
            Harapan aku tadi terus hancur berkecai.
            Tak ada knight in the shining armour. Tak ada penyelamat.
            Semuanya sia-sia!
            “Aku akan lepaskan kau, bila aku dah percayakan kau.” Dia terus bangun dan menyimpan kembali telefon bimbit aku ke dalam saku seluar. “Buat masa ni, kau duduk sini dulu.”
            Sikitpun aku tidak mengangkat kepala. Nasi ayam goreng yang sepatutnya terasa enak dikala perut kelaparan itu sikitpun tidak merangsang nafsu makan. Baru sahaja tiga mulut memasuki sistem pencernaan, selera aku kembali putus.
            Perlahan-lahan aku membasuh tangan dengan baki air yang tertinggal tanpa mempedulikan anak mata bos Mail yang masih memandang.
            Persetankan dia. persetankan.
            Mana dia tahu rasa sakit hati aku?
            “Sekarang baru pukul lapan malam. Kalau kau rasa kau kenyang dengan tiga mulut tu sampai esok pagi, terpulang.” Dia bersuara perlahan sebelum keluar dari bilik.
            Dengan perasaan yang bercampur baur, tangan kanan mula menggenggam kemas botol air yang sudah kosong tiada isi.
            Tak adil!
            Tanpa sedar, botol air tadi melayang ke pintu. Dada aku berombak kuat menahan rasa kecewa.
            Tak adil…kenapa aku?




***

6 comments:

Anonymous said...

Adoi...hero seterusnya si jahat yg baik hati udah muncul...illa...!!!!
Noriatul asimah

Anonymous said...

Hehe bole pulak Norah buat bantahan sambil suap mknan. Tpi kesiannye Norah tak jdi jumpe Ben. Dah tu percuma jer cuti 2 minggu tu burn bcuti ngan perompak lak. Sungguh tak adil!!

Illashanahilla said...

Hai la illa. X tahu mana 1 dah calon suami Naurah ni. Apapun best. Tq.

Anonymous said...

Ohoho. Bestnya kak illa. Ada hero baru laaa. Macam macho je hero ni dr benjamin. Tak sabar nak baca next chapter.
-fz-

missone hazel said...

Skali update sorg hero muncul. sape la hero sebenarnya

emmy said...

cerita ni buat saya berangan seolah2 saya yg jdi norah ehehehe