Sunday 24 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 16]




PINTU BILIK TERBUKA luas saat mata aku hampir terlelap. Zack berjalan merapati dengan membawa sebotol air dan sebungkus roti. Aku mendengar dia mengeluh perlahan sambil mencangkung di hadapan.
            “Kenapa tak baring?”
            Aku diam. Langsung tiada hati untuk menjawab. Pelukan pada kedua-dua lutut aku kemaskan. Memberontak.
            “Dah lewat ni. Tidur.” Dia meletakkan air dan roti di sebelah comforter yang selalu menjadi tempat beradu aku. “Esok, kalau makin teruk kita pergi klinik.”
            Aku masih membisu. Anak mata hanya memandang makanan yang diletakkannya tadi tanpa perasaan. Zack masih lagi memaku pandang ke arah aku dengan riak wajah yang sikit pun aku tak dapat nak tafsir.
            “Kenapalah kau tak dengar cakap aku…” dia mengeluh sendiri.
            “Kenapa? Kenapa awak pandang saya macam tu?” dada terasa berombak kuat. Kepala mula berkecamuk memikirkan pelbagai kemungkinan. Adakah mungkin aku akan dibunuh?
            Adakah?
            “Sekarang ni kau betul betul kena dengar cakap aku.”
“Kenapa? Siapa orang tu? Dia yang upah korang, kan? Perfect, sekarang, aku betul-betul akan kena bunuh!” aku menjerit kuat. Aku sendiri tak sedar bila masa kata ganti nama berubah.
Kedua-dua tangan spontan naik ke kepala. Tolong… tolong… Tolonglah bangunkan aku dari mimpi ngeri ni….
“Naurah, maaf. Aku akan pastikan kau tak kan apa-apa. Aku akan lepaskan kau bila tiba masanya. Aku janji.”
“Bila kau nak lepaskan aku? Sekarang ni bos kau tu pun dah nampak aku dan aku yakin walau mana pun aku pergi, dia akan dapat cari aku!” Aku mula menangis. Sungguh aku takut. Trauma melihat pistol depan mata masih menghantui kepala.
Zack hanya diam tak membalas. Aku benci dia! aku benci bila dia sanggup toreh aku tanpa perasaan.
Walaupun jauh di sudut hati aku tahu dia terpaksa. Tapi entahlah…hati terasa sakit yang amat.
“Hidup aku dah musnah. Thanks to you!”


PAGI. Buka sahaja pintu bilik, aku  nampak Mail masih nyenyak tidur di atas kerusi kayu. Tanpa menghiraukan dengkuran Mail aku teruskan perjalanan ke bilik air. Rutin membasuh muka pagi ni terasa amat siksa dek luka pada lengan kanan.
            Aku mengeluh tanpa sedar bila mengingatkan kejadian malam tadi.
            Sakit di hati hanya ALLAH yang tahu.
            Selesai membasuh muka dan membersihkan gigi, aku capai dua biji telur di atas rak dan terus dibawa ke sinki.
            Sarapan hari ni telur separuh masak dengan roti ajelah.
            Siapa suruh dia cederakan aku.
            Heh.
            “Tak payah masak. Aku dah beli dekat luar.”
            Belum sempat aku menghidupkan api gas, suara Zack tiba-tiba menyapa. Aku berpaling ke belakang melihat dia yang sudahpun melabuhkan punggung di atas kerusi dengan tiga bungkus nasi lemak di atas meja.
            Rasanya baru pukul tujuh pagi. Cepat betul dia bangun. Siap dengan beli sarapan pulak tu.           
            “Tak cakap…” tangan kembali  meletakkan telur di tempat asal. Kaki pula ringan sahaja melangkah untuk kembali ke bilik. Kalau dia dah beli sarapan, tak ada fungsi lagi la aku dekat dapur ni.
            Sambung tidur lagi baik.
            “Nak pergi mana?”
            “Bilik.” Aku menjawab tanpa memandang.
            “Sakit lagi?”
            Kaki terhenti sesaat. Luka yang masih belum kering pada lengan kanan aku pandang sekilas. Maunya tak sakit. Setiap kali bergerak pun terasa pedih. Ni kalau pergi klinik ni maunya kena tiga empat jahitan.
            “Entah…” aku menjawab tanpa nada.
            Zack mengeluh perlahan. “Makanlah dulu…”
            “Tak ada selera.” Pintu bilik terus ditutup rapat. Apa? dia ingat aku masih ada nafsu nak makan bila dah cedera macam ni?
            Dia ingat aku boleh nak hadap muka dia yang selamba toreh lengan aku sampai rabak ni?
            Dia ingat aku boleh tahan rasa kecewa bila orang yang aku sangka boleh jaga aku, sanggup cederakan aku…
            Haih Naurah. Bangunlah.
            Dia tu penculik. What do you expect?
            Kepala baru sahaja diletakkan di atas bantal sewaktu pintu bilik diketuk kuat dari luar.
            Kalau macam tu gaya ketuknya, Maillah tu. bila masa pulak dia bangun. Buka ke tadi dia masih terlentang atas kerusi?
            “Weh, makan!” Mail menolak pintu bilik seluas-luasnya. “Kau ni pun, sarapan pun nak orang hantarkan ke bilik. Dahlah tak masak.” Dia meletakkan satu bungkus nasi lemak yang dibeli Zack tadi bersama sebotol air mineral.
            Seperti biasa, mulut Mail tak berhenti dari membebel.          
            “Aku tak nak. Kau makan ajelah.” Bungkusan yang diberi Mail tadi aku tolak ke depan. Kening Mail terangkat tinggi. Aku tahu dia pelik. Aku tahu dia perasan.
            Aku dah guna ‘aku’.
            “Makanlah…” suara Mail berubah nada. “Karang bos marah aku.”
            “Aku tak ada selera.” Aku mencapai botol air mineral dan meneguknya lama. memang aku tak ada selera. Selesai membasahkan tekak, aku terus baring tanpa mempedulikan Mail yang hanya memandang.
            “Kalau dia nak marah jugak, suruh dia marahkan diri sendiri.” Dan aku terus menarik selimut menutupi muka.
            Kejadian malam tadi betul-betul bangunkan aku dari mimpi. Aku sedar yang aku betul-betul kena culik. Aku sedar yang bila-bila masa pun nyawa aku boleh melayang.
            Dan aku tak tahu sampai bila aku di sini…
           

MATA YANG BERPINAR aku paksa buka. Wajah samar-samar yang memenuhi pandangan mata aku pandang lama.
            “Bangun…”
            Aku cuba lagi meneliti wajah yang menegur, tapi gagal. Kepala terasa berat tiba-tiba. Aduhai. Takkan migrain kot?
            “Weh, bangunlah. Kau ni buat orang risau ajelah.”
            Terasa tangan kasar mencuit kedua-dua bahu. Sekali lagi aku memaksa mata untuk buka. Berjaya! “Pukul berapa ni…” rasanya tadi aku sambung tidur baru pukul tujuh. Kenapa rasa macam gelap gelita aje ni…
            “Dah pukul lapan malam dah pun. Bangun, bos nak bawa kau pergi klinik.”sekali lagi dia mencuit bahu bila aku tidak menjawab.
            Pukul lapan malam?! maknyanya aku tidur sepanjang hari?
            Patutla perut rasa lapar sangat.
            Agak-agak nasi lemak pagi tadi basi tak? Laparnya….         
“Cepatlah bangun. Bersiap.”
            Aku cuba juga bangun dan duduk menghadap Mail yang berkerut seribu. Tangan kiri dibawa ke kepala. pening! “Buat apa nak pergi klinik?”
            “Kau tu la. Macam orang nak mati. Pucat lesi.”
            Aku mencebik lebar. Mail ni pun…bahasa dia main masuk je. “Korang nak keluar pegi ajelah. Kurung je aku dekat sini. Aku tak larat pun nak lari.”
Tapi memang rasa macam nak mati pun. Kepala pun berat. Satu badan lemah. Spontan aku membawa belakang lengan ke dahi.
            Oh my, aku demam?
            Dah setahun rasanya aku tak demam. Ni semua Zack punya pasal…
           
            “Sebab kau tak larat macam ni la bos nak bawak kau pergi klinik. Kau tahu tak dah dekat sepuluh minit aku kejut kau ni?” suara Mail naik satu nada. Bosan melayan karenah aku agaknya.
            Tapi… sepuluh minit? Biar betul Mail ni? aku bukannya jenis payah nak sedar kalau ada bunyi bising. Nak-nak suara Mail yang memang macam guruh panggil hujan tu.
            Heh.
            “Kalau aku nak mati pun, apa dia nak susah. Bukan ke lagi baik aku mati, kan?” aku membalas. Rasa geram masih bersisa.
            “Siaplah. Lepas pergi klinik kitaorang ada kerja pulak.”
            Dua pasang mata beralih pada suara yang menyampuk. Zack! Entah sejak bila dia ada depan pintu bilik.
            Aku melepas nafas perlahan. Nak tak nak, aku kena ikut jugak. Aku tahu Zack takkan percayakan aku sorang-sorang dalam rumah ni.
            Aku tahu dia ingat aku akan cuba lari lagi.
            “Kejap.” Aku mula berdiri. Wajah Zack dan Mail aku pandang bersilih ganti. “Tunggu dekat luar.”
            Tak lama pun aku bersiap. Kurang sepuluh minit, aku sudahpun tercegat di hadapan Zack yang sabar menunggu. Mail hilang entah ke mana. Panaskan enjin kereta agaknya.
            “Beg kau mana?”
            Aku pandang Zack lama. beg? Selama ni keluar tak pernah-pernah pun dia suruh aku bawa beg. “Kenapa?”
            “Kan nak pergi klinik. Takkan tak nak bawa IC.”
            Ohh… “Kejap.” Aku berpatah balik ke bilik, mencapai handbag yang sudah lama aku tak guna. Ada la dua minggu kot.
            Selama aku dekat sini.
            “Dah.”
            Pintu rumah dikunci rapat. Aku terus masuk ke dalam kereta tanpa di suruh. Zack mula mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Suasana sunyi sepi sehinggalah kereta Zack berhenti di hadapan klinik.
            “Kau tunggu sini.”
            Mail mengangguk tanpa membantah.
            Aku menapak keluar dari kereta setelah Zack membukakan pintu di tempat duduk belakang. Nak ambil hatilah tu. heh.
            Kaki terus dibawa ke kaunter pendaftaran tanpa mempedulikan Zack mula melabuhkan punggung di atas salah satu kerusi plastik di dalam klinik.
            Belum pun dua minit menunggu, nama aku terus dipanggil masuk. Aku memandang Zack sekilas. Kut-kutla dia nak masuk sekali. Tapi dia tetap di situ.
            “Cik Naurah?”
            “Ya.” Aku mengikut langkah jururawat ke dalam bilik doktor. Sekali lagi aku memandang ke arah Zack yang masih tidak berganjak dari kerusi. Dia memang tak nak ikut aku?
            “Cik,” sekali lagi jururawat yang bertag nama Liana itu memanggil.
            “Hah, maaf.” Aku mencipta senyum nipis. Pintu bilik doktor ditutup juga.
            “Cik Naurah.” Doktor lelaki itu membuka mulut sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan. “Sakit apa ni?”
            lengan kanan diangkat ke atas meja. Perlahan-lahan aku menyelak lengan baju yang menutupi balutan Zack malam tadi.
            “Kenapa ni?” dahi Doktor Rajan berkerut seribu.
            “Accident.”
            “Let me see…” dia terus membuka balutan yang sudahpun tercemar. “Teruk ni. macam terkena pisau.” Doktor Rajan mengomel sendiri. “You pasti ka ini accident?” soal Doktor Rajan lagi dengan pelatnya.
            Aku mengangguk laju. Malas membesarkan cerita.
            “Okay. kalau macam tu, kita cuci luka dulu…”
            Doktor Rajan memandang aku, tak percaya. Tapi apa yang aku boleh buat? Takkan nak cakap penculik yang toreh lengan aku kot.
            Aku dah janji dengan Zack yang aku takkan buka mulut.
            Aku dah janji dengan bos dia yang bengis tu.
            …dan aku takut kalau jadi apa-apa yang lebih teruk pada aku lepas ni.

            SUNYI SEPI. Tak ada seorang pun di ruang menunggu. Spontan kening aku terangkat tinggi melihat kerusi Zack tadi kosong. Mana pulak dia pergi? Buang air ke?
            “Cik Naurah,”
            Aku berpaling ke arah budak yang menjaga kaunter pendaftaran. “Ya?” takkan dah kena ambik ubat kot. Aku baru aje dua saat keluar dari bilik Doktor Rajan tu.
            “Handbag cik tertinggal dekat kerusi tadi.” beg tangan aku diangkat tinggi. Ya, betulla tu beg tangan aku.
            Beg yang aku tinggalkan pada Zack sebelum aku masuk jumpa doktor tadi. Tapi mana pulak Zack pergi?
            “Abang yang duduk sana tadi pergi toilet eh?” aku mencapai beg tangan yang di hulur. Jari telunjuk melurus pada kerusi plastik yang diduduki Zack tadi.
            “Abang tu dah lama keluar. Cik masuk tadi dia terus keluar. Kenapa cik?”
            Lidah terasa kelu tiba-tiba. Keluar?
            Maknanya dia tinggalkan aku dekat sini?      
            Kaki mula melangkah ke pintu masuk klinik. Aku mula mencari-cari kereta Zack yang diparkir di hadapan klinik. Betul! Kereta dia pun tak ada. Biar betul Zack tinggalkan aku?
            “Kenapa cik?”
            Aku menggeleng lemah. Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung di atas kerusi klinik. Beg tangan yang ditinggalkan Zack tadi aku genggam erat. Luka pada lengan kanan yang sudahpun selamat dicuci aku pandang sekilas.
            Maknanya sekarang, aku dah bebas?
            Aku dah dilepaskan?

            Tapi kenapa aku tak terasa nak melompat bahagia?

10 comments:

asen said...

wahhhh....best ...

Unknown said...

ohsem....up lg ye cpt2...

Unknown said...

Cehhhhh..... ingatkan Zack @Zaki.... huhuhu kecewaaaa hakak......hahahahaha

Unknown said...

Ingatkn zackkkkj

Oni said...

Illa
Jgn lelama up n3 yer
Lama itu mdera
Mdera tu x baik tawu.

Anonymous said...

zack.. come back xack
huwaaa.. nk zack

>>k<<

Nana Mohd Yasin said...

Suka suka suka juta2 kali suka

Anonymous said...

nak zack!!!!!!!!

Kak Sue said...

buat hati tertanya-tanya ja... ingat zeck dgn mail tadi.. jejak kasih rupanya...

Unknown said...

eh..ingatkan zack tadi..hehe