Sunday 24 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 13]


 Assalamualaikum!

Awal-awal nak pesan, jangan terkejut bila nampak entry yang tiba-tiba dan entah bab mana. Hahaha. Sebenarnya, illa ada buka sikit cerita ni dari bab 11 hingga 15. Jadi, kalau nak mendalaminya (chewwah!) bolehla kembali ke zaman silam...ke zaman bab 11.

Rasanya tak ada orang buat rombak bab macam  ni. Hah ha. maaf dan enjoy!


***


ZACK DEMAM PULAK!
            Matilah aku macam ni…! Macam mana kalau demam dia melarat dan boleh bawa maut macam demam denggi tu? Alamak-alamak, macam mana aku nak balik rumah nanti? Dahlah handphone dan segala beg aku dia pegang.
Aku menggaru kepala kuat. Habis serabai rambut aku dibuatnya. Zack yang nyenyak tidur di atas sofa usang itu aku pandang lama. Mail dari tadi keluar cari penadol. Sampai sekarang tak nampak muka.
Wajah Zack yang semakin pucat aku pandang lagi. Tadi eksyen sangat…
Dah biasa…dah biasa…
“Panas lagi ke dia?”
Belum sempat aku sambung membebel, Makcik Wan keluar dari dapur dengan membawa kain lembab dan besen yang berisi air. Dua barang tadi diletakkan betul-betul berhampiran dengan kepala Zack.
“Meh saya buat, makcik.” Aku mengambil tuala basah dari tangan Makcik Wan. Tak boleh jadi ni. Mana boleh dia demam. Mana boleh dia sakit. nanti siapa nak hantar aku balik?
“Tak payah. Kau pergi masak sana…”
Tangan yang baru sahaja mendarat di atas dahinya terhenti kaku. Lah, tak tidur rupanya…
“Mak boleh masak. Biar Naurah duduk sini.” Makcik Wan menjawab bagi pihak aku. laju aje aku menghadiahkan senyuman paling manis untuk Makcik Wan.
“Tak payah. Bukan boleh sihat pun. Kau pergi masak. Biar mak duduk sini. Bak sini kain tu.” dia menadah tangan tanpa membuka mata. Nak tak nak, aku letak juga tuala basah tadi atas dahi dia.
Teruk sangat gayanya. Nak buka mata pun tak larat.
Wahai Zack, kau jangan mati lagi…
Dengan berat hati aku bangun juga dari bersila dan menuju ke dapur. Udang galah yang kami pancing tadi masih lagi dibiarkan di dalam plastik berhampiran dengan tong air. Rumah ni tak ada sinki, jadi kalau nak basuh pinggan ke, basuh lauk pauk ke, kena guna air dalam tong tu je.
Dia nak suruh aku nak masak apa ni? Butter prawn? Masak lemak cili api?
            Harapanlah…
            Nak siang udang ni pun aku tak pasti boleh lulus ke tidak, inikan pulak nak berangan jadi chef masak udang ni jadi Butter Prawn!
            “Nah, kamu buat sendiri, mak nak tolong Naurah masak tu…”
            Tangan yang terkial-kial membuka plastik berisi udang galah terhenti sesaat bila mendengar suara Makcik Wan. Haa, betul tu makcik. Meh la sini tolong saya. Saya budak baru belajar.
            “Alah, biarkan dia. asyik makan tidur aje. Biar dia tahu susah sikit nak cari makan…”
            Walapun perlahan, kata-kata Zack hinggap juga di telinga. Spontan aku mencebik.
            Dia ingat aku tak pernah rasa susah ke? Aku pun orang kampunglah. Heh.
            “Kamu ni…rumah mak ni macam mana, susah dia nanti…”
            “Biarkan aje dia mak…”
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Berani dia ingat aku tak dapat buat semua ni? heh, bab masak goreng kunyit tak ada hal lah. Pejam mata pun aku dah boleh buat.
            Tapi, macam mana nak siang udang ni?
            “Bos suruh tolong kau. Kau nak aku tolong apa ni?”
            Aku mengalihkan pandangan dari plastik udang ke arah tuan punya suara yang menegur. Mail! Sikit lagi aku nak peluk Mail ketat-ketat sebab muncul tepat pada waktunya.
            Aku sempat mengerling ke arah ruang tamu. Zack masih lagi terbaring di tempat sama. Elleh, tadi tak bagi makcik tolong. Ni suruh Mail pulak tolong.
            “Apahal kau pandang aku macam tu?” Mail buat muka. dia turut sama mencangkung menghadap plastik udang dan tong air yang ditadah dengan pili.
            “Kau tahu siang udang ni tak?” nak tak nak, aku maniskan juga muka depan Mail. Nak ambil hati Mail, kena sabar sikit. Senyum ajelah walau terpaksa.
            “Mana aku tahu…”
            Automatik aku menepuk dahi. Mail ni la… apa benda yang dia tahu? “Tolonglah. Aku  tak ada idea ni. nak kena buang semua kulit dia ke?”
            Dua pasang mata merenung plastik yang berisi udang itu lama. masing-masing mencari akal. Dah gaya rupa tikus tengok keju pun ada.
            “Aku rasa, kau potong dia punya sesungut je kot.”
            “Kulit dia? biarkan?”
            “Selalu aku nampak orang biarkan aje kulit dia tu. Kau ni… takkan tak pernah makan udang?” suara Mail naik satu nada.
            Aku tersengih sendiri. Betul jugak. Selalunya memang orang biarkan udang tu macam tu. Jadi, aku main belasah letak garam kunyit ajelah, kan?
            Heh, siapa kata masak susah.
            “Kau keluar ajelah. Tak payah tolong apa-apa. Tolong tengokkan bos kau tu je. Jangan bagi dia mati.” Aku mencipta sengih di hujung kata. Seekor udang yang sederhana besar aku capai dari plastik.
            “Kalau kau dah kata macam tu….” Mail terus berdiri tegak. “Aku layan tidur ajelah.” Dia sengih segaris sebelum berlalu dari situ.
            Hampeh sungguh.
            Aku menyising lengan baju hingga ke siku. Rambut yang mengurai melepasi bahu aku ikat satu. Satu-persatu udang aku capai dari plastik. Syabas Naurah. Syabas. Kau dah pandai masak.
            Bolehlah suruh Benjamin pinang kau lepas ni.
            Tak sampai lima minit, semua udang dah dibasuh dan disiang bersih. Dengan senyuman yang masih berbaki, aku membawa bekas yang berisi udang tadi ke dapur.
            Kaki tiba-tiba terhenti kaku bila melihat ‘dapur’ di hadapan. udang hampir terlepas dari genggaman. Dada berombak laju. Mulut automatik ternganga. Ni ke ‘dapur’ tu?
            Oh em gee, macam mana aku nak masak guna dapur kayu?!


AKU TERPAKSA PEKAKKAN bila Mail membebel panjang. Aku tahu aku boleh minta tolong Makcik Wan untuk hidupkan api, tapi aku tahu Zack akan bising.
            Nak tak nak, aku kejut juga Mail yang baru aje lima minit melelapkan mata. Terpaksa sebenarnya.
            Bibir aku automatik melakar senyum bila api mula menyala. Aku memandang ke arah Mail yang belum habis membebel. Kalau dulu aku menyampah dengar dia mengomel itu ini, sekarang benda tu dah jadi kebiasaan.
            Banyak mana pun Mail mengomel, membantah atau membebel, apa yang dia tak nak buat tu, dia akan buat juga. Contohnya macam sekarang ni.
            “Terima kasih banyak Mail!”
            Mail mencebik sambil meletakkan lighter di atas meja kecil sebelah dapur. “Dah, jangan kacau aku.”
            “Ayyai!” tangan di bawa ke dahi, ambil hati.
            Tanpa membalas, Mail membawa kaki ke bilik kecil bersebelahan dengan bilik yang aku tidur semalam. Nak sambung tidur agaknya.
            Aku mencapai kuali hitam yang tergantung pada dinding. Kuali, ada. Minyak, ada. Garam dah kunyit dah perap.
            Dengan lafaz bismillah, aku meletakkan kesemua udang yang diperap tadi ke dalam kuali. Tangan kanan mula mengacau udang di dalam kuali dan tangan kiri mula menguis beberapa arang keluar.
            Tak bagi api kuat sangat.
            “Goreng kunyit je pun… itu pun lambat,”
            Sudip di tangan hampir melayang ke arah tuan punya suara yang menegur. Hish, dia ni pun. tak tahu ke aku tengah buat kerja-kerja bahaya ni. kalau kena mintak panas dekat muka tu siapa nak jawab?
            “Siapa suruh saya masak. Kalau Makcik Wan masa tadi, bolehlah  wak merasa udang masak merah.” Laju aku menjawab. Nak complaint pulak. Aku berbesar hati nak tolong masak ni pun dah kira bagus.
            “Kau ingat mak aku tu orang gaji? Nak makan, masaklah sendiri.”
            Spontan aku mencebik. Kata orang… “Awak pergi sanalah. Dah siap masak nanti saya panggil. Sakit tu buat cara sakit.”
            “Dah sihat dah…”
            Kening aku terangkat tinggi. Tipulah tu. tadi dah gaya orang nak mati, takkan boleh tiba-tiba sihat. Tangan kiri aku terangkat tinggi tanpa sedar. Belum sempat mengena dahi, Zack lebih cepat menepis.
            “Ish, saya nak rasa badan awak tu panas lagi ke tidak.”
            “Tak payah.”
            Sombong. Sekali lagi aku membuat muka. aku mula mengacau udang di dalam kuali. Sekali-sekala aku membetulkan letak arang pada api tadi dengan kayu panjang. Kuat sangat karang, hangus pulak udang aku.
            “Dah masak dah tu. seafood orang tak goreng lama-lama.” Zack menegur dari belakang.
            “Ye ke?”
            “Tak ada untung pun aku nak tipu.” Dia membalas selamba. “Sini!”
            Aku berpaling ke belakang dengan dahi berkerut. Sini? “Apadia?”
            Tuala basah yang dipegangnya tadi dibawa ke muka aku.
            Dia lap pipi aku? Zack lap pipi aku?
            “Baru masak sekali, arang dah penuh dekat muka,” dia bersuara perlahan. Aku terkaku sendiri. Darah merah mula naik ke kepala dan muka. Janganlah dia perasan yang aku tengah ‘blushing’!
            “Udang tu, angkat. Hangit karang.”
            Cepat-cepat aku mengaut kesemua udang di dalam kuali dan diletakkan di dalam pinggan. Dada masih lagi berdebar kencang dek tindakan Zack tadi.
            “Kejap, ada lagi arang tu.”
            Aku mengangkat muka, memberanikan diri memandang wajah selamba dia. Tangan kanan dia mula menyentuh hidung aku sebelum sempat aku menepis.
            “Okay. dah.” Dia tersenyum nipis dan terus berlalu ke ruang tamu.
            Jantung aku makin kencang mengepam darah. Mata masih memaku pandang ke arahnya sehinggalah dia kembali baring di atas sofa.
            Apa. Dah. Jadi. Ni?


TELUR DADAR, udang goreng dan sup sayur (yang ini makcik yang buat) terhidang elok di atas meja. Bila dah lapar macam ni, pandang telur dadar tu pun dah rasa terliur gila!
            Mail mengekek ketawa bila aku menghulurkan pinggan berisi nasi kepada dia.
            Makcik Wan juga menyimpan senyum. Hanya Zack saja yang masih dengan muka tenang dia.
            Semua orang dah kenapa?
            “Kesian kamu Naurah. Maaflah makcik tak tolong.”
            Aku senyum segaris. Aku tak kisah sebenarnya. Tapi itulah, nak hidupkan dapur kayu tu leceh sikit.
            Rupanya ada lagi rumah yang guna dapur kayu. Tak ada TV, kipas. Lampu pun guna lampu mentol warna kuning itu aje.
            Macam manalah Makcik Wan hidup dekat sini. Sorang-sorang pulak tu.
            “Ini ajelah yang saya mampu masak pun.”
            “Dah bagus sangat ni. Biar tak pandai masak, janji kena rajin.”
            Hidung terasa kembang bila dipuji. Aku menjeling ke arah Zack sekilas. Nampak, mak dia pun puji aku, tahu?
            “Rajin sangat tu mak…” Mail tiba-tiba menyampuk. Bibirnya masih tidak kering dengan sengihan.
            “Makan, Mail. Sudah-sudahlah kamu mengusik Naurah ni.”
            “Mana ada. Saya tak usik dia pun mak…” Mail ketawa lepas. Wajah Makcik Wan dan Mail aku pandang bersilih ganti. Apa kena dengan dia orang ni sebenarnya?
            “Zaki, bagi mak kain tu,”
            Zaki? ZAKI? Nama Zack, Zaki?
            “Nak buat apa?” soal Zack tanpa memandang.
            “Tanya lagi. Bukannya mak tak tahu ni kerja kamu dua orang.” Makcik Wan mengambil kain lembab dari bahu Zack. Aku hanya memerhati. Sikit pun aku tak faham apa yang jadi sekarang.
            Yang aku tahu, nama Zack, ZAKI!
            “Naurah, sini makcik lap muka tu.”
            Lap muka? Aku menadah muka dengan rasa pelik. Bukan ke tadi Zack dah tolong lap. Ada lagi ke? “Kotor sangat ke makcik?”
            Makcik Wan menggeleng perlahan dengan senyuman. “Sikit je. Dekat hidung ni ha.”        
            Hidung? Bukan ke tadi…
            Laju aku memadang ke arah Zack yang selamba menyuap nasi ke mulut. Pandangan beralih pula pada Mail yang dari tadi tersengih.
            Padanlah dia orang semua gelakkan aku.

            Ada yang menconteng arang dekat muka aku rupanya. Heh. Tak patut betul!

         

3 comments:

Nana Mohd Yasin said...

Waaaaa sudah tukar
Besttttttttt

Illa Shanahila said...

haah, dh tukar. heee =)

Kak Sue said...

ada ja nak kenakan Nurah ya... kasihan ....