Assalamualaikum!
Awal-awal nak pesan, jangan terkejut bila nampak entry yang tiba-tiba dan entah bab mana. Hahaha. Sebenarnya, illa ada buka sikit cerita ni dari bab 11 hingga 15. Jadi, kalau nak mendalaminya (chewwah!) bolehla kembali ke zaman silam...ke zaman bab 11.
Rasanya tak ada orang buat rombak bab macam ni. Hah ha. maaf dan enjoy!
BAU KOPI PEKAT menusuk
hidung sebaik sahaja aku membuka mata. Selimut nipis yang menutupi separuh
badan. Matahari dah tinggi pun masih lagi terasa sejuk. Aku menggeliat kecil
tanpa sedat.
Lama
sungguh perjalanan nak sampai dekat kampung ni.
Jalan berbukit bukit pula tu. sikit lagi aku nak muntah
bila kereta Zack asyik ke kanan dan ke kiri mendaki.
Dan, sampai di rumah ni pun dah hampir senja. Entah ceruk
mana Zack bawa aku. Atau sebenarnya kami dah sampai negara jiran?
“Dah
bangun?”
Aku menoleh ke arah pintu. Seorang wanita separuh umur
tersenyum manis sambil menatang dulang yang berisi teko dan beberapa biji
cawan. Aku membalas soalannya dengan senyuman.
“Jom, sarapan.”
Aku hanya mengangguk. Wanita tadi terus hilang ke ruang
tamu. Mata mula meneliti segenap ruang bilik kecil yang menjadi tempat aku
tidur malam tadi. Kecil, memang kecil. Dinding bilik dibuat dari simen yang tak
siap. Tak ada katil, hanya dua tilam lama yang sudah usang.
Rasa menyesal pula aku tidur waktu hampir sampai dekat
sini semalam. Sebabnya, sekarang ni aku sendiri pun tak tahu aku dekat mana.
Tapi kalau dengar pelat makcik tadi, macam bunyi Perak.
Ke, Kedah?
Ataupun, perlis?
Aku menggeleng sendiri.
Makcik tadi pun aku tak tahu apa kaitannya dengan Zack.
Sesi perkenalan malam tadi pun ringkas sangat dan makcik tadi pun tak banyak
soal.
Terus aje dia bagi aku bilik untuk tidur.
“Kau ni… dekat mana-mana pun lembab.”
Aku terus mencebik lebar. Tak perlu berpaling, aku dah
tahu siapa empunya suara. Mail.
Dia ni la…
“Cepatlah. Bos panggil makan.” Dia mengetuk bilik
beberapa kali dan terus hilang.
Aku melangkah juga ke ruang tamu kecil yang hanya
menempatkan meja makan sebesar empat kerusi dan sofa usang dua tempat duduk.
Tak ada televisyen, tak ada kipas dinding.
“Makan, Naurah…” makcik tadi menegur lembut. Aku
tersenyum kekok sambil menarik kerusi di meja makan. Zack dan Mail sibuk
menghabiskan nasi goreng tanpa memandang.
“Makan cepat, kejap lagi ikut aku.”
Pinggan
kosong ditolak ke arah aku.
“Hish,
takkan nak bawa Naurah sekali?” makcik tadi pula menyampuk.
“Kalau
dekat rumah, tidur aje kerja dia mak.”
‘Mak’?
Makcik ni mak dia ke?
Aku
mendengar Mail ketawa lepas tanpa memandang. Khusyuk sungguh dia menghabiskan
makanan. Satu benda yang aku perasan pada Mail ni, dia makan banyak. Ya.
Walaupun badan dia kecil dan tak berapa tinggi, tapi nafsu makan dia
menggunung!
“Nak
pergi mana?” aku menceduk nasi goreng ke dalam pinggan. Ringkas saja nasi
goreng ni. Hanya ada telur dan sayur. Ayam dengan daging pun tak ada.
Tapi
nampak Mail dengan Zack makan berselera kemain. Nasi goreng dibawa ke mulut.
Betullah,
sedap!
“Nak
pergi mana…?” sekali lagi aku mengulang soalan yang sama.
“Ikut
ajelah…”
OH.
MY.
Dia bawa aku ikut dia masuk hutan?
Ya, aku tahu aku pun orang kampung. Tapi selama 29 tahun
aku hidup dekat dunia ni, tak pernah langsung aku masuk hutan tebal macam ni.
Kalau semak-semak tepi rumah dekat kampung tu, selalu la.
Hutan dekat taman rekreasi pun selalu. Tapi ni…?
Nak redah pun kena tebas pokok! Dia tak takut ada ular
ke?
“Awak nak bawa saya pergi mana ni…?” hampir lima belas
minit berjalan, aku bersuara juga. Seram
kut duduk dalam hutan tebal macam ni. Kaki aku pun tak rasa jejak tanah.
Kalau aku terpijak benda berbeli-belit tu, macam mana?
Kalau ada ‘pak belang’ tiba-tiba macam mana?
“Bisingla kau ni…” Mail mula membebel.
Spontan
aku mencebik membalas bebelan Mail. Badan tegap Zack yang berjalan di hadapan
aku cuit beberapa kali. Dia ni… tak dengar ke, buat-buat tak dengar?
“Apahal?” dia berpaling ke belakang. “Sabarlah. Nak
sampai dah.”
“Awak nak tinggalkan saya dekat sini eh?” dahi aku mula
berkerut lebat. berkali-kali aku menelan air liur. Mana tahu dia nak hilangkan
jejak aku dengan tinggalkan aku dekat sini.
Nak-nak kalau aku kena makan dengan harimau ke, singa ke…oh my, mati!
“Kau ni…” Zack menggeleng beberapa kali.
“Ikut hati aku, memang aku nak tinggalkan kau dekat sini
pun. bising je…”Mail pula mencelah.
“Hei, ingat sikit, awak yang culik saya. Salah siapa saya
ada dekat sini? Hah?” Aku menoleh ke arah Mail di sebelah. Lupa daratan
sungguh.
Belum sempat Mail membalas, suara Zack lebih pantas
mencelah. “Dah, dah. Dah sampai pun. korang gaduh lagi aku campak dua-dua dalam
tu.”
Aku dan Mail terus terdiam dan memandang ke arah yang
ditunjukkan. Sebatang sungai yang sangat luas terbentang membuatkan mata aku
terkebil-kebil beberapa kali. Ni…sungai ke tasik?
Cantiknya!
“Kita nak buat apa dekat sini bos?” Mail meletakkan beg
yang dipikulnya dari tadi ke bawah. Tangan kanan di bawa ke dahi, mengelap
peluh yang menitik.
“Kita pancing udang galah.” Zack mencipta senyum nipis.
Udang galah? Udang galah?!
Bukan ke kalau ada udang galah, adalah bu…a…ya?
Kepala terus berpaling ke arah Zack yang masih tersenyum
melihat sungai di hadapan.
Biar betul dia ni? dah lah bawa masuk hutan yang mungkin
ada ular dan harimau. Sekarang nak masuk sungai yang mungkin ada buaya pulak?
Dia ni waras ke tidak?
AKU TAK TAHU bila masa
dia letak joran dalam beg yang Mail pikul tadi. memang joran sekarang boleh
lipat-lipat sampai jadi pendek ke? Aku tak pernah tahu pun sebelum ni.
Lagi satu, macam mana dia boleh dapat satu plastik kecil
anak udang ni?
Aku masih lagi memandang wajah Zack dan Mail bersilih
ganti. Khusyuk sungguh dia orang memasukkan umpan anak udang ke mata kail.
Aku hanya mampu bersila di tengah-tengah bot kecil itu
sambil menyanyi kecil. Terlupa yang aku ni sebenarnya mangsa culik Zack dan
Mail.
Rupanya ada lagi penculik yang ‘baik hati’ macam dia
orang ni. kira baiklah sebab dia orang tak pernah apa-apakan aku.
“Nah.” Sebatang joran dihulurkan kepada aku. “Pegang ni.”
Aku pandang wajah Zack yang tidak beriak. Dia membetulkan
topi coklat cair di kepalanya dengan tangan kiri.
Tak
patut betullah. Kalau dia orang cakap awal-awal, bolehlah aku bawa sesuatu
untuk tutup kepala ni.
Sekarang
ni tak apalah, pagi. Nanti tengah hari maunya terbakar kepala aku. Aku melepas
nafas perlahan. Joran yang sederhana panjang itu aku sambut dengan teragak-agak.
Dua
mata kail yang berisi anak udang beras itu aku campak ke dalam sungai. Pemberat
yang digantung tadi terus membawa mata kail itu ke dasar. “Kenapa letak dua
umpan?” soalan itu terkeluar sebelum sempat aku menahan.
“Nak
mancing udang bukan macam mancing ikan. Udang galah memang suka dua umpan.
Kalau letak satu memang dia tak pandang.”
Aku
mengangguk faham. Tamak jugak udang galah ni rupanya.
Keadaan
kembali sunyi. Masing-masing memegang satu joran. Aku mula membuang pandang ke
arah jeti yang menempatkan bot kecil ini tadi. Rupanya jalan yang kami lalu
tadi jalan pintas.
Patutlah
kena redah hutan bagai. Ada je sebenarnya jalan betul yang nak ke jeti nelayan
ni. tapi jauh sikit.
Dan,
entah macam mana Zack boleh kenal dengan Pakcik Abu, tuan punya bot ni. Masa
jumpa dekat jeti tadi, elok je dia orang bersembang. Siap boleh dengar Zack
ketawa besar lagi.
Selama
ni aku ingat Zack ni ada penyakit saraf dekat mulut. Masam aje memanjang.
Atau…ni
sebenarnya kampung Zack? Sebab tu dia kenal semua orang?
Tapi
boleh pulak dia balik kampung segala. Bukan ke dia patut culik anak dato’ tu?
Penculik
pun ada hari cuti eh?
Tangan
terasa bergegar tiba-tiba. Aku memandang ke arah tali pancing yang separuh
tenggelam. Udang galah dah makan umpan aku ke?
“Zack…zack
udang ni!” aku menjerit tanpa sedar. “Macam mana ni? macam mana?”
“Bukan
udang tu.” dia memandang joran yang aku pegang sekilas.
Bukan
udang dia cakap? habis tu yang benda ni bergerak-gerak melawan aku ni kenapa?
Takkanlah buaya…..
“Angkatla
tengok. Tarik ke atas.”
Tangan
terus memusing laju mesin dengan tangan kiri. Tengokla…dia tak percaya. Aku
dapat udang galah dulu dari dia…
“Pusing
pun tak betul. Pusing slow-slow la…” Mail yang diam dari tadi menyampuk.
Oh,
kalau pancing udang kena pusing perlahan ke? Aku tengok dalam TV dia orang
pusing mesin ni laju macam tak cukup tanah. Mendengar teguran Mail tadi, aku
memperlahankan gerakan tangan.
Dan
betullah kata Zack, bukan udang. Tapi ikan!
Wah!
Aku dah berjaya memancing ikan! Syabas Naurah, Syabas. Baru aje tangan nak
menyentuh ikan yang aku dapat tadi, Zack lebih pantas menghalang.
Bot
bergoyang beberapa saat dek langkah Zack yang tiba-tiba.
“Jangan
pegang!” dia terus merampas tali pancing daripada aku. ikan yang hanya
sepanjang tapak tangan itu menggelepar dek kesakitan terkena mata kail. “Ikan
ni beracun…” dia mencabut muncung ikan tadi dari mata kail dan terus
mencampakkannya ke dalam sungai. Sesaat masa, ikan kecil berwarna putih gading
itu hilang dari pandangan mata.
Aku
dan Mail memandangnya pegun. Pantas betul.
Tapi,
manalah aku tahu ada ikan berbisa dekat sungai ni. Bukan ke ikan keli je yang
ada sengat? Tapi ikan tadi tak ada rupa ikan keli pun.
“Lain
kali tanya dulu sebelum nak sentuh apa-apa. Ikan tu kalau kena sengat dia boleh
demam. Tak nampak ke tiga duri dekat badan ikan tu tadi? Orang yang dah biasa
pun boleh demam, kalau kau yang kena entah-entah boleh pengsan terus…”
“Tapi
awak pegang…” jari telunjuk aku melurus pada tapak tangannya yang sedikit
merah. Tak tahulah sebab duri ikan tadi ataupun kena semut merah. Tapi, mana
ada semut merah dalam bot ni.
Tiga
pasang mata mula memaku pandang pada tapak tangan Zack. Bukan ke dia kata…
“Aku
dah biasa….” Dia menjawab tanpa memandang. Mata kail yang kosong itu diletakkan
umpan.
“Tapi
awak cakap, yang dah biasa pun boleh demam…” aku menggumam sendiri. Tali
pancing bertukar tangan. Aku terus mencampakkan kembali mata kail ke dalam
sungai bila melihat Zack mengunci mulut.
Kalau
Zack demam, ataupun pengsan, ataupun sakit, siapa yang nak bawa aku balik
nanti? Nak harapkan Mail, haram!
Aku
mencuri pandang ke arah Zack yang masih sabar menunggu udang galah memakan
umpan. Nampak dari gaya dia, tak ada rupa sakit pun.
Tolonglah
Zack. Janganlah sakit.
OKAY, SELAMA NI aku
ingat memancing adalah benda yang membosankan. Boring. Buang masa. Tapi, bila
dapat rasa sendiri perasaan bila memancing, Zack ajak balik pun aku tak sedar!
Sungguhlah. Rupanya dah hampir 5 jam aku dengan dia orang
duduk dalam bot ni. Sekejap dekat kanan jeti, sekejap dekat kiri.
Selama 5 jam dekat sini, aku baru dapat dua ekor! Mana
puas lagi!
“Bak la sini joran tu…aku nak simpan.” Sekali lagi Zack
membuka suara. Mail sudahpun meluruskan kedua-dua kaki melintang dengan tangan
di belakang kepala. Gaya bersenang lenang.
“Kejaplah… nak tangkap seekor aje lagi.” aku menjawab
tanpa memandang. Tak aci sungguh udang galah dekat sini. Mail dan Zack punyalah
berkali-kali dapat. Aku dua ekor je? Itu pun yang saiz anak-anak aje.
“Dah tak ada tu. Meh sini aku nak simpan.”
Aku mengeluh kuat sambil menghulurkan joran yang diminta.
Mulut mencebik tanpa dipaksa.
“Nak mancing lama-lama pergi sendiri.”
Cebikan aku makin lebar. Nak suruh aku pergi sendiri?
Harapanlah. Mana pernah aku pergi memancing pun selama aku hidup ni.
Dan yang paling penting, lepaskan aku dulu. baru boleh
sembang pasal suruh aku memancing sendiri. Heh.
Akhirnya aku duduk di hujung bot, menikmati suasana sungai.
Walaupun dah petang, matahari masih lagi tegak di kepala.
Mail yang mula melelapkan mata di sebelah aku pandang
dengan sengihan. Perlahan-lahan aku menarik tuala kecil dari kepala dia.
“Hish!” belum sempat tuala jatuh dari kepala, Mail
menepis tangan aku kuat. “Apa ni ambik aku punya…”
“Kedekut!” budak Mail ni la… dia tak tahu ke yang aku ni
lagi tua dari dia? Tak ada rasa hormat langsung!
“Korang boleh diam tak? Aku campak sungguh karang.”
Sekali lagi aku mencebik. Habislah muka aku nanti. Dahlah
kalau sekali ‘burn’ payah sungguh nak
elok balik.
“Pegang,” Topi yang dipakainya tadi diletakkan di atas
riba aku. Laju aje aku mendongak ke atas. Zack mula menghidupkan enjin dan
membetulkan stereng bot. Beberapa punat ditekan sebelum kembali menyambung.
“Jatuh dalam sungai nanti aku suruh kau terjun ambik balik.”
Bibir terus tersenyum tanpa dipaksa. Yeay! Selamatlah muka aku dari dimakan panahan terik matahari.
Sempat aku menjeling ke arah Mail yang mengomel tanpa suara. Tanda tak puas
hati.
Dengan senyuman yang masih berbaki, aku memandang ke depan. Bot mula
bergerak laju menuju ke jeti tadi. Bila ada dekat depan bot macam ni, memang
rasa diri terbang dibawa angin.
Sebelah
tangan didepakan dan sebelah lagi memegang topi Zack erat. Takut jatuh ditiup
angin. Sekarang ni aku betul-betul terasa macam Rose dalam filem Titanic.
Bezanya, tanpa Jack disisi.
Jack? Zack?
Oh Em Gee!
13 comments:
Selepas lama menanti, ada gak sambungannya....
Best....
Alhamdulillah dah lepas si Naurah ni. Harap dia selamat pulang ke rumah.
Alhamdulillah.... ade gak sambungannya pas lama menunggu.. hehe.. alahai naurah.. bersyukurlah..
knp rsa sdh jgak eh?? huwaaa
>>k<<
aah la..sedih plak rasa..mesti rindu Zack n Mail...
Akhirnyaaa... ada n3
Tp kenapa saya pn ikut sedeh bila naurah dibebaskan.....
mcm x berapa nak happy kan
mcm best kna culik kan.....
haihhhhhhh......
Sambung pjg ckit illa
sblm ke versi cetak
Aduh kita turut sedih ni ha
Syukur la dah dilepaskan. tapi kenapa pula akak pun rasa sedih ya..Nak Zack ngan Naurah...hehe...Tak sabar tunggu sambungannya
-Dg Siti-
yela..rse sdih plak ble bce ending bab nie..huhuhu..
Lama tunggu....harap2 lepas ni tak lama nak tunggu buku
nak tahu sebab pa... sebab cik Naurah dah terjatuh hati kt abg Zeck...
tentu abg zeck pun sedihkan sebab terpaksa buat Naurah macam tu...
Best....hope cepat2 update ye....
doakan cepat siap ya semua! hohoho <3 <3
Post a Comment