Thursday 21 August 2014

Misi Mencari Pengantin Lelaki [Bab 12]


 Assalamualaikum!

Awal-awal nak pesan, jangan terkejut bila nampak entry yang tiba-tiba dan entah bab mana. Hahaha. Sebenarnya, illa ada buka sikit cerita ni dari bab 11 hingga 15. Jadi, kalau nak mendalaminya (chewwah!) bolehla kembali ke zaman silam...ke zaman bab 11.

Rasanya tak ada orang buat rombak bab macam  ni. Hah ha. maaf dan enjoy!


BAU KOPI PEKAT menusuk hidung sebaik sahaja aku membuka mata. Selimut nipis yang menutupi separuh badan. Matahari dah tinggi pun masih lagi terasa sejuk. Aku menggeliat kecil tanpa sedat.
Lama sungguh perjalanan nak sampai dekat kampung ni.
            Jalan berbukit bukit pula tu. sikit lagi aku nak muntah bila kereta Zack asyik ke kanan dan ke kiri mendaki.
            Dan, sampai di rumah ni pun dah hampir senja. Entah ceruk mana Zack bawa aku. Atau sebenarnya kami dah sampai negara jiran?        
“Dah bangun?”
            Aku menoleh ke arah pintu. Seorang wanita separuh umur tersenyum manis sambil menatang dulang yang berisi teko dan beberapa biji cawan. Aku membalas soalannya dengan senyuman.
            “Jom, sarapan.”
            Aku hanya mengangguk. Wanita tadi terus hilang ke ruang tamu. Mata mula meneliti segenap ruang bilik kecil yang menjadi tempat aku tidur malam tadi. Kecil, memang kecil. Dinding bilik dibuat dari simen yang tak siap. Tak ada katil, hanya dua tilam lama yang sudah usang.
            Rasa menyesal pula aku tidur waktu hampir sampai dekat sini semalam. Sebabnya, sekarang ni aku sendiri pun tak tahu aku dekat mana. Tapi kalau dengar pelat makcik tadi, macam bunyi Perak.
            Ke, Kedah?
            Ataupun, perlis?
            Aku menggeleng sendiri.
            Makcik tadi pun aku tak tahu apa kaitannya dengan Zack. Sesi perkenalan malam tadi pun ringkas sangat dan makcik tadi pun tak banyak soal.
            Terus aje dia bagi aku bilik untuk tidur.
            “Kau ni… dekat mana-mana pun lembab.”
            Aku terus mencebik lebar. Tak perlu berpaling, aku dah tahu siapa empunya suara. Mail.
            Dia ni la…
            “Cepatlah. Bos panggil makan.” Dia mengetuk bilik beberapa kali dan terus hilang.
            Aku melangkah juga ke ruang tamu kecil yang hanya menempatkan meja makan sebesar empat kerusi dan sofa usang dua tempat duduk. Tak ada televisyen, tak ada kipas dinding.
            “Makan, Naurah…” makcik tadi menegur lembut. Aku tersenyum kekok sambil menarik kerusi di meja makan. Zack dan Mail sibuk menghabiskan nasi goreng tanpa memandang.
            “Makan cepat, kejap lagi ikut aku.”
Pinggan kosong ditolak ke arah aku.
“Hish, takkan nak bawa Naurah sekali?” makcik tadi pula menyampuk.
“Kalau dekat rumah, tidur aje kerja dia mak.”
‘Mak’? Makcik ni mak dia ke?
Aku mendengar Mail ketawa lepas tanpa memandang. Khusyuk sungguh dia menghabiskan makanan. Satu benda yang aku perasan pada Mail ni, dia makan banyak. Ya. Walaupun badan dia kecil dan tak berapa tinggi, tapi nafsu makan dia menggunung!
“Nak pergi mana?” aku menceduk nasi goreng ke dalam pinggan. Ringkas saja nasi goreng ni. Hanya ada telur dan sayur. Ayam dengan daging pun tak ada.
Tapi nampak Mail dengan Zack makan berselera kemain. Nasi goreng dibawa ke mulut.
Betullah, sedap!
“Nak pergi mana…?” sekali lagi aku mengulang soalan yang sama.
“Ikut ajelah…”

OH. MY.
            Dia bawa aku ikut dia masuk hutan?
            Ya, aku tahu aku pun orang kampung. Tapi selama 29 tahun aku hidup dekat dunia ni, tak pernah langsung aku masuk hutan tebal macam ni. Kalau semak-semak tepi rumah dekat kampung tu, selalu la.
            Hutan dekat taman rekreasi pun selalu. Tapi ni…?
            Nak redah pun kena tebas pokok! Dia tak takut ada ular ke?
            “Awak nak bawa saya pergi mana ni…?” hampir lima belas minit berjalan, aku bersuara juga. Seram kut duduk dalam hutan tebal macam ni. Kaki aku pun tak rasa jejak tanah. Kalau aku terpijak benda berbeli-belit tu, macam mana?
            Kalau ada ‘pak belang’ tiba-tiba macam mana?
            “Bisingla kau ni…” Mail mula membebel.
Spontan aku mencebik membalas bebelan Mail. Badan tegap Zack yang berjalan di hadapan aku cuit beberapa kali. Dia ni… tak dengar ke, buat-buat tak dengar?
            “Apahal?” dia berpaling ke belakang. “Sabarlah. Nak sampai dah.”
            “Awak nak tinggalkan saya dekat sini eh?” dahi aku mula berkerut lebat. berkali-kali aku menelan air liur. Mana tahu dia nak hilangkan jejak aku dengan tinggalkan aku dekat sini.
            Nak-nak kalau aku kena makan dengan harimau ke, singa ke…oh my, mati!
            “Kau ni…” Zack menggeleng beberapa kali.
            “Ikut hati aku, memang aku nak tinggalkan kau dekat sini pun. bising je…”Mail pula mencelah.
            “Hei, ingat sikit, awak yang culik saya. Salah siapa saya ada dekat sini? Hah?” Aku menoleh ke arah Mail di sebelah. Lupa daratan sungguh.
            Belum sempat Mail membalas, suara Zack lebih pantas mencelah. “Dah, dah. Dah sampai pun. korang gaduh lagi aku campak dua-dua dalam tu.”
            Aku dan Mail terus terdiam dan memandang ke arah yang ditunjukkan. Sebatang sungai yang sangat luas terbentang membuatkan mata aku terkebil-kebil beberapa kali. Ni…sungai ke tasik?
            Cantiknya!
            “Kita nak buat apa dekat sini bos?” Mail meletakkan beg yang dipikulnya dari tadi ke bawah. Tangan kanan di bawa ke dahi, mengelap peluh yang menitik.
            “Kita pancing udang galah.” Zack mencipta senyum nipis.
            Udang galah? Udang galah?!
            Bukan ke kalau ada udang galah, adalah bu…a…ya?
            Kepala terus berpaling ke arah Zack yang masih tersenyum melihat sungai di hadapan.      
            Biar betul dia ni? dah lah bawa masuk hutan yang mungkin ada ular dan harimau. Sekarang nak masuk sungai yang mungkin ada buaya pulak?
            Dia ni waras ke tidak?


           
AKU TAK TAHU bila masa dia letak joran dalam beg yang Mail pikul tadi. memang joran sekarang boleh lipat-lipat sampai jadi pendek ke? Aku tak pernah tahu pun sebelum ni.
            Lagi satu, macam mana dia boleh dapat satu plastik kecil anak udang ni?
            Aku masih lagi memandang wajah Zack dan Mail bersilih ganti. Khusyuk sungguh dia orang memasukkan umpan anak udang ke mata kail.
            Aku hanya mampu bersila di tengah-tengah bot kecil itu sambil menyanyi kecil. Terlupa yang aku ni sebenarnya mangsa culik Zack dan Mail.
            Rupanya ada lagi penculik yang ‘baik hati’ macam dia orang ni. kira baiklah sebab dia orang tak pernah apa-apakan aku.
            “Nah.” Sebatang joran dihulurkan kepada aku. “Pegang ni.”
            Aku pandang wajah Zack yang tidak beriak. Dia membetulkan topi coklat cair di kepalanya dengan tangan kiri.
Tak patut betullah. Kalau dia orang cakap awal-awal, bolehlah aku bawa sesuatu untuk tutup kepala ni.
Sekarang ni tak apalah, pagi. Nanti tengah hari maunya terbakar kepala aku. Aku melepas nafas perlahan. Joran yang sederhana panjang itu aku sambut dengan teragak-agak.
Dua mata kail yang berisi anak udang beras itu aku campak ke dalam sungai. Pemberat yang digantung tadi terus membawa mata kail itu ke dasar. “Kenapa letak dua umpan?” soalan itu terkeluar sebelum sempat aku menahan.
“Nak mancing udang bukan macam mancing ikan. Udang galah memang suka dua umpan. Kalau letak satu memang dia tak pandang.”
Aku mengangguk faham. Tamak jugak udang galah ni rupanya.
Keadaan kembali sunyi. Masing-masing memegang satu joran. Aku mula membuang pandang ke arah jeti yang menempatkan bot kecil ini tadi. Rupanya jalan yang kami lalu tadi jalan pintas.
Patutlah kena redah hutan bagai. Ada je sebenarnya jalan betul yang nak ke jeti nelayan ni. tapi jauh sikit.
Dan, entah macam mana Zack boleh kenal dengan Pakcik Abu, tuan punya bot ni. Masa jumpa dekat jeti tadi, elok je dia orang bersembang. Siap boleh dengar Zack ketawa besar lagi.
Selama ni aku ingat Zack ni ada penyakit saraf dekat mulut. Masam aje memanjang.
Atau…ni sebenarnya kampung Zack? Sebab tu dia kenal semua orang?
Tapi boleh pulak dia balik kampung segala. Bukan ke dia patut culik anak dato’ tu?
Penculik pun ada hari cuti eh?
Tangan terasa bergegar tiba-tiba. Aku memandang ke arah tali pancing yang separuh tenggelam. Udang galah dah makan umpan aku ke?
“Zack…zack udang ni!” aku menjerit tanpa sedar. “Macam mana ni? macam mana?”
“Bukan udang tu.” dia memandang joran yang aku pegang sekilas.
Bukan udang dia cakap? habis tu yang benda ni bergerak-gerak melawan aku ni kenapa? Takkanlah buaya…..
“Angkatla tengok. Tarik ke atas.”
Tangan terus memusing laju mesin dengan tangan kiri. Tengokla…dia tak percaya. Aku dapat udang galah dulu dari dia…
“Pusing pun tak betul. Pusing slow-slow la…” Mail yang diam dari tadi menyampuk.
Oh, kalau pancing udang kena pusing perlahan ke? Aku tengok dalam TV dia orang pusing mesin ni laju macam tak cukup tanah. Mendengar teguran Mail tadi, aku memperlahankan gerakan tangan.
Dan betullah kata Zack, bukan udang. Tapi ikan!
Wah! Aku dah berjaya memancing ikan! Syabas Naurah, Syabas. Baru aje tangan nak menyentuh ikan yang aku dapat tadi, Zack lebih pantas menghalang.
Bot bergoyang beberapa saat dek langkah Zack yang tiba-tiba.
“Jangan pegang!” dia terus merampas tali pancing daripada aku. ikan yang hanya sepanjang tapak tangan itu menggelepar dek kesakitan terkena mata kail. “Ikan ni beracun…” dia mencabut muncung ikan tadi dari mata kail dan terus mencampakkannya ke dalam sungai. Sesaat masa, ikan kecil berwarna putih gading itu hilang dari pandangan mata.
Aku dan Mail memandangnya pegun. Pantas betul.
Tapi, manalah aku tahu ada ikan berbisa dekat sungai ni. Bukan ke ikan keli je yang ada sengat? Tapi ikan tadi tak ada rupa ikan keli pun.
“Lain kali tanya dulu sebelum nak sentuh apa-apa. Ikan tu kalau kena sengat dia boleh demam. Tak nampak ke tiga duri dekat badan ikan tu tadi? Orang yang dah biasa pun boleh demam, kalau kau yang kena entah-entah boleh pengsan terus…”
“Tapi awak pegang…” jari telunjuk aku melurus pada tapak tangannya yang sedikit merah. Tak tahulah sebab duri ikan tadi ataupun kena semut merah. Tapi, mana ada semut merah dalam bot ni.
Tiga pasang mata mula memaku pandang pada tapak tangan Zack. Bukan ke dia kata…
“Aku dah biasa….” Dia menjawab tanpa memandang. Mata kail yang kosong itu diletakkan umpan.
“Tapi awak cakap, yang dah biasa pun boleh demam…” aku menggumam sendiri. Tali pancing bertukar tangan. Aku terus mencampakkan kembali mata kail ke dalam sungai bila melihat Zack mengunci mulut.
Kalau Zack demam, ataupun pengsan, ataupun sakit, siapa yang nak bawa aku balik nanti? Nak harapkan Mail, haram!
Aku mencuri pandang ke arah Zack yang masih sabar menunggu udang galah memakan umpan. Nampak dari gaya dia, tak ada rupa sakit pun.
Tolonglah Zack. Janganlah sakit.

OKAY, SELAMA NI aku ingat memancing adalah benda yang membosankan. Boring. Buang masa. Tapi, bila dapat rasa sendiri perasaan bila memancing, Zack ajak balik pun aku tak sedar!
            Sungguhlah. Rupanya dah hampir 5 jam aku dengan dia orang duduk dalam bot ni. Sekejap dekat kanan jeti, sekejap dekat kiri.
            Selama 5 jam dekat sini, aku baru dapat dua ekor! Mana puas lagi!
            “Bak la sini joran tu…aku nak simpan.” Sekali lagi Zack membuka suara. Mail sudahpun meluruskan kedua-dua kaki melintang dengan tangan di belakang kepala. Gaya bersenang lenang.
            “Kejaplah… nak tangkap seekor aje lagi.” aku menjawab tanpa memandang. Tak aci sungguh udang galah dekat sini. Mail dan Zack punyalah berkali-kali dapat. Aku dua ekor je? Itu pun yang saiz anak-anak aje.
            “Dah tak ada tu. Meh sini aku nak simpan.”
            Aku mengeluh kuat sambil menghulurkan joran yang diminta. Mulut mencebik tanpa dipaksa.
            “Nak mancing lama-lama pergi sendiri.”
            Cebikan aku makin lebar. Nak suruh aku pergi sendiri? Harapanlah. Mana pernah aku pergi memancing pun selama aku hidup ni.
            Dan yang paling penting, lepaskan aku dulu. baru boleh sembang pasal suruh aku memancing sendiri. Heh.
            Akhirnya aku duduk di hujung bot, menikmati suasana sungai. Walaupun dah petang, matahari masih lagi tegak di kepala.
            Mail yang mula melelapkan mata di sebelah aku pandang dengan sengihan. Perlahan-lahan aku menarik tuala kecil dari kepala dia.
            “Hish!” belum sempat tuala jatuh dari kepala, Mail menepis tangan aku kuat. “Apa ni ambik aku punya…”
            “Kedekut!” budak Mail ni la… dia tak tahu ke yang aku ni lagi tua dari dia? Tak ada rasa hormat langsung!
            “Korang boleh diam tak? Aku campak sungguh karang.”
            Sekali lagi aku mencebik. Habislah muka aku nanti. Dahlah kalau sekali ‘burn’ payah sungguh nak elok balik.
            “Pegang,” Topi yang dipakainya tadi diletakkan di atas riba aku. Laju aje aku mendongak ke atas. Zack mula menghidupkan enjin dan membetulkan stereng bot. Beberapa punat ditekan sebelum kembali menyambung. “Jatuh dalam sungai nanti aku suruh kau terjun ambik balik.”
            Bibir terus tersenyum tanpa dipaksa. Yeay! Selamatlah muka aku dari dimakan panahan terik matahari. Sempat aku menjeling ke arah Mail yang mengomel tanpa suara. Tanda tak puas hati.
            Dengan senyuman yang masih  berbaki, aku memandang ke depan. Bot mula bergerak laju menuju ke jeti tadi. Bila ada dekat depan bot macam ni, memang rasa diri terbang dibawa angin.
Sebelah tangan didepakan dan sebelah lagi memegang topi Zack erat. Takut jatuh ditiup angin. Sekarang ni aku betul-betul terasa macam Rose dalam filem Titanic.
            Bezanya, tanpa Jack disisi.
            Jack? Zack?
            Oh Em Gee!







13 comments:

Anonymous said...

Selepas lama menanti, ada gak sambungannya....
Best....

Unknown said...

Alhamdulillah dah lepas si Naurah ni. Harap dia selamat pulang ke rumah.

missone hazel said...

Alhamdulillah.... ade gak sambungannya pas lama menunggu.. hehe.. alahai naurah.. bersyukurlah..

Anonymous said...

knp rsa sdh jgak eh?? huwaaa

>>k<<

Anonymous said...

aah la..sedih plak rasa..mesti rindu Zack n Mail...

Nana Mohd Yasin said...

Akhirnyaaa... ada n3

Tp kenapa saya pn ikut sedeh bila naurah dibebaskan.....
mcm x berapa nak happy kan
mcm best kna culik kan.....
haihhhhhhh......

Sambung pjg ckit illa
sblm ke versi cetak

kak edah said...

Aduh kita turut sedih ni ha

Anonymous said...

Syukur la dah dilepaskan. tapi kenapa pula akak pun rasa sedih ya..Nak Zack ngan Naurah...hehe...Tak sabar tunggu sambungannya

-Dg Siti-

Anonymous said...

yela..rse sdih plak ble bce ending bab nie..huhuhu..

Unknown said...

Lama tunggu....harap2 lepas ni tak lama nak tunggu buku

Kak Sue said...

nak tahu sebab pa... sebab cik Naurah dah terjatuh hati kt abg Zeck...
tentu abg zeck pun sedihkan sebab terpaksa buat Naurah macam tu...

NurAtiZa said...

Best....hope cepat2 update ye....

Illa Shanahila said...

doakan cepat siap ya semua! hohoho <3 <3